CT480. PERJALANAN HAJI (3): PERSEDIAAN KE PADANG ARAFAH

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

HARI TARWIYYAH

Kebiasaannya, bakal jemaah haji mula meninggalkan Kota Makkah pada 8hb Zulhijjah menuju ke Padang Arafah. Tarikh tersebut dinamakan HARI TARWIYYAH  atau hari persediaan menuju ke Padang Arafah untuk menunaikan Rukun Haji Ke-2 iaitu WUKUF DI ARAFAH.

Hari Wukuf jatuh pada hari ke-9 Zulhijjah. Jemaah haji mulai berbondong-bondong menuju ke Padang Arafah dengan  menggunakan pelbagai jenis kenderaan seperti bas, lori, kereta, teksi, motosikal dan ada juga yang berjalan kaki. 

Mereka akan berkhemah di Padang Arafah atau sekitar Masjid Namirah sebelum tibanya waktu Arafah, bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga seketika sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijjah. Sebelum berangkat ke Masya’ir haji (Arafah, Muzdalifah dan Mina), persediaan perlu dilakukan agar semua urusan berjalan lancar.

*

PERSEDIAAN

Setelah berniat Ihram haji, bermulalah segala pantang larang ihram yang wajib dipatuhi oleh semua para hujaj. Amalan sunat selepas niat ihram eloklah dilakukan bagi memperolehi ganjaran di sisi Allah SWT. Perkara ini boleh dirujuk di dalam CT478. PERJALANAN HAJI (2): MEMAHAMI IHRAM HAJI.

Sebenarnya persiapan elok dibuat lebih awal dengan membayangkan keadaan yang bakal ditempuh nanti. Antaranya:

*

(1) SATU BEG PAKAIAN SAHAJA

Selain memahami Ihram Haji, sudah tentu terdapat keperluan lain yang disediakan agar kehidupan di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina rasa selesa dan dapat beribadah dengan baik. Persiapan saya dan SPH telah awal dilakukan 2 hari sebelum berangkat. Tidak perlu bawa barang banyak. Kita disaran membawa SATU BEG PAKAIAN SAHAJA iaitu beg Tabung Haji. Perjalanan haji adalah mencabar dan memerlukan kita bergerak aktif dan cergas.

Maklumat yang diberi oleh penceramah dan petugas haji amat membantu untuk kita memahami KEADAAN HIDUP selama di Arafah dan Mina. Bab ibadah di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan melontar jamrah di Mina amat diberi tumpuan agar para hujaj tidak lalai dan leka dengan apa yang perlu dilakukan nanti.

*

(2) BUAT SENARAI SEMAK BARANG

Untuk memudahkan persiapan, anda perlu membuat senarai semak barang agar tidak berlebih-lebihan. Jangan membawa beg besar dan barang yang banyak. Nanti menyusah diri sendiri. Khemah jemaah lelaki dan wanita juga berasingan. Banyak perkara kita lakukan sendiri tanpa bantuan suami atau sesiapa. Di sini kita perlu membentuk sikap berdikari. Jika ada kesempatan membuat pahala, kita boleh menolong jemaah lain pula.

*

Cukup membawa beg Tabung Haji dan satu beg sandang

*

(3) WANG PERBELANJAAN

Selain itu, kita juga diingatkan membawa WANG PERBELANJAAN. Di Padang Arafah, kita tidak perlu berbelanja apa-apa kerana tidak ada ruang untuk membeli belah. Masa berada di Arafah juga sangat singkat dan elok dipenuhi dengan amal ibadah terutama dalam waktu Arafah. Pihak Tabung Haji sudah menyediakan makan minum yang sangat mencukupi. Anda tidak perlu risau. Malah berlebihan.

Saya amat terharu melihat sifat pemurah jemaah haji (wanita) Malaysia yang memberi lebihan makanan dan botol air kepada jemaah haji negara lain yang berjalan kaki melalui lubang pagar sebelah khemah kami sebagai bekalan mereka ke Mina. Wajah mereka sungguh ceria dan berebut-rebut menerima pemberian tersebut. Mereka sangat gembira. Hati kami juga bahagia. Bayangkan mereka berjalan kaki sejauh 8 km untuk sampai ke Muzdalifah.

