CTaa500. BELAJAR KHAT (1): MINAT DAN TERPAKSA

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

*

BELAJAR FORMAL

Kali terakhir menulis khat adalah pada Ogos tahun 1995. Menulis pada sehelai kain putih (banner) atas permintaan seorang ustaz (ahli Jawatankuasa Maulidur Rasul) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah.

Ketika itu saya baru beberapa minggu melapor diri (Julai 1995) sebagai guru permulaan (novis) di Sekolah Menengah Kerajaan (BM) Seratok, kini daerah Seratok dalam Bahagian Betong. Masih muda, baru berusia 26 tahun. Saya mengajar di sekolah ini hanya 2 bulan. Bulan September 1995, saya berpindah untuk bertugas di Maktab Perguruan Rajang, Sarikei, Sarawak.

Semasa di SMK (BM) Saratok, minat menulis khat masih berkobar-kobar kencang. Saya sering membuat latihan di dalam bilik guru sebaik habis kelas atau ada ruang masa rehat. Di situ, bakat menulis khat terdedah dan sering menerima pujian oleh guru yang lalu lalang di meja saya.

Alhamdulillah, ada yang menghargai bakat dan tentu sekali saya berbangga atas usaha yang dilakukan bagi memeriah suasana sambutan Maulidur Rasul. Kenangan itu terus dikenang sehingga hari ini, selama 25 tahun selari dengan usia perjalanan profesion keguruan saya.

Minat dengan penulisan khat ini adalah bermula dari satu sabjek khat yang wajib diambil secara paksa oleh setiap pelajar bidang Pengajian Islam, Diploma Pendidikan untuk satu semester bagi memenuhi Kursus Perguruan Lepas Ijazah di Maktab Perguruan Islam, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Itulah kursus khat secara formal yang pertama saya lalui. Kami sangat beruntung kerana guru-guru khat kami bukan sebarangan orang, Mereka pakar dalam bidang khat dan banyak menyumbang kepada seni khat di Malaysia.

*

HASIL UJIAN MENULIS KHAT

Alhamdulillah, inilah hasil UJIAN pertama tulisan khat saya yang telah disemak dan diberi markah JAID JIDDAN oleh guru khat saya semasa bergelar guru pelatih. Ia masih disimpan sehingga sekarang. Tulisan ini sudah berusia 25 tahun. 

Saya tahu ia bukan tulisan yang cantik sebagai hasil kerja belajar untuk beberapa bulan sahaja.  Untuk tulisan ini, saya perlu membuat banyak latihan dan bersungguh-sungguh agar mendapat markah yang baik. Tentu sekali usaha saya tidak sia-sia selain minat yang mula muncul sedikit demi sedikit.

Alhamdulillah dan terima kasih Ustaz kerana memberi nilai SANGAT BAIK untuk tulisan khat pertama saya ini. Saya sangat berpuas hati walau hakikat sebenarnya saya nak markah MUMTAZ. Bersyukurlah.

Satu-satunya hasil kerja yang tidak ada lagi selepas itu kerana bakat dan minat yang bermula dari TERPAKSA tidak lagi diteruskan. Ia bagai terkubur dan tidak bangkit-bangkit lagi. Ibarat cinta yang hilang walau masih terpendam di lubuk sanubari yang terdalam. Tambah lagi, tiada guru khat yang boleh dirujuk setelah kembali ke Sarawak.

*

Hasil kerja tulisan Khat (tahun 1995) untuk ujian akhir semester : Khat Nasakh, Khat Riq’ah dan Khat Thuluth. Tulisan saya ini, usianya sudah 25 tahun.)

*

SEJARAH BARU BERMULA

TAHUN 2020, sejarah baru bermula setelah 25 tahun, saya diamanahkan untuk mengajar kursus Pengantar Jawi kepada siswa guru persediaan (PPISMP Semester 2). Salah satu tajuknya adalah PENULISAN KHAT.  Sungguh, saya berdebar-debar dan teruja. Tetapi saya sudah 25 tahun tidak menulis KHAT. Bagaimana agaknya tulisan saya nanti ? 

