CT483. LAZATNYA PECAL SAYUR

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

SUKA PECAL SAYUR

“Akak ingat nak buat pecal sayur dengan Tim dan Aisyah untuk makan malam. Tapi, takut tak suka dan tak biasa makan, jadi akak masak nasi ayam sahaja,” jelas Kak Haslina Hassan memulakan bicara sebaik menjemput saya, Aisyah, Nasuha dan kawannya untuk makan malam.

Kami tiba di rumah Kak Has pada jam 9.00 malam yang berlokasi di Ampang Indah, Selangor, bersempadan sahaja dengan Kuala Lumpur. Saya dan Aisyah dihantar oleh Nasuha dari Tanjong Malim, Perak untuk bermalam di rumah Kak Has.Β  Esok kami akan berangkat pulang ke Sibu, Sarawak.

“Kenapa akak tak buat je sayur pecal tu, saya sangat suka makan pecal,” kata saya separuh kecewa. πŸ˜€Β  “Oh ya ke ! Akak ingat tak suka. Tak apa, nanti akak bungkuskan sambal pecal untuk Tim dan Aisyah bawa balik.” balas kak Has dengan senyum manis.

Saya suka makan pecal sayur. SANGAT SUKA. Paling saya suka rasa kuah kacang dan bahan herba yang menjadi kandungannya. Bau sambal kacang sangat khas. Seperti ada daun limau purut di dalam. Harum. Jika makan, saya akan melebihkan kuah kacang di atas sayur-sayur kerana keenakan rasa kuahnya. Sangat pasti bahawa rasa kuah pecal sangat berbeza dari kuah sate dan kuah pasembor.

Semasa saya menyambung ijazah sarjana di UKM, Bangi pada akhir tahun 2008 dulu, pecal sayur campur ayam goreng menjadi makanan “diet” kegemaran kerana saya tidak makan nasi selama 2 tahun ketika itu. Tidaklah makan setiap hari tetapi menjadi menu pilihan utama apabila mencarinya.

Selepas kembali ke Sarawak, saya sudah tidak lagi dapat menikmati pecal sayur kerana bumbu atau sambalnya tidak ada dijual di Sarawak. Rindu kepada pecal sayur ditahan-tahan. Alhamdulillah, Kehadiran di rumah Kak Haslina membuka lembaran baru buat saya untuk kembali makan Pecal Sayur. Pastinya, Kak Haslina mendapat untung kerana saya akan menjadi pembeli sambal pecal hasil buatan tangan suami beliau. πŸ˜€

*

ASAL USUL PECAL

Apa yang saya faham, PECAL atau PECEL adalah berasal dari makanan salad (sayur-sayuran) tradisional orang Jawa. Di Malaysia ia disebut PECAL. Makanan ini dapat dirasai di Malaysia, hasil dari kedatangan orang Jawa ke Tanah Melayu.Β 

*

“Menurut Babad Tanah Jawi, pecel asal muasalnya diceritakan, dihidang di daerah Yogyakarta. Dipecel berarti daun daunan yang direbus kemudian dibuang airnya dengan diperas,” kata ahli gastronomi dari Universitas Gadjah Mada, Murdijati Gardjito, ketika dihubungi KompasTravel, Kamis (22/2/2018).”

*

Kini, pecal sayur boleh diperolehi dengan mudah di pasar malam, gerai makan, restoran juga di hotel di Semenanjung Malaysia terutama di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Johor atau negeri lain yang didiami oleh masyarakat jawa. Sarawak juga ada masyarakat Jawa tetapi pecal sayur tidak pernah saya temui dijual di pasaran terbuka. Mungkin hanya menjadi makanan hidangan keluarga dan tidak dikomersialkan.

Itulah hikmahnya apabila percampuran budaya sama ada melalui penghijrahan, perkahwinan dan perdagangan, kita semua dapat merasai pelbagai cita rasa makanan dari semua bangsa di belahan muka bumi ini. Hebatnya Allah mempertemukan kita melalui makanan.

*

SAMBAL PECAL ANAK JAWA

Dengan baik hati, Kak Haslina memberi 1 bungkus besar dan 2 bungkus kecil sambal pecal buatan tangan suami beliau yang berketurunan Jawa kepada saya dan Aisyah. Resepi sambal pecal ini adalah resepi ibu suami kak Has yang diperturunkan.

Aroma sambal pecal itu menerjah harum ke hidung. Saya menahan sabar dan ….memang tak sabar untuk membuat pecal sayur. Saya sudah memahat hati untuk membuat pecal sayur dan ayam goreng sebaik tiba di rumah keesokan harinya.

