CT129. ZIARAH MADINAH (2): JAUHNYA PERJALANAN KE RAUDHAH (1)

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Kali kedua saya berusaha mencapai Raudhah adalah bersama Kak Senah dan Kak Bedah (rakan sekerja Kak Senah). Usaha ini dilakukan pada hari kedua kehidupan kami di Madinah. Tetapi usaha itu telah gagal di stesen pertama lagi kerana tidak betah bertahan lama menunggu giliran. Ketika itu, serasa jauhnya perjalanan ke raudhah. Masya Allah, yang mengatur rencana (Allah swt) belum mengizinkan kehadiran kami ke sana pada hari itu.

Hari kedua adalah aktiviti Ziarah Dalaman yang termasuk dalam siri Ziarah Madinah seperti yang saya jelaskan melalui CT121. Ziarah Madinah (1): Kota Madinah Yang Dicintai Rasulullah saw. Aktiviti ziarah pertama ini dikendalikan oleh petugas Tabung Haji (Muassasah) kepada semua KT dari Malaysia yang terlibat. Namun begitu, ia tidak diwajibkan tetapi digalakkan terutama untuk jemaah haji yang belum pernah datang ke Madinah.

Ziarah Dalaman bermula pada jam 7.30 pagi. Tetapi saya dan SPH tertinggal dari rombongan KT 33 Sarawak kerana masih bersarapan pagi. Alhamdulillah, ketika kami bersiap sedia di ruang lobi hotel Moltaqa al-Alam untuk menunggu saki baki jemaah yang masih belum ke sana, kami bertemu dengan Tuan Haji Sharkawi dan isterinya, Kak Bedah dan; Pak Bakar dengan Kak Senah yang kebetulan ingin melakukan Ziarah Dalaman bersama. 

Melintasi pembersihan payung kembang pagi yang sedang dijalankan oleh pekerja.

Di bawah keindahan payung yang mengkagumkan. Karpet-karpet digulung kemas setelah digunakan untuk solat Subuh.

Melintasi  Babus Salaam sebelah lelaki sebelum menuju ke kawasan Perkuburan Baqi’

Saya dan SPH mengambil keputusan untuk bersama dua pasangan tersebut yang diketuai oleh Tuan Haji Sharkawi. Beliau adalah Pengurus Tabung Haji, Sarikei dan pernah menjadi petugas Tabung Haji di musim haji beberapa tahun lalu. Oleh kerana itu, beliau sudah mengetahui selok belok persekitaran Masjid Nabawi.

Saya dan SPH merasa lega sudah bertemu dengan orang yang menunjuk jalan. Semua ini rencana Allah swt. Tidaklah kami seperti “rusa masuk kampung”, terpinga-pinga tidak tahu arah tujuan. Kami berjalan beriringan memasuki dataran Masjid Nabawi menuju ke arah barat, menghadap Perkuburan Baqi dan Babus Salaam (kawasan Raudhah sebelah lelaki). Kami mengharap akan dapat bergabung dengan para hujjaj yang lain.

Alhamdulillah, setelah melalui puluhan payung “bunga kembang pagi” yang meneduhkan kepanasan, akhirnya mata saya bertumpu kepada sejumlah jemaah haji wanita dari Malaysia yang sedang mendengar taklimat dari petugas haji di hadapan bangunan berkubah hijau. Mereka menghadap ke arah Perkuburan Baqi.

Petugas Tabung Haji sedang memberi taklimat dan panduan kepada jemaah haji wanita Malaysia (muassasah) dalam sesi Ziarah Dalam di sebelah kanan bangunan masjid berkubah hijau menghadap ke Perkuburan Baqi’.

Pengenalan diri : tanda “MALAYSIA”  di belakang telekung atas kepala

Pengenalan diri : beg galas berwarna jingga (oren)

Mudah mengenali mereka dengan tanda nama “MALAYSIA” dalam tulisan jawi di belakang telekung atas kepala yang dijahit khusus sebagai pengenalan negara. Selain itu, beg galas berwarna jingga (oren) juga satu pengenalan khusus buat jemaah haji muassasah dari Malaysia.

