CT112. WAKTU LARANGAN SOLAT

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Banyak perkara yang kita pelajari dalam hidup ini, hasil dari pengalaman yang dilalui untuk menambah baik kehidupan kita. Saya sangat bersyukur kerana Allah memberi peluang menjadi tetamuNYA yang kemudian menghadapi  pelbagai ujian bersifat jasmani, emosi, rohani dan intelektual dalam perjalanan menuju Makkah bagi proses melaksanakan kewajipan haji.

Pengalaman ini berbeza dengan apa yang biasa dilalui di Tanah Air, di mana rutinnya kehidupan kita lebih banyak mengejar urusan dunia, sibuk dengan keluarga, ditimbuni pelbagai kerja dan leka dengan hiburan yang melelahkan berbanding untuk melaksana ibadah yang disyariatkan. 

Di bumi Haramain (Makkah dan Madinah), kesibukan kita lebih berfokus kepada urusan ibadah seperti mengejar masa untuk bersolat jamaah lima waktu, mengulit diri dengan solat-solat sunat, menekuni bacaan al-Quran untuk mengkhatamkannya, melaksanakan tawaf sunat yang dilakukan bila-bila masa terluang atau Umrah.

Kesibukan aktiviti ibadah ini memberi rasa kedamaian, keamanan dan tentunya disertai rasa syukur yang tinggi ke hadrat Ilahi kerana kesempatan yang sedia ada tidak disia-siakan. Secara keseluruhannya, setiap hari pasti ada yang menjadi perhatian dan pengajaran untuk kita renungi bagi meningkatkan iman dan mengambil iktibar dari apa yang ditempuhi dan diperhatikan.

Alhamdulillah, jika kita memahami semua yang berlaku itu, pasti kita akan berusaha mendidik diri dan mendalami ilmu yang terkandung dari setiap pesanan Allah kepada kita. Seperti pengalaman yang saya lalui dari  catatan yang lalu, CT111. ILMU SAYA vs ILMU AWAK, telah membawa satu dimensi baru dalam kehidupan saya agar menginsafi diri bahawa ilmu yang ada selama ini, masih berkurangan dan hendaklah ditambah lagi supaya tidak sekadar tahu apa yang sedia ada tetapi dipelajari hingga lebih dalam terutama dalam aspek syariat Islam.

Sebelum membaca dan memahami perkara yang bakal dibahas ini, saya hanya mengetahui sedikit dari sebab waktu larangan solat tersebut. Alhamdulillah, setelah membaca banyak hadis dan penjelasan yang pelbagai dari riwayat yang sahih, saya berpuas hati kerana alasan yang kukuh diberikan sebagai hujah kepada SEBAB LARANGAN.


BILA WAKTU LARANGAN ?

Seperti yang dimaklumi bahawa waktu yang dilarang untuk mengerjakan SOLAT SUNAT adalah SESUDAH SOLAT SUBUH DAN SOLAT ASAR. Kenapakah Rasulullah saw melarang mengerjakan solat sunat tersebut? Namun begitu, terdapat beberapa solat sunat dan sujud -sujud yang dibolehkan atas sebab-sebab tertentu. Hal ini akan dibincangkan dalam CT113. SOLAT YANG DIBOLEHKAN DALAM WAKTU LARANGAN.

Harus diingati waktu-waktu ini mempunyai TEMPOH-TEMPOH LARANGAN yang menjadi had kepada TIDAK BOLEH SOLAT DALAM TEMPOH tersebut. Tempoh waktu yang dilarang mengerjakan SOLAT SUNAT terdiri dari LIMA WAKTU secara umum dan TIGA WAKTU secara khusus. 

