CT95. HADIAH DARI LANGIT … 30 MINIT DI RAUDHAH

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Tempat yang paling utama untuk diziarahi di Madinah adalah Masjid Nabawi atau Masjid Nabi. Kelebihan menziarahi Masjid Nabawi dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam dua sabda :

“Tidaklah digalakkan (disunatkan) bermusafir (untuk tujuan ibadah) melainkan ketiga buah masjid iaitu, Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan masjidku ini.” – Sahih Bukhari dan Muslim

“Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid selain Masjidil Haram.”  – Sahih Bukhari dan Muslim

Bertitik tolak dari hadis di atas yang sudah saya faham melalui informasi siri kursus haji dan pembacaan buku, membuat saya semakin rindu untuk menjejak kaki di Masjid Nabawi sebagai ziarah awal di malam pertama berada di bumi Madinah. Selain itu, berhasrat untuk memperolehi kelebihan yang terkandung di dalamnya. Alhamdulillah, kerinduan itu terubat dengan izin Allah Yang Maha Mengetahui apa yang diinginkan oleh hamba-Nya dan telah saya tulis di posting CT94. KERANA RINDU ITU…

Kemudian dalam rentetan peristiwa seterusnya, saya semakin menikmati manisnya malam pertama di bumi Madinah.  HADIAH DARI LANGIT sudah Allah catatkan dalam suratan hidup saya bersama Kak Kasma dan Kak Senah. Kami tidak mengetahui beberapa detik waktu ke depan nanti,  sesudah kami bersolat di ruang al-Nisa dan berkira-kira mahu balik ke hotel, kami dijemput oleh Allah untuk memasuki Raudhah-Nya. 

Kesesakan di bahagian jemaah lelaki ketika di Raudhah al-Mutahharah

**************

RAUDHAH… HADIAH TERINDAH DARI “KEKASIH”

Setelah saya selesai melakukan sujud syukur ditemani Kak Kasma dan Kak Senah yang masih duduk rehat melepaskan lelah, kami beransur diri untuk kembali ke hotel. Terasa berat kaki hendak melangkah keluar dan ingin berlama di dalamnya. Suasana sunyi dan hening sekali. Udara sejuk memenuhi segenap ruang masjid melalui aircon yang berada di tiang-tiang besar tersebut. Dinginnya terasa menyelinap ke seluruh tubuh. Telekung yang dipakai tidak mampu memanaskan badan. Kelihatan beberapa jemaah haji wanita masih lagi mengulit diri dengan ibadah mereka, seakan tidak mahu beranjak dari hamparan cinta Rasul ini.

Sambil berjalan beriringan menuju ke rak kasut, saya melihat jam tangan Casio yang menunjukkan pukul 12.17 pagi. Masa berlalu begitu pantas sekali tapi tidak terasa. Kami sudah berada di dalam masjid hampir 32 minit sejak memasukinya pukul 11.45 malam. Saya memikirkan SPH menunggu lama di luar sedangkan kami tidak berjanji pukul berapa kami akan bertemu semula. Telefon bimbit pula tidak ada kerana kami tidak membawa telefon “canggih” dari tanah air. Kami terputus langsung tanpa teknologi yang menghubungkan kami ketika itu. Saya bimbang dia bosan keseorangan sedangkan kami sebaliknya. Saya berdoa agar SPH sabar menunggu kami.

Kami masih lagi berada dalam keadaan teruja, bercerita tentang keindahan binaan dan dekorasi dalam masjid. Kagum dengan banyaknya tiang putih yang tersusun berbaris memanjang, melebar kiri, kanan, depan dan belakang. Tiang-tiang besar itu di kelilingi lampu indah melekap dan bergantungan dengan cahaya bergemerlapan. Dekorasi dan bentuk di ruang solat Bab al-Nisa sama seperti ruang solat lelaki kerana keduanya berada dalam bangunan yang sama (menuju ke Raudhah).

Badan kami berpusing-pusing menikmati keindahan reka bentuk dalaman masjid Nabawi sambil mulut terkumat kamit menutur kata syukur dapat menikmati secara alami di hadapannya. Dalam hati berkata, “sungguh berbeza sekali dengan Masjid Nabi yang asal. Dibina dengan tanah liat, diatapi dengan daun-daun tamar dan berlantaikan tanah keras.” Tiba-tiba hati saya menjadi sayu dan merindui Rasulullah saw. Sebak.

