CT134. ZIARAH MADINAH (4): MISI MENAKLUK PERKUBURAN BAQI’

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Daripada Buraidah B. Al-Hushaib r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dulu aku pernah melarang kamu untuk menziarahi kubur, tetapi sekarang ziarahilah. (Hadis Riwayat Muslim)

Menziarahi kubur adalah salah satu dari sunnah Rasulullah SAW, bertujuan untuk meningkatkan iman serta memulang rasa kesombongan dalam diri manusia agar mengetahui tujuan penciptaan dan tempat kembali setelah bercerai roh dari jasadnya.

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Menziarahi kubur itu melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Dan janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang batil.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Foto SPH 1. Ziarah Kubur Baqi’ pada hari kedua aktiviti Ziarah Dalaman bagi jemaah haji KT 33, Sarawak. Hanya jemaah lelaki sahaja dibenarkan memasuki Perkuburan Baqi’.

Foto SPH 2. Kesempatan menziarahi Kubur Baqi bagi jemaah lelaki hendaklah jangan dilepaskan, kerana di sana puluhan ribu tanda  jasad-jasad suci yang mulia bersemadi di dalamnya. Berdoa dan ambil iktibar seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW seperti hadis di atas.

***************

LUAHAN HATI

Menziarahi Perkuburan Baqi’ merupakan satu dari agenda Ziarah Dalam yang dianjurkan oleh Tabung Haji Malaysia. Tetapi jemaah haji lelaki sahaja yang dibenarkan masuk untuk melihat kawasan perkuburan. Jemaah haji wanita hanya berdiri di luar dataran Masjid Nabawi dan berdoa menghadap ke arah perkuburan tersebut.

Hasrat untuk melihat kawasan Perkuburan Baqi’ secara ‘mata telanjang’, saya suarakan kepada SPH walaupun saya ketahui mustahil dapat memasuki kawasan perkuburan. “Bang, kalau mah dapat melihat kubur Baqi’ dengan mata sendiri, tentu lebih bermakna dari sekadar tahu melalui pembacaan dan menonton tv,” kata saya setelah SPH menceritakan pengalaman memasuki Perkuburan Baqi’ pada hari kedua aktiviti Ziarah Dalam diadakan.

Tanpa saya sedari, luahan hati saya diambil perhatian serius oleh SPH, lalu membuat rencana  dan berusaha untuk menunaikan keinginan saya. SPH telah melakukan “penyiasatan” dan rondaan mengelilingi separuh dari kawasan perkuburan Baqi dari luar pagar (tembok) bagi mencari tempat sesuai untuk saya melihat perkuburan tersebut.

Subhanallah, rasa terharu menyelimuti diri apabila mengetahui SPH melakukan hal yang tidak disangka demi merealisasikan hasrat saya. “Terima kasih bang, mah sangat menghargai semua usaha yang dilakukan.” 😀

Hati saya sangat gembira dan bahagia kerana mendapat kejutan yang tidak disangka walau hanya melihat dari luar sahaja. Malah tidak pernah terfikir pula, lain yang dirancang lain yang terjadi dan lebih mengujakan cara pemerhatiannya. Allahu Akbar.

*************

MENJEJAKI PERKUBURAN BAQI’

Khamis, 13 Oktober 2011. Satu rencana tanpa pengetahuan saya telah dibuat oleh SPH dalam misi menjejaki Perkuburan Baqi’. Sebelum perjalanan ke sana, kami menonton dahulu acara pembukaan Payung “Bunga Kembang Pagi”. Kami duduk berehat di dataran Masjid Nabawi sambil menikmati sarapan pagi dengan kekacang campuran, sebungkus buah kurma dan air zam-zam.  Alhamdulillah.

Insya Allah, saya akan menulis beberapa siri posting khas tentang Payung “Bunga Kembang Pagi”  yang dijalankan dengan kuasa elektrik untuk dikongsikan bersama. Setelah menyaksikan acara pengembangan payung tersebut, kami meneruskan perjalanan untuk menziarahi Maqam Rasulullah SAW dan Perkuburan Baqi’.

