CT485. SAHABAT…. KENANGAN ANTARA KITA

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Foto diambil pada tahun 1995, semasa kami menjalani Kursus Pendidikan Luar di Pantai Tanjung Tuan, Melaka bersebelahan dengan Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

*

KHABAR SEDIH

Tidak menduga khabar sedih ini diterima dalam group Telegram (Akhawat) AIUM 92 pada 3 September 2018 (22 Zulhijjah 1439H) yang lalu. Dimaklumkan, sahabat karibku, SITI SABARIAH BINTI SAPUAN (baca: Sabe) meninggal dunia sebaik sahaja selesai azan solat isyak berkumandang. Semoga roh Allahyarhamah  Sabe ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aaamiin.

Pemergian yang indah ke sisi Ilahi, namun perit untuk suami dan anak-anak yang ditinggalkan selama-lamanya. Mudahan mereka redha dan tabah dengan kepergian yang dikasihi dan bertemu kembali di syurga firdausi. Aamiin Allahumma Aamiin.

Berita yang ditulis dan baru ditatap baca, seakan membuat jantungku berhenti detak beberapa saat. Keinginan menjejak kasih sudah sekian lama bersarang dihati sejak terakhir perpisahan kami di rumah sewa Sabe dan Jefri ketika mereka masih mengajar di SMK Serian, Serian, Sarawak, hampir 10 tahun yang lalu, tidak kesampaian.

Sesal kemudian tidak berguna, komunikasi moden melalui teknologi canggih masa kini ternyata tidak mampu mempertemukan kami selama-lamanya. Hanya sekali dua  kami berhubung melalui telefon setelah Sabe sekeluarga berpindah ke Selangor. Setelah itu hubungan terputus terus apabila nombor telefon Sabe tidak lagi dapat dihubungi, mungkin bertukar nombor baru.

*

LIMA SEKAWAN

Aku mengenali Sabe, Zarina Tahir dan Suriani Abdul Rahman kerana kami disatukan dalam kelas kuliah yang sama sedangkan Rosmah di kelas yang lain, ketika mengambil Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajian Islam bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) sesi 1994/1995 di Maktab Perguruan Islam, Bangi, Selangor. Kumpulan kami adalah ke-12 daripada 15 kumpulan KPLI tahun tersebut.

Kursus setahun ini menemukan jodoh Sabe dengan suaminya, Jefri Dolah Humari juga rakan sekuliah kami. Banyak kenangan disebalik segala kisah hidup kami dalam kelas tersebut yang tentunya disulami masam manis perjalanan menjadi guru pelatih yang bakal menerajui pimpinan di institusi pendidikan di Malaysia.

*

*

Kenangan indah bersama sahabat-sahabat sekuliah. Semua ramah tamah dan sentiasa dalam ingatan. Di manakah kalian sekarang ? Lebih “teruk” seorang pun dari kami tidak berhubung melalui apa-apa talian seperti WhatsApp atau Telegram…., itu sahaja  media sosial yang aku ada.

*

BERSAMA-SAMA

Untuk mengenang persahabatan kami, aku ingin meninggalkan kesan hatiku di tulisan ini untuk dibaca dan ditatap saat rindu pada Sabe bertandang kembali. Juga tidak dilupai, Zarina, Suriani dan Rosmah. Kami serasi, sehati, sejiwa dan sekepala. Allah mempertemukan kami dengan tepat. Ikatan kasih yang kuat dan seragam. Terima kasih Allah.

*

*

Mereka ku anggap adik-adik yang manja. Aku menyayangi mereka sepenuh hati. Aku tidaklah tua mana pun dari mereka hanya setahun dua. Kerana dianggap lebih tua (25 tahun), mereka selalu memaksaku menjadi ketua dalam apa sahaja acara.

Akulah ketua kumpulan, akulah pemandu kereta, akulah ketua rumah, akulah ketua tukang masak. Hmmmm…. macam kena buli ni. Tapi aku redha kerana aku tahu mereka sayangkan aku dan menyukai kepimpinanku… hehehe.

Sepanjang tahun berkursus (1994/1995), kami tidak pernah berenggang. Hanya berbeza ketika menjalani Rancangan Orientasi Sekolah (ROS), Suriani bersama kami di SMK Khir Johari, Beranang, Selangor.

*

*

*

*

Sedangkan semasa menjalani Praktikum perguruan di Seremban, Negeri Sembilan selama 12 minggu, Rosmah pula bersama kami. Semasa Praktikum tersebut, aku berpasangan dengan Sabe di Sekolah Menengah Puteri sedangkan Zarina dan Rosmah di SMK Agama Sheikh Haji Mohd. Said. Kami tinggal di rumah sewa dan menghadapi susah senang bersama-sama.

Tidak pernah ku lupa, setiap hari, pada jam 6.00 pagi, aku dan Sabe sudah menunggu di halaman rumah Ustazah Rahmah (bukan nama sebenar) guru kanan Pendidikan Islam di SM Puteri untuk menumpang kereta beliau ke sekolah. Sebelum itu, aku dan Sabe menaiki bas dan perlu keluar dari rumah seawal 5.30 pagi. Sedangkan Ina dan Rosmah hanya berjalan kaki ke sekolah. Sekolah kami sangat jauh lebih kurang 20 km dari rumah sewa.

