CT477. AKHIRNYA TERPAKSA BUAT KEK RAYA : KEK BUAH-BUAHAN, KEK LAPIS BATIK THAILAND DAN BINGKA CHEESE

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

TIADA BISKUT RAYA

Sejak Emak (ibu Mertua) kembali ke rahmatullah pada 20 Ramadan 1439h yang lalu, semangat kami sekeluarga untuk beraya tidak terasa. Jadi hambar dan sayu. Sendu dan layu. Keinginan untuk membuat biskut langsung hilang. Kek ? Terpaksa beli jugak.  Sebab anak-anak sudah bertanya, nak beli kek tak ? 

Tak apalah, bukan saya yang buat. Hanya tunjuk dan bawa balik. Yang bestnya, kat Sarikei ini sudah ada kedai Secret Receipe yang baru dibuka di penghujung tahun 2017. Maka, tidak perlu saya ke Sibu lagi.

Dalam tak bersemangat tu, otak saya sudah terbayang kek-kek kegemaran dan harga yang diturunkan setelah sifar (0) GST dilaksana pada 1 Jun yang lalu oleh kerajaan baru Pakatan Harapan. Bolehlah beli lebih sikit untuk ‘memeriahkan’ hati anak-anak.

Namun begitu, saya sempat membuat biskut Oat Coklat dan Biskut Tart Nanas di awal Ramadan. Alhamdulillah, dapat juga Emak merasainya. Tetapi tak sampai minggu ke 2, biskut tersebut habis dimakan kami sekeluarga. Saya ingat hendak membuatnya sekali lagi tapi tak jadi. Hati saya jadi beku dan kelabu sebab Emak dah tiada.

*

*

*

Nampaknya tiada biskut raya tahun ini. 😦

*

ESOK HARI RAYA

Jam 10.00 pagi saya dan Iffah, puteri sulong bergegas memandu kereta Perodua BEZZA ke kedai Secret Receipe untuk membeli kek. Esok dah nak hari raya.  Sebaik masuk ke kedai dan meneliti kek serta tanda harga, mata saya terbeliak (hehehe… tak besar mana pun) dan hati saya bengkak. Mahalnya.

Ini kek apa mahal sangat ? Kek tu macam biasa yang dibeli, tapi kenapa naik harga melampau macam tu. Ada emas perak kah di dalamnya ? getus hati saya. Sebelum diumumkan 0 GST, harganya masih ok dan berpatutan antara Rm65, RM85 dan RM95. Ini melampau sehingga RM112 atau lebih.

Terus tertutup pintu hati hendak membeli kek. Kecewa dan rasa marah berbaur sebati kerana pihak penjual sengaja mengaut untung berlipat ganda di musim perayaan. Saya cuba mencari-cari dengan mengunjungi kedai kek yang lain. Semua tidak berkenan di hati.

Akhirnya tanpa berfikir panjang saya maklumkan kepada Iffah bahawa saya akan membuat kek sendiri. “Biar betul Mama ni, esok dah nak raya, sempat lagikah Mama nak buat kek?, soal Iffah dengan ketawa. “Insya Allah sempat, lagi pun kedai YOYO dan HONEY BEE (kedai jual bahan kek dan biskut) ada. Beli je.” balas saya dengan senyum riang. Jangan pernah merasa putus asa. 😀

Semasa memandu pulang, saya sudah berkira-kira untuk membuat kek dari resepi lama yang Emak selalu buat setiap kali raya zaman saya remaja dahulu iaitu Kek Buah dan Kek Batik Thailand. Kedua-dua kek ini adalah kegemaran saya. Satu lagi Bingka Cheese.

Kek Buah adalah kek lama dan tahan lama. Sebelum saya lahir, kek ini sudah berada di atas meja rumah setiap hari raya. Kek Batik Thailand juga kek lama tapi kira moden sedikit. Ia juga dikenali sebagai kek lapis (Sarawak) yang popular sekitar tahun awal 90-an.

Sebenarnya saya tidak suka membuat kek. Saya lebih suka membuat biskut kerana saya suka makan biskut. Yang suka membuat kek dalam keluarga saya ialah adik bongsu iaitu Hanim. Saya tidak suka membuat kek kerana penyediaan bahannya sangat leceh dan banyak berbanding biskut serta menunggu masa yang lama untuk masak. 😀

*

JAGA KESIHATAN

Saya juga tidak berapa suka makan kek-kek waktu raya. Rasanya sangat-sangat manis dan banyak telur.  Terutama yang menggunakan kuning telur sebagai bahannya. Nanti tinggi pulak kolestrol. Kalau hendak makan, saya hanya ambil beberapa potongan sahaja selepas itu rasa muak. Takut juga kena penyakit diabetes (kencing manis). Ohhhh… tidak, tidak.

