CT321. SEDEKAH YANG TERTUNDA

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

SedekahFatima1Tertunda

*

Suatu petang, SPH memarkir kereta di satu selekoh bangunan berhampiran tempat pembuangan sampah di pasar Nyelong, Sarikei kerana ada urusan. Saya hanya menunggu di dalam kereta.

Tiba-tiba saya terlihat kelibat empat orang manusia yang berpakaian lusuh melalui cermin pandang sisi kanan kereta. Mereka berdiri resah memerhati ke sana sini seakan ada sesuatu yang merisaukan.

Saya tertarik dengan gelagat mereka. Timbul rasa sayu dan pilu menyelinap segala ruang hati melihat kondisi fizikal yang dimiliki. Semuanya kurus-kurus. Tanpa mereka sedari saya sedang memerhati tingkah laku mereka.

Mereka juga tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Ketika mereka memandang ke arah saya, cepat-cepat saya palingkan wajah ke arah lain kerana bimbang mereka merasa malu dan tidak selesa diperhatikan.

Empat manusia yang kini berada tidak jauh dari saya adalah seorang wanita berbangsa Cina yang sedang sarat mengandung bersama tiga orang anaknya. Keadaan beliau tidak bermaya, namun digagahi jua pergerakannya.

Wanita itu berdiri tidak jauh dari saya sambil berkata-kata sesuatu (dalam bahasa Cina) kepada anak-anaknya. Anak lelaki kecil (<> 4 tahun) bersama dengannya berdiri di sisi jalan bangunan di sebelah kanan saya.

Anak lelakinya (<>18 tahun) kelihatan cacat. Tubuhnya bongkok sebelah kanan dengan satu benjolan besar di belakangnya. Dia sangat sukar berjalan kerana bentuk badannya.

sibongkok3

Fizikal remaja lelaki ini mengingatkan saya watak Quasimodo dalam filem “The Hunchback of Notre Dame.” Anak perempuannya (<> 16 tahun) juga cacat. Sama seperti remaja lelaki itu. Cuma bongkoknya tidak begitu ketara. Sedangkan ibu dan adik lelaki mereka tampak sempurna anggotanya.

Dalam khusyuk memerhati, saya jadi terkejut bercampur terharu apabila tidak semena-mena remaja lelaki cacat itu berjalan laju menuju ke tempat pembuangan sampah di hadapan saya dengan tidak mempedulikan orang di sekeliling.

Lantas memanjat dan melompat masuk ke dalam tempat pembuangan sampah sambil mencari-cari sesuatu. Payah juga cara dia memanjat kerana bentuk saiz tubuhnya. Remaja perempuan pula, menunggu di sisi tempat sampah.

Setelah beberapa ketika mencari dan meraih barangan sampah yang dibuang, tiba-tiba saya melihat remaja lelaki dengan wajah gembira menunjuk kepada adik perempuanya sebungkus plastik yang seakan berisi makanan yang tersisa.

Mungkin itulah yang dibincangkan oleh wanita sarat hamil itu tadi. Saya mengandaikan wanita tersebut menyuruh anak lelaki remajanya memanjat tempat pembuangan sampah untuk mencari makan buat mereka. Ternyata mereka sedang kelaparan. Masya Allah.

Semuanya jelas di mata saya. Saya jadi kaku membisu merenung kesengsaraan empat makhluk Allah yang ditakdirkan hidup dalam kepayahan. Mulut saya tidak henti-henti menyebut, “Ya Allah kasihannya mereka, kasihannya mereka. Mereka mesti sedang lapar.”

“Allahu Akbar, apakah hikmah yang ingin Engkau sampaikan kepadaku?” saya bergumam dengan hati yang berbaur sedih. Tubir mata saya mula digenangi air. 

Saya membanding diri yang dikurniakan Allah dengan kehidupan yang baik. Anak-anak saya hidup dengan meriah. Dapat merasai makanan yang enak dan pakaian yang cukup. Tempat tinggal yang selesa.

*

“Ya..Allah, aku berlindung dengan-MU dari kesengsaaraan hidup ini.”

*

Ternyata masih ada lagi manusia yang melarat di bumi merdeka ini. Saya betul-betul insaf dengan apa yang saya saksikan.

Sedang remaja itu memanjat untuk keluar dari tempat pembuangan sampah tersebut, saya membuka dompet untuk menghulurkan sedikit wang bagi keperluan mereka atas dasar simpati dan mengharapkan wang itu akan dibelikan makanan atau pakaian.

Saat itu juga, sang ibu melambai dan memanggil dengan kuat nama kedua anak remajanya. Mereka berlari ke arah ibu mereka dengan gembira sambil menunjukkan satu bungkusan yang berisi makanan. Sang ibu senyum sahaja.

Saya bergegas keluar dari kereta sebelum mereka berangkat pergi. Rupanya ketika saya menanggalkan tali pinggang keselamatan dan membuka pintu untuk keluar kereta, sang ibu dengan tiga anaknya menyusup ke lorong tempat menjual sayur dan menghilang dengan pantas.

Saya cuba memanggil tetapi mereka tidak berpaling langsung. Saya jadi kesal kerana sekadar memerhati sejak tadi tanpa berfikir untuk menghulurkan sedikit wang. Wang yang ingin dihulurkan, saya genggam erat.

