CT479. DUKA ITU MENDEKATKAN KITA KEPADA ALLAH

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

“Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan itu adalah zalim. Tetapi bila kejahatan dibalas kebaikan itu adalah mulia dan terpuji.”

*

Setiap kata-kata yang kita ucapkan mempunyai dua kesan sama ada menyenang atau menyakitkan bagi yang mendengar dalam komunikasi dua hala. Berhati-hati dengan ucapan agar tidak ada hati yang terluka, kecewa dan membenci. Akhirnya mewujudkan rasa marah dan berhujung dengan permusuhan. Sekali anda berkata ia mungkin boleh dimaaf tetapi tidak mungkin dilupakan.

*

Kerana pulut santan binasa. Kerana mulut badan binasa.

Tidak semua manusia mampu menahan diri apabila dicaci, dihina atau dilontar dengan sindiran yang menikam ulu hati. Salah hari bulan, boleh menyebabkan aksi-aksi tidak diingini berlaku seperti “bertikam lidah”, bergaduh dan balas dendam.

Benar, sabar adalah sebahagian dari iman. Malah kita diingat dan dijamin bahawa Allah bersama orang yang bersabar. Ia bukan perkara mudah. Jika berlaku, hati tetap akan retak dan berbekas luka.  Lidah seseorang dapat menggambarkan hatinya. Setiap mata menilai tingkah laku dan memberi “markah” kepada tindakan yang kita hasilkan.

Pengalaman selalu mengajar kita menjadi lebih matang dan dewasa untuk mendepani segala cabaran yang dikaitkan dengan tingkah laku manusia yang pelbagai. Kita perlu berusaha untuk mewujudkan komunikasi yang baik sesama insan agar dapat hidup dengan harmoni. Sering kita bertemu dengan manusia yang sikapnya “lepas cakap”, tidak menjaga hati, suka menyindir dan ingin menang dalam apa situasi.

Sungguh, aku tidak terlepas dari berhadapan dengan manusia seperti yang dinyatakan. Hati ini rasa terusik apabila mengingati dugaan dan ujian Allah dalam berkomunikasi dengan manusia di kota ilmu (Bandar Baru Bangi) ini. Kerap kali aku tersentuh kerana hatiku sangat rapuh. Rasa yang menggigit hati tentunya. Pedas dan panas.  Itulah kerja lidah yang tidak bertulang. Mampu menghiris hati dan merobek jiwa.

Dalam kepayahan mengubat luka yang mengalir, aku tetap bersyukur pada setiap rasa yang berhimpun. Aku menjadi semakin hampir kepada-Nya. Benar, Allah selalu mahu kita dekat dan ingat pada-NYA agar tidak lalai dan leka dalam kegembiraan dan kebahagiaan. Walau hanya ujian hati, ia tetap bernama ujian untuk meningkatkan iman. Jika tiada ujian, bagaimana kita mengaku kita adalah orang yang beriman.

Hari ini, dalam kesibukan mengemas kamar kecilku yang seperti kapal pecah oleh buku-buku yang bergelimpangan di sana-sini dalam menyibuk diri untuk menyiapkan tugasan tesisku semalam. Ia benar-benar membuat aku lelah dan ingin tidur semahu-mahunya.

Tiba-tiba ingatan melayang kepada beberapa peristiwa yang bagaikan kain kapal layar, terbentang segala lakonan benar sama ada yang dilalui sendiri atau didengar melalui orang lain. Cerita-cerita yang tidak mampu untuk dibenarkan dengan kata-kata. Aku tiada upaya. Aku seorang mahasiswa yang sekadar maju untuk mencari ilmu, belajar dan menyelidik.  Ia bukan perkara mudah untuk cepat mengalah. 

Aku biarkan sahaja masa berlalu membentangkan kebenaran. Aku yakin Allah Yang Maha  Adil pasti menampakkan kebenaran yang tidak mampu kita buktikan. Dengan doa sebagai senjata, alhamdulillah…… seringkali Allah tunjukKan jalan-Nya sebagai menenang jiwa hamba yang teraniaya.

