CT227. KHURAFAT JEMAAH HAJI DI MASJID NABAWI

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuuh

Khurafat2Fatima1MasjidNabawi

*

KHURAFAT ZAMAN JAHILIYYAH

Perkara khurafat banyak berlaku di Tanah Suci Makkah sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Zaman Jahillah tidak mengetahui agama Allah yang sebenarnya sama ada dari aspek kepercayaan, hukum hakam dan nilai-nilai akhlak. Masyarakat yang hidup pada zaman itu telah melupakan agama Allah yang disampaikan oleh para Rasul terdahulu seperti Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.

Kehidupan di tengah-tengah padang pasir menyebabkan mereka mempunyai kepercayaan tersendiri seperti penyembahan makhluk halus, cakerawala, batu berhala dan animisme yang berpunca daripada perasaan takut mereka di tengah-tengah keajaiban alam persekitaran mereka yang menggerunkan. 

Di samping itu mereka terikat dengan adat tradisi nenek moyang sehingga tidak terkesan dengan pengaruh tamadun dan agama luar. Kebanyakan mereka kekal dengan tradisi menyembah berhala. Pengangkatan Rasulullah SAW sebagai Nabi dan Rasul yang diutus untuk membuang segala perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT.

Jika kita menyorot kepada sejarah kehidupan masyarakat Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam, banyak perkara khurafat akan kita temui, antaranya tradisi menyembah berhala dan perbuatan mengundi nasib menggunakan anak panah. Kedua-dua perbuatan tersebut merupakan khurafat berbentuk syirik akbar (besar). Ini dijelaskan di dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, MENYEMBAH BERHALA DAN MENGUNDI NASIB DENGAN ANAK PANAH adalah termasuk perbuatan syaitan. maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh keuntungan.”

*

 2 AMALAN KHURAFAT DI MASJID NABAWI

Amalan syirik, tahyul dan khurafat sangat mudah berlaku di Tanah Suci. Kehadiran jemaah haji dari pelbagai bangsa, budaya, adat resam dan kepercayaan tradisi nenek moyang, memungkinkan amalan -amalan ini merebak di Tanah Suci dengan alasan tersendiri tanpa disedari telah menyeret diri kepada perkara yang melanggar hukum syarak.

Berdasarkan pengalaman saya di Masjid Nabawi, terjadi dua peristiwa yang berlaku di depan mata dan boleh dianggap khurafat. Ia dilakukan oleh beberapa jemaah haji wanita. Perkongsian ini sebagai pengajaran dan sempadan buat jemaah Haji dan Umrah agar tidak mengulangi perkara yang sama semasa di Tanah Suci.

Perbuatan ini mungkin dilakukan kerana merasa takjub dengan kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada Masjid Nabawi dan sesiapa yang berada di dalamnya. atau mungkin juga sudah menjadi kebiasaan di tempat sendiri melalui kepercayaan yang dipegang sehingga terbawa-bawa ke Tanah Suci dan mempercayai manfaatnya. Wal’iyazubillahi min zaalik.

*

1. MENGUSAP SELENDANG DI PINTU MASJID 

Selesai melaksanakan solat Zohor, saya melangkah keluar dari Masjid Nabawi untuk pulang berehat di hotel bagi menikmati makan tengah hari. Beberapa meter ke depan, sebelum sampai ke pintu Masjid, langkah saya semakin perlahan kerana tertarik dengan apa yang sedang berlaku di depan sana.

Kelihatan beberapa orang jemaah hajjah dari benua Afrika sedang mendekati dan mengerumuni pintu Masjid Nabawi. Pakaian mereka besar dan lebar sesuai dengan bentuk badan yang tinggi dan besar. Selendang yang dipakai di kepala mereka sangat panjang. Ia melingkari kepala dan atas bahu yang bidang.