*

Payung “Bunga Kembang Pagi sedang mengembangkan kelopaknya secara serentak. Sungguh mengkagumkan menyaksi acara ini. Gerakan perlahan yang membuat mata tertancap tidak puas memandang sambil mulut dan hati bertasbih kepada Allah SWT yang memberi manusia kepintaran memikirkan ciptaannya. Subhanallah wallahu Akbar.

 **************

Setelah separuh Masjid Nabawi kami lalui sambil menyaksikan pengembangan sempurna Payung “Bunga Kembang Pagi”, saya dan SPH menghampiri bangunan yang berkubah hijau dan putih. Kubah-kubah itu petunjuk kepada kawasan Raudhah Al-Mutahharah, Maqam Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda yang mulia, Abu Bakar al-Siddiq r.a dan Umar al-Faruq r.a.

Sebaik sampai di hadapan bangunan berkubah hijau, kami berhenti untuk ziarah Maqam Rasulullah SAW. Kami memberi salam kepada Rasulullah SAW dan dua sahabatnya. Kemudian membelakangi bangunan dengan menghadap arah Kiblat untuk berdoa.

Bangunan berkubah hijau dan kubah putih menandakan kawasan Raudhah al-Mutahharah, Maqam Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda.

*************

BERDOA

Selesai berdoa kami menghadap arah Perkuburan Baqi’ pula. Hati saya selalu tersentuh apabila melihat ke arah perkuburan ini. Saya berharap suatu hari nanti dengan izin Allah, jasad saya juga akan bersemadi di sana bersama puluhan ribu jasad yang mencintai Allah swt dan Rasul-NYA. Semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan para hamba yang diredhai-NYA. Aamiin. Kami kemudian memberi salam dan membaca doa.

DOA RASULULLAH SAW KETIKA MENZIARAHI PERKUBURAN BAQI’

“Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung daripada orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang pergi dahulu dan yang mengikuti kemudian. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan kamu.”  – Sahih Muslim

Kelihatan Payung “Bunga Kembang Pagi” telah sempurna kembang. Kami berdoa di sini. Di hadapan adalah pintu masuk bahagian luar sebelum pintu utama ke Perkuburan Baqi’. Jemaah wanita hanya dibenarkan memasuki pintu bahagian luar sahaja. Jika wanita hendak melihat kawasan Perkuburan Baqi, pergi jauh ke belakang dengan mengelilingi pagar luar tersebut. Di sana ada dinding berlubang atau memanjat ke atas tembok bagi mendapat  pemandangan yang jelas.

****************

MISI MENAKLUK PERKUBURAN BAQI’

Selesai membaca doa kepada penghuni Perkuburan Baqi’, saya menyangka kami akan mengelilingi Masjid Nabawi sebelum pulang ke hotel. Sebaliknya, SPH mengajak saya berjalan ke bahagian kiri bangunan Masjid Nabawi menuju Perkuburan Baqi’.  Kami menuju arah kiri memasuki pintu bahagian luar.

“Kita nak ke mana, bang ?” tanya saya. “Abang nak bawa mah melihat perkuburan Baqi’ dari kawasan belakang.” balas SPH sambil senyum. “Dapatkah melihat kubur-kubur dari sana. Nampak tinggi sahaja pagar tembok tu ?” ujar saya dalam keraguan. “Tengok dulu, nanti baru tahu. Abang dah survei semalam dan ada tempat sesuai yang mah boleh lihat. Tembok di sebelah belakang ada lubang dan bertingkat-tingkat.” jawaban SPH sangat mengujakan saya.

Memang benar, di bahagian belakang (luar tembok) perkuburan Baqi’ dibina pagar berkisi logam hitam yang kukuh melingkari tembok marmar tersebut. Dari jauh saya melihat ramai hajjah yang berdiri di lantai tembok dan ada juga memanjat tembok tersebut. “Masya Allah, bang. Lihat di sana, bagaimana mereka boleh memanjat tembok itu ?” Saya dan SPH ketawa memerhati pemandangan yang melucukan. Melalui tanda pakaian, mereka adalah jemaah dari Turki, Indonesia dan benua Afrika. Ada juga yang ditemani mahram dalam aktiviti tersebut.

