CT240. PERJALANAN MENUJU MAKKAH (3): 8 JAM YANG MEMENATKAN

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

MadinahMakkahFatima18jampenat

*

RASA LETIH


Perjalanan menuju Makkah mengambil masa selama 8 jam lebih. Ia sebuah perjalanan darat yang memenatkan tubuh dan minda. Berangkat dari Kota Madinah jam 2.30 petang dan sampai ke Kota Makkah (hadapan Hotel Sevilla Barakat) pada jam 10.50 malam (waktu Makkah).

Fizikal dan mental saya sangat letih kerana hanya duduk di atas kerusi sahaja. Sekejap badan lurus menegak menghadap hadapan kerusi. Sekejap mengiring ke kiri menghadap tingkap bas memerhati pemandangan luar yang cerah dan bertukar gelap.

Sekejap menghadap ke kanan, menyandar kepala di bahu SPH untuk mencari keselesaan selama dalam perjalanan. Saya tidak dapat tidur lena kerana kondisi di dalam bas yang sangat sejuk oleh udara air-cond. Mata langsung tidak mahu berkompromi untuk mendapat tidur yang berkualiti. Mulut kumat kamit mengalunkan talbiah, berzikir dan berdoa.

Keadaan letih di dalam bas lebih memberi kesan kepada fizikal dan mental berbanding keletihan menaiki pesawat yang perjalanannya terus tanpa henti. Di dalam pesawat, saya masih boleh berjalan-jalan ke sana sini, jika bosan duduk. Boleh mendengar alunan ayat al-Quran dan nasyid atau menonton video yang disediakan di paparan skrin di belakang kerusi hadapan. 

Sepanjang 8 jam tersebut, kami berhenti di tiga lokasi berbeza. Dua kali di Check Point Imigrissen Madinah dan Makkah. Satu kali di sebuah RNR (Rehat dan Rawat) di tengah padang pasir yang gelap bagi mengisi perut dan menunaikan solat Jamak Taqdim dan Qasar pada waktu Maghrib. Kami berhenti selama satu jam.

Saya dan SPH tidak membeli apa-apa kerana tidak tahu apa yang hendak di makan. Makanan di sini sangat asing dan aneh. Tidak menyelerakan. Kami makan bekalan yang dibawa dari Madinah dan “meal gift” yang diberikan kepada semua jemaah hati di Check Point Madinah. Alhamdulillah.

Sebelum berangkat pergi dari Masjid Bir Ali, Madinah, kami dihadiahkan beg galas berwarna biru sebagai tempat menyimpan kasut atau sebagainya oleh sebuah syarikat komunikasi bernama MOBILY.

*

MadinahMakkahFatima11GiftMeal

Makanan ringan dalam kotak (kandungan : buah kurma, kacang, snack krakers, air jus kotak dan kek layer) bersama sebotol air Zam Zam (1.5 liter) dihadiahkan kepada semua jemaah haji yang melalui Check Point Madinah dan Makkah. Begitu juga, semasa menginap di Madinatul Hujjaj, asrama sementara jemaah haji Malaysia sebelum berangkat pulang. Alhamdulillah.

*

SEPANJANG JALAN KENANGAN

Perjalanan siang dari Madinah ke Makkah melintasi beberapa lokasi yang dikenali Yuthamah, Lutamah. Nama-nama lain tidak dapat dicatat kerana tidak sempat melihat ke arah papan tanda nama apabila bas meluncur laju di atas lebuh raya tiga lorong. Sepanjang lebuh raya hanya kelihatan bukit-bukit batu yang keras tanpa tumbuhan segar yang menghijau keadaan sekeliling untuk dinikmati.

Bentuk geografi yang kering kontang diperlihatkan sejauh mata memandang gurun pasir yang kurang subur. Warna dedaun pokok dan tumbuhan renek seakan kekuningan atau coklat muda menunjukkan bekalan air dan oksigen berkurangan. Saya menarik nafas dalam-dalam sambil ingatan menerawang kepada kehidupan masyarakat zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Rasulullah SAW, para sahabat dan kaum muslimin awal mengambil masa 9 hari dengan menaiki unta atau berjalan kaki dari Madinah dan Makkah bagi menunaikan umrah dan haji. Sedangkan saya dan rombongan hanya 8 jam lebih. Sukar dibayangkan kepayahan mereka berbanding keberuntungan yang sedang saya kecapi kini. Semua itu menginsafkan diri agar lebih banyak bersyukur dengan setiap kurnia Ilahi. Aamiin.