Aduuhhh…sakitnya tiba-tiba datang. Sakit itu dihatiku. Sangat dalam. Terhiris. Bagaimana mahu menahan rasa tajam itu. Sentuhannya betul-betul tajam. Setajam sembilu yang membedah jantungku sehingga mati gerak denyutannya. Tidak ada penawar yang mampu menyembuh segala duka yang melanda.

Mempunyai teman sehati sejiwa dan sekepala dalam kerja kumpulan tidak menjadi masalah apabila hendak menyiapkan tugasan. Semuanya beres dan memuaskan. Kita dapat bekerja dengan harmoni dan menghasilkan tugas dengan jaya. Sebaliknya, jika ahli kumpulan yang tidak sebulu sekata walau hanya seorang, suka membantah, banyak alasan dan olah yang memeningkan walau umur sudah matang, ia tentu menyesak dada dan geram menggodam.

Setiap kali ingatan itu datang, sakit pasti mengundang. Cepat-cepat aku bersujud pasrah ke hadrah Kekasihku yang tidak pernah hampa memberi ketenangan. Ku pejamkan mataku…..dalam-dalam, sekuat hati. Ku genggam  kukuh kepalan tangan …saat itu hati ku dipenuhi doa dan bacaan kalamNya. Aku merasai hampirnya IA mencurahkan sejuknya jiwa, melembutkan getar sengsara.

Allah…Allah..Allah…hatiku berbicara sendu, mengharap sakit itu berkurang sambil berdoa mohon keampunan jika itu balasan segala dosa yang wajar mendapat tempatnya tika tidak menyedari ada tingkah yang tersasar, bicara yang kasar dan laku yang onar.

Tentu sahaja saat indah mendekati diri dengan Kekasih Yang Maha Penyayang menjadikan  airmataku gugur dengan rela. Aku pasrah. Aku berserah. Aku meredhainya. Meredhai diri dalam tribulasi yang melanda. Jua meredhai diri dalam lingkungan cinta dan sayang-Nya, penuh yakin dan percaya segenap hatiku. Kukuh. Utuh.

Dalam  getaran menahan sebak dan sakit di dataran hati,  bibirku berulang kali mengalun bait-bait kalimah indah surah al-Fajr :  ayat 27 hingga 30 dari kalam-Nya yang mulia  :

“Wahai orang Yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang; tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu); Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.”

*

Tuhanku….Kau tidak pernah menghampakan rasa gundah, sayu hati dan gusar jiwaku. Alhamdulillah. Tenang itu datang dengan senang. Wajahku kembali tenang. Sujudku begitu panjang dalam tiap kali pertemuan dengan-Mu. Ku merasai kebahagiaan dan seperti diundang menghampiri rahmat dan kasih sayang-Mu.

Allah…setiap kali hadirnya perasaan begitu, aku menerima undangan-Mu  yang membahagiakan. Allah…Allah…Ya Allah….tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau. Senyumanku menyusur segenap ruang dunia kecilku, menyinar segala ruang hati. Bertabahlah. 

Benarlah….dunia ini untuk aku menerima ujian kasih sayang-NYA. Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Aku mengharap pada yang menyinta. Aku mengasih pada yang merindu. Aku menyintai, mengasihi dan memohon hanya pada-Mu.

Dunia ini dicipta untuk manusia memahami erti kasih sayang, cinta, rasa pasrah, tabah, kedamaian, keharmonian dan persahabatan. Rencahnya adalah duka, luka, kekejaman, marah, benci dan iri hati.

Namun Allah beri laluan mencari jalan tenang, senang dan mudah iaitu dengan doa, solat dan alunan kalam (al-Quran) dan zikir atas nama-NYA. Hadapkan wajah kita kepada-NYA dengan rendah diri dan redha. Semoga beroleh ketenangan dan kebahagiaan hakiki. Amiin. Ya Rabb. Tidak ada manusia yang terkecuali dari menerima ujian Allah. Hanya kepada Allah kita kembali.