Saya  berusaha melihat dicelah-celah hajjah yang berdiri di lantai tembok melalui beberapa lubang ke dalam Perkuburan Baqi’. “Tak nampak sangatlah bang. Nampak sikit sahaja.” adu saya kepada SPH. Rasa kecewa mula bermukim di hati. Ramai yang berebut-rebut untuk melihat melalui lubang tersebut. “Tak apalah bang, kita pulang sahaja. Cukuplah tu.” kata saya dengan hati yang berdongkol. “Jangan pulang dulu, jalan  ke depan lagi, mesti ada tempat yang dapat dilihat.” ajak SPH sambil menarik tangan saya.

Kawasan itu melandai dari tinggi ke rendah. Ini bermakna kubur itu mulanya dapat dilihat dengan berdiri sahaja sehingga harus memanjat berbantukan kerusi untuk mencapai ketinggiannya. Saya kagum melihat ramai hajjah yang dapat memanjat tembok tersebut. Ketinggian tembok itu lebih kurang 2 meter untuk mencapai kedudukan yang dapat dipanjat. Ternyata semangat mereka sangat kuat dan sanggup melakukan sesuatu yang tidak difikirkan orang lain.

Saya berfikir bagaimana cara mereka memanjat tembok tinggi itu. Kemudian saya melihat beberapa buah kerusi bersusun jarang-jarang di tepi tembok tersebut. Agaknya mereka memanjat kerusi ini tetapi masih tinggi dan sukar untuk dipercayai tentang kejayaan yang dilakukan. Para hajjah itu pula, badannya pelbagai saiz. Ada yang kurus, sederhana dan gemuk. Yang melucukan, hajjah gemuk pun boleh memanjat tembok tersebut.

Foto SPH3. Tanda bulatan menunjukkan kawasan saya dan SPH berdiri atas tembok melihat sekeliling Perkuburan Baqi’ dengan pandangan menyeluruh. Pengalaman yang menarik yang di’rencana”kan oleh Allah swt buat kami. 😀

****************

TAKUT

Ketika saya asyik melihat kelakuan hajah yang memanjat tembok sambil kami berjalan mencari tempat sesuai, saya dikejutkan oleh SPH supaya berhenti. Di hadapan kami ada tembok tinggi dan di tepi tembok itu, terdapat sebuah kerusi besi berlipat yang fiziknya kelihatan uzur. SPH menyuruh saya memanjat kerusi tersebut. “Mah, naik atas kerusi itu, panjat dan berdiri atas tembok.” arah SPH kepada saya. Saya ketawa dan bagai tidak percaya dengan apa yang saya dengar.

“Astaghfirullah bang, abang nak suruh mah panjat ! Tinggi tu bang. Lagipun mah gayat (takut tempat tinggi). Kerusi tu pulak goyang-goyang. Tak naklah bang.” balas saya cepat. “Naik sahaja kerusi itu. Nanti abang pegang. Mah pegang kuat badan tembok tu, kemudian pijak atas bahu abang ni dan terus panjat atas tembok.” arah SPH sambil mendorong badan saya ke arah kerusi.

Saya naik juga ke atas kerusi dengan rasa geli hati, sambil ketawa. “Masya Allah, kenapalah suami aku sanggup buat aku macam ni.” umpat saya dalam hati sambil menahan ketawa. Rasa tidak percaya bahawa saya akan berbuat sama seperti yang saya fikirkan kepada para hajjah tadi.

Setelah naik atas kerusi, SPH meminta saya memijak bahu kanannya supaya saya dapat memanjat tembok tersebut dengan mudah. “Tidak sakitkah bang, mah ni berat tau ?” jelas saya sedangkan kaki saya sudah menggigil menahan takut akan ketinggian yang bakal di tempuh. “Naik sahaja, jangan banyak cakap. Cepat, abang nak mah lihat kubur tu dari atas sana.” SPH meninggikan suaranya tetapi masih sempat ketawa melihat saya yang sudah terketar-ketar. Saya menurut sahaja apa yang diperintahkannya.