Kehidupan di Mina selama 3 atau 4 hari. Kehidupannya singkat namun mempunyai cabaran tersendiri dan tidak mudah untuk dilupakan. Banyak kenangan manis dan pahit menjadi nostalgia untuk dijadikan teladan dan sempadan.

Antaranya berbelanja. Bagi kaum wanita, di mana-mana mereka berada pasti keinginan untuk berbelanja tidak boleh dipisahkan. Tanah Mina tidak ada mall, supermarket, hipermarket. Yang ada hanya gerai kecil yang dibina sementara atau jualan di kaki jalan.  Ia berlaku hanya di musim haji. Kemudian ia sepi dan hening tanpa penghuni.

Untuk berbelanja di Mina, kami telah diingatkan oleh penceramah Tabung Haji agar membawa wang tunai paling banyak SR500.00. Sebenarnya menurut pengalaman saya, jumlah itu tidak mencukupi untuk dibelanjakan di Mina.

Elok bawa wang lebih dan pandai-pandainya menyimpan wang tunai kerana di Mina tidak ada kuanter Tabung Haji untuk membuat pengeluaran wang. Jika membawa sedikit wang, anda pasti menyesal dan terpaksa “menebal muka” untuk meminjam wang dari orang lain.

Di Mina, kita menemui 1001 jenis barang jualan tepi jalan sepanjang khemah dengan harga yang lebih murah dari di Makkah dan Madinah. Merata-rata jalan ada peniaga. Dari mana mereka datang ? Tentunya peniaga jalanan di Kota Makkah yang sudah sunyi. Mereka berangkat menuju Mina untuk berjualan di sana pula.

Saya masih terbayang betapa gembiranya teman-teman sekhemah saya memborong  pakaian dan tudung di Mina. Riuh rendah ruang duduk kami dengan suara keriangan para ibu menghampar barangan yang dibeli untuk tontonan bersama.

Wow…banyaknya. Ada baju jubah, tudung shawl, tudung turki, barang kemas, ubat-ubatan tradisional, serbuk inai dan pelbagai lagi. Semuanya dijual dengan harga sangat murah. mana tak, melelonglah para mak hajjah ni untuk dibawa pulang nanti. Hati saya juga jadi terusik untuk membeli sama tetapi masih dapat mengawal diri. Hehehe…sabar, sabar.

Saya dan SPH juga bersiap dengan sejumlah wang jika mempunyai keinginan untuk membeli apa-apa. Kami sudah berbincang untuk membeli sekadar yang diperlukan sahaja. Selepas selesai melontar jamrah, kami suka bersiar-siar melihat jualan di kaki lima dan menikmati pemandangan manusia yang belum tentu dapat disaksi lagi pada masa akan datang.

*

(4) KEPERLUAN PERIBADI

Keperluan peribadi ini mengikut individu. Tentu tidak sama. Biasanya adalah alas kaki seperti kasut untuk melontar atau berjalan-jalan dan selipar untuk mandi. Pakaian sesuai untuk 5 hari termasuk baju tidur dan pakaian dalam. Barang mandian peribadi sangat penting kerana di Mina sukar untuk mencari kedai supaermarket kalau terlupa berus dan ubat gigi.

Jika rajin membasuh pakaian, bekallah sabun buku, serbuk atau cecair. Jika tidak rajin membasuh pakaian, bolehlah kumpulkan dan hantar ke dobi hotel nanti. Tapi anda terpaksa membawa banyak pakaian pula. Barang-barang untuk ‘make-up” juga perlu dibawa jika anda seorang yang selesa dengan kecantikan diri. Tidak salahnya, yang penting kita tidak berlebih-lebihan.

*

(5) TIKAR TEMPAT TIDUR

Khemah untuk jemaah haji Muassasah telah disediakan kanvas alas tidur seperti di Padang Arafah. Sebaik masuk khemah anda akan dapati di bawah kanvas itu tanah berpasir dan berbonggol di dalam khemah. Oleh itu, masing-masing dikehendaki membawa sendiri tikar untukalas tidur dan berehat. Elok juga bawa bantal kecil. Saya bawa bantal kecil Ieesyah. kalau rindu saya peluk bantal itu. Tidak ada keselesaan yang akan anda tempati di Mina kecuali penghawa dingin.

