CT467. POSITIF DALAM MENERIMA UJIAN HIDUP

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

Tiada siapa pun di antara manusia yang terlepas dari ujian dan masalah dari Allah. Semua tribulasi ini merupakan bukti kasih sayang Allah kepada manusia yang memahami makna kasih sayang. Di samping itu ujian juga merupakan bukti balasan baik atau sebaliknya atas setiap perbuatan manusia.

Cuma manusia perlu membidik mindanya sendiri untuk menganalisa, mengambil iktibar atau menjadikan ia kayu ukur dalam menilai atau memuhasabah diri atas setiap apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran atas apa yang menjadi tanggungjawab supaya tidak merasa angkuh, lalai dan sombong. Semua itu adalah kurniaan Allah yang memberi peluang kepada kita untuk merasai nikmat hasil dari pengorbanan dalam usaha yang dilakukan tidak kira baik atau buruk.

Pengorbanan juga adalah lumrah kehidupan. Ia aktiviti rutin buat manusia. Setiap saat, setiap jam, setiap hari dan sepanjang masa; kita sebenarnya sering melakukan pengorbanan dalam hidup.

Kita harus melihat betapa hidup ini mesti dilalui dengan penuh redha, ikhlas dan penuh jasa buat insan-insan yang memerlukan. Semuanya kerana Allah swt. Bukan untuk diminta balas oleh sesiapa tetapi untuk kepuasan dan nikmat kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Ujian yang paling besar buat manusia adalah kelebihan yang ada pada dirinya bukan kelemahannya. Kelebihan itu merangkumi, tubuh badan yang sihat, akal yang cerdas, harta kekayaan, ilmu yang tinggi, bijaksana dalam pelbagai aspek dan sebagainya. Lalu, bagaimana kita menggunakannya untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Oleh itu,  kita harus banyak bersyukur kepada Allah swt atas kurniaan tersebut berbanding orang lain yang belum lagi menikmatinya. Jangan pernah berputus asa dalam mengejar kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Setiap yang kita usahakan, pasti ada ganjaran yang setimpal.

Semoga Allah swt sentiasa memelihara kita dari sifat riak, takjub, ujub dan segala sifat mazmumah yang lain. Mudah-mudahan. Amiin.

*

Nikmatilah lagu kegemaran saya dari kumpulan Alleycats. Liriknya sangat indah dan mengesankan.

*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima22 Febuari 2018 (Khamis)/ 6 Jamadilakhir 1439H/ 1.30 petang/ Bintangor, Sarikei, Sarawak

– SITI FATIMAH AHMAD –

 

6 thoughts on “CT467. POSITIF DALAM MENERIMA UJIAN HIDUP

  1. Assalamualaikum wr. wb Bu Hajjah Fatimah.

    Allah swt menguji manusia dalam kesempitan maupun keluasan. Dalam hal apapun. Hendaknya kita selalu berprasangka baik padaNya dengan tetap ikhtiar namun juga pasrah pada Allah swt.

    Semoga selalu jadi pengingat bagi kita semua. Aamiin ya robbal alamin.

    Salam hangat dari Jakarta Pusat 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Manusia hendaklah memahami tujuan ujian ditimpakan ke atas kita. Jika kita mempunyai akal waras dan iman, pasti kita bersyukur di sebalik setiap kejadian yang kita lalui. Mudahan kita selalu redha serta berusaha untuk menjadi hamba yang baik. Aamiin.

