CT380. KISAH DI MASJIDIL HARAM (5): SEJADAH KECIL, IBU TUA DAN SEPULUH RIYAL SAUDI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

SejadahFatima1IbuTuaSepuluhRiyalSaudi

*

TETAMU BUAT SEJADAH KECILKU

Seperti waktu-waktu sepertiga malam yang lain, saya dan SPH sudah menapak diri di Masjidil Haram pada jam 4.00 pagi. Saya berjalan beriringan bersama SPH memasuki pintu no. 76 di tingkat 2.

Setelah itu kami berpisah mencari saf masing-masing. Hanya telefon bimbit Nokia yang menjadi penghubung untuk bertemu kembali seusai solat Subuh. Biasanya kami akan duduk bersama untuk membaca al-Quran.

Saya mencelah-celah di dalam saf lelaki untuk sampai ke saf wanita di dalam garisan tali yang direntang panjang mengelilingi tiang-tiang sebesar tiga pemeluk tangan saya. Penghawa dingin yang dipasang menambah keselesaan kepada tubuh hangat saya setelah berjalan sejauh 750 meter dari Hotel Sivilla Barakat.

Sambil berjalan memasuki saf wanita, saya berdoa kepada Allah SWT di dalam hati tanpa henti-henti dengan mata liar mencari-cari arah yang dikehendaki.

“Ya Allah, semoga Engkau perkenankan hajatku agar ada tetamu-Mu yang akan menjadi tetamu pada sejadah kecilku ini”

*

IBU TUA DARI PAKISTAN

Mata saya berhati-hati mencari tetamu Allah yang tidak mempunyai sejadah. Alhamdulillah, setelah memerhati beberapa minit sambil berdiri dicelah ratusan jemaah haji wanita, akhirnya mata saya tertancap pada tubuh seorang ibu tua dari kejauhan sedang khusyuk berzikir dan duduk di hujung saf tanpa sejadah.

Hanya marmar putih bakal terhidang di hadapannya. Tentu sejuk kala dahinya sujud ke lantai. Hati saya berombak ria. Senyum lebar terukir di bibir kerana merasakan doa saya diperkenankan segera oleh Allah SWT.

Saya terus bergegas mendekati ibu tua dan memberi isyarat bertanya untuk duduk di sebelah beliau. Hajjah tua itu tersenyum dan menggelengkan kepala tanda tempat di sebelahnya kosong tanpa jemaah lain. Saya membalas senyuman dan memberi isyarat untuk berkongsi sejadah dengan beliau. Ibu tua menggangguk dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya, khas buat saya.

*

SejadahFatima2BuatTetamuAllah

*

Saya pun mula melintangkan kain tuala kecil berwarna kuning untuk menjadi sejadah saya dan ibu tua. Kemudian khusus buat tetamu Allah yang dimuliakan itu, saya hamparkan sejadah kecil berwarna coklat untuk beliau. Sungguh hati saya dipagut bahagia.  Setelah itu saya mendirikan solat-solat sunat diselang seli dengan membaca al-Quran sementara menunggu waktu solat Subuh didirikan.

Dalam beberapa kesempatan saya bercakap dengan ibu tua yang berasal dari Pakistan itu tetapi sangat terbatas kerana beliau tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Hanya isyarat yang menjadi perantaraan kami bersama senyum yang menguntum. Melihat kemesraan dan kebaikan ibu tua, hati saya diruntun rasa terharu.

Apa yang pasti setiap kali kami berkomunikasi ibu tua itu akan mencium pipi dan kepala saya secara tiba-tiba. Selalu saya terkejut dengan tindakannya tetapi dibiarkan sahaja. Saya hanya mengucapkan, “syukran ya Umi.” dan memberi senyuman kepadanya.

Kenapa beliau berbuat demikian tidak pula saya mahu bertanya kerana saya sangat senang diperlakukan begitu. Terasa mendapat kedamaian seorang ibu yang mengasihi anaknya. Hati saya semakin terasa pilu.  Jadi rindu pula dengan anak-anak di rumah dan ingin mencium pipi mereka.

*

SEPULUH RIYAL SAUDI

Dalam diam-diam saya memerhati sosok tubuh tua yang baik budi, lemah lembut dan penuh sifat keibuan.  Secara luarannya pakaian dan kerudung yang menutupi tubuh dan kepala ibu tua sangat lusuh. Lebih menyentuh hati saya, tudung kapas labuh berwarna coklat gelap yang dipakainya hanya diklip dengan pin di bawah dagu agar tidak longgar. Kelihatan renyuk dan nampak kesan-kesan koyak di sana sini.