Saya perhatikan sekumpulan hajjah Afrika itu mengusap hujung selendang mereka dengan bersungguh-sungguh ke dinding pintu Masjid Nabawi sambil mulutnya kumat kamit membaca sesuatu yang tidak diketahui tutur bicaranya. Mungkin sedang membaca doa atau apa-apa yang mereka sendiri fahami.

Setelah mengusap selendang tersebut, mereka kemudiannya menyapu bahagian selendang tadi ke muka dengan sepenuh hati dan mengucup selendang dengan penuh semangat seolah-olah mencium wangi haruman bunga mawar yang sedang mekar.

Apakah tujuan mereka berbuat demikian ? Untuk apa mereka perlu mengusap pintu Masjid Nabawi dengan selendang ?

Kalau bertujuan untuk membantu membersihkan pintu tersebut, tentu mereka tidak perlu melakukannya kerana sudah ada pekerja masjid yang diupah untuk membersih Masjid Nabawi. Wallahu’alaam. Saya tidak berani untuk berburuk sangka kerana saya tidak pernah bertanya tentang hal itu kepada mereka.

*

PEN MARKER

Pernah dua kali saya, Kak Kasma dan Kak Senah menempati saf paling belakang dekat pintu masjid Nabawi apabila kami terlewat sampai ke masjid. Saya sempat  merasa hairan dan timbul persoalan apabila melihat banyaknya pen marker di satu sudut belakang berhampiran saf kami bersolat.

Saya bertanya kepada Kak Senah, untuk apa pen-pen marker yang banyak itu. Kak Senah tidak dapat memberi jawaban kerana turut tidak tahu.

Akhirnya persoalan itu hilang dari ingatan begitu sahaja dan beranggapan pen-pen marker tersebut digunakan untuk menulis sesuatu yang menjadi keperluan polis bertugas atau pekerja Masjid Nabawi sehinggalah saya melihat satu peristiwa yang mengungkap segala persoalan yang timbul.

Peristiwa ini berlaku pada malam terakhir saya di Masjid Nabawi kerana esoknya akan berangkat ke Tanah Suci Makkah. Ketika itu saya berada di stesen terakhir di mana para jemaah hajjah dari Nusantara (Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei) sedang menunggu giliran untuk memasuki ruang Raudhah.

*

2. MENULIS NAMA

Saya sedang berada di stesen ke 8, lokasi terakhir sebelum dibenarkan memasuki ruang Raudhah al-Mutahharah. Stesen ini betul-betul bertentangan dengan Makam Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a. Bakal hajjah negara Indonesia paling ramai berbanding jemaah hajjah dari negara nusantara lain.

Selama menunggu berhampiran dengan dinding pemisah antara stesen 8 dan Makam Rasulullah, saya membaca al-Quran, solat sunat dan berzikir. Penat badan tidak terhingga selain menahan ngantuk, bimbang wuduk terbatal. Bayangkan hampir 2 jam menunggu tentu rasa penat tidak dapat dihindari walaupun aktivitinya hanya duduk dan beribadat.

Sedang saya asyik berzikir, tiba-tiba terdengar bunyi bising dan teriakan beramai-ramai dari kelompok jemaah hajjah Indonesia seakan memarahi seseorang. Saya mengangkat wajah ke arah bunyi yang sangat hampir dengan saya. Rupanya, dua orang hajjah separuh usia dari Indonesia sedang berdiri sambil memegang pen marker dan mahu menulis sesuatu di dinding pemisah antara stesen 9 dan Makam Rasulullah.

Saya lihat banyak sekali nama-nama ditulis di dinding tersebut dengan menggunakan pen marker. Pelbagai gaya tulisan terpahat sama ada rumi atau jawi/hijja’iyyah. Kenapa perlu menconteng nama atau apa-apa tulisan di dalam masjid. Untuk tujuan apa mereka berbuat demikian ?

