Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
*
HARI KE-14
Masuk hari ke-14, batang anak pokok muda bunga Matahari mulai rebah. Dalam posting sebelum ini CT361. KEBUN FATIMA (6): BUNGA MATAHARI (3) – ANAK MATAHARI, saya menjelaskan di bahagian akhir tulisan saya tentang kesilapan yang dilakukan apabila lewat memindahkan anak matahari yang kian tinggi ke plastik polybag.
Hari ke-10 sudah berlalu dan kini masuk hari ke-14, anak pokok muda bunga matahari kian tinggi dan mencapai 8cm – 10 cm. Ketinggian yang sudah meruncing. Batang anak pokok semakin kurus. Daun kedua sudah kembang membesar menjadikan daunnya 4 helai secara bertindih ganti.
Kelihatan di dalam foto di bawah, beberapa anak pokok muda sudah mula rebah. Jika tidak dipindah akan banyak anak pokok “bertindak protes” merebahkan dirinya agar diberi perhatian dalam kadar segera. Saya maklumi hal ini dan sangat gusar kerana masih belum punya waktu untuk memindahkannya.
Namun begitu, saya bertekad mesti memindahkan anak pokok muda yang sudah pasrah itu ke dalam plastik polybag. Hujan kian mencurah-curah di luar rumah menambah kegelisahan hati kerana tapak tanah untuk menanam anak pokok bunga matahari belum lagi disediakan.
*
Ketinggian anak pokok muda bunga matahari mencapai 8cm – 10 cm. Batang pokok kian kurus.
*
Beberapa anak pokok muda bunga matahari mulai rebah
*
Media tapak semaian sedia di”bongkar” untuk proses pemindahan anak pokok muda bunga matahari ke dalam plastik polybag
*
PROSES MEMINDAH
Saya segera melakukan proses pemindahan anak pokok bunga matahari bagi mengelak banyak lagi yang bakal rebah kerana batangnya sudah semakin tinggi. Berikut adalah proses memindah yang saya lakukan.
*
Sediakan plastik polybag bersaiz paling kecil
*
Saya mula memindahkan anak pokok muda bunga matahari ke polybag
*
Rehat sebentar. Media tanah yang diperlukan
*
Sudah dipindahkan dengan selamat
*
Anak pokok bunga matahari yang siap dipindahkan telah berusia 14 hari
*
HARI KE-20
Malangnya, 65 batang anak pokok bunga matahari tidak dapat saya lakukan secara serentak kerana masa yang singkat. Jika hari bekerja saya hanya ada masa lebih kurang 1 jam untuk memindahkan 2 atau 3 anak pokok tersebut.
Saya hanya dapat menyelesaikan semua pemindahan anak pokok ke dalam plastik polybag pada hari ke- 20. Jumlah masa yang perlu saya guna untuk memindahkan anak pokok adalah 7 hari (seminggu).
Hari Sabtu dan Ahad digunakan semaksimum mungkin untuk bertanam selain mempunyai komitmen dengan tugas-tugas di rumah seperti ke pasar dan memasak makanan untuk keluarga.
*
Daun peringkat ke tiga sudah mula tumbuh dan berkembang
*
*
HARI KE-25
Hari panas dan hujan silih berganti hampir setiap hari. Tidak menentu bila panas dan hujan. Kondisi ini menyukarkan saya untuk menyediakan tapak menanam anak pokok bunga matahari yang sudah semakin tinggi dan besar.
Oleh kerana terlalu lama tidak dipindahkan ke tanah sebab tapaknya belum siap, daun anak pokok bunga matahari sudah mulai menguning pada hari ke-25. Saya pula masih merumput dan membina tapak tanaman dalam cuaca yang tidak menentu. Perkara ini melambatkan proses memindahkan anak poko matahari.
*
*
*
HARI KE-28
Masa berlalu pantas, sudah hampir satu bulan usia anak bunga matahari tetapi masih tetap ditempat perlindungannya.
Hati saya semakin gusar melihat keadaan anak pokok matahari yang sepatutnya sudah ditanam di tanah. Tetapi belum dapat direalisasikan.
*
Daun anak pokok bunga matahari sudah semakin banyak. Daun kuning juga semakin banyak tetapi masih belum dipindah ke tapak tanaman, dibawah sinar matahari.
*
Anak pokok bunga matahari pada usia 28 hari
*
Batang pokoknya semakin kurus menunjukkan kedudukannya yang kurang sihat.
*
MASA KRITIKAL
Saya memahami anak pokok bunga matahari sudah memasuki masa kritikal dan perlu dipindah segera ke atas tanah agar pertumbuhan dan pembesarannya berlaku mengikut sunnah-NYA.
