CT102. HADIAH DARI LANGIT (7): MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Kita harus mengakui kehidupan ini mempunyai misteri tersendiri. Setiap hari yang muncul adalah hari baru dalam kehidupan kita. Tanpa kita sedari banyak kejutan-kejutan hadir di luar perancangan. Perencana kejutan itu tentulah Allah Yang Maha Berkuasa mengatur segala sesuatu mengikut kehendak-Nya. Kita merancang, Allah yang menentukan. DIA adalah al-Muqtadir (Yang Maha Menentukan).

Allah, Yang Maha Mengatur hidup, mampu mengubah hati kita kepada sesuatu yang tidak pernah kita ketahui sebelum ini. Menggerakkan kita untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah ada dalam agenda kehidupan kita. Pernahkah kita berfikir bahawa Allah sentiasa sibuk mengurus urusan hamba-Nya setiap hari. DIA-lah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi mempunyai rahmat yang amat luas.

Mencurah rezeki kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Menambah kepintaran ilmu kepada mereka yang berusaha mencapai impiannya. Memberi kekayaan kepada mereka yang menggali sumbernya. Menyirami kasih sayang dan rahmat-Nya kepada kita melalui orang lain yang tidak pernah kita kenali. Subhanallah. Indahnya hidup ini ketika kita berada dalam naungan perhatian Allah. Engkaulah Al-Rahmaan Al-Rahiim, juga al-Razzaq.

Alhamdulillah, demikianlah apa yang telah saya terima dari kasih sayang Allah. HADIAH DARI LANGIT (7) : MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI, karya ilmiah dari MUHAMMAD RASULI JAMIL menambahkan lagi HADIAH DARI LANGIT sebagai koleksi buku-buku peribadi yang bernilai tinggi dari sudut ilmu dan pengetahuan yang ditulis menurut bidang masing-masing. Kesyukuran yang tinggi ke hadrat Ilahi atas kurniaan besar ini. Saya sangat menghargai semuanya.

Tidak pernah mengenali saudara MUHAMMAD RASULI JAMIL sebelum dan sehingga kini. Beliau merupakan teman blogger kepada Kang KC (Kopral Cepot). Menurut saya, beliau mempunyai latar belakang pendidikan tinggi kerana buku MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI, jika diteliti dari kandungan bahasan ilmunya, tergolong dalam kategori buku ilmiah yang dihasilkan melalui kajian perbandingan secara formal, teratur dan profesional di peringkat pengajian Phd. atau doktor falsafah (harap betul tekaan saya. :D) Saya sangat tertarik dengan bahasan yang dibentangkan dalam buku tersebut. Sungguh beruntung saya dapat membaca kajian ilmu ini.

Penerimaan dua buah buku iaitu MANHAJ BERNEGARA DALAM ISLAM (Muhammad Rasuli Jamil) dan HALUMNA ILA MARDHATILLAH – Mari Menuju Redha Allah (Ibnu Bahasan) dari saudara Muhammad Rasuli Jamil pada 27 Febuari 2012 (Isnin) yang lalu, memperlihatkan kebesaran Allah dalam menghubungkan silaturahmi antara sesama muslim walau dibelahan bumi mana mereka berada. 

Alhamdulillah, semuanya berlaku melalui perencanaan Allah apabila saya menerima komentar di ruang Salam Kenal, yang menghasilkan manfaat ilmu itu disampaikan kepada saya dengan begitu cepat sekali dalam tempoh 8 hari sahaja. Subhanallah.

Muhammad Rasuli Jamil February 19, 2012 at 7:14 am 

Assalamu’alaikum. Puan Siti Fatimah Ahmad. Saya menemukan blog anda yang indah dan menarik ini dari jejak kunjungan anda ke blog SerbaSejarah. Kesan saya, anda gemar membaca selain menulis tentunya. Dan sejarah indonesia menjadi santapan anda juga. Sepanjang yang saya tahu, jarang orang Melayu (saat ini) yang dapat mengikuti rentak bahasa Indonesia moden.

