CT318. CABARAN HAJI (19): NIAT YANG TEPAT KE TANAH SUCI

11 Mar

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

NiatFatima1KeTanahSuci

*

SYARAT DITERIMA ATAU DITOLAK

Tulisan ini adalah sambungan dari perbincangan santai di CT317. CABARAN HAJI (18): MEMAHAMI TUJUAN KE TANAH SUCI.

Sebelum kita memahami sesuatu perkara yang ingin kita lakukan, sudah pasti kita perlu MENETAPKAN NIAT agar segala proses ke arah tujuan itu akan  berhasil untuk dicapai dan menjadi ibadah. 

NIAT merupakan SYARAT DITERIMA ATAU DITOLAK  segala amal perbuatan yang merujuk kepada tujuan yang menjadi destinasi kita. Malahkan, amal perbuatan itu tidak akan memperolehi pahala jika tidak disertakan niat (semata-mata) KERANA ALLAH SWT.

Dengan MEMAHAMI NIAT YANG TEPAT, maka kita MEMAHAMI TUJUAN SEBENAR ke Tanah Suci sama ada untuk melakukan ziarah umrah atau menunaikan haji. Kedua-dua ibadah yang hanya berlaku di Tanah Suci Makkah dan Madinah ini hendaklah diniatkan tujuannya KERANA ALLAH SWT agar segala amalan yang dilakukan mendapat keredhaan-NYA.

NIAT adalah keinginan dan kehendak hati. Ia dilaksanakan DI DALAM HATI dan dilakukan diawal pelaksanaan. Apabila terdetik hati kita hendak melakukan sesuatu setelah kita memikirkan semasak-masaknya, maka di situlah bermula NIAT yang ditekadkan.

Persoalan, Mengapa kita hendak ke Tanah Suci ?  Apakah perkara yang perlu kita ketahui sebelum kita ke Tanah Suci ? Untuk siapa kita lakukan semua ini sehingga kita perlu menepati segala syarat yang dikehendaki.

Semua perkara ini perlu disematkan di dalam hati sehingga kita benar-benar tahu NIAT YANG TEPAT untuk ke Tanah Suci. Memahami NIAT YANG TEPAT akan membawa kepada TUJUAN YANG TEPAT.

Situasi ini menyebabkan kita bersungguh-sungguh untuk melakukannya sesuai dengan apa yang dikehendaki dan tidak TERSASAR ARAH sehingga melencong jauh dari NIAT ASAL yang telah terpatri.

*

SERUAN IBRAHIM

Sepanjang 3 tahun penulisan Travelog Hajjah (1): KEMBARA JIWA DAN MINDA dan Travelog Hajjah (2): MENGINTIP JALAN KE SYURGA di LMGS G2 ini, semua teman pembaca yang menulis komentar di dalamnya menyatakan perasaan rindu yang mengebu-gebu (tidak tertahan) untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Perasaam itu sudah wujud sejak Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk mengunjungi Baitullah al-Musyariffah.

*

NiatFatima2SeruanIbrahim

*

GILIRAN HAJI

Jika melihat nombor giliran ketika berdaftar untuk menunaikan haji, hati kita menjadi sayu kerana giliran kita masih jauh. Ada yang 5 tahun, 10 tahun, 15 tahun, 20 tahun malah sampai lebih 30 tahun.

Begitu jauhnya tahun giliran kita berdasarkan nombor pendaftaran. Fenomena ini menggambarkan ramainya umat Islam yang ingin ke Tanah Suci dan sudah memasang NIAT sebelum pendaftaran dilakukan.

Oleh kerana giliran menunaikan haji masih jauh ke depan, setengah dari kita tidak mampu menahan rasa rindu yang kian memuncak dan kerap bertandang di hati untuk mengunjungi Makkah dan Madinah. Ia bagai dipagut untuk meluruskan niat agar segera melakukan tindakan bagi merealisasikan kerinduan yang bersarang.

