CT422. BOLEHKAH BERMAIN KUTU DALAM ISLAM ?

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

kutufatima1bolehkahdalamislam

*

APA ITU MAIN KUTU ?

Group muslimah AIUM92 di Telegram sekali lagi heboh dengan topik hangat yang meresahkan hati. Topik kali ini menyentuh aktiviti “HUKUM MAIN KUTU”. Ia satu permainan yang terkenal di Malaysia. Tahukah anda apakah permainan kutu ?   Ini bukan mencari kutu atas kepala manusia tetapi satu aktiviti kesukaan segelintir kaum wanita melibatkan wang dan dilakukan mengikut giliran.

Sungguh saya tidak menyangka, geng group yang kebanyakan adalah para asaatizah itu juga, ramai yang main kutu. Memang tidak hairan pun, kalau dah namanya wanita, tidak kira bangsa, pangkat, kedudukan dan pekerjaan, tetap juga mengingini apa yang disukai. Sebaliknya bukan sahaja wanita, kaum lelaki juga ada yang bermain kutu.

Asalnya bermula dari pertanyaan hukum main kutu dari seorang sahabat di Terengganu. Lalu banyak maklum balas dan sibuklah majlis asaatizah membincangkannya.  Insya Allah informasi hukum bermain kutu akan saya jelaskan di bawah nanti.

Tidak disangka juga permainan kutu ini sudah menjadi aktiviti umat sejagat. Jika di Indonesia ia dinamakan ARISAN. Di negara Arab ia dikenali dengan JUM’IYYAH AL-MUWAZHZHAFIN atau AL-QARDHU AT-TA’AWUNI. Siapa memulainya, tidak tahu !

*

TERJEBAK

Saya sudah lama mengetahui aktiviti main kutu ini, apabila melihat Emak bermain kutu dengan rakan sejawatnya. Tetapi saya kurang faham proses permainan tersebut. Apabila giliran Emak menerima wang kutu, kami akan berbelanja dengan banyak membeli pelbagai barang yang Emak pilih.

Masa berlalu pantas, secara sedar, akhirnya saya juga terjebak dan mempunyai pengalaman 2 kali bermain kutu… Selepas itu saya tidak berminat lagi hingga sekarang. Menurut saya, lebih baik saya simpan duit sendiri di dalam Tabung Haji.

20 tahun yang lalu ketika baru memulai kerjaya sebagai pensyarah di tempat saya bertugas sekarang, saya diajak oleh beberapa pekerja Anggota Khidmat Sokongan (AKS) untuk memenuhi kumpulan kutu agar mencukupi 12 orang. Kami bersetuju wang kutu dikutip sebanyak RM50, Setahun kemudian menjadi RM100.

Sistem main kutu adalah secara giliran dan diundi terlebih dahulu mengikut jumlah 12 bulan dalam setahun. Dengan undian, seseorang mendapat giliran dan semua kutipan akan diberi kepada mereka yang menerima pada bulan tersebut.

Sekiranya ahli ada kepentingan pada bulan yang bukan gilirannya, mereka boleh bertukar suka sama suka. Semuanya atas dasar prsetujuan sesama sendiri tanpa paksaan. Kami juga melantik seorang setiausaha yang akan menulis nama, giliran, bulan dan ditanda tangani agar dapat mengetahui siapa yang sudah dan belum membayar wang.

Maka, kalau wang kutu RM50 seorang akan mendapat RM600 dan jika RM100 akan mendapat RM1200 (termasuk diri sendiri). Jumlah wang itu  (tahun 1996 dan 1997) sudah dianggap sangat banyak dan terasa menjadi orang kaya.  Saya yakin jumlah itu sentiasa bertambah mengikut kemampuan para ahlinya.

Apa yang menariknya permainan ini, ia tidak ada untung dan rugi juga tidak ada pertambahan dividen atau bonus. Jika jumlah itu dikutip jumlah itu juga yang akan diterima. Ia seperti pinjaman tanpa faedah di mana semua ahli akan mengeluarkan wang dan meminjamkan wang mereka mengikut giliran sehingga tiba giliran mereka sendiri.

Tentang akadnya pula, ramai yang tidak mengadakan akad ketika menerima dan memberi wang kutu itu. Menurut para asaatizah, group Telegram saya itu mereka memahamkan bahawa  persetujuan ketika memberi tanpa paksaan itu sudah dianggap sebagai akad sama seperti berjual beli di pasar yang tidak disebut akad tetapi saling menerima dan memberi dengan redha.