Nah… Tentunya anda sudah menemukan nama saya di blog SerbaSejarah; salah seorang yang suka berkomentar di sana. Dan selanjutnya — kalau anda suka — saya ingin menghadiahkan anda buku kajian Sirah Nabawi di Indonesia. Dengan cara menghantar alamat ke email pribadi saya. atas perhatian dan minat anda diucapkan terima kaseh. wassalam

SAUDARA MUHAMMAD RASULI JAMIL, SEMOGA ANDA DIBERKATI ALLAH

****************

SUBHANALLAH, BUKU INI SANGAT BAGUS

Meneliti dan memahami sub-tajuk yang saya tulis di atas – SUBHANALLAH, BUKU INI SANGAT BAGUS – menunjukkan tarikan yang dapat saya gambarkan kepada keseluruhan isi yang terkandung dalam buku MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI : KAJIAN SIRAH NABAWI DI INDONESIA.

Saya mengambil masa yang lama untuk menghabiskan buku ini disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielak. Membaca begitu sahaja tanpa kefahaman dan penelitian yang berkesan terhadap sebuah buku bukan menjadi kebiasaan saya. Saya lebih senang membaca secara lambat tetapi memahami segala kandungan dan kehendak yang ditulis oleh penulis tentang apa yang mahu dikongsikannya bersama pembaca.

Walaupun buku ini ditulis dalam bahasa Melayu Indonesia, saya dapat memahami hampir semua perkataan yang ditulis kerana penulisan ini dalam bahasa ilmiah yang standard bagi bahasa di seluruh nusantara. Tetapi, tidak disangkal saya terpaksa memerah keringat untuk memahami konteks sirah Nabawi kepada sejarah politik dan ideologi Pergerakan Islam di Indonesia. Iya, mungkin kerana saya tidak mahir dalam perbincangan politik memberi kesukaran kepada saya untuk memahami relevansi dengan Manhaj Bernegara Dalam Haji. Itulah fokus buku ini.

Sebagai seorang yang telah melalui perjalanan menuju Makkah dan Madinah, juga salah seorang Dhuyufur Rahman yang menekuni segala manasik haji di masya’ir yang disyariatkan Allah kepada Nabi Ibrahim dan dilanjutkan menerusi Rasul terakhir, Muhammad saw, saya secara jujurnya sangat menyarankan kepada anda untuk membaca buku di atas.

Buku ini sangat bermakna dan memberi informasi yang mengesankan tentang konsep dan sejarah haji  serta konteks perbandingannya dalam persamaan hal bernegara di masa kini, fokusnya di Indonesia, tetapi boleh diaplikasikan kepada negara-negara Islam yang lain.

Subhanallah… hati saya bagai diseru untuk menekuni setiap ayat dan perenggan bermula dari Bab 1 hingga Bab 4. Namun sempat terkasima sebentar pada Bab 5. 😀  Masya Allah, tidak pernah saya membaca buku yang kandungannya kosong begitu sahaja. Malah penulis mengakui secara terus terang bahawa Bab 5 memang sengaja dikosongkan.

Hmmm… ini satu kebijakan penulis untuk memancing keinginan pembaca bagi meneruskan pembacaan akan datang dan membiarkan pembaca membuat penilaian kendiri supaya tidak terpengaruh kepada hasil kajian yang telah beliau perolehi. Biarkan buku Manhaj Bernegara Dalam Haji membela dirinya sendiri.

Saya memahami bahawa Bab 5 merupakan bab analisa dan kesimpulan secara menyeluruh terhadap kajian-kajian yang telah dilakukan untuk dibuat perbandingan pro dan kontra menurut penilaian dan pemerhatian penulis atau pembaca. Bab 5 adalah bab yang paling mengujakan bagi para pengkaji untuk mempertahankan dapatan kajian mereka. Malah paling mencabar juga. Saya selalu pening (headache) mengulit bab 5 ini berdasarkan pengalaman saya menghasilkan kajian di peringkat sarjana (S2) dahulu.

Mari bersama saya mengikuti secara ringkas kandungan buku MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI berdasarkan bab-bab yang telah ditentukan.