*

PENAWAR RINDU

Penawar rindu itu berada beribu-ribu kilometer dari Tanah Air. Kita merasa bimbang jika ditakdirkan Allah tidak sempat menunaikan haji kerana jauhnya tahun giliran. Maka, kita pun memikirkan satu jalan yang dapat menyegerakan kita ke Tanah Suci iaitu dengan menunaikan UMRAH.

Alhamdulillah, jika tekad dan NIAT sudah begitu rupa, jangan ditangguh lagi. Wang ringgit yang disimpan selama ini untuk mengerjakan haji, pakai dahulu bagi melaksanakan Umrah. Balik dari Umrah, kumpul lagi untuk tujuan haji pula. Insya Allah, jika betul NIAT yang disimpan pasti Allah akan memudahkan jalan untuk kembali ke RUMAH-NYA.

Apabila seruan Allah sudah hadir menjemput dan kita diizinkan menjadi TETAMU ISTIMEWA di Tanah Suci, peluang ini jangan sekali-kali kita tangguhkan. Kita tidak tahu apa yang terjadi kepada kehidupan kita selepas ini. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui mengapa kita dijemput lebih awal dari masa yang kita rencanakan.

*

Haramain3Fatima3CahayaMasjidilHaram2011

*

TETAPKAN NIAT NOMBOR SATU

Setelah menetapkan NIAT YANG TEPAT ke Tanah Suci sama ada untuk MENUNAIKAN UMRAH atau HAJI….. iaitu semata-mata KERANA ALLAH TAALA, maka kita sudah MEMAHAMI TUJUAN KITA KE TANAH SUCI.

“Ya Allah, sesungguhnya tujuan aku ke Tanah Suci ini adalah semata-mata kerana-MU. Aku melakukan semua ibadah ini untuk-MU. Semoga Engkau melindungiku dari perkara yang melalaikan aku dalam beribadah kepada-MU. Hanya pada-MU aku memohon kekuatan dan ketetapan. Aamiin Ya Rabbal’alamiin.

*

Bagi memastikan NIAT itu TEPAT, kita sudah tahu apa yang perlu dibuat sebelum ke Tanah Suci. Ilmu yang diperolehi semasa kursus haji mampu menggambarkan setiap perlakuan kita di sana. Saat itu, fikiran kita penuh dengan azam itu dan ini. Kita ingin melakukan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Semuanya dipusatkan kepada Allah sahaja.

Kita berazam untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah setiap waktu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Menanam tekad untuk berlama-lama di dalam masjid dengan melakukan solat sunat dan membaca al-Quran sehingga khatam.

Meneguhkan hati untuk melakukan ibadah umrah sunat atau tawaf sunat dalam kesempatan yang ada. Malah, kita ingin merasa nikmatnya berpuasa sunat di Tanah Suci dan berusaha untuk memperbanyakkan sedekah.

Semua bayangan azam itu berlaku ketika kita masih di Tanah Air. Niat tersebut sangat JELAS DAN TEPAT berdasarkan kefahaman kita tentang TUJUAN KE TANAH SUCI. Ia merupakan NIAT NOMBOR SATU. Maka, jangan dicampur adukkan dengan tujuan-tujuan lain yang mampu menyimpang dari NIAT ASAL.

Insya Allah, jika NIAT YANG TEPAT mampu dipertahankan, apa pun dugaan dan ujian Allah SWT kepada kita sepanjang berada di Tanah Suci seperti sakit kaki, batuk, demam dan seumpamanya bukan menjadi halangan untuk menunaikan ibadah di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Dalam susah payah itu, kita berusaha dan bertahan untuk beribadah di dalam Rumah Allah.

Kecuali kita terlantar tidak bermaya dan tidak mampu bergerak. Namun jauh di sudut hati, kita tetap berada di RUMAH-NYA walaupun jasad kita di dalam bilik hotel. Hati kita tidak mudah patah dan terus terpaut untuk mendahulukan ibadah kepada Allah SWT. Mudahan ia menjadi pahala kerana cinta yang tinggi kepada-NYA. Semata-mata kerana-NYA.