Saya juga memikirkan hal yang sama seperti di atas. Mudahan dengan ilmu yang sedikit dari kesilapan yang lalu tentang permainan wang kutu ini, saya diampuni Allah jika salah melakukannya di sisi undang-undang dan perspektif ajaran Islam.

*

MAIN KUTU HARAM DI MALAYSIA

Apabila saya merujuk pelbagai maklumat melalui internet tentang isu permainan kutu di Malaysia, ternyata ada undang- undang khusus di Malaysia yang sudah mengHARAMkannya. Sungguh saya tidak tahu dan saya yakin ramai di kalangan rakyat Malaysia juga tidak tahu termasuk semua group muslimah AIUM92.

Saya kongsikan satu informasi akhbar dari Kosmo Online yang ditulis pada tahun 2010 menjelaskan bahawa

*

kutufatima2mainkutuharamdimalaysia

*

PENGUATKUASAAN AKTA

Seperti yang difahami kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu adanya penguatkuasaan akta yang melarang dan mengharamkan permainan kutu.

Walaupun contoh keratan akhbar itu berlaku tujuh tahun yang lalu, namun penguatkuasaan undang-undang permainan kutu di dalam Akta 28, masih relevan pada hari ini sehingga ia dimansuhkan.

*

kutufatima3akta28

*

Jika kita lihat dalam susunan sekyen, dalam Sekyen 1. Tajuk Ringkas, akta tersebut bolehlah dinamakan  AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971.

*

kutufatima4tajukringkas

*

Menurut Akta tersebut dalam Sekyen 2. Tafsiran pada perenggan 3 menjelaskan bahawa:

“kumpulan wang kutu” ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine

*

kutufatima5tafsirankutu

*

Merujuk kepada tafsiran di atas, hukum yang bakal dikenakan ke atas pesalah dari sudut Undang-Undang Malaysia seperti yang termaktub di dalam Seksyen 3. Salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu akan dikenakan dendaan berikut:

*

“Maka adalah salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

*

kutufatima6salahundang2

Jika dilihat hukum dari sudut Undang-undang Malaysia, amat jelas bahawa aktiviti permainan kutu adalah SALAH dan TIDAK DIBENARKAN di sisi undang-undang rakyat Malaysia umumnya dan umat Islam khususnya. Namun begitu, apakah ia salah di sisi hukum agama ?

 *

APA KATA ULAMAK TENTANG HUKUM MAIN KUTU

Pelbagai keresahan disuarakan oleh teman asaatizah group AIUM92, apabila ada golongan ulamak yang terlihat sangat ketat dalam menjatuhkan hukum sehingga tidak ada ruang bernafas yang boleh membenarkan.

Bersama maklumat yang dikongsi dan dibincangkan, beberapa solusi telah dikemukakan oleh para ulamak tentang hukum main kutu mengikut perubahan zaman dan cara melaksanakannya. Antaranya:

1. Ustaz Azhar Idris menyatakan HARAM hukumnya sekiranya TIDAK MENYATAKAN AKAD LAFAZ HUTANG kepada kawan-kawan dengan jelas. Maka setiap kali memberi dan menerima, masing-masing akan melafazkan akad seperti “Saya berhutang kepada awak semua, Saya bayar hutang awak dan satya terima hutang awak semua kepada saya.” Sekiranya semua akad-akad ini dilafazkan maka hukum bermain kutu adalah HARUS.

2. Dr. Rozaimi Ramle menjelaskan bahawa pendapat Mazhab Hanbali dan beberapa orang ulamak dalam Mazhab Syafie memilih pandangan yang mengatakan SAH akad muamalat dengan mu’atah selagi difahami adanya REDHA antara orang yang berakad.

*

BERKONGSI

Alhamdulillah, seorang sahabat telah meredakan kegelisahan para asasstizah Group AIUM92 dengan menyelitkan komentar Dr. Fauziah Mohd. Noor yang turut memberi pendapat tentang HUKUM BERMAIN KUTU TANPA BERAKAD, setelah melakukan perbincangan dengan rakan-rakan beliau dari grup Penasihat Syariah Perbankan Islam di Malaysia.

Betulkah bermain kutu itu satu HUTANG ?

Ya BETUL. Sebab setiap ahli wajib membayar duit kutu itu sehingga habis giliran semua ahli. Dan jika seorang ahli tidak membayar duit tersebut maka dia dikira berhutang dan terhutang selagi tidak membayarnya.

