CT306. ZIARAH MAKKAH (2): PADANG ARAFAH DAN JABAL RAHMAH

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

ZMakkah2Fatima1ArafahRahmah

*

MENUJU PADANG PASIR

Bas no. 9 yang dinaiki oleh 40 bakal jemaah haji KT 33 Sarawak meninggalkan destinasi pertama seperti yang telah dicatat dalam CT305. Ziarah Makkah (1): Perjalanan ke Jabar Thur, sebuah gunung tinggi, tempat persembunyian Rasulullah SAW dan sahabat Baginda, Abu Bakar al-Siddiq r.a sebelum berhijrah ke Madinah.

Jabal Thur hanya dapat dinikmati melalui jarak jauh dan melihat puncak yang megah dengan menyimpan sejarah perjalanan hiba seorang Rasul mulia untuk diingat hingga ke akhir zaman selagi tubuh batunya tidak ditakik untuk dikorbankan atas nama pembangunan moden.

Perjalanan yang mengambil masa hampir 15 minit disajikan dengan panorama yang sangat berbeza dari Kota Makkah dan pinggir kotanya yang subur dengan pohon-pohon pokok dan tumbuhan renek  berbunga.

Semakin bas mendekati jarak ke Padang Arafah, saya dapat melihat pemandangan yang kering kontang di kiri kanan jalan, penuh dengan bukit-bukit batu kental yang kelihatan sudah dipecahkan pada beberapa tempat. Keadaan rumput-rumput dan pokok-pokoknya tidak subur, dedaun luruh dan hijau kecoklatan.

Sayu hati melihat hidupan hijau seakan kurang proses fotosintesis yang memerlukan lebih banyak karbon dioksida untuk hidup. Keadaan fizikal tumbuhan tersebut seakan mengisyarat bahawa hidupnya ibarat “hidup segan, mati tak mahu.”

Ini bermakna terhampar di depan mata sebuah perjalanan menuju padang pasir yang dinamakan Padang Arafah. Arafah adalah padang pasir yang terletak hampir 21 km di sebelah timur luar Kota Makkah.

Tidak berlaku trafik di sini, perjalanan bas sangat lancar, sekali sekala bas kami dipintas oleh bas-bas pelancung lain yang lebih laju. Semuanya menuju arah yang sama.

Keadaan jalan yang lapang ini sangat jauh bezanya dengan keadaan sehari sebelum Hari Wukuf. Jalan raya penuh sesak dan semua kenderaan bergerak perlahan seperti jalannya kura-kura sehingga hendak sampai ke Padang Arafah boleh mengambil masa berjam-jam.

*

ZMakkah2Fatima2KeringKontang

*

ZMakkah2Fatima3PanoArafah

*

PADANG ARAFAH = HARI WUKUF

Apabila kita menyebut Padang Arafah, sinonimnya kita merujuk kepada HARI WUKUF di mana WUKUF merupakan Rukun HAJI utama yang tiada haji tanpa wukuf di padang Arafah. WUKUF bererti BERHENTI walau sesaat di bumi Arafah. Maka, sahlah haji yang ditunaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Dari Abdul Rahman bin Ya’mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan : “Haji itu ialah “Arafah”. Barang siapa datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah” (Riwayat – Ahmad dan Ashabus Sunan)

*

Luas Padang Arafah lebih kurang 10.4 km persegi. Para jemaah haji mula berkumpul bagi melaksanakan wuquf pada 9 Zulhijjah dengan menunaikankan solat Zohor dan Asar secara jamak takdim. Kemudian digalakkan menghabis waktu dengan ibadah doa, membaca al-Quran, berzikir, tazkirah dan sebagainya.

Dinamakan Arafah kerana Nabi Adam AS dan isteri baginda A.S Siti Hawa bertemu dan saling kenal mengenali (ta’aruf) buat pertama kalinya di muka bumi di atas Jabal Rahmah (Bukit Kasih Sayang)

 Untuk mengikuti peristiwa yang berlaku di Padang Arafah ketika Hari Wukuf, saya telah menulis posting CT287. HARI WUKUF 1435H = HAJI AKBAR ? sebagai panduan dan pengetahuan.

Insya Allah, pengalaman saya dan SPH di Padang Arafah pada Hari Wukuf musim Haji 2011 yang lalu, akan saya tulis di kemudian hari sesuai kronologi yang akan saya catatkan.

*

ZMakkah2Fatima4ArafatStartsHere

*

Setelah puas dihidangkan dengan pemandangan padang pasir yang kering dan bukit berbatuan, bas yang ditumpangi mulai memasuki kawasan Padang Arafah. Tertera jelas papan tanda besar yang tinggi ditulis ARAFAT STARTS HERE. Dengan itu kita mengetahui bahawa batasan Padang Arafah bermula dari papan tanda tersebut.