Jemaah haji lelaki tidak kelihatan. Mungkin rombongan mereka sudah mendahului menuju ke Perkuburan Baqi. Kemudian, saya melihat SPH bersama Haji Sharkawi dan Pak Bakar menuju ke arah sana. Saya memaklumi SPH bahawa kami bertiga akan bergabung dalam kumpulan tersebut. SPH bersetuju dan kami berpecah dengan tidak mengikat apa-apa perjanjian untuk bertemu semula.

Oleh kerana kaum perempuan dilarang memasuki Perkuburan Baqi’, kami hanya berdoa ke arah tersebut dengan dipandu oleh petugas haji. Rasa hati ini, ingin sekali memasuki dan melihat dengan jelas perkuburan tersebut. Tetapi peraturan di Arab Saudi melarang perempuan memasuki kawasan kubur.

Sedang mendoakan para penghuni Perkuburan Baqi’. Semoga saya juga akan didoakan di tempat yang sama jika takdir Allah mengizinkan di bumi suci penuh keberkatan Allah ini. Amiin Ya Rabbal’alamiin.

Pintu masuk ke Perkuburan Baqi’. Wanita hanya boleh memasuk kawasan pintu tersebut. Perkuburan Baqi dengan Masjid Nabawi dipisahkan dengan pagar setinggi 4 meter.

Alhamdulillah, beberapa hari kemudiam, ada cerita menarik tentang kunjungan saya ke Perkuburan Baqi. Catatan CT134. ZIARAH MADINAH (4): MISI MENAKLUK PERKUBURAN BAQI’ mengisahkannya. Rencana ini tanpa saya sedari sudah dirancang oleh SPH buat saya.  Sungguh lucu dan mendebarkan. SPH sendiri tidak menyangka demikian kejadian yang berlaku. 😀 Yang pastinya ini semua rencana Allah yang menzinkan saya melihat Perkuburan Baqi dengan cara yang lain dari yang lain…hehehe. Terima kasih bang kerana bersusah payah. Alhamdulillah.

****************

MENUJU RAUDHAH

Setelah membimbing bacaan doa yang dikhususkan untuk penduduk Perkuburan Baqi’, petugas haji lelaki tersebut menyerahkan jemaah kami kepada petugas haji wanita pula untuk sesi melawat Raudhah al-Mutahharah.  Kami dibawa menuju ke Bab al-Nisa’ dan diberi taklimat ringkas tentang proses menuju ke Raudhah.

Disebabkan ramai yang bercakap-cakap, maka suara halus petugas haji wanita tanpa bantuan “healer” kedengaran tenggelam timbul di bawa angin yang sedang beriak-riak lembut menyapa jasad. Saya asyik bertanya-tanya dengan kak Senah apa yang diperkatakan oleh petugas tersebut. Kak Senah juga menggelengkan kepalanya tanda tidak mengetahui.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk melakukan sendiri perjalanan ke Raudhah. Memandangkan Kak Bedah sudah memasukinya pagi kelmarin. Saya dan Kak Senah mengharapkan pengalaman Kak Bedah membantu kami untuk menuju Raudhah bagi kali kedua. Walaupun saya dan Kak Senah sudah ke Raudhah pada malam pertama kami sampai, ingatan ketika itu langsung tidak membantu kerana kepergian kami tanpa dirancang dan tentulah suasana kelam malam tidak sama dengan waktu siangnya. 

Sebenarnya, saya tidak berkeinginan kuat untuk ke Raudhah hari ini atau hari-hari seterusnya. Menurut saya, cukuplah sekali sahaja dan memberi peluang kepada orang lain untuk memasukinya pula. Tetapi, apa yang saya dengar ramai jemaah haji sangat berbangga dengan banyaknya jumlah mereka memasuki Raudhah walaupun terpaksa bersesak dan menunggu lama. 

