CT459. TENTERA KUMBANG

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

KENANGAN DARJAH DUA, TAHUN 1976

Belajar di dalam Dewan Masyarakat Simanggang ini sungguh tidak kondusif dan mencemaskan kerana harus selalu berwaspada dengan kehadiran kumbang-kumbang hitam yang besar dan suka menghembus najisnya atas kepala kami ketika sedang terbang.

*

Entah apakah jenis kumbang-kumbang tersebut ? Ia bersarang di dalam dewan dan datang bila-bila masa sahaja tanpa diundang. Tapi apa yang saya ingat, kumbang itu berwarna hitam pekat, badannya gemuk, bersayap kemas dengan bunyi degungan yang kuat.

*

Apabila mengetahui ada kumbang terbang di atas kepala kami, keadaan  kelas (dewan) mula bising dan tidak keruan. Terdapat empat kelas belajar di Dewan tersebut.  Bayangkan suasana kami yang huru hara.

*

Kami tidak dapat memberi perhatian kepada guru mengajar kerana harus menyelamatkan diri dari tembakan peluru kuning yang seperti semburan ubat nyamuk untuk memburu kami. Baunya sungguh busuk dan melekit. Sesiapa yang terkena najis kumbang itu harus menerima padah dengan bauan yang tajam menjadi teman badan sepanjang sesi pembelajaran.

*

Cikgu yang mengajar pun tidak dapat berbuat apa-apa kepada kami. Serangan kumbang itu yang tidak mengenal sesiapa baik murid atau cikgu. Oleh itu, cikgu juga terpaksa bertindak menyelamatkan dirinya untuk menggelak bau najis kumbang melekat di badan.

*

Bila mendengar sahaja bunyi dengung kepak sang kumbang, kami akan mula berwaspada dan bersedia untuk lari menyelamatkan diri. Suasana kelas menjadi bising dan huru hara. Kami seperti berada di medan perang untuk menghadapi pertempuran dengan tentera-tentera kumbang.

*

Begitulah sekelumit pengalaman dalam Darjah 2, di mana kami terpaksa menumpang sementara di Dewan Masyarakat Simanggang yang terletak lebih kurang 100 meter dari kawasan Sekolah Rendah Kerajaan Abang Aing.

*

Kenapa kami belajar di sana ? Sebab pihak sekolah sedang membaiki bangunan sekolah yang diduduki oleh kami.  Tidak lama, hanya setengah tahun sahaja. Syukurlah jika tidak pertempuran dengan tentera kumbang akan berlanjutan lama dan sesi pengajaran dan pembelajaran pasti tidak kondusif.

*

Pengalaman belajar di dewan tersebut hanya tinggal kenangan kerana Dewan Masyarakat Simanggang sudah lama diruntuhkan. Kini, hanya rumput lalang yang tumbuh merimbun di atas tapak bangunan yang sudah hilang itu.

*

***************

SalamFatima3SalamFatima12 Disember 2017 (Selasa)/ 24 Rabiulawal 1439H/ 12.55 petang/ Sarikei, Sarawak

– SITI FATIMAH AHMAD –

 

13 thoughts on “CT459. TENTERA KUMBANG

  1. Sudah lama saya tidak melihat jenis kumbang seperti itu di tempat saya. Lupa juga apa nama kumbang itu.
    Konsisten ya menulisnya bu, blog nya ter-update terus. Semoga saya bisa kembali menulis di sisa-sisa semangat yang ada 😀

    • Saya juga begitu, kumbang jenis ini biasanya mendiami rumah yang luas dan tinggi. Kini, saua jarang menemuinya.

      Alhamdulillah, apa pun kesibukan melanda saya berusaha menuls agar dapat berkongsi dan berbahagi idea. Mudahan Rangga juga begitu dan menulis terus menulis. Menulislah dari hati, maka apa yang tertuang pasti menyenangkan walaupun ceritanya singkat dan ringkas.

      Terima kasih Rangga sudah kembali berkunjung setelah sekian lama.
      Salam sukses selalu. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kak Paridah Ishak….

      Alhamdulillah wa syurulillah, kami semua sihat. Didoakan akak sekeluarga juga demikian sama.

      Ini bukan kumbang tanduk kak. Ia hidup dalam dewan atau ruang bangunan yang luas. Saya jarang melihat kumbang seperti ini lagi. Saya yakin ia masih wujud,

      Terima kasih kak sudah bertandang ke sini.
      Salam rindu selalu. 🙂

  2. sudah lama kak tak lihat kumbang jenis ini
    semasa kanak2 sering main dengan si kumbang, tapi tak ingat adakah kami pernah dapat bidikan kuningan itu ha.. ha..

    • Hai mbak Monda…
      Wah…. seorang lagi pemberani dengan kumbang. Kumbang itu banyak jenis mungkin bukan kumbang yang saya maksudkan di atas itu menjadi mainan masa kecil mbak. Pastinya tidak pernah dibidik dengan peluru kuningnya.hahaha…

      Terima kasih mbak atas kunjungan dan salam manis dihujung minggu. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet….

      Betul dan kerana itu kami mesti bersedia untuk menghindarinya. Sungguh lucu melihat aksi-aksi murid berkejaran dan gurunya juga demikian sama. Ia kenangan yang tak terlupakan.

      Terima kasih mas Amazzet sudah berkunjung dan salam takzim. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.