CT111. ILMU SAYA vs ILMU AWAK

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Subuh hari ke-3 (12 Oktober 2011 -Rabu) di Masjid Nabawi. Saya, Kak Kasma dan Kak Senah berjaya menempatkan diri di saf kedua dalam solat. Memang sukar untuk berada di barisan paling hadapan jika terlewat beberapa minit dari masa yang ditetapkan.

Beribu-ribu jemaah haji wanita berlumba-lumba untuk merebut saf pertama ini. Kawasan solat wanita mempunyai dua bahagian sahaja iaitu (1) Sebelah Barat, pintu 13 – 17 dan (2) Sebelah Timur, pintu 22 – 30. Selebihnya adalah untuk jemaah lelaki. Masjid Nabawi  pada hari ini mempunyai 23 pintu utama dan 81 pintu biasa. Kawasan persekitaran Masjid adalah sangat luas.

Memang terasa penat apabila saya dan SPH berjalan mengelilingi Masjid Nabi setiap pagi. Aktiviti ini dilakukan sekadar riadah selepas solat Subuh untuk kesihatan diri dan menanti mekarnya kelopak payung “Bunga Kembang Pagi” sambil makan kekacang serta menikmati keindahan reka bentuk binaan Masjid Nabawi.

Apabila melalui kawasan berkubah hijau, di bawahnya terletak Makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a, kami memberi salam dan berdoa. PERINGATAN. Berdoa hendaklah menghadap kiblat iaitu dengan membelakangkan Makam Rasulullah.

Saya pernah melihat Polis Arab Saudi menegur tiga orang tetamu Allah (lelaki) dari negara China yang berdoa di hadapan bangunan menghadap Makam Rasulullah. Polis tersebut menjerit “haram, haram, huna Kiblah (haram, haram, di sana Kiblat)” sambil meminta jemaah tersebut berpusing ke belakang dan memberi isyarat ke arah depan untuk menghadap kiblat. Tetamu Allah itu mengangguk  dan memusingkan badan mereka ke arah Kiblat.

Makam Rasulullah saw, Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a berada di bawah Kubah Hijau. Untuk ziarah Makam Rasulullah saw atau Ziarah  Wada’, bagi para hujaj yang tidak dapat masuk ke dalam, cukuplah berada di luar, hadapan bangunan untuk memberi salam, menyampaikan salam. Kemudian berdoa dengan membelakangi bangunan menghadap Kiblat.

****************

JANGAN SOLAT…. HARAM

Alhamdulillah, peristiwa selepas solat Subuh hari Ke-3 itu, benar-benar mengesankan. Manakala, kejadian “DIALOG PANAS” selepas solat Asar pada hari yang sama juga menginsafkan saya. Sabar saya benar-benar teruji dengan dialog tersebut. Subhanallah, beginilah ujian Allah kepada semua tetamu-NYA untuk meningkatkan imannya, jika mereka bersabar. Dialog panas itu sangat bermanfaat bagi saya. Saya mengambil iktibar darinya. Sejak itu saya berazam untuk mendalami ilmu dalam bab Fekah.

Sebelum berlaku dialog antara saya dengan Kak Mi (bukan nama sebenar) tentang WAKTU YANG DILARANGKAN SOLAT, saya sudah ditegur dengan baik dan ramah oleh seorang ibu tua dan anak gadisnya berbangsa Turkistan berhubung waktu larangan solat tersebut. Berlakunya selepas solat Subuh.

Setelah selesai menunaikan solat jenazah berjemaah, saya dan Kak Kasma menyambung untuk menunaikan solat sunat. Saya berniat untuk menunaikan solat sunat hajat. Ketika saya baru hendak mengangkat takbir, tiba-tiba terdengar dari saf pertama suara seseorang  menegur dengan kuat dalam bahasa Arab. ” Ya Hajjah, ya Hajjah La solat ba’da’ Fajr, Haram., haram ya Hajjah. Ba’da Asar, aidhon.” ( Ya Hajjah, tidak ada solat selepas Fajr. Haram… haram. Selepas Asar juga. (begitulah yang saya faham). 😀 Saya tidak jadi mengangkat takbir dan terus memandang ibu tersebut.

