CT138. ZIARAH MADINAH (6): MASJID QUBA, MASJID PERTAMA DALAM ISLAM

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

QubaFatimaa11MasjidQubaMadinah

Alhamdulillah, setelah bas berhenti di parkir belakang Masjid Quba, seluruh jemaah haji KT 33, Sarawak berpusu-pusu keluar dari perut bas untuk berkumpul di hadapan bas yang bersebelahan dengan gerai-gerai menjual pelbagai jenis buahan seperti buah tin, zaitun, delima dan kurma, baik yang segar mahupun kering. Ramai jemaah haji membanjiri gerai gerai tersebut untuk membeli ole-ole dibawa pulang ke hotel.

Hati ini bagai terusik untuk membeli buah-buah kurma segar terutama kurma berwarna merah hati yang rasanya pahit-pahit manis. Saya pernah membeli kurma merah hati ini di gerai buahan kurma berdekatan Pintu 16, Masjid Nabawi. Namun perasan itu ditangguh dahulu kerana mengingatkan tujuan asal adalah untuk bersolat sunat di Masjid Quba. Saya akan membeli apabila pulang dari Masjid Quba. Itu janji saya.

Kurma segar merah hati lebih panjang berbanding kurma segar kuning berbentuk bulat

Saya perhati, di samping kurma merah hati itu terdapat juga kurma segar berwarna kuning yang belum pernah saya lihat dan rasai. Hati saya berkata, “sedap ke tidak kurma kuning ini ?” Tiada tarikan dan keinginan untuk membeli kurma segar kuning ini kerana tidak pernah merasainya sehinggalah Kak Bedah menghulurkannya kepada saya di dalam bas. “Subhanallah, sedapnya.” kata saya kepada SPH. Rupanya kurma segar kuning ini, lebih lazat dari kurma merah hati.

Rasa dan tekstur kurma segar kuning adalah kelat-kelat manis dan sangat rangup seperti rasa dan keranggupan BUAH BIDARA yang pernah saya makan semasa belajar di Nilam Puri, Kelantan pada akhir tahun 80-an dahulu. Setiap kali saya makan kurma segar kuning, setiap kali itu juga saya seakan menikmati rasa buah bidara. Alhamdulillah. Rindunya hati ini kepada buah kurma kuning dan buah bidara.

Sejak itu, saya tidak melepas peluang membeli kurma segar kuning sepanjang berada di Makkah. Walaupun mahal, saya rasa puas hati dapat menikmatinya setiap hari di dalam bilik hotel Sevilla Barakat. Ia menjadi “dessert” kepada saya setiap kali selepas makan atau bila-bila masa sahaja. Sayangnya, saya tidak dapat membawa pulang kurma segar kuning ke Tanah Air kerana sudah tidak ada bekalannya lagi di supermarket Bin Dawood. Ramai juga yang meminati kurma segar kuning ini.

Setelah semuanya turun dari bas di belakang Masjid Quba, kami mengekori langkah mutawif Abdul Salam untuk di bawa ke bahagian kiri Masjid Quba sebelum diberi taklimat.

Berjalan menuju arah ke pintu tempat solat lelaki di bahagian kiri Masjid Quba. Sebelum itu, kami berkumpul untuk mendengar taklimat dari mutawif Abdul Salam. Dimaklumkan, kami hanya berada satu jam di Masjid Quba sebelum berangkat melanjutkan perjalanan ke Ladang Kurma.

Kami sedang mendengar taklimat dari mutawif Abdul Salam. Setelah taklimat ini, kami terus memasuki Masjid Quba untuk menunaikan solat Tahiyatul Masjid dan solat sunat yang lain.

****************

SEJARAH MASJID QUBA

Rasulullah SAW tiba di perkampungan Quba pada hari Isnin, 8 Rabi’ul Awwal bersamaan 23 September 622 Masehi dalam perjalanan hijrah dari Makkah menuju Madinah. Baginda SAW menginap selama 4 hari bersama Bani ‘Amru bin Auf di rumah Kalthum bin al-Hadm.

