CT165. CABARAN HAJI (14): CABARAN HAJI MUDA

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuh

CabaranHjMudaFatima1Cabaran14

Menunai haji dalam usia muda menjadi impian bagi yang mampu mengerjakannya. Kemampuan berhaji biasanya dimiliki oleh mereka yang berusia 35 tahun ke atas kerana  sudah mempunyai kerjaya tetap. Jika bijak mengurus wang di usia muda dengan menyimpan setiap bulan, memudahkan proses mengerjakan haji lebih awal dari yang disangka seperti yang telah saya tulis di dalam CT163. CABARAN HAJI (12): HAJI KANAK-KANAK.

Ibadah haji mengandungi sejuta pengajaran untuk menjadikan kita, manusia beriman, bertakwa dan cemerlang dalam hidup. Sebagai kemuncak dari Rukun Islam yang menandakan kesempurnaan segala kewajiban sebagai muslim, tentulah ibadah haji bukan sebarang ibadah yang dapat diremeh dan dipandang ringan. Pekerjaan haji memerlukan ilmu dan kebijaksanaan akal. Haji adalah IBADAH PROFESIONAL.

Oleh itu, setiap pelaksanaan Rukun Haji dan Wajib Haji hendaklah dipelajari dan difahami agar kesempurnaan ibadah haji mendatang impak yang memanfaatkan roh dan jiwa pelakunya. Mudahan haji yang dibuat akan diterima sebagai haji makbul dan haji mabrur. Jika tidak, terjadilah cabaran-cabaran yang boleh mengalih perhatian niat kita untuk mencapai tujuan haji sebenarnya sehingga haji boleh menjadi mardud (ditolak).

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka TIDAK BOLEH MENCAMPURI ISTERI  dan TIDAK BOLEH MEMBUAT MAKSIAT dan TIDAK BOLEH BERTENGKAR, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah…. “ (al-Baqarah: 197).

Saya hanya mengambil sedikit dari pengalaman yang dilalui dan diperhati sebagai teladan dan sempadan yang boleh dijadikan persediaan buat pembaca yang akan menunaikan ibadah haji di kemudian hari. Sesungguhnya untuk meraih Haji Mabrur mempunyai tempat yang istimewa dan tersendiri di sisi Allah SWT kerana Haji Mabrur tidak ada di mana-mana tetapi ada di HATI. Hatilah yang memilih untuk menjadi apa yang kita inginkan sebagai TETAMU ALLAH SWT.

PELBAGAI CABARAN

Tidak kira bangsa, budaya, darjat atau rupa, semuanya sama. Asal bernama MANUSIA. Di mana pun berada sama ada di Tanah Air atau di Tanah Suci, jika tidak bersedia dengan segala penawar penyakit hati, maka pelbagai sikap dan tingkah olah para hujjaj akan ditemui jika rajin memerhati. Dalam banyak keadaan, Haji Muda selalu ke depan dalam cabaran yang menguji setiap perjalanan kehidupan yang ditempuh sepanjang kembara iman.

Cabaran yang dimuatkan di sini lebih berbentuk menilai kelemahan yang tanpa disedari bermuasal dari bisikan syaitan yang berupa dakyah dan tipu daya semata-mata. Kita harus berwaspada dengan segala strategi syaitan untuk melalaikan kita dalam meraih keredhaan Allah SWT.

Tidak dapat dinafi, banyaknya kelebihan yang dimiliki oleh Haji Muda seperti yang telah saya jelas di dalam CT164. CABARAN HAJI (13): HAJI MUDA,  Dengan kelebihan yang ada, Haji Muda mampu melaksanakan pekerjaan haji dengan baik dan sempurna. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT menjadi kunci dalam usaha mengintip jalan ke syurga.

Haji Muda mempunyai cabaran tersendiri yang sangat menarik untuk diceritakan. Haji Muda sering dikait dengan pelbagai “keinginan” sehingga menimbulkan banyak peluang untuk “digoda syaitan” melalui aktiviti yang boleh mengocak iman. Saya dan SPH berusaha sejak di Tanah Air untuk bersedia menepis segala aktiviti yang boleh melalaikan dengan mencari sebanyak mungkin informasi bagi memastikan niat haji dapat dilaksana dengan sempurna dan berkesan.