Oleh kerana bas kami lambat sampai sekitar jam 2.30 pagi, saya mendapat lokasi kurang selesa di mana tempat tidur saya tanahnya berbonggol dan menurun. Saya memilih tepi khemah dan menghamparkan tikar secara bertindih dengan rakan sekumpulan yang ditetapkan. Saya menerima situasi ini dengan redha kerana kita memang tidak ada pilihan. Lagipun semua jemaah lain mengalami hal yang sama. Berbeza dengan khemah jemaah yang menggunakan pakej, mereka disediakan tilam bergulong dan selesa.

*

(6) KAIN SELIMUT

Begitu juga dengan kain selimut. Jika boleh yang tebal tetapi ringan (ada ke selimut macam tu…hehehe). Kenapa ? Sebab di dalam khemah sangat sejuk terutama waktu malam. Khemah di Mina semua dipasang dengan penghawa dingin (air-condition), 24 jam dan di-sentralise. Maksudnya tidak ada sesiapa boleh mengubah suhu yang sudah ditetapkan.

Oleh kerana tidak dimaklumkan dengan jelas oleh petugas dan penceramah haji, saya dan SPH hanya membawa selimut nipis. Alhamdulillah, SPH membawa bersama 2 kain ihram. Maka, saya pinjam satu. Semasa tidur saya membalut badan dengan 5 lapis pakaian iaitu pakaian tidur, baju track luar, telekung, selimut nipis (jenama Malaysia Airline System- MAS), stokin dan kain ihram.

Sejuknya bukan kepalang hingga mengeletar anggota badan. Dah rasa macam di Kutub Utara pula. Sebenarnya lokasi tempat tidur saya menghadap air-cond, sebab itu rasa dalam peti sejuk. Oleh itu, sebelum anda memilih tempat tidur, lihat dahulu kedudukan air-cond agar anda tidak jadi seperti saya dan teman yang senasib.

*

(7) GELAS DAN BEKAS MAKANAN

JANGAN LUPA juga membawa gelas untuk minum dan bekas makanan  plastik kerana hampir setiap hari kita akan rasa nak makan mee segera.. hehehe… Lapaaaaar. 😀

Di khemah Mina, pihak Tabung Haji menyediakan minuman kotak dan buah-buahan di dalam peti sejuk di beberapa ruang luar khemah laluan jalan tertentu. Jemaah haji boleh mengambil bila-bila masa yang dikehendaki.

Untuk minum air panas, jemaah perlu pergi ke dapur. Di sana disediakan cerek berisi air panas untuk membuat minuman panas atau makan mee segera. Saya membawa sendiri sudu dan garfu dari Malaysia kerana senang nak makan. kalau makan dengan sudu garfu palstik kurang selesa sebab lembut.

*

(8) UBAT-UBATAN

UBAT-UBATAN  peribadi hendaklah dibawa bersama kerana di Mina tidak ada kedai menjual ubat atau farmasi. Elok bawa banyak dari Tanah Air kerana di Madinah dan Makkah, ubat-ubat ini sangat mahal. Bawalah lebih agar boleh membantu rakan jemaah lain seperti paracetemol (panadol), gula-gula ubat batuk, krim penahan matahari, minyak angin, balsam dan makanan “supplement”.

Lain-lain persediaan, anda boleh tambah sendiri mengikut keperluan yang dikehendaki dengan membaca makulmat dari buku yang berkaitan, blog pengalaman haji penulis lain atau pengkisahan dari keluarga, saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan yang sudah mengerjakan haji.

*

MENUNGGU

Setelah selesai semua persediaan dan berniat ihram, tiba masa hendak berangkat ke Padang Arafah pada 8hb Zulhijjah. Kami diminta oleh pihak petugas haji agar menunggu di bilik masing-masing sehingga panggilan untuk turun ke lobi hotel diumumkan. Tujuan menunggu ini adalah mengikut giliran bas yang bakal berangkat dan agar tidak bersesak di dalam lif.

Hmmmm cuba fikir….. siapa yang mahu menunggu di bilik lagi ? Hampir semua bakal jemaah haji KT 33 Sarawak di Tingkat 9 sudah bersiap sedia di luar bilik masing-masing dan tidak sabar untuk turun ke lobi hotel. Masing-masing sudah membawa beg di luar bilik dengan berpakaian ihram.