Saya rasa segan dan kurang yakin untuk mengajar khat. Tetapi terpaksa kerana pilihan kepada saya, bukan orang lain. Allah memilih saya dan peluang ini saya tidak dapat elak. ia bukan lagi kerana minat tetapi kerana TERPAKSA. Allah, Allah, Allah.

*

***************

SalamFatima3SalamFatima6 OGOS 2020 (Khamis) / 16 Zulhijjah 1441H/ 6.30 pagi / Bandaraya Kuching, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

17 thoughts on “CTaa500. BELAJAR KHAT (1): MINAT DAN TERPAKSA

    • Alhamdulillah, saya baik. Didoakan saudara Rahman juga demikian sama.
      Terima kasih sudah berkunjung lagi.
      Lama tidak aktif menulis, mudahan kita semua beroleh manfaat dari tulisan sedia ada.

      Salam sejahtera selalu. 🙂

  1. Alhamdulillah ustazah, Seronok membaca kisah ustazah berkaitan perjalanan ustazah mempelajari tulisan Khat ini. Ia membuatkan saya tertarik untuk mempelajari tulisan khat dengan lebih luas. Saya juga teringat semasa ustazah mengajar kami Khat sewaktu PPISMP daahulu. Sungguh kuat tekad ustazah ingin mengajar kami meskipun sudah berpuluh tahun menginggalkan penulisan khat ini. Banyak pengajaran dan nilai yang boleh kita ambil berdasarkan kisah ustazah. Antaranya, kita haruslah mencuba sesuatu perkara sebelum berputus asa. Ini dapat dilihat berdasarkan kisah ustazah dimana perasaan ustazah yang segan dan kurang yakin untuk mengajar kami. Namun begitu, ustazah tetap menguatkan tekad ustazah. Hasilnya, ustazah sudah mahir kembali melakukan penulisan khat dan sudah mewariskan ilmu tersebut kepada 50 orang pelajar. Nilai yang dapat kita ambil adalah bersungguh-sungguh, rajin, dan tidak berputus asa. Nilai ini dapat kita lihat berdasarkan pengalaman ustazah dalam mempelajari penulisan khat pada tahun 1995 dan ketika ustazah mengajar penulisan khat pada tahun 2020. Oleh itu, saya berharap agar semua orang mendapat inspirasi daripada kisah ustazah ini dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan mereka. InshaAllah.

    Muhammad Aqil bin Aziz
    Pismp PA (2) SK Jun 2020
    Semester 3 IPGK Batu Lintang Kuching, Sarawak

    • Alhamdulillah, terima kasih Aqil sudah menulis komen di sini. Maaf sebab Ustazah lambat membalas. Begitulah kehidupan manusia, pasti ada cabaran yang perlu dilalui sama ada rela atau terpaksa atau dipaksa. Semua terserah kepada kita untuk menjadikan cabaran itu suatu yang memberi makna dalam diri bagi mengubah cara fikir dan pola kehidupan kita.

      Terima kasih kerana telah berusaha untuk belajar khat dengan ustazah walaupun hanya asas sahaja sebagai permulaan untuk mejadi lebih baik di masa akan datang. Semoga terus berjaya menjadi guru dedikasi dalam bidang keguruan. Insya Allah.