Mari kita teliti beberapa cabaran yang sering ditempuh oleh Haji Muda dalam proses menghidupkan diri di Tanah Suci. Semua cabaran ini merupakan latihan rohani untuk meningkat iman dan takwa kepada Allah SWT. Jika cabaran tersebut dapat dibuat refleksi, pasti kita akan berusaha membaiki diri dan menjadi hamba yang lebih bersyukur serta qanaah dengan segala ujian yang dihulur dari langit untuk mendidik jasmani, emosi, rohani dan intelek kita sehingga akhir hayat.

1. CEPAT MARAH

Usia muda biasanya dikaitkan dengan DARAH MUDA. Haji Muda mudah dihurung emosi bergelora yang membara. Jiwa dalaman diselaputi pelbagai emosi yang boleh berubah dengan mendadak apabila menghadapi situasi yang berbeza dan sesuai dengan kondisi yang dialami.  Jika gembira, tenang dan sabar, maka tenteramlah segala sikap yang ditunjukkan. Aman dan damai segala perjalanan hidup yang dilalui tanpa ujian berat melanda jiwa.

Namun sebaliknya, apabila diri diuji oleh kelakuan manusia yang tidak semena-mena menunaskan nafsu amarah, akan memunculkan emosi yang beragam negatif. Jika tidak ditangani dengan sabar dan istighfar tentu akan mencetus perbuatan yang memalukan diri sendiri serta menyusahkan orang lain. Posting CT111. ILMU SAYA vs ILMU AWAK mengajar saya untuk belajar bersabar dan cepat lari dari masalah yang hadir agar tidak melarut jauh sehingga menikam hati. 

Begitu juga dengan CT125. AKU DIUJI LAGI, yang boleh menimbulkan ketegangan jika hati tidak disirami dengan kasih sayang. Allah menguji tetamu-NYA dengan pelbagai cara. Haji Muda berpotensi menunjukkan sikap agresif apabila menghadapi sesuatu masalah dan cabaran. Emosi mudah bergelora melalui suara  tinggi, tingkahlaku kasar, bahasa yang melukakan hati dan jauh budi pekerti. Saya berusaha untuk menghadapi semua sikap “tidak mesra” dari sesiapa dengan sabar.

Malah kemarahan SPH yang muncul sekali sekala, cuba saya tangani dengan tenang. Berdiam diri lebih baik supaya tidak berlaku perselisihan. Saya berusaha mengendali diri dari dikuasai marah dan berburuk sangka. Ingat ! Syaitan selalu berusaha memalingkan kita dari jalan Allah SWT. Saya berdoa agar sentiasa tabah dan bersikap terbuka apabila menghadapi situasi yang tidak disangka akan menjelma. Jangan ikut hati dan rasa. Buruk padanya. Bersabar lebih baik kerana Allah SWT bersama dengan orang yang sabar.

Melalui pemerhatian, Haji Muda lelaki mudah marah berbanding Haji Muda wanita. Apabila menghadapi keadaan yang kurang berkenan di hati, akan terlihat sikap tidak senang di wajah dan tingkah. Pelbagai sikap yang muncul dari perasaan ini berakibat dari kurang sabar, ego dan mementingkan diri sehingga orang lain teruji sama. Demikianlah syaitan berusaha memprovokasi kesukaran hidup yang dilalui di Tanah Suci agar manusia tersasar niat dan berpaling dari tujuan sebenar haji.

“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-KU, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” – al-Isra’ : 53.

*

2. KURANG SABAR

Banyak keadaan saya perhatikan, Haji Muda tidak sabar berhadapan dengan keadaan yang menyesakkan kehidupan. Mungkin sudah biasa dengan keselesaan hidup dan kemudahan yang dinikmati semasa di Tanah Air. Tambah lagi diri itu berharta, berdarjat dan berjawatan tinggi. Lalu merasa diri harus dilayan baik dan dihormati. Kesannya, apabila bersua dengan kesulitan hidup di Tanah Suci menimbulkan pelbagai reaksi tersendiri. Tidak mampu berdikari. Ingin dilayan rapi sesuai dengan penampilan diri. Masya Allah, semua itu tidak ada lagi di Tanah Suci. Yang ada di sisi Allah SWT hanyalah mereka yang BERTAKWA.

