CT225. KEHILANGAN BESAN DI MASJID NABAWI

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuuh

BesanFatima1HilangDiMasjidNabawi

*

BERKENALAN

Saya mengenali dua besan ini ketika duduk satu saf untuk menunaikan solat Asar, Maghrib dan Isyak di Masjid Nabawi.  Mak Cik Ani (Johor – 55 tahun) dan Nenek Rokiah (Terengganu – 70 tahun) menunaikan haji bersama anak-anak mereka. Mak Cik Ani sangat ramah dan mesra berbanding Nenek Rokiah yang pendiam dan suka tersenyum.

Mereka menggunakan pakej swasta bernilai RM33.000.00 (Tiga puluh tiga ribu Ringgit Malaysia). Pemergian mereka ke Tanah Suci di”sponsor” oleh kedua anak menantu, yang turut bersama menunaikan haji. Pakej itu membolehkan mereka menginap di hotel 4 atau 5 bintang dengan kemudahan untuk 2 orang satu bilik.

Selama di Madinah, kedua besan ini menginap di Hotel Movenpick bertaraf 5 bintang yang jaraknya tidak sampai 50 meter dari Masjid Nabawi.  Maklumat ini saya perolehi melalui catatan di luar beg sandang Mak Cik Ani, selain tambahan dari beliau yang ramah tamah itu.

Mak Cik Ani bercerita dengan gembira tentang anak menantu yang sudi mengeluarkan belanja untuk mereka berdua bagi menunaikan haji. Nenek Rokiah hanya tersenyum mengiyakan sahaja. Saya turut gembira dan menyatakan betapa kedua besan itu sangat beruntung diberi rezeki oleh Allah SWT melalui kasih sayang anak menantu.

Setelah solat Isyak, kami berpecah dan tidak bertemu lagi sehinggalah dua hari kemudian. Semua itu kehendak Allah SWT yang mempertemukan kembali saya dengan mereka.

BesanFatima2MovenpickHotel

Hotel Movenpick hanya berjarak tidak sampai 50 meter dari Masjid Nabawi. Ia lebih dekat kepada tempat solat lelaki berbanding bahagian perempuan.

*

BERTEMU NENEK ROKIAH

Masih di ruangan yang sama di dalam Masjid Nabawi, saya berusaha menempatkan diri di saf pertama untuk solat Asar. Ruangan sangat penuh di barisan hadapan. Alhamdulillah, saya dapat tempat juga akhirnya setelah dibantu oleh polis wanita Arab yang meminta beberapa jemaah untuk memberi ruang kepada saya.

Jeda menunggu tersebut, saya membaca al-Quran tanpa menghirau keadaan sekeliling yang dipenuhi dengan suara manusia sama ada berzikir, membaca al-Quran dan berbual-bual. Kebisingan suasana ditambah dengan suara teriakan dan jeritan polis wanita yang berusaha membantu para jemaah menyusun saf.

Saya, Kak Kasma dan Kak Senah sudah terpisah dari kumpulan. Kami mengikut arah sendiri tanpa perlu risau kehilangan sesiapa. Ini dipersetujui bersama apabila tiba-tiba kami terpisah saf.

Dalam kekhusyukan membaca al-Quran, tubuhku disentuh rapat oleh sosok kecil seorang hajjah Malaysia yang sudah berumur. Saya menoleh dan bersamaan itu hajjah tersebut juga memandang ke arah saya sambil memberi senyuman. Saya membalas senyuman dan memberi ruang untuk beliau duduk dalam saf. Beliau dibantu oleh polis wanita Arab untuk memasuki saf.

Tiba-tiba saya terfikir seperti pernah bertemu dengan wajah itu beberapa hari lalu. Saya amati beg sandang yang dipakainya dan membaca nama yang tercatat. Benar, beliau adalah nenek Rokiah yang bersama besannya Mak Cik Ani. Saya menyapa Nenek Rokiah dan bertanya kalau masih kenal dengan saya. Alhamdulillah, ternyata Nenek Rokiah masih mengenali saya.

