CT347. SJK…. SEVILLA KE MASJIDIL HARAM (6): FENOMENA PENGEMIS DI MUSIM HAJI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

PengemisFatima1DiMusimHaji

*

KEMBALI KE TANAH SUCI

Alhamdulillah… kita sudah mula memasuki fasa bulan-bulan haji iaitu Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Mudahan perkongsian dari pengalaman yang saya dan SPH lalui sepanjang musim haji 2011 yang lalu dapat memberi sedikit gambaran kepada bakal jemaah haji atau umrah.

Tulisan berikut merupakan sambungan dari Siri Sepanjang Jalan Kenangan (SJK) yang sebelum ini berakhir pada posting CT329. SJK…. Sevilla ke Masjidil Haram (5): Ibrahim Al Khalil Road.

Tulisan kali ini berkaitan dengan fenomena peminta sedekah atau pengemis di Tanah Haram Makkah ketika tibanya musim haji. Saya turut terpanggil untuk menulis tentang fenomena ini apabila melihat dan mengalaminya sendiri.

Ternyata ia amat MEMALUKAN apabila aktiviti seperti ini tidak dapat dikawal oleh pemerintah Arab Saudi ketika itu.

Namun saya yakin, pihak Kerajaan Arab Saudi pasti mempunyai usaha sendiri dari semasa ke semasa untuk mengurangkan aktiviti mengemis di Tanah Haram ini.

*

PengemisFatima2SepanjangJlnAlHaram

Gambaran sejumlah kecil pengemis dari satu laluan ke Masjidil Haram. Sebenarnya, hampir seluruh bandar Makkah ada pengemis jalanan.

*

FENOMENA PENGEMIS

Menurut Pengarah Unit Anti Pengemis Arab Saudi Sa’d Ash-Shahrani pada 26 November 2013, Kerajaan Arab Saudi telah menangkap dan menahan sejumlah lebih 11 ribu pengemis pada tahun 2012.

Manakala tahun 2013 pula lebih dari 7 ribu pengemis telah ditangkap. 6 ribu pengemis terdiri dari lelaki dan wanita dewasa. Selebihnya adalah anak-anak di bawah usia 15 tahun.

Walaupun angka itu dilihat berkurangan namun tetap wujud fenomena pengemis di Arab Saudi dari semasa ke semasa. Pertambahan pengemis ini semakin banyak di musim haji.

Terkadang saya terfikir bagaimana mudahnya para pengemis ini memasuki Tanah Haram dan melakukan aktiviti mengemis. Sedangkan kita pula perlu memiliki visa dan dikawal ketat di pintu masuk imegresen.

*

Lanskap yang mengharu birukan rupa pandang bumi suci itu ternyata dicemari dengan banyaknya penipuan yang dilakukan oleh para pengemis jalanan hingga Kerajaan Arab Saudi belum mampu menghapus atau mengurangkan aktiviti tersebut.

Statistik Arab News melaporkan 99% pengemis berasal dari negara Asia seperti Bangladesh dan kebanyakannya dari negara Afrika. 90% pengemis tersebut tidak mempunyai pengenalan diri. Persoalannya, bagaimana mereka boleh memasuki Tanah Suci ?

*

KURANG MAKLUMAT

Semasa saya dan SPH mengikuti 3 peringkat Kursus Haji, kami kurang didedahkan maklumat yang tentang aktiviti kumpulan pengemis secara spesifik.

Salah seorang penceramah menceritakan pengalaman beliau memberi wang satu riyal kepada seorang anak pengemis kemudiannya tiba-tiba tanpa diduga beliau diserbu pula oleh banyak lagi anak pengemis yang lain.

Mungkin itu pengalaman masa lalu yang sudah berlaku bertahun-tahun lampau. Pengalaman penceramah tersebut tidak pula berlaku kepada saya dan SPH ketika berhadapan dengan para pengemis profesional ini. Ternyata mereka semakin cerdik dan tahu bagaimana hendak melakukan aktiviti mengemis tanpa perlu menyerbu kepada para jemaah.

Mungkin ramai jemaah haji atau umrah tidak tahu tentang MODUS OPERANDI yang dilakukan oleh sekumpulan pengemis. Tidak dinafikan ada pengemis yang menjalankan operasi secara individu.  Tetapi ada yang mempunyai kumpulan sendiri. Mereka ada “pemerhati” yang cekap dan ada “pengawal” yang mengumpul wang hasil mengemis.