Pada hari pertama di situ, Rasulullah SAW terus membina masjid yang dinamakan Masjid Quba. Masjid Quba adalah MASJID PERTAMA dibina dalam sejarah umat Islam. Baginda Rasul sendiri turut serta di dalam pembinaan Masjid Quba dengan mengangkat batu bata dan pasir-pasir bersama para sahabat.

Al-Syimus binti al-Nu’man r.ha menceritakan:

“Aku melihat Rasulullah SAW ketika membina masjid ini (Masjid Quba). Baginda memikul batu bata di atas belakang sehingga bongkok tubuhnya. Debu-debu dan pasir-pasir penuh di tubuh dan bajunya. Apabila salah seorang sahabat meminta untuk mengambil bebanan itu daripadanya, baginda enggan. Sebaliknya menyuruh mereka membawa bebanan lain sepertinya.”

Setelah itu, Rasulullah SAW mengimami solat berjemaah secara terbuka bersama para sahabat di Masjid Quba, berkiblatkan Masjidil Aqsa ketika itu. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s menghadap wajahnya ke Kaabah.”  Dan dikatakan bahawa kiblat Masjid Quba adalah yang paling tepat dan kukuh dari semua masjid.

Masjid Quba merupakan masjid pertama yang menghadap ke Jurusalem, Palestin sehingga Allah taala memerintahkan Rasul-NYA untuk bersolat ke arah Kaabah, Masjidl Haram, Makkah. Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a bahawa  ketika kiblat ditukar arah ke Kaabah, Rasulullah SAW datang ke Masjid Quba dan memindahkan sebuah dinding masjid itu ke tempat dinding di mana ia berada pada hari ini dan baginda membina asasnya.

Rasulullah saw bersabda: “Jibril mempimpin aku dalam solat menghadap ke Baitullah, Kaabah.”

Ketika membaca cerita Al-Syimus di atas, hati saya terus ditikam rasa sayu dan ada air jernih mulai mengenangi mata saya.  Sungguh saya amat terharu dan seolah-olah dapat saya gambarkan situasi yang berlaku ketika pembinaan awal Masjid Quba dengan sikap tulus dan semangat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk berganding bahu dengan para sahabatnya. Subhanallah, kini saya sudah menjejak kaki dan menunaikan solat sunat di Masjid Quba. Alhamdulillah.

Ini adalah pintu masuk ke tempat solat lelaki (kelihatan tabir hijau di muka pintu). Pintu masuk ke tempat solat wanita adalah di bahagian depan lagi setelah melalui kawasan pintu masuk lelaki ini.

Foto SPH: Pintu masuk ke tempat solat lelaki. Ruang solat lelaki sangat luas berbanding ruang solat wanita yang sempit untuk menampung jumlah jemaah haji wanita yang ramai. Jemaah haji wanita terpaksa bergilir-gilir untuk mendirikan solat.

****************

KEDUDUKAN MASJID QUBA

MASJID QUBA  terletak di Perkampungan Quba lebih kurang 3 km ke selatan Bandar Madinah. Nama Quba diambil sempena nama sebuah telaga di tempat tersebut. Masjid Quba menerima banyak perhatian dari para pemimpin Islam yang memerintah. Zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a, Masjid Quba dibina semula. Kemudian Khalifah Uthman bin Affan r.a menambahkan dan memindahkan kembali mihrabnya ke selatan.

Di zaman Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau membinanya semula dengan menghias, memperindah dan memperluaskannya ke utara. Beliau juga membina sebuah menara untuk kali pertama ketika pembinaannya semula sehingga zaman Sultan Mahmud II pada tahun 1245 H dan zaman Sultan Abdul Majid.