Jika NIAT TIDAK JELAS, akan banyak gangguan yang melatari TUJUAN kita ke Tanah Suci. Malah ia menjadi ujian dan dugaan Allah kepada kita pula. Semua ini menggambarkan segala niat yang kita lafazkan. Apakah ia untuk Allah SWT atau ada yang lain disebaliknya tujuan ke tanah Suci.

Adapun niat-niat lain seperti berdoa di tempat-tempat mustajab di dalam Masjidil Haram, mencium Hajarul Aswad, memasuki Hijr Ismail, memasuki Raudhah, berziarah tempat sejarah atau membeli belah, hendaklah dijadikan niat kedua, ketiga dan seterusnya.

Niat-niat ini hendaklah didahulukan dengan NIAT KERANA ALLAH agar semua yang diniatkan menjadi ibadah dan tidak melalaikan.

*

RamadhanMakkahFatima3RukunSyamiYamani

*

AKIBAT NIAT TERSASAR

Selain itu, jika niat sudah tersasar, tumpuan kita tidak lagi untuk beribadah di Masjid. Hati kita mengasak-ngasak untuk ke tempat lain. Keinginan untuk berjemaah di Masjid semakin kurang. Kita semakin menyimpang dan leka dengan urusan duniawi yang melalaikan seperti membeli belah, bersantai dalam bilik. Solat pula bersendirian di dalam bilik atau berjemaah di hotel.

Saya dan SPH pernah bertemu dengan seorang jemaah haji lelaki yang jelas menyatakan niatnya ke Masjidil Haram adalah untuk MENCIUM HAJARUL ASWAD. Selagi tidak dapat mencium Hajarul Aswad, beliau akan terus bertawaf sehingga satu hari, beliau datang kepada kami yang sedang menikmati makan malam.

Dengan bangganya beliau berkata: “aku sudah berjaya mencium Hajarul Aswad.” Selain itu beliau juga bercerita bagaimana usahanya sehingga berjaya mencapai niat walaupun terpaksa bertolak-tolak dengan jemaah lain. Semenjak hari tersebut, beliau jarang beribadah di Masjidil Haram dan lebih suka bersolat jemaah di hotel sahaja.

Selain itu, saya pernah mendengar seorang jemaah lelaki lain, dengan suara kuat memaklumkan jika dia balik kampung nanti, ada orang yang tidak memanggilnya HAJI, dia pasti akan marah. Bagi beliau title HAJI pada namanya sangat penting merujuk bahawa beliau sudah menunaikan HAJI. Orang mesti tahu melalui gelaran itu. Saya beristighfar dalam hati, kasihan melihatnya.

Saya pernah mengajak makcik-makcik yang berumur 55 – 65 tahun untuk ke Masjidil Haram. Mereka menunai haji bersama suami masing-masing. Sayangnya, makcik-makcik ini tidak menunjukkan minat untuk ke Masjid. Mereka memberi alasan sakit kaki, lenguh badan dan penat berjalan jauh. Tidak mahu menyusahkan suami kerana akan melambatkan aktiviti ibadah.

Para suami pula tidak berkeras untuk mengajak isteri bersolat di Masjid. Mereka membiarkan isteri dengan aktiviti sendiri bersama teman-teman sebilik yang boleh dianggap ‘SEHATI SEJIWA, SEIYA SEKATA’.

Tetapi orang yang sama juga dalam suasana riang ria kembali ke hotel dengan pelbagai barangan di tangan. Mereka baru pulang dari membeli belah. Riuh rendah kawasan bilik kami dengan cerita mereka menawar harga dan barangan yang dibeli.

Tidak pula terdengar keluhan bahawa kakinya sakit atau badannya lenguh. semuanya nampak ceria dan bahagia. Saya hanya mampu mendoakan di dalam hati agar perkara ini tidak berlarutan.