Saya pernah melihat dua gadis remaja yang duduk santai di atas batu pemisah jalan sambil memerhati aktiviti pengemis kanak-kanak. Jika beg berisi wang sedekah para jemaah haji penuh, pengemis kanak-kanak akan meluru ke arah gadis tersebut dan wang di dalam beg itu diambil dan diasingkan.

Pernah juga saya terlihat para pengemis ini lari lintang pukang apabila gadis “pemerhati” memaklumkan ada Polis peronda datang ke tempat tersebut. Jika ada yang tidak sempat lari mereka akan dihalau dengan jeritan namun tidak dibuat tangkapan. Tetapi apabila polis itu hilang, mereka akan kembali ke lokasi dan bersusun sederet seperti asal.

*

AKSI DAN TAKTIK MENIPU

Berikut saya kongsikan pengalaman saya dan SPH secara pemerhatian terhadap gelagat atau tingkah laku pengemis jalanan. Setiap hari kami melalui jalan yang sama pergi dan  balik melalui Jalan Al Haram. Setiap hari juga kami bertemu para pengemis yang duduk sederet berbaris sepanjang jalan tersebut. 

Cuma bezanya, para pengemis sentiasa bertukar wajah dan taktik mengemis. Mereka juga tidak menghirau cuaca panas atau sejuk. Lagi dramatik ada anak kecil yang menangis, kononnya sedang kehausan dan sang ibu pula tidak ada wang untuk membeli air. Hal ini cepat mendatangkan simpati kepada para hajjah. Tanpa sedar mereka telah ditipu oleh pengemis.

Awalnya saya juga terlibat menaruh simpati dengan menghulurkan sedekah satu riyal atau lima riyal kepada pengemis kanak-kanak yang disangka memang kudung tangannya. Rupanya setelah mengalami dan melihat sendiri aksi dan taktik menipu anak kecil ini, saya tidak lagi pernah menghulurkan wang kepada mereka.

Kebanyakan pengemis yang ditemui di laluan Jalan Al-Haram adalah pengemis kanak-kanak. Mereka dieksploitasi untuk menjalankan aktiviti mengemis dan menjadi korban pengemis dewasa yang memaksa mereka berbuat demikian. Apa lagi daya yang mereka lakukan selain dari meneruskan kehidupan sedemikian.

Jika anda benar-benar perihatin, kebanyakan pengemis kanak-kanak adalah perempuan berbanding lelaki. Lebih menarik lagi, semua pengemis kanak-kanak perempuan ini sahaja yang kudung tangan sedangkan pengemis kanak-kanak lelaki adalah normal. PELIK BIN ANEH, kan !

*

SAKSIKAN DAN FIKIRLAH

*

PengemisFatima3AnakPengemisNormal

*

PengemisFatima4GadisPengemis

*

CUBA, KALAU BERANI !

Hati-hati jika anda ingin menguji “kepalsuan” tangan kudung pengemis kanak-kanak ini. Cubalah jika berani. Akibatnya anda pasti akan ditendang kaki atau dijerit pekik. Kejadian ini berlaku di depan mata saya dan sempat diambil foto oleh SPH seperti foto di bawah.

Syukurlah suami hajjah itu cepat bertindak dengan menjerit kuat dan memarahi pengemis kanak-kanak tadi. Kasihan pula saya melihat wajah terkejut hajjah itu apabila tiba-tiba diserang dengan “biadab” oleh pengemis kanak-kanak tersebut.

Pengemis kanak-kanak yang menipu kudung tangan ini SANGAT AGRESIF. Mereka tidak suka diambil gambar atau dipegang tangan mereka. Tanpa diduga anda pasti menerima akibatnya.

*

PengemisFatima5kenatendang

Haji ini terus membawa isterinya berlalu dari situ setelah memarahi anak pengemis yang menendang isterinya.

*

PengemisFatima6ModuOperandi

*

PengemisFatima7Pengemiskudung

*

SEKITAR MASJIDIL HARAM

Aktiviti mengemis itu bukan sahaja berlaku di sepanjang jalan yang menjadi laluan jemaah haji di lokasi masing-masing tetapi juga terdapat di sekitar Masjidil Haram. Namun yang banyak mengemis di sana bukan pengemis seperti di atas TETAPI jemaah haji yang mengambil peluang di atas kemurahan hati jemaah haji lain.