Harapan untuk membantu terhenti di situ bersama harapan yang tinggal harapan. Ternyata hasrat hati tidak kesampaian. Saya berharap akan bertemu kembali dengan keluarga tersebut. Namun sehingga kini kelibat mereka tidak pernah ditemui.

*

Ya Allah, aku berlindung denganMu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari kedekut dan perasaan takut dan dari desakan hutang dan paksaan orang.

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima29 Mac 2015 (Ahad)/ 8 Jamadil Akhir 1436H/ 10.15 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. merasa rindu saat hatiku mengingatimu. Seluruh alam jadi sepi seakan bersamaku tenggelam dalam tasbih cintaku. Seluruh darahku seakan berhenti dari jalur nadi mengeringkan tasik jiwaku yang melara pilu. Wahai Yang Menyentuh Hatiku….. bilakah saat pertemuan itu berlaku. Yang pasti, aku merasa gementar saat itu. Getar bersama rinduku padamu.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… Bawalah dalam kehidupanmu seikhlas senyum yang dapat menyegarkan hatimu dan menawar duka. Wajah yang manis selalu membuat sesiapa terkenang akan keindahannya. Selalu merindui senyumanmu walau nanti aku tidak lagi ada di sisimu.  Semoga diredhai Allah.  Aamiin. Wassalam. 🙂

*

SedekahFatima2SurahSaba39Sedekah

*

KU SERU NAMAMU DALAM TAHAJJUD CINTAKU

*

7 thoughts on “CT321. SEDEKAH YANG TERTUNDA

  1. Assaalamu Alaikum ukhti memang kalau kita berkaca melihat sekitar kita maka kita akan tahu betapa banyak nikmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita begitu banyak orang yang berkekurangan, maka wajiblah kita mensyukuri segala nikmat Allah

    sedikit pesan ukhti : Bersedekah dengan tangan kanan jangan sampai tangan kiri mengetahui
    Salam dari Pinrang Sulawesi Selatan

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, akhi Abdullah…

      alhamdulillah, nikmat Tuhan yang mana lagi harus kita dustakan jika nikmat yang kita rasai ini mungkin lebih baik dari orang lain. Maka, Islam menggalakkan kita menginfakkan harta dijalan yang baik agar sesiapa sahaja dapat dikongsikan dengan sedikit rezeki Allah yang dikurniakan baik secara terang mahupun secara sembunyi. Mudahan semua amalan kita diredhai Allah SWT. Aamiin.

      Salam sejahtera dan terima kasih akhi Abdullah atas pesanan yang mencerahkan. Semoga diberkati Allah SWT. 🙂

  2. Assalamualaikum kak Fatimah
    Faedah bersedekah memang sangatlah baik buat di lakukan. Selain dapat menanamkan jiwa sosial juga bisa mendatangkan kententraman di hati.

    Meski tertunda, namun niatnya semoga jd pahala 🙂
    Salam 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Sussi…

      Impak dari bersedekah dan seumpamanya kerana Allah SWT akan memanjang umur dan dimurahkan rezeki. Semoga kita dapat melakukannya mengikut kemampuan yang ada.

      Alhamdulillah dan mudahan diredhai Allah SWT.
      Terima kasih mbak dan salam manis selalu. 🙂

  3. Assalamualaikum ustazah
    Saya tersentuh hati membaca nukilan ini. Kita sedia maklum bahawa terdapat kehidupan manusia. Ada yang senang makan pakaiannya sangat mencukupi, ada yng hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang seperti yang telah dinukilkan. Ada hikmahnya mengapa kita diciptakan dengan kehidupan yan berbeza sebagai contoh kita dapat membantu seseorang yang dalam kesusahan tersebut seperti yag biasa kita dengar dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga. Mereka yang tidak berkemampuan ini hanya mampu mengharapkan belas ihsan dan sedikit bantuan daripada insan yang serba-serbi cukup harta untuk dikongsi, baik dari segi tenaga, makanan mahupun benda. Jadi pengajaran yang dapat diambil adalah kita perlu perbanyakkan amal jariah seperti sedekah ini. Kadang-kadang, kita akan berkira dengan rezeki tuhan, rasa liat atau takut untuk memberi kerana bimbang jika wang pada hari tersebut tidak mencukupi. Namun, apabila mengingat semula kalam Allah atau hadis nabi berkenaan kelebihan berkongsi rezeki. Walau bagaimanapun, sebenarnya banyak kelebihan dan ganjaran pahala yang telah Allah gambarkan melalui kalamNya dan juga perbuatan yang telah nabi tinggalkan untuk diteladani oleh kita semua kerana Rasulullah juga pernah berpesan, jangan takut untuk berkongsi, kerana dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.Di saat kita bermewah-mewah dengan makanan sehingga mengundang kepada pembaziran, saudara kita sebaliknya. Kita bukanlah membantu atau memberi atas dasar Islam tetapi atas nama kemanusiaan.Jika kita tidak mampu, maka bantulah sekadar yang termampu. Jika tidak punya wang, boleh disalurkan dari sudut tenaga. Jika tidak punya masa, boleh dikirimkan doa sebagai senjata. Setiap yang kita lakukan mampu memberi impak yang besar kepada semua orang dan dipandang besar oleh Allah.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.