“Allahumma solli’ala sayyidina Muhammad.”

Tempat saya berada ini sudah banyak perubahan dan pembesaran yang dilakukan. Sukar untuk menentukan kedudukan asal masjid pada hari ini. Tetapi mengikut sumber sejarah yang dapat dipercayai, kedudukan asal dinding dan tembok Bab al-Nisa (Pintu Wanita) yang memanjang dari timur ke barat telah disatukan dinding asalnya dengan dinding baru yang dibina pada zaman kerajaan Uthmaniyyah.

 Ruang solat lelaki di Babus Salaam, Masjid Nabawi

**************

Sebaik sampai di rak kasut, saya mengajukan soalan sekadar untuk gurauan. Saya tahu kami sangat letih dan perlukan rehat. Esok pagi sudah ke Masjid lagi untuk solat Subuh berjemaah. “Kak, mari kita cari Raudhah ? Mahu tak ! “Iyalah, sementara kita masih di dalam masjid, baik kita cari Raudhah,” sokong Kak Senah. “Boleh juga, akak ikut saja,” ujar Kak Kasma pula. Saya senyum mendengar balasan keduanya. “Benar ke ni kak, tidak letihkah ?” “Tidaklah, mari kita cari, engkau jadi ketua” kata kedua-duanya dengan semangat sekali. Saya ketawa mendengar lantikan ketua tanpa undian itu. “Ok, no problem,” kata saya.

Perasaan kami sedang berada dipuncak. Sangat ceria dan riang. Saya sudah tidak ingat lagi dengan kaki dan lutut yang sakit, kepala yang berdenyut dan batuk yang sekali sekala terdengar menyapa ruang di dalam Masjid. Yang saya inginkan hanya mencari Raudhah. Raudhah telah memenuhi minda kami dan mesti direalisasikan. Tiba-tiba dua persoalan telah muncul dari mulut Kak Kasma. Dia kelihatan resah. “Timah, Raudhah tu di mana ? Hendak tanya dengan siapa? Saya tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Saya sendiri tidak tahu dan tidak diberitahu lokasinya.

Kami berhenti sejenak memikirkan cara untuk ke Raudhah. Kemudian, saya memecah kesunyiann dengan memberi jawaban mudah. “Begini kak, kita ada mulut, mari kita bertanya kepada sesiapa yang kita jumpa. Jangan bimbang, kakak berdua ikut dan diam sahaja. Jangan bercakap apa-apa, Saya yang akan bertanya. Lagipun saya nak praktikkan bahasa Arab saya yang sudah lama tidak digunakan ini.” panjang lebar saya memberi penerangan kepada mereka. Keduanya bersetuju sambil menggangguk pasrah. Saya ketawa geli hati memikirkan apa yang berlaku sesudah itu.

 Kesesakan di bahagian jemaah lelaki ketika di Raudhah al-Mutahharah. Tulisan banner yang direntang bertulis dalam 6 bahasa. Salah satunya bahasa Indonesia. Amaran tulisan: “Saudara-saudara pengunjung, sesudah anda selesai shalat di Raudhah berilah kesempatan untuk teman yang lain serta shalatlah anda di tempat yang lain di tempat sepesial untuk wanita.”

**************

Kami bergerak jauh ke dalam Masjid untuk menjalankan ekspedisi mencari Raudhah. Saya mulai berfikir kalimah-kalimah mudah bahasa Arab komunikasi untuk ditanya kepada sesiapa yang dijumpai. 😀 Tidak jauh dari kami kelihatan tiga orang wanita berjubah hitam dan berpurdah (esoknya baru kami tahu mereka adalah POLIS WANITA ARAB SAUDI yang mengawal ruang solat wanita) berdiri sambil berbicara. Saya fikir mereka adalah jemaah haji negara lain. Saya cepat-cepat membuka mulut bertanya salah seorang dari mereka.

“Assalaamu’alaikum ya Ukhti, Ismahli. Ainar Raudhah,” Sana ibu, sana,”  wanita itu menjawab tegas sambil menunjuk ke arah depan sebelah kiri. Saya berpandangan hairan dengan Kak Kasma dan Kak Senah mendengar jawaban dalam bahasa Melayu loghat Indonesia. Kami ketawa dan berbisik-bisik, “dia pandai cakap kitalah.” (Kemudiannya, kami tahu bahawa hampir semua POLIS WANITA di Masjid Nabawi boleh bercakap bahasa Melayu yang mudah dengan beberapa kalimah sahaja). 