Pada tahun 1388 H, Raja Faisal bin Abdul Aziz memerintahkan agar Masjid Quba dibina semula dengan menambahkan lagi di bahagian utara. Masjid Quba telah diubahsuai dan diperluaskan kembali pada pemerintahan Raja Fahd bin Abdul Aziz pada tahun 1986 dengan perbelanjaan RS 90 juta dan dapat menampung sehingga 20 ribu jemaah. Keluasannya sekarang adalah 13,500 meter persegi.

Masjid ini berbentuk segi empat. Mempunyai 4 menara yang dibina di setiap empat penjuru masjid, 6 kubah besar dan 56 kubah kecil.  Manakala pintu masuk ruang solat lelaki ada 6 pintu dan 5 pintu untuk ke ruang solat wanita.  Di tengah-tengah Masjid Quba terdapat halaman terbuka yang ditutup dengan tenda atau khemah khas yang dioperasikan secara otomatik dengan kuasa elektrik.

Salah satu dari empat menara dan kubah Masjid Quba

Foto SPH: Foto ini adalah cantuman dua foto yang saya edit menjadi satu. Namun masih kurang mantap editingnya kerana cantuman itu tidak bersepadu dari aspek warna dan susun letak sehingga menampakkan “kecacatan” yang boleh dipertikaikan. Ini usaha pertama saya mencantum dua foto. Kira oklah. 😀

***************

KELEBIHAN MASJID QUBA

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah, ayat 108 yang bermaksud:

Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri.”

Kita sudah maklum bahawa Masjid Nabawi juga diasaskan atas dasar taqwa. Tidak bercanggah antara dua pendapat kerana Masjid Quba dan Masjid Nabawi dibina atas asas takwa sejak hari pertama pembinaannya. Lagipun, kedua-dua masjid itu  itu dibina oleh Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, ayat di atas adalah merujuk kepada kedua-dua masjid tersebut.

Adapun rahsia Rasulullah SAW menghadkan sabdanya hanya kepada Masjid Nabawi sebagai masjid yang dibina atas dasar takwa adalah untuk mengelak kekeliruan pengkhususan Masjid Nabawi itu dengan Masjid Quba.

Antara KELEBIHAN MASJID QUBA adalah:

(1). Solat di Masjid Quba menyamai pahala Umrah

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berwuduk di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba untuk bersolat, akan diberi ganjaran pahala seperti pahala menunaikan umrah.” – Ibn Majah dan At-Tirmizi

(2). Nabi SAW membiasakan dirinya mengunjungi Masjid Quba

“Daripada Abdullah bin Umar r.hm bahawa Rasulullah SAW selalu ke Masjid Quba pada SETIAP HARI SABTU sama ada dengan menaiki unta atau berjalan kaki. Adakalanya Rasulullah SAW pergi pada hari ISNIN dan KHAMIS.” – Sahih Bukhari dan Muslim

(3). Kelebihan solat di Masjid Quba mengatasi kelebihan mengunjungi Baitul Muqaddis

Daripada Saad bin Abi Waqqas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bersolat dua rakaat di Masjid Quba adalah lebih aku cintai dari aku mendatangi Baitul Muqaddis sebanyak dua kali. Jika orang tahu apakah yang terdapat pada Quba (dari segi kelebihan dan ganjarannya), pasti mereka akan datang dengan menunggang unta-unta mereka.”

Foto SPH: Mimbar dan mehrab Masjid Quba. Ramai yang mengambil kesempatan berposing untuk dijadikan kenangan.

Foto SPH: Ruang solat paling hadapan di dalam Masjid Quba

Foto SPH: Ruang solat bahagian tengah Masjid Quba

Foto SPH: Ruang solat berhalaman terbuka yang ditutup dengan tenda atau khemah khas yang dioperasikan secara otomatik dengan kuasa elektrik.

***************

MEMASUKI MASJID QUBA

Setelah mendengar dan memahami taklimat dari mutawif Abdul Salam, saya dan SPH berpecah jalan menuju ke destinasi memasuki Masjid Quba. SPH memasuki pintu masuk yang tidak jauh dari tempat kami berkumpul tadi.

