CTaa499. KEMBARA SILAM DI PUTRA JAYA

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

 

*

KERONCONG ALAMI

Lembaran “kesesatan” di bumi Putrajaya seperti dalam catatan silam CT19. SESAT DI KOTA BATU, PUTRA JAYA, menguak sejarah bagi halaman kehidupanku yang seterusnya. Janji Allah menetapkan dalam pengembaraan solo bersama kereta “Ferrari” Proton Aeroback milik adik saudaraku yang menyemburkan kegarangan warna badannya dan baru sahaja sebulan ku labuhkan roda di lantai Bandar digital ini.

*

Foto lama yang masih disimpan untuk mengenang masa lalu yang jauh ditinggalkan.

*

Jeda masa yang semakin menjarak, membuat perutku yang dibekali dengan dua botol kecil air mineral water yang dibeli di Pasaraya CS Brothers sebelum berangkat, tidak mampu mengenyangkan.

Ahh.. kesal sungguh saat mengingatkan beberapa keping roti wholemeal Gardenia yang menjadi sajian utamaku dalam diet harian terlupa untuk dibawa bersama. Pedih, mengingatkannya.

Perutku sudah mulai berlagu keroncong. Meminta-minta haknya dipenuhi.  Menerjah tiap sendi usus perut yang langsung tidak mahu berkompromi untuk tenang dan sabar. Aduuh… maafkan aku, wahai perut. Hanya ada air sahaja. Itupun tinggal 3/4 dari sebotol yang berbaki.

Apakan daya, tiada langsung kedai makanan yang kelihatan di bandar hebat ini. Kosong, sepi, kontang dan sunyi. Sepertinya aku seorang sahaja berkelana dalam hutan batu ini.

Hatiku mulai resah sebaik sahaja kereta Ferrariku adikku melepasi jambatan terakhir di Persint 8. Tuntutan alamiah di perutku mulai melagukan irama keroncong bersulam dengan keinginan untuk melunasi tuntutan syariat solat Zohor yang belum lagi menemui landasan sembahnya.

Teman pengembaraanku…  si ferrari, seakan cuba mahu mengerti arah yang bakal ku tuju. Di benak ku, satu impian yang selama ini ku simpan kukuh tatkala melihat bentuknya dari jauh melalui Masjid Putrajaya di malam bulan Ramadhan di mana aku dan 6 temanku berbuka puasa dan solat tarawih di sana.

Masih ku ingat, sayup-sayup di seberang sana, kelihatan berbalam-balam cahaya kekuningan dengan indahnya memancarkan sebuah bangunan berbentuk segi empat yang merupakan masjid kedua di Putra Jaya.

Nama yang dipahat padanya adalah Masjid Besi Sultan Mizan Zainal Abidin. Mengambil sempena nama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agung ke- 14 yang kini memegang kembali tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu Darul Iman.

*

*

Di penghujung kesesatanku di kota batu Putrajaya ini, dari Persint 8 aku mulai memasuki arah jalan ke Persint 2 melintasi satu lampu isyarat yang hanya aku sahaja berhenti menunggu dengan sabar lampu hijau mengarahkan perjalanan.

Iya… rasa hati mahu sahaja melanggar isyarat lampu merah kerana tiada seorang makhluk bernama manusia berada di semua simpangnya. Dek kerana memikirkan Kedaulatan Undang-Undang yang tertera pada Rukun Negara yang ke-3, aku dengan penuh tabah, menanti dengan sabar walau hatiku bagai digeletik kencang mahu meneruskan perjalanan.

Kaki bagai kukuh erat menahan keinginanku untuk menekan pedal minyak agar meluncur laju ke hadapan. Alhamdulillah, ia tidak berlaku. Aku melintasi lampu isyarat yang bertukar hijau dengan tenang dan menaiki jambatan indah yang tersergam megah. Hanya beberapa meter di depan sana, setelah bersusah payah mencari jalan dicelah – celah bangunan yang berlekok, akhirnya aku sampai juga ke rumah Allah.

Alhamdulillah, tertunai sudah impianku untuk mendirikan solat pertama kali di Masjid Besi Sultan Mizan Zainal Abidin.  Kenangan silam di tahun 2009, masih kuat dalam ingatan. Iya berlaku 11 tahun yang lalu. Tidak pernah dilupakan. Allahu Akbar. 

*

Foto ini ku rakam dari tingkat 5, Masjid Besi Sultan Zainal Abidin. Jenuh kaki ini memanjat tangga masjid untuk merealisasikan hajat merakam tiga monumen yang unik dan indah di Putrajaya iaitu Jambatan Seri Wawasan,  skulptur raksasa seakan roket dan Masjid Putrajaya yang merentangi tasik Putrajaya. Subhanallah… lagi indah jika anda dapat melihat sendiri pemandangan ini.  

*

SEMUANYA DALAM KENANGAN

 

25 Julai 2020 (SABTU)/ 2123 MALAM KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

4 thoughts on “CTaa499. KEMBARA SILAM DI PUTRA JAYA

  1. Asalammualaikm ustazah, alhamdulillah selepas membaca coretan ustazah teringat saya pada kenangan bersiar siar di kota samarahan bersama dengan arwah ayah. Keadaan yang berbeza namun masih mengukir kenangan bersama.
    Nilai yang dapat saya lihat hasil pembacaan ini ialah mengenal erti kesabaran atas setiap perlakuan dan tindakan kita. Kesabaran merupakan kunci kepada sesuatu kejayaan mahupun hasil yang positif. Daripada cerita ustazah, kesabaran ustazah membawa kereta menghasilkan sebuah pemandangan kota putrajaya yang amat menarik dan juga tersegam indah. Walaupun suasana agak kosong ataupun tiada kenderaan namun ustazah tetap mengendalikan kereta sesuai dengan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
    Alhamdulillah, nilai kesabaran ini akan saya contohi kelak. Terima kasih ustazah.

    Nursuhadah bt Mos
    PISMP PA2 SK 2020
    Semester 3 2021

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.