Saya memijak bahu SPH dan mengangkat badan saya setinggi mungkin agar tangan saya dapat mencapai jaring berkisi logam hitam di atas tembok. Setelah berjaya memijak bahu SPH, saya terus memanjat lebih tinggi lagi dan akhirnya dalam keadaan menggigil, saya berjaya berdiri di sisi pagar tembok dengan pegangan yang sangat kuat seakan memeluk pagar tersebut. Mulut saya tidak putus-putus menyebut nama Allah sambil berdoa memohon bantuan untuk menjayakan misi ‘impossible’  yang tidak diduga ini.

Sebaik sahaja berjaya berdiri kukuh di tepi pagar tembok , saya mengucapkan alhamdullah yang tidak terhingga apabila dapat melihat seluruh Perkuburan Baqi’ di tempat yang tinggi. Mengkagumkan pemandangannya. Sangat luas. Saya mengucapkan salam. Segala ketakutan di tempat tinggi tiba-tiba hilang dalam kegembiraan yang tidak dapat dibayangkan.

Saya menjerit kepada SPH bahawa saya telah dapat melihat seluruh Perkuburan Baqi’ dengan jelas. Dalam saya menjerit itu, saya dikejutkan oleh SPH yang sudah berada di sisi saya. “Ya Allah, macam mana abang boleh panjat ? Rasa tidak percaya SPH memanjat juga di atas tembok. “Orang lelaki kan pandai memanjat” balas SPH sambil ketawa dan disambut oleh saya.

Setelah puas menekun diri beberapa minit melihat pemandangan luas di Perkuburan Baqi, kami pun bersepakat untuk menyudahi misi ini. Gementar saya kembali datang. Saat mata saya memandang ke bawah, kaki saya menggigil kuat. Tangan saya makin mendekap jaring pagar dengan teguh. SPH sudah turun ke bawah dengan cekap sekali. Saya masih berada di atas. “Bang, bagaimana hendak turun. Mah takut. Jauh sangat kerusi tu.” jerit saya.

“Tak apa, turun sahaja, perlahan-lahan seperti cara mah naik tadi.” balas SPH. Dalam pada kami berbalas kata itu, datang dua orang suami isteri dari Turki. Usia mereka dalam lingkungan lima puluhan. Kedua-duanya bertubuh gempal dan tinggi. Mereka membantu SPH menahan kerusi dan memujuk saya turun. Sikap mereka ramah sekali.

Saya memalingkan badan menghadap tembok sambil bertasbih dan memohon bantuan Allah. Saya turun perlahan dengan memijak bahu SPH sebelum kaki saya mendarat tepat atas kerusi yang dipegang oleh lelaki Turki tersebut. Kemudian saya selamat menjejak kaki ke lantai tanah dalam keadaan yang masih menggigil. Alhamdulillah. Kami mengucapkan terima kasih atas bantuan suami isteri yang baik hati itu. 

****************

MISI BERJAYA

Saya dan SPH ketawa mengenangkan pengalaman yang berlaku sebentar tadi. “Bang, jangan buat macam ni lagi. Mah takut.” ucap saya. SPH hanya ketawa sahaja. Kami berhenti sejenak melepas lelah bagi meredakan ketegangan perasaan sebelum beredar menuju ke arah Masjid Nabawi. Sebaik kami hendak berlalu, kami dikejutkan oleh tindakan kedua suami isteri tadi. Jika melihat badan mereka yang gempal, tentu sukar untuk memanjat tembok tinggi itu. 

“Bang, bagaimana mereka secepat itu memanjat tembok.” bisik saya kepada SPH dengan ketawa yang ditahan. “Entahlah, tidak nampak pula mereka memanjat tadi.” balas SPH sambil senyum. Subhanallah, kedua-duanya sudah berada atas tembok. Sesuatu yang mustahil berlaku tetapi sudah berlaku.

Saya membayangkan pula bagaimana mereka akan turun nanti. Siapa yang akan membantu mereka ? Semoga Allah melindungi keduanya. Aamiin. Kami mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana telah menjayakan misi menakluk Perkuburan Baqi’ yang tidak pernah dirancang.

