CT317. CABARAN HAJI (18): MEMAHAMI TUJUAN KE TANAH SUCI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

FahamFatima1TujuanKeTanahSuci

*

PERKONGSIAN IDEA

Tulisan ini merupakan jawaban kepada persoalan yang ditimbulkan di akhir tulisan saya di dalam posting CT316. CABARAN HAJI (17): PULANG YANG TIDAK MEMBAWA PERUBAHAN.

Buah fikiran yang saya utarakan ini adalah perbincangan bebas yang dihasilkan melalui dua cara. Satu, pemerhatian dari pengalaman yang dilalui sebelum, semasa dan selepas di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Kedua, melalui pembacaan yang berkaitan dengan merujuk kepada beberapa sumber yang dipercayai dalam membincang tajuk di atas bagi menjana satu perkongsian yang boleh dimanfaatkan bersama.

Selain itu, tulisan ini juga terkait dengan posting CT286. IBADAH HAJI: IBADAH PROFESIONAL yang mempunyai matlamat yang sama berhubung dengan MEMAHAMI TUJUAN KITA KE TANAH SUCI.

*

SEKADAR TEORI

Secara maklum, kebanyakan kita hanya mengambil berat ilmu berkaitan umrah dan haji apabila kita sudah benar-benar berhajat hendak ke Tanah Suci dan sudah “confirm” untuk ke Tanah Suci. 

Jika ada pun yang membaca dan menelaah ilmu (tentang umrah dan haji) yang hanya dipraktikkan di Tanah Haram (Makkah sahaja), sudah pasti kita memperolehinya ketika sedang belajar mata pelajaran Pendidikan Islam di institusi pendidikan atau ceramah-ceramah yang berkaitan.

Sedangkan apa yang kita pelajari itu hanya satu skop kecil yang tidak meliputi sebahagaian besar dari kandungan yang patut di dalami berkaitan tajuk Rukun Islam yang ke 5 iaitu Haji (bagi yang berkemampuan).

Pembelajaran itu dipelajari sekadar memahami dari luar secara teori tanpa meresap ke dalam hati dengan tidak ada praktikalnya. Ada pun guru yang mengajar (terutama di sekolah) belum pernah menunaikan umrah atau haji.

Sudah pasti ilmu yang diajar sekadar pemahaman dari pembacaan, pendengaran dan pemerhatian setempat yang tidak pernah keluar dari zon sebenar, tempat berlakunya amalan-amalan umrah dan haji tersebut.

Pengalaman mengajar secara teori ini saya lalui sepanjang 14 tahun mengajar Pendidikan Islam di Sekolah Menengah dan Institusi Pendidikan Guru sehinggalah tahun yang ke 15 (2011), saya dan SPH mendapat “surat undangan rasmi” untuk menunaikan haji ke Tanah Suci. Alhamdulillah.

Ternyata teori yang diajar di dalam bilik darjah dengan bantuan alat bantu mengajar canggih secara audio visual tidak sama dengan pengalaman yang dipraktik selama berada di Tanah Suci. Pengalaman adalah guru terbaik yang mampu menyedarkan kita atas kelalaian dalam memahami ibadah yang dilakukan.

Bagaimana muslim yang tidak bersolat boleh menjelaskan 13 rukun solat dengan baik sedangkan dia tidak menunaikan solat ?

Roh amalan itu tidak akan menyerap kepada yang mendengar malah boleh mendatangkan keraguan apabila persoalan yang ditimbul tidak dapat dijawab dengan betul dan benar.

*

PayungFatima1Kembangjam6.15pagi

Pemandangan Payung “Bunga Kembang Pagi” di waktu pembukaannya di awal pagi

*

MENCARI REDHA ALLAH

MEMAHAMI TUJUAN KE TANAH SUCI merupakan kesedaran yang mesti dicari secara proaktif sekurang-kurangnya dimulai saat hati kita terdetik untuk mengunjungi Tanah Suci sama ada untuk ziarah umrah atau menunaikan haji.

Keinginan tersebut secara tidak langsung menggerakkan kita untuk bertindak lebih jauh bagi mengetahui perkara yang perlu dipelajari sebelum ke Tanah Suci.