Ku lihat ada kegelisahan pada wajah dan tingkah Nenek Rokiah. Beliau asyik menoleh ke kanan dan belakang. Entah siapa yang dicari, tidaklah diketahui. Mungkin mencari Mak Cik Ani. Begitu telahan saya. Bagi menemui jawaban, saya bertanya kepada Nenek Rokiah. “Nenek cari siapa ? Mak Cik Anikah ?”

Nenek Rokiah menggangguk. “Iya, nenek cari Ani. Tadi kami bersama tetapi selepas mencari ruang saf, tiba-tiba Si Ani itu hilang. Nenek pula disuruh duduk di sini. Nenek bimbang tidak berjumpa Ani kerana nenek tidak tahu arah hendak balik ke hotel” jelas Nenek Rokiah dengan penuh resah.

“Jangan bimbang, nanti saya tolong cari Mak Cik Ani. Nenek tahu arah mana mungkin Mak Cik Ani duduk.” tanya saya sebelum memulakan operasi dalam ribuan jemaah yang bersimpang siur. Mungkin di sebelah sana, tunjuk Nenek Rokiah arah kanan. “Nenek duduk sini, jaga tempat saya agar tidak diambil orang lain.” saya memberi pesan. Nenek Rokiah hanya mengangguk.

Saya berjalan dicelah-celah saf dengan memohon maaf dan meminta izin untuk lalu. Ketika ada yang sedang solat, saya harus berhenti dan mencari laluan lain untuk sampai ke arah yang ditunjukkan oleh Nenek Rokiah. Puas saya mencari kelibat wajah Mak Cik Ani di tengah keramaian manusia, tidak ada satu wajah pun tidak melekat di mata saya. Sepuluh minit berlalu, menamatkan pencarian saya kerana sukar untuk menemui Mak Cik Ani.

Saya kembali menemui Nenek Rokiah untuk memaklumkan kegagalan misi tersebut. Hal ini menambah kerisauan hati Nenek Rokiah. Saya menyabarkan beliau agar tidak perlu bimbang kerana saya akan menghantar Nenek Rokiah sampai ke pintu bilik hotelnya berpandukan kepada kad pengenalan haji yang terpampang di depan beg sandang. Nenek Rokiah mengangguk tanpa banyak suara.

BesanFatima3SesakIsyakMasjidNabawi

Suasana sesak selepas solat Isyak. Kesesakan di Dataran Masjid Nabawi dengan ribuan jemaah haji setiap kali selesai solat fardhu. Jika tidak berhati-hati boleh hilang dari kumpulan.

*

KENA MARAH

Setelah solat Isyak, saya membimbing tangan Nenek Rokiah keluar dari Masjid Nabawi  untuk menghantar pulang ke Hotel Movenpick. Nenek Rokiah amat bimbang kehilangan besannya, Kak Ani. Saya mententeramkan jiwa beliau agar tenang dan menyakinkan beliau bahawa Mak Cik Ani sudah ada di dalam bilik dan tentu sedang menunggu beliau.

Sesampai sahaja di pintu masuk ke bangunan shopping mall yang menyambung di dalam Hotel Movenpick, saya terpandang wajah risau dan keruh Mak Cik Ani sedang berdiri di hadapan pintu tersebut. Alhamdulillah, rupanya Mak Cik Ani menanti kemunculan besannya, Nenek Rokiah. Saya tersenyum dari jauh dan memberi salam serta menyalami Mak Cik Ani apabila sampai ke sisinya.

Namun tanpa saya duga, Mak Cik Ani memarahi Nenek Rokiah kerana hilang dari sisinya di dalam Masjid Nabawi. Nenek Rokiah cuba menjelaskan sebab terpisahnya mereka berdua dengan senyuman menguntum di bibirnya. Tetapi Mak Cik Ani tidak mengindahkan penjelasan Nenek Rokiah, malah terus melontarkan rasa marahnya. Saya tidak sedap hati melihat situasi kedua-dua besan tersebut.