Proses menunggu itu mengambil masa hampir satu jam. Namun kami tidak berasa jemu kerana rasa teruja. Wajah -wajah bakal haji kelihatan ceria dan gembira. Hiruk pikuk di ruang luar bilik dengan perbualan jemaah haji yang menunggu. Dalam tempoh tersebut kami sempat mengabdikan foto kenangan di luar bilik masing-masing agar dapat ditatap di kemudian hari kerana Hotel Sevilla Barakat akan diroboh sebaik sahaja musim haji berakhir.

*

*

*

*

*

DI LOBI HOTEL

Setelah hampir satu jam menanti di luar bilik, kami dipanggil turun ke lobi dan menunggu panggilan serta giliran untuk menaiki bas yang akan membawa rombongan kami ke Padang Arafah. Di lobi, sudah ramai jemaah lain menunggu giliran untuk dipanggil menaiki bas.

Alhamdulillah, tidak menunggu lama, kumpulan kami dikehendaki memasuki bas. Saya mendapat tempat duduk sedangkan SPH berdiri sepanjang perjalanan selama 4 jam dalam jarak hanya 21.9km. Ia perjalanan yang panjang, lambat dan kami tersesat. Bas kami tersesat disebabkan pemandu bas bukan rakyat tempatan dan kebetulan ada sekatan polis sehingga bas terpaksa menggunakan jalan lain.

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

*

SAMPAI AKHIRNYA

Alhamdulillah, akhirnya rombongan kami sampai di Khemah Arafah pada jam 8.15 malam. Sungguh letih dan penat. Di sini, kita dapat mengambil pengajaran bahawa masya’ir pertama (Padang Arafah) sudah menuntut kepada keupayaan fizikal yang optima.

Duduk selama 4 jam tanpa pergerakan membuat fizikal kita letih dan badan jadi lenguh. Otak kurang cerdas untuk berfikir dengan baik. Rasa mengantuk dilayan agar apabila buka mata, tempat dituju sudah sampai. Mengangkat beg dalam jarak yang jauh dari bas ke khemah juga memenatkan. Lambatnya sebab nak cari khemah lagi. 

Setelah bertemu nombor khemah yang tertera pada kad yang digantung di leher. Saya mencari ruang bersama rakan sekumpulan seramai 10 orang yang telah ditetapkan berdasar nama yang tertera pada kertas yang dipaku pada tiang khemah. Kemudian saya ke bilik mandi untuk mengemas diri. Bila malam mengajak usia, saya masih belum tidur sehingga jam 1.00 pagi. Esok bangun seawal 4.30 pagi untuk menggelak kesesakan dan mengambil wuduk bagi solat tahajud dan solat subuh.

Kini, saya perlu berdikari dan melakukan semua kerja sendirian tanpa bantuan SPH. SPH tinggal di khemah 57L dan saya di khemah 16P. Kedudukan khemah kami jauh sedikit. Hanya telefon bimbit Nokia menjadi penghubung jika ada keperluan.

Dalam tidak percaya, saya kini sudah berada bersama jutaan jemaah haji seluruh dunia di padang Arafah dan menunggu waktu Wukuf keesokan hari.

*

“Ya Allah, mudahan Engkau mudahkan semua urusanku di Arafah ini dan diberi kesihatan yang baik. Semoga beroleh haji mabrur untukku dan SPH. Aamiin Ya Rabbal, alaamin.”

*

Mataku terpejam bersama senyum puas, diiringi doa penuh harapan dan badan yang amat letih. Aku membayangkan langit Arafah keesokan hari dan terlelap dalam lena yang singkat.

*

SELAMAT DATANG KE PADANG ARAFAH

*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima7 Julai 2018 (Selasa)/ 25 Zulkaedah 1439H/ 11.12 pagi/ Bintangor, Sarikei, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

 

 

 

12 thoughts on “CT480. PERJALANAN HAJI (3): PERSEDIAAN KE PADANG ARAFAH

  1. Assalamualaikum wr.wb Bu Hajjah Fatimah.
    Semoga selalu dalam limpahan berkah dan karunia dari Allah swt. Subhanallah, saya selalu senang menyimak cerita haji bu Fatimah.

    Untuk tikar alas tidur, artinya bisa juga kita membawa semacam sleeping bag? Karena setahu saya, fasilitas haji biasa dengan haji plus istilah di Indonesia berbeda jauh.

