CT110. CABARAN HAJI (2): CUACA

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Cuaca merupakan satu daripada banyak ujian yang memungkinkan semua Duyufur Rahmaan menghadapinya tanpa kecuali. Penelitian dan pemahaman tentang cuaca di Tanah Suci adalah sangat penting bagi bakal haji kerana cuaca bumi Haramain – Madinah dan Makkah – sangat berbeza dengan tanah air kita. Maka persediaan secara material, fizikal, mental dan spritual hendaklah disiapkan untuk menempuh segala cabaran di sana.

Informasi tentang cuaca di bumi barakah telah dijelaskan melalui BUKU KHAS terbitan Tabung Haji Malaysia dan dibincangkan melalui kursus-kursus haji dengan slot khusus berkaitan PANDUAN KESIHATAN JEMAAH HAJI. Selain itu, banyak pengalaman jemaah haji terdahulu yang telah dibuku dan beredar di pasaran atau didedahkan melalui blog peribadi seperti yang saya lakukan ini. Pengalaman mereka boleh dijadikan asas panduan kepada bakal haji untuk mengetahui tentang keadaan persekitaran di bumi Haramain.

Selain ceramah kesihatan dari kursus haji di Tanah Air, pihak Tabung Haji Malaysia juga mengadakan sesi ceramah kesihatan semasa di Madinah dan Makkah yang saya fikir lebih banyak informasinya daripada di Tanah Air kerana para hujjaj sedang berada di tempat sebenarnya. Harapan saya, para hujaj hendaklah meluangkan masa mereka untuk menghadiri sesi-sesi ceramah yang sangat bermanfaat tersebut. 

Keadaan cuaca yang berubah dengan suhu panas yang melampau di siang hari dan suhu sejuk yang dingin di malam hingga ke pagi, tentu akan memberi kesan kepada tubuh badan bakal haji apabila pertukaran cuaca dari tanah air kepada cuaca di bumi Haramain yang tentunya juga berbeza antara keduanya. Bagi bakal haji yang sihat atau usia masih muda, tidak banyak masalah yang timbul disebabkan keadaan cuaca ini. Mungkin hanya mendapat sakit biasa seperti demam, batuk, selsema atau sakit ringan sahaja.

TETAPI, bakal haji yang sudah lanjut usia atau mempunyai rekod kesihatan seperti athma, jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya, masalah kesihatan tentu akan mengganggu sedikit sebanyak perlaksanaan ibadah disebabkan oleh keadaan cuaca, kepenatan perjalanan kerana jauhnya jarak penginapan dari masjid dan keletihan disebabkan oleh kerja-kerja haji yang mencabar di masya’irnya.

Jemaah haji harus memahami bahawa urusan manasik haji seperti  Wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah,  Mabit di Mina selama 2 atau 3 hari  untuk melontar jamrah, Tawaf Ifadhah dan Saie di Makkah. Semua ini memerlukan kecergasan tenaga dan stamina yang tinggi untuk melaksanakannya.

Jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah. Bumi Haramain adalah bumi yang diberkati Allah dan doa-doa di sana adalah mustajab. Berdoalah untuk kesembuhan penyakit dengan hati yang ikhlas. Minumlah air zam-zam sebanyak-banyaknya  atas kurnia keberkahan Allah pada air tersebut dengan doa-doa yang dilampirkan bersama.

****************

CUACA DI MADINAH

Setelah melalui perjalanan panjang,  pesawat MAS dua tingkat, Boeing B747-400P membumi gagah ke landasan bumi Madinah pada jam 7.15 petang, sedangkan waktu Malaysia adalah jam 12.15 tengah malam. Manakala, sampai di hadapan hotel Moltaqa al-Alam pada pukul 9.56 malam.

Ketika ini, saya belum menanggapi keadaan cuaca di Madinah kerana masih dalam keadaan letih dan sakit. Setelah dini hari, untuk ke Masjid Nabawi bagi menunaikan solat Subuh pertama, barulah saya merasai dinginnya waktu subuh di Madinah. Sangat dingin dan sejuk suasananya. Tetapi jadi hangat kerana pantasnya perjalanan untuk merebut saf pertama di Masjid Nabawi.