Manakala, saya harus berjalan jauh ke depan lagi untuk mencari pintu masuk tempat solat wanita. Setelah beberapa minit berjalan dan mencari sambil bertanya kepada jemaah haji wanita dari Indonesia yang baru keluar di sebalik hadapan bangunan Masjid Quba, saya bertemu dengan pintu masuk wanita. Alhamdulillah.

Saya terus menyimpan kasut di rak kasut paling atas yang tersedia di sebelah bilik wuduk sebagai langkah keselamatan. 😀 Saya memerhati di sana-sini terdapat kasut dan selipar yang bergelimpangan tidak tersusun sehingga menjadikan ruang pertama masuk ke tempat solat wanita menjadi kotor.

Kebetulan ruang tersebut memisahkan antara bilik wuduk dan tempat solat. Keadaan ini menjadikan lantai di situ lembab dan basah. Saya bergerak dengan hati-hati mencari tempat berpijak yang kering agar stokin saya tidak memijak lantai kotor untuk digunakan bersolat.

Setelah sampai ke ruang solat, saya harus menunggu terlebih dahulu kerana ramainya jemaah haji wanita yang sudah berada di dalamnya. Sambil menunggu, saya meneliti keadaan ruang solat yang kelihatan sempit untuk menampung ramainya jemaah wanita yang keluar masuk untuk bersolat.

Hal ini memaksa jemaah haji wanita tidak boleh berlama-lama untuk bersolat. Jika tidak, ada polis wanita Arab Saudi yang akan menjergah untuk segera keluar. Saya benar-benar tidak berpuas hati dengan situasi seperti ini. Solat jadi tidak khusyuk akibat mendengar suara jerit polis wanita dan jemaah haji yang tidak sabar-sabar menunggu giliran mereka.

Pintu masuk tempat solat wanita di bahagian hadapan Masjid Quba. Ruang solat bagi wanita tidak seluas ruang solat lelaki. Jemaah haji wanita terpaksa bergilir-gilir melakukan solat sunat. 

*************

SUJUDKU DI MASJID PERTAMA DALAM ISLAM

Alhamdulillah, selang beberapa minit menanti, saya mendapat tempat untuk bersolat setelah berusaha mencelah-celah beberapa hajjah yang sudah memberi salam sebelum menghadirkan diri dengan selesa untuk menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid, solat sunat Dhuha dan solat sunat Hajat. Kemudian saya melakukan sujud syukur atas keredhaan Allah SWT kepada saya dan SPH, dapat menginjakkan kaki ke masjid pertama dalam Islam dan melakukan solat sunat di dalamnya.

Sejenak duduk beberapa minit sebelum mengundurkan diri dari saf solat. Saya sangat terkilan dengan beberapa jemaah yang sedang melangkah tanpa rasa bersalah di hadapan orang yang sedang bersolat. malah kepala saya terasa dilanggar oleh kaki jemaah haji yang terburu-buru untuk keluar dari masjid.

Masya Allah, tidakkah mereka tahu bahawa adalah HARAM melalui hadapan orang yang sedang bersolat kecuali setelah meletakkan SUTRAH (sempadan ) atau penghalang/sekatan yang memisahkan mereka dengan orang yang sedang bersolat.

Keadaan ini juga berlaku di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram yang sebenarnya TIDAK ADA PENGECUALIAN HUKUM dalam hal ini. Insya Allah, akan saya kongsikan bersama pembaca dalam CABARAN HAJI: SOLAT TANPA SUTRAH  di posting akan datang.

QubaFatima14BelakangMasjidQuba

Pemandangan di luar pintu solat wanita di bahagian hadapan Masjid.

Di hadapan pintu masuk solat wanita, disediakan 7 tempat minum dengan cawan plastik disediakan secara percuma untuk menghilangkan haus para jemaah yang datang ke Masjid Quba.