Menurut saya, dalam keadaan yang ramai, bersesak dan banyak masa “terbuang” menunggu di pelbagai stesen sehingga mencapai 2 – 3 jam, walapun boleh melakukan zikrullah, tetapi ramai yang saya lihat bercakap-cakap, mengumpat para polis wanita, berbincang bagaimana “menipu” untuk cepat memasuki stesen-stesen seterusnya daripada melakukan ibadah solat atau membaca al-Quran. Keadaan yang bersesak dan lamanya menunggu perpindahan antara stesen mengakibatkan ada jemaah haji wanita yang  tidak sabar, “tension” dan marah.

Hasil dari inilah, saya mengambil keputusan cukup SEKALI memasuki Raudhah. Insya Allah, memang tidak dinafikan adanya kelebihan memasuki Raudhah tetapi masuklah dengan hati yang tenang, ikhlas dan redha. Belum tentu banyaknya jumlah ke Raudhah, kita dijamin masuk Syurga. Bukan itu yang menjadi tujuan utama kita ke Masjid Nabawi, tetapi itulah yang menjadi tarikan semua jemaah.

Terdapat 8 setesen yang harus di tempuh untuk sampai ke Raudhah al-Mutahharah yang menjadi stesen terakhir iaitu stesen ke 9 dalam sesi perjalanan menujunya. Hendaklah banyak bersabar untuk ke taman syurga ini.

****************

PENANTIAN SATU SIKSAAN

Setelah memasuki masjid melalui pintu 29 (Bab al-Nisa’), kami terus mencari ruang untuk melakukan solat sunat tahiyatul masjid dan sujud syukur. Alhamdulillah, lebih kurang 15 minit kemudiannya, kami mengambil kata sepakat memulai ekspedisi ke Raudhah untuk kali kedua. Mata saya merenung kembali suasana yang ada di ruang solat wanita yang sangat luas.

Cahaya siang telah memperlihatkan keindahan yang luar biasa ke atas segala dekorasi dalam masjid dari apa yang pernah saya lihat pada kali pertama memasuki Masjid Nabawi. Subhanallah walhamdulillah, bisik hati saya meneruskan zikir di hati setiap kali mengkagumi apa yang saya renungi.

Kami terus memasuki stesen pertama. “Masya Allah, ramainya manusia, berapa lama agaknya untuk sampai ke Raudhah, kak ?, tanya saya kepada Kak Bedah. “Tidak tentu, mengikut jumlah manusia. Tetapi biasanya muka Asia macam kita ni lambat sikit, baik Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina selalu menjadi “mainan” oleh polis wanita Arab. Mereka melebihkan jemaah haji dari Asia Tengah dan Asia Barat.” jelas Kak Bedah dengan lanjut.

Saya hanya mengangguk sahaja kerana selalu mendengar cerita tentang sikap pilih kasih para polis wanita yang menjaga stesen-stesen tersebut. Kebenaran ini, saya alami sendiri apabila “terpaksa” memasuki Raudhah bagi kali ketiga. Kami mencari tempat duduk dalam kelompok jemaah haji Indonesia yang menjadi majoriti di ruang menunggu tersebut. Kami tidak kekok dan cepat menyesuaikan diri. Mereka sangat ramah tamah. Gema suara bercakap, ketawa, bergurau senda, marah dan pelbagai emosi telah memenuhi ruang tersebut.

Sukar bagi polis wanita yang bertugas mengawal jumlah yang ramai. Lagipun perbezaan bahasa selalu menjadi kekangan untuk mengharmonikan suasana. Ibarat itik dan ayam bercakap-cakap, masing-masing sukar memahami apa yang dimaksudkan. Kedengaran gelak tawa yang lucu apabila ada hajjah yang cuba mengajuk bahasa polis wanita tersebut. Hmmm… saya yakin polis itu mulai tertekan kerana arahannya tidak difahami dan tidak dipedulikan oleh jemaah kami.

