CT492. BEKERJALAH DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

SELAMAT TAHUN BAHARU 2019

SELAMAT TAHUN BAHARU 2019 kepada sahabat pembaca Laman Menulis Gaya Sendiri Generasi Kedua (G2). Jumpa kembali setelah sebulan tidak aktif menulis. Banyak hal perlu diselesaikan dalam kesibukan waktu yang masih diberikan dengan harapan dapat diselesai mengikut kadar kemampuan fizikal dan mental.

Alhamdulillah, saat memikirkan apa yang mahu ditulis hari ini, saya masih buntu…hahaha. Maklum sahaja kerja di pejabat (tempat kerja baru) mula menimbun satu persatu di awal semester bermula. Lain tempat lain cara bekerjanya walau di bawah satu bumbung (Institut Pendidikan Guru Malaysia @ IPGM) yang sama. Dulu semasa di IPG Kampus Rajang, Sarikei, tidaklah terasa sesibuk seperti di IPG Kampus Batu Lintang, Kuching.

*

AMANAH

Fikiran saya dipenuhi dengan “Things To Do Today”, tidak pernah habis-habis sampai ke noktahnya. Jika tidak habis hari ini perlu diselesaikan hari esok. Mesyuarat, taklimat dan bengkel kepada pensyarah dijalankan hampir setiap minggu berturut-turut.

Audit Dalaman untuk pemantauan kerja kursus yang dijalankan minggu depan dan Audit MQA yang bakal dilaksanakan pada bulan Mac dan melibatkan sabjek yang dikendalikan oleh JAPIM, menjadi nafas semakin sesak walaupun saya tidak terlibat kerana baru berpindah ke sini.

Namun saya diamanah oleh Ketua Jabatan JAPIM untuk memeriksa folio-folio pensyarah JAPIM bagi memastikan folio tersebut sudah dikemaskini. Tujuannya untuk mengelak dikenakan “Nonconformance Report @ NCR” (Laporan Ketidakpatuhan) atau  “Oppotunity For Improvement @ OFI” (Laporan Pemerhatian).

Tugas ini bukan mudah, namun perlu dipikul dengan rasa tanggungjawab dan timbangrasa kepada rakan sejawat juga institusi tempat bekerja. Sudah menjadi tugas kita untuk melaksanakannya sebagai penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan. Jika tidak mahu menerima tanggungjawab ini, baik berhenti kerja dan buat kerja sendiri, kan senang.

Tidak perlu kita merungut dan bising-bisng menyatakan kita sibuk dan banyak kerja. Jika difikirkan semua orang banyak kerja, malah ada yang lebih berat daripada kita.

*

BERSYUKUR

Saya selalu bersyukur dengan pekerjaan saya dan insaf apabila melihat pekerja yang membina jalanraya Pan Borneo setiap kali pulang ulang alik dari Kota Samarahan dan Sarikei. Mereka bekerja di dalam terik mentari dengan peluh yang menitis setiap saat. Badan kepanasan dibakar cahaya matahari demi mencari rezeki halal.

Melihat pula kakak-kakak yang berniaga kuih muih di hadapan sekolah berdekatan IPGKBL. Seawal jam 5.00 pagi sudah menyiapkan jualan untuk saya dan sesiapa sahaja yang ingin membeli untuk bersarapan pagi. Biasanya saya sampai ke IPGKBL pada jam 5.45 pagi. Sekali sekala saya turun membeli kuih mereka.

Masya Allah, banyak contoh pekerjaan yang lebih berat dari kita seperti tentera, polis, buruh binaan, nelayan, pesawah, pemungut sampah, tukang rumah, pencuci bangunan tinggi dan sebagainya boleh diambil iktibar jika kita masih belum sedar tentang “ringannya” kerja yang kita lalui dalam tempoh 8 jam bekerja sehari.

Sebaliknya pekerjaan saya, tempat kerja ya selesa, berhawa dingin, diberi bilik yang luas dan privasi. Boleh dihias cantik mengikut citarasa sendiri. Tidak terkena cahaya matahari di luar. Jam mengajar yang tidak membebankan. Banyak masa terluang untuk menyiapkan kerja-kerja lain. Apa lagi yang saya mahu. Allah, Allah, Allah. Alhamdulillah wa Syukrulillah.

*

BILIK OFIS FATIMA

Sengaja mahu menyimpan kenangan foto tempat saya bertugas di IPGK Rajang selama 23 tahun dan IPGK Batu Lintang. Bukan untuk membuat perbandingan tetapi untuk menyatakan kesyukuran. Kedua-dua tempat mempunyai keistimewaan tersendiri. Hanya saya dapat merasai. Di mana-mana sahaja kita bekerja, kita mesti redha keberadaan dan situasinya.