Dia memandang saya dengan senyuman mesra lalu memberi isyarat tangannya digoyang ke kiri dan ke kanan sambil menggelengkan kepalanya. Kemudian beliau memberi isyarat dengan mengangkat takbir dan meletakkan tangan ke perutnya. Beliau menggoyangkan lagi tangannya ke kiri dan ke kanan. Anak gadis di sebelahnya juga memberi isyarat yang sama. Saya mengangguk faham, membalas senyumannya dan mengucapkan “syukran ya Ummi, syukran. Barakallahulakom.” Dia membalas dengan wajah ceria dan mengucapkan, “alhamdulillah.” Kami saling berbalas senyuman. 

Saya menjelaskan kepada Kak Kasma apa yang dimaksudkan oleh ibu tua tersebut. Kemudian saya melihat sekeliling saya, sangat ramai sekali jemaah haji yang menunaikan solat selepas solat Subuh. Saya tidak tahu solat apakah yang didirikan oleh mereka. Apakah mereka juga tidak tahu seperti saya ?

Apakah benar tidak boleh bersolat selepas waktu Subuh dan selepas waktu Asar ?

Masya Allah. Saya jadi ingin tahu akan waktu yang dilarangkan bersolat ini. Saya berazam untuk mengetahuinya supaya saya lebih memahami agar tidak bertaklid (ikut-ikutan). Saya bersyukur kerana ada yang menegur, jika saya bersalah melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama. Saya menerima teguran itu dengan hati terbuka. Alhamdulillah.

Semoga mereka yang menasihati dan menegur saya dilimpahi Allah dengan ganjaran yang besar di sisi-NYA. Aamiin. Saya yakin tidak semua orang dapat ditegur dan menerima nasihat. Inilah yang berlaku kepada saya dalam kejadian DIALOG PANAS yang tidak saya duga demikian hebatnya. Dari sini, saya banyak belajar bersabar menghadapi manusia yang tidak saya kenali dan berusaha berkomunikasi dengan baik ketika menyampaikan maklumat.

Saya tidak pernah menunaikan solat sunat selepas solat Subuh dan selepas solat Asar semasa di Tanah Air seperti yang saya pelajari semasa pengajian. Tetapi melakukannya ketika berada di Masjid Nabawi kerana pernah mendengar bahawa tidak dilarang melakukan solat sunat selepas dua waktu fardhu tersebut di bumi Haramain (Madinah dan Maakah).  Rentetan dari hal ini, bermakna di Masjid Nabawi juga hukum yang sama tetap berlaku seperti di tempat lain. Tetapi bagaimana di Makkah ?

APAKAH WAKTU-WAKTU YANG DILARANG MENGERJAKAN SOLAT ?

Persoalan-persoalan di atas akan saya jelaskan dalam posting selepas ini. Harus difahami walaupun selepas Solat Subuh dan Solat Asar dilarang mendirikan solat-solat Sunat, terdapat juga pengecualiannya kepada beberapa solat Sunat yang disepakati ulamak.  Perbincangan ini juga akan memperlihatkan tentang KEISTIMEWAAN MAKKAH yang terkecuali dari larangan ini.

Pemandangan sesak selepas solat Isyak di tingkat bawah berhampiran dataran Kaabah, Baitullah di Masjidil Haram, Makkah. Saya dan SPH sudah melaksanakan Tawaf Sunat sebelum balik ke hotel. Tawaf di dataran Kaabah mengambil masa 40 50 minit untuk 7 pusingan.

****************

DIALOG PANAS

Kami ditakdirkan mendapat saf pertengahan untuk solat waktu Asar. Ruang solat sudah dipenuhi ramai jemaah. Mata saya masih mencari tempat yang sesuai untuk kami bertiga dapat solat bersama. Alhamdulillah, setelah lama berdiri memerhati, saya mengajak Kak Kasma dan Kak Senah mengikut saya kerana ada ruang untuk memuatkan tiga orang dalam satu saf. Di sana sudah duduk dua orang jemaah dari Malaysia yang dikenali melalui nama “Malaysia” dalam huruf jawi di atas kepala telekungnya.

