CT241. PERJALANAN MENUJU MAKKAH (4): SELAMAT DATANG TETAMU ALLAH

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

MadinahMakkahFatima12WelcomeTetamuAllah

BAHAGIA

Apabila bas memasuki Kota Makkah secara perlahan segala penat dan lelah hilang tiba-tiba. Perjalanan panjang yang melesukan badan dan fikiran sudah tidak terasa lagi seperti yang ditulis dalam CT240. PMM(3): 8 JAM YANG MEMENATKAN.

Semuanya sirna seperti ditiup angin. Rasa bahagia kian menancap hati. Segala rindu dendam selama ini terasa terubati. Mungkin ini barakah dari kasih sayang Allah dalam menyambut kunjungan para TETAMU-NYA yang sanggup bersusah payah datang dari jauh untuk mencapai keredhaan-NYA.

Saya menarik nafas dalam-dalam kerana rasa bahagia yang tidak terhingga. ‘Ya Allah, akhirnya Engkau izinkan aku dan SPH untuk ke Makkah ini. Aamiin.” Air mata tidak mampu dibendung, saya menangis sambil menatap keluar tingkap memandang langit Makkah yang samar-samar dalam cahaya malam.

Kemudian saya membuka buku doa dan mencari DOA MASUK KOTA MAKKAH sebagai tanda syukur dan memohon harapan agar dapat melaksanakan manasik haji di semua masya’irnya dengan mudah. Juga dimudahkan segala urusan kehidupan sepanjang berada di Makkah.

DoaFatima1DoaMasukMakkah*

BIMBANG HAID

(Untuk bakal jemaah wanita, rujuklah jadual kedatangan haid anda agar diketahui jumlah hari bagi memudahkan pekerjaan tawaf dan tempoh akhirnya)

*

Bas bergerak perlahan masuk ke tengah Kota Makkah, menuju destinasi kami, Hotel Sevilla Barakat. Suara talbiah semakin kuat dan bersemangat memenuhi ruang perut bas. Jiwa seakan disuntik secara drastik oleh perasaan ingin tahu apa yang ada di dada Kota Makkah ketika itu. Masing-masing sibuk memandang ke arah luar. 

Dalam keriuhan dan kebahagiaan tersebut, sebenarnya saya dalam kebimbangan dengan kedatangan haid saya. Bila-bila masa sahaja haid saya akan tiba. Jika merujuk kepada jadual putaran haid, ia akan tiba dalam sehari dua ini. Posting tentang haid telah saya tulis dalam CT119. CABARAN HAJI (6): HAID

Tanda-tanda kedatangan haid sudah muncul dua hari sebelum meninggalkan Kota Madinah. Sakit sudah mulai terasa sekali sekala di bahagian bawah rahim. Kaki terasa lemah dan kebas.

Sepanjang perjalanan 8 jam saya berdoa agar sempat melaksanakan Tawaf Umrah Wajib. Rombongan kami akan mengerjakan ibadah Umrah Wajib keesokan harinya. Saya berbicara dengan Allah berulang-ulang kali  dalam sedu sedan yang tidak mampu ditahan dengan harapan dimakbulkan doa.

“Ya Allah, aku bermohon agar Engkau izinkan aku untuk mengerjakan semua urusan Umrah Wajib sebelum waktu haidku tiba. Kasihani aku ya Allah, ini hari pertama aku sampai ke bumi tercinta-MU. Berikan aku peluang beribadah dan tawaf di KaabahMu. Aku ingin bertawaf dulu Ya Allah sebagai tanda syukurku pada-MU”

UzurSyarieFatima4Hadith

*

MENCARI TOKO BUKU

Sepanjang laluan masuk ke bandar Makkah, saya memerhatikan bangunan-bangunan yang tersergam di sebelah kiri saya. Bangunannya masih terlihat lama dan tidak moden. Tidak banyak bangunan komersial yang tinggi kecuali hotel-hotel yang tentunya dibina banyak tingkat untuk menampung kedatangan jemaah haji yang ramai setiap tahun.

Perbandingan yang dapat saya lakarkan saat memerhati antara Kota Makkah dan Kota Madinah, ternyata perancangan bandar Kota Madinah lebih sistematik berbanding Kota Makkah yang terlihat celaru jalannya. Masih bersimpang siur dan kurang disiplin.

Mata saya pula liar mencari toko buku besar seperti Popular Book Store, MPH Book Store, Public Book Store dan banyak lagi seperti di Malaysia. Saya sangat terkesan dengan keadaan di Kota Madinah (berhampiran Masjid Nabawi) yang tidak kedapatan Kedai Buku.

Sebagai “ULAT BUKU”, saya sangat kecewa kerana tidak ada kedai buku yang besar dapat dilihat sepanjang laluan tersebut. Saya menyedapkan hati bahawa di kawasan perniagaan Masjidil Haram pasti ada kedai buku.

Beberapa hari kemudian, saya dan SPH menyusur Pusat Beli Belah di sekitar Masjidil Haram dan beberapa kawasan perniagaan berhampiran Hotel Sevila Barakat, ternyata sukar mencari kedai buku. Yang banyak adalah kedai jualan baju, kedai barang kemas, kedai peralatan logam, kedai makan dan sebagainya.

