CT113. SOLAT YANG DIBOLEHKAN DALAM WAKTU LARANGAN

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Setelah memahami penjelasan yang dibincangkan secara ringkas dalam posting CT112. WAKTU LARANGAN SOLAT, saya akan menfokuskan lanjutan tentangnya berhubung dengan solat-solat sunat yang dibolehkan untuk kita melakukannya dalam waktu larangan. Solat-solat yang dibolehkan ini HANYA dilakukan ATAS SEBAB-SEBAB TERTENTU yang telah ditetapkan dalam syariat.

Namun begitu, terdapat perselisihan ulama Mazhab (Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi) berhubung dengannya bersandarkan kepada hujah dan dalil hukum masing-masing. Untuk makluman, semua perbahasan berkaitan masalah Fekah di dalam tulisan-tulisan saya, keseluruhannya adalah merujuk kepada hujah yang dibahaskan dalam Mazhab Imam Syafi’e rhm. Inilah Mazhab yang dipegang oleh kebanyakan umat Islam di Asia Tenggara.

APAKAH SOLAT YANG DILARANG ?

Secara logiknya, apabila kita membincangkan tentang SOLAT YANG DIBOLEHKAN KERANA SESUATU SEBAB, tentu terdapat pula SOLAT YANG DILARANG untuk dikerjakan dalam WAKTU LARANGAN ini. Oleh itu, kita harus tahu supaya tidak melakukan solat secara membabi buta (melulu) tanpa mengetahui tentang solat yang dilarang tersebut. Perkara ini diperselisihkan oleh ulama fekah. Ulama berpendapat terdapat dua solat yang dilarang iaitu;

Pertama, SEMUA SOLAT.

Kedua, SOLAT SUNAT MUTLAK,  iaitu solat sunat yang tidak terikat dengan waktu dan boleh dilakukan bila-bila masa tanpa memerlukan sebab tertentu kecuali waktu-waktu yang dilarangkan solat. Jumlah rakaat tidak terbatas dan dilakukan dengan  2 raka’at – 2 rakaat.

Sebagaimana kita ketahui, solat sunat ada DUA JENIS iaitu;

(1) Solat Sunat Mutlak

(2) Solat Dzatul Asbab (solat yang dikerjakan kerana sesuatu sebab)

Berdasarkan pembahagian ini, jelas bahawa HANYA SOLAT DZATUL ASBAB BOLEH dilakukan dalam waktu yang dilarang solat. Manakala, SOLAT SUNAT MUTLAK ADALAH DILARANG.

Imam Asy-Syaukani berkata, “Para Ulama berselisih pendapat mengenai solat sunat yang memiliki sebab seperti solat Tahiyatul Masjid, solat Sunat Wudu’, solat Dua Hari Raya, solat Istisqa’, solat Gerhana, solat Jenazah dan solat yang diQADAK termasuk solat sunat dua rakaat Fajar (Subuh) dan sunat Asar, jika belum dilakukan sebelum solat fardhu kerana ada halangan. Begitu juga dengan solat Sunat Tawaf.

Menurut Mazhab Syafi’e, semua solat di atas (SOLAT BERSEBAB), diperbolehkan tanpa makruh. Tetapi Mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi adalah DILARANG berdasarkan keumuman hadis.

Meneliti larangan solat ke atas SEMUA SOLAT menurut Mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi, mengingatkan saya akan larangan dari ibu tua berbangsa Turkistan dahulu. Kerana itulah, ramai para hajjah dari negeri bermazhab ini tidak menunaikan solat dalam waktu larangan berbanding jemaah haji dari negara yang berpegang dengan Mazhab Syafiee. Tetapi tidak diketahui apakah solat sunat yang mereka dirikan dalam waktu larangan.

Setelah memahami penelitian dari pelbagai buku di mana saya tidak pernah berpuas hati terhadap perbahasan dalam buku-buku tersebut sehingga saya menyakini hujjahnya yang jelas, barulah saya berkongsi di sini dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami semua pihak. Yang jelas kini, ceteknya ilmu yang ada pada saya selama ini.