Kami menghampar sejadah dan duduk mengemaskan diri masing-masing. Saya melihat teman sebelah saya mengalami sakit batuk dan batuknya kian larut memanjang. Saya menyapa hajjah tersebut yang perawakannya  dalam usia akhir 30-an. Seperti biasa, saya akan memanggil “kakak” kepada yang baru dikenali sebagai rasa hormat walaupun mungkin mereka lebih muda dari saya.

Kebanyakan para hajjah menyangka saya berusia  muda kerana raut wajah saya memperlihatkan “kemudaan” tersebut… hehehe. Mereka akan terkejut bila mendapat tahu usia saya sebenarnya. Aahhh… tinggalkan yang itu, nanti saya perasan seorang diri. 😀

Setelah duduk tenang, saya menyapa untuk berkenalan, mengenalkan diri dan bertanya tentang sakit batuknya. Namanya Kak Mi (nama samaran). Orangnya baik, cuma kurang ramah. Mungkin disebabkan batuk beliau bersikap demikian. Saya bersangka baik dengannya. Kak Mi dan temannya adalah rombongan haji menggunakan khidmat pakej travel  (swasta). Ini dimaklumi Kak Mi dan melihat kepada beg bimbit yang dibawanya.

Kami sekali sekala berbual tentang perkara-perkara berhubung dengan manasik haji. Sambil itu, batuknya pula semakin menjadi-jadi. Saya memberi sebiji gula herba batuk tradisional Cina – Nin Jiom bagi melegakan kegatalan kerongkong. Kak Mi menyambut mesra, mengucapkan terima kasih dan terus memakannya. Alhamdulillah, batuk beliau semakin kurang kedengaran. Hati saya rasa senang dapat membantu beliau.

****************

Selepas solat Asar dan solat jenazah, saya duduk berehat sambil memerhati kesesakan jemaah yang keluar dari masjid. Kami menunggu untuk beralih arah mencari saf pertama bagi solat Maghrib dan Isya. Bersamaan itu, saya dapati Kak Mi dan temannya menunaikan solat sunat (saya tidak tahu apakah solat yang dilakukannya). Hati saya rasa tidak tenteram dan mahu memaklumi Kak Mi tentang waktu yang dilarangkan untuk bersolat. Saya juga bimbang untuk memberitahu jika hal ini boleh membuat beliau kecil hati. Tapi saya bertekad untuk memaklumkan juga agar sama-sama dapat manfaat dari ilmu ini.

Setelah melihat Kak Mi selesai menunaikan solat sunat, saya memohon maaf terlebih dahulu, kemudian menanya solat yang dilakukannya sebentar tadi. Saya berusaha menyusun bahasa dengan baik agar tidak menyinggung perasaannya sambil memberi senyuman persahabatan. Kak Mi maklumi dia bersolat sunat biasa. Itu bererti sunat mutlak.  Saya menjelaskan bahawa tidak ada solat sunat selepas Asar, begitu juga selepas Subuh. Wajah Kak Mi berubah dan mula meninggikan suara.

“Kenapa pula tidak boleh ?, saya belajar dengan guru saya dulu, boleh bersolat selepas dua waktu ini.” Saya terkejut menahan diri mendengar suara KaK Mi yang sudah tidak ramah itu. Saya cuba mengawal diri dan menjelaskan bahawa hanya di Masjidil Haram sahaja dibenarkan solat sepanjang waktu, atas keistimewaan yang diberi Allah kepada Makkah. Tetapi Masjid Nabawi, keadaannya sama dengan masjid-masjid lain.

Tetapi Kak Mi tetap mempertahankan ilmu yang dipelajarinya. “Guru saya kata boleh, lagipun saya berpendidikan agama. Saya tahulah.” Saya jadi terkasima melihat sikap Kak Mi yang semakin marah. “Kak, saya juga belajar agama, tetapi kenapa akak belajar lain, saya belajar lain ya.” jelas saya dengan senyum sambil menenangkan hati.

Rupanya jawaban saya menambahkan kemarahan Kak Mi, “Begini ajalah ya, ILMU SAYA, ILMU SAYA dan ILMU AWAK, ILMU AWAK. Kita belajar lain-lain. Jadi, tak perlu kita bahaskan lagi tentang ini” Saya tergamam mendengar ucapan terakhir itu. Kebetulan sambil Kak Mi berkata-kata demikian, mata saya meliar mencari ruang solat yang kosong di saf hadapan.