Hal ini terjadi apabila mengetahui lumayannya pendapatan atau hasil wang yang diperolehi oleh para pengemis. Ada di antara jemaah haji tersebut memperolehi sehingga RS 1500 sehari.  Saya dan SPH pernah beberapa kali didatangi oleh jemaah haji yang mengemis dengan meminta wang dengan alasan tidak ada wang untuk balik ke negara mereka.

Kami tidak mengendahkannya kerana selalu teringat dengan pesan pihak Tabung Haji agar jangan memberi sebarang wang kepada sesiapa yang mencurigakan. Malah dinasihatkan juga jangan memberi wang sedekah kepada para pengemis jalanan.

*

PENGEMIS BERKUMPUL DI MINA

Hari pertama saya dan SPH selesai melontar Jamrah Qubra, kami sangat terkejut melihat ramainya pengemis di sepanjang jalan keluar dari bangunan Jamarat. Betul-betul saya terkejut melihat fenomena ini. Tidak terfikir bahawa di Mina juga ada pengemis.

Peliknya, jalan masuk ke Jamarat dari arah kami mula-mula datang tidak pula kelihatan seorang pun pengemis di jalanan. Secara logik akalnya, sudah tentu mereka merencana lokasi strategik untuk mendapat wang dari para jemaah haji yang selesai melontar. Ternyata mereka juga bijak memasang strategi. Kita sahaja yang mudah ditipu.

Melihat ramainya pengemis tersebut, saya terfikir mungkin inilah jumlah pengemis yang ada di Kota Makkah sebelum Hari Wukuf di Arafah. Cuma mereka berada di merata tempat di Kota Makkah. Bertaburan dan berselerak sesuai dengan lokasi jemaah haji tempat mereka mengaut keuntungan dengan mengemis.

Lucukan… para jemaah haji berkumpul beramai-ramai untuk Wukuf di Padang Arafah. Para pengemis profesional pula berkumpul beramai-ramai di Mina menunggu kedatangan jemaah haji pada hari berikutnya, 10 Zulhijjah bagi memulakan operasi mengemis mereka.

Jika anda pernah menunaikan haji, anda tentu masih ingat bahawa setiap langkah kita mara ke hadapan untuk menuju jalan pulang ke khemah, pasti kita akan menemui para pengemis  yang duduk sederet sepanjang jalan dengan pelbagai aksi dan cara mengemis.

Banyak foto berkaitan aktiviti mengemis ini saya dan SPH ambil sebagai kenangan untuk dikongsikan bagi memberi kesedaran kepada para jemaah haji dan umrah tentang aktiviti kurang bermoral yang berlaku di Tanah Suci. tujuannya agar kita berhati-hati di masa hadapan.

Foto-foto berikut dan catatan saya padanya menjelaskan situasi yang sedang berlaku dan disaksikan dengan mata sendiri.

*

PengemisFatima8PengemisMina

*

PengemisFatima9PengemisBaring

*

PengemisFatima10Mintaduit

*

PengemisFatima11Meriah

*

PENDAPATAN 5 RIBU RIYAL SEHARI

Anda tentu tidak percaya dengan laporan dari Arab News bahawa pendapatan segelintir pengemis jalanan ini terutama semasa di Mina boleh mencecah sehingga LIMA RIBU Riyal Saudi (RS 5000) SEHARI. Jumlah ini bersamaan TUJUH RIBU LIMA RATUS Ringgit Malaysia (RM 7500). Pendapatan yang sangat lumayan dan menguntungkan.

Tidak hairanlah mereka lebih suka mengemis daripada berusaha. Malah kesempatan ini juga diambil oleh segelintir kecil jemaah haji yang inginkan wang segera atas kepentingan peribadi mereka.

*

pesanfatimaku

*

KEPADA JEMAAH HAJI DAN UMRAH

Pihak Tabung Haji Malaysia memaklumkan bahawa pihak kerajaan Arab Saudi telah mengingatkan jemaah haji agar ….

 TIDAK MEMBERI WANG KEPADA PARA PENGEMIS BAGI MENCEGAH FENOMENA KEBANJIRAN PENGEMIS DI TANAH SUCI PADA SETIAP MUSIM HAJI.

*

Jika anda ingin juga hendak bersedekah atau memberi hadiah, berilah kepada mereka yang patut menerimanya setelah melihat kondisi mereka yang wajar.

Setelah melihat penipuan yang dilakukan oleh pengemis jalanan, saya meminta izin dari SPH untuk memberi HADIAH berbentuk wang dan kain telekung kepada jemaah haji wanita yang tua di dalam Masjidil Haram dan Mina.