*

Rajang selalu dihati. Rajang sentiasa dirindui. 23 tahun penuh kenangan. Berat rasa hati meninggalkan. Rajang abadi selamanya.

*

Bilik ofis saya di IPGK Batu Lintang lebih privasi. Sesuka hati saya dapat menghiasi bilik ini mengikut kesukaan saya. Biar nampak kemas, menarik dan dapat bekerja dengan seronoknya.

*

Meja kerja yang setiap hari selepas habis waktu bekerja mesti kemas dan kosong.

*

Ini tempat saya berehat sambil membaca buku atau tidur jika mengantuk. Waktu rehat adalah jam 1230 hingga 2.00 petang. Tiada sesiapa boleh mengganggu saya masa ini. Sofa 2 tempat duduk ini kecil, boleh bayang rupa saya tidur di atasnya….hahaha. Dr. Maimon yang sediakan sofa ini. Untuk “kakak kesayangan” katanya.

*

Ini pintu masuk ke ruangan kecil bilik ofis saya. Mesti tanggalkan kasut. Saya tidak suka bilik yang berdebu dan kotor. Saya mahu suasana seperti di rumah.

*

Inilah keseluruhan ruang bilik ofis saya. Saya sangat sukakannya. Pejabat JAPIM mempunyai 8 ruang bilik yang sudah dibahagikan kepada 1 bilik Ketua Jabatan, 5 bilik pensyarah, 1 bilik kerani dan 1 bilik mesyuarat @ bilik makan minum.

*

MERUNGUT

Apabila mendengar rakan sekerja merungut apabila diberi tugas, saya jadi rimas, marah dan kurang senang. Sekali sekala saya menegur dan memberi pesan tentang keberuntungan dengan kerja kita berbanding orang di luar sana. Pada saya, baik berhenti kerja jika tidak mahu bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan. Makan gaji mahu, tapi kerja tidak mahu. Bukankah itu namanya makan gaji buta ?

Ingat, jawatan adalah amanah dan cubaan. Ia sesuatu yang mulia dan rezeki buat kita. Setiap apa yang kita buat dan dipertanggungjawab, semuanya akan ditanya oleh Allah SWT. Jadi… kita nak jawab apa ?

Anak kunci kecemerlangan kerjaya ialah keseronokan bekerja. Jika kita berminat dan seronok bekerja, disertai pula dengan niat kerana Allah SWT, semua kerja menjadi ibadah, ringan dan mudah. Semuanya dilakukan dengan tenang, senang dan bahagia. Kita sendiri yang memilih kerja ini, bukan ?

Mari bekerja dengan hati redha. Ceriakan pekerjaan kita dengan senyuman walau berat yang perlu ditanggung. Jangan sampai Allah ambil kembali kerja kita sebagai hukuman dari “rungutan” yang tidak pernah surut sebagai tanda Allah juga tidak redha dengan kita. Jangan sampai menyesal. Bertaubatlah mulai hari ini.

*

PESAN TOK DET

Terkesan dengan kata-kata Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ke-7 yang ditulis oleh Cikgu Xu Sizhong seorang pakar Abakus dan Aritmetik Mental, yang berwarganegara China didalam buku TUN M dan SAYA:

*

“Orang yang bercita-cita mempunyai seribu strategi sedangkan orang yang tidak bercita-cita mempunyai seribu kesulitan.”

*

***************

SalamFatima3SalamFatima11 Januari 2019 (Jumaat) / 5 Jamadil Awal 1440H/ 11.50 pagi / Kuching, Sarawak   SITI FATIMAH AHMAD

10 thoughts on “CT492. BEKERJALAH DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

  1. Assalamualaikum Bu Hajjah Fatimah. Selamat tahun baru 2019, semoga Allah selalu limpahkan nikmat sehat dan iman Islam untuk kita semua. Aamiin.

    Amanah dan bersyukur memang amat penting. Merungut, jujur saja saya masih banyak merungut. Harus dikurangiagar tak jadi penyakit hati.

    Bilik Office nya rapi sekali. Semua pasti bermakna dan penuh kenangan. Tetap semangat untuk aktivitas di awal tahun ini.

    Salam hangat dari Jakarta Pusat 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Aamiin Allahumma Aamiin. Semoga diberkati Allah SWT.
      Benar, jika bekerja sambil merungut pasti hati tidak ikhlas dan tidak minat bekerja. Mudahan kita dapat memperbaiki hati kita. Jadilah yang lebih baik dari semalam, ya mbak.