LIMA WAKTU SECARA UMUM adalah

(1) dari solat Subuh sampai matahari terbit

(2) dari terbit matahari sampai naik sekitar setinggi tombak

(3) saat matahari berada tepat di tengah-tengah langit sampai tergelincir

(4) dari solat Asar sampai matahari terbenam 

(5) jika matahari sudah mulai terbenam sampai ia benar-benar terbenam

TIGA WAKTU SECARA KHUSUS adalah

(1) dari solat Subuh sampai matahari naik sekitar setinggi tombak

(2) saat matahari berada di tengah-tengah langit sampai condong

(3) dari solat Asar sampai matahari terbenam

Dari Abu Said al-Kudri r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda: ” Tidak ada solat setelah solat Subuh sampai naik matahari dan tidak ada solat setelah Asar sehingga matahari terbenam.”

Dari Uqbah bin “Amir al-Juhani r.a menjelaskan “Ada tiga waktu yang Rasulullah saw melarang kita untuk mengerjakan solat atau menguburkan orang yang meninggal di antara kita iaitu ketika matahari terbit sampai naik, saat seseorang berdiri tegak tanpa ada bayangan sampai matahari condong dan saat matahari condong untuk terbenam sampai terbenam.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Jika hijab matahari telah terlihat, tangguhlah solat sampai benar-benar nampak. Jika matahari menghilang, tangguhlah solat sampai matahari benar-benar terbenam.” – Muttafaq ‘alaih.

Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan larangan mengerjakan solat sunat (tathawwu’) pada waktu-waktu tersebut.

Selesai menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram, Makkah

*************

MENGAPA DILARANG ?

Apabila sudah mengetahui akan WAKTU YANG DILARANG untuk mengerjakan solat sunat, sudah pasti kita ingin tahu akan sebab musabab larangan itu berlaku. Tentu sekali tidak adil apabila kita dilarang melakukan sesuatu tetapi tidak mendapat penjelasan tentang larangannya.

Begitulah persoalan yang timbul di benak fikiran saya semasa di bumi Haramain sehingga melahirkan rasa tidak puas hati kerana hanya dimaklum tentang waktu larangan tetapi tidak dijelaskan sebab larangannya. Kebanyakan mereka yang saya temui hanya memberitahu secara umum akan sebab larangan iaitu dilarang solat sunat selepas solat Subuh dan solat Asar. Noktah.

Di dalam kursus-kursus haji juga kurang ditekankan aspek waktu yang dilarang solat dan sebab larangannya. Kerana itu, saya dapati ramai jemaah haji wanita dari Malaysia (juga dari negara-negara Islam lain) yang melakukan solat sunat selepas kedua waktu larangan ini. Oleh itu, saya sarankan kepada bakal haji agar membuat rujukan dan mendalami ilmu Fekah terutama bab solat kerana banyak kesalahan dilakukan sehingga berleluasa kesilapannya sampai melanggar syariat Islam. Astaghfirullah al-‘Azdhim.

Berhubung dengan persoalan di atas, SEBAB-SEBAB LARANGAN itu berlaku telah dijelaskan oleh ‘Amr bin ‘Abasah bahawa dia pernah berkata kepada Rasulullah saw, “Beritahukan kepadaku tentang solat ? Lalu baginda saw menjawab:

“Kerjakanlah solat Subuh, kemudian berhentilah dari solat sehingga matahari terbit sampai ia naik. Sesungguhnya pada saat terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek.

Kemudian berhenti dari solat kerana pada saat itu, Jahannam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat)  sehingga engkau mengerjakan solat Asar. Berhentilah dari solat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”

Kaabah, Baitullah, Masjidil Haram, sekitar jam 10 pagi selesai melaksanakan Saie bagi Umrah Wajib pada hari pertama kehidupan di Makkah

****************

PENJELASAN

Syariat Islam melarang kita menyerupai orang kafir dalam beribadah. Kita dikehendaki untuk memelihara waktu ketika beribadah. Oleh itu, Islam melarang kita mengerjakan solat sunat ketika matahari sedang terbit dan sedang terbenam. Ini disebabkan ketika matahari terbit dan tenggelam di antara kedua-dua tanduk syaitan. Maksudnya, pada saat itu orang kafir menyembah matahari dan syaitan bersama mereka.