ALHAMDULILLAH WA SYUKRULILLAH

***************

BAQI’ AL-GHARQAD

Foto SPH3. Perkuburan Baqi’ juga disebut BAQI’ AL-GHARQAD

BAQI’ bererti tempat di mana terdapat akar dari pelbagai pohonan. Manakala GHARQAD adalah sejenis pohon berduri yang banyak tumbuh di Baqi’ sehingga tempat itu disebut BAQI’ AL-GHARQAD. Ketika dijadikan kawasan perkuburan, pohon Gharqad ditebang. Walaupu  pohonnya sudah lenyap, namanya tetap Gharqad.

BAQI’ adalah sebuah nama perkuburan di Madinah. Perluasan Baqi’ dilakukan pada pemerintahan Raja Fahd sehingga mencapai 174.962 meter persegi. Di kelilingi dengan tembok pagar yang diperbuat dari marmar berkisi logam hitam setinggi 4 meter dengan panjang 1.726 meter.

Lokasi Baqi’ terletak di sebelah Tenggara (kiri) Masjid Nabawi. Waktu melawatnya adalah selepas solat Subuh dan selepas solat Asar. Namun begitu dibenarkan juga masuk ke dalamnya apabila ada jenazah yang hendak dikebumikan. Osman bin Maz’un r.a daripada kalangan Muhajirin adalah sahabat pertama dikebumikan di Perkuburan Baqi’.

Daripada Abdullah bin Umar r.hm bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Aku adalah orang pertama yang dibangkitkan dari bumi pada hari Kiamat. Kemudian Abu Bakar, kemudian Umar dan kemudian aku mendatangi penghuni-penghuni Baqi’. lalu mereka dibangkitkan bersama-sama denganku. Kemudian aku menunggu penduduk Makkah. maka aku dibangkitkan di antara dua Tanah Haram.” – HR at-Tirmizi, Ibnu Hibban dan al-Hakim

Foto SPH 4-8. Pemandangan Perkuburan Baqi’. Nisannya adalah batu tanpa tanda nama.

Rasulullah s.a.w. memerintahkan untuk mengucapkan salam dan mendoakan ahli kubur. ‘Aishah telah berkata: “Rasulullah pernah keluar ke Perkuburan Baqi’ , lalu baginda mendoakan mereka. Kemudian aku ( ‘Aisyah) bertanya tentang hal itu, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diperintahkan (Allah swt) hal itu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

DOA RASULULLAH SAW KETIKA MENZIARAHI PERKUBURAN BAQI’

“Salam sejahtera atas kamu tempat tinggal orang Mukmin dan telah datang kepada kamu sesuatu yang telah dijanjikan untukmu. Kamu ditangguhkan hingga hari esok dan dengan izin Allah, kami akan mengikuti kamu. Ya Allah, ampunikan penghuni Baqi’ al-Gharqad.” – HR Muslim

****************

7 November 2012 (Rabu)/ 22 Zulhijjah 1433H/ 8.50 malam – Sarikei,  Sarawak

AKU….. dan rasa sayang yang bersarang adalah memendam SEBUAH HARAPAN. Rasa kasih yang bertandang adalah memburu SEBUAH PENGERTIAN. Biarlah segalanya direlakan agar terurai kekusutan. Biarlah segalanya dinyatakan agar terbukti keinginan. Mudahan tiada yang membeban hati dan perasaan. Jika ada cinta yang lebih melimpah… aku rela engkau memilikinya.

– SITI FATIMAH AHMAD –

****************

SEJAUH INI… MASIH ADA RINDU YANG BERMUKIM. TIDAK AKAN PERNAH HILANG WALAU SESAAT

27 thoughts on “CT134. ZIARAH MADINAH (4): MISI MENAKLUK PERKUBURAN BAQI’

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Kita selalu menginginkan keredhaan Allah dalam setiap capaian hidup kita untuk dunia dan akhirat. Semoga kehidupan kita dipenuhi cinta Allah dan cinta Rasul-NYA supaya kita selalu dinaungi kebahagiaan dan rahmat yang berpanjangan. Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah Yang Maha Berkuasa.