***************

MANDUR + MANDUL = MUNDUR

Kedengaran jeritan polis wanita meminta kerjasama para hajjah untuk memenuhi ruang kosong bagi memberi laluan jemaah yang baru sampai untuk mengambil tempat. Satu kejadian lucu berlaku di depan saya. Saya memerhati sejak lama duduk di situ, sudah beberapa kali polis wanita yang bertubuh besar itu meminta para hajjah dalam kumpulan kami untuk berundur ke belakang.

Tetapi tidak dipedulikan kerana tidak faham apa yang dikatakannya. Dia juga memberi isyarat tangan ke depan dan ke belakang beberapa kali seolah-olah menolak sesuatu ke hadapan. Sambil itu mulutnya kecoh menyebut sesuatu ketika beraksi demikian.

“Mandur, mandur Ibu. Mandur hajjah.” Kadang terdengar seperti dia menyebut “Mandul, Mandul Ibu. Mandul hajjah.” Saya tersenyum sendirian mendengar sebutannya tetapi tidak faham apa yang dimaksudkan. Kerana tidak dapat menahan senyum, bermaksud mahu ketawa lepas dan serasa lucu pula, saya memberitahu Kak Senah dan Kak Bedah apa yang saya dengar supaya kelucuan itu boleh dikongsikan bersama.

Hahaha…. kami bertiga ketawa serentak. Rupanya mereka juga mendengar hal yang sama. Saya bagai nak terguling-guling atas lantai masjid menahan ketawa. Kak Senah mencuit-cuit saya supaya menahan diri. Tubir mata saya sudah berair. Kain telekung sudah basah untuk menggelap air mata yang berguguran. Perut rasa mengeras bila ketawa cuba ditahan.  Saya cuba mengawal diri, tetapi tidak berjaya. Entah kenapa perkataan itu jadi lucu sangat kedengarannya.

Tidak lama kemudian, terdengar seorang hajjah dari Indonesia bersuara kuat dan mulai bising dengan berkata, “sungguh tidak sopan mengatakan kami ini, semuanya mandul.  Hahaha…. seluruh kumpulan kami meledak ketawa mendengar apa yang dikatakan oleh hajjah tersebut. Polis wanita itu, terpinga-pinga melihat kami ketawa padanya. Entah apa yang difikirkannya pula. kasihan kalau dia merasa tertekan dengan apa yang berlaku.

Walaupun begitu, kami masih belum faham apa yang dimaksudkannya. Saya cuba meneliti dengan jelas maksud yang ingin disampaikan oleh polis wanita tersebut melalui bahasa isyaratnya. Akhirnya, saya tahu apa yang ingin diarahkannya. Saya berusaha mengambil insiatif untuk memecahkan kebuntuan dan “kedegilan” para jemaah yang mulai resah gelisah itu.

Saya mengangkat tangan dan berkata: “Ya ukhti, LA MANDUR WA LA MANDUL. WA LAAKINNA MUNDUR – MUNDUR  ke belakang”. Polis wanita yang berpurdah itu menoleh ke arah saya dan ketawanya kedengaran kuat sekali apabila mengetahui kesilapan pada sebutannya sehingga mengelirukan yang mendengar. “Masya Allah, syukran ya hajjah, syukran “.

“Mundur-mundur ibu, mundur hajjah.” Sebaik polis wanita itu menyebut perkataan yang betul sambil tangannya mengisyaratkan ke belakang, semua jemaah dalam kumpulan kami bertepuk tangan. Dia kelihatan gembira sekali dan senyuman mesranya terpapar di matanya yang indah. Serentak dia memberi arahan, kami pun berundur ke belakang dalam suasana yang gembira ria. Alhamdulillah. Lega dapat membantu.