Syariat Islam juga melarang kita melakukan solat sunat ketika matahari di tengah-tengah langit kerana waktu itu neraka Jahannam sedang dinyalakan. Disebabkan hari Jumaat merupakan hari perayaan Islam, maka neraka Jahannam tidak dinyalakan. Dengan itu, syariat Islam membolehkan kita untuk mengerjakan solat sunat di waktu tersebut.

“Nabi saw tidak suka mengerjakan solat sunat pada waktu tengah hari kecuali pada hari Jumaat dan Baginda saw bersabda:”Sesungguhnya neraka Jahanam sedang dinyalakan pada waktu itu, kecuali hari Jumaat.”

Abu Daud menyatakan bahawa hadis ini adalah Hadis Mursal, kerana di dalamnya terdapat Laits ibn Abu Sulaim, sedangkan dia seorang yang dhaif. Namun hadis ini dikuatkan oleh perbuatan sahabat Nabi saw di mana mereka pernah mengerjakan solat sunat di waktu tengah hari pada hari Jumaat dan Nabi saw menganjurkan supaya segera datang menghadiri solat Jumaat dan mendirikan solat sunat hingga imam naik ke atas mimbar tanpa ada pengecualian.

Waktu-waktu larangan solat ini sekaligus mengandungi anjuran supaya kita dapat memelihara waktu yang diberkati untuk melaksanakan solat sunat. Pengalaman di Masjid Nabawi menunjukkan masih ramai para hujaj yang belum memahami atau berpengetahuan tentang waktu larangan ini. Ada yang menjelaskan bahawa mereka mengikut orang lain yang mengerjakan solat sunat  dan mereka pun bersolat sunat juga.

Jika diteliti melalui perbahasan tentang waktu larangan solat sunat di atas, larangan itu tertakluk kepada semua tempat di muka bumi ini KECUALI DI MAKKAH. Tulisan berhubung KEISTIMEWAAN KOTA MAKKAH yang tidak dimiliki di tempat lain akan dilanjutkan di posting mendatang supaya bermanfaat sebagai ilmu tambahan kepada semua muslimin yang membaca dan khusus untuk para hujjaj dalam melaksanakan ibadah di bumi Haramain. Wallahu’alaam.

Sumber Rujukan:

(1) Ensiklopeia Sholat Menurut al-Quran dan as-Sunnah (Jilid 1), Dr. Said bin Ali bin Wahf al-Qahthani (2008)

(2)Ibanah al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram Subulus Salam (jilid 1), Alawi Abbas al-Maliki dan Hasan Sulaiman Al-Nuri (2011) dan

(3) Rahsia Mekah, Jejak Rasul 1, ‘Atiq bin Ghaits al-Biladi (2009).

****************

Saya sangat berharap dapat berkongsi pengalaman dalam urusan ibadah yang dilalui sepanjang kehidupan di bumi Haramain untuk dijadikan panduan, teladan dan sempadan. Menurut saya, perjalanan haji bukanlah perjalanan yang mudah, selesa, nyaman dan indah dari pandangan duniawi. Perjalanan haji merupakan proses meningkatkan iman dan ketaqwaan kepada Allah swt untuk menuju keredhaan-NYA bagi meraih HAJI MABRUR.

Melalui proses tersebut, para hujaj sentiasa diuji dari semua sudut kehidupan dirinya, batin dan lahir, sakit dan sihat, susah dan senang, derita dan bahagia, tangis dan tawa. Di samping itu, keupayaan fizikal, intelektual, emosi, mental dan spritual turut menerima ujian yang sama. Mereka yang bersabar, tabah, redha dengan kepayahan dan kesukaran melaksanakan haji akan mendapat keredhaan Allah, malah dimudahkan Allah dalam banyak urusan tanpa disangka-sangka. Subhanallah.

Oleh itu, jangan sekali-kali menggambarkan PERGI HAJI sebagai kehidupan yang SENANG DAN DIBANGGAKAN. Seperti gambaran beberapa haji dan hajjah yang saya temui bahawa mereka sangat berbangga dapat pergi haji dan pulang ke tanah air dengan menyandang title haji pada namanya.