    Nikmatilah keindahan irama RADHITU BILLAHI RABBA by MAHER ZAIN

    DEDIKASIKU UNTUKMU… dalam kehidupan ini, kita selalu mengharap adanya kebahagiaan dan kejayaan untuk meraih sejuta keindahan dunia yang dilengkapi pelbagai prasarana yang dapat menghidupkan kita dengan selesa. Jika kita pernah dan sedang menikmatinya, mari kita bersyukur kepada Allah swt kerana DIA memilih kita. Tunduk dan patuhlah kepada-NYA. Doaku selalu mengiringi setiap langkah kehidupanmu.

    Wassalaam. 😀

  2. Ass….
    Sungguh indah perjalanan ibadah yang dapat di abadikan dalam berbagi ilmu dan keberkahan dalam setiap langkah dan karya yang terurai di setiap aksara yang bermakna dalam sebuah karya yang indah.

    Semoga dalam karya yang indah di setiap goresan bermakna, dapat selalu menyentuh setiap hati para pembaca, hingga dapat memancing sebuha hidayah yang dapat mengentarkan jiwa dalam hati setiap insan manusia.

    Salam Wisata,

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra Kesuma…

      Aamiin… Ya Rabbal’alamiin.
      Semoga membawa manfaat untuk pembaca yang sudi mengambil kebaikan dari pengalaman yang dilalui. Pengembaraan yang penuh dengan pengajaran untuk lebih dekat dengan Allah swt kerana setiap yang berlaku tentu sekali dengan izin-NYA.

      Terima kasih mas Indra. Mudahan perjalanan indah yang suci ini akan dapat ditempoh dengan penuh ketakwaan dan diredhai oleh-NYA. Aamiin.

      Salam hormat selalu. 😀

  3. Subhanalloh, atas izin-Nya, akhirnya Bunda bisa leluasa memandang perkuburan Baqi’ dengan selamat, walaupun pada awalnya ada rasa takut dan cemas, tapi akhirnya Alloh swt memberi kemudahan sehingga bisa terwujud impian dan hasratnya.

    • Alhamdulillah, semuanya atas izin Allah SWT yang memperkenankannya. Tapi cara perkenan itu sungguh mencabar dan tidak terlintas langsung akan kejadiannya.

      Kejayaan memanjat tembok itu juga sebenarnya hasil pengalaman masa kecil yang suka memanjat pokok tetapi pokok rendah sahaja…hehehe

      Sungguh saya tidak mahu mengulangi perbuatan itu lagi.
      Menggigil kaki saya bila mengingatkan keadaan ketika itu. tetapi sangat lucu sekali.

      Terima kasih mas Aziz atas kunjungan.
      Salam sejahtera. 😀

  4. Assalamu alaikum anak ummi hadir lagi, bertamu menyapa rindu yang ada… 🙂
    pengalaman ummi dikota nabi banyak beneeerrr, alhamdulillah ummi telah berkongsi tentang segala pengalaman disana, jadi kalau neni beranjak kesana juga sudah dapat referensi dan ilmu dari ummi, seluk beluk tempat yang ada disana ;)…

    nisan mereka meski tanpa naman, namun terlihat indah dan cantik, kalau disini, lebih cantik nisan dikuburan daripd nisan dirumah :)…

    salam sayang buat umiku yang cantik dan ayu… (kedip2 mata)

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, anak Umi yang dikasihi…

      Sapaan rindu itu disambut dengan hati bahagia dan Umi selalu mendoakan kebaikan dan kejayaan yang dilalui sepanjang kehidupan Neni.

      Alhamdulillah, mudahan Neni bisa jadikan teladan dan sempadan untuk bekal ke sana di kemudian hari. Berdoalah agar Alah SWT akan memudahkan segala urusan dan letakkan cinta tertinggi kepada Allah dan Rasul-NYA. Bertakwalah kepada-NYA di mana jua kita berada.

      Iya… nisan di sana hanya batu dan tenang sahaja kondisinya. tidak seperti nisan di perkuburan kita di sini. Selalu ada persaingan untuk menonjolkan nisan terbaik, tercantik dan banyak sekali hiasannya. Astahgfirullah.