“Astaghfirullah al-‘Azdhim, maafkan saya Kak. Semoga Allah mengampunkan kita. Terima kasih Kak, saya nak beralih saf di depan sana. Assalaamu’alaikum Kak.” ujar saya dengan cepat untuk menggelakkan dialog panas menjadi lebih panjang. Saya terus mengajak Kak Kasma dan Kak Senah berjalan ke depan apabila mendapati ruang jemaah semakin berkurangan orang.

Alhamdulillah, kami bertiga mendapat saf pertama dan berjemaah di sana sehingga selesai solat Isyak. Kak Kasma dan Kak Senah bertanya tentang perbahasan saya kerana mereka juga mendengar apa yang sedang saya dan Kak Mi bincangkan. “Tidak apa Timah, sabar sahajalah, awak sudah berusaha untuk memberitahu. Memang ada manusia yang tidak mahu menerima penjelasan orang lain,” jelas Kak Senah menenangkan saya. Saya hanya menggangguk kepala, mengiyakan dalam kekesalan hati kerana puncanya adalah dari saya. Tentu Kak Mi juga memikirkan hal ini.

Saya rasa sedih dan hanya berdiam diri, berzikir kepada Allah dan memohon keampunan atas apa yang terjadi. Banyak hikmah yang saya perolehi dari kejadian itu. Saya berterima kasih kepada Kak Mi kerana di sana saya belajar erti sabar dan tenang. Semua itu ujian Allah. Saya memaklumkan kepada SPH kejadian “DIALOG PANAS” setelah kami bertemu selepas solat Isyak. SPH menasihatkan saya agar jangan lagi menegur kesilapan orang lain kerana tidak semua orang mahu menerima teguran dan nasihat.

Jujurnya, saya tidak mahu berbalah dengan sesiapa di Tanah Suci ini, terutama di dalam masjid hanya kerana hendak mempertahankan fakta dan ilmu yang dipelajari yang belum tentu benar dan salahnya. Memang saya terasa hati atas sikap Kak Mi dengan jawaban yang sangat emosional, yang menurut saya boleh dibincangkan dengan baik tanpa perlu meninggikan suara. Saya merujuk kepada firman Allah yang bermaksud:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri , dan tidak boleh membuat maksiat, dan TIDAK BOLEH BERTENGKAR, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197).

****************

BELAJAR DARI KESALAHAN

Mengingati kejadian itu, saya mengucap panjang “Astaghfirullah al’Adzim”. Walaupun saya berpendidikan agama, ternyata ilmu saya masih belum mantap terutama dalam bab Fekah. Saya hanya belajar bab Fekah secara umum sahaja, bidang Usuludin yang saya pelajari di peringkat Ijazah Sarjana Muda tidak menyajikan ilmu ini secara mendalam. Saya mengambil pengajaran dari apa yang berlaku dalam “DIALOG PANAS” di atas, saya berazam untuk mencari maklumat  berhubung waktu yang dilarang untuk mengerjakan solat.

Saya mengakui bahawa saya harus belajar mendalami Kitab-Kitab Fekah. Berdasarkan banyaknya pengalaman yang melibatkan bab Fikah semasa melaksanakan ibadah  di Tanah Suci,  membuat saya berfikir dan selalu bertanya perkara-perkara yang menjadi kemusykilan saya.  Keadaan ini telah menimbulkan minat yang tinggi untuk mengetahui tentang ilmu Fekah dengan lebih lanjut.