BAB 1

MILAH NABI IBRAHIM DAN IBADAH HAJI

Setelah membaca buku ini, saya amat tertarik dengan Bab 1 yang mengandungi 50 halaman (1-50) dan dibahaskan dalam 4 sub-tajuk iaitu (a) Nabi Ibrahim Dalam al-Quran. (b) Milah Nabi Ibrahim Sebagai Pedoman Bagi Rasul Berikutnya. (c) Manasik Haji : Napak Tilas Risalah Nabi Ibrahim dan (d) Tauhid Allah Sebagai Ikrar Azali Manusia.

Bab ini memperincikan tentang perjuangan Nabi Ibrahim dan keluarga baginda (Siti Hajar, isteri dan anaknya, Ismail) di Lembah Makkah yang disifatkan sebagai lembah yang menakutkan dan berbahaya. Kemudiannya diberkahi Allah melalui doa Nabi Ibrahim a.s sehingga kita dapati kini keberkahan doanya sangat mengkagumkan.

Di dalam bab ini, persoalan saya tentang agama Nabi Muhammad sebelum diangkat menjadi nabi dan rasul terungkap jelas dalam (b) Milah Nabi Ibrahim Sebagai Pedoman Bagi Rasul Berikutnya dengan hujjah yang mantap dari dalil nakli yang disandarkan. Malah saya yakini ramai umat Islam tidak mengetahui tentang ini. Astaghfirullah walhamdulillah. Demikianlah jika ilmu selalu menjadi bekal dan bual. jadilah sahabat al-Quran kerana ia adalah teman yang menunjuk jalan kebenaran.

BAB 2

MANHAJ RASULULLAH DALAM BERNEGARA

Bacaan saya semakin menarik apabila memasuki Bab 2 yang menyentuh tentang (a) Pengertian dan Fungsi Sirah Nabawi. (b) Manhaj Rasul Dalam Bernegara dan (c) Dari Negara Kurnia Allah Madinah ke Al-Khilafah Al-Islamiyyah Dalam Islam. Di sini, penulis menekankan awal perjuangan baginda saw dengan mengatur strategi dakwah dan pendidikan secara tidak formal untuk melahirkan para mujahid yang hebat dan teguh imannya.

Penulis menjelaskan tentang Marhalah Iman, Hijrah dan Jihad sehingga terbentuknya Negara Islam Madinah yang membuktikan pemerintahan yang telus dan beramanah mengikut syariat Islam, pentadbiran secara teratur dan bersistem berlandaskan sumber al-Quran dan al-Sunnah. Sebuah perjuangan iman yang kemudiannya tersebar ke seluruh dunia.

Kemudian merentasi perjalanan jauh dalam sistem al-Khilafah al-Islamiyyah, bermula pada tahun ke 11 hijrah dari zaman kegemilangan sehingga keruntuhannya yang mengakibatkan institusi al-Khilafah al-Islamiyyah  tersungkur dari praktik dunia Islam di Istanbul, Turki. Jarak waktu pendirian sistem al-Khilafah ini adalah selama 14 abad.

Bab ini dibicarakan dalam 48 halaman (51-98) yang menyingkapkan kepada kita perjuangan awal Rasulullah saw menegakkan Islam sehingga kepada kejatuhan total umat Islam diakibatkan oleh nafsu, kuasa dan cinta dunia. Masya Allah. Akhirnya Islam kembali gharib – asing – semula hatta di kalangan umat Islam sendiri yang sudah aneh melihat kehidupan bersyariat ini.

Sungguh saya terusik hati mengenangkan perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat juga pejuang-pejuang Islam untuk menegakkan syariat di muka bumi ini, akhirnya rebah kesakitan tanpa ubat penyembuhnya. Sungguh memalukan apabila umat Islam sendiri menodai agamanya.

SUBHANALLAH, ANDAINYA  UMAR AL-KHATTAB MASIH ADA, PASTI UMAT ISLAM AKAN TERBELA HIDUPNYA

****************

BAB 3

AKHLAQ MUJAHID DAN HAJI

Bab 3. merupakan bab huraian penulis tentang hikmah yang dapat diambil dari perjalanan ibadah haji dan relevansinya dengan akhlak para mujahid dalam perjuangannya menegakkan syariat Allah. Perbincangan penulis buku pada bab ini terkandung dalam 40 halaman (99-138).Bab ini dibahagikan kepada tiga perbahasan iaitu (a) Definisi Etimologi. (b) Akhlaq Azimah dan Karimah dan (c) Akhlaq Muslim -Mujahid yang dikaitkan dengan manasik dan masya’ir haji – Miqat, Makkah – Baitullah, ‘Arafah – wukuf, Muzdalifah – mabit, Mina – melontar dan qurban, Tawaf Ifadhah dan hari-hari Tasyri’.