Beberapa contoh yang boleh diambil, (1) ketika sedang bertawaf, seringkali Haji Muda dilanda emosi apabila dilanggar dari pelbagai arah sehingga mencetuskan suasana tawaf yang tegang dan perlu disabarkan. Belas ihsan sudah tidak timbul di hati. Orang sakit atau cedera sudah tidak dipeduli. Akibatnya berlaku ketegangan yang memunculkan ragam emosi apabila rempuhan manusia yang bertali arus membuat darjah kepanasan menaik tinggi. Astaghfirullah, demikian zikir keampunan saya baca nafsi-nafsi.

Terfikir dalam diri, apa yang dikejarkan dalam bertawaf ini sehingga ingin cepat dan laju melakukan pusingannya. Tawaf adalah ibadah yang sepatutnya dilakukan dengan tenang sambil berdoa dan berzikir kepada Allah SWT tanpa berkeluh kesah dan kerut dahi menahan sakit jasmani dan sakit hati. Kerana mengejar untuk mencium Hajarul Aswad, manusia bermati-mati untuk mencari jalan ke arahnya sehingga berlaku tolak menolak dan sikap kurang sopan. Rasa malu melihat keadaan begini seolah-olah sudah hilang jati diri sebagai Tetamu Allah yang dihormati.

Contoh (2). Menunggu giliran memasuki tandas yang memakan masa lama, selalu mencetus emosi di kalangan Haji Muda. Sering Haji Tua menjadi “mangsa”. Tidak dipeduli kelemahan dan ketuaan mereka. Haji Muda tidak mahu mengalah dan tidak puas hati apabila harus memberi laluan dahulu kepada Haji Tua yang baru tiba. Sifat timbang rasa dan belas ihsan sudah hilang di sanubari. Akibatnya ada Haji Tua yang tidak dapat menahan hajat, lalu “terkeluar” segala yang ada di perut di depan tandas begitu sahaja. Saya sangat sedih dan kasihan melihat situasi begini. Dengan berani, saya akan menegur sikap tidak hormat mereka ini.

Saya pernah melihat seorang Haji Muda, menghalau seorang Haji Tua dari negara China yang baru hendak melangkah kaki memasuki tandas dengan menarik tubuh dan mengheret tangannya keluar dari maktab 95. Hati saya sakit melihat perlakuan “kurang ajar itu. Apa salahnya, dibiarkan sahaja Haji Tua itu masuk dulu di dalam tandas dan menunaikan hajatnya. Itu lebih berperi kemanusiaan. Isu tandas benar-benar mencabar emosi.

CabaranHjMudaFatima9TandasArafah

*

3. DI BUAI TELEFON

Kemudahan teknologi seperti komputer dan telefon pintar mempunyai cabaran tersendiri yang boleh melalaikan jemaah haji dari melaksanakan ibadah dengan berkesan. Kerana itu, saya dan SPH tidak membawa kedua-dua telekomunikasi pintar ini di Tanah Suci. Kami hanya membawa kamera biasa untuk mengambil foto bagi kenangan di kemudian hari.

Walau bagaimanapun, kemudahan komunikasi antara kami berdua tetap diperlukan. SPH bercadang untuk membeli telefon bimbit paling murah yang mempunyai spek paling asas. Alhamdulillah, hari kedua di Madinah, SPH telah membeli dua telefon bimbit NOKIA 1280 dengan harga SR90 (RM70 +). Yang menariknya handset semurah ini ada flashlight. Dengan itu, saya tidak perlu menggunakan lampu picit semasa di Muzdalifah nanti. 

CabaranHjMudaFatima4Nokia1280Madinah

Bagi menghubungi anak-anak, kami membeli kad prabayar semasa di Makkah dan menggunakan telefon hotel untuk sambungan ke rumah. Tujuan kami tidak membawa kemudahan teknologi ini agar tidak mengganggu urusan ibadah kami selama di Bumi Haramain.

Tidak dinafikan, komputer dan telefon pintar mempunyai kepentingan tersendiri untuk kesenangan dan kemudahan. Tetapi jika tidak tahu mengawal penggunaannya, akan membawa kelalaian dalam beribadah. Akhirnya akan menjadi leka berbual-bual dan asyik menghadap komputer. Fenomena ini banyak berlaku kepada Haji Muda.