Dalam perjalanan menuju Raudhah, saya bertanya bersilih ganti dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris kepada beberapa wanita yang kelihatannya seperti menjaga “posisi tempat” mereka berdiri. Semuanya menunjukkan arah Raudhah dengan mudah tanpa halangan dan menjawab dalam bahasa Melayu.  “Kiri depan sana, hajjah.” “Depan lagi ibu.” Saya suka sekali mendengar bahasa Melayu yang mereka tuturkan. Lidah Arabnya tetap tebal dalam membunyikan bahasa Melayu yang mudah.

Sepanjang tempoh perjalanan tersebut, tidak ramai jemaah haji wanita yang ditemui. Jalan nampak lengang dan lapang. Kiri kanan saya berhamparan ruang-ruang solat yang luas, dengan keteguhan binaan tiang-tiang besar berderetan banyak. Menakjubkan. Lantainya diselimuti karpet lembut. Dingin udara merebak di mana-mana. Seluruh Masjid Nabawi dibendungi udara sejuk yang nyaman sehingga tidak terasa jauhnya jarak garisan pertama kami mulai sehingga sampai ke garisan penamat di Raudhah. Bezanya lampu sudah ada yang dipadamkan.  Beberapa ruang solat kelihatan suram dan gelap. “Apakah ini  bererti masjid akan ditutup sebentar lagi,” bisik hati saya.

Saya mengkagumi pemandangan di sekitar saya sambil kaki ini melangkah cepat menuju Raudhah. Akhirnya, tanpa kami sedari, kami memasuki ruang yang luas, bercahaya penuh dengan sinaran lampu. Tiang-tiangnya sangat rapat dan banyak. Lampu-lampu yang bergantungan kelihatan sangat indah dan berbeza dengan lampu di bahagian ruang solat yang saya tempuhi sebelumnya.

Foto dari http://www.Muhd.Kamil.org. Banner untuk wanita di Raudhah, Masjid Nabawi, Madinah. Tulisan di banner memberi amaran: “Avoid troubling yourself and others by pushing & entering into Rawdah when it is crowded. Please wait and enter it in order you have enough time pray there, if you wish.”

***************

Saya amati ada batasan pemisah antara jemaah lelaki dan wanita. Ia dipisahkan oleh kain-kain kanvas tebal yang mengelilingi kawasan Raudhah di bahagian wanita. Saya melihat terdapat banner yang direntang dalam 3 bahasa, melarang jemaah haji wanita bertolak-tolak dan bersikap keras semasa solat di Raudhah. Masya Allah, sehingga begitu sekali “amaran” yang diberi kepada jemaah wanita. Saya meneliti ruang wanita ini, terdapat lebih kurang 30 orang sedang melakukan ibadah, berdoa dan berzikir penuh khusyuk. Keadaan amat selesa dan lapang tanpa sebarang gangguan.

Saya tidak pasti adakah ini hamparan Raudhah. Lalu saya bertanya lagi kepada wanita berjubah hitam dan berpurdah. “Assalaamu’alaikum ya Ukhti, haazihi Raudhah ? Dengan cepatnya wanita itu membalas, “Na’am, solat ibu, solat hajjah. solat, solat. Sayapun memaklumkan kepada Kak Kasma dan Kak Senah bahawa kami sedang berada di dalam Raudhah. Jam di tangan menunjukkan pukul 12.30 pagi.

Saya cepat-cepat mencari ruang untuk melakukan solat sunat. Setelah melakukan solat sunat tahajjud, sunat taubat dan sujud syukur. Saya melaksanakan pula solat sunat hajat khusus untuk setiap orang yang saya cintai dalam hidup ini. Setelah itu saya berdoa panjang bagi kesejahteraan, kejayaan dan keamaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat untuk semuanya. Tiba-tiba terdengar jeritan suara yang menyuruh kami beredar. “Khuruj (keluar), ya hajjah, khalash (tamat), khalash Ibu. Khuruj, khuruj.

