CTaa501. BELAJAR MELUKIS MATAHARIKU

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

JADI PESERTA

Apabila diri terbenam ligat dalam dunia akademik, ruang masa untuk mendalami bidang seni visual dan fotografi amat terhad. Sibuk memang sibuk. Jumlah jam mengajar seminggu, mesyuarat, taklimat, bengkel, seminar dan lain-lain tugasan rasmi dan tidak rasmi dalam tempoh seminggu bekerja, benar-benar mematikan bakat terpendam yang menjadi minat namun tidak pernah kesampaian untuk kepuasan hati.

Alhamdulillah, ada juga hikmahnya apabila pandemik Covid 19 menular ke seluruh dunia. Pengajaran dan pembelajaran tidak lagi pada norma biasa, kurang interaksi bersemuka dan ia dilakukan secara dalam talian (online) menggunakan pelbagai aplikasi untuk menghubungkan guru dan pelajar di luar kampus.

Mengambil kesempatan ini, pihak kampus IPGKBL melalui jabatan dan unit masing-masing telah menyediakan pelbagai jenis kursus dan bengkel untuk mengisi ruang para pensyarah menambah ilmu dan kompetensi bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang

Antara yang menarik minat saya adalah Kursus Interpretasi Instrinsik Atas Kanvas (Melukis), Bengkel Grafik Komputer (Photoshop) dan Kursus Fotografi. Saya juga kini sedang mengikuti Kelas Seni Khat secara Online. Semua kursus ini di luar bidang kepakaran saya sebagai pensyarah Pengajian Islam. Allahu Allahu, bidang seni adalah cabang hidup yang indah dan meriah. Saya amat menyukainya.

*

PENERANGAN

Untuk kursus pertama, Kursus Interpretasi Instrinsik Atas Kanvas (Melukis) telah diadakan pada 13 Ogos 2020/Khamis selama 3 jam. Ia dilaksanakan di Studio Seni Visual. Alhamdulillah, peserta terdiri dari para pensyarah akademik dan anggota khidmat sokongan (AKS). Sambutan yang amat meriah dan masing-masing rasa teruja.

*

*

Terima kasih kepada Dr. Egmal, pensyarah Pendidikan Seni dari Jabatan Pengajian Sosial IPGKBL kerana menganjurkan kursus ini. Kursus ini memberi pendedahan tentang seni melukis, seni catan dan pentingnya bagaimana mengetahui jenis warna dan cara menggunakan warna.

Setelah Dr. Egmal memberi sedikit ringkasan tentang jenis warna (neutral, primier, sekunder dan thirdtier), roda warna, bentuk berus lukisan, kain kanvas, kertas lukisan, jenama kotak warna dan media warna (basah dan kering), barulah semua peserta di arah melukis dan mewarna secara bebas mengikut apa yang difikirkan dalam tempoh 2 jam.

*

*

Kami semua rasa teruja dan berpusu-pusu mengambil berus lukisan pelbagai saiz, kertas lukisan saiz A3 dan kotak warna. Kami mula melukis idea masing-masing. Walau pun mempunyai asas melukis yang hanya diperolehi semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah yang sudah berpuluh tahun ditinggalkan, kami bersemangat untuk menghasilkan lukisan terbaik.

Bayangkan, bagaimana lukisan kami nanti kerana kami tidak pun diajar oleh Dr. Egmal bagaimana cara melukis dengan betul dan benar. Ikut pengetahuan sedia ada masing-masing. Memang melukis ikut suka hatilah ni. “Buat santai-santai, slow-slow dan jangan stress, Enjoy.” begitulah pesan Dr. Egmal kepada kami seramai 14 orang. Riuh rendahlah suasana Studio Seni Visual pagi tersebut.

*

*

*

KELOPAK DAUN

Saya mulanya buntu memikirkan apa yang mahu dilukis, tak terbayang nak memilih objek apa yang disukai. Saya melihat rakan sebelah, Mastura mencorakkan lukisannya dengan mengunakan teknik benang. Masya Allah, hebatnya pakai benang jahit yang halus sahaja. Ia seperti lukisan berbentuk abstrak. Saya yakin Mastura sudah mempunyai asas melukis. Tapi saya tak tanya dia pun. Takut hati saya goyah kerana belum ada idea lagi.

Saya pula memilih menggunakan berus lukisan jenis flat dan round. Kami berkongsi kotak warna jenama BUNCHO water colors dan jenama ARTIST’S ALPHA water colors. Kami mula mencampur warna dan bermain dengan warna. Bestnya. Saat ini, tiada siapa peduli dengan orang lain. Semua dengan dunia masing-masing.

*

*

Saya belum mempunyai apa-apa idea. Saya buntu. Akhirnya, saya buka google dan cari gambar yang ringkas dan mudah dilukis serta berwarna warni. Alhamdulillah, akhirnya pilihan saya adalah gambar ini (di bawah), bentuk kelopak bunga berwarna warni. Saya yakin ia pilihan yang tepat. Mudah dilukis dan diwarna. Sudah tentu cantik. Begitu yakin hati saya. Sambil tersenyum riang kerana sudah membayangkan cantiknya lukisan saya nanti.