Berputik dari rasa ingin tahu berkenaan ilmu Fekah, saya melaburkan wang yang banyak untuk membeli buku-buku muktabar yang dikarang oleh sarjana-sarjana Islam yang fakih dalam ilmu Fekah untuk menjadi sumber rujukan apabila timbul sesuatu persoalan yang muncul di benak fikiran. Antaranya adalah;

1. Ensiklopedia Shalat Menurut Al-Qur’an dan Al-Sunnah (Jilid 1 – 3), Dr. Said bin ‘Ali Wahf al-Qahthani (2008)

2.Ibanah al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram Subulus Salam (jilid 1 – 4), Alawi Abbas al-Maliki dan Hasan Sulaiman Al-Nuri (2011)

3. Himpunan Ilmu dan Hikmah – Huraian 50 Hadis Jawami’ al-Kalim (termasuk Hadis 40 Imam an-Nawawi) (Jilid 1 – 5), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali (2007)

4. Solat Empat Mazhab, ‘Abdul Qadir ar-Rahbawi (2012)

5. Terjemahan Al-Azkar Imam An-Nawawi: Jadikan Zikir Sebagai Amalan dan Penyuluh Hidup, Al-Imam Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf An-Nawawi (2010)

6. 400 Kesalahan Dalam Solat – Irsyad As-Salikin Ila Akhta’il Musallin -, Mahmud Al-Misri (2011)

7. Meraih Pahala Maksimum Dengan Solat-Solat Sunat, Mahmud Al-Misri (2012)

8. Kesilapan dan Kekeliruan Yang Sering Terjadi Ketika Solat, Hasan Salman (2010)

9. Metod Fatwa al-Qardawi Dalam Menangani Isu-Isu Semasa, Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani al-Azhari (2011)

10. Terjemahan Hadis Sahih Muslim (Jilid 1 – 4), 1987

11. Terjemahan Hadis Sahih Bukhari (Jilid 1 – 6), 1989

12. Terjemahan Tafsir Ayat Ahkam Ash-Shabuni (Jilid 1 -3), 1988

Alhamdulillah, dengan adanya buku rujukan di atas, dapat membantu saya memahami isu-isu berkaitan dalam menyelesaikan sesuatu persoalan. Jika tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan hadis-hadis di dalam buku -buku tersebut, saya akan berbincang dan merujuk kepada SPH bagi penerangan yang lebih jelas supaya tidak timbul kekeliruan.

Sangat menginsafkan saya, apabila saya dapati ilmu-ilmu yang ada pada saya sangat sedikit dari aspek perbahasan yang difahami secara mendalam setelah saya membaca buku-buku dari ulamak yang muktabar di atas. Alhamdulillah, semua peristiwa yang saya lalui di bumi Haramain banyak mengajar saya tentang syariat Islam.

Semoga apa yang didatangkan Allah dari seluruh perjalanan hidup ini, memberi kesan yang besar kepada perubahan hidup di dunia dan di akhirat. Juga buat semua yang membaca akan mengambil iktibar dari apa yang berlaku kepada pengalaman orang lain.

“Ya Allah, ampunilah hamba-MU. Aku adalah seorang yang selalu melakukan dosa dan kesalahan. Dariku seringkali muncul kesilapan dan kejahatan. Dalam diriku selalu ada kekurangan dan kelalaian. Sedangkan Engkau Maha Pemberi, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kasihilah aku, Ya Allah”


**************

10 Jun 2012 (Selasa)/ 29 Rejab 1433H/ 1035 malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. selalu berusaha mengambil segala peristiwa yang berlaku sebagai pedoman untuk menjadi lebih baik dari semalam. Jika aku ingin mengoncang dunia, aku harus mengoncang diriku sendiri dengan potensi yang dikurniakan. Jangan menyerah kalah jika mahu berada di awal garisan. Kekecewaan hanya akan membunuh semangatku untuk sampai di garisan penamat. Tidak ada yang mustahil jika hati ingin memiliki apa yang difikirkan baik untuk kesejahteraan diri. Dalam kamus orang yang mahu menjadi cemerlang, perkataan gagal tidak ada langsung.

– SITI FATIMAH AHMAD –

****************

****************

PERTEMUAN ITU… DAN KADANG-KADANG BAGAI MIMPI HADIRMU. AKU RINDU.


23 thoughts on “CT111. ILMU SAYA vs ILMU AWAK

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb….

    Setiap kemaafan yang diberi adalah tanda hati kita budiman. Emasmu adalah hatimu dan perakmu adalah kata-katamu. Semoga Allah memaafkan kita atas apa yang dilakukan dalam kehidupan ini.

    FORGIVE ME by MAHER ZAIN,

    DEDIKASIKU UNTUKMU…. Kemaafan itu telah lama ku siram dengan wangi mawar. Semoga kebaikan akan selalu menyusuri kehidupan kita. Mengerti dan memaklumi segala-galanya menjadikan kita pemaaf dan penyantun.