Wajibkah melafaz AKAD ?

Menurut MAZHAB SHAFIE…. akad memang WAJIB dilafazkan di dalam setiap kontrak. Bagaimana pun ada juga sebahagian ulamak dari Mazhab Syafie berpendapat bahawa untuk SAHnya sesuatu kontrak adalah memadai jika PERSETUJUAN itu dilakukan secara BERTULIS, dengan ISYARAT atau dengan PERBUATAN.

Begitu juga dengan MAZHAB HANAFI dan MAZHAB MALIKI yang berpendapat bahawa TIDAK WAJIB melakukan akad dengan lisan atau lafaz.

Imam Malik dan ulamak-ulamak Maliki juga bersetuju bahawa apa-apa yang diterima oleh uruf atau budaya sesuatu masyarakat itu boleh diterima sebagai satu bentuk akad.

Kaedah fiqhiyyah “al-Maaruf urfan kal masyrut syartan” bermaksud sesuatu adat yang telah diterima pakai adalah sama seperti satu perjanjian yang telah dibuat. Maksudnya, TIDAK BERDOSA dan TIDAK HARAM kalau ahli-ahli bermain kutu dengan tidak melafazkan akad.

Apa yang disarankan kepada mereka yang suka bermain kutu sebagai satu cara menyimpan wang atau untuk mendapatkan tunai, pastikan NIAT anda jelas bila bermain kutu. Kemudian sebaik-baiknya ditulis jumlah yang perlu dibayar oleh setiap ahli di dalam satu buku catatan.

Allah telah mengajar kita di dalam surah al-Baqarah, ayat 82 supaya kita menulis hutang yang diambil untuk menggelakkan perbalahan di kemudian hari.

*

APABILA ADA AKTA YANG MELARANG, APAKAH PULA HUKUMNYA ?

Menurut pendapat salah seorang pakar ekonomi Islam di Malaysia, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman bahawa jika dilihat dari sudut proses dan perjalanan skim kutu ini semata-mata, ia adalah HARUS menurut pandangan Islam.

Namun di waktu wujudnya AKTA RASMI yang melarang iaitu AKTA 28 AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971, ia secara rasminya dianggap HARAM dari sudut hukum Islam atas dasar KEWAJIBAN TAAT KEPADA PEMERINTAH dalam hal yang tidak berkait dengan maksiat dan demi kemaslahatan umum yang dilihat oleh pemerintah.

*

main-kutu

*

TANYA SAMA HATI

Setelah berlaku perbincangan yang panjang dengan informasi yang pelbagai, ada di kalangan teman asaatizah yang sudah senang hati kerana memahami konteks hukum yang dibahaskan. Namun ada yang juga kecewa kerana sudah biasa bermain dan merasakan tidak ada salahnya. Apa pun terpulang kepada kemahuan diri. Tanya sama hati.

Segala hukum yang dibincangkan bukan untuk menghalang kita memilih suka atau tidak, tetapi semuanya atas dasar menyelamatkan ummah di mana kebanyakkan kita tidak mengetahuinya.  Kalau saya, memang sudah tidak berminat dengan permainan kutu ini. Seperti kata saya di atas, lebih baik saya menyimpan wang sendiri di Tabung Haji. Wallahu’alaam.

BAGAIMANA DENGAN ANDA, ADAKAH PERNAH BERMAIN KUTU ?

?*

bunga*

***************

SalamFatima3SalamFatima2 Febuari 2017 (Khamis)/ 5 Jamadil Awwal 1438H/ 9.49 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. memahami kasih sayang tidak akan pernah putus jika ia dilakukan semata-mata mendapat keredhaan Allah. Jika kita menanam sayang kepada orang, maka kita juga akan menuai hasil sayang yang dikurniakan Allah dari arah yang kita tidak ketahui hadirnya. Siramilah bumi ini dengan kasih sayang bukan dengan pencak perang yang membunuh kedamaian.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

 DEDIKASIKU UNTUKMU….  Dari seluruh nadi yang berselirat darah, ku zikir namamu dengan cinta yang tidak pernah terbelah. Biar jauh kita terpisah, di hati tak pernah berubah. Doaku untukmu di seluruh kasih tertumpah.  Aamiin.  Wassalaam. 🙂

*

SinggahFatima1TerimaKasihLMGSG2

*

21 thoughts on “CT422. BOLEHKAH BERMAIN KUTU DALAM ISLAM ?