Saya memahami bahawa kami jemaah wanita mesti keluar dari ruang Raudhah ini. Jam sudah pukul 1.00 pagi. Alhamdulillah. Sebelum keluar, saya sempat melakukan sujud syukur atas tanda kesyukuran dapat berada di Raudhah. Saya mengajak Kak Kasma dan Kak Senah keluar dari masjid. Kami bergegas keluar melalui jalan lain yang bertentangan dari arah kami datang tadi. Rupanya kami masuk dari pintu 29 dan keluar ke pintu 25. Pintunya berdekatan sahaja, tetapi kami tetap merasakan asing kerana baru pertama kali. Akhirnya saya terpaksa berpusing jauh mengelilingi Masjid Nabawi untuk mencari SPH yang hanya beberapa meter dari saya. Tidak lama kemudian kami bersatu dalam kumpulan semula.

Saya memohon maaf kepada SPH kerana membuat dia lama menunggu. SPH menyambut kedatangan saya dengan wajah yang kelihatan letih dan mengantuk. SPH menggangguk lesu dengan senyum mekar di bibirnya. SPH mengajak kami pulang ke hotel.  Masya Allah, penatnya kini mulai terasa. Kaki saya bergetaran kuat sudah tidak mampu untuk berjalan lagi. Saya berzikir sepanjang perjalanan pulang dengan tidak henti-henti mengucap syukur atas “hadiah” terindah dan bermakna dari “Kekasih” yang agung pada malam pertama di Madinah. Subhanallah walhamdulillah.


Foto menunjukkan kedudukan laluan jemaah haji wanita menuju ke Raudhah. Masuk dari Bab al-Nisaa no.29 dan keluar melalui pintu no.25 (kerana itu saya tidak bertemu SPH dan terpaksa berpusing Masjid Nabi sekali lagi untuk kembali ke tempat asal pertemuan dijanjikan… hehehe. Maklum kali pertama hadir ke Masjid Nabawi, begitulah “kesesatan” yang dilalui.

***************

Kami memerlukan 10 minit sahaja untuk sampai ke Raudhah. Kami berasa sangat gembira dan tidak habis-habis bertanya, kenapa kami dimudahkan Allah untuk ke Raudhah sedangkan esok dan hari seterusnya kami mendengar teman-teman jemaah haji menyatakan susahnya untuk solat di Raudhah kerana terlalu ramai manusia dan harus menempuh banyak stesen.

Saya mengalami sendiri pada pengalaman kedua menuju ke Raudhah, jam 12.30 malam ratusan jemaah wanita masih bersesakan di Raudhah ketika saya melangkah kaki keluar dari hamparan Raudhah dan hanya sempat menunaikan satu kali solat hajat sahaja. Setelah itu, di arah keluar untuk memberi ruang kepada jemaah lain untuk bersolat pula. Alhamdulillah.

Saya yakin, jemputan itu sebagai satu “bonus” dari Allah untuk tetamu-Nya yang paling istimewa. Tetamu paling istimewa itu adalah saya, Kak Kasma, Kak Senah dan sesiapa yang hadir bersama di malam yang penuh makna dengan ruang Raudhah yang terbuka seluas-luasnya untuk kami bersolat dan berdoa tanpa gangguan kesesakan dan halangan dari POLIS WANITA yang bertugas.

Semuanya berjalan lancar, tenang dan menyelesakan.  Alhamdulillah, Allah memilih kami di malam tersebut sebagai tanda kasih sayang-Nya, yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang dipilih dan dikehendaki-Nya. Sungguh saya menginsafi semua yang berlaku ini kerana Allah telah berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan. Engkau beri kekuasaan kepada sesiapapun yang Engkau kehendaki. Dan Engkau cabut kekuasaan dari siapapun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapapun yang engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapapun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” – Surah Aali ‘Imran: 26.

MENCAPAI HAMPARAN RAUDHAH.. tidak ada dalam agenda saya di malam pertama ini. Ia berlaku secara spontan tanpa dirancang. Saya tidak pernah berdoa untuk mencapai Raudhah di awal kehadiran di Masjid Nabi tetapi selalu berharap diberi peluang untuk dapat ke sana.

Semua jemaah tidak akan melepas peluang untuk menapak diri di Raudhah. Malah ada yang berkali-kali mengulangi kepergian ke Raudhah dan berbangga kerana banyaknya kekerapan mereka ke sana bersama pelbagai rungutan yang keluar dari bibir segelintir mereka.