Perbuatan ini sama seperti sesetengah jemaah yang menulis nama dan pasangan mereka di dinding tiang Bukit Jabal Rahmah, Padang Arafah, Makkah. Merka percaya dengan menulis nama dan pasangan akan ditemukan jodoh atau panjang usia perkahwinan. Perbuatan ini dianggap mengambil berkat melalui pertemuan Nabi Adam a.s dan Siti Hawa aha.s

Syukur sahaja tidak sempat dilakukan. Beberapa hajjah Indoensia yang lain memarahi perbuatan mereka. Salah seorang dengan beraninya berkata: “haram-haram, perbuatan ini tidak dibenarkan. Kamu mahu buat apa dengan menulis nama kamu di Masjid Nabi ini.”  Jemaah lain turut bising dan melarang perbuatan tersebut. Kedua hajah itu disuruh menyimpan semula pen marker.

Setelah menyaksikan peristiwa itu, barulah saya tahu kenapa banyaknya pen-pen marker yang disimpan di satu sudut dinding tempat saf yang saya duduki dahulu. Gambaran ini menunjukkan ramai jemaah hajjah membawa masuk pen marker dan melakukan “vandalisme” di dalam Masjid Nabawi dengan tujuan menulis nama atau seumpamanya bagi mendapat berkat atau sebagai bukti bahawa mereka pernah berada di Masjid Nabawi.

PERLUKAH SEMUA ITU ?

*

PesanFatima

KEPADA JEMAAH HAJI DAN UMRAH

Sebaiknya, jangan mencampur adukkan ibadah haji dan umrah dengan amalan syirik, tahyul dan khurafat kerana jelas amalan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam. Ibadah haji dan umrah seharusnya dilaksanakan dengan sempurna agar tidak menjadi sia-sia. Perbuatan tersebut boleh merosakkan akidah dan ibadah sehingga tidak mendapat apa-apa kebaikan dari ibadahnya.

Pihak pengurusan Tabung Haji dan pengelola pakej swasta perlu menekankan di dalam kursus-kursus haji dan umrah tentang amalan yang boleh membawa syirik kepada Allah SWT. Saya yakin para penceramah kursus sering mengingatkan perbuatan khurafat ini.

Cuma, sebahagian jemaah tidak mempedulikannya kerana menganggap perbuatan itu sudah menjadi kebiasaan mereka selain menerima pakai petua-petua dari orang yang tidak bertanggungjawab. 

Jangan sia-siakan ibadah haji anda hanya semata-mata melakukan amalan yang boleh merosakkan ibadah wajib dan rukun yang sepatutnya menambah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Bertaubatlah kepada Allah SWT kerana hanya Allah tempat manusia bergantung..

Firman Allah SWT di dalam surah al-Fathir, ayat 6 yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu. Maka anggaplah ia musuhmu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya (kamu) supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.”

*

JALANILAH IBADAH HAJI DAN UMRAH DENGAN HATI TENANG. BERTAWAKALLAH KEPADA-NYA

*

***************

SalamFatima3SalamFatima8 Febuari 2014 (Sabtu)/ 8 Rabi’ul Akhir 1435H/ 11.38 pagi, Bintangor, Sarawak

AKU….merasa bahawa hatiku perlu direhatkan dengan memberi kegembiraan kepadanya walaupun hanya sesaat. Membaca al-Quran, selawat atas Nabi SAW dan berzikir mengingati Allah SWT merupakan pintu kerehatan buat hati yang telah penat dengan gerak laku kemilau dunia yang kita hidangkan kepadanya. Ingatlah, hati itu apabila penat, boleh menjadi BUTA. Kepada-MU ya Allah, aku berlindung dari hati yang berpaling dari-MU. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

Dedikasiku Untukmu…. Apabila dirimu hendak tidur, bawalah kepada bantalmu kasih sayang, pengharapan dan belas kasih. Berdoalah agar bangunnya dirimu esok, kesejahteraan akan meliputi seluruh hidupmu dalam dakapan rahmat Ilahi. Selalu ada ingatan buatmu.  Wassalaam. 😀