Hari-hari seterusnya, kesejukan itu selalu menyapa dengan mesra menjadikan saya senang melangkah menuju rumah Allah dengan senyum yang selalu terukir di bibir. Setiap hari yang baru, adalah bermakna saya MASIH HIDUP dan diredhai Allah untuk perjalanan selanjutnya. Alhamdulillah.

Sila rujuk jadual cuaca dan iklim di Madinah yang mungkin dapat membantu bakal haji untuk persiapan diri dari aspek kesihatan. Jadual cuaca dan ikllim di atas adalah berubah dari semasa ke semasa. Cuaca Madinah boleh disifatkan SANGAT PANAS di musim panas, musim peralihan yang SEDERHANA dan SANGAT SEJUK di musim sejuk.


Berbeza dengan waktu siangnya, saya dapat merasai kepanasan yang melampau di bumi Madinah bermula dari jam 10.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Hari pertama di Madinah, saat solat zohor dihadiri, rasa panas menyengat kulit yang diselubungi kain telekung. Saya masih tidak dapat memasuki Masjid Nabawi dan solat berjemaah di tangga depan pintu Masjid.

Memandang ke luar halaman terbuka Masjid Nabawi saya melihat ribuan para hujaj solat dalam terik mentari. Dengan adanya payung “Bunga Kembang Pagi” yang menjadi atap menahan kepanasan sehingga hawa panas serasa mengeluap dan kipas angin besar berpusing ligat di tengah-tengah tiang payung yang mengeluarkan wap air dan sejuk sekali berada di bawahnya. Saya terkadang berdiri di bawahnya dan “mandi” membasahkan diri . 😀

Pembinaan payung dan kipas angin merupakan dua usaha Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kesejukan kepada tetamu Allah di halaman terbuka. Sedangkan para hujaj yang berada dalam Masjid Nabawi, dapat mendirikan solat dalam keadaan selesa berbantukan penghawa dingin yang sangat nyaman.

Suhu panas semasa ziarah luar ke Bukit Uhud berada di tahap yang tinggi walaupun ketika itu jam  menunjukkan pukul 10.30 pagi. Debu-debu halus serasa berterbangan menghiasi angkasa raya bumi Madinah yang kering kontang.

Pemandangan di Bukit Uhud sekitar jam 10.30 pagi. Terik mentari yang menghangat rasa dan memerit kulit seakan membaham seluruh tubuh yang disinggahinya tanpa kecuali. Peluh menitik membasahi bumi Uhud yang penuh sejarah pilu atas kekalahan kaum Muslimin pimpinan Rasulullah saw di dalam Peperangan Uhud. Tiada awan menghiasi langit lepas Kota Madinah.

Dimaklumkan bahawa bumi Madinah sudah hampir dua bulan tidak merasai titik hujan sehingga pohon-pohon kurma menjadi kering dan buah-buah kurma tidak berhasil baik. Ini kerana pertumbuhan dan kesuburan pohon kurma (tamar) memerlukan air yang banyak dan sentiasa mengalir kepadanya untuk keberhasilan pokok yang segar dan buah yang gebu serta lazat.

Beberapa hari sebelum Hari Wukuf, pemerintah Haramain menghendaki diadakan solat sunat Istisqaq – minta hujan – dan dilakukan dalam waktu serentak di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Namun hujan tidak juga turun walaupun saya sudah kembali ke Malaysia.

Demikianlah ujian yang Allah turunkan kepada para hujaj di musim haji 2011 yang lalu. Saya melihat keadaan ini sebagai satu hikmah kerana tidak banyak gangguan yang menghalang proses pelaksanaan manasik haji berbanding dengan musim hujan melanda yang mempunyai cabaran yang besar seperti yang pernah saya baca sebelum ini

Akibat dari cuaca panas dan kering sehingga suhu meningkat kepada 42 darjah celsius, ramai para hujaj mengalami bibir mengelupas dan kering, tumit kaki merekah dan bersisik. Saya dan SPH tidak terkecuali mengalami keadaan ini. Alhamdulillah, kami sudah bersedia awal dengan keperluan asas untuk menghadapi masalah tersebut. Masya Allah, inilah pertama kali saya merasai tumit kaki pecah sehingga berdarah. Sangat pedih apabila terkena air. Saya redha dan sabar menghadapi masalah ini.