*

120 KM SEJAM

Lebuhraya berkembar (3 lorong) Madinah-Makkah, kelihatan baharu di tar semula dan ini menjadikan perjalanan bas berjalan lancar. Sepanjang perjalanan kelihatan di kiri kanan lebuh raya hanya di tatahias dengan bukit bukau berbatu. Pokok dan tumbuhan pula jarang-jarang ditemui.

Sekali sekala melintasi kawasan bukit bukau yang sayup kelihatan dari jauh seperti sebuah padang pasir yang rata. Tiada langsung pemandangan hijau yang menyegarkan mata. Semuanya paparan warna coklat kekuningan seolah-seolah mengkhabarkan kehidupan kurang subur yang membumi di tanah Haram ini.

Tidak banyak kenderaan lalu lalang di lebuh raya. Bas-bas kosong tanpa penumpang bergerak laju dari arah bertentangan menuju Kota Madinah yang kemudiannya akan terisi penuh dengan jemaah haji untuk dihantar ke Kota Makkah.

Lori-lori besar dan panjang turut meragamkan pemandangan di lebuh raya selain kenderaan pelbagai jenama yang selalu menarik perhatian saya. “Bila agaknya saya hendak membeli kereta baru.” getus hati saya.

Menakjubkan apabila memandang papan tanda had kelajuan 120 km sejam di lebuh raya berkembar Madinah-Makkah.  Namun angka itu tidak mengatasi negara Jerman (sebuah negara kereta) yang mengesyorkan had laju 130 km sejam tetapi di sesetengah tempat TIADA HAD LAJU MAKSIMUM.

Ini bermaksud anda boleh memandu sehingga ke tahap kepuasan maksimum anda. Cuma risiko kemalangan tanggung sendiri. 😀

*

MadinahMakkahFatima3LebuhRaya

*

WAJAH MALAM

Jam di tangan menunjukkan pukul 5.54 petang. Pemandangan alam kian gelap. Dari sayup kejauhan terlihat warna kehitaman mulai merangkak menutupi senja merah yang kian padam. Mata saya mulai mengantuk dan sukar dikawal akibat rasa letih. Akhirnya saya tidur tetapi sekadar tidur-tidur ayam selama 20 minit. Setelah itu saya kurang tidur sehingga sampai ke Makkah.

Sangat menarik melihat bentuk kenderaan lori di waktu malam. Pemandangan ini sangat indah dan menghiburkan. Sekurangnya dapat merehatkan fikiran yang penat. Yang cantiknya apabila badan lori itu dikelilingi lampu berwarna warni yang cerah.

Kesannya, kita boleh mengandaikan panjang dan besar lori tersebut dari jauh. Keadaan ini, tentu menjamin keselamatan pengguna lebuhraya apabila ingin memotong laju.  Sayang saya tidak dapat mengambil foto di waktu malam.

Walau bagaimanapun, tidak ada pemandangan menarik sepanjang perjalanan di sebelah malam. Bangunan  dan rumah yang dilalui, hanya memancar lampu yang menyinari kegelapan malam.

Saya tidak dapat mengambil satu foto pun melalui cermin tingkap bas kerana pantulan “flash” tidak sampai ke luar. Malah berbalik ke muka saya sendiri. Bila saya melihat wajah sendiri, hati menjadi sayu kerana nampak keletihan, lesu dan pucat.

Sambil memerhati dan merenung wajah siang dan malam serta aktiviti yang berlaku di luar bas, hati saya berzikir memanjat syukur atas nikmat perjalanan iman ini. Sekali sekala mulut mengalunkan talbiah mengikut suara Pak Den dan SPH yang tenggelam timbul dalam keletihan.

SPH lebih senang mengalunkan talbiah mengikut rentak alunan dari kumpulan Raihan. Katanya, lebih rancak, bersemangat dan menyegarkan. Jika SPH lupa melodi talbiah Raihan, saya akan menjadi tempat rujukan untuk mengembalikan melodi itu diingatannya.

