Archive | April 2012

CT102. HADIAH DARI LANGIT (7): MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Kita harus mengakui kehidupan ini mempunyai misteri tersendiri. Setiap hari yang muncul adalah hari baru dalam kehidupan kita. Tanpa kita sedari banyak kejutan-kejutan hadir di luar perancangan. Perencana kejutan itu tentulah Allah Yang Maha Berkuasa mengatur segala sesuatu mengikut kehendak-Nya. Kita merancang, Allah yang menentukan. DIA adalah al-Muqtadir (Yang Maha Menentukan). Continue reading

CT101. KU SYUKURI SEGALA KURNIAAN-MU, YA ALLAH

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Menjadi salah seorang dari Dhuyufur Rahman antara jutaan manusia yang terpilih di dunia ini pada musim haji setiap tahun harus disyukuri oleh sesiapa sahaja.  Setiap peluang yang Allah paparkan di hadapan kita hendaklah diguna pakai sepenuhnya bagi mengisi jadual waktu kehidupan sepanjang perjalanan iman ini dengan ibadah dan amalan yang bermanfaat. Continue reading

CT100. DI SEPANJANG PERJALANAN INI…. MOLTAQA KE MASJID NABAWI (4) – HEMAT BERBELANJA

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Penulisan posting ke-4, DI SEPANJANG PERJALANAN INI…. MOLTAQA KE MASJID NABAWI, Madinah akan mengakhiri episodnya di sini. Tetapi menyambung semula episod baru akan datang, jauh ke depan dengan tajuk,

SEPANJANG JALAN KENANGAN… SEVILLA KE MASJIDIL HARAM

*

BERHEMAT DALAM BERBELANJA

Tulisan diteruskan bagi mengakhiri 4 siri perjalanan rohani antara Hotel moltaqa al-‘Alam ke Masjid Nabawi.

Madinah Al-Munawwarah, buminya diberkati Allah dengan doa yang dipohon oleh Rasulullah saw seperti mana Makkah didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s. Hasil keberkatan doa baginda Rasul saw, Madinah menjadi semakin maju dan berkembang pesat dalam segala aspek pembangunan ekonomi.

Daripada Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah saw telah berwuduk kemudian bersolat di tanah milik Sa’ad di penghujung Hirrah di sisi-sisi rumah telaga, kemudian baginda berdoa:

“Ya Allah, sesungguhnya Ibrahim sahabat-MU, hamba-MU dan Nabi-MU telah berdoa untuk Makkah dan aku Muhammad adalah hamba-MU, Nabi-MU dan pesuruh-MU, berdoa untuk penduduk Madinah seumpama doa yang telah dilakukan oleh Ibrahim untuk penduduk Makkah…”

(Hadis diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Jundi san Said bin Mansur dan rijalnya rijal shahih)

Daripada Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah saw telah berdoa:

“Wahai Allah, jadikanlah keberkatan di Madinah dua kali ganda dari keberkatan di Makkah.”

****************

Di sana sini, kita dapat perhatikan aktiviti muamalat berlaku. Penukaran wang untuk memudahkan pembelian dari wang negara sendiri kepada Riyal Saudi berjalan setiap jam sehingga memenuhi ruang kedai Money Changer (pengurup wang berlesen) yang terlibat.

Nilai tukaran SATU RIYAL SAUDI  (RS1) bersamaan 0.846 @ 85 sen Malaysia. Biasanya saya akan mengeluarkan wang RS1000 dalam satu-satu masa yang diperlukan di kaunter Perkhidmatan Tabung Haji Malaysia. Penukaran RS1000 bersamaan dengan RM846.00. Tukaran ini menunjukkan tingginya nilai Ringgit Malaysia berbanding Riyal Saudi. Alhamdulillah.

(Masya Allah, tadinya membaca sehingga pening kepala memikirkan tukaran antara wang RS dan RM. Harap perbetulkan jika saya salah. Jujurnya, saya tidak suka bermain dengan NOMBOR. :D)

Walau bagaimana pun, tidak membantu pembelian barang yang banyak kerana harga pasaran jualan barangan di Madinah dan Makkah, sangat mahal. Mahalnya nilai pembelian barang menunjukkan taraf hidup yang tinggi di Arab Saudi. Kerana itu, saya menasihati agar para jemaah haji berjimat cermat dan berhemat dalam perbelanjaan semasa di Madinah.