    Wassalaam. 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Haniifa yang dihormati…

      Alhamdulillah, senang menerima kunjungan yang sudah lama tiada khabarnya. Diharap selalu dalam kondisi yang baik dan diberkahi Allah.

      Terima kasih mas, sudi singgah kemari. Mudahan bisa memperolehi manfaat dari apa yang dicatatkan sebagai perkongsan bersama.

      Salam hangat kembali. 😀

      • Wah… banyak sekali manfaatnya blog ini, walaupun saya kurang aktif tapi sesekali senang mampir kesini walaupun hanya sekedar baca 😦

        Kalau tidak keberatan, mohon info tentang buku ini…. saya pernah mencari di bandung tapi tidak menemukannya.

        Hatur tengkiu sebelumnya 😀

        • Terima kasih, mas Haniifa atas kesudian hadir untuk membaca apa yang terkandung di sini walau tidak meninggalkan jejak.

          Tidak ,mengapa kerana terkadang kesibukan menyekat kita untuk berbuat yang lebih dari apa yang kita kehendaki. 😀

          Saya sudah membukla link ke ..buku ini… tetapi tidak faham apa yang mas maksudkan kerana tiada buku yang dikatakan di sana. Mohon penjelasan lagi.

          Mudahan saya bisa membantu untuk mendapat infonya.
          Terima kasih juga.
          Salam mesra. 😀

        • ups… sori, seharusnya draf buku ini .. 😀
          Saya juga kurang faham, apakah “beliau” jadi menuangkang sebuah buku atau tidak, yang jelas beberapa hasil analisisnya di publish pada FFI
          Kalau soal judul bukunya seputar AQ adalah hasil plagiat / jiplakan jika melihat temanya “Qouran ditulis dalam bahasa arab ??!!”

          • Subhanallah, bagaimana harus saya bantu mas Haniifa untuk mendapat info tentang rujukan yang diinginkan. Jika dapat dimudahkan gambaran penjelasannya, bisa saya memikirkan ke arah apa yang dimaksudkan. 😀

            Penulisan yang bersifat plagiat, sungguh menduka citakan jika ia terhasil dari seorang yang dianggap ilmuan oleh setengah masyarakat. Namun begitu, jika apa yang ditulis bisa membuka mata dan minda orang lain untuk dibahaskan, sungguh ia bermanfaat buat semua.

            Terima kasih mas Haniifa. 😀

  2. Assalaamua’laikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh Bunda

    selalu senang membaca tulisan disini.
    buku-buku diatas saya baru dengar 🙂
    dan jika masalah ilmu memang selalu bikin kita serba bagaimana gitu ya Bunda,
    tapi Niat Bundapun tersmpaikan 🙂

    saya setuju sekali Bun dengan Quote bila ingin mengguncang dunia maka kita harus mengguncang diri sendiri.

    Semangat untuk menebarkan manfaat Bunda

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Ardiansyah…

      Terima kasih Ardian, semoga mendapat manfaat dari sedikit kongsian pengalaman yang dilalui. Mudahan banyak kebaikan yang bisa menambah iman dan merubah kehidupan untuk menjadi lebih baik dari semalam.

      Buku-buku adalah taman ilmu yang dapat dibawa ke mana-mana. Buku tidak pernah cemburu kepada kita walaupun ia dimadukan. 😀 Jarang membaca mengakibatkan kita tidak mengetahui apa yang ditulis terutama buku-buku yang muktabar dan benar sifat penceritaannya.

      Semoga kita menjadi bertambah berilmu dengan mencintai ilmu. Kebijakan dunia terhasil dari kebijakan manusia yang optimis tentang kehebatan dirinya melalui potensi yang dibekalkan secara saksama. itulah maksud mengoncang dunia dengan diri sendiri dulu.

      Salam sejahtera Ardian.

  3. Astagfirullah.. terkejut saya membaca uraian “dialog Panas” di atas. Tak sangka bisa sebegitunya ya.. sampai terlajak ucapan ketus semacam itu di tempat dan kesempatan yang istimewa seperti di Masjid Nabawi itu. 😦 Rupanya ada juga tipe orang yang ikut “terbakar” di tengah panasnya padang pasir ya..