Berdasarkan pengalaman kedua saya di malam terakhir di Madinah, saya merasai cabaran menunggu berjam-jam di pelbagai stesen sebelum sampai ke karpet Raudhah. Allah memberi pengalaman baru buat saya. Awalnya pergi dengan berat hati kerana desakan SPH yang tidak percaya saya sudah memasuki Raudhah. Kemudian saya perbetulkan semula niat agar ibadah saya diredhai Allah. Kisah ini akan saya tulis dalam tajuk JAUHNYA PERJALANAN KE RAUDHAH.

Mengapa ramai yang berebut untuk ke Raudhah ?

Raudhah al-Mutahharah adalah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi. Ia menjadi tempat Rasulullah saw dan sahabat beribadah. Tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah saw. Selain itu, ia juga adalah sebuah taman dari taman-taman syurga. Subhanallah. Sangat rugi kalau tidak menyempat diri ke Raudhah ini.  Sabda Rasulullah saw:

“Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga dan mimbarku terletak di atas kolamku (al-Kauthar).” – Sahih Bukhari.

Peta kedudukan jemaah lelaki dan jemaah wanita di Raudhah, Masjid nabawi, Madinah


**************

21 Mac 2012 (Rabu)/ 27 Rabi’ul Akhir 1433H/ 10.35 malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. dan Ketika Rindu Berlabuh. Nantinya aku ingin menyapamu walau kini sapaanku hanya tulisan bisu. Nantinya aku mahu mendakapmu walau kini dakapanku hanya bayanganmu. Ketika rinduku mulai melabuh dirinya dalam selendang kasih, ingin sekali aku menerima senyum sayangmu. Ya Rahman Ya Rahiim, hadirkan dia, “kekasihku” dalam setiap pelabuhan rinduku. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

TERIMA KASIH UNTUK SEMUA YANG KAU KURNIAKAN KEPADAKU, YA ALLAH. ALHAMDULILLAH

KAU SENTIASA DI SINI… DEKAT DI HATIKU

****************

38 thoughts on “CT95. HADIAH DARI LANGIT … 30 MINIT DI RAUDHAH

  1. Waktu pergi seingat saya tak bilang-bilang ya mau menunaikan panggilanNya?
    Biar bikin kejutan ke kita-kita. Kirain kenapa waktu itu mau pamit tak hendak lagi mengisi blog kesayangannya. Ternyata ini bonusnya, terus berkilau dengan laporan pandangan mata perjalanannya.
    Ah, jadi ingin membaca berulang-ulang kisah kasihNya.
    Jadi mohon izin share (copas) ke file komputer semua kisah-kisah menariknya.
    Salam – Rahman Wahyu.

    • Kepergian ke Tanah Suci memang tidak mahu dikhabarkan kepada sesiapa di dunia maya, malahan di dunia nyata juga demikian sama.
      Hanya kepada yang terdekat aja diberitahu.

      Maaf kalau membuat sedikit persoalan di minda sebab “penghentian sejenak” tulisan di blog ini dulunya.

      Maksud tidak memaklumkan kerana menyakini bahawa ibadah haji adalah ibadah fardhu ain sama seperti ibadah solat, puasa dan berzakat yang hanya dilakukan secara peribadi antara kita dan Allah sahaja.

      Alhamdulillah, semuanya sudah selamat dan dilaksanakan menurut rukun dan kewajiban yang dituntut.

      Silakan jika tulisan pengembaraan haji ini bisa dimanfaatkan untuk khazanah di masa depan. Mudahan saya bisa membukukannya. Aamiin.

      Terima kasih mas Rahman untuk kongsiannya.
      Salam sejahtera selalu.

  2. assalamu alaikum wr. wb.

    indahnya bener perjalanan umi, asyik bener kisah umi disana,
    semoga neni diberi kesempatan oleh Allah untuk bertamu kesana bersama orang yang neni sayang,
    makasih atas kongsian kisah dari umi, kisah yang dapat memberi gambaran kepada kami yang belum mendapat kesempatan untuk bertamu kesana, semoga tulisan ini menjadi suatu penambahan ladang ilmu menuju kesana, persiapan awal meraih mimpi berjumpa dengan rumah-rumah Allah, Rumah-rumah Rosul berserta sahabatnya, ya Allah, jadikan didalm hatiku suatu kerinduan yang abadi hanya untuk_Mu dan Rosul_Mu..
    neni sayang umi 🙂 😉

    • Wa’alaikum salaam wr.wb…

      Semoga apa yang Umi alami bisa bermanfaat buat semua. Malahan Umi percaya masing-masing kita pinya cerita tersendiri yang indah bersama kurnia Allah yang melimpah ruah kepada semua hamba-hamab-Nya yang sangat mencintai-Nya dan Rasul-Nya, Muhammad saw.