Bagaimana dengan anda ?

Through the lens of  Peter Sanders, Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah

****************

SOLAT YANG DIBOLEHKAN KERANA SEBAB TERTENTU

Perbahasan tentang WAKTU LARANGAN SOLAT amat penting untuk diketahui oleh semua Muslim walau di mana sahaja berada. Pengalaman saya di Masjid Nabawi memperlihatkan betapa ramai para hujjaj yang menunaikan solat sunat selepas waktu larangan ini. Tetapi tidak diketahui apakah solat-solat yang dilakukan.

Saya tidak bersangka buruk kepada mereka kerana ada kemungkinan mereka lebih mengetahui dari saya. Oleh itu, saya yang tidak tahu dan faham tentang adanya solat yang dibenarkan dalam waktu larangan harus belajar untuk tahu dan mendalami “keistimewaan” solat-solat tersebut.

Berikut, beberapa solat sunat sebagai contoh kepada sebab-sebab DIBOLEHKAN dalam waktu larangan. Mudahan kita memahami dan tidak prasangka kepada sesiapa sahaja Muslim yang mendirikan solat di waktu larangan ini, menurut pendapat Mazhab Syafi’e.

1. SOLAT SUNAT TAHIYATUL MASJID

Masjid merupakan rumah Allah yang mesti dimulia dan dihormati. Allah menjadikannya tempat suci. Rasulullah saw menganjurkan agar setiap Muslim yang memasuki masjid mengerjakan dua rakaat sebagai penghormatan kepadanya (masjid).

Dari Abu Qatadah r.a, Rasulullah saw bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk dua rakaat sebelum duduk.” – Muttafaq ‘alaih.

Dari Jabir r.a dia bercerita bahawa Sulaik al-Ghathafani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah saw tengah menyampaikan khutbah lalu di (Sulaik) duduk. Baginda saw pun berkata kepadanya: “Wahai Sulaik, berdiri dan rukuklah dua rakaat serta pendekkanlah (segera) dalam menjalankannya.” Kemudian Baginda saw bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat, sedang imam tengah berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat (tahiyatul masjid) dan pendekkan dalam mengerjakan keduanya.” – Muttafaq ‘alaih.

Imam Nawawi rh menyatakan, di dalamnya terkandung pengertian disunatkan memberi penghormatan kepada masjid, dua rakaat setiap kali memasukinya. Mengikut pendapat Jumhur, hukumnya SUNAT MUAKKAD bagi orang yang masuk masjid bila-bila masa.

2. SOLAT KETIKA TIBA DARI MUSAFIR YANG DIKERJAKAN DI MASJID

Seorang Muslim, apabila datang dari suatu perjalanan, hendaklah mengerjakan solat dua rakaat di masjid belum pulang ke rumahnya.

Jabir r.a bercerita, “Rasulullah saw pernah membeli seekor unta dariku. Ketika tiba di Madinah, baginda menyuruhku untuk mendatangi masjid untuk mengerjakan solat dua rakaat.” – Muttafaq ‘alaih.

Dari Kaab bin Malik r.a. “Rasulullah saw tidak datang (dari berpergian) melainkan pada siang hari, waktu Dhuha. Jika datang, baginda saw memulakan kedatangannya di masjid lalu mengerjakan solat dua rakaat, kemudian duduk di dalamnya.” – Muttafaq’alaih.

Imam an-Nawawi rh menjelaskan, di dalam hadis di atas terkandung pengertian disunatkkan solat dua rakaat bagi ORANG YANG BARU DATANG DARI PERJALANAN. Solat itu bukan solat Tahiyatul Masjid.

3. SOLAT SUNAT WUDUK 

Solat ini SUNAT MUAKKAD, yang boleh dilakukan bila-bila masa baik malam mahupun siang. Hal ini disandarkan kepada hadis Abu Hurairah r.a bahawa Rsulullah saw pernah berkata kepada Bilal ketika saat solat Subuh.