****************

KEPUTUSAN

Hampir setengah jam kami berada di stesen pertama ini, belum ada tanda-tanda untuk bergerak ke stesen seterusnya. Di sana sini mula terdengar ketidakpuasan hati tentang kelewatan ini. Saya, Kak Senah dan Kak Bedah juga resah. “Kak, tidak payahlah kita pergi Raudhah. Kita kan sudah masuk ke Raudhah malam itu. Kak Bedah pun sudah pergi kelmarin. Cukuplah kak. Banyak lagi perkara yang kita boleh buat selain duduk berlama-lama menunggu masa yang kita sendiri tidak tahu bila akan beranjak ini.” jelas saya kepada Kak Senah dan Kak Bedah.

Alhamdulillah, Kak Senah dan Kak Bedah bersetuju dengan cadangan saya. Kami terus mengeluarkan diri dari ratusan jemaah haji yang sangat teruja untuk ke Raudhah. Saya pasti mereka belum lagi menjejak kaki ke Raudhah. Saya doakan dalam hati agar usaha penungguan mereka akan berakhir di tikar Raudhah yang saya dengar sangat padat dan sukar untuk mendiri solat sunat berlama-lama.

Maha Suci Allah yang telah menyusun rencana untuk saya hadir seorang diri tanpa teman, bagi kali ketiga menuju Raudhah di malam terakhir saya berada di Madinah. Tanpa saya sedari, pengalaman yang berasbab kepada paksaan SPH yang tidak percaya bahawa saya telah memasuki Raudhah di malam pertama kehadiran di Masjid Nabawi, sebenarnya sangat mengesankan saya untuk mengambil pengajaran dari apa yang ingin Allah swt hadirkan kepada saya terutama melatih sifat sabar dan redha. Alhamdulillah.

****************

29 September 2012 (Sabtu)/ 13 Zulkaedah 1433H/ 6.45 petang – Hotel Dormani, Kuching,  Sarawak

AKU….. dan kemenjadianku di dunia ini adalah takdir yang sudah tersurat dalam kuasa Tuhanku Yang Maha Mencipta. Aku yakin, ENGKAU tidak pernah mensia-siakan kehidupanku. Aku percaya, walau di mana aku berada, tidak akan pernah hilang dari pandangan-MU yang selalu mewarnakan hidupku dengan pelangi kasih-MU. Aku pasti, saat jantungku berhenti berdetak, kesakitan terasa di serata jiwa, KAU hadir tika aku berduka dengan sentuhan lembut sayang-MU. Aku terharu, kerana wangi cinta-MU yang selalu mengharum jiwaku. Aku berjanji akan berusaha menjadi hamba-MU yang diredhai di sisi-MU. Aamiin Ya Rabbal’alamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

****************

AKU BUKAN SIAPA-SIAPA… HANYA INGIN MELEPASKAN RINDUKU DI DADA LANGIT

27 thoughts on “CT129. ZIARAH MADINAH (2): JAUHNYA PERJALANAN KE RAUDHAH (1)

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb….

    MUHAMMAD by Maher Zain… Semoga kita sentiasa istiqamah sebagai pengikutnya yang setia. Menuruti segala sunnahnya. Menjadikan baginda saw berbangga dengan kita di akhirat kelak. Membuat Rasulullah saw tersenyum indah. Menjaga akhlak sebagaimana akhlak Rasulullah saw yang azimah dan karimah. Ya Rasulullah… aku mencintaimu di sini… DI HATIKU.

    DEDIKASIKU UNTUKMU…. jadilah kita ini hamba yang ingin selalu mensyukuri segala nikmat Tuhan. Duhai jiwa yang mengerti… jadilah dirimu sebening kaca dan sejernih air, yang selalu tenang dan menyejukkan hati ini. Semoga mendapat keredhaan Allah swt dalam segenap kehidupan yang dilalui di dunia dan di akhirat. Terima kasih untuk segala kebaikanmu. Aamiin.