Banyakan bersabar menghadapi apa juga masalah di Madinah, kerana Rasulullah saw pernah bersabda tentang kelebihan bersabar menanggung kesusahan yang dihadapi di Madinah,

“Mana-mana individu umatku yang bersabar menanggung kesusahan dan kepayahan di Madinah, aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari Kiamat atau aku menjadi saksi kepadanya.” – Sahih Muslim

****************

CUACA MAKKAH

Makkah adalah tanah suci. Tanah yang paling dicintai Allah dan Rasul-NYA. Di Kota Makkah terdapat Kaabah. Ia adalah kiblat bagi kaum muslimin seluruh dunia. Kaabah adalah Rumah Suci. Sebagai Rumah Suci, Allah menjadikannya sebagai tempat perlindungan. Maka, sepatutnya ia dihormati dan dimuliakan. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya (Kota Makkah), maka aman dan tenteramlah dia.”

Seperti mana Kota Madinah, cuaca dan iklim Kota Makkah juga tidak jauh bezanya. Malahan kepanasan di Makkah lebih terasa bahangnya walaupun matahari tidak kelihatan atau memancar terik. Udaranya kering dan hangatnya memeritkan.

Saya sangat suka mengambil foto gaya begini. Memperlihatkan keindahan di puncak langit. Tetapi sakit tengkuk memandang ke atas. Lenguh rasanya. 😀 Cuba lihat di atas sana, hanya kelihatan langit membiru tanpa awan. Jarang sekali melihat awan menghiasi dada langit Makkah. Sebuah kerinduan bagi penduduk Makkah untuk menikmati awan bergumpal-gumpal seperti di Sarikei. Inilah kebesaran Ilahi dan ujiannya di Bumi Haramain.

****************

Langit di Makkah sangat terang tanpa awan berlalu menjadi perhiasan waktu siangnya. Langit terbentang luas. Indah membiru. Sejuk dipandang damai terasa. Kadang kala terlihat awan bertompokan dalam jumlah yang sangat sedikit sekali yang seakan tidak dapat mengundang hujan untuk membasah secukupnya bumi barakah, dicintai Allah ini.

Rupanya, langit tanpa serpihan awan memberi rasa kebimbangan kepada Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya. Sudah hampir 2 bulan, sejak saya berada di Makkah hujan tidak turun di bumi barakah ini. Udara yang kering, panas membahang dan angin yang bertiup sederhana, telah menghasilkan deburan debu yang diakibatkan oleh projek pembinaan dan pembesaran Masjidil Haram. Para hujaj dinasihatkan selalu memakai t0peng muka untuk kesihatan diri.


Semasa wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan bermalam di Mina, air paipnya terasa hangat, siang mahupun malam.  Lubang tandasnya juga menghasilkan hawa panas. Kehangatan serasa walaupun sedang mandi. Namun yang menghairankan, kita kurang berpeluh dan jarang mencium bau yang kurang menyenangkan walaupun sedang berada di himpunan jutaan manusia dalam terik mentari.

Hendaklah para hujaj bersabar atas kepanasan Makkah. Mudahan berkat sabar dan redha dengan kepayahan yang dilalui sepanjang melaksanakan amal ibadah haji di Masya’irnya akan diredhai Allah dan diberi pahala.

Said bin Musayyib mendengar Abu Hurairah r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa bersabar terhadap panasnya udara Makkah pada siang hari, maka neraka akan menjauhinya.” -AlFakihy

Bumi Arafah juga dalam keadaan kering dan langitnya tetap mesra dengan biru laut yang menggoda hati. Sangat rindu pada Hari Arafah di mana saya tidak menangis pada waktunya, tetapi menangis di waktu lain. 😀

Sebaliknya, udara sejuk dini hari, memberi kenyamanan kepada saya dan SPH setiap kali keluar dari Hotel Sevila Barakat seawal jam 3.30 pagi menuju ke Masjidil Haram sejauh 750 meter dengan kepantasan 10-15 minit. Sejuk kurang terasa kerana hangat dari bahang perjalanan yang dilalui.

Sangat lelah perjalanannya kerana harus menaiki dan menuruni bukit yang tinggi sepanjang pergi dan balik. Peluh terasa mengalir di badan dan muka. Tetapi terasa segar kembali apabila memasuki ruang Masjidil Haram yang mempunyai penghawa dingin. Saya lebih memilih solat di ruang berhawa dingin berbanding yang menggunakan kipas angin siling.

