CT472. 16 MEI 2018 : SELAMAT HARI GURU – “KOMEN PELAJAR”

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA GURU DI MALAYSIA

HARI INI, 16 MEI 2018 (RABU). Hampir sebulan saya tidak menulis di LMGS G2. Membiarkan blog ini terlalu lama tanpa pengisian bukan amalan biasa saya. Namun disebabkan kesibukan kuliah, menyemak kerja kursus dan kertas peperiksaan serta mengosong ruang pejabat kerana akan berpindah ke tempat kerja lain, sedikit sebanyak menyekat aktiviti menulis episod Perjalanan Haji yang seterusnya. Inilah buktinya… dari pagi menulis, malam ini baru dapat dilunaskan.

HARI INI, seluruh guru di Malaysia dan anak-anak didik sedang diamuk kegembiraan untuk menyambut HARI GURU. Tentu sekali sambutan di peringkat kebangsaan, sekolah rendah dan sekolah menengah seperti biasa akan menyambut tepat pada tarikhnya hari ini.

Berbeza dengan IPGK Rajang sering kali menunda tarikh sambutan Hari Guru pada hari lain, bukan sehari dua tetapi jauhnya antara seminggu hingga sebulan. Uhhhh. Tentu rasanya hambar dan “kurang selera”. Tak apalah, yang pentingnya ada sambutan di peringkat IPG.

*

*

KONGSI CERITA

Untuk tulisan Hari Guru 2018 ini, saya tertarik untuk berkongsi cerita tentang komen-komen anak didik saya. Ia amat memberi kesan dan sudah tentu banyak kenangan yang telah disimpan hasil komen positif (lebih banyak) berbanding komen negatif.

Lebih mengharu dan menyentuh hati, seorang guru yang garang dan tegas seperti saya dan pernah digelar “GURU GANSTER” oleh seorang pelajar berbangsa Cina Tingkatan 2 tahun 1994 yang juga bertingkah laku “ganster” (ketika itu saya masih guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT berumur 25 tahun), jarang menerima komen negatif dari pelajar. 

KENAPA ? Tentu ada sebab dan alasannya mengapa saya ‘MUDAH DISAYANGI ANAK DIDIK DARIPADA DIBENCI” Hmmmm…. angkat bakul sendiri nih…hehehe. Mari kita mulakan dengan kata-kata Cikgu Hamzah bin Mohamed ini.

*

GURU SEBENAR GURU

Dalam pencarian “Guru Sebenar Guru”…..

…antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? Ramai mengaku ‘berilmu’ tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;  itulah punca amal  dan  bual,  tidak menjadi bekal.

“Guru Sebenar Guru : ke sekolah tidak jemu,  mengajar tidak lesu.”

*

Seingat saya, kata-kata Cikgu Hamzah bin Mohammed di atas mula menjadi inspirasi yang hebat kepada saya sejak akhir tahun 2008. Ketika itu saya menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan baru berjinak dalam dunia maya.

Saya menemui kata-kata yang penuh makna ini di sebuah laman blog yang ditulis oleh beliau (jika tidak silap saya) kerana saya juga antara yang selalu berkomentar di blog tersebut. Kata-kata itu amat mengesan jiwa dan menusuk jauh ke dalam hati saya. Ia sangat mempengaruhi jiwa dan seperti mengikat saya untuk terus mencintai bidang keguruan walau banyak cabaran yang sudah ditempuh.

Sering kali saya menjadikan kata-kata keramat seorang tokoh guru ini untuk menyuburkan semangat keguruan di kalangan siswa pendidik agar mereka mengerti bahawa menjadi guru bukan mudah, perlukan hati yang tabah, berjiwa pendekar dan berani berjuang untuk membangun modal insan agar mereka cemerlang, gemilang dan terbilang sama ada di dunia mahupun di akhirat.

*

“Seorang guru selalu ingin anak didiknya LEBIH BERJAYA daripada dirinya.”

*

REALITI KEHIDUPAN

Saya yakin, tidak semua orang suka dirinya dikomen. Lebih-lebih lagi kalau komen tersebut dianggap berbentuk negatif dan memalukan. Hati akan jadi geram dan timbul rasa benci dan dendam. Mengapa kita sering bersikap demikian ?

