CT307. ZIARAH MAKKAH (3): MUZDALIFAH YANG SEPI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

ZMakkah3Fatima1MuzdalifahSepi

*

PENAT

Rasa penat akibat dari aktiviti berjalan-jalan di sekitar lapangan Padang Arafah berhampiran Jabal Rahmah belum hilang walau sudah duduk selesa di dalam bas. Cuaca panas dan terik mentari mendatangkan rasa dahaga. Air yang dibawa sudah semakin kurang dan kemudian diminum habis.

Saya memandang keluar jendela untuk melepas lelah sambil memerhati suasana sibuk yang sedang berlaku. Saya rasa mengantuk dan ingin sekali melelapkan mata. Tetapi bimbang jika ketinggalan momen-momen menarik yang berlaku sepanjang perjalanan ke Muzdalifah.

Saya, kalau sudah tidur di dalam kenderaan memang sangat nyenyak. Kedinginan dari penghawa dingin yang dipasang kuat membantu memberi keselesaan untuk tidur yang lena. Saya melihat SPH juga sangat letih. Kami membuat refleksi apa yang berlaku di Padang Arafah, sekadar membuang rasa bosan menunggu bas keluar dari kawasan Padang Arafah.

Bas bergerak lambat dalam kesibukan lalu lintas yang “lintang pukang”, tidak teratur. Pemandu bas berkali-kali membunyikan hon untuk meminta laluan kepada kenderaan yang bersimpang siur di jalan raya. Suasana kelihatan kelam kabut dan tidak bersistem. 

Dari sebelah kiri tempat duduk, saya dapat melihat dengan jelas papan tanda menuju ke Muzdalifah. Bas sudah menapak keluar dari Padang Arafah. Rasa resah yang mengusik hati melihat keadaan sesak mulai tenang apabila bas kian menjauhi menuju jalan utama ke simpang kanan untuk ke Muzdalifah.

*

ZMakkah3Fatima2KeluarArafah

Kesibukan lalu lintas ketika keluar dari Padang Arafah

*

ZMakkah3Fatima3ArafahKejauhan

Tinggal kenangan

*

Saya merenung foto di atas sambil mengingati kembali bahawa pemandangan yang dilihat jelas di siang hari di Padang Arafah dan kawasan sekitarnya, tidak lagi dapat dinikmati pada Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah). Kawasan ini sudah penuh sesak dengan kenderaan pelbagai muatan yang berjalan lambat menuju Padang Arafah.

*

PERJALANAN YANG SEPI

Tidak banyak pemandangan menarik yang dapat dikenang dalam Ziarah ke-4 menuju Muzdalifah. Jarak antara Arafah dan Muzdalifah lebih kurang 8 km. Kami hanya mengambil masa kurang dari 10 minit untuk sampai ke Muzdalifah. Seperti perjalanan ke Padang Arafah, arah menuju Muzdalifah memberi panorama yang tidak jauh beza.

Bentuk muka bumi yang kering berbatuan. Kurang tumbuhan yang dapat menghijau suasana dan hidup subur. Segalanya mati di sini. Suasana dalam bas sangat sepi, mungkin ahli rombongan sudah keletihan. Sama sepinya dengan hidupan di luar jendela.

Saya mengambil iktibar dari pemandangan yang sedang disorot dengan membuat refleksi betapa payah jalan yang diredah oleh Rasulullah SAW dan umat Islam dahulu untuk pergi ke satu-satu masya’ir haji.

Lihatlah gambar satelit di bawah. Bentuk muka bumi yang bergunung ganang dan berbukit bukau menunjukkan sepinya perjalanan dari Arafah menuju ke Muzdalifah. Hanya bukit berbatuan kental yang menghiasi perjalanan. Sekali sekali dapat dilihat pokok-pokok mambu yang sengaja ditanam menjadi lanskap di padang pasir.

*

ZMakkah3Fatima14MasyairHajiSatelit

Jarak antara Makkah ke Arafah (21.9 km), Arafah ke Muzdalifah (8 km), Muzdalifah ke Mina (6.4 km) dan Mina ke Makkah (4.8 km)

*

ZMakkah3Fatima4BatuKerikil

Bukit Batu kerikil yang menghiasi panorama Arafah ke Muzdalifah

*

ZMakkah3Fatima5BukitBatuPPasir

Pokok Mambu menghiasi beberapa laluan antara Arafah dan Muzdalifah

*

*

KEBANGGAN MALAYSIA

ZMakkah3Fatima6MeccaMTrain

Makkah Metro Train sedang melintasi bas kami yang sedang dalam perjalanan ke Muzdalifah

*

Alhamdulillah, kali ini saya sempat mengambil foto Makkah Metro Train yang sedang melintas di atas rel menuju ke stesen Muzdalifah. MMT berwarna hijau pucuk pisang tersebut rupanya sedang dikendalikan oleh pekerja dari Keretapi Tanah Melayu (Malaysia).