Insya Allah, akan saya tulis pengalaman itu di kemudian hari untuk dikongsi bersama teman pembaca sebagai menggambarkan usaha kita jika ingin melakukan amal jariah di bumi suci Makkah dan Madinah.

Selain doa yang dititip, antara yang paling mengesan hati saya ialah melihat kebahagiaan dan kegembiraan terpancar di wajah mereka apabila menerima hadiah tersebut.

*

Semoga dengan jalan bersedekah dan memberi hadiah di mana-mana pun kita berada, kita berharap Allah akan memberi kebaikan dan rezeki dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat. Aamiin.

*

SinggahFatima1TerimaKasihLMGSG2

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima20 Ogos 2015 (Khamis)/ 5 Zulkaedah 1436H/ 1.30 petang, Bintangor, Sarikei, Sarawak

AKU…. sedar jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kejayaan tidak dapat diraih jika tidak ada usaha ke arahnya. Jangan jadi katak bawah tempurung. Tidak pernah melihat dunia luas. Jadilah burung helang yang hebat, melebarkan sayap dan merenung hadapan dengan semangat. Hidup ini perlu dihargai dan disyukuri dengan segala potensi yang dikurniakan Tuhan.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…. Andai kau mengerti, kasih yang suci sejati tidak akan pernah tercemar walau timbunan debu menghalang kejernihan rupanya. Ia akan selamanya begitu dalam hati. Wahai yang menyentuh hati…. begitulah kasihku padamu. Semoga ceria dan bahagia. Aamiin. Wassalaam. 🙂

*

 IngatanFatima1Padamu

*

27 thoughts on “CT347. SJK…. SEVILLA KE MASJIDIL HARAM (6): FENOMENA PENGEMIS DI MUSIM HAJI

  1. Betul, Kak Siti.. banyaaaak sekali pengemis yg ada, bahkan ada pula yg beraksi mencopet ditengah ramai pengunjung pulang setelah lemprar Jumra.. 😦
    Waktu itu kami justru sering memberi sekedar uang (meskipun mereka sama sekali tak meminta) kepada petugas kebersihan di sekitar toilet masjidil haram / nabawi… utamanya ketika menjumpai yang dari negeri kami…

    • Jika kita fikirkan, hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku di Tanah Haram. Namun begitu, ujian Allah ada di mana-mana ya mbak. Hanya kita harus berhati-hati.

      Bukan sekadar mencopet dan mencuri, Malah menipu dan rasuah juga berlaku di bumi suci itu. Banyak jenayah seperti di tanah halal juga terjadi di Tanah Haramaian tersebut. Ternyata manusia tidak takut dengan Allah SWT..

      Mudahan sedekah kepada mereka yang kita fikir wajar menerimanya akan diganjari Allah SWT, ya mbak Mechta. Aamiin.

      Terima kasih mbak sudah berkongsi cerita tentang ini dari pengalaman haji mbak yang lalu. Semoga beroleh haji mabrur. Aamiin.

      Salam mesra selalu. 🙂

  2. Assalamualaikum kak Fat

    Wah ternyata di setiap momen satu perayaan kerap demikian ya kak, termasuk dalam musim haji jumlahnya terus makin meningkat. 🙂

    • Wa’alaikum salaam mbak Sussi…

      Iya mbak, begitulah selalunya. Di mana-mana ada pengemis jalanan. Malah lebih menyayat hati ada yang gelandangan tanpa rumah dan pekerjaan.

      Terima kasih dan Salam sejahtera di penghujung pekan, mbak Sussi. 🙂

  3. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Kejadian semacam ini hendaknya lebih serius lagi diperhatikan oleh pemerintah Saudi Arabia. Miris membaca kenyataan bila pengemis melakukan penipuan segala, apalagi ada yang mengoodinasi segala. Terima kasih banyak ya, Mbak Fatimah, telah share hal yang memprihatinkan ini.

    Salam hangat dari Jogja

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…

      Iya, harapan kita begitulah. Sepatutnya aktiviti mengemis tidak wujud di Tanah Suci kerana hal seperti ini memberi gambaran buruk kepada pandangan masyarakat luar terhadap kehidupan umat Islam seluruhnya.

      Terima kasih kembali dan salam takzim.