Jika benar-benar ingin menjadi TETAMU ALLAH YANG PALING ISTIMEWA dan TERBAIK di sisi Allah SWT, pasti kita akan berusaha untuk mendalami ilmu dari semasa ke semasa sejak di Tanah Air dan tidak terhenti walaupun sedang berada di Tanah Suci.

Rajin-rajinlah membaca buku untuk menambah ilmu, mencari bahan untuk dikaji dan diteliti, berbincang atau bermuzakarah dengan guru agama atau mereka yang memahami keperluan dalam mencapai tujuan ibadah di Tanah Suci.

Ibadah yang ingin kita lakukan di Tanah Suci mempunyai matlamat yang jelas dan berfokus iaitu MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT.

*

PayungFatima2Kuncupjam5.21petang

Pemandangan Payung “Bunga Kembang Pagi” di waktu penutupannya di senja petang

*

RAMAI TIDAK FAHAM

Menurut pemerhatian saya, ramai jemaah umrah atau haji mengambil mudah dan sambil lewa untuk mengisi dada dan memenuhi jiwa mereka dengan ilmu yang berkaitan dengan kedua ibadah ini.

Buktinya, kita dapat lihat banyak kesalahan-kesalahan dalam Rukun dan Wajib Umrah atau Haji dilanggar sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah atau berlagak tahu kepada apa yang tidak diketahuinya.

Saya pernah menegur seorang jemaah haji lelaki semasa di Padang Arafah yang kebetulan saya temui telah mencantum kain ihram bahagian atas dengan pin. Tanpa segan silu beliau menjelaskan bahawa dia tidak tahu perkara itu menjadi satu kesalahan dan dilarang.

Memakai pakaian bersarung, berjahit atau bercantum (bagi lelaki) adalah dilarang ketika sedang ihram.

Bahkan lebih lucu saya pernah melihat sekumpulan keluarga (yang lelaki) dari negara Asia Barat telah membuat butang berwarna warni (seperti baju) kepada kain ihram sebelah atas. 

Masya Allah, ia amat lucu dan secara otomatik kita tahu bahawa mereka TIDAK FAHAM atau BUAT-BUAT TIDAK FAHAM akan larangan dalam IHRAM. Mereka fikir hanya hendak memudahkan mereka sahaja sedangkan setiap peraturan umrah dan haji adalah PERATURAN TUAN RUMAH, ALLAH YANG BERKUASA.

Contoh lain yang lebih menyentuh hati, masih ramai tetamu Allah yang tidak menutup aurat dengan sempurna baik lelaki atau pun wanita. Mereka memandang remah urusan aurat yang menjadi kewajiban baik di dalam solat mahupun di luar solat.

Situasi ini berleluasa berlaku di tempat penginapan (hotel) terutama jemaah wanita yang tanpa segan silu keluar dari bilik hotel untuk ke bilik teman sebelah dengan hanya memakai skop (sarung) kepala atau hanya menutupi kepala dengan kain tuala (towel). Malah ada yang langsung nampak rambut keseluruhannya.

Lebih mengejutkan saya, dua kali saya terserempak dengan dua orang jemaah haji wanita yang hanya berkemban sahaja berdiri di pintu bilik hotel sambil bercakap-cakap dengan rakan di luar pintu. Sekali di Hotel Moltaqa al-‘Alam, Madinah. Saya tidak menegur kerana jauh dari bilik saya.

Sekali lagi di Hotel Sevilla Barakat, Makkah. seorang Mak Cik yang ramah dan sudah berumur menegur saya semasa lalu di hadapan biliknya dengan pintu terbuka luas dalam keadaan beliau berkemban sahaja. Saya terkejut dan beristighfar sambil mengurut dada.

Cepat-cepat saya menegur khilaf beliau dan menutup pintu biliknya sebelum dilihat oleh orang lain. Syukurlah mak cik itu tidak marah. Kami sama-sama ketawa dengan situasi yang berlaku. Mungkin beliau sudah biasa berkeadaan begitu di rumahnya.