    Semoga Allah sampaikan usia dan rezeki saya untuk bisa berhaji. Aamiin ya robbal alamin. Salam hangat dari Jakarta Pusat 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….
      Aamiin Allahumma Aamiin. Alhamdulillah, mudahan kebaikan dan barakah juga menyelubungi mbak Frany sekeluarga di sana.

      Jika memounyai sleeping bag itu lagi bagus mbak. Saya tidak terfikir tentang sleeping bag ketika berhaji dahulu. Ia mudah dibawa dan ringan. Untuk bantal, jemaah haji Malaysia diberi bantal angin yang boleh ditiup dengan mulut. Sangat mudah menggunakannya. Jika ada kemudahan yang ringan dan dapat menyelesakan kita semasa berhaji, elok beli di tanah air kerana di Madinah dan Makkah harganya mahal.

      Insya Allah, jika keinginan sudah ada, yakinlah Allah pasti mendengarnya doa mbak. Yang penting usahakan wangnya dahulu untuk ditabungkan. Saya doakan agar mbak Frany dapat menjejak kaki di bumi penuh barakah tersebut. aamiin.

      Terima kasih mbak, selalu menjadi yang pertama di LMGS G2 ini. Saya amat senang sekali.
      Salam manis dna hangat kembali. 🙂

      • Wahh, bantal tiup bagus juga ya. Saya penasaran fasilitas yang didapat jamaah haji dari Indonesia. Selain dari pemerintah (departemen agama). Banyak juga yang melalui travel agent, seharusnya fasilitas lebih baik dari pemerintah. Jangan sampai terlantar.

        Aamiin ya robbal alamin. Terima kasih untuk doa tulus Bu Hajjah Fatimah. Insya Allah dikabulkan Allah swt.

        • Alhamdulillah, bagi pemerintah Malaysia keperluan fasiliti bagi semua jemaah haji terutama muassasah di Madinah dan Makkah disiapkan oleh pihak Tabung Haji. Malah pengurusan Tabung Haji Malaysia disenaraikan sebagai antara yang terbaik di dunia. Kami hanya perlu menyediakan wang belanja sahaja.

          Malahan banyak pihak dermawan seperti pihak syarikat dan orang perseorangan memberi sumbangan kepada jemaah haji yang bakal berangkat. Semua pemberian tersebut sebagai tujuan mengambil keberkatan dan usaha membantu para jemaah haji agar selesa berada di Tanah Suci.

          Antara sumbangan yang kami perolehi dahulu (2011) sebelum berangkat haji adalah seperti tikar, bantal tiup, payung, peralatan ubat gigi, tuala, peralatan mandi, krim matahari, balsam dan banyak lagi. Hanya perlu menambah sedikit keperluan dan makanan peribadi. Makan minum di sana semuanya disediakan seperti sarapan, makan tengahari, makan petang dan minum malam.

          Saya yakin, pihak pemerintah Indonesia juga memberi khidmat yang baik dan berkesan kepada jemaah haji di sana kerana kebajikan jemaah haji negara sepatutnya diambil berat oleh pemerintah sendiri.

          Salam manis mbak dan terima kasih atas kunjungan kembali. 🙂

  2. Assalamu’alaikum bunda. lama tidak bersua. semakin mantap saja tulisannya. dan yang tidak kalah keren, masih istiqomah untuk terus berbagi ilmu di laman ini. barakallah.. semoga senantiasa diberi umur yang berkah dan sehat selalu

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Ahsin Muslim….

      Alhamdulillah, pengkisahan haji saya belum sampai ke noktahnya, hanya tinggal 40 peratus lagi untuk menuju jalan penamat. Saya harap dapat memberi sedikit gambaran tentang perjalanan haji agar memudahkan yang belum pergi haji mengetahui dan membuat persediaan rapi. Semoga tulisan ini dapat menjadi amal jariah saya di akhirat nanti. Aamiin.

      Terima kasih atas doa dan kunjungan kemari serta komentar yang ditulis.
      Salam sejahtera. 🙂

  3. Assalamualaikum wbt, Pn Hajjah. Mohon copy dan edit beberapa gambar dari page ini. Saya ada presentation untuk kerja kursus. Gambarfoto dan video rakaman saya sendiri (2018) dah hilang akibat hard disk rosak.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.