    Wassalaam. 😀

  2. Ass….

    Indahnya bila kia dapat menjalankan ibadah dengan tertip berada dilokasi yang mustajab. Artikel yang dapat memberikan pengarahan kepada para jaamah. Semoga bermanfaat bagi yang memerlukannya.

    Sukses selalu

    Salam Wisata,

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra…

      Subhanallah, perjalanan suci yang tidak bisa dilupakan. Pasti akan selalu merinduinya dan ingin kembali semula untuk melaksanakan ibadah Umrah pula.

      Alhamdulillah, semoga pengalaman yang dicatat dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukannya sebagai panduan dan hikmah.

      Terima kasih mas Indra.
      Salam sukses kembali dan semoga dilindungi Allah selalu. 😀

  3. Assalamu’alaikum Bunda..

    perjalanan yg melelahkan ya Bund, tapi terlihat Bunda sangat menikmatinya dan senang sekali, apalagi dalam kereta yang ada polis wanita dengan salah kata pula, lucu sekali ..

    semoga Bunda selalu dalam lindungan Allah swt, amin, sehat n bahagia selalu..

    salam sayang dari jakarta.. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Fitray yang manis…

      Iya, sangat lelah untuk menuju ke Raudhah dalam puluhan ribu yang ingin berkunjung di sana.

      Dimaklumkan bahawa kunjungan malam tidak sesak, tetapi pengalaman bunda di malam terakhir di Madinah ternyata tidak seperti apa yang disangkakan. Hingga jam 1 pagi pun masih ramai yang mengerumuni Raudhah.

      Hehehe… kisah di atas bukan dalam kereta, Fit, tetapi di dalam Masjid Nabawi saat menunggu giliran di stesen pertama. 😀

      Aamiin… Ya Rabbal’alamiin.
      Terima kasih doanya Fit dan bunda doakan juga Fitray dalam ramaht Allah serta diberi kesehatan juga kebahagiaan dalam menjalani kehidupan ini. Aamiin.

      Salam sayang kembali dari bunda yang jauh. 😀

  4. alhamdulillah, ternyata beda bahasa bisa menimbulkan pemahaman yang berakhir menyenangkan dan bukan kemarahan saat berada di tanah suci…subhanallah,
    dan melihat foto-fotonya, jadi sangat ingin menjejakkan kaki kembali di tanah suci…:)
    salam hangat dari Makassar – Indonesia 🙂

    • Alhamdulillah, tidak berlaku apa-apa yang boleh mengakibatkan perbalahan walaupun ada ketika hal seperti ini terjadi jua tetapi masih terpencil lagi dan dapat diatasi dengan berhemah.

      Semoga mas Hariyanto akan dapat kembali lagi ke sana. Niat yang baik pasti akan diperkenankan Allah dalam waktunya. Aamiin.

      Salam hangat kembali dan terima kasih mas Hariyanto. 😀

  5. Selamat sore Bunda.

    Gimana kabarnya?

    Pasti baikkan.

    Sungguh saya takjub lihat para jamaah yang ramai untuk datang berziarah.
    Kiranya akan mendapat berkah dan umur panjang buat mereka dan bunda yang ada disana.Saya tak dapat berkata apa-apa setelah melihat gambar ziarah tersebut.

    Semoga bunda dan keluarga tetap sehat dan panjang umur.AMIN.

    • Salam ‘alaika mas Abed…

      Alhamdulillah, saya dan keluarga dalam sihat wal’afiat. Didoakan mas Abed dan keluarga juga demikian sama dalam keredhaan Allah swt.

      Mudahan dengan kesihatan yang baik ini, kita dapat menjalani kehidupan dengan ceria dan beramal ibadah dengan cergas dan cerdas. Aamiin. 😀

      Subhanallah,demikianlah Allah memakbulkan doa Rasulullah saw dan doa Nabi Ibrahim a.s agar setiap hati umat Islam akan cenderung untuk merindui dan mengunjungi Madinah dan Makkah.