Langit Mina yang masih berkabus kerana masih awal sekitar jam 8.30 pagi, ketika saya dan SPH berada di bangunan tingkat 3 (teratas) untuk melontar jamrah pada hari ke 13 sebelum berangkat balik ke Makkah.

****************

KEPERLUAN ASAS PERIBADI

Informasi melalui media cetak dan media elektronik  harus diambil perhatian oleh bakal haji untuk  mempersiapkan diri menghadapi segala kemungkinan yang timbul disebabkan cuaca. Oleh itu, bakal haji tidak boleh mengambil ringan informasi cuaca dari bumi Haramain kerana berkaitan dengan kesihatan diri yang menjadi keperluan untuk menyempurnakan segala manasik haji.

Adanya persediaan di peringkat awal di tanah air, akan dapat membantu memudahkan pengurusan kesihatan diri supaya tidak menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Gambar rajah di atas menunjukkan sedikit keperluan asas yang saya bekal untuk menghadapi masalah cuaca semasa di Bumi Haramain. Namun begitu, jangan lupa juga dengan cermin mata gelap (sunglasses), kain tuala kecil untuk dibasah sedikit bagi mereda kepanasan dan yang paling penting, BANYAK MINUM AIR ZAM-ZAM. Jika mampu, mandilah dengan air zam-zam. Sangat mujarab sebagai penawar penyakit bersama doa-doa “peribadi” untuk kesembuhannya.

Doa-doa “peribadi”, maksud saya adalah doa-doa yang kita fahami sendiri tentang masalah penyakit kita dan mengadulah dengan Allah dengan pengaduan yang sungguh-sungguh bersama keyakinan yang kental di hati. Insya Allah, segala luahan hati yang dilahirkan akan mendapat perhatian Allah. Cepat atau lambat makbulnya doa tersebut, hanya Allah yang menentukannya. Kita berusaha, berdoa dan bertawakal.

Alhamdulillah, saya tidak menghadapi banyak masalah berkaitan dengan cuaca kerana sudah biasa dengan suhu panas di tanah air yang saya fikir tidak jauh bezanya. Hanya harus menyesuaikan diri dengan perubahan budaya setempat dan masa yang sangat jauh jaraknya sehingga kadang kala mengelirukan antara siang dan malam di Malaysia. Hal ini membawa akibat kepada waktu tidur saya yang sedikit jumlah istirehatnya terutama di Makkah al-Mukarraman. 

Alhamdulillah, sedikit pengalaman yang ditempuh semasa menghadapi perubahan cuaca di Madinah dan Makkah, dapat memberi informasi kepada bakal haji yang tentunya sedang mencari maklumat yang penting seperti ini. Perubahan cuaca dan jangkitan penyakit terutama batuk, sangat memberi kesan kepada upaya diri dalam beribadah. Ketahanan mental, spritual dan fizikal sangat diperlukan agar mampu mengendalikan masalah kesihatan yang timbul sehingga tidak mengganggu urusan ibadah.

Nasihat saya, kalau hanya sekadar batuk dan selsema, badan masih kuat berjalan untuk beribadah ke Masjid Nabawi atau Masjidil Haram, teruskan perjuangan melaksanakan ibadah di kedua-dua tempat yang mulia ini. Rebutlah peluang memperolehi ganjaran besar yang dijanjikan Allah. Lagipun kita mempunyai tujuan khusus dan niat yang sudah dimaklumi sejak sekian lama. Maka, jangan jadikan sakit sebagai alasan untuk kita melepaskan segala kemuliaan yang sudah disi Allah dalam pelbagai ujiannya untuk meningkatkan iman dan martabat hamba-NYA.

Posting ini, saya tulis khas berhubung dengan persediaan cuaca, maklumat cuaca dan iklim yang akan dihadapi oleh bakal haji di Bumi Madinah a-Munawwarah dan Makkah al-Mukarrammah dari bulan Julai hingga Disember sebagai panduan.

Mudahan informasi cuaca dan iklim ini membantu bakal haji untuk mempersiapkan segala bekal material yang akan saya bincangkan juga. Semoga hati menjadi tenang dan ibadah dapat dilaksanakan dengan berkesan. Demikian hasrat saya untuk melihat bakal haji mendapat Haji Mabrur dengan kesihatan yang sempurna baik. Aamiin.