CintaFatima5BacaDengan NamaTuhanmu

*

DI JENDELA WAKTU….. ADA RINDU SEDANG BERMUKIM UNTUK DEKAT PADAMU

*

14 thoughts on “CT227. KHURAFAT JEMAAH HAJI DI MASJID NABAWI

  1. Assalamu’alaikum wr.wb.
    Alhamdulillaah…, apa kabar, Mbak? Semoga senantiasa dalam rahmat Allah Swt.

    Ibadah haji dan umrah adalah ibadah yang tidak setiap saat kita bisa melakukannya. Perlu perjalanan jauh untuk menuju makkan dan madinah. Oleh karena itu, mari kita lakukan dengan sebaik-baiknya ya, Mbak. Dalam bahasa jawanya, eman-eman jauh-jauh ke sana dengan biaya yang tidak sedikit bila tidak lakukan dengan sebaik-baiknya.

    Salam hormat dari Jogja ya, Mbak Fatimah.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet….

      Alhamdulillah, saya sihat dan didoakan mas Amazzet juga dirahmati Allah SWT bersama keluarga.

      Benar, oleh itu kita semestinya melakukan yang sebaik dan sempurna segala ibadah yang menjadi rukun dan wajib haji atau umrah. Jangan dipersiakan jemputan Allah SWT kerana mungkin itulah kali pertama dan terakhir kita berada di sana.

      Mudahan persiapan haji dan umrah dapat dipraktikkan dengan ilmu yang dipelajari secara berguru dan jika tidak tahu, hendaklah ringan mulut untuk bertanya jika terdapat sebaran lemusykilan berkaitan dengan hukum hakam dalam ibadah.

      Terima kasih mas Amazzet atas kunjungan dan pencerahannya.
      Salam hormat. 😀

      Terima kasih

  2. Assalamualaikum wr.wb.
    seperti apa yang disampaikan Ustadz Azzet, eman eman sekali kalau jauh2 ke tanah suci utk beribadah haji /umroh dan tidak beribadh sebaik – baiknya.

    Mencoret coret masjid bukanlah adab yang baik, masjid semestinya dijaga kebersihannya, sangat disayangkan jika jemaah melakukan perbuatan semacam itu. Terlebih dilakukan di dalam masjid Nabawi.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Zainal….

      Kebanyakan yang melakukan ini adalah jemaah wanita. Pen parker yang banyak itu adalah pen yang dirampas oleh polis wanita yang bertugas di setiap pintu masuk bahagian an-Nisak.

      Saya heran, bagaimana dapat terlepas juga kerana pemeriksaan mereka sangat ketat sekali. Mungkin disembunyikan di bahagian yang tidak di”raba” oleh mereka seperti di dalam telekung yang berlipat tebal. Wallahu’alaam.

      Sepatutnya kita tidak menlakukan hal yang dianggap “vandalimse” di tempat suci kerana tujuan kita adalah untuk beribadat semata-mata.

      Terima kasih mas Zaina. atas kunjungan dan komentarnya.
      Salam takzim. 😀

  3. Dari uraian ustazah di atas nampak adanya kesyirikan yang berbingkai agama, menurut hemat ana hal itu jauh lebih berbahaya, karena setiap org akan beranggapan bhw dia telah melaksanakan ajaran agama padahal sesungguhnya apa yg dilakukannya itu jauh dari agama, naudzubillah
    salam hangat dari bogor indonesia

    • Salam hormat AbiFasya….

      Memang banyak perkara yang mengarah kepada mensyirikkan Allah SWT berlaku di Tanah Suci. Jika diteliti amat menyedihkan kerana kepercayaan tersebut dibawa dari tanah air sendiri yang menganggap ada manfaat darinya.

      Antara lain contoh adalah seperti mengambil batu di Muzdalifah untuk dibawa balik bagi melariskan perniagaan. Mencelupkan kain putih di dalam air zam-zam untuk dibuat azimat dan sebagainya.