Sekiranya kaki kita memijak masuk sedikit ke dalam kawasan papan tanda itu walau sesaat atau kenderaan melalui di dalamnya beberapa detik sebelum keluar kembali dari Padang Arafah, maka haji sudah diambil kira.

*

ZMakkah2Fatima5TapakKhemahArafah

Kawasan khemah masih kosong. Terdapat WC yang bakal digunakan oleh jutaan jemaah tetapi masih belum ada air. Air hanya akan disalurkan apabila jemaah haji tiba di Padang Arafah.

*

ZMakkah2Fatima6RangkaKhemahArafah

Beberapa kawasan, rangka khemah sudah dipasang untuk persediaan Hari Wukuf. Biasanya khemah-khemah ini khusus untuk jemaah haji muassasah dan pakej yang sudah ditetapkan negara mengikut nama, nombor dan KT.

*

ZMakkah2Fatima7MasukArafah

Sistem keluar masuk kenderaan tidak teratur dan terurus. Bunyi hon sentiasa ada di mana-mana. Suka hati sahaja membelah jalan menurut kebijakan masing-masing.

*

ZMakkah2Fatima8SibukPArafah

Bas memasuki kawasan Padang Arafah berhampiran Jabal Rahmah yang sangat sibuk dengan kenderaan dan aktiviti-aktiviti yang berlangsung. Para penziarah memenuhi seluruh ruang di sekitar kawasan ini. Sangat ramai. Terdapat bangunan yang berupa kedai dan hospital dibina di kawasan ini.

*

BUKIT KASIH SAYANG

ZMakkah2Fatima9JabalRahmah

*

Jabal Rahmah adalah bukit berbatu yang besar dan keras. Ia terletak dalam kawasan Arafah, kira-kira 1.5km dari Masjid Namirah. Jabal Rahmah menjadi tempat berdoa kepada mereka yang berhajat untuk melakukannya kerana menganggap tempat itu sebagai mustajab untuk berdoa.

Untuk menuju ke puncak, kita harus menaiki ratusan anak tangga batu yang bengkang bengkok (berkeluk). Tingginya lebih kurang 65 meter dari permukaan tanah.

Puncak Jabal Rahmah sangat mendatar dengan ukuran hampir tujuh kali tujuh meter persegi. Di bahagian tengah terdapat tugu persegi yang tingginya sekitar tujuh meter, berbentuk vertikal dengan bahagian bawahnya dicat hitam. Tujuannya untuk mengelak berlaku “vandalisme” yang dianggap khurafat iaitu menulis pelbagai nama pada tugu tersebut.

Melihat ramainya penziarah menuju Jabal Rahmah, saya terus mengurung niat untuk meminta SPH menemani saya ke sana. Keadaan bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan sesak sama ada di tangga atau dataran, langsung tidak menarik minat saya untuk melihat tempat bersejarah pertemuan Nabi Adam a.s dan Siti Hawa tersebut.

*

ZMakkah2Fatima10JabalRahmah2

*

Dari jauh saya melihat, terdapat penziarah mendaki tangga yang telah dibuat khas untuk ke puncak. Namun ramai juga yang mengguna cara sendiri dengan mendaki dari pelbagai arah menuju ke puncak.

Jabal Rahmah terlihat tidak tinggi tetapi terdapat beberapa ahli rombongan yang sampai di atasnya menjelaskan penat dan letih juga untuk sampai ke puncaknya. Bas kami diriuhkan lagi dengan kisah seorang ahli rombongan dari bas lain, seorang wanita separuh umur yang terjatuh dan luka ketika berebut-rebut menaiki anak tangga untuk ke puncak Jabal Rahmah.

*

UNTA BERHIAS DAN FOTO SEGERA

Sebaik bas mengambil ruang untuk “parking”, semua ahli rombongan  keluar dengan tidak sabar-sabar. Saya dan SPH biasanya menjadi penumpang terakhir keluar dari bas kerana lebih senang berjalan santai dan tidak mempunyai kepentingan untuk menyegerakan diri keluar awal walau pun duduk di baris paling hadapan.

Mungkin kerana lambat keluar dari bas, saya dan SPH tidak diterjah oleh pemilik unta hiasan seperti yang berlaku kepada teman-teman yang awal keluar dari bas. Perkhidmatan menaiki unta ada di mana-mana. Saya tidak suka mencium bau unta yang menyengat hidung.

Ada juga pemilik unta yang menawar saya dan SPH untuk menaiki unta dan berfoto segera dengan kamera polaraid yang ada ditangannya. Harga yang ditawarkan adalah RS 15. Kami menolak dan segera berlalu kerana tidak mahu berdoalk dalih. Lagi pun kami memang tidak berkeinginan untuk melakukannya.