Situasi melambat-lambatkan pemindahan ini seperti sudah “menganiayai” perkembangannya. Saya sangat sedih dan rasa bersalah kerana menanam pada musim hujan. Harap-harap anak pokok tersebut tidak marah dengan saya. 😀
Kini jumlah anak pokok sudah semakin kurang. Dari 65 anak pokok kini berbaki 40. Saya berharap akan dapat menyelesaikan tapak tanah dengan segera dalam cuaca hujan lebih banyak dari cuaca panas.
*
*
*
***************
26 November 2015 (Khamis)/ 14 Safar 1437H/ 8.46 malam, Sarikei, Sarawak
AKU…. berusaha untuk belajar bersabar menghadapi kondisi yang melelahkan hati. Ku sisip dalam jiwaku ingatan padamu yang tidak pernah mati. Ku selit namamu dalam setiap penghujung lafaz kasih untuk menghilangkan resah. Ku sebut namamu, namun ada rindu yang lebih dari itu. Wahai Yang Menyentuh Hati… Engkau selalu berada dalam tahajud cintaku.
– SITI FATIMAH AHMAD –
***************
*
DEDIKASIKU UNTUKMU…. Ku ucapkan kasih buatmu yang selalu indah di hatiku. Ku panjatkan doa dan barakah untukmu agar kau selalu dalam rahmat dan lindungan-NYA di mana sahaja engkau berada. Aamiin. Wassalaam. 🙂
*
*
Kebiasaan kita menunda secara tidak langsung sudah menganiaya bunga tersebut..
Iya benar, begitulah yang akan berlaku jika perancangan tidak tepat dengan waktu dan cuaca. Akhirnya bunga “teraniaya” bukan dengan kerelaan kita. Mudahan kesilapan ini tidak berulang lagi di masa lain.
Terima kasih Ajo Ramli dan salam sejahtera.
Lama tak bersua, ternyata Bunda sekarang makin giat berkebun. Apa kabar, Bunda?
Akhir tahun lalu, saya sempat ikut komunitas berkebun karena ingin belajar berkebun. Sayangnya, sekarang belum dipraktikkan, hehe.
Btw, ingat bunga matahari, saya suka bijinya alias kuaci 😀
Alhamdulillah, saya sihat sejahtera. Didoakan Elfarizi juga demikian sama di sana.
Kuaci bunga matahari memang menjadi kegemaran ramai termasuk saya. Kita jadi leka ketika memakannya. Saya suka makan kuaci sambil menonton tivi.
Baguslah kalau Elfarizi juga ingin belajar berkebun. Aktiviti berkebun sangat mengujakan. Walaupun penat kita akan berpuas hati dengan hasil kerja tangan yang dilakukan. Mudahan Elfarizi mempunyai waktu untuk mempraktikkannya.
Terima kasih atas kunjungan dan salam di penghujung pekan.
asyiknya boleh berkebun……sometime mahu melancong la ke sana …
Alhamdulillah, berkebun memang mengasyikkan.
Silakan Nanang, Sarawak amat unik untuk dilawati dan banyak tempat menarik terutama di Kuching dan Miri.
Terima kasih dan salam sejahtera.
iya…pengen sekali ke sana…
Mudahan hasrat mas Nanang akan tercapai suatu hari nanti.
aamiin
Assalamualalaikum ummi siti fatimah.
Wahh, seronok saya melihat anak2 bunga matahari tu..kiut hehe. Sama pun sama minat menanam pokok..kalau di kampung dulu keliling rumah penuh dengan tanaman tetapi la ni tinggal di kaw perumahan sukar untuk berbuat demikian. Ditambah lagi dengan kesibukan yang berbagai-bagai. Semoga ummi siti fatimah gembira dengan apa yang dilakukan..
wassalam
abuikhwan@ kuantan
Wa’alaikum salaam wr.wb Abu Ikhwan….
Alhamdulillah, sehingga takat yang ditulis ini memang anak-anak bungan matahari itu kelihatan sihat, namun di kemudian hari yang berlaku adalah sebaliknya.
Iya, memang sukar untuk menanam di kawasan terhad terutama di kawasan perumahan yang mempunyai pelbagai peraturan. Jika ada pilihan pasti menanam di dalam pasu sudah mencukupi untuk memenuhi hobi bertanam bunga.
Terima kasih atas kunjungan dan salam sejahtera.
Pingback: CT363. KEBUN FATIMA (8): BUNGA MATAHARI (5) – PINDAH KE TANAH | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2