Apabila berada di dalam masjid, adalah lebih bermanfaat untuk kita melaksanakan ibadah dengan bersolat sunat, membaca al-Quran atau zikrullah. Tetapi jika asyik bertelefon, bermain games dan berSMS sehingga masuk waktu solat selanjutnya, tentu amat merugikan, sedangkan kita berada di masjid yang diberkati Allah SWT, Masjid Nabi dan Masjidil Haram. Keadaan ini berlaku di mana-mana kepada sesiapa sahaja. Malah ada yang sempat berbual-bual di telefon ketika sedang melakukan tawaf.

Kesempatan bersolat di sebelah Hajjah Muda di Masjidil Haram menginsafkan saya tentang masa yang disia-siakan. Gadis berusia awal 20-an ini langsung tidak mempeduli keadaan di sekeliling. Selesai solat Asar dan solat Maghrib, si gadis mula berbual di telefon sambil ketawa ria. Sekali sekala berbisik. Mungkin segan melihat saya selalu menoleh padanya, si gadis memasukkan diri di dalam telekung dan perbualan disambung semula. Alangkah rugi, membuang masa dengan kelalaian dunia yang mengundang alpa.

*

4. DUNIA BELI BELAH

Tiada siapa menafikan membeli belah di Madinah dan Makkah sangat mengasyikkan. Pelbagai barangan terhidang didepan mata terutama jualan di kaki lima oleh penjual tanpa permit yang selalu terkejar-kejar ke sana kemari kerana bimbang ditangkap polis. Harganya murah tetapi kualiti rendah. Namun itulah yang selalu menjadi rebutan jutaan jemaah haji yang ingin memborong sebanyaknya untuk dijadikan hadiah kepada sanak saudara di kampung halaman. Suasana pasar “gelap” seperti ini ada di mana-mana tempat di Madinah, Makkah, Arafah dan Mina.

CabaranHjuMudaFatima5PenjualTanpaPermit

Penjual tanpa permit. Kebanyakannya dari Afrika. Bersedia untuk lari dengan menggulungkan barang jualan mereka sebaik melihat polis Arab Saudi.

*

CabaranHjMudaFatima6JualanDiArafah

Para penjual yang menjual pelbagai barangan di tempat lapang berhampiran Jabal Rahmah di Padang Arafah. Padang Arafah menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia dalam Ziarah Makkah sebelum Hari Wukuf.

*

CabaranHjMudaFatima7JualanDiMina

Suasana meriah di tapak jualan sepanjang khemah di Mina. Jangan lupa bawa wang “cash” kerana di sana tidak ada perkhidmatan bank. Pihak Tabung Haji menyarankan menyediakan RM500. Harga barang sangat murah dan menggoda hati. 

*

15tahunFatima5AbrajAlBaitMall

Jika ingin berbelanja mewah, di sinilah tempatnya. Harga sangat tinggi dan barangannya juga berkualiti.Pakaian jubahnya sangat cantik dan menggoda hati. Tetapi kerana fesyennya yang tersendiri dengan manik dan corak yang bergemerlapan, menjadikan saya sekadar hanya memerhati tanpa berkeinginan membeli kerana apa yang sedia ada sudah cukup untuk diri sendiri. 

*

Suasana selepas solat fardhu memang sungguh meriah seakan keramaian. Ribuan manusia berbondong-bondong keluar Masjid untuk pelbagai urusan. Tetapi yang paling banyak adalah urusan jual beli. Pasti yang banyak memeriahkan suasana ini adalah para Hajjah. Tidak kira jualan di jalanan mahupun di pusat membeli belah. Namun para Haji tidak kurang juga sibuknya berbelanja. Hmmm… lebih kurang sama sahaja.

Jika ikut hati, mahu sahaja membeli apa yang diingini. Tetapi saya dan SPH telah sepakat bahawa urusan berbelanja untuk keluarga hanya dilakukan selepas semua pekerjaan haji dilaksanakan dengan sempurna. Perbelanjaan kini adalah sekadar untuk keperluan hidup di Madinah dan Makkah sebelum tibanya Hari Wukuf. Jika ada yang berkenan, akan disimpan di dalam hati walaupun tahu kemungkinan yang menjadi idaman tidak akan ditemui lagi. Saya redha dan tidak bernafsu tinggi dalam pembelian seperti ini.