“Wahai Bilal, beritahukan kepadaku mengenai amalan yang paling berharga yang pernah kamu kerjakan dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar hentakan terompahmu di hadapanku di syurga ? Bilal menjawab, :Aku tidak mengerjakan amalan apapun yang berharga kecuali aku bersuci (berwuduk) sama ada siang ataupun malam. Dengan bersuci itu, aku mengerjakan solat yang ditetapkan kepadaku untuk dilakukan.” -Muttafaq ‘alaih.

Imam an-Nawawi rh menjelaskan, hadis di atas mengandungi makna keutamaan solat setelah selesai berwuduk. Hukumnya adalah SUNAT.  Solat Sunat Wuduk boleh dikerjakan pada WAKTU-WAKTU YANG DILARANG mengerjakan solat kerana memiliki sebab. 

Dalil yang memperkuatkan hukum sunat solat ini adalah hadis Usman r.a, bahawa dia pernah berwuduk secara sempurna lalu berkata:

“Aku pernah menyaksikan Nabi saw berwuduk seperti wudukku ini, kemudian bersabda: “Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudia mengerjakan solat dua rakaat tanpa berbicara dengan diri sendiri dalam solat itu, maka Allah akan memberikan ampunan atas dosa yang telah dilakukannya.” – Muttafaq ‘alaih.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan bahawa setiap hadas akan diikuti dengan wuduk dan setiap wuduk akan diikuti dengan solat setiap saat. Begitu juga menurut pilihan Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyyah bahawa solat sunat Wuduk boleh dilakukan bila-bila masa sekalipun pada waktu larangan solat.

MAKLUMAN: terdapat banyak lagi solat-solat sunat yang dibenarkan dalam waktu larangan atas SEBAB-SEBAB YANG DIBOLEHKAN. Silakan merujuk sendiri untuk mendalami tentang ini. 😀

****************

KEISTIMEWAAN KOTA MAKKAH

Through the lens of  Peter Sanders, fotografer profesional antarabangsa yang saya kagumi dan minati seni fotografinya. Asal beragama Kristian dan kini seorang Muslim bernama Abd al-Adheem, 66 tahun dan sudah menunaikan haji setelah 3 bulan memeluk Islam. Semoga Allah merahmati beliau.

Kota Makkah mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh tempat lain di muka bumi ini. Padanya terdapat Kaabah, Baitullah yang menjadi tujuan haji bagi seluruh umat Islam untuk berhimpun padanya dengan aman dan mendapat rahmat Allah. Penduduknya adalah keluarga Allah.

Kota barakah ini juga merupakan tempat yang paling suci untuk beribadah kepada Allah swt. Allah telah mensyariatkan ibadah tawaf di dalamnya dan menjadikannya sebagai kiblat solat serta pusat aktiviti amal ibadah. Maka tempat ini tidak pernah kosong walau sesaatpun sama ada di waktu malam ataupun di waktu siang.

Atas keistimewaan yang dikurniakan itu, tidak ada larangan untuk melakukan solat di Masjidil Haram di setiap waktu, walaupun dalam waktu larangan. Daripada Jubair bin Muth’im r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda;

“Wahai Bani Abdul Manaf,  janganlah kamu  melarang sesiapapun untuk melakukan tawaf di Baitullah ini dan  juga bersolat pada bila-bila masa sahaja yang dia kehendaki, sama ada pada waktiu malam ataupun siang hari.” -Diriwayat  oleh al-Khamsah dan diniali sahih oleh al-Tirmizi dan Ibn Hibban

Salim bin Abdillah r.a menjelaskan bahawa Ibnu Umar r.a tidak melarang seseorang melakukan tawaf tujuh pusingan selepas Asar atau selepas Subuh dan menunaikan solat dua rakaat.