Antara kedua bab yang telah disimpulkan di atas, jujurnya saya amat terkesan dengan penjelasan dapatan kajian di dalam bab ini kerana ia melibatkan individu yang mengalaminya sendiri. Di sinilah proses jihad itu berlaku, bagaimana seorang muslim harus mendidik dan mendisiplinkan dirinya untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala larangan berdasarkan hukum yang telah ditetapkan.

Sungguh menarik segala perbahasan ini kerana  7 bulan yang lalu, saya telah melaksanakan segala Rukun dan Wajib Haji mengikut ketetapan syariat di masya’ir yang mengandungi banyak hikmah untuk diteladani dan disempadani.

****************

BAB 4

ISLAM BERNEGARA DI INDONESIA (1905 – 1962)

Menurut saya, Bab 4 yang ditulis dalam 86 halaman (139 – 224) memberi cabaran kepada saya untuk memahami tentang konsep Islam bernegara di Indonesia yang tentunya sangat asing bagi saya sebagai orang yang berada di luar Indonesia. Bab ini menyentuh 3 perkara iaitu (a) Dari Konsep Menuju Metode. (b) Tokoh-Tokoh Pergerakan Islam – Haji Samanhudi (Pelopor Kebangkitan Iman), Haji Oemar Said Cokroaminoto (Pelopor Sikap Hijrah) dan Sekarmaji Marijan kartosuwiryo (Pelopor Jihad); dan (c) Tiga Marhalah (3M) Pergerakan Islam.

Saya berterima kasih kepada saudara Muhammad Rasuli yang menghargai saya sebagai pembaca sejarah yang belum mantap pengetahuan dan keinginannya. Bagi saya, sejarah itu sangat menarik untuk dibaca kerana apa yang telah terjadi banyak mengajar kita erti kehidupan yang harus dihargai di masa depan.

Terus terang sahaja, bahawa Bab 4. ini paling sulit untuk saya fahami walau tidak bermasalah dalam membaca bahasa Indonesia.  Hal ini membawa kesan kepada lambatnya pembacaan saya lantaran banyak fakta-fakta sejarah yang saling kait-mengait antara tokoh-tokoh pembangun gerakan Islam untuk menjadikan Indonesia sebuah negara Islam di nusantara. Selain usaha membebas negara dari cengkaman penjajah yang cuba memusnahkan jati diri umat Islam akibat dari penjajahan selama lebih dari 350 tahun.

Fakta-fakta yang dikumpul tentang konsep Islam bernegara di Indonesia sepanjang perjuangannya menunjukkan bahawa metod Tiga Marhalah (Iman, Hijrah dan Jihad) dapat disepadukan dalam membentuk sebuah negara Islam yang diinginkan oleh sebahagian besar dari rakyat Islam Indonesia.  Jika ada kemahuan di situ ada jalan. Perjuangan yang telah ditempoh sangat panjang.

Hanya muslim sejati yang sanggup mati dan berjuang untuk menegakkan keadilan di negara yang majoritinya Islam. Bilakah cita-cita itu akan tercapai ? Hanya masa yang menentukan di samping jalur-jalur perjalanan para mujahid baru di kalangan generasi akan datang sanggup untuk meneruskan perjuangan yang belum kesampaian ini untuk direalisasikan agar mereka yang sudah bersemadi, berasa bangga bahawa perjuangan mereka diteruskan sehingga ke puncak jaya.

BAB 5

ANALISA DAN KESIMPULAN

Tiada pengisian ilmu di Bab 5, jelas kosong dengan 1 helaian halaman sahaja. Di sini  penulis mengharapkan  komentar pro dan kontra dari para pembaca terhadap buku MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI.  Sangat bijak. 😀 Cara yang jarang digunakan oleh mana-mana penulis buku. 