*

CARA MEMBUAT PECAL SAYUR

Saya sangat bersyukur kerana dapat sambal kacang pecal yang sudah siap. Jika tiada sambal kacang siap, kita boleh membuat sendiri mengikut resepi yang banyak di internet. Mungkin rasanya berbeza dengan bahan asli dari resepi orang jawa sendiri.

Berikut adalah langkah bagaimana saya membuat Pecal Sayur. Sungguh, semasa saya membuat pecal ini saya diselubungi rasa bahagia dan gembira. Hati saya menyanyi riang. Maklum sudah lama tidak merasainya. Semua sayuran yang saya suka sudah saya senaraikan agar tidak lupa untuk dibeli.

Menurut saya, makan pecal sayur sangat sihat. Pelbagai campuran sayuran mempunyai khasiat tersendiri dihidang bersama kuah kacangnya yang khusus menjadikan makanan tradisional jawa ini menambat hati sesiapa sahaja. Kini, ia bukan lagi makanan untuk orang Jawa tetapi semua bangsa dan kaum boleh menikmatinya.

*

*

Inilah Sambal pecal buatan suami Kak Haslina yang dijual dengan harga RM20 sekilo. Rasanya pedas dan lazat. Menurut kak Haslina, sambal pecal tersebut sangat laris dan sering dipesan oleh beberapa jabatan kerajaan juga pihak hotel. Bayangkan, kalau hotel juga memesan, pasti enak sambal kacang ini. Benar, saya sudah membuktinya. Sangat lazat.

Hati sayaΒ  melonjak riang apabila mendapat buah tangan ini untuk dibawa pulang ke Sarikei. Terima kasih Kak Haslina.

*

Saya suka campur dengan buah sengkuang kerana dapat merasai keranggupan teksturnya disamping rasa lembut sayuran yang dicelur. Saya tidak makan buah mentimun kerana badan saya akan “berangin” apabila memakannya. Sedangkan buah timun adalah kegemaran saya. Bila sudah tua ni, antibodi sudah semakin kurang. Satu persatu nikmat Alah tarik. Bersyukur sahajalah untuk kesihatan kita juga. Allah Maha Mengetahui kelemahan hamba-NYA.

*

*

Kata Kak Haslina, sambal kacang hendaklah digaul dengan air mendidih sehingga menjadi lembut. Pekat atau cair terserah kepada selera masing-masing. Saya suka sederhana pekat. Sebenarnya, saya lebih suka memasak sambal kacang dengan air di atas api agar cepat panas dan kembang. πŸ˜€

Elok dibuat dahulu kuah kacang kerana hasil kuahnya memakan masa yang lama untuk mengembang. Selepas selesai menyediakan kuah kacang, bolehlah disambung pula untuk sayurannya. Di bawah ini adalah sayur pilihan saya. Anda juga mempunyai pilihan anda sendiri.

*

*

Saya suka makan pecal sayur dengan ayam goreng. Terserah kepada selera. Ada yang makan begitu sahaja atau dicampur dengan lauk lain yang menjadi kegemaran.

Untuk Pecal Sayur di atas, saya perlu sediakan air kerana kuah kacangnya sangat pedas. Hanya saya dan SPH yang dapat makan banyak, anak-anak hanya makan sedikit sahaja sebab tidak tahan pedas.

*

*

SAYA YAKIN ANDA JUGA PEMINAT PECAL SAYUR

*

***************

SalamFatima3SalamFatima4 September 2018 (Selasa)/ 23 Zulhijjah 1439H/ 12.15 petang/ Bintangor, Sarikei, Sarawak Β  SITI FATIMAH AHMAD

Β 

 

 

 

 

*

*

 

11 thoughts on “CT483. LAZATNYA PECAL SAYUR

  1. Assalamualaikum wr.wb Bu Hajjah Fatimah. Alhamdulillah, semoga selalu dalam lindungan Allah swt.

    Sambal kacang untuk pecel memang lezat, saya pun selalu stok. Jadi hanya beli sayur, goreng ayam atau ikan, dan kerupuk. Nikmat.

    Salam hangat dari Jakarta Pusat πŸ™‚

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Alhamdulillah, saya sihat dan didoakan mbak juga dalam keadaan sihat dilindungi Allah SWT>
      Bila ada stok, bila-bila masa kita boleh makan. Untuk masa akan datang, saya sudah order 5 kg stok sambal kacang daripada Kak Haslina. Hehehe…. Enak juga makan dengan keropok ya.

      Terima kasih mbak sudah berkunjung dan salam manis> πŸ™‚

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Liza Fathia….
      Lebih banyak kuah kacang lebih lazat. Selain ayam goreng, saya juga suka mencampurkan denga telur rebus. Ia menambah keenakan pecal sayur tersebut.

      Terima kasih Liza atas kunjungan. Didoakan selalu sihat. Aamiin. πŸ™‚

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.