      Insya Allah, tawaran sebagai dhuyufur Rahman akan Neni raih suatu hari yang telah Allah tentukan di depan sana. uma tidak tahu bila, masa dan tempat ia berlaku. Umi doakan semuanya. Aamiin.

      Salam sayang selalu dari Umi. 😀 😀

    • Alhamdulillah, itu namanya iri yang baik kerana ingin berbuat yang baik juga. Mudahan Syaiful akan dipilih sebagai tetamu Allah di waktu yang hanya diketahui Allah sebagai pemilik bumi yang barakah itu.

      Berdoa dan berusahalah untuk kemenjadiannya.
      Salam kenal dan terima kasih atas kunjungan perdana ini.

  3. Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Mbak Hajjah Fatimah..
    Postingan ini saya baca pelan-pelan sekali.. bukan (hanya) karena di komentar sebelumnya saya telah salah paham.. mengira kisah perjalanan Mbak ini kisah yang sedang dijalani.. rupanya setahun berlalu sudah ya 😀

    MasyaAllah.. sambil mengikuti tuturan Mbak di atas.. saya ikut membayangkan jika saya juga ada di situ (suatu hari kelak, amiiin). saya membayangkan sambil dalam hati terus2an berbisik.. “aku iri..aku iri..aku iri.. aku ingin diundang juga ke sana ya Allah..”

    Barulah saja membaca kisahnya sudah bergetar hati ini.. apalagi Mbak yang mengalami sendiri ya.. betapa hakikatnya Mbak dan Kak Kasma dan Kak Senah sebenar-benarnya sudah pernah berada di salah satu taman surga, bahkan ketika Mbak bertiga masih hidup di dunia fana ini. Benar2 sunguh beruntung, benar2 disayang Allah. {aku juga ingin dikaruniai seperti ini ya, Allah… }

    Yaa Allah ya Rabbana.. ampunilah segala dosa kami, segala khilaf kami, segala fasik kami, sehingga Engkau rida sehingga Engkau karuniakan pula segala kebaikan dan nikmat yang telah Engkau beri pada orang-orang saleh yang Engkau kasihi, seperti Mbak Fatimah Ahmad dan Kak Kasma dan Kak Senah setahun yang lalu. Amiiin. ;_O

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, akhi Muxlimo…

      Alhamdulillah, senang menerima kunjungan mas Muxlimo dan membaca komentar yang selalu mencerahkan. Hehehe…. tidak apa kalau kefahaman itu kurang ditanggapi, mungkin dari cara penyampaian saya seperti sedang dialami ketika itu. Tapi memang itulah yang berlaku.

      Iri hati yang baik untuk melakukan ibadah dan amalan kebajikan adalah dituntut oleh ajaran Islam. Mudahan perasaan demikian bisa menambah keinginan dan meningkatkan daya usaha ke arah mencapai apa yang dikehendaki. Saya juga demikian sama sebelum dijemput Allah ke bumi sucinya tatkala mendengar cerita orang lain yang pernah ke sana terlebih dahulu.

      Insya Allah giliran mas Muxlimo dan teman pembaca yang lainnya akan dikabulkan Allah suatu ketika nanti. Berdoa dan berusahalah ke arah kemenjadian tersebut.

      Aamiin, Ya Rabbal’alammin. Saya turut mendoakan yang sama juga kepada mas Muxlimo dan keluarga di sana. Semoga diredhai Allah hendaknya.

      Salam hormat dan mesra selalu. 😀

    • Alhamdulillah, mudahan beroleh manfaat dari pengalaman yang dilalui. Ingin berkongsi apa yang baik dan tentu sekali tidak mahu pengalaman itu berlalu begitu sahaja. Semoga Allah memperkenankan usaha kebajikan ini. Aamiin.

      Terima kasih untuk kesempatan kunjungan ini.

