CT497. ANDAI AKU

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

*

*

BERTEMU KEMBALI kepada semua sahabat pembaca LMGS G2, setelah sekian lama tidak aktif menulis. Mudahan dengan posting lama yang tersimpan tidak berkutik ini dapat menjadi asbab untuk kembali menulis lagi disela-sela kesibukan yang tidak mampu dihindarkan. Tidak pernah berniat untuk berhenti menulis. Insya Allah, akan berusaha berkongsi apa yang boleh dimanfaatkan.

 

*

ANDAI AKU…

 

ANDAI boleh…. aku ingin menjadi seekor burung atau apa juga jenis mergastua yang bersayap dua, mengerbang dan mengepak sayapnya selaju halilintar membelah ruang udara atau cakerawala. Pasti aku akan rasa bebas pergi ke mana sahaja yang aku suka.

Aku meredah udara sambil memandang kagum jelapang bumi yang jauh sayup-sayup ku tinggalkan dengan warna kehijauan melata. Gertak hatiku penuh sinis…..untung aku ada sayap dan tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk membayar kapal terbang. Itu… ANDAI boleh.

ANDAI dapat….aku ingin menjadi seekor ikan atau apa jua jenis haiwan yang boleh berenang dengan bernafaskan insang, bersisip cantik mewarnai seluruh pelusuk tubuhku yang berkilau di bawah sinaran dan pancaran mentari siang dan bundar cantik suluhan rembulan malam.

Pasti aku akan rasa segar bermandikan air laut masin, bersabunkan buih ombak putih, berwangikan rumpair segar hijau, malah aku akan menerjah bumi air dengan mengembara jauh ke dasarnya yang penuh misteri tanpa perlu menyelam dengan segala peralatan udara yang menyesakkan nafas dan memberatkan tubuhku jauh tenggelam membelah gelombang dalam.

Getus hatiku penuh sindiran….ahh….untung saja ada ekor, sirip dan insang. Tentunya aku tidak perlu membeli perahu, kapal atau menumpang kapal selam yang belum tentu aku dibenarkan masuk untuk melihat warna air yang beriak tari aloha yang penuh gemalai di hujung dalam lautan. Itu… ANDAI DAPAT.

ANDAI mampu…..aku ingin menjadi mawar hijau bergaul kuning pada tiap belahan kelopaknya umpama bunga Matahari yang menyerlah megah atau apa jenis bungaan yang indah menawan mata memandang, aroma wangi yang mengharum dan mengasyikkan setiap deria bauan yang menghidu. itu… ANDAI mampu.

Alhamdulillah…., sebenarnya aku lebih beruntung jadi MANUSIA.
MENGAPA beruntung ? Cari sendiri. Bodohnya…. ada manusia yang menyesal jadi manusia… lalu mahu menjadi APA ? 

ALLAHU ALLAH.

*

***************

10 Julai 2020 (Jumaat)/ 18 Zulkaedah 1441H/ 1030 pagi – Bandaraya Kuching, Sarawak

SalamFatima3SalamFatima

AKU… engkau dan dunia ini, selalu ada kenangan yang tersimpan dalam album ingatan. Kita sering mahukan hari yang cerah, indah dan segar. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Hakikatnya hujan perlu diturunkan agar kita menyedari tidak semua keindahan itu milik kita. Kita sering inginkan kesenangan, jauh sekali kesusahan. Tetapi kesusahan itulah yang mengajar kita erti kekuatan dan ketabahan agar kita lebih beriman dan bertakwa kepada-NYA.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

*

*

6 thoughts on “CT497. ANDAI AKU

  1. Assalamua’alaikum Bunda
    sejak 2012 sy tak main blog lagi dan sudah lupa pula dengan pass nya .. apa kabar Bunda ?
    semoga Bunda msh ingat sy, beberapa waktu lalu sy tugas dinas ke kuching … namun sayang sy tak tahu number bunda .. bila bunda tak keberatan tinggalkan jejak number phone di blog baru sy, salam hormat from indon

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Huna….