Dalam memilih makanan ini, saya masih sayangkan jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru saya yang menjadi anugerah paling berharga dari Allah SWT untuk dipeliharakan agar jangan sampai terlibat dengan penyakit Darah Tinggi, Kolestrol, Kencing Manis, Sakit Jantung, Kanser, Gout, Angin Ahmar, Masalah Buah Pinggang dan Pakreas.

Semua penyakit ini berpunca dari salur darah kita tersumbat dan pemakanan yang tidak sihat. Oleh itu, mari kita sayangkan organ dalaman kita agar dapat hidup dengan tenang dan ceria tanpa ubat.

Mesti usaha kawal makanan dan kesihatan. Semua anugerah Allah yang asli ini tidak boleh dijual beli dan tidak ternilai harganya. TETAPI, ITULAH YANG PALING SUSAH UNTUK DIJAGA. Betulkan. Terutama di bulan Ramadan dan Hari Raya (lebih-lebih lagi banyaknya rumah terbuka dalam bulan Syawal ini). Kita suka makan apa sahaja tanpa memikirkan kesihatan dalaman. Ikut SEDAP MULUT. Hmmmm….. sebab itu ramai orang keluar masuk hospital selepas raya.

Saya paling tak suka mengunjungi klinik atau poliklinik, lebih-lebih lagi hospital. Jika tidak disebabkan pemeriksaan kehamilan di klinik, melahirkan anak di hospital atau melawat orang sakit, atau hantar anak sakit atau buat pemeriksaan pergi haji atau sakit luaran lain, saya akan cuba mengelak untuk pergi ke rumah sakit. Kadang kala bau ubat di hospital boleh membuat saya rasa hendak pitam.

*

KEK HARI RAYA

Opppssss, sahaja bercerita santai tentang kesihatan agar kita dapat mengawasi pemakanan kita mulai HARI INI.

Berbalik kepada rancangan membuat kek raya sendiri, alhamdulillah bermula jam 1.00 petang saya membuat kek mengikut keutamaan masa dan kek terakhir  siap jam 12.30 pagi (1 Syawal). Saya dapat tidur dengan lena untuk solat hari raya di Masjid Al-Muttaqin, Sarikei.

Inilah kek-kek yang saya buat tahun 2018. Sebab dah berbelas tahun tidak membuat kek, rasa lucu melihat kek-kek tersebut terutama Kek Buah-Buahan, mengembang dengan cantik sampai “terganga” bahagian atasnya sebab terlebih masa. Namun anak-anak dan SPH memuji usaha kuat saya menghasilkan 3 kek raya. Alhamdulillah. Penat lelah rasa berbayar atas pujian tersebut.

*

Kek Buah-Buahan yang berjaya saya buat dengan buahan-buahan melekat diseluruh kek. Jika tidak tahu cara, buahan itu akan tenggelam di bawah kek. Satu kejayaan yang membuat senyum saya melebar sepanjang bulan Syawal…hehehe.

*

Emak saya, Hajjah Ainon memberi komentar tentang “kemalasan” saya melapis kek Batik Thailand dengan lebih nipis lagi. Sepatutnya kek ini mempunyai 8 lapisan bukan 4 seperti yang saya buat. Dan memuji adik bongsu saya, Hanim atas “kerajinan” menipiskan lapisan kek lapis. “hahahaha…..” saya ketawa mendengar komen Emak. Ini bermaksud Emak memang sangat faham bahawa saya tidak suka membuat kek.

*

Ini kek-kek lapis yang Hanim berikan kepada saya pada setiap tahun perayaan Hari Raya Aidil Fitri. Terima kasih dik. Awak memang pakar membuat kek lapis. Terbaik. BEZA SUNGGUH dengan kek saya….hehehe.

*

*

*

Paling SEDAP. Bingka Cheese ini paling awal habis dimakan anak-anak. Tak sempat diberi kepada Emak sebab tersangatlah sedapnya. Izzah, puteri ke-2, awal-awal “booking” meminta saya membuat kek ini pada hari lahirnya nanti. Yummy.

*

SATU SAHAJA LAUK RAYA

Jika hanya ada kek, rasa beraya tu belum lengkap tanpa juadah untuk makan di pagi raya. Maka, saya memasak Nasi Himpit dan Ayam Masak Merah sahaja. Cukuplah satu lauk untuk dinikmati hari raya tahun ini. Kebiasaan raya tahun-tahun lepas juadah hari raya adalah Ayam Masak Rendang, Daging Masak Hitam, Kuah Sate Ayam, Nasi Himpit atau Sayur Lontong.