*

harapanhatiFatima*

KEPADA BAKAL TETAMU ALLAH

…. harapan ini sebuah pesan dari saya yang berusaha mengajak untuk menyediakan diri sebelum melangkah pergi menerima jemputan “PANGGILAN” yang menjadi kerinduan kita untuk menjadi TETAMU ALLAH di rumah-NYA yang suci.

Kita selalu berharap untuk TERPILIH ke Tanah Suci sama ada menunaikan umrah atau mengerjakan haji. Maka kita harus berusaha menjadi TETAMU YANG ISTIMEWA dan TERBAIK di sisi-NYA. Oleh itu, lengkapi diri dengan MEMAHAMI SEGALA PERATURAN yang disyaratkan.

Berusaha dan tanamkan azam untuk menunaikan solat fardhu dan solat sunat DI DALAM Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Jangan bercita-cita untuk solat DI LUAR masjid. Sebagai TETAMU ALLAH, masuklah ke dalam RUMAH-NYA. Bukan sekadar duduk di beranda atau luar rumah.

Layanan di dalam rumah tentu berbeza dengan layanan di luar rumah. Pasti yang berada di dalam rumah lebih mendapat layanan istimewa dengan hidangan yang lazat dan banyak. Lagi pun kita datang dari jauh. Banyak cerita yang berlaku dalam kehidupan kita sebelum sampai ke tanah Suci.

Bermula dari keinginan dan niat yang dipasang. Kemudian berusaha gigih mengumpul wang untuk berdaftar haji. Ia dilakukan selama bertahun-tahun atau berpuluh tahun. Kita berdoa siang dan malam agar nama kita terpilih dalam senarai jemaah haji yang bakal pergi.

Apabila nama kita terpilih, kita mula menghadiri kursus haji bersiri dan kursus perdana. Kita membuat persiapan yang baru untuk memuaskan hati kita dengan semangat baru untuk berubah dalam banyak perkara yang membabitkan peribadi kita.

Kita mengadakan majlis doa selamat dengan memanggil saudara mara, handai taulan dan sahabat teman untuk bersama mendoakan kesejahteraan pemergian kita agar semuanya selamat, dimudahkan Allah dan berjalan lancar segala urusan selama hidup di sana.

Merujuk kepada banyak perkara yang telah kita lalui, MENGAPA MASIH LAGI MAHU SOLAT DI LUAR MASJID ?

*

AlHaramFatima1DataranKaabah

Pemandangan suasana waktu maghrib di dalam Masjidil Haram, berhampiran Dataran Kaabah

*

BAHAGIA

Saudaraku sekelian, sesungguhnya pengalaman kecil yang saya lalui dan diabadikan di dalan tulisan ini merupakan satu  jalan mengingati diri saya juga. Kadang kala terfikir dosa yang banyak menyelimuti dan rasa tidak layak untuk mengajak orang lain.

Tetapi memikirkan kebaikan yang ada di dalamnya dan rasa bahagia terkumpul kuat jika dapat menggambarkan sesuatu yang belum lagi dilalui oleh anda, menjadikan saya menguatkan hati untuk berbuat amalan baik dan boleh menjadi satu kebajikan selama hidup di bumi ini.

Mudahan ia bermanfaat untuk membuka mata dan minda (fikiran) anda sebelum melangkah kaki ke Tanah Suci Makkah, bumi yang dicintai Allah SWT dan Rasul-NYA, Muhammad SAW.

Biar kita belayar berjam-jam di udara dan daratan dengan merentas benua yang luas untuk menyahut jemputan-NYA dengan ilmu dan pengetahuan yang benar.

Saya dapat merasa betapa jiwa dan hati kita sangat bahagia. Kebahagian  yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sebagai terjemahan kepada “bertuah” nya kita dipilih Allah untuk menjadi Tetamu yang istimewa di samping mencari keredhaan-NYA. BERSYUKURLAH !

