CT340. RAMADHANKU (2): MAIN MERIAM BULUH

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

MBuluhFatima1MainMeriamBuluh

*

MAIN MERIAM BULUH

MAIN MERIAM BULUH selalu ditunggu-tunggu olehku dan kedua-dua abangku (Shaidi dan Bol). Begitu juga sepupu-sepupu kami yang selalu bermain di halaman rumah kami yang luas di Kampung Hilir. Biasanya kami bermain meriam buluh ini selepas tadarrus al-Quran bermula malam ke 15 Ramadhan.

Pelbagai bunyi dentuman meriam buluh kedengaran di sana sini di seluruh kampung. Meriam buluh sudah mula berbunyi di awal Ramadhan. Main meriam buluh sangat menyeronokkan (menyukakan) hati sesiapa sahaja baik yang tua mahu pun yang muda.

Seingatku, Bapak akan selalu menemani kami bermain meriam buluh.Bapak dan Pak Nek – Haji Mas Atem (bapak kepada Emak) mempunyai meriam buluh sendiri. Malah, aku dan dua abangku juga ada meriam buluh masih-masing. Bapak yang buatkan untuk kami. Tetapi buluhnya Pak Nek yang cari.

*

BUNYI MERIAM BULUHKU

Meriam buluh Bapak tentulah besar dan berbunyi kuat, Boooooommmm. Berbanding meriam buluhku yang kecil dan hanya berbunyi kecil-kecil sahaja, pluuup atau pooot (macam bunyi kentut sahaja aku dengar ketika itu…hahaha).

Walaupun bunyi meriam buluhku kecil dan sayu, sesuai dengan tubuh aku yang kecil dan montel. Ia tetap membuat aku ketawa, gembira dan suka. Maklumlah ada meriam buluh sendiri. Bapak akan berada di sisiku untuk memantau perlakuanku saat bermain meriam buluh.

Biasanya aku akan menutup kedua belah telingaku sebaik mencucuh batang lidi yang berapi ke atas lubang batang buluh yang sudah diisi minyak gas (bahan api @ gasolin) kerana takut terbunyi kuat. Hanya sekali sekala meriam buluh kecilku mengeluar bunyi yang kuat. Tak adalah sekuat mana pun. 😀

*

MEMBUAT MERIAM BULUH

Sejak kecil aku suka sesuatu yang mencabar dan lasak. Apa sahaja permainan kanak-kanak lelaki pasti aku, Kechik dan Siti turut mencuba sepertilah bermain meriam buluh. Aku masih ingat pengalaman mengikut Pak Nek mencari buluh untuk membuat meriam buluh dan lemang.

Buluh-buluh ini tidak perlu jauh mencarinya. Cukup kami pergi ke rumah Nek Ais – Haji Merais (ipar lelaki Pak Nek – adik kepada mak Nek yang ke 12 -bongsu). Lebih kurang 5 meter di belakang dapur rumah Nek Ais terdapat beberapa rimbunan lebat rumpun bambu (buluh) yang besar dan tinggi.

Hanya pilih sahaja. Semuanya segar dan menghijau lebat. Apa yang aku takut adalah ular yang biasanya bersarang di bawah tanah rumpun bambu. Apabila Pak Nek menebang pohon buluh, aku akan berdiri jauh memerhati kesungguhan Pak Nek dalam bekerja. Ini untuk keselamatan.

Berikut, foto di bawah ini menjelaskan cara menyedia dan membuat meriam buluh, yang masih kuat dalam ingatanku semasa kecil apabila memerhati Pak Nek dan Bapak melakukannya.

*

MBuluhFatima2BuluhSegar

Pertamanya, Pak Nek akan memilih batang-batang buluh yang segar dan besar sahaja. Batang buluh yang kecil khusus untuk membuat meriam buluh aku, Shaidi dan Bol hanya dipilih sebatang.

Kemudian batang-batang buluh dipotong panjang dalam jumlah yang dikehendaki. Selepas itu aku dan Pak Nek pulang ke rumah. Buluh akan dipilih untuk membuat lemang atau meriam buluh.

*

MBuluhFatima3PotongLubang

*

Untuk buluh yang dipilih bagi membuat meriam, Bapak akan memotong buluh mengikut ukuran yang dikehendaki. Panjang atau pendek. Ruas buluh akan dibersihkan untuk membuang miang dan meratakannya.