Dataran terbuka Masjidil Haram, bahagian belakang menuju ke Bukit Safa. jauh kelihatan di depan, Hotel 5 Bintang, Dar Al Tawheed. Langit Makkah membiru hening tanpa awan putih menghiasi dinding sucinya.

**************

14 Jun 2012 (Khamis)/ 24 Rejab 1433H/ 1055 malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. dalam menghitung diri…. memberi bijak pada akal budi agar berjalan di muka bumi sebagai khalifah yang berbakti. Memberi manis pada olah tingkah agar bersemuka di taman komunikasi sebagai insan yang berhati nurani. Memberi damai pada jiwa raga agar bersahaja  di medan gelisah sebagai manusia yang bersifat tabah. Memberi zikir pada rohani agar bersujud hina di sejadah cinta sebagai hamba yang selalu mensyukuri nikmat-nikmat-NYA. Di setiap perjalanan ini, aku menghitung dosa-dosa yang ditempah untuk disucikan dalam setiap ujian yang terlampir dalam kehidupan yang dilalui. Aku redha dengan-MU, ya Allah.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

DARI KEJAUHAN INI… SEMUANYA TERASA DEKAT BILA HATI MENYAKINI

****************

26 thoughts on “CT110. CABARAN HAJI (2): CUACA

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…..

    MAKE ME STRONG by Sami Yusuf, memberi inspirasi untuk terus menghidupkan diri di bumi yang selalu resah dengan gelora manusia di atasnya. Apabila Allah tidak mengabulkan semua permohonan kita, bermakna DIA memberi apa yang kita perlukan.

    DEDIKASIKU UNTUKMU… kekuatan hati harus ada untuk kemenjadian hidup yang mencabar ini. Ketabahan hati akan memenangi segala-galanya.

    Wassalaam. 😀

  2. Alaikumsalam wa rahmatullahi wa barakatuh, Mbak Fatimah yang selalu ikhlas berbagi..
    Wah, saya baru tahu kalau di tanah suci, malam hari bisa cukup dingin ya (17 derajat bulan Desember), di awal-awal tahun kalau malam rupanya sejuk ya 27 ‘C <– rerata suhu kampung halaman saya (Bandung) di siang hari.

    Dulu waktu pertama hijrah dari Bandung (<– kota dikelilingi gunung) ke pontianak (kota pantai yang panas), yang kota khatulistiwa itu.. memang tubuh saya musti beradaptasi dengan hawa yang lebih panas daripada biasanya. Apalagi kalau ke tanah suci ya.. yang rerata suhu siang harinya sampai 40*C.. benar2 ritual penuh cabaran: mental-fisikal-finansial. Tapi setuju dengan nasihat Mbak di atas, jangan berputus asa dengan rahmat dan pertolongan Allah. 🙂

    Btw, Mbak mohon maaf, Laman G2 ini saya masukkan ke dalam link rekomendasi di blog saya. Semoga Mbak tidak keberatan link itu terpajang di blog saya 😀

    Salam hangat dari Pontianak, Indonesia, selalu 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Mas Muxlimo…

      Jika diteliti jadual semasa, suhu di Madinah dan Makkah ia sentiasa berubah-ubah mengikut musimnya. Lagipun musim dunia sekarang ini sudah tidak menentu dan tidak diketahui apakah yang bakal berlaku pada musim haji tahun ini apakah panas, sejuk atau hujan. Jika hujan, cabarannya lebih besar untuk manasik hajinya.

      Jika sudah biasa dengan suhu yang panas di tanah air, maka tidak bermasalah dengan keadaan di bumi Haramain. Cuma perlu menjaga kesihatan dengan meminum banyak air untuk kesegaran, air susu juga dan buahan untuk merasa kenyang bersama buah kurma.

      Menyesuaikan diri dengan cuaca dan makanan di sana, sangat penting. makanannya rata-rata kurang masin, kurang manis dan rasanya masam.

      Terima kasih mas Muxlimo kerana sudi link blog saya di sana. Hehehe.. Maaf ya kerana harus membuat sedikit editing. 😀

      Mudahan mendapat manfaat dalam perkongsian pengalaman dan ilmu yang dipelajari. Aamiin.