****************

LAMBAIAN QUBA

Sebaik keluar dari ruang solat untuk mengambil kembali kasut di rak yang disediakan, hati saya bagai tertinggal di sana. Rasa berat untuk melangkah pergi. Saya berpaling wajah merenung kembali ke arah dalam ruang solat dan berdoa supaya di suatu hari nanti akan kembali dan bersolat di Masjid Quba. Aamiin.

Setelah menguatkan hati sambil menarik nafas sedalamnya, saya pun keluar dari Masjid Quba dengan mengucap syukur ke hadrat Allah SWT. Kemudian, saya mengambil kesempatan memotret pemandangan yang ada di sekeliling saya sebagai kenangan di masa depan. Berhadapan pintu masuk tempat solat wanita disediakan tempat-tempat minum yang banyak untuk kegunaan jemaah haji dan umrah yang berkunjung.

Tidak ada pemandangan yang menarik di kawasan luar Masjid Quba kecuali pohon-pohon kurma yang ditanam banyak di sekitarnya dan pokok-pokok renek berdaun lebat yang sudah dipotong bentuk kon sebagai hiasan lanskap yang mengindahkan Masjid Quba.

Saya berjalan menghala ke kiri masjid dengan menuruni tangga untuk melihat kawasan yang seakan taman bertingkat tetapi kosong tanpa tanaman bunga. Hanya pokok-pokok kurma dan beberapa batang pokok berdaun lebat yang tinggi menghiasi taman itu.

Tidak ramai jemaah yang melalui kawasan ini menyebabkan saya tidak selesa berada di situ. Kemudian saya kembali berkumpul dengan SPH dan teman-teman satu bas yang sedang menanti semua penumpang bas no.2 untuk berangkat bersama.

Saya sangat kecewa kerana buah kurma segar merah hati yang ingin saya belikan, saat sampai ke Masjid Quba sejam yang lalu sudah habis dijual. Saya kemudiannya membeli kurma kering, kacang kuda merah untuk dimakan di dalam bas.

Alhamdulillah, sebaik duduk dalam bas, Pak Bakar memberikan kami buah kurma segar merah hati dan Kak Bedah pula menghulurkan buah kurma segar warna kuning. Akhirnya, saya dapat merasai kedua-dua buah kurma yang saya idamkan. Terima kasih Ya Allah, atas rezeki yang diberikan itu. Aamiin.

Tidak lama kemudian, bas yang ditumpangi mengiringi kepergian kami meninggalkan Masjid Quba dengan hati yang dilanda kesayuan. Jelas di setiap wajah dan tingkah jemaah haji rasa kepuasan dan kesyukuran kerana dapat menghadirkan diri ke Masjid Quba. Semoga ada lagi pertemuan yang kedua dan seterusnya. Seakan Masjid Quba melambai-lambai menanti kedatangan kami kembali ke pangkuannya. Insya Allah.

QubaFatima15MenaradanKubah

Setelah keluar dari Masjid Quba, saya bersiar-siar sebentar di bahagian luar kiri masjid yang dipenuhi pohon-pohon kurma (seakan taman masjid) dan sempat mengambil beberapa keping foto Masjid Quba dari jauh.  Dari kejauhan kelihatan dua menara Masjid dan dua dari enam kubah besar Masjid Quba.

QubaFatimaa12SPHdanteman2

SPH bersama Mutawif Abdul Salam dan jemaah haji dari Sarawak

QubaFatimaa9GengSatuBas

Saya bersama Kak Bedah (kiri) dan Kak Senah (kanan) serta teman-teman “senior” yang baik dan ramah tamah

Saya sempat mengambil foto Masjid Quba sebelum bas membelok ke arah kiri Masjid untuk meninggalkannya menuju ke Ladang Kurma sebagai destinasi kedua dalam Ziarah Luar Madinah. Hati terasa sayu apabila Masjid Quba sudah hilang dari pandangan. Entah bila akan kembali lagi untuk bersolat sunat di sana. Mudahan ada kesempatan di kemudian hari atas izin Allah SWT. Aamiin.