Jika boleh, biarlah komentar itu menggembira hati kita, membungakan jiwa raga dan membuat kita bangga seolah kitalah orang terbaik yang pernah dilahirkan. Wahhhh…. sangat sempurna sekali. Namun semua itu, “jauh panggang dari api”.

Realiti kehidupan ini menunjukkan ia tidak berlaku kepada sesiapa. Malah dengan Allah, pencipta Yang Maha Hebat dan MAHA PERKASA pun manusia sanggup dan “berani” memberi komen dan bersikap “kurang ajar”. Para Rasul dan Nabi juga tidak terhindar dari omelan mulut pengikutnya yang engkar dan sombong dengan petunjuk dan utusan yang didatangkan.

Allah, Allah, Allah…..Inikan pula kita manusia biasa, lebih-lebih lagi GURU yang belum tentu SEBENAR GURU. Tidak semua guru yang memilih kerjaya guru ini betul-betul mahu menjadi guru. Ada yang dipaksa orang tua, ada yang menganggap inilah kerjaya terakhir setelah segala usaha gagal dilakukan pada pekerjaan yang disukai dan macam-macam lagi.

Oleh itu pelbagai ragam tingkah guru, boleh kita kenali di sekolah. Kerana itu, kita dapat melihat ciri-ciri yang baik dan buruk pada setiap guru. Tidak ada yang terkecuali. Siapapun kita sesudah menjadi guru, saya berharap ….Jadilah GURU SEBENAR GURU, KE SEKOLAH TIDAK JEMU, MENGAJAR TIDAK LESU.

Di medan pendidikan ini, sudah pasti ada mata-mata kecil yang memandang ke arah kita yang berada di hadapan mereka di dalam bilik darjah, memberi perhatian penuh makna sedangkan jiwanya berkecamuk membuat pilihan. Adakah kita guru teladan yang bakal disayangi atau guru sempadan yang dibenci. 

Apa pun pilihan murid, kita yang menentukannya dari cara kita berkomunkasi, menunjukkan kasih sayang atau belang dengan cara tersendiri. Menjadi guru yang disayangi, tidak menjadi heran dan pelik. Menjadi guru yang dibenci murid pun begitu juga kerana benci dan sayang dilihat dari sudut pandang yang berbeza.

Usah gusar apabila dibenci murid jika kita guru yang tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendidik mereka menjadi manusia berguna. Didiklah dengan hati dan jiwa yang penyayang. Allah SWT berjanji apabila kita sayang seseorang, pasti rasa sayang juga akan kembali kepada kita. Jangan pernah putus asa membentuk sahsiah anak didik agar seimbang dengan akademik mereka.

Mungkin hari ini murid yang pernah kita marah tidak tahu bahawa marah kita itu berguna untuk masa depan mereka. Yakinlah sepuluh tahun atau dua puluh tahun akan datang, mereka sangat mengerti mengapa kita bertindak sedemikian rupa. Akhirnya mereka mengakui, dengan cara kitalah mereka sedar dan berubah.

Menurut Dr. Ovide Darcoly, MENDIDIK bukan dengan mengisi otak murid dengan serba macam pengetahuan. Tetapi MENDIDIK ialah membangkitkan jiwa dan fikirannya untuk tahu, supaya apa yang diketahuinya nanti dapat dipergunakan untuk mencari apa yang belum diketahuinya. 

*

 TEGAS

Terus terang, saya bukan guru yang suka memanjakan pelajar. Saya tidak suka pelajar yang manja, lembik dan tidak cergas dan cerdas. Saya sangat tegas dalam urusan pembelajaran. Jika saya melihat pelajar saya demikian, saya akan berusaha membentuk mereka menjadi apa yang saya mahu mereka lakukan sebagai manusia terpelajar. Lebih-lebih lagi siswa pendidik yang bakal menjadi guru dan menggantikan tempat kami suatu ketika nanti.

Sikap saya ini banyak dipengaruhi oleh mereka yang mendidik saya seperti Pak Nek, Bapak dan Emak, mereka garang dan tegas tetapi penyayang. Begitu juga beberapa guru-guru sekolah rendah, sekolah menengah dan pensyarah di universiti yang mengubah persepsi saya untuk kuat dan berani berdepan dengan cabaran hidup.