Walaupun begitu, kami sempat berfoto dengan latar belakang unta berhias yang sedang berehat di tengah keramaian manusia sebagai kenangan.

*

ZMakkah2Fatima11UntaBerhias

RS 15 untuk menaiki unta dan berfoto “instant” kepada para penziarah yang berminat. 

*

AKTIVITI JUALAN

Saya tidak menyangka aktiviti jualan begitu meriah di Padang Arafah berhampiran Jabal Rahmah. Tidak terbayang kesibukan yang sedang berlaku. Bas-bas pelawat/pelancung sangat banyak, mungkin dalam ratusan bas yang tersusun dengan jumlah penziarah yang ramai dari pelbagai negara pelusuk dunia.

Bermacam-macam barang dagangan yang dipamer untuk jualan seperti perhiasan wanita, aneka tasbih dan kopiah buatan China, tasbih dari kayu atau biji koka, kain baju, beg tangan, inai daun yang sudah menjadi tepung. Rata-ratanya sangat murah berbanding Madinah dan ada yang lebih kurang harganya dengan jualan kaki lima di Kota Makkah.

*

ZMakkah2Fatima12AktivitiJualanArafah

*

Saya dan SPH mengambil kesempatan membeli inai daun (tepung) sebanyak 1 kilo, beg tangan untuk dimuatkan sejadah dan telekung dan gelang tangan dari kayu. Manakala SPH membeli tasbih dari kayu koka.

Saya ingin membeli tasbih “gergasi” yang mempunyai seni ukiran yang cantik dan berwarna warni sebagai hiasan. Tetapi menyusutkan keinginan apabila memikirkan harganya yang mahal. Cukuplah sekadar memerhati dengan hati yang penuh hiba. 😦

*

AIS KRIM ARAB

Yang lebih mengasyikkan dalam keadaan cuaca panas terik, terdapat van Ais Krim yang tentunya mendera hati saya untuk menikmatinya sedangkan saya sedang diserang batuk yang “melampau”. Sungguh terkilan ingin merasai ais krim di Tanah Suci. 

Bentuk van yang unik, berwarna warni menarik perhatian saya. Hati saya bagai diseru untuk menghampirinya. Ahhh…. hati saya memberontak ingin makan ais krim Arab. “Bila lagi hendak merasai ais krim Arab ? Inilah masanya”, goda hati saya.

Akhirnya saya tidak mampu menahan diri dan berusaha memujuk SPH untuk memenuhi keinginan yang “melampau” itu. Lagi pun cuaca sangat panas dan ingin rasa sejuk memasuki tekak.

“Bang, ada van ais krim. Mah ingin hendak rasa ais krim Arab itu, tapi Mah batuk. Kita beli satu dan kongsi makan, nanti Mah makan sedikit sahaja, abang makan semuanya. Boleh tak bang. Bagaimana rasanya ais krim Arab ini ?” saya memujuk SPH.  Tanpa banyak bicara, SPH bertanya: “hendak perisa apa ?” Campur, vanila dengan coklat, balas saya dengan senyum gembira.

SPH memahami kegemaran saya lalu membeli satu kon ais krim perisa vanila campur coklat untuk dimakan bersama sebagai melepas keinginan dalam batuk yang semakin menjadi-jadi.

Alhamdulillah, walau dapat merasa sedikit tetapi mencukupi untuk saya membuat perbandingan. Ais krim ini kurang lemak dan manisnya lebih kepada rasa gula. Keputusannya ais krim di Malaysia LEBIIIIIH LAZAT. 😀

*

ZMakkah2Fatima13AiskrimArafah

Ramai para penziarah mengambil kesempatan menikmati ais krim yang dijual di dalam van yang berwarna warni ini. Di atas van itu tertulis ayat “Masya Allah, Tabarakallah”

*

MENUJU DESTINASI KETIGA

Kami berada di Padang Arafah dan Jabal Rahmah lebih kurang 1 jam 30 minit sebelum meneruskan perjalanan ke satu lagi masya’ir haji iaitu MUZDALIFAH.  Ketika bas keluar dari kesibukan Padang Arafah berhampiran Jabal Rahmah menuju jalan besar, saya sempat merakam petunjuk arah kiblat yang ditancap di atas tanah kawasan perkehmahan.

 

ZMakkah2Fatima14ArahKiblatArafah

Tahukan anda apakah nama pokok-pokok yang ditanam oleh Kerajaan Arab Saudi di Padang Arafah ini. Pokok ini dipanggil Pokok Mambu. Sejenis pokok yang tahan panas dan sesuai untuk iklim kering padang pasir.