Mereka bermegah kerana mengganggap mereka mampu dari segi kewangan sehingga dapat pergi haji. Mereka berbelanja dengan banyaknya sebagai membuktikan mereka sudah sampai di Makkah dan Madinah. Bukan itu tujuan haji kita. Berniat baik akan mencapai kebaikan yang disempurnakan.

Pengalaman menunaikan haji merupakan pengalaman yang paling indah dan paling membahagiakan dalam hidup saya. Di sana, saya banyak belajar erti kehidupan sebenar yang pernah dilalui oleh Rasulullah saw, keluarga baginda, para sahabat dan kaum muslimin r.anhum terdahulu.

Saya selalu membayangkan kepayahan dan kesukaran mereka hidup di bumi gersang dan panas ini berbanding dengan kehidupan saya yang serba senang, mudah dan sejuk. Bayangan ini membuat saya menangis tersedu-sedu dan rasa rindu yang amat mendalam selalu muncul untuk bertemu dengan baginda Rasul saw yang dicintai seluruh hati.

Sekiranya pengalaman yang bermakna buat saya yang belum tentu diterima di sisi Allah (ampunilah hamba-MU ini, ya Allah), dapat membantu bakal haji sebagai persediaan di peringkat awal, sungguh saya berharap ini dapat menambah amal sebagai bekal untuk saya bawa, di hari pertemuan dengan KEKASIH AGUNG YANG MAHA TINGGI KEDUDUKANNYA. Aamiin. Semoga bermanfaat.


**************

25 Jun 2012 (Isnin)/ 5 Syaaban 1433H/ 10.15 malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. dan usaha menempuh kesukaran tidak akan ku pandang ringan kerana aku diberi akal dan ilmu untuk menghasilkan sebuah kebijakan dalam merencana kemudahan. Terima kasih Ya Allah, dalam setiap pintu kepayahan yang ENGKAU buka untukku lalui, sudah ku sediakan bekal hati yang tabah, yakin, redha dan percaya diri. Semoga aku tidak menangis jika pernah gagal menghadapi. Sesungguhnya kepada Allah segala itu dikembalikan. Pasti ada kebaikan disebalik semua yang tidak sempat aku miliki.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

BERBAHAGIALAH HATI YANG SELALU ADA CINTA DITANGKAINYA

13 thoughts on “CT112. WAKTU LARANGAN SOLAT

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Berdoalah untuk kejernihan hati agar hidup ini tidak pernah berprasangka kepada Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang. DIA sangat berharap agar DIRINYA dikenali. Lalu DIA ciptakan manusia untuk mengenali-NYA. Maka, berdoalah kepada-NYA.



    DEDIKASIKU UNTUKMU… Berdoalah kepada Allah jika hatimu tidak tenteram kerana berdoa kepada-NYA laksana samudera yang dapat mencapai setiap sudut pantai jiwa. Di mana- mana kita berada, doa adalah suara iman yang selalu menenangkan.

    Wassalaam. 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi…

      Setiap perkara yang dapat memanfaat dan memudharatkan manusia, pasti ada sebab ia dihukumkan samada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Begitulah Allah memelihara kebajikan dan keselamatan hidup manusia berpandukan syariat yang jelas dan tiada keraguan padanya.

      Terima kasih mbak Evi, semoga bermanfaat.
      Salam manis selalu. 😀

    • Alhamdulillah, semoga Allah memudahkan segala urusan saya untuk memanfaatkan pengalaman yang dilalui di sana.

      Segan rasanya apabila mas Haniifa sudah kerap bertandang ke laman ilmu ini, saya pula belum lagi menyapa. maaf, nanti akan menyusul jejak. 😀

      Terima kasih dan salam hormat selalu.