Buluh ditebuk bahagian dalam hingga menjadi satu lubang yang urus. Ia bukan kerja mudah. Perlukan kesabaran. Bahagian belakang buluh lebih kurang sejengkal jari orang dewasa, dibuat lubang khas untuk mencucuh api. Menebuk lubang buluh mesti hati-hati agar tidak pecah.

*

MBuluhFatima4MinyakGas*

Lubang mencucuh api yang siap akan dimasukkan minyak gas (gasolin). Proses percubaan dilakukan oleh Bapak untuk memastikan bahagian dalam buluh kering. Bapak mencuba beberapa kali mencucuh api. apabila api padam, Bapak akan meniup lubang itu. Maka, aku melihat asap akan keluar melalui muncung buluh. 

Setelah dilakukan percubaan beberapa kali, bahagian dalam buluh menjadi kering. Mulanya aku mendengar bunyi desis…. dsssssrrrrr. Kemudian barulah terdengarlah bunyi-bunyi halus bersama semburan api kecil yang pantas di muncung  buluh. Bermaksud buluh sudah boleh digunakan.

*

MBuluhFatima5MainMeriam

Lebih kurang seperti inilah aksi aku ketika mencucuh api ke lubang buluh. Takut dalam berani dengan batang buluh panjang demi keselamatan sambil dipantau oleh Bapak dan orang dewasa yang lain.

*

Setelah memastikan meriam buluh sudah boleh diguna, Bapak akan mencucuh api dengan menggunakan batang buluh halus yang panjang. Batang buluh itu dicelup minyak gas dan dinyalakan api padanya. Tujuannya untuk keselamatan.

Kemudian Bapak memasukkan batang buluh halus itu ke dalam lubang buluh yang terisi di dalamnya minyak gas. Semasa Bapak melakukan aksi yang aku anggap menakutkan, kami dilarang berada dalam jarak dekat. Hanya Bapak sahaja yang berada dekat meriam buluh. Setelah mencucuh lubang buluh, Bapak segera menjauhinya demi keselamatan.

Oleh kerana meriam buluh Bapak besar, bunyi yang dikeluarkan juga besar dan berdentum kuat. seperti bunyi kilat. Kelihatan api tersembur kuat dan besar. Api mengeluarkan cahaya menerangi ruang halaman rumah lami sepantas kilat.

Semua ahli keluarga keluar dari rumah untuk menyaksikan permainan meriam buluh. Masa berkumpul keluarga yang asyik dan meriah. Kami menutup telinga untuk menggelak bunyi kuat memasuki telinga. Aku berdebar takut dalam keseronokan. Suasana jadi bising mengkagumi bunyi dan pancaran api yang dikeluarkan dari meriam buluh Bapak.

*

MBuluhFatima6Peringatan

*

KESELAMATAN KETAT

Memerhati Bapak bermain meriam buluh dan memantau anak-anaknya bermain, aku dapati Bapak sangat menjaga keselamatan dan tidak tangguh memarahi kami jika tersilap langkah. Kami mematuhi arahan Bapak. Jika tidak jangan harap kami akan bermain meriam buluh lagi jika melanggar perintah Bapak.

Bapak dan Pak Nek tidak akan membenar kami bermain meriam buluh jika tidak ada orang dewasa bersama kami. Semua ini demi keselamatan agar tidak menyesal di kemudian hari. masa bermain juga dihadkan. Jam 10.30 malam kami sudah masuk tidur.

Semasa kecil dulu, tidak pernah aku mendengar kes-kes cedera parah atau kematian di Kampung Hilir atau kampung-kampung lain apabila  bermain meriam buluh atau mercun atau bunga api. Sedangkan bunyi meriam buluh itu berdentum kuat bersahut-sahutan.

Semua itu kenangan masa kecil dan tidak lagi berlaku masa kini. Pak Nek sudah lama meninggal, Bapak sudah tua dan sakit, adik beradik sudah tidak berminat dengan meriam buluh dan anak-anak tidak pernah menyaksikan lagi permainan ini secara alami kerana kami adik beradik sudah tidak berminat melakukannya.

Main mercun dan bunga api, jarang dilakukan sekarang kerana semua itu sudah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia dan dimasukkan di dalam Akta Bahan Letupan 1957. Namun ada juga segelintir “manusia degil” yang tidak menghiraukannya.