      Terima kasih sudah datang berkunjung dan salam hangat kembali buat mbak Frany. 🙂

  2. Assalamu’alaikum wrwb. Mbak Fatimah apa kabar?

    Senang saya melihat ruang kerjanya yang rapi.

    Semoga tetap semangat dan sukses selalu di tahun baru ini.

    Salam dari saya di Sukabumi.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Titik Asa…..

      Alhamdulillah, didoakan juga mas Titik dalam kondisi sihat wal afiat.
      Iya, bila ruang kerja kita kemas dan bersih tentu kita akan rasa lebih kondusif dan nyaman untuk bekerja.

      Salam takzim dan terima kasih mas sudah berkunjung kemari.

  3. Assalamualaikum wr.wb puan Fatimah.

    Pindah kerja .. jadi mendapatkan pengalaman baru .. setuju dengan puan Fatimah, kuncinya amanah dan bersyukur maka kita akan bekerja dengan baik dan optimal .. dan hasilnya nanti pasti bagus.
    Btw … ofis puan Fatimah rapih dan bersih … jadi malu dengan meja kerja saya .. haha

    salam sehat bahagia dari Jakarta

    • Waalaikum salaam wr.wb….

      Alhamdulillah, pindah kerja memberi pengalaman baru dan budaya baru dengan rakan sekerja. Mudahan semuanya baik dan berjalan lancar. Kalau sibuk, meja itu juga tidak rapi, semuanya bertabur dan hanya kembali bersih apabila hendak pulang ke rumah sahaja.

      Terima kasih mas atas kunjungan dan komentarnya.
      Salam sihat kembali.

  4. Assalamualaikum ustazah saya sudah baca penulisan ustazah yang bertajuk “Bekerjalah dengan tanggungjawab”.Banyak hikmah dan pengajaran yang boleh saya ambil daripada penulisan ini.Antaranya ialah saya sebagai bakal guru haruslah bersikap amanah daripada segenap aspek.Ini adalah kerana setiap manusia mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.Untuk saya sebagai bakal guru, memelihara amanah yang diberikan adalah merupakan satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali. Sebagai seorang bakal guru kita haruslah bersedia untuk menggalas amanah melaksanakan tugasan tugasan yang diberikan dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Terdapat sebuah hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti.” Riwayat al-Baihaqi daripada ‘Aisyah r.a.Hadis ini bermaksud bahawa Rasulullah saw mengatakan bahawa allah sangat menyukai apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik sempurna dan juga teliti.
    Selain itu juga,saya sebagai bakal guru haruslah sentiasa memupuk nilai bersyukur di dalam diri kerana kita sebagai manusia mempunyai ujian yang berbeza beza.Seperti contoh yang ustazah berikan melihat orang bekerja di bawah terik matahari semata mata untuk mencari rezeki yang halal.Saya juga selalu berfikir sejenak apabila melihat orang bekerja seperti itu.

    HAFIZD HAZLIMI BIN MAT ALI HANAFIAH
    PA SK(2)PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

  5. Assalamualaikum ustazah. Alhamdulillah saya sudah selesai membaca hasil penulisan ustazah bertajuk ‘BEKERJALAH DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB’. Ia mempunyai makna yang mendalam serta memberi kesan dan ikhtibar kepada diri saya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Jika solat ditunaikan, maka bertebaranlah kalian di muka bumi, carilah kurniaan Allah, dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kalian beruntung.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10). Pemilihan kerja juga penting supaya kita tidak bekerja di kedai judi dan yang menjual arak supaya rezeki yang kita peroleh tidak bersulam dosa. Begitu juga dengan pekerjaan yang memerlukan kita membuka aurat dan lalai melaksana perintah solat. Pekerjaan yang haram tetap haram. Islam hanya menekankan kemurnian matlamat dan tidak menerima prinsip menghalalkan cara atau mencapai kebenaran menerusi kerja-kerja batil. Setiap pekerjaan yang kita lakukan pasti akan melepaskan kita daripada sikap suka meminta-minta dan berhutang. Apabila kita mempunyai pendapatan, kita akan terhindar daripada meminta-minta. Sikap meminta-minta akan hanya merendahkan maruah serta martabat kita. Sewaktu bekerja, buatlah dengan bersungguh-sungguh, tidak curi tulang, membuang masa, suka bertangguh kerja, tidak jujur dan amanah. Daripada Saidatina Aishah r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang hamba yang apabila dia bekerja, dia menyempurnakan pekerjaannya.” (HR Tabrani).

    MUHAMMAD NOR IQMAL BIN NOR RASID
    PA SK(2)PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.