      Semoga perkara seperti ini dapat dihindari terutama kepercayaan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

      Terima kasih AbiFasya atas kunjungan.
      Salam hangat kembali. 😀

  4. Asalamulaikum Wr Wb

    Senang membaca tulisan bunda ni….. banyak hikmah yang terkandung dalam setiap kalimat. Hal tersulit dalam hati salah stunya menghilangkanhal yang syirik bersifat tersembunyi dalam hati kita, terkadang hal ini menjadi bias, karena di penerapan yang salah kaprah, atau kurang tepat. Terimakasih atas sharingnya bunda.

    Salam

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra…..

      Jika hati tidak dijaga dan ilmu tentang akidah kurang mantap, maka apa sahaja yang berkaitan dengan perkara yang boleh mensyirikkan Allah, tidak disedari akan dilakukan dengan mudahnya baik dari perkataan mahu pun perbuatan.

      Terima kasih kembali mas Indra atas kunjungan dan pencerahannya.
      Salam sejahtera. 😀

  5. Pingback: CT232. ZIARAH MADINAH (10): JAUHNYA PERJALANAN KE RAUDHAH (2) | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  6. Assalamualaikum Kak Siti Fatimah, sya baru balik dr mengerjakan umrah. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan sya. Dapat juga sya solat sonat di Raudhah. Lepas baca coretan akak pasal khurafat Jemaah di Masjid Nabawi, baru lah sya dpt jawapan mengapa sya di beritahu bahawa jemaah2 perempuan dr Indonesia di larang dr memasuki Raudhah sekarang. Kami tak di beritahu ‘mengapa & sebab’, tp skrg sya sudah faham. Sya pernah di Tanya oleh petugas2 wanita sebelum memasuki stesyen2 ke Raudah ..”hajjah dr mana” sya jawab dr Malaysia. Dia terus jwb…’subhanAllah’..msk hajjah..masuk. Pertanyaan yg sama utk Jemaah di belakang sya..bila mereka menjawab dr Indonesia..mereka di suruh ketepi. Sya tertanya2 kenapa mereka di suruh ketepi.
    Mntk maaf kpd jemaah2 Indonesia, mungkin segelintir yg melakukan tp mengakibatkan kpd semua org…wallahualam.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Jamia….

      Alhamdulillah, akak doakan Jamiah pulang dengan Umrah makbul. Mudahan kebaikan dan rahmat Allah SWT selalu melingkungi kehidupan Jamia dan keluarga selepas pulang dari Tanah Suci. Pasti banyak kenangan yang tersemat di hati sepanjang hari-hari yang dilalui ya.

      Satu informasi terkini yang baru akak ketahui tentang larangan ke atas jemaah wanita dari Indonesia memasuki Raudhah. Ternyata sikap diskriminasi masih berlaku sehingga hari ini. Ia bukan sahaja kepada jemaah Indonesia tetapi juga kepada jemaah dari Nusantara yang lain.

      Keadaan ini lebih ketara apabila musim haji. Ketika itu petugas wanita Masjid Nabawi lebih memilih kasih dan selalu melambatkan jemaah dari sebelah kita di sini.

      Iya, mungkin juga disebabkan segelintir jemaah terdahulu yang kurang berdisiplin sehingga membawa akibat kepada jemaah selepas mereka. Ibarat kata pepatah tegal nila setitik rosak susu sebelanga. Mudahan keadaan ini dapat dibetulkan persepsinya di kemudian hari, ya.

      Terima kasih Jamia kerana sudah berkongsi pengalaman yang menarik dari Masjid Nabawi, membuat rindu akan berganda-ganda hendak kembali ke sana semula. aamiin.

      Sering-seringlah hadir menyapa dengan cerita-cerita lainnya. Jika Jamia ada blog, akak boleh juga ke sana membalas kunjungan. Senang menerima kunjungan Jamia ke blog akak.

      Salam kenal dan mesra selalu. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.