*

WAHAI KEKASIH YANG MENYENTUH HATI… INILAH CINTA YANG KU SIMPAN DI DALAM HATI UNTUKMU AGAR KAU JUGA DICINTAI DENGAN ILMU BUKAN DENGAN NAFSU

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima3 Mac 2015 (Selasa)/ 12 Jamadil Awwal 1436H/ 10.25 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. menjadi rindu setiap kali mengingatimu. Walau tidak pernah ku tatap wajahmu, namun kau tetap menginap di hatiku. Setia. tidak pernah ku berpaling selamanya. Bergetar jiwa ini saat menyebut namamu. Percayalah, di mana pun engkau berada, zikir rinduku sering ku tasbihkan dengan sendu yang mendamaikan sukma.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…  Jernihkan hatimu saat pertemuan yang indah dengan Yang Maha Indah. Sucikan jiwa agar damai terasa dan khusyuklah dalam tangisanmu. Jangan mudah berputus asa jika apa yang kau minta tidak kesampaian kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik untukmu. Selalu ada doa buatmu di hatiku.   Aamiin. Wassalam. 🙂

*
IngatanFatima3padamu
*

TELAH KU KUTIP SERPIHAN RINDU YANG MENANTI DI GARIS PELANGI

*

19 thoughts on “CT317. CABARAN HAJI (18): MEMAHAMI TUJUAN KE TANAH SUCI

  1. Assalamualaikum …. bu SFA … semakin bernas postingan yg ibu sajikan … dan tayangan kali ini ‘religius sangat plus penuh dgn pesan2 penting dan perlu dlm menunaikan ibadah umrah dan haji ke tanah suci. Terimakasih bu SFA
    Salam taqzim dari Kota Bertuah Pekanbaru – Riau … (saya kembali berada di kota ini … 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Soeman Jaya…

      Mudahan kongsian ini dapat memberi panduan dan manfaat yang boleh diambil kebaikannya. Selamat bertugas dengan penuh dedikasi dan sukses hendaknya.

      Terima kasih Soeman dan salam sejahtera. 🙂

    • Aamiin Allahuma Aamiin. Didoakan semoga niat itu diperkenankan Allah SWT pada saat dan waktu yang sudah disuratkan. Jangan lupa mengumpul wang dan berdaftar haji atau umrah dahulu.

      Terima kasih Abu Zaini dan salam sejahtera. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Yuni…

      Alhamdulillah, mudahan semua persiapannya dimudahkan Allah SWT, mbak.
      Saya doakan. Aamiin.

      Terima kasih kembali mbak Yuni dan salam mesra selalu. 🙂

  2. Assalamualaikum Mbak Fatimah,
    Kagum sangat pada dirimu. Tiap tulisan tentang haji penuh bermuatan pelajaran yang bermanfaat bagi umat Islam. Insya Allah sehat terus ya Mbak, semakin banyak menyebar ilmu yg bermanfaat.

    Salam manis dari Bukittinggi 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi…

      Aamiin Ya Rabbal’alamiin. Terima kasih atas doanya, mbak. Diharap mbak Evi juga demikian sama dalam berkah Alah SWT selalu di Bukit Tinggi.

      Mudahan pengalaman kecil ini bermanfaat untuk dijadikan panduan dan pengajaran sebelum ke sana nanti.

      Salam manis kembali, mbak Evi. 🙂

  3. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Betapa haji yang membutuhkan waktu dan biaya ini. Alangkah ruginya bila dilakukan tidak dalam niat yang lurus. Sungguh, hanya mencari ridha Allah Swt. adalah tujuannya yang jangan sampai dinodai oleh yang lain. Semoga diri ini bisa lurus. Ikhlas.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…

      Benar. Niat yang tepat, lurus dan berfokus mesti tersemat di hati sebagai tujuan kita sebenar ke Tanah Suci. Jika tidak akan ada banyak aktiviti yang bisa memesongkan kita dari niat sebenar. Mudahan dari awal lagi kita menyedarinya.

      Terima kasih mas Amazzet dan salam takzim. 🙂

  4. assalamualaikum wr wb

    tiap membaca postingan kak fatimah, semakin rindu pula tuk menginjaki kaki ke tanah suci
    moga kami di Jakarta bisa turut menyusul ke sana
    amin 🙂

  5. Pingback: CT318. CABARAN HAJI (19): NIAT YANG TEPAT KE TANAH SUCI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.