      Terima kasih untuk kunjungan Neni ke rumah umi yang cantik ini… ohhh… umi cantik lagi ya !(sambil kelip-kelip mata sepuluh kali).. 😀

      Salam sayang kembali dari Umi yang jauh di mata tapi dekat di hati.

  5. Assalamu’alaikum, Mbak Fatimah….

    Hmm, melihat perkuburan Baqi’ dari kawasan belakang, akhirnya berhasil juga ya, Mbak. Betapa bahagia. Iya, berziara kubur, apalagi ke makam Baqi’ dan orang shalih lainnya tentu menjadikan kita mengambil banyak pelajaran. Di samping tentang kematian, juga betapa penting kita untuk memperbanyak amal shalih dalam kehidupan dunia ini.

    Salam hangat dari Jogja ya, Mbak.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…

      Alhamdulillah, walaupun harus memanjat untuk merealisasikan hasrat melihat perkuburan Baqi’, Banyak iktibar yang dapat diambil saat memandang arah perkuburan itu. Hati sangat tersentuh dan mengharapkan jasad ini juga (dengan izin Allah) akan bersemadi di sana.

      Selain itu, sangat menginsafkan apabila hampir setiap hari berjemaah solat jenazah di Masjid Nabawi. Di sana ada sahaja jemaah haji yang meninggal dunia. Untungnya mereka bersemadi di Perkuburan Baqi yang dimuliakan Allah swt ini.

      Terima kasih mas Amazzet sudah hadir setelah sekian lama tidak bersilaturahmi di sini. Mudahan kebaikan akan selalu mengiringi kita dalam melaksanakan tuntutan sebagai muslim yang diredhai Allah swt.

      Salam hangat dan sukses selalu. 😀

  6. Salam alaikum, Mbak Fatimah dan Bang SPH yang dirayakan cinta-kasihnya oleh Allah Swt. .. (lagi-lagi super-iri saya :_O)

    MasyaAlllah, subhanAllah wal hamdulillaaahh…
    Saya baru tahu kalau kaum perempuan tidak boleh masuk.. alasannya apa ya? apa ada dalil yang melarang??

    Well, kita sebagai tamu, mau tak mau ikut apa maunya tuan rumah ya, Mbak… tapi alhamdulillah..justru dari situ juga muncul skenario asyik-menggemaskan di sini..bahkan saya pun ikut berkhayal-khayal saya dan istrilah yang sedang Mbak ceritakan itu, ahahaha!

    {Saya naik juga ke atas kerusi dengan rasa geli hati, sambil ketawa. “Masya Allah, kenapalah suami aku sanggup buat aku macam ni.” umpat saya dalam hati sambil menahan ketawa. Rasa tidak percaya bahawa saya akan berbuat sama seperti yang saya fikirkan kepada para hajjah tadi.}
    Sungguh, bagian ini menurut saya puncak tulisan kali ini, Mbak… saya sukaaaaa!!!!! 😀
    (sekaligus seperti selalu: saya iriiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!!!!!!! 😦 )

    [Saya berharap suatu hari nanti dengan izin Allah, jasad saya juga akan bersemadi di sana bersama puluhan ribu jasad yang mencintai Allah swt dan Rasul-NYA. Semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan para hamba yang diredhai-NYA. Aamiin. Kami kemudian memberi salam dan membaca doa.}

    aaamiiin.. aaamiin tsumma aamiin ya Rabb al-alamiiin. 😦

    dua hati bertemu padu
    mencari ridha Kasih Sejati

    dua jiwa beralun merdu
    satu lagu bertema cinta

    duka-cita berganti lalu
    ikhlas jua nan dihadapkan

    ada bertiga rayakan cinta
    hakikatnya Satu tiada tara

    Ar-Rahmaan Ar-Rahiim Allahu Akbar

    salam takzim dan kagum selalu dari Bandung-Pontianak, Indonesia
    Mux

    • Wa’alaikum salaam wr.wb mas Muxlimo yang baik…

      Ya Allah ampuni saudara saya ini kerana selalu merasa iri kepada saya…hehehe. Alhamdulillah, sifat iri untuk perkara yang baik bagi menambah kebaikan diri dan sesiapa sahaja akan mendapat ganjaran dari Allah swt. 😀

      Insya Allah, apa yang berlaku dalam hidup kita semuanya sudah Allah rencanakan tanpa pengetahuan kita. Hanya kita harus berdoa agar apa yang bakal kita lalui akan dimudahkan Allah dan mendapat bantuannya. Siapa yang selalu membantu agama Allah, pasti akan dibantu oleh-NYA. Siapa yang selalu mengingati Allah, pasti akan selalu diingati-NYA.