Menurut pendapat Imam Syafi’e bahawa tidak dimakruhkan (tidak dilarang) mengerjakan TAWAF dan SOLAT di Baitullah pada waktu apa sekalipun sama ada malam ataupun siang hari. Hal ini tidak dikhususkan untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat tawaf tetapi mencakupi seluruh solat sunat.

Pemandangan para hujaj sedang melaksanakan tawaf di Baitullah, Masjidil Haram dari Tingkat 1. Foto ini diambil selepas menunaikan solat Dhuha, sebelum pulang ke hotel untuk sarapan pagi.

Sumber Rujukan:

(1) Ensiklopeia Sholat Menurut al-Quran dan as-Sunnah (Jilid 1), Dr. Said bin Ali bin Wahf al-Qahthani (2008)
(2) Ibanah al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram Subulus Salam (jilid 1), Alawi Abbas al-Maliki dan Hasan Sulaiman Al-Nuri (2011)
(3) Rahsia Mekah, Jejak Rasul 1, ‘Atiq bin Ghaits al-Biladi (2009).
(4) Solat Empat Mazhab, ‘Abdul Qadir ar-Rahbawi (2012)
(5) 400 Kesalahan Dalam Solat – Irsyad As-Salikin Ila Akhta’il Musallin -, Mahmud Al-Misri (2011)
(6) Meraih Pahala Maksimum Dengan Solat-Solat Sunat, Mahmud Al-Misri (2012)
(7) Kesilapan dan Kekeliruan Yang Sering Terjadi Ketika Solat, Hasan Salman (2010)

***************

Alhamdulillah, saya  bersyukur kerana persoalan-persoalan yang timbul semasa di Masjid Nabawi tentang waktu larangan dan solat yang dibolehkan dalam waktu larangan yang tidak saya perolehi jawabannya semasa di sana, sudah saya catatkan di sini setelah merujuk banyak sumber supaya dapat dikongsikan bersama para pembaca terutama bakal haji. Mudahan perkongsian bermanfaat ini akan membantu para haji  semasa di Tanah Suci.

PERINGATAN: Tidak semua maklumat dapat saya paparkan di sini kerana terdapat perbahasan yang panjang yang mungkin tidak sempat dikongsikan terutama dalam SOLAT YANG DIQADAKKAN. Harap, para pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkara ini, merujuk sendiri kepada buku-buku berkaitan BAB SOLAT berhubung dengan Waktu Larangan dan Solat Yang Dibolehkan Dalam Waktu Larangan.  Bila mencari sendiri, ilmu akan lebih mantap dan kefahaman akan lebih mengukuhkan hati untuk menguatkan iman kita. 😀

Menunaikan haji banyak memberi pendidikan kepada kita untuk menjadi hamba Allah yang sabar dengan segala pelaksanaan ibadahnya. Mengajar kita untuk menjadi orang yang bersedia menerima tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah. Memberi peluang untuk kita mendisiplinkan diri dan sedar siapa kita sebenarnya di sisi Allah swt.

Kesukaran yang dihadapi dari kekurangan infrastruktur yang disediakan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi akibat dari terlalu ramainya manusia sama ada di Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina, hendaklah ditempuh dengan hati yang redha, bersungguh-sungguh dan alami semua kesusahan itu dengan sepenuh jiwa agar hati tenang dan bahagia.

Saya mendoakan bakal haji yang akan menunaikan ibadah Rukun ke-5 ini, dapat melaksanakan segala manasik haji di semua masya’irnya  dengan ilmu dan pengetahuan yang tidak merugikan diri sendiri jika benar-benar ingin memperolehi HAJI MABRUR.  Aamiin.

INGATLAH… Kita hanya menempuh perjalanan haji ini SEKALI DALAM SEUMUR HIDUP. Belum tentu kita akan dapat melaluinya lagi di tahun-tahun lain tanpa izin dari TUAN RUMAHnya, Allah Yang Maha Berkehendak yang telah menjemput kita.