      Barakallahu fiik. 🙂

  2. Asalammualaikm ustazah, alhamdulillah saya sangat tertarik dengan penulisan ustazah dan juga semangat yang dizahirkan melalui penulisan ustazah. Sangat terinspirasi diri saya apabila melihat kesungguhan ustazah sejak bergelar pelajar. Saya juga secara jujurnya amat terpegun melihat kemahiran menulis khat ustazah semasa mengajar kami di PISMP 2020. Pergerakkan tangan ustazah amat lembut walaupun pada masa itu ustazah mengatakan ustazah sudah lama meninggalkan latihan tulisan khat tersebut. Namun selepas itu, ustazah mula berlatih pada masa terluang untuk memahirkan lagi seni tulisan ini.
    Alhamdulillah, daripada coretan dan juga perkongsian ustazah saya dapat melihat nilai kesungguhan dan ketekunan dalam mengusahakan sesuatu sehingga mahir dan menguasainya. Apabila gagal ataupun masih kurang berpuas hati, teruskan berusaha sehingga hasilnya mampu memekarkan senyuman di bibir.
    Terima kasih ustazah, atas perkongsian ini moga moga pada masa akan datang lebih ramai yang terinspirasi dan mulai menguasai tulisan ini agar seni ini tidak hilang ditelan zaman.

    NURSUHADAH BINTI MOS
    PISMP PA2 SK JUN 2020
    SEMESTER 3 IPGK BATU LINTANG SARAWAK

    • Alhamdulillah, terima kasih Suhadah atas perkongsian idea yang ditulis dalam ruangan tulisan ini. Maafkan Ustazah atas kelewatan membalasnya. Saya amat bangga atas usaha Suhadah dan kawan-kawan dalam menekuni kursus Pengajian Khat bersama saya walaupun masih belum menguasai kemahiran itu dengan berkesan.

      Sekurang-kurangnya telah berusaha dan mengalami suasana pembelajaran tersebut, pasti menjadi kenangan dikemudian hari. Foto-foto kita belajar kursus ini tentu menjadi kenangan indah apabila kamu semua bergelar guru nanti.

      Terima kasih sudah berkunjung dan selamat maju jaya untuk menjadi guru berkesan suatu hari nanti. Barakallahu fiik. 🙂

  3. Assalamualaikum ustazah, berdasarkan pengalaman sewaktu ustazah mengajar kami pada subjek penulisan khat pada tahun 2020 iaitu kali pertama ustazah memulai semula seni khat ustazah setelah sekian 25 tahun ditinggalkan. Ketika itu, ustazah nampak tekad sekali, bersungguh-sungguh nak belajar semula. Tujuannya untuk mengajar kami.

    Apa yang saya perhatikan dari tekad ustazah, kesungguhan tersebut mesti ada dalam diri seseorang. Sebab, ia akan menghasilkan sesuatu yang lumayan. Seperti yang kita tahu, segala kepayahan yang kita lalui, hujungnya pasti membawa kebahagiaan. Oleh kerana keazaman tersebut, ustazah mampu mengingat kembali kemahiran ustazah dan menurunkan ilmu kepada kami.

    Terima kasih ustazah atas ilmu dan perkongsian ustazah tentang seni khat. Ia telah membantu kami mengetahui dan pandai dalam seni khat berkat keazaman ustazah dalam mengajar kami sampai pandai dan mahir. Semoga seni khat ini tidak terkubur dalam diri kita.

    • Alhamdulillah Auni dan terima kasih atas nilai yang diberi atas usaha yang pasti membuat saya tersenyum sendiri apabila berhadapan dengan anak anak siswa guru yang begitu bersemangat dan ceria dalam berlatih menulis khat. Kita sama-sama mempunyai semagat tersebut untuk menghasilkan apa yang terbaik walau hanya itu sahaja kemampuan yang ada.

      Insya Allah, Auni perlu teruskan lagi langkah yang sudah dimula dengan usaha sendiri agar bakat tersebut tidak terpendam dan dapat disalurkan kepada anak murid di sekolah nanti. Yang penting tidak berputus asa.