Semasa menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya memilih Prof. Dr. Abdul Halim Tamuri sebagai penyelia tesis. Beliau terkenal sebagai seorang pensyarah yang tegas dan cerewet. Tidak ramai yang berani memilih beliau tetapi saya menyukai sikap tersebut.

Menurut saya, insan yang tegas dan mempunyai kemahuan yang kuat untuk berjaya akan berusaha membantu saya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Alhamdulillah, terima kasih Prof. Dr. Halim atas didikan yang tegas dan saya akan selalu mengingatinya.

Kerana itu, saya sangat minat menjadi guru. Melalui bidang keguruan saya dapat membantu pelajar membina sahsiah yang mulia dan cemerlang dalam pelajaran. Untuk menjadi warga negara yang baik dan berkesan seorang guru mesti berkualiti dan dedikasi dalam tugas, amanah dalam kerjaya dan tegas dalam membentuk insan yang berkualiti.

Sifat berani mesti ada pada guru. Guru adalah seorang pejuang bangsa yang berani berhadapan dengan apa pun cabaran dan kritikan sesiapa. Jika anda takut, lemah dan tidak bermaya, anda akan sakit jiwa, tertekan. Guru mesti berani berhadapan dengan tingkah olah pelajar yang pelbagai ragam dan jangan pernah putus asa untuk mendidik mereka yang bermasalah.

Pelajar bermasalah tingkah laku inilah merupakan cabaran guru yang sebenar sepanjang karier keguruan. Tidak ramai pelajar yang sopan santun, boleh dibilang dengan jari. Oleh itu, GURU SEBENAR GURU, tidak takut menegur pelajar yang salah tingkah. Mereka sedaya upaya membantu ibu bapa untuk mendidik akhlak yang baik dan kefahaman tentang pentingnya kejayaan dalam hidup.

Ibu bapa mesti faham tugas berat yang disandang oleh guru. Mereka bukan sekadar mengajar tetapi juga  mendidik dan membentuk akhlak serta disiplin pelajar. Ia bukan tugas yang ringan dan boleh dilakukan sambil lewa. Kerjasama ibu bapa amat diharapkan dalam membantu mendidik anak di rumah. Jangan salahkan guru semata-mata, sedang diri sendiri juga terpalit sama jika anak kita menconteng arang di muka.

*

KOMEN PELAJAR

Seperti saya jelaskan di awal penulisan di atas, seorang guru perlu mengetahui komen dari pelajarnya agar boleh membuat refleksi kendiri untuk menambah baik mutu pengajaran di masa akan datang. Tidak kira siapa pun mereka sama ada yang benci atau yang sayang, kita perlu tahu sejauh mana kita dapat menjadi guru yang membantu mereka mencapai kecemerlangan akademik dan kesejahteraan akhlak.

Berikut adalah antara komen siswa pendidik tentang pelaksanaan pengajaran saya di bilik kuliah sepanjang semester ini. Penilaian ini dilakukan secara online melalui aplikasi CDL untuk entrance dan exit survey bagi mengakhiri kursus ELMK 3072, MPU 3092 dan MPU 3052 yang diajar selama 5 bulan sidang akademik.

*

*

*

*

TERIMA KASIH

….. dari hati terdalam, ingin saya ucapkan kepada para siswa pendidik saya yang sabar dan dapat menerima cara pengajaran saya sepanjang bersama di IPGK Rajang. Dengan penilaian yang sedemikian, saya akan mengambil banyak kebaikan untuk menjadi guru yang lebih baik dari semalam.

Semoga anda juga akan menjadi GURU SEBENAR GURU: KE SEKOLAH TIDAK JEMU, MENGAJAR TIDAK LESU. Saya meredhai ilmu yang dicurahkan dan berbaktilah kepada nusa bangsa dengan penuh amanah dan rela hati. Rahmat Tuhan akan selalu bersama anda di mana sahaja berada di bumi Malaysia ini. ingatlah !

*

GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN

*

*

SELAMAT HARI GURU BUATMU ANAK-ANAK SISWA PENDIDIK IPGK SELURUH MALAYSIA YANG BAKAL MENJADI GURU.