*

CARA MAIN ORANG SEKARANG

Lagi pun, cara bermain meriam buluh sekarang sangat menakutkan. Kami dulu hanya menggunakan minyak gas. Sekarang semakin hebat dengan menggunakan kabait yang dicampur air. Bukan lagi menggunakan buluh tetapi diubahsuai menggunakan batang besi.

Lihat foto-foto di bawah… rasa ngeri dan nyeri bila keselamatan tidak terjaga. Memang anak-anak ini berani mati dan tidak takut hilang nyawa. Aku melihat foto ini rasa nyeri di hati.

*

meriam besi

Duduk atas meriam besi sambil mencucuh api… apa jadi kalau tiba-tiba meletup. Tak ke jadi arwah. Paling ringan kalau tak mati, hilang kejantannyanya dan lumpuh. Rugi seumur hidup. Wa’iyazubillah.

*

meriam-buatan-malaysia

Bermain merian besi sambil memegang dengan tangan dan disandar pada bahu… mak oooi… sangat bahaya sekali.

*

2 contoh foto di atas telah dimuat turun dari Googles sebagai sempadan dan peringatan…. JANGAN TIRU MACAM MEREKA walaupun anda memang seorang pejuang bangsa.

Ini bukan medan perang. Ini medan menempah maut yang boleh mengakibatkan kita ‘MATI KATAK”. Ia berisiko tinggi dan dianggap “BERANI MATI atau lebih tepat “MEMBUNUH DIRI”. Perlakuan mengancam nyawa secara sengaja adalah diharamkan di dalam Islam.

*

pesanfatimaku

KEPADA IBU BAPA

Kita berada di bulan Ramadhan untuk melakukan ibadah. Bulan Ramadhan bukan bulan menyaksikan kecederaan atau kematian. Ia bulan barakah dan penuh rahmat dari Yang Maha Esa.

Jangan cemari bulan Ramadhan dengan darah tetapi penuhi dengan pasrah sebagai hamba yang menyerah dan tunduk kepada perintah Allah SWT.

Awasi permainan anak-anak di bulan Ramadhan terutama main meriam buluh, mercun dan bunga api. Semua permainan ini jika tidak dipantau dan diawasi keselamatannya, akan mengakibatkan kegembiraan berhari raya akan hilang sekelip mata.

 

kematian

*

Jadilah ibu bapa yang tegas dalam perkara melibatkan keselamatan anak-anak. Semua itu merupakan kewajiban dalam tanggungjawab memelihara nyawa.

*

HARGAILAH KEHIDUPAN YANG HANYA SEKALI DI DUNIA INI. JANGAN SIA-SIAKANNYA

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima10 Julai 2015 (Jumaat)/ 23 Ramadhan 1436H/ 9. 50 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. memujuk hati agar selalu positif menghadapi tekanan yang tidak pernah hilang dalam hidup. Senyumlah agar hati rasa lega dan indah. Bukan untuk sesiapa tetapi untuk diri sendiri. Manusia yang tidak pernah menyerah kalah akan selalu optimis dan redha dengan ketentuan Allah tentang takdir yang dilalui. Namun dengan doa dan usaha, pasti ada takdir yang berubah dengan izin-NYA.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…. Jika kau mengerti, kasih ku tidak pernah mati walau musim kemarau menghapuskan titis air terakhinya di bumi ini.  Percayalah…. doaku selalu ada untukmu selagi nafas ini diizinkan-NYA untukku. Wassalaam. 🙂

*

IngatanFatima1Padamu

*

*

12 thoughts on “CT340. RAMADHANKU (2): MAIN MERIAM BULUH

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Lidya…

      Iya, wajib diawasi mbak. Jika tidak anak-anak akan bermain ikut suka mereka tanpa tahu akibatnya. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak ada gunanya.

      Terima kasih mbak Lidya dan salam seindah Ramadhan. 🙂

  1. Dulu jaman saya kanak-kanak permainan meriam bambu ni juga salah satu mainan bulan ramadhan. Kami dulu pakai bambu betung. Supaya bunyinya keras ditambahkan petrol atau karbit untuk bahan bakarnya.
    Tapi sekarang ni tak ada lagi permainan meriam bambu di kampung saya.