*

*

Tangan saya mula melakar kelopak daun di atas kertas A3 dengan pensel. Terketar ketar pensel dilakar dengan penuh hati – hati agar nampak kemas dan mudah diwarna.  Selepas melakar saya memilih jenis warna dan campuran yang dijelaskan oleh Dr. Egmal.

Saya memulakan dengan warna utama (primier) iaitu kuning, merah dan biru. Kemudian mencampurkan warna primier untuk menjadi warna sekunder. Kemudian mencampurkan warna primier dan warna sekunder menjadi warna thirdtier.

Sungguh khusyuk saya mewarna lakaran lukisan saya mengikut apa yang diajar oleh Dr. Egmal. Namun akhirnya, saya malas kerana sangat terhad warna yang saya perolehi. Lalu Saya mengambil warna – warna yang sedia ada di dalam kotak warna tersebut. Lagi mudah. Masa tak banyak untuk dibazirkan.

Dalam tempoh satu jam lebih, lukisan saya SIAP.  Alhamdulillah. Saya sangat berpuas hati dan bangga dengan hasil lukisan saya. Saya belum lagi melihat hasil lukisan peserta lain.  Saya berhenti mewarna dan mula membuat lawatan singkat untuk melihat lukisan rakan peserta.

*

INILAH HASIL LUKISAN PERTAMA SAYA. ADUHHH…. MALUNYA, JAUH DARI GAMBARAN YANG SEBENAR… hahahaha.

*

LUKISAN SEBENAR

Semasa melihat hasil kerja lukisan rakan peserta, sungguh hati saya tersentuh dan rasa malu mula menjalar ke segenap urat nadi apabila membanding lukisan mereka dengan lukisan saya. Jauh panggang dari api. Hasil lukisan mereka nampak berseni dan menarik sekali. Tidak seperti lukisan saya. Saya tidak puas hati dengan lukisan saya. Saya mesti buat sesuatu dan melukis dari hati sendiri bukan meniru.

Saya kembali ke meja, mengambil sehelai kertas lukisan dan mula melukis 5 bulatan dengan fikiran cuba mencari idea yang mudah dan segera. Masa hanya tinggal 45 minit sebelum bengkel berakhir.  Bulatan saya warnakan hitam. Tangan saya lebih kuat ketarnya dari mula-mula awal melukis tadi. Kini, saya tidak melakar. Saya terus melukis.

Pada setiap bulatan hitam, saya lorekkan dengan setiap warna dan menarik bebas berus lukisan ke sisi atas, bawah, kanan dan kiri, lalu menghasilkan garis lurus panjang pendek mengelilingi bulatan sehingga membentuk kelopak bunga yang halus dan jarang. 

*

*

Pada bulatan terakhir di tengah saya menggunakan warna kuning dan melorek warna sesuka hati saya. Semua lorekan warna itu seolah-olah seperti Italian White Sunflower (gambar di bawah), dengan kelopak yang jarang.

*

Italian White Sunflower

*

Saya terus berhenti melukis dan mewarna. Ting….. saya sudah mendapat idea. mengapa saya tidak terfikir langsung awal-awal tadi. Akhirnya, LUKISAN SEBENAR SAYA adalah MATAHARIKU.

*

Saya hanya menggunakan 2 warna sahaja iaitu warna neutral (hitam) dan warna premier (kuning) bagi menghasilkan lukisan MATAHARIKU.

*

ALHAMDULILLAH, BAKAT TERPENDAM

Dr. Egmal dan rakan peserta memuji hasil lukisan terbaru saya. Ia satu percubaan yang terdesak. Sungguh saya tidak percaya dengan bakat terpendam saya. Ia siap dalam tempoh yang singkat. Hanya 20 minit. Calit calit warna sahaja dengan harapan yang tinggi, siap cepat. Pastinya bukan karya yang bagus tetapi hebat untuk orang yang baru belajar melukis seperti saya. Alhamdulillah.

*

*

HATI BERBUNGA SEPANJANG HARI

*

***************

SalamFatima3SalamFatima15 Ogos 2020 (Sabtu) / 25 Zulhijjah 1441H/ 11.00 malam / Kota Samarahan

 

 

 

 

14 thoughts on “CTaa501. BELAJAR MELUKIS MATAHARIKU

    • Iya benar, mungkin blog perlukan lebih banyak perhatian dari media sosial yang lain. Insya Allah, saya tetap setia dengan blog.

      Terima kasih mas Ilyas atas kunjungan.
      Semoga terus sukses.

      Salam sejahtera.

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb puan Fatimah,

    wah ternyata lukisan Matahariku benar benar indah dan cantik.
    Orang menyangka ini karya profesional tapi ternyata dari seorang amatir.
    Ini benar benar bakat terpendam puan Fatimah … ayo teruskan dan lanjutakn …. 🙂

    stay safe stay healthy

    • Wa’alaikum salam wr.wb, saudara Bersapedahan…

      Alhamdulillah, didoakan sihat dalam rahmat Allah.
      Hehe… hanya idea sepintas lalu. Alhamdulillah menjadi juga akhirnya. Sehingga sekarang belum ada ruang masa melukis lagi.