*

*

*

DI PAGI RAYA

Sebelum bersiap-siap ke Masjid Al-Muttaqin untuk melaksanakan solat Sunat Aidil Fitri, kami sekeluarga menjamu selera dahulu di meja makan dengan kek-kek dan lauk raya yang dibuat semalam.

*

*

Selepas pulang dari solat sunat Hari Raya dan bersalam-salaman, saya pun mengalihkan hidangan tersebut ke meja tamu untuk sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. 😀

*

Beginilah cara orang zaman dulu menghidang kek raya di meja tamu. Sebiji kek diletak atas meja dengan potongan kecil atas kek atau disebelah tepi kek. Berbeza zaman sekarang, hanya potongan kecil kek dihidang. Menurut saya, lebih cantik lagi dihidang dengan seluruh kek atas meja. Betul tak ? Foto di bawah diambil pada tahun 1967, ini contoh yang membuktikannya. 🙂

*

*

*

*

Selepas bergambar, kami sekeluarga bergegas untuk berkemas pulang raya ke kampung SPH di Mukah bagi menziarahi kubur Emak dan Bapak. Tahun 2018 amat mengesankan kami sekeluarga. Semoga hari-hari mendatang membawa kesejahteraan dan kejayaan buat kita semua dan bertemu kembali di Syawal 2019.

*

***************

SalamFatima3SalamFatima2 Julai 2018 (Isnin)/ 18 Syawal 1439H/ 9.30 malam/ Sarikei, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

 

 

 

 

 

*

9 thoughts on “CT477. AKHIRNYA TERPAKSA BUAT KEK RAYA : KEK BUAH-BUAHAN, KEK LAPIS BATIK THAILAND DAN BINGKA CHEESE

  1. Assalamualaikum Bu Hajjah Fatimah, semoga selalu diberikan kesehatan dan keberkahan oleh Allah swt.

    Subhanallah, sungguh hebat Bu Hajjah membuat banyak cake menjelang idul fitri. Ada beberapa kemiripan nama cake/makanan dengan di Indonesia :
    Tart Nanas : Nastar
    Kek buah – buahan : cake kismis
    Kek lapis batik Thailand : lapis legit
    Bangka cheese mirip seperti cheesecake kalau di Kami
    Nasi himpit = ketupat

    Setiap idul fitri harga – harga memang lebih mahal dari hari biasa. Foto idul fitri 1967 dan 2018 sungguh bagus. Mengingatkan kita bahwa idul fitri hari yang suci.

    Budaya di Indonesia, idul fitri membuat ketupat (nasi himpit) sayur dan lauk pauk. Cake dan kue pun turut memeriahkan.

    Salam hangat dari Jakarta Pusat 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Aamiin Allahumma Aamiin. Alhamdulillah, didoakan mbak sekeluarga juga dalam kondisi yang sihat dan dilindungi Allah SWT.

      Hehehe…. biasanya kalau sudah terdesak, apa sahaja boleh dilakukan dengan penuh semangat dan optimis. Lebih-lebih lagi hari raya. Semuanya dapat dilalui dengan penuh ceria demi anak-anak dan keluarga biar susah dan payah itu menjadi laluannya. 😀

      Kita serumpun ya, sudah pasti banyak persamaannya. Kek Buah-Buahan (Fruit Cake) kerana banyaknya campuran buahan dan kismis. Ada yang menyebutnya Kek Kismis kerana hanya pake kismis sahaja tanpa buahan lain.

      Lapis legit itu maksudnya lapis bakar ya, mbak. Di Sarawak, kek zaman dulu kebanyakannya dikukus bukan dibakar. Sekarang ini sahaja banyak kek lapis sarawak yang menggunakan kaedah bakar dalam oven.

      Iya, Bingka Cheese itu memangnya Kek Cheese yang dibakar menggunakan kaedah “double boiling”. Tentang Nasi Himpit pula, memang sama juga dengan ketupat. tetapi yang saya masak adalah nasi himpit segera yang dibungkus dalam plastik khas tahan panas dan direbus selama 1 jam.

      Terima kasih mbak sudah memberi informasi yang menarik tentang menu makanan hari raya di Indonesia. Pasti meriah apabila semua juadah ini dapat dihidangkan untuk hidangan keluarga dna tetamu.

      Salam manis dan mesra selalu. 🙂

  2. Wa’alaikummussalam bunda Fatimah.

    Alhamdulillah, masih sempat membuat kek dan penganan lain untuk hari raya 2018, walau dalam suasana berpulangnya ibunda mertua.