CabaranHjMudaFatima8MasjidNabiSelepas Isyak

*

Kedai-kedai emas menjadi tumpuan para Hajjah yang meminatinya. Saya pernah melihat seorang hajjah Muda sebaya saya membeli segelang emas dengan harga RS 12,300 (RM5000). “Masya Allah, mahalnya. Tidak membazirkah ?” kata hati saya. Alhamdulillah, saya tidak suka memakai barang kemas dan berbelanja mewah. Cukuplah melihat kebahagiaan orang lain yang suka memakainya.

Saya juga tidak berminat untuk membeli pakaian atau jubah yang sarat dengan manik bergemerlapan. Cantik memang cantik tetapi hati tidak berkenan kerana lebih bersifat tabarruj (perhiasan) yang boleh mengundang fitnah. Saya suka yang sederhana dan tidak menarik dipandang. Jiwa saya lebih mencintai ilmu dan kembara kerana dapat memberi saya seluas pengetahuan untuk menjadi manusia yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.

“Ya Allah, peliharalah hatiku dari menjadikan dunia ini sebagai kecintaan yang dapat memalingkan diriku dari-MU. Ya Allah, berikan aku kekayaan ilmu yang dapat dijadikan manfaat untuk bekalan dunia dan akhiratku. Aamiin.”

*

PesanFatimaku

KEPADA HAJI MUDA

Buat persediaan awal dengan bekal ilmu dan pengetahuan sebelum menunaikan haji kerana banyak cabaran yang bakal ditempuh sepanjang kehidupan di Tanah Haram. Cabaran-cabaran yang ditulis di atas hanya sedikit sahaja berbanding cabaran sebenar yang bakal ditempuhi.  Kehidupan hampir 50 hari (Muassasah) dapat menimbulkan keinsafan dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Kita dapat menggambarkan keadaan sirah Rasulullah SAW dan para sahabat selama berada di sana.

Setiap orang mempunyai pengalaman dalam menerima ujian Allah SWT bagi menjalani proses pembaikan diri sebagai latihan berbentuk jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam meraih Haji Mabrur sebagai anugerah tertinggi dari Ilahi yang diganjari  dengan syurga.

CabaranHjMudaFatima3HajiMabrur

Banyak bersabar, redha dan berlapang dada apabila sedang berhadapan dengan apa sahaja cubaan dalam berkomunikasi sesama saudara dari seluruh dunia. Banyak hikmah yang dapat kita lampirkan untuk membentuk paradigma hidup yang baru sebagai tanda pulang dengan Haji Mabrur.

Jika diteliti Haji Muda lebih mudah leka dan lalai dengan kelebihan yang ada pada mereka. Iblis dan syaitan sentiasa berusaha memesong niat manusia dari mencari redha Tuhannya. Kerana itu, ramai Haji Muda apabila pulang dari berhaji, mereka tidak dapat menahan diri untuk terpengaruh semula dengan kehidupan yang biasa mereka lakukan sebelum berhaji. Kelemahan ini menjadi kesempatan kepada syaitan untuk membolak balik hati dari istiqamah kepada kehidupan Islam yang sejati.

JIKA KAMU BENAR-BENAR MENCINTAI ALLAH DAN RASUL-NYA, SETIAP KESULITAN YANG DITEMPUH UNTUK MENINGGIKAN SYARIAT-NYA, TIDAK MENJADI KESUSAHAN DAN KELUHAN BAGI KAMU.

****************

1 Mei 2013 (Rabu)/ 20 Jamadil Akhir 1434H/ 9.29  malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. akan selalu mencintaimu bagai hujan yang mengalir seluruh ingatanku ke ladang hatimu. Bagai mentari yang menyinar seluruh ragamu dengan kehangatan kasihku yang tidak bermusim. Bagai bunga yang menyebarkan seluruh wangiannya dengan kesegaran sayangku yang berpanjangan. Tidak akan pernah melupakanmu sehingga berhenti degup jantungku.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