      • Harga permalam saya tidak tahu.
        Saya dan suami menggunakan khidmat muassasah melalui Tabung Haji Malaysia. Tapi tidak apa saya kongsikan secara rawak jumlah yang harus disediakan oleh jemaah haji sebagai persediaan. Memang belanja haji memerlukan modal yang besar,

        Bayaran keseluruhan selama 49 hari di Madinah dan Makkah melalui Muassasah adalah lebih kurang RM15,000. (Ringgit Malaysia Lima Belas Ribu). Bayaran ini termasuk tambang kapal terbang, hotel dan makan (makan tengah hari dan makan malam).

        Kalau campur belanja-belanja makan yang lain, belian sedikit oleh-oleh, tambang ziarah dan tambang pos lebih kurang RM5,000. Hehehe… sebenarnya belanja kami masih minima berbanding jemaah haji lain yang ada melebihi RM25,000 hingga RM100,000. Itu terpulang kepada budget yang dikawal sendiri.

        Banyaknya jumlah wang yang perlu disediakan kerana harga barangan pasaran dan makanan sangat mahal.

        Terima kasih.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Ardian…

      Alhamdulillah, terima kasih kembali berkunjung dan menikmati juadah pengalaman di sini. Semoga bermanfaat.

      Tidak mengapa, silakan mampir lagi jika tidak ada yang menyita langkahnya kemari. 😀

  4. allahumma shalli ‘ala sayyidina muhammad wa ‘ala alih.
    perjalanan yang indah! semoga saya berkesempatan nantinya.
    salam dari banjarmasin.

    • Iya, perjalanan yang sangat indah kerana seolah kita kembali semula ke tempat asalnya iman itu tumbuh di muka bumi.

      Aamiin… Ya Rabb. Saya doakan Hajrian juga akan dijemput ke sana.

      Terima kasih untuk kunjungan yang menyenangkan dari Hajrian. Wah… lama tiada mendengar khabar dari sahabat-sahabat di Banjarmasin. Semoga semuanya sihat dan sukses dalam memperjuangkan warisan seni dan budaya bangsa di Kalsel.

      Saya juga sudah lama tidak blogwalking ke sana kerana luang waktu yang terbatas oleh tugas.

      Salam mesra. 😀

  5. Pingback: CT106. MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI (1) « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  6. tahniah….. seronoknya dah dapat menunaikan ibadah yang ke 5. nak tau , dari peta raudah untuk perempuan yang belah mana ye? belah kanan tu ke atau tempat yang ditulis kawasan raudhah.? terima kasih.
    Lyns.

    • Alhamdulillah. Insya Allah, giliran Lyns pula selepas ini. 😀

      Kawasan raudhah adalah di dalam kawasan Raudhah, jemaah haji perempuan datang dari arah kanan dan akan masuk ke kawasan Raudhah secara bergiliran.

      Kawasan Raudhah untuk perempuan sangat sedikit ruangnya berbanding lelaki sedangkan kaum perempuan lebih ramai dari lelaki.

      Terima kasih Lyns hadir perdana ke sini.
      Salam mesra.

  7. terima kasih di atas balasan. Cuma saya inginkan kepastian, saya merujuk kepada peta ziarah raudah, perempuan akan masuk dari babul nisa’a , jumpa rumah fatimah dan terus ke kawasan petak “Kawasan raudah”, terus bergerak sampai di petak kecil dari segi empat yang besar tu ke> yang hampir dengan maqam sahabat2 nabi tu ye?terima kasih

  8. Pingback: CT232. ZIARAH MADINAH (10): JAUHNYA PERJALANAN KE RAUDHAH (2) | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  9. sesungguhnya akak org yg bertuah. baru sy bc coretan ni dalam proses pencarian ilmu sbg bekalan ke sana andai diberikan kesempatan. doakan saya dipermudahkan ye kak.

    • Alhamdulillah, Fally. Semua kita mempunyai “tuah” nya tersendiri. hanya Allah SWT yang tahu apa yang hendak diberikan-Nya kepada kita. Kita hanya berdoa agar segala urusan ibadah kita di tanah Suci dipermudahkan Allah SWT.

      Semoga perjalanan Fally nanti akan beroleh kebaikan sebagai tetamu Allah yang diistimewakan. Aamiin.
      Terima kasih sudah berkunjung perdana dan membaca panduan dari pengalaman yang sederhana ini.

      Salam kenal. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.