    Hmmm, melihat fotonya saja sudah tampak enak dan lezat.

    Semoga syawal tahun ini lebih baik semuanya ya, bund.

    Salam.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Ysalma…

      Alhamdulillah, demikianlah kalau Allah sudah mengizinkan kejadiannya akan berlaku, pasti berlaku juga walau sukar dibayangkan keletihan yang diambil dalam tempoh yang singkat tersebut.

      Mudahan banyak kebaikan yang kita perolehi hasil amal ibadah kita di bulan Ramadan. Aamiin.
      terima kasih sudah berkunjung dan salam manis. 🙂

  3. Assalamualaikum ummi siti fatimah, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Selamat menyambut hari lebaran buat ummi siti fatimah sekeluarga. Membaca tulisan ini dan menatap foto-foto yang muatkan sangat mengujakan, lantas membuatkan saya terfikir bagaimana orang-orang dulu menyediakan juadah. Dengan peralatan yang terhad (tradisonal), dalam kesukaran tetapi mereka mampu menyediakannya.Gigihkan mereka, para ibu bapa dan atuk nenek kita dahulu.. Bahkan rasanya yang enak dan sedap..
    #teringin benar mencicip kek batik sarawak yang ‘ori’ ..hehe

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Abu Ihkwan….

      Alhamdulilah, saya dan keluarga sihat wal afiat, didoakan juga Abu Ikhwan sekeluarga sentiasa dirahmati Allah SWT.

      Benar, pengalaman saya semasa kecil melihat Emak membuat kuih atau kek tanpa bantuan alatan moden seperti sekarang amat mengkagumkan. Dengan hanya tangan dua kerat itulah mereka mengaul bahan kuih dan kek dengan penuh sabar. Gigih betul mereka. Sekarang ini, hanya tekan suis, semua berjalan sendiri. Kita hanya masukkan bahan sahaja dan terus ke acuan.

      Kalau Kek Batik Sarawak yang asli, ia tidak dibakar atau dikukus. Hanya dimasukkan ke dalam peti sejuk sahaja. Insya Allah, nanti saya paparkan dalam posting yang lain agar Ummu Ikhwan boleh mencubanya. Kek Batik Sarawak ori ini saya selalu buat semasa masih belajar di Nilam Puri, Kelantan dahulu apabila rindu nak makan kek. Sedap sangat.

      Terima kasih Abu Ikhwan atas kunjungan dan salam Syawal yang mulia.

      # Select profile untuk NAME/URL dalam kotak post komen itu tidak dapat dibuka untuk mengirim komentar. Saya tidak ada emel google.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb…

      Benar, antara banyak kek-kek moden lain, tetap kek buah-buahan yang paling sedap dan lazat.
      Terima kasih atas ucapan takziah dan kunjungan.

      Salam sejahtera dan didoakan sihat.

  4. Assalamualaikum ustazah. Alhamdulillah saya selesai membaca hasil penulisan ustazah berkaitan dengan pengalaman membuat kek untuk hari raya 2018. Pertama sekali saya ingin menyampaikan salam takziah kepada ustazah dan keluarga atas kehilangan ibu mertua yang amat dikasihi. Al-fatihah (dibaca). Berdasarkan hasil penulisan ustazah, saya amat kagum dengan usaha ustazah untuk menghasilkan 3 biji kek yang besar dalam masa yang singkat. Saya setuju dengan ustazah bahawa terdapat beberapa jenis kek pada masa kini yang harganya boleh kata tidak masuk akal. Lebih baik menghasilkan kek sendiri yang walaupun memerlukan tenaga yang lebih, namun ianya memberikan kepuasan kepada sang pembuat.

    Saya juga bersetuju bahawa sebagai seorang manusia yang tubuh badannya diamanahkan oleh Allah untuk dijaga, kita perlu sedaya upaya menjaga kesihatan dengan baik. Hal ini kerana tubuh badan kita perlu bekerja untuk jangka masa yang lama agar dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Lebih-lebih lagi dengan situasi Covid-19 yang melanda negara kini (2021). Sebagai seorang manusia, kita seharusnya menjaga kesihatan dengan sebaik mungkin daripada terkena sekecil-kecil penyakit kepada sebesar-besar penyakit. Nauzubillahiminzalik. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik. Kek dan juadah raya yang ustazah hasilkan juga Nampak begitu sedap dan memberikan saya motivasi untuk turut sama belajar memasak. Terima kasih ustazah atas penulisan yang penuh manfaat, inspirasi dan motivasi.

    NUR DINI BINTI ZAKARIA
    PA (SK) 2 PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.