    • Memang buluh betung bagus untuk membuat meriam buluh. Saya fikir itulah buluh yang Pak Nek saya ambil. Kulitnya tebal dan tahan api. Oh.. di sana juga guna karbait ya. Kami guna minyak gas sahaja. Sebab itu apabila menggunakan karbait, kecederaannya parah berbanding minyak gas.

      Di kampung saya juga kurang kedengaran bunyi meriam buluh. Mungkin semangat anak-anak sekarang kurang kepada permainan tradisonal ini lagi kerana leka dengan gadget moden (games) yang lebih asyik lagi, ya.

      Terima kasih mas Alris dan salam hormat. 🙂

  2. assalam dik fatimah…bermain meriam buluh cara yg betul dan diawasi mrk yg lbh dewasa memeriahkan suasana raya tapi sekarang ni lain jadinya ada yang pandai2 buat meriam sendiri menggunakan pelbagai campuran bahan peledak n pabila diletupkan tu yg bersepai semua termasuk yg berani bermain dgnnya…kesian kan …niat bermain utk menggembirakan hati tapi memudaratkan diri pula…kak ni walau dh tua tapi xder pengalaman main meriam buluh ni heh..heh…salam syawal maaf zahir batin.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kak Paridah Ishak…

      Sepatutnya ibu bapa mengawasi anak-anak bermain ercun kerana ia permainan yang merbahaya. Malang tidak berbau. Maka jangan sampai menyesal kemudian disebabkan kelalaian yang boleh difikirkan awal. Jika sudah cedera atau meninggal dunia, tidak ada yang mampu dilakukan kecuali penyesalan seumur hidup.

      Hehehe… tidak semua orang berpeluang bermain meriam buluh ini kak. ia bergantung kepada kegemaran bapak kita juga. Bapak saya seorang yang sangat suka menemani anak-anak mereka bermain seperti ini semasa kami kecil dulu. Sekarang pun Bapak saya masih ingat apa yang kami lakukan di malam raya.

      Terima kasih kak sudah berkunjung.
      Salam Syawal yang mulia. 🙂

  3. Assalamualaikum Wr Wb.
    Ini cerita kecilku yang sama persis dialami. Saat kecil mempunyai meriam buluh (dalam Bahasa Sunda “Lodong” yang diisi air+bongkahan karbit) sendiri-sendiri sesuai dengan usia. Meskipun kecil dan sekedar berbunyi pluuupp namun itulah yang menciptakan kebahagiaan tak terkira, mengundang tawa terbahak-bahak (LOL)

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kips…

      Alhamdulillah, sekurangnya kita mempunyai kenangan masa kecil dengan meriam buluh. Tidak semua orang mempunyai meriam buluh sendiri. malah sekarang tidak ramai lagi kanak-kanak bermain dengan meriam buluh ini.

      Terima kasih Kips kerana berkongsi kenangan di sini.
      Salam sejahtera. 🙂

  4. Assalamulaikum Wr Wb … Bu SFA

    Wahhh … meriam bambu ya… ingat ini langsung teringat suasana bulan puasa waktu kecil dikampung halaman … kenangan yg masih terasa-rasa sampai kini waktu saya ‘menyulut meriam bambu … alis mata ikut angus terbakar kena percikan api meriam bambu. hehehe …. :D.

    Salam sejahtera selalu dari bagian timurnya Jakarta Timur … 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Soeman Jaya…

      Hehehe… pasti rupanya aneh tanpa alis mata ya. Saya tidak pernah melakukan aksi meniup meriam buluh tersebut kerana dikawal ketat oleh Bapak.

      Terima kasih Soeman atas pengalaman yang menarik.
      Salam syawal yang mulia. 🙂

  5. Meriam buluh, dikampung ku di kal-sel kotabaru- desa sarang tiung, nama nya latup latupan atau ledak2kan. Asik tuh kalou dah main, sampai2 bulu mata n alis angus kalu lgi niup nya…
    Alhamdulillah .. Permainan ini masih dimainkan anak2.. Untuk memeriahkan bulan ramadan kemaren..
    Salam kenal …
    Bersamadarwin.blogspot.com

    • Lain tempat, lain pula namanya ya. Permainan tradisional yang alami dan menjadikan malam bulan Ramadhan dan malam hari raya sangat meriah dengan ledakan bunyi yang memekak telinga.

      Terima kasih Ahmad Darwin sudah berkunjung perdana ke LMGS G2.
      Salam kenal kembali dan salam Aidil Fitri. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.