      Semoga mas Abed akan dijemput ke sana jua dan merasai sama apa yang pernah saya dan jutaan umat Islam lain melaluinya.

      Terima kasih atas kunjungan ini. Semoga sukses selalu.
      Salam ceria di penghujung pekan. :D.

  6. Assalamualaikum wr. wb

    Maaf kawan, baru punya kesempatan untuk merangkai silaturohmi kembali.

    Terima Kasih telah menceritakan pengalaman yang sangat membantu terutama kepada saya, karena Allah belum memberikan kesempatan kepada saya untuk menyapa tanah suci, tapi Insya Allah waktu itu akan datang disaat yang tepat.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Trinil…

      Alhamdulillah, lama juga tidak bersapa dan bersilaturahmi untuk berbagi hikmah yang bermanfaat di blog. Mudahan kesempatan yang masih berbaki ini dapat menambah ilmu dan meningkatkan pengetahuan kita dalam apa juga pengalaman yang dikongsikan.

      Demikianlah tujuan dan hasrat hati untuk menulis setiap laku pengalaman yang Allah swt tatakan dalam perjalanan suci ini untuk membantu saudara muslim dan muslimah yang belum berjejak tapak ke sana. Namun yang pastinya setiap pengalaman itu berbeda.

      Terima kasih mas Trinil sudah singgah. Didoakan banyak kebaikan yang dapat diraih untuk pedoman akan datang.

      Salam sejahtera selalu. 😀

  7. Assalamualaikum Mbak Siti. Cerita pengaman berhajinya tak putus dan bikin syahdu bagi yg membaca. Semoga pahala berlimpah bagi Mbak Siti sekeluarga krn sharing pengalaman rohani sprt ini sungguh berguna bagi yg belum berhaji..

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi yang baik…

      Alhamdulillah, kisah pengalaman haji ini akan terus berlanjutan sehingga ia terhenti dengan sendirinya untuk memberi panduan dan semangat kepada teman-teman yang belum berhaji.

      mudahan ini dapat dijadikan sedekah buat amal akhirat saya kelak. Aamiin. namun ambillah yang baik dan tinggallah yang buruk jika ada yang tidak berkenan di hati atau menyalahi apa yang difikirkan bertentangan dengan pendapat sendiri.

      Terima kasih atas doanya, mbak. Semoga mbak Evi dan keuarga juga dilimpahi keberkahan oleh Rabbul Jalil. Aamiin.

      Salam manis di heretan malam yang kian larut, mbak Evi. 😀

  8. Assalamu’alaikum Wr. Wb….

    Terima kasih telah berbagi pengalaman penuh makna. Perjalanan yang penat ya Mbak. Namun, kepenatan akan segera hilang karena datangnya berkah.

    Salah satu berkah kan sudah langsung dirasakan: ” Mandur… mandur… mandul…! (he.. he.. he…!)

    Salam selalu…

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Raden….

      Iya, memang penat tetapi cukup mengesankan tambah lagi kita berada di Kota Suci, Madinah yang tentunya setiap kejadian yang dilalui akan dikenang dengan penuh indah walaupun perit pengalamannya.

      Hehehe…. ada kalanya perkara lucu itu mengurangkan tekanan yang sedang dialami.

      Terima kasih mas Raden.
      Salam ceria selalu. 😀

  9. sesungguhnya itulah carpet merah anda ke Syurga.Insyaallah saya doakan semoga pautan ini dan iman anda sebagai salah seorang srikandi Syurga bersama-sama Saidatina Khadijah Khuwailid R.A.Semoga penulis jawapan ini akan bersama.

  10. Pingback: CT232. ZIARAH MADINAH (10): JAUHNYA PERJALANAN KE RAUDHAH (2) | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.