Jangan berbelanja secara berlebihan kerana kita masih memerlukan wang untuk perbelanjaan di Makkah. Hal ini sudah saya jelaskan dalam posting CT99. DI SEPANJANG PERJALANAN INI…. MOLTAQA KE MASJID NABAWI (3). Mudahan kita dapat menunaikan ibadah haji dan ibadah-ibadah yang lain dengan tenang sekiranya tidak dibelenggu oleh kekurangan wang.

Berlaku di kalangan jemaah haji yang terpaksa berhutang dengan kenalan mereka akibat dari perbelanjaan yang boros semasa di Madinah. Merujuk kepada fenomena ini, pihak Tabung Haji Malaysia terpaksa mengambil inisiatif mengurangkan pengeluaran RS1000 kepada RS500 sahaja semasa di Madinah. Jemaah haji yang lain terpaksa akur dengan arahan tersebut (ketika itu) walaupun ada yang tidak berpuas hati.

Saya merasa simpati melihat keadaan ini. Kita sudah  menggumpul wang yang banyak untuk perbelanjaan haji dan menampung segala keperluan kehidupan selama di Haramain, kemudian terpaksa berhutang dengan orang lain disebabkan kurang bijak berbelanja. Wang semakin sedikit dalam tabungan dan tentu akan membuat hati resah. Secara tidak langsung mengganggu tumpuan ibadah yang sepatutnya menjadi keutamaan kedatangan kita sebagai Tetamu Allah.

Keadaan ini juga berimpak kepada orang yang dihutang. Tentu dia juga memerlukan wang dan kita telah mengurangi pula perbelanjaannya semata-mata membantu kita yang sudah hilang pertimbangan ketika berbelanja. Semoga kita mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku. Oleh itu, berhati-hatilah ketika berbelanja terutama di Madinah. Pembelian hadiah atau ole-ole, boleh dilakukan di Makkah dan Mina. Menurut saya, di sana lebih banyak lagi pilihan yang memenuhi cita rasa dan aktiviti ekonominya lagi luas.

BIJAK BERBELANJA SELAMAT WANG KITA

****************

AWAS !!!!!… BERHATI-HATI

Pemandangan sesak oleh para hujjaj yang baru keluar dari masjid Nabawi selepas solat Isyak. Kesesakan berlaku kerana adanya proses jual beli antara hujjaj dengan penjual “tanpa lesen” yang menjual pelbagai jenis barangan seperti baju-baju abaya, jubah lelaki, wanita dan kanak-kanak, kain sal dan tudung, stokin pelbagai bentuk, kopiah, sejadah, tasbih, pewangi dan banyak lagi.

Mereka hanya muncul di luar pagar Masjid Nabawi selepas para hujjaj selesai solat fardhu sahaja. Kemunculan mereka seperti “now you see, now you don’t”.  Sangat lucu dan drastik sekali gerakan mereka apabila polis peronda Arab Saudi tiba untuk menghalau atau merampas barang dagangan mereka. Penjual ini baik lelaki atau perempuan akan lari lintang pukang bersama barang dagangan yang kebanyakan menggunakan kain sebagai pembungkus.

Melihat keadaan tersebut, hati saya sangat belas kasihan kerana itulah sahaja cara mereka mencari rezeki di rantau orang. Mereka terpaksa selalu berwaspada akan kehadiran Polis peronda Arab Saudi. Yang lebih menyentuh hati saya adalah para penjual wanita yang tentunya lebih lambat gerakan mereka berbanding lelaki. Berlari dengan baju abaya yang labuh (berpurdah) sambil membawa barang dagangan yang banyak atau menyorong kereta sorong dengan laju untuk menyingkir dari kepungan polis.

Subhanallah, benar-benar membuat saya sedih. Ada ketika airmata terbit juga. Alangkah berruntungnya saya berbanding mereka. Subhanallah. “Nikmat Tuhan yang manakah hendak saya dustakan lagi.” Allah memilih saya untuk hdup dalam keadaan yang lebih baik dari mereka.

Capaian Googles -Penjual-penjual tanpa permit yang duduk aman menjual barangan mereka. Kebanyakannya didominasi oleh kaum wanita dari luar negara Arab terutamanya benua Afrika. Mereka berpakaian hitam dan berpurdah. Di tempat seperti inilah saya membeli “Kasut Tawaf” saya. 😀

KETIKA BERLAKU ADEGAN KEPUNGAN POLIS… beberapa kemungkinan akan berlaku kepada kita yang sedang berurusan dengan mereka. Andai bernasib baik, barangan yang berada di tangan kita sempat dikembalikan atau wang yang sedang bertukar sempat dipulangkan bakinya. Yang tidak bernasib baik, barangan yang berada di tangan kita, ditinggal begitu sahaja dan membuat kita bingung bagaimana mengembalikannya semula sedangkan wang belum lagi dibayar.