Secara keseluruhannya, saya mendapati buku ini sangat bagus dibaca kerana dapatan yang ditulis mempunyai kekuatan hujah yang dipercayai dari sumber yang sahih dan jelas. Sangat menarik mengetahui sirah Rasul dan kaitannya dengan sejarah manusia yang terkemudian. Mungkin berat bagi sesetengah pembaca yang kurang menanggapi penulisan berbentuk ilmiah, saran saya berusaha juga mengajak diri untuk melihat suatu yang realiti dalam sejarah lalu, sebagai pendorong kepada terbentuknya sejarah akan datang. Dan kita berada dalam sejarah yang telah datang itu.

****************

BUKU KEDUA

Buku kedua kiriman saudara Muhammad Rasuli Jamil bersama buku beliau, belum sempat saya baca. Hanya mengintip di bahagian pengantar yang dapat memberi saya sedikit gambaran secara holistik tentang bahasan kandungan di dalam buku ini.

Buku Halumma Ila Mardhatillah, Mari Menuju Ridha Allah dengan sub-tajuk Islam Lintasan Sejarah Negara, Bangsa dan Bahasa, tulisan Ibnu Bahasan ini merupakan catatan-catatan kuliah kepada para pelajar beliau yang asalnya berbentuk makalah untuk ceramah umum dan kelas-kelas khusus. Walaupun penulis menjelaskan buku ini ditulis tidak mengikut standard penulisan ilmiah, tetapi saya berpandangan sebaliknya. 😀

****************

30 April 2012 (Isnin)/ 9 Jamadil Akhir 1433H/ 1254 petang – Bintangor, Sarawak

AKU…. adalah antara jutaan manusia yang hidup dalam sejarah tersendiri. Aku tidak akan pernah mengalah kepada apa yang ditempoh dalam mencapai cita-cita yang tidak bercanggah dengan ajaran agama meskipun aku harus mati melaluinya. Aku mesti menjadikan diri sebagai manusia yang berguna di dunia dan akhirat agar sejarah yang dilakar dapat aku banggakan di hadapan Tuhanku yang akan tersenyum dengan kesabaranku menghadapi gelombang hidupku. Terima kasih Ya Allah, selalu memerhati keperluanku saat aku memerlukan-Mu.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

DIMANA-MANA AKU BERADA… ENGKAU SELALU ADA DALAM INGATAN DAN HATIKU

19 thoughts on “CT102. HADIAH DARI LANGIT (7): MANHAJ BERNEGARA DALAM HAJI

  1. aduh membaca tulisan mbak fat seperti kalau saya mengajar sastra angkatan 20-di Indonesia. paham tetapi sedikit kesulitan membaca postinganya. he he seperti lihat kartun ipin dan upin tahu yang menjadi percakapannya ,lucu menyimak percakapannya. salam dari indonesia.

    • Hai Mintarsih….

      Hehehe… tulisan saya dalam bahasa Malaysia, makanya mbak kurang ngerti sebahagian dari apa yang dibicarakan.

      Tapi kalau mbak selalu kemari dan membaca postingan saya, akhirnya bisa memahami juga bahasa yang saya gunakan seperti saya memahami bahasa Indonesia setelah lama berada di maya pada warga negaranya. 😀

      Terima kasih dan salam mesra.

      • Iya mbak meski serumpun ada yang beda jauh maknanya di Indonesia. Kebetulan saya guru Bahasa Indonesia. MIsalnya seronok itu kalau di Indonesia berarti Bertingkah laku yang melanggar etika sopan santun/moral. he he akan belajar bahasa Malaysia.

        • Masya Allah… demikian sekali bedanya ya mbak. Kalau di Malaysia, seronok itu bermaksud gembira, ceria atau perbuatan bahagia yang digambarkan apabila dapat/berjaya melakukan sesuatu yang diimpikan. hehehe.

          Kerana itu jika tidak faham, kita seharusnya bertanya dari memendam rasa penuh dengan persoalan yang mengerut wajah. Mudhan kita bisa memahami kata bicara yang berbeda itu.