Saya faham, Mak Cik Ani bukan bermaksud memarahi Nenek Rokiah di depan saya. Tetapi akibat rasa bimbang atas kehilangan besannya itu menjadikan perasaan beliau tidak dapat dikawal untuk menyerlahkan emosinya. Saya terus memeluk bahu Mak Cik Ani untuk menenangkan emosinya yang sedang membara itu. Nenek Rokiah hanya diam membisu seribu bahasa. Mungkin hatinya tersentuh dan terluka.

“Sudahlah Mak Cik Ani, jangan marah-marah lagi dengan Nenek Rokiah. Nenek Rokiah bersama saya sepanjang masa. Dia tidak ke mana-mana, hanya hilang di Masjid Nabawi sahaja. Saya pun mencari Mak Cik Ani juga tadi. Tapi tidak bertemu. Baliklah ke bilik, rehat dan anggap ini sebagai ujian Allah SWT di Tanah Suci. Insya Allah, ada hikmah disebalik kehilangan ini” pujuk saya untuk mengakhiri pertemuan kami bertiga.

Barulah hati Mak Cik Ani sejuk dan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana menghantar besannya, Nenek Rokiah ke Hotel Movenpick. Kebimbangan Mak Cik Ani memang wajar kerana beliau bertanggungjawab atas keselamatan Nenek Rokiah yang sudah tua. Siapa yang tidak risau apabila ahli keluarga hilang. Tentu macam-macam perkara buruk yang kita fikirkan telah berlaku sehingga hati jadi resah dan marah.

*

DoaFatima1JanjiAllah

Banyak bersangka baik dan berdoa sepanjang berada di Tanah Suci.

*

***************

SalamFatima3SalamFatima26 Januari 2014 (Ahad)/ 24 Rabi’ul Awal 1435H/ 10.25 malam, Sarikei, Sarawak

AKU….selalu berfikir andai kita belum bersedia untuk gembira, bersediakah kita untuk menderita. Andai kita belum bersedia untuk maju, bersediakah kita untuk mundur dan lesu. Kita tidak pernah merancang untuk sebuah kegagalan, tetapi kita sering gagal dalam merancang sebuah kejayaan.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

Dedikasiku Untukmu…. kita harus menerima segala ketentuan Allah dengan hati redha tanpa perlu mempersoalkan kenapa ia berlaku. Mungkin Allah ingin menguji keimanan kita untuk meletakkan siapakah yang lebih kita cintai. Natijahnya, Allah akan menghadiahkan pelangi buat kita setelah hujan turun untuk memberi senyuman indah di kemudian hari. Semoga berbahagia.  Wassalaam. 😀

SunflowerFatimaku

*

MERIAHKAN HATIMU DENGAN ZIKRULLAH

*

16 thoughts on “CT225. KEHILANGAN BESAN DI MASJID NABAWI

  1. Assallamualaikum,
    Mak Cik Ani marah pada nenek Rokiah mungkin karena tadi beliau sangat kuatir ya Mbak. Biasanya kalau kita cemas kan begitu, takut sangat sesuatu terjadi. Begitu ketemu orangnya bukannya senang malah menuntut balas atas kecemasan kita tadi. Hehehe..Yah setidaknya saya pernah pula mengalami perasaan seperti ini. Awalnya cemas..eh ujung2nya malah marah

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi….

      Kehilangan di Tanah Suci memang amat mencemaskan, mbak. Dalam puluhan ribuan manusia dan bangunannya bersirat-sirat tentu amat menyukarkan kita untuk mengenal pasti jalan pulang sekiranya tidak berhati-hati.

      Saya fikir, kita sama sahaja, mbak Evi. Asalnya memang resah dan bimbang saat tidak berjumpa. Pelbagai perkara buruk muncul diingatan. Tetapi saat bertemu, ia menimbulkan rasa marah dan geram pula.