      Alhamdullah, bunda sihat. Didoakan Huna juga dalam rahmat Allah. Semoga akan terus aktif menulis dan berbagi manfaat dengan pembaca. Nilai baiknya di sisi Allah. Insya Allah.

      Terima kasih sudah berkunjung lagi ke LMGS G2.
      Salam sejahtera selalu.

  2. Assalamualaikum ustazah,

    Masya Allah. Tersentuh saya membaca hasil tulisan ustazah. Dengan menggunakan bahasa yang indah dan isi yang bermanfaat. Sungguh menyentuh hati. Memang benar kita sering mahukan kehidupan yang dihiasi dengan warna warni, namun perlunya juga kepahitan untuk menjadi pengajaran hidup. Membaca tulisan ustazah mengingatkan saya pada suatu ketika, saya melihat ke langit dan kebetulan burung terbang melimpasi pandangan saya. Lalu, terlintas dalam fikiran “alangkah indah menjadi burung, terbang bebas tanpa memikirkan masalah”. Namun begitu, menjadi burung ada risikonya. Oleh itu, saya bersyukur menjadi manusia. Sebesar apapun masalah, sepahit apapun masa lalu, ia perlu dijadikan sebagai pengajaran dengan memikirkan hikmah disebaliknya. Yang pahit itu pasti ada manisnya.

    Selain itu, saya amat tersentuh dengan ayat ” kesusahan itulah yang mengajar kita erti kekuatan dan ketabahan agar kita lebih beriman dan bertaqwa kepada-NYA”. Kesusahan itu saya umpamakan sebagai satu anugerah. Walaupun sakit dilalui, namun ia seperti latihan untuk kita terus kuat dan tabah, serta bergantung kepada Allah sepenuhnya. Ia juga memberi kesedaran kepada kita bahawa hidup tak selamanya indah, namun terselit juga kesulitan supaya kita tidak leka akan keindahan duniawi. Saya yakin, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kesulitan dan kesusahan. Selain daripada mengajar erti kekuatan dan ketabahan, ia juga mengajar kita untuk memahami kesusahan orang lain juga. Oleh itu, saya akan sedaya upaya untuk berfikiran positif di atas setiap apa yang berlaku. Saya cuba untuk menerima semua pahit manis yang tertulis dalam suratan takdir saya. Doakan saya ustazah semoga sentiasa berfikiran terbuka dan menjadi seorang yang bermanfaat untuk ummah.

    Terima kasih atas nukilan ustazah yang membuka minda. Semoga ustazah sihat selalu. Jazakillahu khairan kathiran ustazah.

  3. Alhamdulillah, saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berguru dengan Ustazah. Terdetik satu perasaan kagum dengan nikmat Allah kurniakan kepada Ustazah apabila membaca bait tulisan Ustazah.Timbul keinsafan yang mula meruntuhkan ego ini, hati mula berpaling arah dari yang jauh mula mencari-cari pangkal jalan hakiki.
    Selama ini, terlalu banyak keluhan demi keluhan yang meniti di bibir ini hingga lupa memanfaatkan masa yang berharga ini untuk berselawat ke atas kekasih Allah dan mengucapkan zikrullah.
    Jika sebelum ini, hanya kelebihan pada orang lain yang ditagih, sekarang saya sedar bukan itu yang harus dijadikan sasaran. Tetapi, saya seharusnya menghargai diri saya dan perbaiki diri saya seterusnya sentiasa menagih kasih dari sang Ilahi dengan mancari redhaNya dalam setiap perkara yang dilakukan. Berharap juga agar masa-masa akan datang, saya akan menjadi hamba Allah yang bersyukur dan istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab saya sebagai Hamba Allah dan bukan hamba dunia.
    Terima kasih Ustazah atas perkongsiaan penulisan yang begitu memukau hati ini untuk terus bersyukur atas setiap nikmat Ilahi. Semoga pena Ustazah terus lancar dan menjadi asbab penyatuan kita semua di syurga kelak, Insya Allah.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.