Toko buku – TIADA LANGSUNG,  DI MANA  ????

*

MENARA JAM DIRAJA MAKKAH

Sedang asyik memandang kesibukan di jalan raya Kota Makkah, saya dikejutkan oleh suara SPH yang menunjukkan menara jam yang bercahaya.

“Menara jam itu menandakan letaknya Masjidl Haram. Maksudnya kita sudah semakin hampir dengan Masjidil Haram.” jelas SPH tanpa dipinta. “Oh, yakah bang.” balas saya. Saya terpinga-pinga mendengarnya kerana saya tidak tahu adanya Menara Jam.

Menara jam itu sayup-sayup dilihat dari kejauhan. Saat itu, saya merasa kurang maklumat tentang pembangunan yang sedang berlaku di Makkah sehingga Menara Jam yang menjadi kemegahan Kerajaan Arab Saudi itu tidak diketahui oleh saya.

Mungkin saya lebih banyak membaca tentang sejarah Madinah dan Makkah serta keutamaan keduanya berbanding pembangunan yang sedang berlaku menyebabkan saya ketinggalan semua itu. Kerja-kerja pembinaan dan pembesaran Masjidil Haram yang baru sedang sibuk dijalankan walaupun malam kian tua.

Haramain3Fatima4MenaraJamDirajaMakkah2011

Foto SPH. Menara jam dilihat dari jauh dengan kerja-kerja pembinaan dan pembesaran sedang sibuk dijalankan. Kerja-kerja ini berjalan 24 jam tanpa henti. Kedengaran sayup bunyi jentera berat sedang beroperasi.

*

MadinahMakkahFatima6JamDirajaMakkah

Foto SPH.  2 foto di atas, diambil dari dalam bas pada malam pertama memasuki Kota Makkah dari Madinah untuk menuju ke Hotel Sevilla Barakat. Jam ditangan menunjuk pukul 10.31 malam waktu Makkah (3.31 pagi waktu Malaysia) pada 18 Oktober 2011 (Selasa)

*

MadinahMakkahFatima7AbrajAlBait

Foto ini saya ambil selepas solat Isyak, jam 8.06 malam (1.06 pagi waktu Malaysia), pada 13 November 2011 (Ahad)

*

Insya Allah, saya akan menulis tentang MENARA JAM DIRAJA MAKKAH dalam posting berasingan. Ia sangat menarik untuk dikongsikan kerana adanya “buah tangan” anak Malaysia di sana.

Selain itu, pembinaan Menara Jam ini juga dikaitkan dengan TANDA-TANDA AKHIR ZAMAN dan kini menjadi salah satu monumen kebanggaan umat Islam di Tanah Makkah. Wallahu’alaam.

*

HOTEL SEVILLA BARAKAT

Bas yang ditumpangi hanya melalui dari jarak jauh kawasan Masjidil Haram. Kami tidak dapat melihat bangunan Masjidil Haram kerana terlindung oleh projek pembangunan di sekitarnya. Hanya terlihat hujung-hujung menara yang paling hampir.

Kesibukan bandar Makkah kian ketara dengan banyaknya kenderaan dan ramainya tetamu Allah yang berjalan kaki pulang ke tempat kediaman masing-masing. Hati sudah tidak sabar untuk beribadah di dalam Masjidil Haram dan melakukan Tawaf Umrah Wajib sebagai Tawaf Selamat Datang. Saya berdoa agar sempat melakukannya sebelum haid mendatangi bulannya.

Kelajuan bas semakin perlahan seperti sang siput. Mata saya tercari-cari kelibat hotel yang bakal dihuni selama di Makkah tetapi tidak awas kerana banyaknya bangunan hotel yang rapat-rapat dibina. Semuanya asing dan pelik. Manusia semakin padat berjalan di sana sini. Sekali sekali kedengaran bunyi hon di malam hari, membingitkan keadaan di luar bas.

Akhirnya, tepat jam 10.50 malam, bas yang dihuni selama 8 jam lebih itu menghentikan pergerakannya di hadapan sebuah hotel yang tinggi dengan kedai-kedai jualan yang masih terang benderang di tepinya. Rombongan KT 33 sedia maklum akan ditempatkan di Maktab 95. Kami disambut mesra oleh beberapa petugas Tabung Haji dengan ucapan:

SELAMAT DATANG KE TANAH SUCI DAN HOTEL SEVILLA BARAKAT

Dengan lafaz basmalah, saya melangkah kaki kanan keluar dari bas pada jam 11. 20 malam dan memasuki hotel dengan barang yang ada di tangan. Bersama beg galas Tabung Haji, beg makanan dan beg barangan lain melambatkan pergerakan saya. Tak sangka banyak juga bagasi tangan ini. Rasa penat mula terasa kembali 😀

Beg-beg bagasi besar akan dipunggah kemudian oleh petugas hotel dan dihantar ke bilik-bilik penghuninya. Saya mengucap syukur atas perlindungan dan keselamatan yang diberikan Allah SWT sepanjang perjalanan kami dari Madinah ke Makkah.