      Terima kasih sudah berkunjung dan maafkan Ustazah kerana baru membalas komentar Auni. Barakallahu fiik. 🙂

  4. Assalamualaikum ustazah, sudah pasti coretan ustazah kali ini telah membuatkan saya mengimbau kembali kenangan semasa ustazah mengajar kami sewaktu PPISMP dahulu, Sungguh saya kagum akan sifat kesungguhan dan ketekunan ustazah dalam diri untuk mengajar kami penulisan khat ini. Meskipun ustazah memberitahu bahawa sudah lama ustazah meninggalkan dunia penulisan khat ini, akan tetapi semangat ustazah yang tak luntur dan terus bersemangat untuk mengajar kami dalam menguasai penulisan khat ini dan akhirnya membuahkan hasil juga. Kami juga berjaya belajar serba sedikit mengenai bermacam-macam jenis tulisan khat dan dapat menguasai serba sedikit dari setiap huruf dan perkataannya. Saya yakin dengan masa yang singkat satu semester itu mustahil lah untuk kami berjaya menguasai keseluruhannya. Akan tetapi saya bersyukur dapat mempelajarinya walaupun sedikit sahaja. Moga di masa akan datang saya dapat mempelajari lagi dan lebih memperbanyakkan lagi aktiviti penghasilan penulisan khat ini agar tidak hilang begitu saja. Saya juga bersyukur dapat mempelajari penulisan khat bersama ustazah.

    SITI MARIEYAH BINTI AZIZAN
    PISMP PA (2) SK JUN 2020
    TAHUN 2 SEMESTER 1
    IPGK BATU LINTANG SARAWAK

    • Alhamdulillah. Terima kasih Marieyah. Semua itu satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan. Marieyah dan kawan0kawan juga nampak bersemangat dan mahu berusaha belajar walau tidak mudah untuk terus menguasai penulisan khat dengan baik. Oleh itu, teruskan belajar lagi dan dengan kemahiran tersebut mudahlah untuk mengajar di sekolah nanti.

      Memang satu semester adalah masa yang amat singkat untuk menguasai ilmu khat dengan berkesan. Ia tidak semudah yang kita jangka. Apa-apa kemahiran menulis mesti dibuat secara berterusan agar kemahiran semakin meningkat dan akhirnya dapat dikuasai dengan baik.

      Terima kasih Marieyah sudah melontakan idea yang berkesan dan semoga terus berjaya sebagai guru sebenar guru, ke sekolah tak jemu, memgajar tak lesu. Barakallahu fiik. 🙂

  5. Assalamualaikum ustazah, alhamdulillah, saya berasa sangat teruja melihat penceritaan yang diluahkan oleh ustazah ini. Saya ada ingin berkongsi juga sedikit pengalaman saya dalam penulisan khat ini. Saya mula belajar menulis khat ini pada tingkatan 2 di sekolah menengah dulu ustazah. Saya sangat teruja untuk belajar khat buat kali pertama pada masa itu kerana guru yang mengajar itu sangat profesional dalam bidang penulisan khat ini dan banyak yang dia hasilkan karya penulisan khat tersebut hasil dari usahanya sendiri. Saya sempat belajar 1 tahun sahaja dengan guru tersebut kerana subjek khat itu dipelajari dalam tingkatan 2 sahaja. Setelah itu, lama saya meninggalkan penulisan khat ini, sehinggalah saya dan rakan rakan dapat belajar khat balik dengan ustazah. Alhamdulillah. Saya mengingat kembali apa yang dipelajari dan ada peningkatan dari dulu sampai sekarang. Saya juga berkeinginan untuk melihat dengan lebih lagi hasil dari penulisan khat ustazah kerana kami tidak sempat belajar dengan lebih mendalam. Banyak kemahiran yang masih lagi tidak saya lihat akan kepakaran menulis khat ini dari ustazah sendiri. Insha Allah suatu hari nnanti.

    MOHAMAD HAKIMI BIN HASBULLAH
    PISMP PA SK 2 JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG BATU LINTANG

  6. Minat dengan penulisan khat ini adalah bermula dari satu sabjek khat yang wajib diambil secara paksa oleh setiap pelajar bidang Pengajian Islam
    please visit link Tel-U

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.