 

***************

SalamFatima3SalamFatima16 Mei 2018 (Rabu)/ 29 Syaaban 1439H/ 1.30 petang/ Bintangor, Sarikei, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

 

 

 

 

 

*

6 thoughts on “CT472. 16 MEI 2018 : SELAMAT HARI GURU – “KOMEN PELAJAR”

  1. Assalamualaikum wr. wb Bu Hajjah Fatimah. Semoga selalu dalam lindungan Allah swt.

    Selamat hari guru untuk semua guru di Malaysia. Jasa guru sungguh luar biasa.

    Selamat menjalankan ibadah puasa juga, marhaban ya Ramadhan.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Alhamdulillah, saya doakan mbak juga selalu dalam lindungan Allah SWT.

      Terima kasih mbak atas ucapan selamat hari guru dan pastinya guru selalu banyak jasanya walau tida tanda yang membuktikan. Hanya Allah yang membalas semua jasa mereka.

      Selamat berpuasa kembali mbak dan maaf zahir bathin.

      SalamRamadhan al mubarak. 🙂

  2. Assalamualaikum ummi siti fatimah, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Saya juga ingin mengucapkan selamat hari guru kepada ummi siti fatimah juga kepada semua guru pendidik.
    Guru merupakan pengganti kepada ibu bapa di sekolah yang mendidik murid tanpa jemu. Keikhlasan dan semangat yang tinggi untuk melihat anak muridnya berjaya dan menjadi seorang manusia. Menghormati dan memuliakan guru adalah sesuatu yang amat dituntut oleh Islam dan merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.
    Saya masih ingat ketika belajar dahulu, guru seringkali berpesan, “Sebahagian daripada keberkatan ilmu adalah dengan kamu mengamalkannya, manakala sebahagian lagi adalah dengan kamu menghormati guru kamu.”
    Benar, ilmu tidak dapat dipisahkan dari keberkatan. Jika kita tidak menghormati guru, maka keberkatan itu tidak akan datang. Sedangkan dalam setiap perkara kita amat berhajat kepada keberkatan. Rezeki yang berkat, keluarga yang berkat, kehidupan yang berkat dan sebagainya. Oleh yang demikian, hormatilah guru dengan mengenang dan menghargai jasa mereka sepanjang zaman.
    (sekadar penambah perisa)

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Abu Ikhwan….
      Alhamdulillah, didoakan juga AbuIkhwan sekeluarga dalam rahmat Allah SWT selalu.

      Tugas guru sangat berat dan memerlukan keikhlasan dalam mendidik anak murid menjadi manusia yang dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga, negara dan agama. Kerana itu kita wajib menghormati guru kerana Islam mengajar kita berbuat demikian. Benar, keberkatan ilmu adalah hasil dari mengormati guru. Jika tidak hormat maka terhijablah ilmu untuk masuk ke dalam hati. Hati jadi buta dan tidak menghormati sesiapa termasuk ibu bapa sendiri.

      Mudahan semua insan bernama guru tahu peranan dan tanggungjawab yang dipikul sebagai amanah dari Allah SWT melalui bidang yang dipilih. Jika tidak mengapa kita menjadi guru ?

      Terima kasih Abu ikhwan dengan penambah perisa yang bermanfaat untuk difikir oleh semua terutama para guru dan Selamat Hari Guru juga.

      Salam takzim.

  3. Assalamualaikum puan fatimah
    selamat hari guru .. pasti puan adalah gru yang baik … dari tulisan2nya saja sudah jelas terlihat. Tapi meskipun baik pasti ada saja yang ngga suka .. sampai ada yang menyebut guru ganster … 🙂
    Semangat guru bukan untuk mencari pujian … mendidik anak muridnya dengan benar .. dan keberhasilan anak didiknya adalah kesuksesan guru.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb….

      Alhamdulillah, tujuan menjadi guru bukan untuk mendapat pujian tetapi mendidik anak didik menjadi orang terpelajar dan tahu siapa dirinya sebagai manusia dan hamba kepada Tuhan. Jika benar ilmu yang disampaikan maka dunia ini menjadi aman dan harmoni untuk diduduki oleh manusia.

      Terima kasih mas atas ucapan selamat dan kunjungannya.
      Salam takzim dan selamat menjalani ibadah puasa.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.