Selain itu, saya juga melihat para jemaah dalam pelbagai usia lebih suka solat bersendirian di bilik berbanding solat berjemaah di hotel. Ada yang tidur melewati waktu dan memberi alasan tidak sempat ke Masjid.

Ramai juga yang bersantai dengan bersembang-sembang lama di dalam bilik sehingga lupa hendak ke Masjid. Ini semua menjadi alasan untuk tidak mahu ke Masjid.

Satu lagi yang menimbulkan pelik kepada saya. Ada segelintir jemaah haji atau umrah yang suka bersolat jemaah di masjid-masjid berhampiran hotel mereka.  

Tujuan kita ke Makkah adalah untuk bersolat di Masjidil Haram. Bukankah kita sudah tahu Masjidil Haram mempunyai 120 ganjaran tambahan jika BERSOLAT DI DALAMNYA, selain ganjaran 100,000 solat dari masjid-masjid yang lain.

Mengapa tidak bersolat di Masjidil Haram ?

*

DAHULUKAN YANG UTAMA

Membeli belah tidak salah. Belilah sebanyak mana yang kita hendak tetapi jangan sampai melupai TUJUAN ASAL ke Tanah Suci. Setelah selesai solat di Masjid, bertebaranlah kepada destinasi yang kita ingini.

Setelah semua urusan ibadah kita lakukan dan diutamakan sebagai memenuhi NIAT YANG TEPAT, tidak salah kita melaksanakan hajat sampingan untuk membeli hadiah kenangan kepada keluarga atau membeli barangan yang dikirim oleh saudara mara dan sahabat handai. 

Memang benar, mengunjungi Baitullah merupakan aktiviti utama yang harus dilaksanakan oleh umat Islam yang SOLEH, BERIMAN DAN SABAR. Mohonlah kepada Allah agar hati kita ditetapkan dalam NIAT YANG TEPAT dan BETUL untuk menuju redha Ilahi. IKHLASKAN setiap ujian yang melanda agar kita berjaya mendidik diri dengan SABAR.

Mohonlah keampunan dari Allah kerana mereka yang banyak beristighfar akan mendapat pertolongan Allah SWT dari arah yang tidak disangkakannya. perkara ini disebut dalam  sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Barang siapa memperbanyak mohon ampunan (beristighfar) maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, memberinya jalan keluar bagi kesempitannya, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duganya.” (HR. Abu Dawud).

*

MUDAHAN ALLAH MENGURNIAKAN KITA UMRAH MAKBUL DAN HAJI MABRUR. AAMIIN.

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima10 Mac 2015 (Selasa)/ 19 Jamadil Awwal 1436H/ 10.38 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. Kesungguhan dalam mencapai impian akan terlihat pada tindakan.. Jika malas untuk berfikir, tidak akan ada kejayaan yang diraih bagi membuktikan impian yang didambakan. Susah senang perjalanan yang melingkari impian merupakan kebahagiaan yang diraih di kemudian hari. Sebuah kenangan akan terbina dalam senyum yang terlakar dari lukisan hati.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… Setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita ada hikmah yang hendak disampaikan Allah SWT. Mudahan kita mengerti mengapa Allah datangkan pelangi setelah hujan menyapa bumi. Selalu ada doa untukmu dari setulus hati ini.  Aamiin. Wassalam.🙂

*

RinduFatima5untukmu

*

RINDU PADAMU … MEMBUAT  HATIKU  JADI SEPI DALAM MUNAJAT TERSENDIRI

*

23 Responses to “CT318. CABARAN HAJI (19): NIAT YANG TEPAT KE TANAH SUCI”

  1. IqroZen March 13, 2015 at 10:28 am #

    Perkongsian yang menarik… termia kasih

  2. Mechta March 13, 2015 at 10:40 am #

    Assalamualaikum Kak Siti Fatimah …. maaf baru muncul lagi… Setuju sekali bahwa niat haji itu nomer 1… niatkan ikhlas dan bismillah… Allah akan mengatur & memudahkan semuanya.. Aamiin…

    • SITI FATIMAH AHMAD March 13, 2015 at 11:35 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Mechta…

      Senang menerima kunjungan kembali dari mbak. Jika niatnya tulus, apa pun ujian Allah SWT selama di Tanah Suci akan ditanggapi dengan sabar dan redha. Mudahan kita akan menjadi hamba yang bersyukur. Aamiin.