*

MECCAMETRO MALAYSIA

Pekerja Malaysia yang mengendalikan Makkah Metro Train di Makkah

*

Saya turut merasa bangga sebagai rakyat Malaysia apabila pengendali perkhidmatan awam terbesar di Malaysia (Prasarana) berjaya dipilih oleh Kerajaan Arab Saudi menjadi ‘pengendali bayangan’ bagi Fasa Pertama Metro, Program Pengangkutan Awam Makkah (Makkah Metro) dengan menewaskan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan rel daripada Turki, Korea dan lain-lain negara.

*

ZMakkah3Fatima7StesenMeccaM

Terdapat 3 Stesen hentian MMT di setiap Masyair haji yang membawa jemaah haji terus ke lokasi dengan segera.

*

ZMakkah3Fatima8StesenMMMuzdalifah

Terdapat 3 stesen hentian MMT di Muzdalifah

*

 INFO RINGKAS

1. Pada musim haji 2014, seramai 12 orang kakitangan teknikal telah ditugaskan memberi bantuan teknikal operasi Aliran Selatan Metro Al-Mashaaer Al Mugaddassah.
 
2. ‘Pengendali Bayangan’ bermaksud Prasarana bertanggungjawab memberi perkhidmatan Konsultan dalam bidang Pengendalian & Penyelenggaraan Sistem Rel.
 
3. Fasa Pertama Makkah Metro meliputi dua (2) jajaran dengan 22 stesen keseluruhannya.
 
4. Jarak perjalanan tren sejauh 45.1 km termasuk 24.9 km rangkaian rel bawah tanah.
 
5. Tempoh kontrak 30 bulan (2 tahun 6 bulan) dan dalam tempoh tersebut, Prasarana akan merangka budaya perkhidmatan dan organisasi pelanggan.
 
6. Kontrak bernilai RM9 juta itu dijangka bermula pada Disember 2014. Fasa pertama Makkah Metro dijangka siap pada 2019. 7. Pada musim Haji yang 2014, Prasarana telah bekerjasama dengan Ekpress Rail Link Sdn Bhd untuk menyokong sementara operasi Aliran Selatan Metro Al- Mashaaer Al Mugaddassah.
*
*
*

MECCA METRO TRAIN

*

*

HOTEL SEJUTA BINTANG

Menurut Muzawwir, Ustaz Sabri rombongan kami hanya akan dibawa melalui sekilas pandang dari jendela bas untuk melihat padang luas yang bakal didiami dalam beberapa jam (lebih baik) atau hanya sekadar melaluinya beberapa detik (jika tiada kesempatan bermalam) sebagai tanda mabit (bermalam) di Muzdalifah.

Tidak banyak foto yang sempat saya dan SPH ambil kerana bas tidak berhenti. Maka, riuh rendah ahli rombongan mengetik kamera masing-masing untuk mengabdikan momen padang pasir luas yang lapang dan sunyi tanpa penghuni. Hanya kelihatan beberapa WC yang dibina khas untuk keperluan jemaah yang mabit di sini.

Saya tidak dapat membayangkan suasana yang bakal saya lalui apabila tiba masanya mabit di lokasi ini nanti. Hati dapat merasai debarannya sambil mata memandang sayu dan sepi ruang kosong yang bakal menjadi hotel bertaraf SEJUTA BINTANG.

*

ZMakkah3Fatima9MuzdalifahSepi

WC yang sepi menunggu para tetamu Allah dan saya salah satu daripada sejuta yang bakal menggunakannya.

*

ZMakkah3Fatima10LapanganMuzdalifah

Hotel Sejuta Bintang, benar-benar mengusik hati saya apabila mengingat akan melalui detik ini nanti dalam beberapa minggu lagi.

*

ZMakkah3Fatima11MenujuMina

Menerus perjalanan ke destinasi ke 5 – Mina

*

ZMakkah3Fatima12StesenMMMuzdalifah

Salah satu stesen hentian MMT di Muzdalifah

*

MUZDALIFAH ENDS HERE

Apabila sampai ke batasan akhir Muzdalifah, terpampang besar papan tanda – MUZDALIFAH ENDS HERE – dan seterusnya kita akan melihat dalam jarak yang dekat satu lagi papan tanda – MINA STARTS HERE -.

Selamat jalan Muzdalifah, semoga bertemu lagi pada hari yang ditentukan Allah. Ketika itu semua bakal haji sudah bergelar HAJI dan HAJJAH sebagai pengiktirafan hajinya diterima sebaik sahaja WUKUF DI PADANG ARAFAH.

Saya merasa sangat teruja untuk melalui saat-saat yang bakal ditempuh di Padang Arafah, Muzdalifah dan kini sedang menuju Mina.