          Terima kasih mbak. 😀

            • Masya Allah, begitu ya maksud comel di Indonesia..hehehe. Jauh sekali makna antara dua negara walau sangat dekat lokasinya.

              Di Malaysia. comel itu bermaksud “cute” atau imut di Indonesia. Lucu itu termasuk dalam ciri-ciri yang dimiliki oleh semua orang, Elfarizi, sama ada comel atau tidak. 😀

              Terima kasih sudah berkongsi.

      • Iya benar, Bunda…
        Awalnya saya agak kesulitan membaca tulisan berbahasa melayu,
        Namun seiring berjalannya waktu, lancarlah saya memahami tulisan berbahasa melayu…
        Salam sayang dariku, Bunda…

        • Alhamdulillah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, Arina.
          Sering membaca akan membawa kita meneroka alam baru yang nantinya memahirkan kita pada jalan yang dituju.

          Demikian juga bunda, awal dulunya sukar memahami bahasa Indonesia tetapi setelah sering membaca di blog sahabat di sana, bunda kian mahir malah kepada bahasa gaulnya juga sudah mulai difahami.

          Senang jika kita sudah dapat memahami mana-mana bahasa dengan baik. Salut buat Arina. Harap selalu mampir ke blog bunda, biar bahasa Melayunya lebih mantap. 😀

          Semoga sukses selalu.
          Salam sayang juga dari bunda.

  2. Assalamu’alaikum wr.wb…
    Pertamax.. saya bersyukur dan gembira atas “hadiah” dari bang MRJ diberikan kpd orang yang tepat yaitu bunda 😉
    Kedua ; Saya yakin bunda telah membaca buku hadiah ini dengan apik dan memberikan “apresiasinya” dalam tulisan ini secara baik dan obyektif.

    btw … membedah sejarah, terkhusus sejarah islam indonesia bukanlah perkerjaan yang mudah dan bang MRJ dalam buku “manhaj-nya” memberi kekayaan ilmiah dalam urusan bedah sejarah dengan “pisau analisa manhaj nabawi”. Ini menunjukan bahwa sejarah perjuangan umat Islam bangsa Indonesia khususnya bukanlah “sejarah kebetulan” tetapi “sejarah kesengajaan” sebuah sejarah yang dirancang direncanakan.

    Baginda Rosululloh Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh tauladan yang luar biasa dalam memperjuangkan dan menegakan al-islam, yang diabadikan didalam al-Qur’an sebagai “Ushwatun Hasanah” tentunya bagi umat Islam dimanapun berada dizaman kapanpun dia berada, wajib menjungjung tinggi kiprah jejak perjuangan nabi dengan meniru/mencontoh/meneladani demi satu misi menegakkan kalimat Ilahi. Dan syukur Alhamdulillah atas karunia Alloh SWT, para pendiri negara di bumi Indonesia diantaranya telah mampu menapak tilasi bersholawat pada kiprah Nabi dengan tahap demi tahap perjuangan Islam di Indonesia… tentunya ada kelebihan ada pula kekurangannya … hanya saja apa yang dilakukan, apa yang diperbuat, apa yang diperjuangkan saya yakin semata-mata hanya karena ingin berbakhti mengabdi dan mengharap Rhido Ilahi Rabbi. Dan saya yakin pula dengan cara dalam situasi yang berbeda ada pula yang berjuang di negeri jiran malaysia berbuat yang sama untuk menjunjung tinggi panji-panji Islam selaku bagian umat nabi.

    Semoga kita semakin mencintai nabi kita Rosululloh SAW dan mampu mengaplikasikan jejak hidup perjuangan beliau dimasa kini.

    Terakhir ………… maaf’s skali kepada bunda, karena saya semakin jarang jalan-jalan kesini… 😉

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kang KC…

      Subhanallah, senang membaca komentar panjang dan berbobot dari Kang KC. Banyak manfaat yang saya perolehi setelah memahami apa yang Kang KC jelaskan tentang perjuangan para ulama terdahulu untuk menegakkan syiar Islam di Indonesia.