Tanpa pengetahuan ibu tua, saya menangis teresak-esak dengan menutup telekung ke wajah agar tidak diketahuinya. Ketika itu, saya berniat di dalam hati untuk membeli telekung (telekung kepala tanpa kain) berharga SR10.00 untuk disedekahkan kepada jemaah haji yang kurang mampu pada hari raya aidil adha akan datang.

Sebelum berpisah selesai solat Subuh, saya menghulurkan tangan untuk bersalam dan memberi wang SR10.00 kepada ibu tua untuk belanja sarapannya pagi tersebut. Beliau tidak menolak dan menyambut dengan wajah yang sayu bersama senyuman gembira.

Ibu tua terus mencium dahi dan menepuk belakang saya berkali-kali. Sentuhan tangannya terasa erat dan membuat sayu hati saya. Beliau menadah tangan sambil berdoa, entah apa yang didoakan, saya hanya mengaminkan sahaja. 

Lalu ibu tua memandang saya dengan pancaran mata yang cerah. Senyuman tidak pernah lepas dari bibirnya sambil mengucapkan barakallah dan haji mabrur berulang kali sebelum pertemuan kami berakhir.  Mata saya tidak lepas mengiringi langkah perjalanannya sehingga tubuh tua itu ditelan keramaian tetamu Allah yang berbondong-bondong keluar dari Masjidil Haram.

*

SejadahFatima3MembacaalQuran

Ruangan solat ini selalu menjadi lokasi saya mendirikan solat di Masjidil Haram. Biasanya saya dan SPH akan menghabiskan masa dengan membaca al-Quran seusai solat Subuh selama 1 jam sehingga ruangan tidak berpenghuni oleh jemaah haji yang sudah ramai keluar dari Masjidil Haram.

*

SejadahFatima4BerehatdiMasjidilHaram

SPH berehat sambil bersandar di tiang Masjidil Haram sementara menunggu saya menghabiskan bacaan al-Quran. Setelah itu baru kami pulang ke Hotel Sevilla Barakat untuk bersarapan.

*

BERSYUKUR

Saya menceritakan pertemuan dengan tetamu sejadah kecil saya kepada SPH. Sungguh saya tidak dapat menahan diri dan menangis teresak-esak mengenangkan sosok tubuh tua yang dhaif pakaiannya.

Saya memaklumkan kepada SPH niat saya untuk membeli telekung bagi disedekahkan kepada jemaah hajjah yang dhaif pada hari raya aidil adha nanti. SPH mengiyakan sambil memujuk saya agar berhenti menangis.

Apabila mengingati peristiwa pertemuan dengan hajjah tua tersebut, saya sangat bersyukur dapat dipertemukan Allah SWT dengannya. Wajahnya masih lagi dibayangan mata hingga kini.

Terasa diri ini lebih beruntung kerana dilimpahi Allah SWT dengan rezeki yang baik dalam kehidupan ini. Nikmat dapat menunaikan haji bersama suami dengan tubuh badan yang sihat, wang yang cukup serta dimudahkan segala urusan masya’ir haji, tidak mampu untuk digambarkan betapa Allah SWT sangat menyayangi saya dan suami. Alhamdulillah.

YA ALLAH…. NIKMATMU YANG MANA LAGI HENDAK AKU DUSTAKAN

*

Aku memberi bukan kerana aku kaya. Aku memberi kerana aku tahu bagaimana rasanya tidak mempunyai sesuatu pun. Dan… aku pernah merasainya suatu ketika dahulu.

*

sedekah1

**

bunga

*

***************

SalamFatima3SalamFatima1 April 2016 (Jumaat)/ 23 Jamadilakhir 1437H/ 1300 petang, Sarikei, Sarawak

AKU…. dapat banyak pengajaran dalam setiap detik kejadian yang berlaku sepanjang jalur kehidupan ini. Allah ingin mengajarku erti sabar dalam setiap milikku yang diambil-NYA kembali. Allah ingin membuat aku mengerti bahawa dengan bersabar aku akan selalu bersama-NYA. Ya Allah, jangan Engkau berpaling dariku kerana aku akan jadi papa kedana dari kasih sayang-MU. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…. Tanpa kau sedari dalam bayang samar yang cerah, ku lihat senyumanmu yang indah. Lalu, ku selit senyummu dalam hati untuk ku bawa kemana-mana aku pergi. Walau kau jauh dari mata, doa untukmu tidak pernah ku lupa. Semoga kau sejahtera. Aamiin. Wassalaam. 🙂

*

SinggahFatima1TerimaKasihLMGSG2

*

19 thoughts on “CT380. KISAH DI MASJIDIL HARAM (5): SEJADAH KECIL, IBU TUA DAN SEPULUH RIYAL SAUDI

  1. Tahun bila tu CT pergi menunaikan Haji agaknya? Sebab tahun 2008 kakak menunaikan Haji kakak pun menginap di Sevilla Hotel. Pergi lagi lepas tu (umrah) Sevilla dah diruntuhkan. Peluang utk mencari ganjaran berganda waktu di MH memang banyak. Terpulanglah pada niat masing-masing. Kalau setakat nak menghulur SR1-2 tu mudah sangat sebab rata-rata cleaner wanita di sana pun saudara jiran kita dari Indonesia kan.