*

PELAJAR CEMERLANG

Alhamdulillah, tidak diduga, aku dan Sabe mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir pengajian kami. Lebih mengujakan, aku dan Sabe antara 13 pelajar cemerlang dari 350 guru pelatih yang mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), sesi 1994/1995. Kami sama-sama ditawarkan untuk menjadi calon pensyarah di Maktab Perguruan. Aku menerima tawaran tersebut tetapi Sabe menolak.

Sahabatku Sabe, orangnya periang, suka ketawa dan bergurau senda, sangat manja dan senang membantu. Aku selalu “meminjam bahuku” untuk dia menangis kala bersedih hati jika ada perkara yang menguris hati. Namun begitu, Sabe tidak suka menerima pendapat begitu sahaja. Beliau akan bertanya dan berbahas sehingga berpuas hati dengan jawapan yang diberi.

Dalam mengenangmu, kita (aku, Sabe, Ina, Su dan Rosmah) pernah berjanji dan berdoa di dalam rumah sewa sambil makan tengah hari di ruang tamu agar Allah SWT menggumpulkan kami di syurga firdaus. Kami bergurau, entah siapa yang dipanggil dahulu dan menunggu kami di pintu syurga.

Allahu Akbar, tidak menyangka antara kami berlima setelah 22 tahun bersahabat, Sabe terlebih dahulu menghadap Ilahi. Allah lebih menyayangi dan menguji hidupnya. Semoga engkau diampuni Allah, dimuliakan di sisi-NYA dan menunggu kepulangan kami pula. Sabe… entah siapa pula akan menyusul perjalananmu selepas ini ?

SABE…. sungguh aku rindu padamu.

*

*

*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima24 September 2018 (Isnin)/ 14 Muharam 1440H/ 5.45 petang/ Tanjong Malim, Perak –  SITI FATIMAH AHMAD

 

 

 

 

 

*

*

4 thoughts on “CT485. SAHABAT…. KENANGAN ANTARA KITA

  1. Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh Bu Hajjah Fatimah.

    Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu, semoga almarhumah sahabat tercinta diwafatkan husnul khotimah. Aamiin ya rabbal alamin.

    Saya turut berduka cita atas berpulang ke rahmatullah sahabat tercinta dari Bu Fatimah. Kesedihan mendalam saya rasakan dari post ini. Semoga cita-cita Bu Fatimah dan sahabat – sahabat untuk berkumpul di syurga diijabah Allah swt. Aamiin.

    Semoga kita semua dapat memaknai sisa usia yang Allah swt berikan untuk kita. Salam hangat dari Jakarta Pusat.

    • Wa’alaikum salaam warrahmatullahi wabarakatuh, mbak Frany Fatmaningrum….

      Aamiin Allahumma Aamiin…. Mudahan semua kebaikan sahabatku itu diganjari Allah dengan kemuliaan di sisi-NYA.Semoga kita yang masih tinggal bernyawa mendapat iktibar dari setiap kematian untuk lebih banyak beramal ibadah sebagai bekal di kemudian hari. Kita akan lebih merasai dan menghargai kehilangan apabila yang dikasihi sudah tidak lagi berada di sisi.

      Terima kasih mbak Frany sudah berkunjung dan ucapan takziahnya.
      Salam kasih selalu. 🙂

  2. Assalamualaikum ustazah,

    Semoga ustazah dan sahabat-sahabat ustazah serta seluruh ahli keluarga sentiasa dalam lindugan dan rahmat dari Sang Pencipta.

    Sahabat,
    Mereka adalah orang yang sanggup berkongsi kesenangan dengan kita,
    Mereka adalah insan yang sentiasa berada dengan kita takala kesusahan menimpa,
    Mereka merupakan individu yang akan menjadi tempat untuk kita bercerita

    Benar kata pujangga “Kawan umpama pasir di pantai, manakala sahabat umpama Mutiara di tengah-tengah pasir”.

    Saya amat tersentuh dengan keakraban yang ustazah dan sahabat-sahabt ustazah cipta dan akhirnya mengukuhkannya. Saya mengakui bahawa sahabt inilah yang akan membawa kita kepada hala tuju yang kita cari. Sekiranya elok dan baik sahabat yang kita temui, maka baiklah perjalanan kita, namun jika sebaliknya, maka musnah dan gelaplah jalan yang kita tujui. Benar kata ustazah sahabat ini merupakan mereka yang sanngup berkongsikan bahu bersama kita dan menjadi keluarga kecil buat kita. Terima kasih atas persahabatan dan pengalaman yang dikongsikan oleh ustazah. Semoga sahabat ustazah (Sabe) tergolong dalam kalangan mereka yang beriman… (Al-Fatihah)

    Saya,
    AMRI ASYRAF BIN AMIRUDDIN
    PISMP SEMESTER 1 TAHUN 2 AMBILAN JUN 2020
    IPG KAMPUS BATU LINTANG, KUCHING, SARAWAK

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Amri Asyraf…

      Terima kasih sudah berkunjung dan memberi komen yang amt mengesankan hari. Begitulah kehidupan ini, kita akan bertemu dengan orang-orang yang tidak pernah difikirkan untuk menjadi akrab dalam hidup kita. Pasti apabila berpisah ia amat memeritkan jiwa tambah lagi apabila iya perpisahan yang tidak dapat kembali lagi. Semua itu akan menjadi kenangan yang ak terlupakan.

      Terima kasih juga atas doa dan semangat yang dihadirkan. hargailah sahabat selama kita masih hidup dan teruskan silaturahmi serta berdoa untuk dipertemukan semula di syurga nanti.

      Barakallahu fiik. Salam sejahtera.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.