    Padahal Almarhum Ayah saya bercerita, selama di tanah suci hati ini senaaaang terus rasanya dan melihat sesama muslim itu–meski berlainan warna kulit dan bahasa–rasanya sangat sayang pada mereka semua. Bahkan Alm. Ayah bilang juga di sana hati tetap senang hingga letih tidak terasa. Padahal Ayah pergi berhaji seorang diri saja di usia beliau yang ke-82 ketika itu.

    Semoga Allah Swt. mengampuni segala dosa dan kekhilafan kita semua dan semoga setiap haji & hajah kembali dalam keadaan mabrur. Aaamiiin.

    • Salam hormat mas Muxlimo…

      Demikianlah Allah mahu menguji hamba-NYA dan sesiapa sahaja akan menerima ujian sebagai satu penilaian untuk mendidik diri menjadi hamba Allah yang bertakwa. Mudahan dengan kesabaran, Haji Mabrur dapat diperolehi.

      Kesabaran mesti sentiasa ditanam dalam diri sebelum berada di bumi Haramain ini. Kita tidak pernah menjangka apakah ujian yang bakal kita terima dan banykkan berdoa untuk dimudahkan segala urusan dengan bersangka baik kepada Allah swt.

      Apa yang saya hadapi tidak sehebat yang dihadapi oleh orang lain yang lebih menyentuh hati . Saya pernah melihat para hajjah yang duduk sebilik, bergaduh hampir setiap hari sehingga hari kembali ke Tanah Air.

      Saya mengkagumi almarhum ayahnda mas Muxlimo yang berusia 82 tahun tetapi masih kuat dan teguh dalam mengerjakan haji. Perasaan yang dilalui beliau, memang dilalui oleh banyak orang yang memahami erti kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam. Tidak semua para hujaj yang bersikap demikian, ramai yang sebaliknya.

      Semoga Allah mengampuni almarhum ayah mas Muxlimo di sisi-NYA bersama-sama orang yang soleh. Aammiin. Alfatihah buat beliau.

      Terima kasih atas kunjungan dan salam mesra selalu. 😀

  4. assalamualaikum.wr.wb

    alhamdulillah, setiap kali saya melakukan kesalahan, ada saja yang menegur dan menasihati.
    pernah ketika sedang shalat di mesjid, selesai shalat saya didatangi pria berjenggot dengan baju panjang. dia bilang jangan shalat di sini (samping pintu) karena tepat di samping pintu adalah tempat orang lalu lalang. saya telah membuat banyak orang berdosa karena keluar masuk pintu dan melewati depan saya yang sedang shalat tanpa mereka sadari.
    saya hanya mengangguk dan berterima kasih.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Komuter…

      Alhamdulillah, begitulah sepatutnya sifat seorang muslim lakukan apabila menerima nasihat dan teguran saudara muslimnya kerana Allah tidak akan mendatangkan orang lain untuk menegur kita jika tidak kerana sesuatu sebab yang harus diketahui. Mencontohi sikap mas Komuter yang dapat menerima teguran harus menjadi teladan kepada kita. Ini disebut sebagai berlapang dada.

      Kita sepatutnya berterima kasih atas perhatian saudara muslim yang sanggup membawa kita ke jalan yang benar. Jangan pula kita membantah dan saling menyalah semata-mata kerana berkecil hati sedangkan tujuan mereka adalha baik untuk kita.

      Semoga kefahaman yang dilakukan oleh mas Komuter dapat diikuti oleh orang lain. Mengganggu laluan manusia menjadikan mereka marah dan tentunya menimbulkan rasa tidak senang hati yang akhirnya mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengari, kemudian berlarut kepada menghasilkan dosa kering.

      Terima kasih atas kongsian yang mengesankan. Semoga selalu dalam barakah Allah swt.
      Salam hormat. 😀

  5. Pingback: CT112. WAKTU LARANGAN SOLAT « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  6. Pingback: CT126. MANUSIA ATAU ……. ? « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  7. Pingback: CT165. CABARAN HAJI (14): CABARAN HAJI MUDA | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.