    • iya mas Rahman, jika tidak membaca dengan baik, sudah pasti pandangan awal seperti yang mas sangkakan. Saya tidak tahu bagaimana istilah itu wujud dan apa kolerasinya dengan kutu. Pasti kutu juga jadi pelik dan rasa aneh kerana ia dipermainkan dengan wang.

      Terima kasih mas sudah kembali berkunjung dan salam takzim.

  1. Awalnya saya bingung apa itu main kutu dan setelah dijelaskan barulah paham kalau di Indonesia disebut Arisan. Saya pernah beberapa kali mengikuti arisan seperti ini tapi sekarang sudah tidak lagi, belum berminat untuk ikut lagi, salam : )

  2. Assalamualaikum Bu Hajjah Fatimah. Arisan di Jakarta marak sebagai ajang ibu2 bersosialisasi. Terutama kalangan atas. Ada arisan uang, arisan merk tertentu, hingga arisan berlian.

    Kalau saya pribadi tidak suka dan tidak mengikuti arisan. Menurut saya membuang waktu dan tak bermanfaat. Kalau mau niat menabung, saya pilih berinvestasi pribadi.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany….

      Jika difikirkan, main kutu memang sama seperti menabung wang sendiri ya, mbak. Kerana itu saya tidak bermain kutu setelah memikirkan baik buruknya. Lagi pun kita akan berhutang wang dalam tempoh yang lama sehingga giliran iru selesai mengikut kitarannya. Saya setuju sekali dengan pandangan mbak Frany.

      Terima kasih mbak atas kunjungan dan salam mesra selalu.

  3. Assalamualaikum wr wb Kak Siti,

    Sudah jamak kalau di Indonesia main kutu ini. Kebanyakan arisan anggota keluarga sahaja. Arisan diadakan ketika pertemuan keluarga besar dalam masa tertentu. Misal sebulan sekali.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Alris…..

      Betul, permainan kutu adalah permainan yang sudah lama diamalkan oleh golongan tertentu. Ternyata main kutu juga dapat mengeratkan silaturahmi sesama keluarga kerana yang bermainnya sudah saling mengenali.

      Terima kasih mas Alris atas informasi dan salam takzim.

  4. Assalamualaikum, bunda Fatimah,
    Setelah diulas bahwa sama dengan arisan, saya baru paham.
    Saya sempat ikut beberapa kali dilingkungan tempat tinggal dengan alasan menjaga silaturrahim. Tapi masih belum melihat manfaat sesungguhnya.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Ysalma….

      Saya berpengalaman 2 kali bermain kutu, juga sama seperti mbak masih belum melihat manfaatnya permainan ini. Hanya sekadar untuk suka dan sosialisasi sesama pemainnya sahaja. Sebab kita hanya bertemu erat saat menerima wang. Selepas itu membawa diri masing-masing.

      Terima kasih mbak sudah berbagi dan salam manis selalu.

  5. Assalaamu’alaikum wr.wb puan Fatimah

    kalau di Indonesia sih masih banyak seklai yang main kutu … apalagi ibu2-nya,
    tapi kalau di kalangan menengah terutama di komplek2 perumahan, tujuan main kutu bukannya untuk saling meminjamkan uang, karena jumlah yang dibayarkan tiap anggotanya juga tidak banyak dan mereka ekonominya berkecukupan … jadi tujuan utamanya supaya ada alasan saling kumpul aja setiap bulannya, bersosialisasi … karena antar mereka kalau tidak ada main kutu, tidak saling bertemu dan bersapa apalagi mengenal satu sama lainnya.

    apakah jika tujuan dan kegiatannya seperti itu termasuk haram juga tidak ya …

    salam sehat bahagia dari Jakarta

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Bersapedahan….

      Satu aktiviti yang mendekatkan sesama sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah harus asal sahaja ada penerimaan dengan baik dan saling meredhai tanpa ada paksaan selagi tidak menimbulkan perselisihan, Mudahan aktiviti sosial seperti ini akan menambah silaturahmi yang baik di antara mereka. Wallahu’alaam.

      Muadahan dapat menjawab apa yang dimusykilkan.
      Terima kasih dan salam sejahtera.

    • Silakan baca artikelnya di atas Situnis dan baca juga artikel2 lain yang membincangkan tajuk ini kerana banyak pandangan ulamak yang menjelaskan pelbagai hukum ke atas main kutu ini.

      Terima kasih sudah berkunjung dan salam sejahtera.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.