CT475. BERAKHIR PERJALANANMU PADA 20 RAMADAN 1439H – KAU DARI KEJAUHANKU

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

BERSEDIAKAH KITA ?

Tidak ada sesiapa dapat menduga selama mana baki umur kita di dunia ini. Dalam sekelip mata, orang yang kita lihat sihat sebulan dahulu kini tiada lagi di sisi. Orang yang sakit sebulan dahulu, kini sihat ceria meneliti perjalanan hari seterusnya.

Maut tidak pernah terlewat atau tercepat walau sesaat. Bila tiba masa yang sudah ditentukan Allah, ia pasti menjelma dan tidak ada sesiapa yang mampu menghindari. Setinggi gunung atau sedalam laut atau seluas angkasa rasa cinta kita pada orang yang dicintai, tidak akan mampu melawan takdir yang tersurat.

Cinta Allah melebihi cinta hamba. Kita milik mutlak-Nya. Bila-bila masa akan dipanggil untuk mengadap. Rela atau tidak, maut pasti mengejar ke mana dan di mana kita berada. Pasrah, itulah sahaja milik kita. 

Oleh itu, siapa pun kita – kaya atau miskin, tua atau muda, cantik atau hodoh – tidak ada yang terkecuali hendaklah bersedia menghadapi nombor giliran yang tidak pasti, bila kah kunjungan “malaikat maut” datang menjelma dan menjemput pulang. Allah Ya Allah, sudah bersediakan kita ?

*

22 TAHUN BERSAMAMU

Setelah 22 tahun bersama sebaik menjadi menantu pada 24 April 1996 , akhirnya perjalananmu IBU MERTUAKU…. Hajjah Ela binti Majeni, berusia 74 tahun bernoktah kelmarin pada 20 RAMADAN 1439H bersamaan 5 JUN 2018 (Selasa), lebih kurang jam 3.30 petang di Hospital Mukah, Mukah, Sarawak.

Alhamdulillah, jenazah Allahyarhamah Emak telah dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Kuala Lama, Mukah selepas solat Asar hari tersebut. Jenazah kan elok disegerakan menuju kampung abadinya. Segala urusan akhir hidup Emak semasa sakit sangat singkat dan dimudahkan Allah. Ia berlaku dengan cepat dan tidak menyusahkan anak menantu. Hanya 9 hari sahaja. 

Masuk Hospital Sibu pada 28 Mei hingga 4 Jun 2018. Setelah melalui banyak pemeriksaan, Emak disahkan menghidap kanser pankreas. Apabila merasa bosan  duduk di Hospital Sibu, Emak minta pulang kampung di Mukah. Akhirnya tarikh 5 Jun, jam 11 pagi, Emak berangkat untuk dipindahkan ke Hospital Mukah dan sampai pada jam 2.00 petang. Emak menghembus nafasnya di Hospital Mukah pada jam lebih kurang 3.30 petang.

Sungguh, kehilangan Emak amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Pemergian Emak kami iringi dengan rasa redha dan ikhlas kerana Yang Maha Mencipta telah membenarkan suratan takdir hidup Emak berakhir pada 20 Ramadhan tahun 2018. Tiada lagi Ramadan 2019.

Biar hati ini redha, tetap juga sukar menerima perpisahan yang tidak dijangka. Setiap jejak kaki, bayang tubuh, senyum simpul, rasa makanan masakan Emak sentiasa wujud di hati dan mataku. Siapa pun diri Emak dan olah tingkah yang dilakukan sebagai ibu mertua, aku sudah faham dan dapat menerimanya.

Kasih sayang Emak tidak pernah berbelah bahagi antara anak dan menantu-menantu. Emak seorang yang penyayang dan penyantun. Tidak pernah mengeluh penat atau mengeluh sakit walau hingga akhir hayatnya. Sungguh aku kagum dengan kesabaran Emak. Kerana sikap Emak inilah, kami tidak tahu Emak sakit.

Sekelumit keluh kesah tidak pernah disuarakan. Begitu kejab menahan derita dan tidak mahu anak menantu dan cucu merasa susah hati. Biar ditanggung sendiri. Tidak ada lagi yang dapat dikesali kerana itu keputusan Emak sendiri.