Tanpa diduga, Pak Den turut menyukai melodi Raihan. Pak Den sudah mula menguasai irama baru tersebut berbanding irama yang beliau alunkan dalam CT PMM(2): TIUPAN SEMANGAT TALBIAH

Saya tersenyum mendengar suara Pak Den dan SPH yang sekali sekala mengejutkan penghuni yang sedang tidur dan kemudian beramai-ramai memeriahkan kegelapan malam di sepanjang perjalanan yang semakin hampir ke Kota Makkah.

*

*

SELAMAT DATANG KOTA MAKKAH TERCINTA

*

Setelah melalui perjalanan siang dan malam yang panjang, bas yang ditumpangi akhirnya sampai di Jumum, Check Point Makkah yang terletak kira-kira 22 km dari Tanah Haram Makkah. Sekali lagi, kami dihadiahkan dengan makanan dalam kotak dan sebotol air Zam Zam (1.5 liter). Beg galas saya sudah menjadi berat dek banyaknya bekalan makanan yang sediakan.

Setengah jam kemudian, bas meneruskan perjalanan memasuki perut Kota Makkah yang mulia. Para hujjaj menjadi segar dan suasana dalam bas kembali gamat dengan keriangan yang terpancar di wajah masing-masing. Semua sudah tidak sabar untuk menatap Kota Makkah yang sering dirindui dari kejauhan. 

Saya dan SPH semakin teruja dengan pemandangan di luar bas. Semakin menghampiri pusat bandar, bas merangkak-rangkak lambat kerana kesesakan yang berlaku. Tidak menyangka begitu sibuknya Kota Makkah di malam hari.

Banyak bas-bas jemaah haji bersusun menunggu giliran memasuki Kota Makkah. Suasana semakin hangat dengan keriuhan suara para hujjaj yang semakin kuat mengalunkan talbiah mengikut melodi Raihan.

Hatiku menutur ucapan dalam kesyukuran dengan lafaz:

AHLAN WA SAHLAN YA FATIMAH ILA MAKKAH AL-MUKARRAMAH

KasutTawafFatima7TetamuAllahMakkah

*

***************

SalamFatima3SalamFatima13 April 2014 (Ahad)/ 13 Jamadil Akhir 1435H/ 10.28 malam, Sarikei, Sarawak

AKU….tidak mahu mengalah kepada kepayahan dalam pembelajaran hidup yang sering membuat orang lemah menghadapinya. Tidak mahu mengalah kepada cinta yang tidak kesampaian yang sering membuat orang menangis dan luka berdarah kerananya. Tidak mahu mengalah kepada kegagalan ilmu yang sering menjurus orang merasa lemah dalam meraih kejayaan. Aku mengajar diri untuk menjadi sekeras batu tanpa peduli kesakitan dan penderitaan yang hanya melintas sedetik cuma. Jika aku kalah, aku akan mati dalam riuhnya ketawa syaitan.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

Dedikasiku Untukmu….  pedoman hidup adalah usaha mengubah kehidupan agar menjadi lebih baik. Semoga hidupmu selalu berjaya dalam kebahagiaan rahmat Ilahi untuk menjadi hamba Allah yang diredhai. Aamiin Wassalaam. 😀

RinduFatimaa2HanyaDirimu

*

AKU RINDU, KERANA ENGKAU BERI AKU ERTI HIDUP

*

16 thoughts on “CT240. PERJALANAN MENUJU MAKKAH (3): 8 JAM YANG MEMENATKAN

  1. Assalamualaikum wr wb, mbak ustadzah, cikgu memang melelahkan apalagi kalo malam hari tdk banyak pemandangan yg dpt dinikmati. Kalo saya kebalikannya mbak dari mekkah baru ke madinah, perjalanannya pun malam dr jam 23-5, nyampai hotel langsung ikut sholat subuh di masjid nabi, koper/bek diurus belakangan. Oh ya ini komentar yg pertama ya mbak, senangnya jd yg pertama. Salam sehat sejahtera selalu.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Hafid….