*

ZMakkah2Fatima15ArafahEndsHere

Papan tanda menandakan batasan akhir Padang Arafah

*

MASJID NAMIRAH

ZMakkah2Fatima16MasjidNamirahArafah

*

Tidak jauh setelah keluar ke lebih raya, bas melintasi bangunan masjid yang besar. Inilah satu-satunya masjid yang ada di Padang Arafah. Saya tidak melepas pandang ke arah Masjid yang awalnya sudah saya lihat semasa memasuki kawasan Padang Arafah. Saya kagum melihat bentuknya kerana mengingatkan saya kepada Masjid Nabawi, Madinah.

Masjid Namirah mempunyai nilai sejarah tersendiri di mana Nabi Muhammad SAW berkhutbah semasa melakukan haji Wada’ dan berwukuf di Arafah.
*
Tempat Baginda SAW berkhutbah tersebut dibangunkan sebuah masjid pada pertengahan abad ke dua oleh pemerintah Bani Abbasiyah dan diberi nama Masjid Namirah, mengambil nama Bukit Namirah yang terletak di sebelah barat Masjid.
 *
Setelah dilakukan perluasan, masjid ini mempunyai dua bahagian. Bahagian Masjid Namirah yang MENGADAP KE TIMUR terletak di Wadi ‘Uranah dan ia  TIDAK TERMASUK kawasan Arafah. Bahagian ini adalah muka hadapan masjid.
 *
Rasulallah SAW melarang berwukuf di tempat itu, sesuai dengan sabda Rasulallah saw : ”Aku berwukuf di sini, dan Arafat seluruhnya tempat wukuf, kecuali Wadi ’Uranah”.
 *
Sedangkan bahagian Masjid yang MENGADAP KE BARAT dan merupakan bahagian belakang Masjid adalah TERMASUK kawasan Arafah. Di bahagian muka dan belakang Masjid Namirah terbentang papan penunjuk arah yang menuju ke Arafah dan arah yang bukan Arafah.
*
Masjid Namirah juga dikenali sebagai Masjid Ibrahim atau Masjid Arafah. Keluasan masjid ini berukuran hampir 8000 meter persegi. Mempunyai 64 pintu masuk dan 6 menara dengan muatan 350 ribu jemaah dalam satu-satu masa. 
*
Jika anda pernah pergi ke Masjid Nabawi, anda dapat melihat bentuk seni bina Masjid Namirah hampir menyerupai Masjid Nabawi.
*
Masjid ini hanya dibuka pada musim haji sahaja. Kenapa ? Kerana tidak ada penduduk yang tinggal di padang pasir Arafah.
*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima25 Disember 2014 (Khamis)/ 3 Rabi’ul Awwal 1436H/ 2.47 petang, Sarikei, Sarawak

AKU…. merasai indahnya kejayaan menghapus segala perit payah getir kesabaran untuk mencapainya. Sedankan nikmatnya kemenangan menghilang segala keletihan dan rintangan saat berusaha mencapai segala impian. Hidup ini tidak pernah jauh dari ujian dan dugaan yang menjadi pengajaran untuk mendewasakan kita di hadapan Tuhan.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… pada waktu kau bersujud, bisikkan semua urusanmu kepada-NYA kerana DIA Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di hatimu.  Lepaskan segala lelah dan pasrah dalam bicara cintamu kepada-NYA agar segala keresahan sirna menembusi kalbu hingga terpancar bahagia yang didambakan.  Aamiin. Wassalam. 🙂

*

RinduFatima9padamu

*

DI SETIAP RASA YANG TERSENTUH…. RINDUKU PADAMU TIDAK PERNAH LURUH

*

*

16 thoughts on “CT306. ZIARAH MAKKAH (2): PADANG ARAFAH DAN JABAL RAHMAH

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Sussi…

      Iya, saya juga terkejut dan sangat gembira kerana dapat merasai ais krim buatan orang Arab. Rasanya tidak seperti ais krim buatan kita di sini.

      Terima kasih mbak dan salam manis. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi…

      Alhamdulillah. Cuaca panas membuat sesiapa sahaja ingin makan ais krim, lebih-lebih lagi berada di padang pasir…. 🙂

      Salam semanis gula aren, mbak Evi dan terima kasih. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Lidya…
      Alhamdulillah, saya baik dan didoakan mbak Lidya juga demikian sama.
      senang menerima kunjungan mbak setelah lama tidak bersilaturahmi. Mudahan bermanfaat.

      Terima kasih dan Salam mesra. 🙂

  1. Pingback: CT478. PERJALANAN HAJI (2): MEMAHAMI IHRAM HAJI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.