**************

1 Julai 2012 (Ahad)/ 11 Syaaban 1433H/ 9.09 malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. mengharapkan kemenjadian hidup ini dalam limpahan cinta dan sayangmu. Ku persembahkan kepadamu yang terindah dalam hidupku. Meskiku rapuh dalam langkah, kadang tak setia kepadamu. Namun cinta dalam jiwa hanyalah padamu. Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintaimu dalam dada ku harap hanya dirimu yang bertahta. Tidak ada hidup yang sempurna tanpa resah dan damai bersama. Hanya doa dipohon untuk selalu berada dalam naungan kasihmu.

– SITI FATIMAH AHMAD –

****************

HARGAILAH SETIAP PERKARA YANG PERNAH MENGHADIRKAN SENYUMAN INDAH DI HATIMU


13 thoughts on “CT113. SOLAT YANG DIBOLEHKAN DALAM WAKTU LARANGAN

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Ya Rasulullah, rindu itu bertamu untuk hadir di sisimu.
    Setiap rindu yang hadir, tertulis padanya cinta yang mendalam untuk ku bicarakan suatu hari nanti. Semoga ada izin dari Tuhanku untuk berbicara denganmu walau hanya sekadar dalam mimpi.

    Aku sangat rindu padamu ya Habibi.
    Assalamu ‘alaika Ya Rasulullah.

    DEDIKASIKU UNTUKMU… menyapa rindu yang selalu ada untukmu dalam kejauhan yang menukil batu-batu zikir kasih yang tidak pernah padam. Di sana ada cerita indah yang selalu aku ingin kongsikan. Tetapi tidak kesampaian.

    Wasalaam. 😀

  2. Assalamu’alaikum wr.wb

    Meski dalam waktu yang dilarang, tiga shalat tersebut termasuk yang diperbolehkan ya, Mbak. Alhamdulillah, sore ini saya mendapatkan pelajaran penting berkaitan dengan agama, termasuk keistimewaan Kota Makkah. Makasih banyak ya, Mbak Fatimah.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…

      Mudahan apa yang dikongsikan ini bermanfaat buat semua yang membaca dan mengambil kebaikannya untuk diamalkan.

      Membincangkan ilmu berkaitan bab Fekah amat luas dan jika tidak difahami secara berguru atau membaca dengan kefahaman yang jitu pasti boleh memudhratkan. Alangkah baik jika ditempat kita ada pengajian-pengajian khusus dalam membicangkan bab Fekah, Sirah, Hadis, Aqidah dan sebagainya.

      Terima kasih mas Amazzet atas kunjungan.
      Salam sukses selalu. 😀

  3. sahabat, ternyata kalau kita amati di sekitar rumah kita (tetangga) banyak usia anak-anak dan remaja ISLAM yang tidak bisa membaca Al-Qur’an parahnya lagi mereka sudah tidak belajar baca Al-Qur’an. punya solusi?bagi donk?

    • Senang dikunjungi mas Bchree kembali. Sudah lama tidak saling berkunjungan.

      Solusinya ada di tangan masyarakat yang perihatin terhadap golongan remaja yang tidak pandai membaca al-Quran ini.

      Jika mas Bchree bisa mengorbankan sedikit masa membuka kelas pengajian Iqrak dan mencari usaha menarik minat mereka ke arah itu, sudah cukup sebagai permulaan dalam menarik hati mereka.

      pendekatannya adalah dengan berbaik sangka dan mendekati mereka secara mesra sebagai anak, adik atau kawan.

      Semoga sedikit saranan ini bisa membuka ruang besar untuk memikirkan yang lebih kondisuf.

      Terima kasih dan semoga mas Bhcree diredhai Allah atas usaha memikirkan masalah ummah. Aamiin.

      Salam sejahtera. 😀

  4. Pingback: Orang Baduy klaim turunan Nabi Adam « حَنِيفًا

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.