  2. Assalamu ‘alaikum Warohmatullaahi Wabarokaatuh.

    Selamat malam Bunda.
    dalam malam hening nan sunyi ini, di iringi dengungan dzikir yg tiada henti saya lantunkan walau dalam hati dan cuma saya yang bisa merasakan getaran nya.

    Sejak pertama saya tahu bahwa Bunda pergi menjalankan Rukun Islam yang ke-5 yakni ‘Ibadah Haji’, saya percaya bahwa Bunda mampu melalui segala ujian baik fisik, mental maupun cuaca.

    Hati Bunda yang bersih dan selalu ikhlas terhadap apapun serta fokus tingkat tinggi, bisa saya lihat dalam setiap baris artikel yang Bunda guratkan disini.

    Maaf Bunda, saya tidaklah cakap berbahasa melayu, jadi bila ada salah tulis, saya minta dibukakan pintu maaf lahir dan bathin atas segala khilaf yang pastinya saya lakukan disini tanpa saya sadari.

    Salam hormat dan sukses untuk Bunda sekeluarga,
    dari
    Bekasi-Indonesia.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Opick…

      Selamat malam kembali.
      Sungguh hati akan tenang apabila mengingati Allah dalam apa juga
      keadaan. Maka basahkan hati dengan ucapan-ucapan yang mendekatkan diri kepada Allah swt.

      Iya, tidak apalah Opick kalau menulis dalam mana-mana bahasa, saya bisa memahami dengan baik apa yang dituturkan dalam tulisan Opick. 😀

      Terima kasih atas penghargaan Opick kepada apa yang dilahirkan melalui tulisan di laman ini. Mudahan bermanfataan untuk Opick juga yang lainnya untuk diambil pengajaran, sempadan dan ibrah.

      Di bumi Haramain, sangat banyak ujian dari Oleh sebagai menguji kekuatan iman dan sabar. Saya yakin, kebanyakan orang mampu melalui ujian yang mendatang kerana ingin meraih Haji Mabrur yang menjadi hak Allah untuk memberi kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.

      Terima kasih Opick kembali bersilaturahmi semula bagi berkongsi apa yang difikirkan baik buat semua.

      Salam ceria selalu. 😀

  3. Salam alaikum, Mbak Fatimah yang bijaksana,
    Wah.. makasih banyak atas kongsian ilmu fiqh mengenai larangan waktu salat ini. Memang ini adalah ibadah yang khusus ya.. saya jadi teringat seorang ulama pontianak yang biasa dipanggil Pak Itam, pernah bertanya2, “mengapa ashar itu mesti jam sekian, magrib jam sekian, dst.”

    Beliau mencari-cari jawaban, tapi selama 2 tahun beliau tidak mendapatkan jawabannya. Hingga menangis beliau berdoa minta petunjuk, apa alasannya salat itu musti dikerjakan pada masa-masa seperti itu. Singkat cerita, akhirnya Allah tunjukkan jawaban sederhana. Ketika beliau membuka Quran, beliau membaca surat ini:
    “Sesungguhnya salat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktu-waktunya atas orang-orang yang beriman” (QS. An-Nisa: 103)

    Bagi saya sendiri, justru ayat tersebut baru menjawab setengah pertanyaan di atas. Dan, dengan postingan Mbak di atas ini, lengkaplah sudah jawaban mengenai pertanyaan unik ini. Alhamdulillah. 🙂

    Mungkin karena membaca ini yang membuat “orang-orang Barat” sempat menngejek Nabi Muhammad Saw sebagai tukang dongeng yang berhasil:
    “Kerjakanlah solat Subuh, kemudian berhentilah dari solat sehingga matahari terbit sampai ia naik. Sesungguhnya pada saat terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek.