Kami dibawa bas secara perlahan memerhati satu pemandangan yang memukau mata dan meresahkan jiwa. Tidak terbayang beginilah keadaan Mina di depan mata. Saya terus teringat kepada peristiwa Terowong Muassem. Bagaimana agaknya Terowong Muassem itu ?*

*

ZMakkah3Fatima13MuzdalifahEndsHere

Papan tanda yang menunjukkan batasan antara Muzdalifah dan Mina. Di sini dapat dilihat khemah-khemah kalis api dibina kekal sebagai memberi gambaran bahawa kita sudah sampai di bumi Mina yang menjadi lokasi ke 5 dalam Ziarah Makkah.

*

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima28 Disember 2014 (Ahad)/ 6 Rabi’ul Awwal 1436H/ 10.48 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. di sini, masih menanti jawaban yang selalu diharap dapat membawa kebahagiaan saat mendengarnya. Namun kita selalu penuh dengan harapan tinggi langit bahawa setiap keinginan kita semestinya selari dengan apa yang kita bayangkan. Kita lupa bahawa Allah SWT mempunyai rencana-NYA sendiri untuk memanimakan harapan tersebut turun menyusur  bumi agar kita sedar diri bahawa tidak semua impian kita akan tercapai untuk memiliki sebuah kebahagiaan. Aku redha, Ya Allah.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… Maafkan aku, jika telah membuat resah di jiwa. Terkadang tanpa kita sedari ada hati yang tersalah sangka oleh bicara yang tidak serupa kata sedangkan maksudnya tidak sedemikian gaya. Selalu ada doa dariku setulus hati untukmu.  Aamiin. Wassalam. 🙂

*

 RinduFatima4untukmu

*

SEPI ITU MENYULAM KEINDAHAN HATI

*

21 thoughts on “CT307. ZIARAH MAKKAH (3): MUZDALIFAH YANG SEPI

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Mila….

      Alhamdulillah, tulisan ini juga bertyjuan untuk menggamit hati sesiapa yang belum ke sana. Mudahan hasratnya tercapai di kemudian hari. Aamiin.

      .Salam mesra selalu dan terima kasih Mila. 🙂

  1. Assalamualaikum Ummu semoga dengan postingannya akan menarik hati setiap muslim untuk berziarah ke tempat-tempat yang mulia ini, doakan kami semoga bisa mengikuti jejak ummu

    • Wa’alaikum salaam wr.wb akhi Abdullah,
      Aamiin Allahumma Aamiin. Begitulah harapan dari setiap penulisan tentang Tanah Suci Haramaian sebagai satu perkongsian ilmu dan pengetahuan untuk meningkatkan kefahaman dalam beribadah di Tanah Suci.

      Saya doakan akhi Abdullah dan keluarga akan diberi kesempatan untuk ke sana juga. Aamiin.

      Terima kasih dan salam sejahtera. 🙂

  2. Assalamualaikum kak
    Wah putra dari Malaysia terpilih sebagai pekerja kereta di sana, saya pun ikut seneng karena perwakilan dari Asia terpilih menjd yg terbaik 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Sussi…

      Alhamdulillah, kita semua merasa bangga atas sumbangan yang diberi untuk memudahkan urusan tetamu Allah di Tanah Suci.

      Terima kasih mbak, Sussi dan salam manis selalu. 🙂

  3. Assalamu’alaikum Mbak Fatimah
    Para imam madzhab sependapat bahwa bermalam di Muzdalifah hukumnya wajib, kecuali bagi seseorang yang mendapat udzur, misalnya: bertugas melayani jama’ah, sakit, merawat orang sakit, menjaga harta, dll.. Hal ini didasarkan pada firman Allah dalam surat Al-Baqarah ayat 198.

    Wah….alangkah syahdunya bisa berdoa ditempat ini ya

    Salam dari Yogya///

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Yuni…

      Iya mbak, mabit (bermalam) di Muzdalifah adalah Wajib Haji iaitu pekerjaan wajib ketika mengerjakan haji. Jika tidak mengerjakannya haji tetap sah tetapi dikenakan DAM mengikut syarat-syarat dan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja.

      Terima kasih mbak atas tambahan informasinya. Mudahan akan dapat berdoa di sana juga nanti. Aamiin. Salam mesra. 🙂

  4. Assalamualaikum ummi,
    Membaca tulisan ini, menatapi foto-foto yang menyerikan entry ini. Tiba-tiba hati saya digamit kerinduan kepada tanah yang diberkati itu. Ya, rindu itu datang tiba-tiba lantas mengira-ngira “aku jua mahu menjadi tetamu-Nya di sana…”

    #Mohon diberikan saya alamat email ummi..

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Abu Ikhwan…

      Saya doakan segala kerinduan dan keinginan untuk menjadi tetamu Allah SWT akan diperkenankan denagn segera. Tidak ada yang selalu diinginkan oleh umat Islam melainkan berkunjung ke Tanah Suci. Aamiin.

      Terima kasih Abu Ikhwan kerana memberi respon segera. Email sudah saya kirimkan. Mudahan sumbangan dari kami dapat meringankan beban mangsa banjir di sana.

      Salam takzim. 🙂

  5. Pingback: CT425. CABARAN HAJI (27): SEPINYA TANDAS DI MUZDALIFAH | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.