*

*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima31 Julai 2018 (Selasa)/ 18 Zulkaedah 1439H/ 12.30 petang/ Bintangor, Sarikei, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

 

 

 

 

9 thoughts on “CT479. DUKA ITU MENDEKATKAN KITA KEPADA ALLAH

  1. Assalamualaikum wr.wb Bu Hajjah Fatimah.

    Semoga selalu dilimpahkan rahmat dan rezeki dari Allah swt. Sebagai manusia biasa, saya rasa normal memiliki dan merasakan banyak perasaan. Ujian ketakwaan dari Allah untuk menguji seberapa sanggup manusia menghadapinya. Saya pun tak luput dari rasa sakit hati ataupun dendam. Hanya kepada Allah kembali semua pengaduan. Semoga kita selalu dihindarkan dari fitnah dunia dan akhirat.

    Salam hangat selalu dari Jakarta Pusat 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Aamiin Allahuma Aaamin. Alhamdulillah, sihat selalu. Didoakan mbak sekeluarga juga sihat dalam rahmat Allah SWT. Benar, segala emosi menjadi milik kita. Hanya bagaimana kita meluahkan dan mengawalnya juga menjadi milik kita. Mudahan dengan memahami emosi, kita dapat mengharmonikan silaturahmi agar tidak menyakiti orang lain. Mudahan kita banyak bersabar ya mbak. 🙂

      Terima kasih mbak frany sudah memberi pendapat bermanfaat, juga berkunjung pertama di sini.
      Salam manis dan hangat kembali. 🙂

  2. Assalamu ‘alaikum ummi, salam manis dari nanda

    Duka salah satu bentuk kasih sayang Allah kepada hambaNya, terkdng dengan duka, seorang hamba bisa khusyuk bersimpuh dihadapanNya, betah berlama dalam ibadah &dzikir, dikala lalai, Allah senantiasa menyapa hamba yg dirindui, entah melalui duka atau kesenangan…

    Yang sabar ummiku, sabar itu akan indah hasilnya, tiada kesabaran yg akan mengecewakan seorang hamba yg ta’at…

    Wassalam

    Salam rindu dari nanda sekeluarga… 😙😘😚😍

    • Wa’alaikum salaam wr.wb…. nanda dikasihi….

      Alangkah indahnya apabila kita memahami kasih sayang Allah dalam apa bentuk dugaan pun baik berupa bahagia ataupun derita. Dengan pemahaman ini, kita pasti dapat keluar dari kepompong buruk sangka kepada Allah SWT. Dengan itu, hati kita akan tenang dan bahagia. Terima kasih nanda atas sapaan hati buat Umi, insya Allah selagi Allah bertempat di hati kita kita pasti dapat melalui cabaran yang sukar dengan tenang.

      Salam rindu kembali buat nanda disayangi. 🙂

  3. Assalamualaikum ustazah. Penulisan ustazah sangatlah menyentuh hati saya. setiap manusia tidak terlepas daripada sebarang ujian semasa hidup di dunia. Hal ini kerana dunia merupakan tempat ujian dan inshaAllah ia akan memudahkan kita untuk masuk ke syurga Allah kelak jika kita dapat mengatasinya dengan baik. walaubagaimanapun,mentaliti ini hendaklah ditanam di dalam diri orang yang beriman supaya kita dapat bersangka baik bahawa ujian ini datangya daripada Allah untuk menjadikan kita sebagai hamba yang patuh dan taat kepadanya.

    Saya sangat bangga dengan ustazah kerana ustazah begitu kuat dan sabar melalui ujian tersebut dalam diri ustazah. Ustazah tidak mudah melatah untuk membalasnya malah ustazah lebih memilih untuk melupakannya dengan cara mendekatkan diri dengan Allah. Jadi benarlah tindakan ustazah kerana Islam sangatlah menyarankan umatnya untuk sentiasa bersabar khususnya ketika menghadapi ujian hidup sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah, surah al-baqarah ayat 153, yang bermaksud: “wahai orang- orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu.”