      Kalau berangkatnya waktu hampir tengah malam, pasti tidak ada apa yang dapat dilihat sepanjang perjalanan. Hanya kegelapan yang menghiasi pemandangan malam yang kelam.

      Malah saya yakin, rasa mengantuk pasti mengundang setiap jemaah setelah penat melaksanakan Tawaf Wada’ sebelum meninggalkan Kota Makkah.

      Alhamdulillah, terima kasih Hafid kerana menjadi komentator pertama untuk posting ini. Ia satu penghargaan untuk pencerahan yang dikongsikan bersama.

      Salam sejahtera kembali. 🙂

  2. Subhanallah, luarbiasa bunda … nampaknya sering banget bunda pergi ke tanah haram, dalam catatan blog ini aja bunda lebih dari 2 kali bercerita tentang pengalaman berada di tanah haram, semakin sering ke tanah haram Insya Allah semakin merasa lemah diri ini dan Insya Allah semakin dekat dengan Allah. Di waktu yang akan datang semoga aku berkesempatan mengunjungi BAITULLAH…. amiinn

    • Alhamdulillah, perjalanan yang ditulis di atas adalah rentetan dari kronologi travelog hajjah yang dimulai dari tanah air, Madinah, Makkah, Jeddah dan tanah air. Perjalanan yang panjang dan mungkin mengambil masa beberapa tahun…hehehe, untuk diselesaikan.

      Semoga saya dikurnia umur yang panjang untuk kembali menapak di Tanah Haram pada masa akan datang dan jika diizinkan Allah, ingin jasad ini bersemadi bersama Rasulullah SAW di bumi Madinah. Aamiin.

      Insya Allah, setiap jiwa yang diseru dan merasa dekat dengan seruan-NYA seperti yang dirasakan oleh mas AbiFasya akan hadir dalam rahmat Allah SWT. Aamiin.

      Terima kasih hadir berkunjung.
      Salam hormat takzim. 🙂

    • Hehehe….Wahyu ada-ada aja. Wahyu juga boleh setiap hari berhaji dan ziarah Makkah.

      Alhamdulillah, iya setiap hari saya pergi haji dan setiap hari pergi Makkah. Semua itu terletak di hati kita apabila perasaan itu mengarak kita untuk selalu mengingati Allah SWT dalam setiap ibadah yang kita lakukan dalam solat 5 waktu.

      Terima kasih Wahyu atas kunjungan. Bagaimana blognya, sudah mula beroperasi dan boleh dikunjungi.

      Salam sejahtera. 😀

  3. Assalamu’alaikum wr.wb. Mbak Fatimah…

    Membaca perjalanan menuju Makkah ini timbul kerinduan di hati saya. Andai waktu ada bagi saya untuk memenuhi panggilanNYA ini semogalah terlaksana saya mengunjungi Makkah pada saatnya yang hanya IA yang menentukan.

    Salam persahabatan selalu dari saya, Mbak.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Titik Asa…

      Aamiin Allahuma Aamiin. Saya doakan mas Titik dan isteri akan menerima jemputan Allah SWT di kemudian hari. Insya Allah, setiap kerinduan itu akan ada penawarnya. Berdoalah dan jangan lupa menyimpan wang juga. 🙂

      Terima kasih atas kunjungan.
      Salam hormat dan sejahtera.

  4. Pingback: CT241. PERJALANAN MENUJU MAKKAH (4): SELAMAT DATANG TETAMU ALLAH | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  5. Assalamu’alaikum war.wab.
    Kunjungan perdana saya ke blog mbak Fatimah, saya pun amat terkesan dgn kisah perjalanan spiritual mbak menuju Baitullah Makkah Al Mukarramah seakan diri ini juga berada di sana…insya Allah amin…salam kenal mbak

    • Wa’alaikum salaam wr.wb mas Abdul Razak…..

      Alhamdulillah, sebuah pengalaman yang belum tentu sama akan dialami di lain kunjungan ke sana nanti. Penat tetapi menghasilkan kesan rohani yang tinggi dalam menempuh cabaran berhaji.

      Terima kasih atas kunjungan perdana di sini. Mudahan beroleh manfaatnya.

      Salam kenal kembali dan salam hormat. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.