      Peraturan Kerajaan Saudi tidak membenarkan kaum wanita memasuki kubur tentu ada sebabnya kerana perempuan ini jiwanya lemah dan mudah emosi. Saya yakin jika dibenarkan perempuan memasuki kubur Baqi’, pasti akan banjir kawasan perkuburan itu dengan ratap tangis mereka yang tidak akan diduga kemenjadiannya.

      Malah untuk masuk masjid sahaja sudah berebut-rebut. Yang mengherankan saya lagi, hingga pintu masjid Nabawi itupun mereka gosok dengan kain tudung mereka, kemudiannya disapu pada wajah. Astaghfirullah.

      Terima kasih mas Muxlimo atas doa yang dipanjatkan dan sedikit gurindam jiwa yang mengasyikkan dari untaikan kata yang indah. Semoga mas Muxlimo dan isteri juga akan melalui apa yang saya lalui.

      Cuma berhati-hati kerana bukan senang untuk memanjat tembok tinggi itu jika tidak pernah ada latihan sedari kecil..hehehe.

      Didoakan mas Muxlimo mendapat rahmat dan kebaikan dari Allah swt dan kunjungan bagi coretan yang berbobot selalu menginspirasikan.

      Salam hormat takzim dari saya. 😀

  7. assalaamu’alaykumuwarohmatullohi wa barokaatuh,,,,

    maaf teteh kalo kaze baru bisa mampir kemari hehe.. soalnya banyak kesibukan ini itu,. dan juga mau pindah rumah jadinya ya waktu saya sempit… kalo sekarang alhamdulillah bisa jalan ja;lan lagi 😀

    oh ya ijin copi paste dalil yang ini ya teteh.

    ==================================================

    “Salam sejahtera atas kamu tempat tinggal orang Mukmin dan telah datang kepada kamu sesuatu yang telah dijanjikan untukmu. Kamu ditangguhkan hingga hari esok dan dengan izin Allah, kami akan mengikuti kamu. Ya Allah, ampunikan penghuni Baqi’ al-Gharqad.” – HR Muslim

    ===================================================

    makasih 😀

  8. alhamdulillah. Bukanlah Uhud itu lambang ketinggian harta tapi Uhud itu IMAN dan rajak(harapan). Biarlah kita menemui Allahswt seperti Syahid 70 sahabat. walaupun syahid kita dalam bentuk yang lain.Ya Allah sinarlah kematian ku dengan cahaya SYAHID, dan kenalilah hamba ini sebagai salah seorang SYUHADA ketika di padang Mahsyar……hari la yamfau malun wala banun illa man ata LLAHA biqalbil Salim.

    • Alhamdulillah, jika kita faham kenapa Allah SWT menduga kaum muslimin melalui peristiwa Perang Uhud tersebut, maka kita akan tahu betapa pentingnya mematuhi arahan pemimpin dan tidak leka dengan kemewahan dunia.

      Semoga dalam apa juga bentuk jihad yang dilalui baik jihad pendidikan, sosial, ekonomi, muamalah, semuanya akan membawa kepada cahaya syahid menurut cara tersendiri.

      Aamiin Ya Rahmaan Ya Rahiim. Semoga Allah memerhati permintaan yang dihasratkan. Allah Maha Menerima doa dan Maha penyayang.

      Terima kasih saudara Mohammad Hatta atas komentar berbobot di LMGS ini. Semoga mendapat komentar yang lain pula.

      Salam hormat. 😀

  9. Pingback: CT129. ZIARAH MADINAH (2): JAUHNYA PERJALANAN KE RAUDHAH (1) | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  10. Pingback: CT411. CABARAN HAJI (23): BELAJAR SABAR DI TANDAS MASJID NABAWI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.