    Oleh itu, saya berharap agar saya dapat menjadi seperti ustazah iaitu kuat untuk melawan dan melalui segala ujian yang datang dalam hidup saya. saya yakin bahawa segala ujian yang datang dalam hidup saya merupakan dugaan daripada Allah untuk menjadikan saya lebih kuat dan matang. Terima kasih ustazah di atas perkongsian ini. Semoga Allah sentiasa merahmati dan meredhai hidup kita.Amin.

    AMRYNA ROSHADA BINTI CHE AWANG
    PA SK(2) AMBILAN JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG BATU LINTANG.

  4. Assalamualaikum ustazah. Sejujurnya selepas saya membaca penulisan ustazah ini, ia sangat memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya. Setiap manusia yang bergelar hamba Allah sememangnya tidak pernah terlepas daripada sebarang ujian. Tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin semuanya pasti akan diuji. Ujian yang diberikan oleh Allah adalah salah satu cara untuk menguji sejauhmana tahap keimanan kita terhadap dugaan dan cabaran yang telah menimpa diri kita. Oleh itu, kita sebagai seorang hamba yang beriman kita haruslah sabar dan tabah dalam menghadapi setiap dugaan kerana ujian yang kita hadapi sekarang ini tidak seberat ujian yang diterima oleh para Nabi. Jadi, sekiranya kita ditimpa sebarang ujian seeloknya kita memohon dan mengadulah kepada Allah. Teruskan berdoa dan memohon kepada Allah agar kita diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi sesuatu ujian.

    Oleh itu, saya berharap saya dapat menjadi salah seorang hamba yang sabar dan kuat seperti ustazah dalam menghadapi setiap ujian yang diberikan oleh Allah kepada saya kerana saya tahu setiap ujian yang dihadapi adalah salah satu cara untuk menjadikan diri saya seorang yang matang. Terima kasih ustazah atas perkongsian ini. Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT.

    RAJA NURSYAMIMI BINTI RAJA MANSOR
    PA (SK) 2 AMBILAN JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG BATU LINTANG

  5. Assalamualaikum ustazah, alhamdulillah saya sudah selesai membaca penulisan ustazah yang cukup memberi makna yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Saya dapati bahawa setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian yang diberikan oleh-Nya kerana setiap ujian yang diberikan Allah kepada para hambaNya adalah mengikut kemampuan masing-masing dan ujian yang diberikan Allah kepada hambaNya adalah untuk menentukan kedudukannya di sisi Allah Yang Maha Esa. Saya menjadi kagum apabila membaca penulisan ustazah kerana ternyata ustazah adalah seseorang yang sangat cekal dalam menghadapi ujian yang diberikan. Tidak semua orang secekal ustazah yang apabila menghadapi sesuatu ujian akan tetap sabar dan terus mengadu kepadaNya.

    Perkara ini lah yang perlu dicontohi iaitu tidak kira sama ada kita sedang menghadapi ujian ataupun sedang bergembira, kita perlulah berdoa dan kembali kepadaNya agar kita menjadi insan yang sentiasa bersyukur dengan ketentuanNya. Apabila kita sedang menghadapi ujian, kita berdoalah kepadaNya agar Allah dapat melapangkan dada kita dan menerimanya dengan hati yang terbuka agar kita tidak menjadi insan yang mudah tergopoh-gapah dalam menentukan dan melakukan sesuatu perkara ketika sedang marah mahupun sedih. Apabila sedang dalam perasaan yang sakit, kita berdoalah yang baik-baik kepadaNya moga-moga dengan mendoakan sesuatu yang baik itu akan terpalit kembali doa tersebut kepada kita. InsyaAllah amin.

    NURIN QAMILLIA BINTI MOHD RIZAL
    PA SK(2) PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.