*

*

SEMUANYA TIADA LAGI

Yang pasti dan tidak dapat dimungkiri, kini tiada lagi pujian untuk setiap masakan yang ku hidang. Tiada lagi pertanyaan – masak apa pula hari ini, Mah ? Tiada lagi bicara bunga dan keceriaan wajah Emak melihat bunga yang ku tanam menguntum segar. Tiada lagi melihat sosok tubuh Emak membantu menyiram bunga-bunga ku walau dalam kepayahan.

Yang paling mengesan dan pasti membuat aku selalu menangis, ingat serta merindui Emak…..Tiada lagi kelibat tubuh Emak berdiri di muka pintu bersama lampaian tangan setiap pagi ketika aku berangkat untuk turun bekerja atau hanya sekadar keluar ke pasar. Tiada juga kesetiaan tubuh itu menunggu kepulanganku dari kerja setiap jam 5.15 petang di muka pintu. TIADA LAGI, SUNGGUH TIADA LAGI. Semua itu sudah berakhir semalam.

Namun aku bahagia, kerana aku dan suami (SPH) sempat memohon maaf zahir dan bathin sehari sebelum pemergian Emak. Di Hospital Sibu itu, aku melihat LAMBAIAN TERAKHIR Emak untukku. Dan SALAM TERAKHIR Emak buatku. Juga CIUMAN TERAKHIRku di pipi Emak. TIADA LAGI, SUNGGUH TIADA LAGI selepas itu dan selama-lamanya.

EMAK…. aku rindu padamu. Sungguh-sungguh rindu.

Aku dan kami semua redha dan ikhlas dengan pemergianmu, Emak. Emak akan selalu ada dalam hati dan kenangan kami. Kami selalu mencintai Emak dan berharap kita akan berkumpul nanti di syurga Firdaus bersama Emak dan Bapak (Bapak mertua meninggal 23 tahun yang lalu).

Semoga Allah menempatkan Emak bersama orang-orang yang soleh dan solehah serta dimuliakan di sisi-NYA.  Diampunkan semua dosa. Mudahan segala amal ibadah Emak di dunia menjadi bekal aman di alam barzah dan akhirat. Aamiin Allahumma Aamiin.

Mengikut jadual giliran pulang beraya, tahun 2018 adalah giliran kami sekeluarga beraya dengan Emak di Mukah. Kini, kunjungan hari raya hanya menziarahi Emak dan Bapak di pusara sepi mereka. Terakhir kami beraya dengan Emak adalah pada Hari Raya Aidil Adha 2017 di rumah kami.

*

*

*

*

YA ALLAH REDHAILAH IBU MERTUAKU. AL-FATIHAH BUAT EMAK

*

*

*

*

MUTIARA KENANGAN. Puisi ini buatmu Emak, KAU… DARI KEJAUHANKU

*

*

*

 

***************

SalamFatima3SalamFatima6 Jun 2018 (Rabu)/ 21 Ramadan 1439H/ 1230 petang, Bintangor, Sarikei, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

 

 

 

 

 

*

4 thoughts on “CT475. BERAKHIR PERJALANANMU PADA 20 RAMADAN 1439H – KAU DARI KEJAUHANKU

  1. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Bu Hajjah Fatimah.
    Innalillahi wa innailaihi rajiun. Allahumma firlahu waafihi wa’fuanhu. Semoga almarhumah husnul khotimah. Keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan dan kekuatan. Aamiin ya robbal alamin.
    Wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Aamiin Allahumma Aamiin. Insya Allah, setiap dugaan kehilangan orang yang dicintai akan dapat dilalui dengan sabar dan solat.

      Terima kasih mbak atas kunjungan dan doa yang dilampirkan. Didoakan mbak sekeluarga juga sihat dalam rahmat Allah di bulan Ramadan al-Mubarak.

      Salam kemuliaan Ramadan.

  2. Assalamualaikum. Salam takziah buat kak Fatimah sekeluarga. Beruntung Bonda pergi pada bulan Ramadan. Moga bersemadi bersama para solihin. Allahummaghfirlaha warhamha.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Ai Harun….

      Alhamdulillah, Aamiin Allahumma Aamiin wa syukrulillah. Semoga roh Emak bersemadi dalam ketenangan dan kemuliaan Allah SWT.

      Terima kasih sudah berkunjung dan salam takziah dari Ai Harun.
      Salam Ramadan al Mubarak.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.