    Bila CT kata kena cium jemaah Pakistan kakak pun ada pengalaman itu tapi jemaah Turki. Mereka kan besar. Kita ni cenonit aje. Dia ingat kakak ni masih belajar. Sedangkan dah ada anak tiga pun masa tu..kelakar tapi semuanya jadi moment indah kan:)

    • Alhamdulillah, kita pernah merasai menginap di Hotel Sevilla Barakat, ya kak. Saya dan suami pergi haji pada akhir tahun 2011 dan tahun tersebut juga, sebaik rombongan haji kami meninggalkan hotel untuk kembali ke Malaysia, selang dua minggu ia mula dirobohkan. Banyak kenangan selama di Hotel Sevilla.

      Benar kak, di tanah haram banyak cara untuk kita bersedekah. Semuanya terpulang kepada kita, cumanya berhati-hati kepada peminta sedekah yang palsu yang banyak di sepanjang perjalanan balik ke hotel itu.

      Terima kasih kak atas perkongsian pengalaman dan salam manis. 🙂

  2. Assalamu’alaikum wr. wb mbak Siti,

    apa kabar? semoga mbak Siti dan keluarga tercinta di sana selalu sehat dan bahagia.

    Maaf baru bisa berkunjung ke blognya mbak Siti nih.

    Betapa senangnya ya mbak ibu tua itu bertemu dengan mbak Siti dan terbayang betapa nikmatnya menghabiskan akhir sepertiga malam di Masjidil Haram .

    Salam kangen dari desa dongeng 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Ely….

      Alhamdulillah, saya dan keluarga sihat di sini, mbak. Saya doakan mbak dan keluarga di Jerman sihat dan bahagia. Maafkan saya juga mbak kerana lama tidak aktif ngeblog. Banyak tugas yang perlu diselesaikan di semester pertama ini.

      Saya doakan mbak Ely dan suami akan menjejak kaki ke tanah suci suatu ketika nanti dan menikmati kesyahduan beribadah di Masjidil Haram juga Masjid Nabawi. Aamiin.

      Terima kasih berkunjung lagi kemari dan salam mesra selalu. 🙂

  3. assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh puan fatimah
    ceritanya sangat menyentuh sekali …. jadi kangen ingin kesana lagi …
    mudah2-an saya ada rezekinya untuk berangkat kesana … sholat, berdoa dan mengaji di masjidil haram memang sangat berkesan dan syahdu.
    Bersedekah membantu sesama pasti akan mendapatkan balasan yang berlipat lipat … aamiin

    • Wa’alaikum salaam Wr. Wb.. saudara Bersapedahan…

      Alhamdulillah, selalunya apabila kita sudah ke tanah haram pasti keinginan untuk kembali lagi ke sana menambat hati kita. Insya Allah, niat yang baik akan dikabulkan Allah SWT jua nanti. Aamiin Allahumma Aamiin.

      Semua kenangan dan kehidupan kita selama di sana baik berhaji atau berumrah masih lekat diingatan hingga ke hujung nyawa.

      Salam sejahtera dan terima kasih.

  4. Assalamu’alaikum wr. wb kak Siti,

    Mudah-mudahan saya ada rezekinya untuk berangkat kesana. Setiap muslim sudah seharusnya rindu akan tanah suci ini. Semoga kita selalu dalam kesihatan dan beroleh berkah Allah swt, aamin.

    Salam dari Ambon

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Alris….

      Aamiin Allahumma Aamiin. Insya Allah, dengan hasrat dan keinginan yang sudah terpahat pasti doa mas Alris dikabulkan Allah SWT pada masa yang sudah ditetntukan pemergiannya ke tanah haram.

      Terima kasih sudah berkunjung dan salam takzim.

  5. godaan yg paling berat waktu i’tikaf di masjid haramain adalah rasa kantuk berat apalagi dpt tempat yg nyaman, pinginnya merebahkan badan saja, bukan begitu mbak CT ?

    • iya benar…. rasa ngantuk sukar untuk dikawal. Saya juga mengalaminya. Oleh itu untuk mengatasi masalah ini, kita perlu tidur awal untuk bangun awal agar tidak mengantuk sehingga sampai masuk waktu Subuh.

      Terima kasih mas Hafid atas kunjungan dan salam sejahtera.

  6. Pingback: CT381. KISAH DI MASJIDIL HARAM (6): MIEKE SOVIA AUSTIN DAN HADIAH DARI LANGIT | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.