      Terima kasih mbak Mechta atas kunjungan dan Salam sukses selalu.🙂

  3. Abdullah March 13, 2015 at 12:21 pm #

    Assalamu alaikum Ukhti jazakumulla sudah mengingatkan niat adalah hal yang paling utama dari sebuah amalan, kita harus selalu menjaga dan berdoa agar Allah SWT memelihara menjauhkan kita dari Ria, ujub dan sum’ah dalam mengerjakan ibadah yang mulia, Salam Dari Pinrang Sulawesi Selatan Indonesia

    • SITI FATIMAH AHMAD March 13, 2015 at 12:53 pm #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, akhi Abdullah…

      Persediaan menghadapi penyakit-penyakit rohani yang muncul bila-bila masa, perlu dilakukan setiap masa agar hati terbimbing dengan kesedaran untuk melakukan semua urusan haji atau umrah kerana Allah semata-mata. Banyakkan istighfar agar hati selalu jernih dan urusan kita akan dimudahkan Allah SWT walau banyak ujian yang bakal ditempuh.

      terima kasih dan salam sejahtera.

  4. Yuni andriyani March 13, 2015 at 2:10 pm #

    Assalamu’alaikum wr.wb..
    Semakin besar saja keinginan untuk mengunjungi Mekah…setelah membaca tulisan mbak fatimah….semoga dimudahkan….Aamiin…
    Salam dari Jogja..

    • SITI FATIMAH AHMAD March 14, 2015 at 9:39 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Yuni…

      Semoga kerinduan itu akan dimudahkan Allah SWT untuk sampai ke sana atas jemputan-NYA. Aamiin Ya Rabbal’alamiin.

      Terima kasih mbak Yuni dan salam manis selalu.🙂

  5. Anton March 13, 2015 at 4:48 pm #

    Assalamuálaikum wrwb … Agak merinding tubuhku membaca tulisan kak Siti, sungguh makin menguatkan untuk berkunjung ke Baitullah… Semoga Allah memberiku umur panjang, dan memberikan kesempatan dapat berkunjung ke tanah suci. Tks kak… salam hangat dari Bandung

    • SITI FATIMAH AHMAD March 14, 2015 at 9:43 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Anton…

      Aamiin Allahumma Aamiin. Saya doakan mas Anton dan keluarga akan berkesempatan untuk mengerjakan umrah atau haji. Kerinduan itu selalunya ada pada mereka yang sudah disentuh hatinya sejak Nabi Ibrahim mula menyeru seruan ke Baitullah. Semoga Allah memudahkannya.

      Terima kasih dan salam sejahtera.

  6. kekekenanga March 13, 2015 at 5:54 pm #

    Assalamualaikum..
    Semoga Allah memberi usia panjang untukku dan kedua orgtuaku, agar aku sempat membawa mereka pergi ke tanah Suci..

    Aamiin ya Rab

    • SITI FATIMAH AHMAD March 14, 2015 at 9:49 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Kenanga…

      Aamiin Ya Rabb. Semoga niat dan hasrat mbak akan diperkenankan Allah SWT. Niat yang baik, insya Allah akan baik balasannya.