      Terima kasih atas kunjungan dan salam manis selalu. 🙂

  2. Assalamualaikum ustazah, dalam hidup ini kita sebagai hamba Allah memang tidak akan lari dari sebarang masalah dan dugaan hidup. Tidak ada manusia yang tidak diuji oleh Allah S.W.T. Namun begitu jangan sesekali berputus asa malah kita perlu bangkit dan lebih bersemangat untuk mengharungi hidup. Tambahan pula, jika menerima sebarang dugaan jangan sesekali menyalahkan seseorang tersebut menjadi punca tapi ambillah iktibar daripada dugaan tersebut. Bersangka baik sangat digalakkan jangan sesekali diamalkan pemikiran negatif kerana ianya boleh mempengaruhi kehidupan kita.
    Senario masa kini di mana sikap dan perbuatan mengutamakan makhluk itu banyak berlaku dihadapan mata kita sehingga ada yang sanggup melakukan kerosakan, menganiaya, penindasan dan kekerasan semata-mata untuk mendapatkan kepuasan nafsu dan keredaan makhluk. Sanggup mengampu, bermuka-muka, berpura-pura dan sebagainya asalkan mendapat apa yang dihajatkan biar apa pun yang berlaku kepada orang lain.Setiap manusia hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah kerana keredaan Allah itu adalah kemuncak pengharapan manusia yang hidup di muka bumi. Ini boleh dicapai dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
    Akhir sekali sikap hidung tinggi ini jangan sesekali wujud dalam diri kita. Jangan sesekali berprasangka bahawa kita adalah yang terhebat oleh kerana ilmu, jawatan atau harta yang diperolehi sebaliknya latihlah diri untuk menjadi individu yang sentiasa merendah diri. Tidak rugi sekiranya menjadi individu yang merendah diri kerana Allah sangat menyukai hambanya yang sentiasa bersyukr. Antara ciri ahli syurga ialah dia bersikap merendah diri dan menjauhi sikap takbur. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas, ayat 83 yang bermaksud: “Itulah negeri akhirat yang Kami sediakan bagi orang yang tidak berkeinginan untuk menyombong diri di atas muka bumi dan menyebarkan kerosakan.” Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada penulisan ini.

    FATIN NAJWA AYUNNNI BINTI JAMALI
    PISMP JUN 2020 PA SK 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

  3. Assalamualaikum wbt ya ustazah. Alhamdulillah saya telah membaca penulisan ustazah yang bertajuk “Positif dalam Menerima Ujian Hidup”. Penulisan ustazah dalam ruangan ini banyak menyedarkan saya dan memberi pengajaran dan nasihat yang positif kepada saya iaitu saya seharusnya tidak mengeluh dengan segala ujian yang saya hadapi sepanjang hidup saya. Ya, saya amat setuju dengan pernyataan ustazah yang menyatakan bahawa ujian yang datang bukanlah datang sebagai satu musibah, malah ia mempunyai tujuan yang tertentu dalam menjadikan kita seorang muslim dan Muslimah yang lebih baik.

    Hal ini sering kita lihat dalam kehidupan drama mahupun kehidupan dalam dunia nyata, kehidupan-kehidupan orang yang berjaya, berharta, bijaksana dan sebagainya tidak pernah menerima sebarang ujian hidup kerana kebahagiaan sentiasa mengekori mereka walaupun mereka menanamkan sikap angkuh, sombong dan tidak patuh atas perintah Allah dalam diri mereka. Namun, kita harus sedar, jika kita telah berada di dalam peringkat kehidupan seperti contoh di atas, kita telah berhadapan dengan ujian yang paling besar kerana sinar untuk kita mendekatkan diri kepada Allah kabur kerana tiada ujian yang dapat menyedarkan kita daripada sikap lalai dan angkuh kita dalam menjalani hidup di dunia. Dalam kata lain, perkara ini dipanggil istidraj iaitu istidraj diberikan kepada orang-orang yang mati hatinya. Mereka adalah orang yang tidak merasa bersedih atas ketaatan yang ditinggalkan dan tidak menyesal atas kemaksiatan yang terus dilakukan dan ia merupakan ujian terbesar dalam diri manusia tanpa kita sedar. Nauzubillah. Semoa kita sentiasa dijauhi daripada golongan tersebut.

    Oleh itu, kita seharusnya menerima sesuatu ujian dengan positif dan dengan hati yang terbuka kerana ujian yang datang ialah suatu ganjaran yang patut dihargai. Ujian yang datang juga dapat menjadi satu titik permulaan untuk kita menjalani kehidupan dengan lebih baik berbanding sebelumnya kerana dengan usaha kita dalam menghadapi sesuatu ujian, ia akan memberikan kita manfaat yang berganda berbanding ujian yang kita hadapi. Yakinlah bahawa setiap ujian adalah cara Tuhan untuk mendewasakan kita. Inshaa Allah.

    NUR IZYAN SYAZIANA BINTI USOP
    PA SK(2) PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.