    Kemudian berhenti dari solat kerana pada saat itu, Jahannam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sehingga engkau mengerjakan solat Asar. Berhentilah dari solat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”

    Ini menjadi bukti, bahwa urusan agama adalah urusan dua akal, yaitu akal jasmani dan akal ruhani (iman). Bagi para muslim, tentu yang terbaik adalah “Qaalallahu wa qaala rasuli wa athi’u.” <– kalau tidak salah bunyinya demikian 😀

    Selalu senang berkunjung untuk perkongsian bijak dengan Mbak Fatimah. Semoga Allah Swt. menambah rezeki, ilmu, makrifat, dan kebaikan bagi Mbak Fatimah dan keluarga di dunia dan akhirat, Aamiin.

    Salam takzim selalu dari Pontianak, Indonesia 🙂

    • ‘Alaikum salaam wr.wb, mas Muxlimo yang dihormati….

      Subhanallah, begitu lama sekali Pak Itam mencari jawabannya ya. Tapi saya lagi lama mas… hehehe. Berbelas tahun baru kini mengetahui lebih jelas setelah membaca buku-buku rujukan Kitab Fekah ini. 😦

      Ternyata saya malu dengan diri sendiri sebagai Muslim, masih jauh dari mendalami ilmu Islam yang sebenarnya di bawa oleh Rasulillah saw. Sungguh peristiwa yang terjadi di Masjid Nabawi lalu memberi impak yang besar kepada keingintahuan saya dalam bab Fekah yang banyak “kesalahan” dilakukan jika ilmu hanya di “permukaan air” sahaja.

      Yang banyak saya lihat semasa di Tanah Haram adalah perkara bid’ah yang kadang kala mememingkan kepala. Kerana itulah, Kerajaan Arab Saudi meletakkan skrin digital di hadapan masjidil Haram dengan memaparkan hadis Rasulullah saw tentang perkara Bid’ah yang menyesatkan.

      Nanti di posting akan datang, akan saya tulis tentang perkara bid’ah yang pernah saya lihat di depan mata sendiri yang sangat berlawanan dengan ajaran Islam. Sangat pelik dan ada kala melucukan.

      Alhamdulillah, jika kongsian ilmu ini bisa membantu mas Muxlimo dan ramai pembaca untuk memahami konteks solat yang dilarang dan dibolehkan dalam waktu larangan ini.

      Posting akan datang, menyambung khusus tentang solat yang dibenarkan dan tidak dibenarkan agar kita mengetahui lebih lanjut penjagaan waktu solat kita agar tenang dan damai hati dalam melaksanakannya di hadapan Allah taala.

      Pihak Orientalis Barat akan selalu mencari jalan untuk memburuk-burukkan Rasulullah saw dengan mengambil hal yang sangat dekat dengan mereka untuk dijadikan bahan ejekan bagi merendah-rendahkan baginda Rasul saw. Alhamdulillah, semua perbuatan mereka dapat ditangkis kerana Allah Yang Maha Pemilihara tidak akan membiarkan Kekasihnya diperkotak katikkan. Akhirnya golongan kafir ini dipermalukan sendiri oleh perbuatan mereka.

      Oleh itu, yakin dan percaya dengan apa yang diturunkan Allah kepada Rasulullah saw akan menambah iman kita dan menjadikan kita hamba yang taat dengan perintah dan larangan-NYA. Maka, taatilah jika taat itu menjadikan kita hamba Allah yang bertaqwa. Aamiin.

      Terima kasih mas Muxlimo yang selalu berbobot komentarnya, selalu mengesankan hati dan menjernihkan jiwa melalui pesanan dan percambahan idea yang bernas.

      Terima kasih juga untuk doa-doa baik yang dilampirkan. Semoga Allah juga merahmati dan memberkati mas Muxlimo dan keluarga di sana. Aaamin. Senang menerima kunjungan dari sahabat yang baik dan selalu meluang masa untuk mahu berkongsi pengalamannya di sini untuk manfaat bersama. 😀

      Salam takzim dan mesra selalu. 😀

  4. Pingback: CT113. SOLAT YANG DIBOLEHKAN DALAM WAKTU LARANGAN « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  5. assalamualaikum… sy nak bertanya tentang larangan solat.. bagaimana pula dengan solat dhuha? termasuk juga kan dalam kategori solat bersebab?

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.