Yang lebih menyedih dan menyayat hati dan membuat hati panas apabila baki wang kita yang berada di tangan mereka tidak sempat diserahkan semula kepada kita. Akhirnya, kedengaran suara sumpah seranah dan kemarahan kerana mengganggap mereka ditipu dan wang dirompak. Jadi terfikir, siapakah yang harus disalahkan, kita atau mereka ?

Sepanjang menunggu SPH di lokasi yang dijanjikan setelah solat, saya membuat pemerhatian rawak ke atas aktiviti perniagaan tanpa permit ini. Jika saya mahu membeli sesuatu barangan, saya akan pastikan wang di tangan cukup jumlahnya untuk diberi kepada penjual, tanpa baki. Itu lebih selamat. Yang penting, kita sudah mengetahui harga dan jenis barangan yang hendak kita beli.

BERTINDAK BIJAK SEBELUM RUGI

**************

17 April 2012 (Selasa)/ 25 Jamadil Awwal 1433H/ 9.45 malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. DAN DI SETIAP KESEMPATAN. Tidak ada waktu yang kosong begitu sahaja kecuali terisi namamu di hatiku. Engkau mengiringiku di waktu siang menjadikan hidupku terisi kesegaran. Engkau menemaniku di waktu malam menjadikan tidurku terisi kedamaian. Engkau menyirami kasihmu di sepertiga malam menjadikan aku bahagia dalam dakapan cintamu yang sempurna. Ya Rahman Ya Rahiim… ketahuilah bahawa ….di setiap kesempatan, seluruh rona jiwaku berzikirkan tasbih cintamu.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

DI SETIAP HELA NAFAS INI, ADA CERITA YANG INGIN KU KONGSIKAN BERSAMAMU

***************

CT99. DI SEPANJANG PERJALANAN INI…. MOLTAQA KE MASJID NABAWI (3)

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

MASJID NABAWI DILINGKARI EKONOMI SEJAGAT

Jika diteliti sejarah silam di awal penghijrahan Rasulullah saw dan kaum Muhajirin ke Madinah, aktiviti ekonomi sudah berkembang pesat. Ketika itu, bangsa Yahudi mendominasi segala aktiviti ekonomi yang berbasiskan riba sebagai mencari keuntungan berlipat ganda sehingga “mencekik darah dan leher” para pembeli yang berurusan dengan mereka. Continue reading

CT98. DI SEPANJANG PERJALANAN INI…. MOLTAQA KE MASJID NABAWI (2)

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

DI SEPANJANG PERJALANAN INI…….

……, saya merasa beruntung menjadi penghuni Hotel Moltaqa al-‘Alam. Kepenatan yang dialami sejauh 450 meter berulang alik ke Masjid Nabawi membawa sejuta kenangan yang mengasyikkan. Allah telah merencanakan bahawa saya dan SPH bersama 161 jemaah haji KT33 dari Sarawak, baki dari 284 yang sepatutnya menghuni Hotel Anwar Madinah Movenpick terpisah jauh kerana Allah mahu menghidangkan sesuatu yang menarik agar tidak luput dari ingatan sepanjang hayat. Continue reading

CT97. DI SEPANJANG PERJALANAN INI… MOLTAQA KE MASJID NABAWI (1)

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

CT97. DI SEPANJANG PERJALANAN INI… merupakan episod bersiri perjalanan saya sama ada bersama SPH atau bersama dua teman saya, Kak Kasma dan Kak Senah setiap hari melalui beberapa lokasi di antara Hotel Moltaqa al-‘Alam hingga ke Masjid Nabawi. Catatan perjalanan ini dibekalkan dengan beberapa foto yang sempat diambil oleh kamera saya  SPH yang hanya bermuatan 599 keping sahaja. Maka saya harus berjimat cermat dalam “menangkap” objek yang dikira amat menarik kerana kamera ini saya gunakan di Madinah dan Makkah. Saya amat kecewa sekali kerana tidak mempunyai kamera yang bermuatan lebih banyak sehingga dapat menjentik ribuan foto. Continue reading