      Terima kasih sudah berkunjung. 😀

  2. Bismillaah
    Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh Ummu

    Maasya Allah Ummu masih istiqomah menulis blog 🙂

    Salam takzim dari ana, Ummu,

    Semoga ana bisa menulis lagi di blog ana..

    • Walaikum salaam wr.wb…. Khansazahra…

      Maaf, baru membalas. Sebenarnya saya juga kurang aktif menulis sekarang ini kerana hambatan tugas yang banyak. Insya Allah, jika ada ruang masa akan diusahakan. Malah untuk berkunjung ke blog sahabat – sahabat juga belum berkesempatan.

      Terima kasih atas ingatan dan kunjungan, semoga silaturahmi dua negara tetap kekal baik dan diberkati Allah.

      Salam sejahtera selalu. 🙂

  3. Assalamualaikum ustazah,

    Benar kata ustazah, melukis biar dari hati kerana jika ianya terbit dari sanubari ia pasti memberikan hasil yang kita banggakan. Membaca coretan ustazah membuatkan saya sedar bahawa pentingya untuk kita menghargai diri kita. Saya juga tersentak dengan ayat “melukis dari hati sendiri bukan meniru”. Ia cukup memberikan gambaran kepada saya untuk berhenti meniru dalam setiap apa yang dilakukan, namun berusaha untuk mewujudkan apa yang kita impikan, Saya juga mempelajari bahawa pentingnya untuk kita menilai serta membuat refleksi terhadap apa yang kita hasilkan kerana sedikit sebanyak ia akan mebantu kita dalam memperbaiki diri kita. Percubaan yang berterusan sangat penting kerana tanpa melalui fasa kegagalan, kita tidak akan menemui titik kejayaan. Makanya, saya amat tertarik dengan usaha dan pendirian yang dibawakan oleh ustazah demi mendapatkan sesuatu yang kita diakhirnya akan berpuas hati dan mampu gembira tersenyum sambil memuji diri sendiri.

    saya,

    AMRI ASYRAF BIN AMIRUDDIN
    PISMP SEMSTER 1 TAHUN 2 AMBILAN JUN 2020
    IPG KAMPUS BATU LINTANG, KUCHING SARAWAK

    • Waalaikum salaam wr.wb, Amri Asyraf…

      Benar, menghargai diri amat penting sebagai satu penghormatan buat diri sendiri sebelum orang lain melakukannya. Menghargai apa yang kita usahakan tentu sekali mendatangkan rasa gembira dan puas kerana tidak menyangka bahawa kita dapat melakukannya. Mudahan dengan cara tersebut kita akan terus bersemangat untuk maju dan meraih kejayaan cemerlang dalam hidup.

      Terima kasih Amri sudah berkongsi idea yang bermanfaat.
      Selamat maju jaya hendaknya. 🙂

  4. Alhamdulillah, saya berasa seronok membaca penulisan dari Ustazah. Ada intipati baharu yang saya perolehi pada hari ini. Antaranya adalah kita mesti kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan tidak boleh mudah berputus asa. Sehubungan itu, setiap orang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Kita tidak boleh membiarkan aura negatif menguasai diri kita bahkan kita semestinya memenuhkan diri kita dengan aura positif. Dengan kata lain, jika kita ditimpa sesuatu ujian, jangan hanya fokus pada masalah tersebut tetapi fokuslah pada penyelesaiannya. Jika dibiarkan masa yang berbaki 20 minit itu, mungkin yang ada sedikit keluhan kerana membiarkan masa itu. Tuntasnya, saya berasa begitu terinspirasi dengan tindakan Ustazah yang memanfaatkan masa berbaki 20 minit yang ada untuk cuba membuat lukisan mengikut kata hati Ustazah secara profesional. Akhirnya, hasil lukisan Ustazah itu juga tidak mengkhianati usaha Ustazah.
    Mohon doakan agar saya mampu jadi penimba ilmu yang sentiasa dahagakan ilmu dan keberkatan dari para murabbi seterusnya istiqamah dalam menuntut ilmu.Jazakillahu khairan kathiran Ustazah.

    Saya,
    Siti Aishah binti Mohamad Sayuti
    PISMP PA SEMESTER 1 TAHUN 2 AMBILAN JUN 2020
    IPG KAMPUS BATU LINTANG.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Siti Aishah….

      Semua manusia mempunyai potensi dan peluang untuk memilih apa yang dimahunya. Jika kita merasa sesuatu itu tidak sesuai, perlulah kita memikirkan usaha yang lain untuk mencapai apa yang kita inginkan. Belajar berfikiran positif dan menjadikan hidup ini ceria dengan pandangan optimis kita. Baharulah kita merasai ketenangan jiwa dan meraih bahagia yang indah. Insya Allah kita dapat menikmati perkara yang kita suka jika kita inginkannya berlaku.

      Terima kasih sudah berbahagi pandangan yang bernas dan semoga beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.