      Saya setuju bahawa sesuatu perjuangan yang menegakkan Islam bukanlah secara kebetulan tetapi satu rencana yang disengajakan sebagai usaha jihad yang menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam untuk mempertahankannya.

      Rasulullah saw diutus untuk melaksanakan transformasi ilmu dan transformasi pendidikan untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Membimbing manusia ke jalan benar, menuruti perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

      Melalui akhlak Rasul yang azimah dan karimah, kita belajar untuk mendisiplinkan diri agar bersabar dan teguh dalam menjalani syariat Allah tanpa rasa susah dan berat. Mudahan kita punya kekuatan untuk berjuang meninggikan Islam dalam apa jua aspek kehidupan dalam bernegara atau kehidupan peribadi.

      Terima kasih Kang KC singgah menitip makna kata yang bermanfaat untuk difikirkan bersama. Buku Manhaj Bernegara Dalam Haji memberi ilmu baru buat saya dalam memahami konteks sirah Nabi dan ibadah haji dalam memimpin muslim mengenal diri mereka sendiri.

      Salam hormat dari saya. 😀

  3. Wah, banyak ketiban duren dari langit ya mbak?
    Semoga jadi langkah yang berkah menuju masa depan yang lebih baik.
    Setuju, kita perlu pendekar yang bisa kibar panji-panji Islam setangguh Umar Bin Khatab.
    Nice posting. 🙂

    • Alhamdulillah… di sini namanya durian runtuh mas Rahman. Tapi tidak tepat juga kerana durian runtuh itu bermaksud menerima keuntungan atau kebaikan berganda-ganda. 😀 Mudahan saya demikian juga kerana mendapat banyak ilmu yang tidak saya ketahui selama ini.

      Aamiin… Ya Aziiz Ya Syakuur.
      Terima kasih atas doa yang baik. Didoakan mas Rahman juga begitu. Jika kita suka melakukan kebaikan, maka kebaikan juga yang kita dapat. Semua itu kurnia Allah yang tidak kita ketahui bilakah kita akan perolehinya.

      Subhanallah, dunia Islam kini sudah miskin dengan pemimpin hebat seperti Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz, cucunya. Juga sahabat Rasulullah saw yang lain yang diredhai Allah semuanya.

      Pemimpin Islam hari ini sudah jauh dari landasan Islam dan takut menengakkan Islam dalam negaranya sekalipun. Mudahan ada mujahid baru yang akan muncul pada ketika yang Allah tentukan di masa depan untuk membela umat Islam.

      Terima kasih atas penghargaannya dan salam hormat. 😀

    • Alhamdulillah,dari teman yang tidak pernah bunda kenali tetapi bermurah hati sifatnya. Semoga beliau diberkahi Allah. Aamiin.

      Insya Allah,pasti ada ruang untuk Allah mempertemukan kita nanti. Cuma tidak tahu kapan masanya. 😀

      Terima kasih Dhila kerana menyapa bunda yang sedang bercuti satu hari – Hari Pekerja (Labour Day) – di Malaysia hari ini.

      Salam mesra kembali dari bunda. 😀

  4. Subhanallah bunda… buku2nya bagus2.. semua buku yang bunda bahasa disini tidak saya punyai.
    Bunda memang sangat beruntung.
    Salam silaturahim & salam kenal bunda.

    • Hai Bulbenbeach,,,

      Alhamdulillah, satu keberuntungan yang sangat disyukuri dari kurnia Allah swt.

      Mudahan anda satu hari nanti bisa memilikinya.
      Salam kenal kembali dan terima kasih sudah bersilaturahmi kemari. Mudahan bisa mendapat manfaatnya.

      Salam sejahtera. 😀

    • Alhamdulillah, semua itu kurnia Allah yang tidak pernah diketahui saat tibanya ke sisi.

      Hakikatnya, saya berada di dunia maya Indonesia dari Malaysia. Seperti sudah jadi sebahagian dari warga maya di sana. 😀 Alhamdulillah, sangat banyak sekali dan saya menghargainya. Teman maya dari Indonesia semuanya baik dan senang bersahabat.

      Terima kasih atas kunjungan Eifarizi lagi. Semoga sukses selalu.
      Salam sejahtera. 😀

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.