RinduFatima2padamu

NAMAMU SELAMANYA DI HATIKU DALAM ZIKIR CINTA

*

DEDIKASIKU UNTUKMU….. maaf jika aku tidak sempurna. Kita semua milk Allah azza wa jalla.  Di setiap detik waktu, ada aku yang selalu tersenyum mengenang ketulusan hatimu. Wassalaam. 😀

*

19 thoughts on “CT165. CABARAN HAJI (14): CABARAN HAJI MUDA

        • terkenang seoseorang yng sulit terlupakan dengan kebaikan dan ketulusan yang dia berikan di tahun lalu, hingga detik inipun masih terus teringat padanya 😀

          • Alhamdulillah, demikianlah Rasulullah SAW mengajar kita agar selalu mengingati kebaikan orang lain.

            Setiap pertemuan yang Allah SWT tentukan, mempunyai hikmah disebaliknya walaupun suatu hari kita tidak bersama lagi. 😀

      • CILUKBA itu seperti jikaa umi ngumpet lalu neni datang membuat umi kaget, atau biasa yng dilakukan pada anak kecil, jika mereka menangis, tangan diletakkan dimuka lalu dibuka perlahan dan berkata CI LUK BAAAA…..

        • Dalam samar kejauhan ini
          Inginku temui sebuah senyuman yang membuat aku rindu
          Biarlah tidak semuanya terlihat, Asal jelas wajahmu
          Biarlah tidak semuanya terdengar, Asal jelas suaramu

          #neni suka banget kalimat ini, suasana hatiku saat ini ummi #

          • Semoga hati Neni senang dan lapang.
            Mudahan nukilan Umi dapat menyejukkan hati yang hangat dengan kerinduan. Begitulah kedamaian akan terbentuk hanya dengan kata-kata yang indah.

            Mudahan selalu tenang dan damai dalam tasbih cinta Ilahi yang menggugah hati.

            Salam ceria dan rindu dari Umi. 😀

        • oh begitu…. Umi selalu seperti itu kepada anak-anak Umi semasa mereka kecil dahulu. Ia aktiviti yang mengasyikkan apabila melihat mereka ketawa ria.

          Hehehe… ada-ada aja Neni ini.
          Terima kasih dan sayang dari Umi. 😀

  1. Saya sangat sependapat bahwa dalam berhaji sewaktu muda, godaan yang paling utama adalah terbuai dengan kecanggihan smartphone. Dimana anak2 muda sekarang sepertinya tidak bisa lepas sedikitpun dengan yang namanya telpon genggam. Apalagi dilengkapi berbagai fitur, seperti kamera yang megapixelnya tinggi, mp3, dan juga fasilitas internet sehingga apabila tidak terkontrol, ibadah menjadi sia-sia saja. Pun halnya dengan kebiasaan suka berbelanja yang memborong semua barang2 yang diingikan sehingga membazirkan uang begitu banyak

    • Memang cabaran Haji Muda sangat banyak kerana kemudahan yang dimiliki dan kekuatan fizikal yang ada padanya.

      Jika usia muda dan kewibawaan yang ada padanya dapat digunakan secara baik menurut syariat Islam, Insya Allah apapun godaan yang menghampiri dapat diatasi dengan bijak dan berkesan.

      Ingatlah bahawa syaitan berada di mana-mana, malah di Tanah Suci juga banyak. Kerana itu godaan di sana benar-benar menjadi ujian kepada kita. Oleh itu, bekali hati dan jiwa kita dengan iman dan takwa.

      Terima kasih Ifan dan didoakan dapat berhaji muda di kemudian hari. Aamiin. Salam sejahtera. 😀

  2. Haji Muda … pengen Bunda, semoga usia muda untuk menanbung dan mengunjungi Baitullah di usia yang masih muda juga, aamiin 🙂

    • Aamiin Ya Rabbal’alamiin.
      Bunda doakan Mila dapat mengerjakan haji dalam usia muda.
      Menabung dan berusaha untuk ke Tanah Suci jika benar-benar sudah berniat mahu melakukannya.

      Salam manis dari bunda. 😀

    • Alhamdulillah, MyIslamMedia atas informasinya.
      Terus ke TKP untuk mengetahui kandungan tajuk tersebut.
      Semoga diganjari Allah SWT atas perkongsian hebat ini.

      Salam hormat dan terima kasih sudi berkunjung ke sini. 😀

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.