    • Memang benar, peratusan pengemis adalah warga luar Arab Saudi. Yang hairannya mereka dapat memasuki Tanah Haram tanpa visa. Tidak seperti biasanya jemaah haji yang lain. Mudahan aktiviti mengemis ini akan dapat dihapuskan dari semasa ke semasa.

      Terima kasih mas Alris dan salam sejahtera.

    • Iya mbak Ely, saya juga terkejut dan beristighfar melihatnya di depan mata. Oleh itu, cukuplah sekadar tahu dan melihat sahaja. Jangan fikir untuk mencubanya juga. 🙂

      Terima kasih mbak dan salam mesra.

  4. Assalamualaikum Wr Wb.
    Modus serupa sekarang sudah dimana-mana, para pengemis ada yang mengkoordinirnya. Kalau gak begitu, pastinya gak bisa beroperasi ditempat-tempat yang telah terjaga ya. Turut prihatin!

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kipss…

      Memang, walaupun pengemis tetapi mereka bijak membuat strategi yang dianggap menguntungkan. Oleh itu, jangan tertipu dengan reaksi dan emosi yang dipamerkan sehingga nampak perlu dikasihani.

      terima kasih dan salam sejahtera.

  5. Assalamu’alaikum wr. wb. Mbak Fatimah…

    Lewat tulisan Mbak ini saya baru tahu fenomena pengemis di tanah suci.
    Kasusnya mirip juga seperti yg saya lihat di tanah air saya. Eksploitasi anak, pura-pura cacat dan ternyata pendapatan dari mengemisnya lebih besar dari pekerja pabrik disini.

    Terima kasih telah share pengalamannya selama berhaji Mbak.

    Salam,

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Titik Asa…

      Benar, modus operandinya selalu sama walau di mana-mana mereka berada. Di Malaysia juga demikian. Selalu kita jumpa terutama di bandar-bandar besar anak-anak menjadi mangsa orang dewasa untuk mengemis. malah pendapatan mereka amat menakjubkan.

      Orang kita memang penuh dengan sifat belas ihsan dan mudah ditpedayakan. Namun sifat itu seolah menggalakkan lagi usaha mengemis para pengemis.

      Walau bagaimana pun, pihak kerajaan Malaysia mempunyai usaha menghalang kegiatan mengemis ini dengan menangkap mereka dan berusaha mencari pekerjaan yang sesuai buat mereka.

      Terima kasih mas Titik atas perkongsian yang mencerahkan.
      Salam takzim.

    • Iya, usul itu sangat realistik dengan keadaan ekonomi sekarang. Tetapi apakah akan berjaya dilaksanakan ?

      Jika usul ini bagus dan rasional pada akalnya, pasti sudah lama pihak berwajib (pemerintah) mengusulkan usaha untuk direalisasikan, Maren.
      Jika benar-benar mahu, pihak berwajib hendaklah memikirkan fungsi Baitulmal yang ditubuhkan untuk membantu golongan miskin dan fakir.

      Terima kasih Maren dan salam sejahtera.

  6. TERIMA KASIH PERKONGSIANNYA…ALLAH MENGUJI KITA DIMANA SAJA WALAU DITANAH SUCI-NYA…KALAU BOLEH KITA INGIN MEMBUAT BANYAK AMAL KEBAJIKAN DI TANAH SUCI TAPI KENA FIKIRKAN CARA YG BIJAKSANA N BUKAN MEMBERI HADIAH KPD PENGEMIS JALANAN YG BAKAL MEMUDARATKAN KESELAMTAN DIRI KITA JUGA…PASANG NIAT YG BETUL INSYAALLAH…PASTI ALLAH PERMUDAHKAN URUSAN IBADAH HAJI KITA DI MEKAH.

    • Benar kak Faridah… jika ingin bersedekah elok diperhati dahulu siapa yang berhak menerima sedekah dan hadiah dari kita.

      Selain para pengemis yang menipu itu masih banyak lagi mereka yang memerlukannya terutama golongan tua dari negara miskin yang diizinkan Allah berhaji. Begitulah saya mencari golongan yang akan saya hadiahkan wang atau kain telekung.

      Niat amat penting agar matlamat kita tercapai dan diredhai Allah.
      Sama-sama kembali Kak Paridah dan terima kasih atas komnetar yang mencerahkan.

      Salam manis selalu. 🙂

  7. Pingback: CT413. CABARAN HAJI (25): MENCARI TANDAS YANG SELESA DI MASJIDIL HARAM | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.