SELAMAT JALAN… SEHINGGA BERTEMU KEMBALI

****************

2 Disember 2012 (Ahad)/ 18 Muharram 1434H/ 5.43 petang – Sarikei,  Sarawak

AKU….. menyakini bagaimana harus mengenali peribadi seseorang iaitu tidak aku ketahui sifat pemaafnya kecuali ketika dia marah. Tidak aku temui persahabatannya kecuali aku dalam kesusahan dan tidak aku kenali sifat beraninya kecuali aku melihat perjuangannya dalam menegakkan kebenaran dan kejujurannya. Peribadi yang baik dan luhur akan memelihara kita daripada melakukan perkerjaan yang sia-sia dan keji. Ya Rahmaan Ya Rahiim, aku bersandar diri kepada kemuliaan Asma-MU yang baik untuk mejadi benteng kealpaanku.

– SITI FATIMAH AHMAD –

****************

RinduFatima1padadirimu

SESEKALI DALAM DIAM… SENYUMMU AKU TEMUI DALAM INGATAN YANG TIDAK KESAMPAIAN

17 thoughts on “CT138. ZIARAH MADINAH (6): MASJID QUBA, MASJID PERTAMA DALAM ISLAM

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Guide Me All The Way by Maher Zain, nikmatilah halwa rohani ini untuk kita syukuri bahawa Allah selalu memelihara hamba-hamba-NYA yang menjadikan DIA sebagai sumber kecintaan dan sumber pengharapan. Jangan pernah putus asa untuk mendapat perhatian Allah dan untuk diperkenankan segala doa. Berdoalah kerana doa itu senjata bagi orang-orang beriman.

    DEDIKASIKU UNTUKMU…. Seringkali kita merasa betapa beruntungnya kita dipertemukan dengan seseorang atau sesuatu yang dapat merubah hidup kita menjadi lebih baik dari semalam. Seringkali itu juga, kita melupakan bahawa yang mempertemu dan memisahkan kita dengan seseorang dan sesuatu itu adalah takdir Allah yang menginginkan kita menghargai apa yang pernah kita miliki. Semoga kita akan sentiasa menghargai apa yang pernah hadir dalam hidup kita. Aamiin.

    Wasssalaam. 😀

  2. Semoga Alloh SWT memanggilku untuk hadir disana untuk ikut merasakan ibadah disana. Amiiiin. Apalagi melihat buah qurma yang hijau dan merah. Sedap sekali rasanya bila dapat dirasakan.

    Salam Wisata

    • Aamiin… Ya Rabbal’alamiin.
      Saya mendoakan semoga mas Indra akan menjejaki diri ke sana juga. Menziarahi Masjid Quba adalah ziarah sunat untuk semua jemaah haji dan umrah apabila berada di Madinah.

      Iya, puluhan malahan ratusan jenis kurma ada di Madinah dan Makkah. Ada yang mahal seperti kurma Ajwa yang disebut sebagai kurma Nabi (kerana sering dimakan oleh Rasulullah SAW)

      Terima kasih mas Indra.
      Salam sukses selalu. 😀

  3. Ass……

    Bunda mohon ijin. Rumahku yang satu ini juga mau meninggalkan jejak di tempat yang sejuk di mana selalu bertaburan cahaya dari langit melalui setiap goresan yang terlintas di tempat ini. Agar tetap terhubung tali silaturahmi kita dalam menjalin persahabatan untuk berbagi informasi.

    Sukses selalu
    Salam
    Ejawantah’s Blog

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra…

      Alhamdulllah, mudahan kebaikan selalu kita perolehi melalui kongsian ilmu yang mendisiplinkan kita menjadi manusia yang tahu menghargai apa yang dikurniakan Allah SWT.

      Aamiin, Ya Rabbal’alamiin. Semoga silaturahmi akan sentiasa baik antara dua negara bersaudara ini.

      Terima kasih mas Indra.
      Salam sejahtera dan sukses sealu. 😀

  4. Pingback: CT151. ZIARAH MADINAH (7): LADANG KURMA « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.