      Mungkin semua itu hasutan syaitan yang cuba mengeruhkan keadaan. Sedangkan kita sepatutnya bersyukur dan gembira atas pertemuan tersebut. Allahu Akbar, mudahnya perasaan kita dimainkan oleh syaitan, ya mbak.

      Terima kasih atas komentar dari mbak. memang benarlah, perpisahan itu satu penyiksaan. Salam manis di Jumaat yang indah. 😀

    • Rasa marah itu wujud disebabkan bimbang dan takut jika terjadi sesuatu yang buruk. Sepatutnya kita tersenyum dan gembira, kan. Tetapi sebaliknya tidak begitu.

      Terima kasih Puteri atas kunjungan yang doisenangi.
      Salam manis di penghujung pekan. 😀

  2. assalamualaikum wrwb, membaca cerita episode ini sy jd ingat waktu di masjid nabawi, waktu akan pulang ke hotel , di toilet no.5 (kl keluar ke arah msjd ali bin abi thalib)sy dipanggil petugas yg disampingnya ada seorang nenek tua -+70 th yg terpisah dg rombongannya, melihat wajahnya spt org indonesia tp waktu sy ajak bicara sy tdk ngerti bahasanya. Sy perhatikan gelang pengenalnya berbentuk rantai dan plat(apa benar ini bentuk gelang malaysia?), kalo gelang jamaah ind plat kaku saja. untung nenek ini bertemu petugas. melihat kejadian yg sering terjadi ini(jamaah kesasar), alangkh baiknya kalo pmrnth ind banyk menempatkan petugas disekitar msjd haram, krn jamaah haji mayoritas umurya sdh tua. Dr pengalaman sy, ibu sy dan saudara sy yg sdh tua sampai waktunya pulang(8 hr)blm hapal arah pulang ke hotel krn memang bentuk hotel dan toilet sbg panduan bentuknya sama, yg membedakn hnya nomerya saja. Kalo pmrnth malaysia bgmana mbak? sy dengar pelayanannya lbh baik. # salam sejahtera dr surabaya.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, saudara Hafid…..

      Alhamdulillah, tentu pengalaman selama di sana tidak pernah hilang dari ingatan. Berdasarkan penjelasan dari Hafid di atas berkenaan dengan tanda kenal haji Malaysia, memang jemaahnya akan memakai gelang tangan yan plat dan berantai. Pasti ada nama di gelang itu bagi menunjukkan negaranya.

      Alhamdulillah, negara Malaysia (di bawah kelolaanTabung Haji Malaysia) mempunyai petugas yang sangat banyak di sana. Jumlah petugas Tabung Haji yang dilantik (sama ada yang dibawa dari Malaysia atau pelajar dan pegawai Malaysia yang berada di Arab Saudi) jumlahnya lebih kurang 500 orang seperti yang dimaklumkan.

      Bilangan itu sepertinya banyak tetapi sangat kecil berbanding jumlah jemaah haji seluruh dunia yang mencecah hampir 5 juta orang. pasti tidak tercari juga petugas tersebut dalam lauran manusia.

      Memang mudah untuk sesat jalan di Madinah dalam kota batunya yang terlihat hampir sama terutama waktu malam. Saya pernah mengalaminya Oleh itu, kita sendiri yang harus hafal petunjuk yang memudahkan kita mengenal jalan pulang. Alhamdulillah, semuanya teratasi setelah beberapa hari di sana.

      Terima kasih saudara Hafid atas kongsian yang sangat menarik dan bermanfaat buat mereka yang belum pernah ke sana. Semoga dilindungi Allah SWT hendaknya. Aamiin.

      Salam hormat dan sejahtera. 😀

  3. Pingback: CT411. CABARAN HAJI (23): BELAJAR SABAR DI TANDAS MASJID NABAWI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.