Perjalanan3Fatima2aSevillaBarakatMakkah

*

Perjalanan3Fatima3aSevillaBarakatMakkah

Maktab 95 dan 96 yang beroperasi di Hotel Sevilla Barakat merupakan salah satu dari Pusat Perkhidmatan Tabung Haji di Makkah. Segala khidmat operasi dilakukan di sini seperti kaunter kewangan, pejabat pos, klinik rawatan dan tempat makan yang banyak. Kami beruntung mempunyai kemudahan yang menyenangkan kehidupan kami di Makkah.

*

ALHAMDULILLAH WA SYURULILLAH

*

***************

SalamFatima3SalamFatima16 April 2014 (Rabu)/ 16 Jamadil Akhir 1435H/ 10.27 malam, Sarikei, Sarawak

AKU….. cuba mengerti bahawa skrip kehidupan ini mempunyai penulisnya. Maka aku cuba mengerti untuk mengambil segala iktibar dan ibrah bagi mencapai hikmah yang tersirat. Oleh itu, tidak perlu aku berkeluh kesah jika yang tersurat mempunyai makna tersendiri. Apa yang perlu aku lakukan adalah mengucap syulur kepada semua nikmat yang dikurniakan walau sebesar zarah. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan atas semua pemberian-MU yang pernah aku miliki. Semuanya indah dan yang terindah adalah DIRIMU di hatiku.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

Dedikasiku Untukmu….  Tingkatkan kehidupanmu dengan banyak membaca. Seorang penulis lebih banyak membaca dari menulis. Dengan wang kita boleh membeli buku tetapi tidak membeli ilmu. Ilmu hanya boleh dimiliki dengan membaca. Senyum untukmu.  Wassalaam. 😀

RinduFatima3a

*

PERCAYALAH, KAU SELALU ADA DI SINI…. DI HATIKU

*

8 thoughts on “CT241. PERJALANAN MENUJU MAKKAH (4): SELAMAT DATANG TETAMU ALLAH

  1. assalamualaikum wr wb
    Sungguh kisah perjalanan menuju mekah yang penuh kesan ya bunda..
    dan tiap momen yang di lalui membuat rindu ingin selalu kembali 🙂

    salam bunda

    • Wa’alaikum salaam wr.wb Purnomo Jr…

      Alhamdulillah, sekelumit dari keindahan dunia yang diizinkan Allah SWT untuk dilalui dalam perjalanan rohani yang terlalu dalam kesannya untuk dikenang hingga akhir nanti.

      Entah kembali entah tidak, semuanya dalam rencana Ilahi. Kita hanya berdoa dan berusaha untuk kembali semula bagi mengulangi ibadah yang lain untuk mencapai keredhaan-NYA.

      Terima kasih Purnomo Jr atas kunjungan.
      Salam ceria di hujung minggu. 🙂

  2. Assalamualaikum,
    haid memang terkadang menjadi kendala bagi sebahagian wanita,,saat menunaikan ibadah haji atau ibadah umroh,,,sehingga sebahagian dari mereka meminum obat yg memperlambat haid…, padahal haid itu adalah salah satu nikmat ALLAH bagi para wanita, …
    saya belum pernah melihat jam kerajaan yg megah ini…, saya tunggu saja artikel mengenai jam ini ya…
    membaca artikel ini benar2 membuat rindu rasanya hati ini ingin kembali menjejakkan kaki di tanah suci….rindu melafazkan asma Allah bersama jutaan orang dari berbagai negeri yg berkeliling mengitari kabbah….
    keep happy blogging always…salam takzim dari makassar 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Hariyanto…

      Bab haid selalu merunsingkan jemaah wanita. Malah saya sendiri turut sama merasainya cuma tidak pernah terfikir dan berniat untuk mengambil ubat penaham haid.

      Oleh itu, jemaah wanita perlu tahu jadual haid mereka selama di sana supaya dapat membuat prediksi jadual tawafnya serta persediaan masa haid yang tidak menentu. Lain-lain itu, berdoalah kepada Allah SWT agar urusan umrah dan haji dapat dilaksanakan sebelum haid tiba.

      Insya Allah, akan saya usahakan penulisan tentang Menara Jam Diraja itu kerana ia sesuatu yang menarik untuk dikongsikan.

      Mudahan mas Hariyanto dan mbak Wieka akan bersama melaksanakan ibadah haji dan umrah di suatu hari nanti. Aamiin.

      Salam hormat takzim dan terima kasih atas kunjungan. 🙂

    • Iya, semua moment itu tidak akan pernah luput dari ingatan walau masa telah berlalu lama. Perjalanan rohani ini adalah jemputan dari Sang Khalik. Alhamdulillah.

      Semoga anda akan dijemput ke sana juga. aamiin.
      Salam sejahtera. :).

  3. Pingback: CT252. SEVILLA BARAKAT: TINGKAT 9, BILIK 927 | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.