      Terima kasih sudah berkunjung perdana dan salam kenal.🙂

  7. Lidya March 14, 2015 at 8:44 am #

    Assalamualaikum bunda. Apa kabar? lama say atidak mampir ke blognya bunda.
    Insya Alah saya ke tanah suci akan menomorsatukan niat. Terima kasih sharingnya ya

    • SITI FATIMAH AHMAD March 14, 2015 at 9:51 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Lidya…

      Alhamdulillah, saya sihat wal’afiat. Didoakan mbak Lidya juga demikian sama di sana. Alhamdulillah, mudahan dengan berniat nombor satu itu semua urusan akan dimudahkan Allah SWT, ya mbak.

      Terima kasih kembali sudah berkunjung lagi dan salam mesra selalu.🙂

  8. sussi March 14, 2015 at 10:28 pm #

    Assalamualaikum
    Segala sesuatunya memang tergantung niat ya kak. Dan semoga apa yg sudah di paparkan di atas dapat membuat kita selalu ikhlas dlm memenuhi segala perintah NYA. Aminn
    Terima ksh ya kak🙂

    • SITI FATIMAH AHMAD March 15, 2015 at 5:42 pm #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Sussi…

      Niat menentukan apa yang kita lakukan itu menjadi ibadah atau tidak. Semuanya menjurus kepada kerana Allah taala.

      Terima kasih mbak Sussi dan salam penghujung pekan.🙂

  9. junior March 14, 2015 at 10:33 pm #

    Assalamualaikum wr wb bunda Fatimah
    Doa kan kami sekuluarga disini ya bun, agar memiliki nawaitu yang kuat dan di beri kesempatan pula memenuhi panggilannya. Aminnn🙂
    Salam dari Jakarta

    • SITI FATIMAH AHMAD March 15, 2015 at 5:50 pm #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, Purnomo Jr…

      Aamiin Allahumma Aamiin. Insya Allah, jika seruan itu sudah sampai sehingga hati rindu padanya (mengunjungi Baitullah), pasti akan ada kesempatan yang Allah SWT berikan kepada Purnomo sekeluarga. berusaha dan berdoa adalah jalan terbaik untuk merealitikan hasrat tersebut.

      Terima kasih dan salam sejahtera.🙂

  10. soeman jaya March 15, 2015 at 3:19 pm #

    Assalamulaikum … Bu SFA … pesan-pesan ‘bernas nan religius selalu menggugah hati untuk dapat kembali bersimpuh dalam sujud didepan Ka’bah dalam ‘niat ikhlas karena Allah SWT semata. Amin …

    Salam taqzim dari pinggir timurnya Jakarta Timur …🙂

    • SITI FATIMAH AHMAD March 15, 2015 at 5:52 pm #

      Wa’alaikum salaam wt.wb, Soeman Jaya…

      Ingin kembali setelah pernah hadir berkunjung selalu mengisi hati mereka yang pernah ke sana. Tidak ada istilah jemu untuk mengunjungi Baitullah dan menziarahi Rasulullah SAW. Demikianlah saat rindu kian menggamit hati untuk bertemu dengan KEKASIH ABADI.

      Terima kasih Soeman dan salam takzim kembali.🙂

  11. Siti Fatihah binti Osman JPIM July 23, 2015 at 11:33 am #

    assalamualaikum..kak siti.saya tekun meneladani cerita2 akak.best best saya suka ..SITI FATIHAH OSMAN.

    • SITI FATIMAH AHMAD July 23, 2015 at 11:47 am #

      Wa’alaikum salaam Fatihah….

      Alhamdulillah, semoga beroleh manfaatnya. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir bathin dari akak. lama tidak mendengar brita dari Fatihah di sana.

      Salam manis selau.🙂

Trackbacks/Pingbacks

  1. CT402. CABARAN HAJI (20): BEG PLASTIK DAN ALAS KAKI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2 - August 24, 2016

    […] menunaikan ibadah haji, banyak perkara yang perlu kita fikir dengan semasak-masaknya. Dalam posting CT318. CABARAN HAJI (19): NIAT YANG TEPAT KE TANAH SUCI, mesti kita fahami dengan […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: