CT202. DARI LENSA MATAKU (3): AKSI IKAN TEMBAKUL

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuh

TembakulFatima1Aksi

Kenalkah anda dengan ikan tak serupa ikan ini ? Inilah IKAN TEMBAKUL atau IKAN BELACAK atau IKAN BELODOK. Sila lihat DI SINI (WIKIPEDIA) Di kampung, kami memanggilnya dengan pelbagai nama seperti ILONG, MBEKEK dan MBAKOI (sebutan macam tidak cukup huruf sahaja.) :D. Mungkin di tempat anda, lain namanya.

Semasa kecil, saya selalu melihat ikan ini di dalam parit pada waktu air surut. Ia tidak besar. Tetapi ketika melihatnya di tebing Sungai Rajang, sungguh memeranjatkan, ada yang sangat besar. Mungkin itu bapak Tembakul atau emak Tembakul yang sedang “mengandung”. 😀

Saya memang geli melihat wajah tembakul yang pelik. Tidak serupa ikan tetapi dinamakan ikan. Tidakkah itu pelik ? Kalau tiba-tiba sahaja tembakul melompati saya, secara drastik saya akan terlompat sama. Terkejut dan geli. Saya tidak faham, kenapa ada orang sanggup makan ikan tembakul. Boleh ke ? Apakah anda pernah makan ikan tembakul ini ? Bolehlah dikongsikan keenakan dan cara memasaknya. 😉

*

ARTIS FILEM

Tahukah anda bahawa generasi lama ikan Tembakul yang sedang “mengandung” pernah menjadi artis filem ? Pelakon utama ? Bukan, bukan. Tetapi sekadar “pelakon tambahan” yang harus dikorbankan diri dan telurnya secara “real”. Lakonan berani mati Sang Tembakul “mengandung” ini hanya boleh kita saksikan di dalam sebuah filem lama keluaran tahun 1959 yang berjudul BATU BELAH BATU BERTANGKUP.

Sinopsis ringkas filem yang dibintangi oleh Seniwati Neng Yatimah (ibu) dan Bat Latif (anak masa kecil) sangat tragis. Filem ini mengisahkan seorang ibu yang mengidam telur ikan tembakul. Atas kerakusan anak lelaki kecilnya memakan semua telur ikan tembakul tersebut, si ibu sangat marah dan kecil hati lalu menyerah diri untuk dimakan oleh Batu Belah Batu Bertangkup.

Macam kes bunuh diri sahaja. Allahu Akbar, lemahnya iman manusia hanya kerana kempunan. Kalau Sang Tembakul “mengandung” tahu “ending” sang Ibu ini mati dimakan Batu Belah Batu Bertangkup, pasti dia gembira kerana hukum qisas atas kematiannya telah berbalas.  😀 Di sini, saya lampirkan filemnya jika ingin mengetahui lebih lanjut. 

*

LOKASI PENGGAMBARAN

TembakulFatima15LokasiGambar

(Foto capaian Googles) Inilah lokasi di mana saya merakam aksi ikan tembakul. Ketika saya merakam aksi ikan tembakul, air sungai Rajang sudah surut dan tebingan sungainya jelas terhampar.

*

MENGISI HUJUNG MINGGU

Untuk mengisi masa lapang di hujung minggu yang bercuaca cerah dan panas, saya mengajak SPH untuk menemani saya ke tebing Sungai Rajang berdekatan dengan dermaga pelabuhan Sungai Rajang untuk merakam pemandangan indah Sungai Rajang (sungai terpanjang di Malaysia). Muhammad (anak ketiga) beriya-iya hendak ikut sama kerana bosan terperap di rumah, selain hendak menjadi “body guard” orang tuanya.

Kami sampai di tebingan Sungai Rajang pada jam 9.35 pagi dan mengakhiri sesi penggambaran tepat jam 10.30 pagi. Cuaca sangat baik, cerah dan hangat mentari mulai memeluk sesiapa sahaja yang berada dalam laluannya. Alhamdulillah, cuaca begini sangat sesuai untuk merakam foto dari sudut pencahayaan.

Bahang panas yang mulai membakar kulit wajah tidak melemahkan semangat saya kerana sejak semalam sudah memasang angan-angan untuk sesi fotografi alam ini. Dengan pakaian jubah hitam tentu penyerapan haba mudah meresap ke seluruh tubuh sehingga menghadirkan manik-manik keringat yang tidak menyelesakan. Rasa tidak selesa ini terpadam apabila aktiviti klik sana klik sini mula dijalankan.

Panorama tebingan sungai yang berlumpur dan kesibukan aktiviti manusia di Sungai Rajang sungguh mengasyikkan. Saya berpuas hati apabila lensa Canon EOS 650D dapat menangkap dengan baik segala gerakan objek yang menjadi intipan. Percikan air yang berkocak kerana asakan bot-bot kecil dan bot ekspres yang membawa penumpang melanggar atas tebing telah menghasilkan ombak kecil yang mengasyikkan.

TembakulFatima16Tebing

Lokasi merakam aksi ikan-ikan Tembakul yang sedang bersantai-santai di tanah becak (berlumpur) di tebing Sungai Rajang. Ketika ini air Sungai Rajang sedang surut.

*

AKSI IKAN TEMBAKUL

Dalam asyik merakam, tiba-tiba Muhammad memberi saranan yang sangat bijak dan tidak terfikir oleh saya. “Mama, cubalah ambil gambar ikan tembakul tu. Besar-besar ikannya.” jelas Muhammad sambil menunjuk ke arah ikan-ian tembakul yang sedang bermain di atas tanah lumpur.

Saya berpaling ke bawah tebing untuk melihat objek yang Muhammad tunjukkan. Saya jadi tertarik dan melepaskan pandangan dari Sungai Rajang ke arah ikan-ikan tembakul tersebut. Lalu mulai beraksi sama untuk mencari sudut terbaik bagi menghasilkan rakaman yang benar-benar mengkagumkan saya. 😀

Aksi-aksi akrobatik ikan tembakul secara natural dan sangat pantas memerlukan kesabaran untuk mengetik dengan pantas juga. Jika tidak saya akan terlepas momen menarik dari aksi seperti saya paparkan di bawah ini.

Sayang sekali, saya terlupa untuk menukar kepada “mode continuously” di mana, saya boleh mengklik banyak secara berterusan. Jika mod itu digunakan, pasti setiap kronologi aksi tembakul dapat saya takluki.

Saksikan hasil ketikan saya untuk kongsian bersama. Ingin saya maklumkan, foto-foto di bawah sudah saya cantas (crop) untuk dibesarkan agar anda dapat melihat dengan jelas aksi ikan tembakul yang mengkagumkan secara dekat.

*

AKSI PERTAMA

TembakulFatima6Siap

Lama saya menunggu sang tembakul A yang mungkin sedang bersedia  untuk aksi lompatan akrobatiknya.

TembakulFatima4Bersedia

Sempat merakam permulaan lompatan pertama dengan sekali ketikan sahaja. Jika saya menggunakan “mode continuously”, pasti lebih menarik lagi.

TembakulFatima11Landing

Sang tembakul sedang “landing” dengan melibas ekornya dengan cantik sekali. Saya belum berpuas hati dan mencari Tembakul lain pula.

*

AKSI KEDUA

TembakulFatima2jalan

Dari jauh, saya lihat sang tembakul B berjalan dengan bergaya dan pantas. Ia kelihatan sedang tersenyum. Happy sahaja nampak wajahnya…heheh. Saya ingatkan kaki tembakul itu banyak. Rupanya sirip depan yang berfungsi sebagai tangan, menolak tubuhnya dan menghasilkan tekanan tanah becak dengan garisan di kedua-belah tubuhnya. Wow. Sangat cantik. Lihat di bawah ini.

TembakulFatima3Manja

Sungguh mengejutkan saya apabila ikan tembakul B ini beraksi merebahkan dirinya tiba-tiba. Saya ingat ia pengsan. Saya yakin anda tidak pernah melihat aksi manja tembakul ini. Saya jadi ketawa melihatnya. Mungkin tabiat tembakul begitu ? Harus dibuat kajian tentang hal ini. Aksi bergolek itu tidak lama. ia kembali kepada kedudukan asal sebelum meneruskan perjalanannya dengan lebih bergaya seperti di bawah.

TembakulFatima7Bersiar

Lihat, cantiknya laluan jalan seakan daun paku pakis secara memanjang.  Saya pelik melihat tembakul B mengembangkan tubuhnya ketika berjalan. Ia seakan memperlihatkan keegoannya. Tidak seperti gaya jalan pertamanya, lurus dan tertib.  Mungkin kerana melihat saya asyik mengetik fotonya, lalu ia cuba memperlihatkan “bakat semulajadi”nya. 😀

TembakulFatima8Rebah

Sekali lagi tembakul B merebah dirinya. Geram saya melihat aksi manjanya yang suka rebah-rebah badan itu. Apa yang hendak ditunjukkan kepada saya agaknya. atau mungkin saya yang perasan sendiri. 😀

TembakulFatima5lompatan

Rupanya setelah merebah diri seperti di atas, tiba-tiba sang tembakul B melompat drastik dari rebahanya. Saya yang sudah siap siaga mengintip aksi yang bakal dipamerkan terus mengetik punat kamera sambil mengharap sesuatu yang lebih cantik dari tembakul A. YES ! Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menangkap momen paling cantik dari tembakul B yang manja itu. Ia seakan berdiri sambil bertepuk tangan dan terbang melompat tinggi. Mungkin ditujukan kepada saya yang sabar melihat aksi-aksinya tadi. 😀

*

 AKSI KETIGA

TembakulFatima12siapsedia

Setelah berjaya menangkap aksi tembakul B saya mencari tembakul C pula. Ahhh… itu dia. Saya mengintip dari celahan pagar krom yang merentang panjang di tebing Sungai Rajang untuk memastikan tembakul C akan beraksi juga. Saya sabar menanti dan mengharapkan sesuatu yang menarik akan berlaku.

TembakulFatima9Siapterbang

Setelah beberapa minit menunggu, tiba-tiba tembakul C memusingkan badannya, berjalan seakan seekor belalang. Ia mengembangkan seluruh sirip tubuhnya. Di sini, baru kelihatan bentuk ikan tembakul sebenar tetapi aneh bentuknya. Apa pula yang hendak dilakukannya. Seperti sedang bersedia melakukan sesuatu. Mungkin sebuah serangan hendap kepada mangsanya. atau sekadar menunjukkan gaya kejantanannya kepada saya lalu berusaha mempamerkan  aksi lebih menarik darinya pula. Mungkin ! 😉

TembakulFatima10Terbanglagi

Setelah berkeadaan begitu, tembakul C tiba-tiba melompat dengan pantas. Saya bertindak secepat kilat mengetik aksi lompatan yang tidak diduga itu. Alhamdulillah, terlihat tembakul C melenggokkan tubuhnya dengan kekuatan ekor untuk menolak diri melompat ke udara. Cantik dan sungguh mengkagumkan. 

TembakulFatima13Tempatmain

Kemudian tembakul C, mendarat dengan menghempaskan tubuhnya ke tanah becak. Cuba lihat kesan lekukan memanjang pada tanah. Lekukan itu terbentuk apabila para tembakul selesai mengadakan lompatan yang menasyikkan. Mungkin sejenis permainan yang tidak pernah kita saksikan dari spesis ikan dua alam ini.

*

REHAT

TembakulFatima14Rehat

Beberapa tembakul lain sedang “berehat” di dalam lubang kecil yang bertakung air. Mungkin mereka telah penat dan mahu berendam sebentar sebelum menjalani rutin harian yang mengasyikkan.  Saya sangat gembira dan sempat mengucapkan Terima Kasih  kepada semua tembakul yang telah bekerja sama menjadi objek Dari Lensa Mataku. Rasa hendak beri hadiah kepada para tembakul itu  😀

*

PUAS

Alhamdulillah, satu kepuasan yang tidak digambarkan apabila dapat melakukan sesuatu yang saya suka. Kesabaran, minat dan keinginan yang kuat untuk mencari sesuatu yang lain dari biasa tentu menghilangkan segala kepenatan dan kehangatan yang sedang melanda. Terima kasih tidak terhingga kepada SPH dan Muhammad kerana sabar melihat aksi-aksi saya yang sedang asyik klik sana klik sini selama satu jam tanpa mempedulikan mereka.

Ternyata, bukan mudah hendak menjadi fotografer profesional. Malah ke tahap amatur juga perlukan kesungguhan. Inilah pengalaman pertama saya merakam foto secara serius dengan CANON EOS 650D. Sungai Rajang saksi sebuah permulaan untuk langkah seterusnya.

*

Apakah anda pernah melihat aksi-aksi akrobatik ikan tembakul seperti di atas ?

*

 **************

23 Oktober 2013 (Rabu)/ 18 Zulhjjah 1434H/ 9.45 malam- Sarikei, Sarawak

AKU…. menyedari bahawa langit tidak selalu cerah kerana awan yang berarak seringkali mengagah mendung untuk menurunkan hujan. Kan ku sedia payung untuk menjauhi basah. Begitu juga, matahari tidak selalu menyinar kerana angin yang selalu mengiringi awan untuk menghalang hangatnya alam. Kan ku lalui setiap pelusuk bumi dengan gembira. Ketahuilah, kehidupan kita tidak selalunya bahagia, andai cinta hakiki tidak kita cari untuk menunjang perjalanan menuju cinta Ilahi. Allahu Rabbi.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

DEDIKASIKU UNTUKMU…. senyumlah. 😀

RinduFatima4smiletoyou

TIDAK PERNAH MEMBISU, DI HATI TETAP BERBICARA

*

15 thoughts on “CT202. DARI LENSA MATAKU (3): AKSI IKAN TEMBAKUL

    • Alhamdulillah, senang menerima kunjungan dari Dina. Mudahan kembali aktif seperti dahulu. Harus banyak belajar bersabar dalam fotografi ini. Jika tidak, hasil ketikannya tidak memuaskan hati.

      Terima kasih Dina.
      Salam mesra selalu. 😀

  1. mengamati tingkah laku hewan memang mengasyikkan karena bisa mendatangkan rasa takjub akan kebesaran Alloh Ta’ala. Apalagi pada beberapa hewan, tingkah laku yang dilakukan tidak serta merta langsung bisa dilihat, harus membutuhkan kesabaran menunggu moment yang tepat.

    • maaf kembali lagi, salah menggunakan akun. Akun yang di atas itu blognya tidak bisa dibuka karena itu blog private saya. Maaf ya Bu, seharusnya akun yang ini

    • Alhamdulillah, satu nikmat apabila kita diizinkan Alah SWT untuk menyaksikan kehebatan ciptaan-NYA. Saya sendiri tidak menyangka akan mengabdikan aksi ikan tembakul sedangkan tujuan asalnya adalah merakam panorama indah di Sungai Rajang.

      Terima kasih Pakies.
      Salam hormat. 😀

    • Ini bukan lele (di sini namanya ikan keli), Purnomo. Habitat ikan ini hidup di parit atau tebingan sungai yang berlumpur. Kalau ikan lele itu adalah ikan air tawar, kan. Bagaimana rupanya ikan gabus ya.

      Terima kasih, Punomo dan salam sejahtera. 😀

  2. Assalamu ‘alaikum wr. wb. umiku syng
    nanda mampir lagi, menyapa ummi dan ikan tembakulnya 😀

    neni teringat masa kecil, semaktu bapak masih aktif sebagai pengolah tambak, setiap dia hendak ketambak, neni selalu ikut, dan ikan tembakul banyak disekitaran tambak, neni lupa apa yah namanya dikampung, dah lupa, dah lama sih ngk silaturahim dngn mereka :D.

    teringat banget masa kecil, jadi kangen dizaman dulu tuh,asyik banget saat bermain dengan hewan laut dan hewan sungai…

    ummi dari jalan toh, kapan ?
    neni dari jalan jg kemarin, hilangkan penat…
    alhamdulillah, indahnya alam ini karena_Mu ya Allah……..
    seneng jadi hamba Allah 🙂

    salam hangat dari ananda, kangen ummi.. muuaacchh…

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, nanda Neni….

      Alhamdulillah, senang menerima kunjungan Neni di hujung minggu begini. Malah tersenyum membaca kisah Neni di atas. Asyik ya kalau kita mempunyai zaman kanak-kanak yang dapat dikenang hingga kini.

      Tentu ikan tembakul di sana sama seperti spesis yang Umi fotokan di atas cuma beda besar atau kecilnya sahaja.

      Maaf, kalau kurang menyapa Neni, Umi sibuk dan perlu istirehat juga. Mudahan kita saling mendoakan kebaikan dari kehidupan yang dilalui dan sentiasa sukses dalam apa juga bidang yang diceburi.

      Salam hangat kembali dan rindu juga dari Umi. 😀

  3. Mbak, foto-foto aksi ikan tembakul-nya luar biasa dahsyat. Tergambar disini kelihayan mbak memainkan kamera dan kesabaran mbak menangkap momen-momen aksi ikan tembakul itu. Salut…

    Salam,

    • Maaf, saya belum sampai tahap lihai lagi, mas Titik Asa. Cuma perlukan sedikit kesabaran menunggu aksi yang tidak dapat dijangkakan kecepatannya.

      Penat juga menunggu aksi tersebut ditontonkan. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga merakam aksi yang tidak pernah saya fikirkan tentang ikan tembakul selama ini.

      Terimak kasih dan salam sejahtera. 😀

    • Iya, memang lincah dan sukar diramal kedudukan loncatannya.
      Salut kerana Maskur pernah menangkapnya. Satu aktiviti yang tentu memerah tenaga untuk menangkap seekor ikan yan sangat aktif erakannya di darat.

      Terima kasih dan sam sejahtera. 😀

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.