      Salam hormat dan hangat kembali. 😀

  3. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Benar sekali, Mbak Fatimah, pengetahuan kita sebelumnya ihwal cuaca di tanah suci menjadikan kita mempersiapkan diri dengan baik, bahkan jauh hari sebelum berangkat berhaji. Namun, semangat yang besar untuk beribadah dalam diri para jamaah juga menjadikannya mempunyai kemampuan yang baik dalam menghadapi cuaca yang berbeda.

    Salam hangat persaudaraan,
    Akhmad Muhaimin Azzet

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…

      Benar, semangat beribadah menuju redha Allah menjadi tunjang utama dalam menghadapi apa jua cabaran sama ada berbentuk cuaca, penyakit, jarak perjalanan atau makanan yang berbeda.

      Saya lihat, ramai hujjaj yang sudah lanjut usia semasa di tanah air memang sakit dan sukar untuk berjalan dengan baik. tetapi apabila sampai ke tanah suci, subhanallah, mereka sangat cergas dan pantas berjalan. Sungguh berbeza dari asalnya. Saya yakin, semua itu kerana keinginan yang kuat untuk beribadah haji. Alhamdulillah.

      Terima kasih mas Amazzet dengan kunjungan yang selalu memberi pencerahan. Semoga diberkahi Allah dan sukses dengan buku-bukunya.

      Salam hormat dan hangat persaudaraan kembali. 😀

    • Aamiin… Ya Rabbal’alamiin.
      Alhamdulillah, didoakan juga Bayu dalam lindungan Allah swt.
      Iya, niat menulis pengalaman cuaca ini memang untuk memberi sedikit maklumat tentang cuaca dan iklim di tanah suci agar mudah membuat persediaan awal nanti.

      Terima kasih Bayu.
      Salam hangat kembali. 😀

  4. Assalamu’alaikum wr.wb Ukhti Siti Fatimah Ahmad….informasi dan nasehat-nasehat bagi para hujaj sememangnyalah diperlukan mengingat kondisi cuaca yang berbeda dengan tempat asal para hujaj….persiapan fisik juga lebih penting persiapan mental spritual..kesabaran …mengendalikan hawa nafsu , jangan sampai kerena cuaca panas kita bernafsu minum air zamzam yang dingin sebab biasanya berakibat radang pada tenggorokan yang akhirnya badan panas demam , batuk …tentu juga mempengaruhi kekhusyu’an ketika menjalankan rukun-rukun haji…informasi bermanfaat moga mendapatkan balasan pahala dari Allah Swt…..Amin..salam ukhuwah dari aisyah.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Ukhti Aisyah…

      Saya setuju apa yang dijelaskan Aisyah di atas. Pengetahuan tentang sesuatu tempat (bumi Haramain) yang hendak dituju harus diselidiki terlebih dahulu agar segala persiapan dapat diatur dari awal dan dapat membantu para hujaj semasa mengalami sebarang masalah di sana.

      Minum banyak air zam-zam sangat disarankan, terutama yang “tidak dingin”. Ramai yang mengalami radang tengkorok kerana memilih air zam-zam yang sejuk. Sebaiknya, harus mengawal diri dari minum air yang dingin dalam cuaca yang panas. Saya lebih banyak minum air zam-zam yang “not cold” dan kelazatannya asli.

      Begitu juga, para hujaj dinasihatkan mandi hanya sekali dalam sehari bagi menjaga kesihatan diri. Jika mandi harus basahkan badan dahulu baru kepala.

      Terima kasih Aisyah atas komentar yang bermanfaat dan sangat mengesankan nasihatnya.

      Salam ukhuwwah berpanjangan. 😀

    • Iya, silakan belajar jadi penulis.
      Membaca apa sahaja hidangan minda yang tertera di depan mata, akan menghasilkan cerita tulis yang mengesankan.

      Terima kasih atas penghargaannya, Nadia.
      Salam kenal. 😀

  5. Assalamualaikum wr wb, teman yang berbahagia Fatimah,

    Segala pengalaman yang di lalui pahit maung itulah kebahgiaan sebenar apabila berada di sana.Bayangkan hampir 4 juta umat Islam berkumpul di Masjidil Haram sebelum wukuf di Arafah, Subhanaalah.

    Detail benar pesanan-pesanan awak untuk bakal jemaah haji ye, terima kasih lah saya akan simpan untuk jadikan panduan kelak – hehe tapi tak tau bilalah tu.

    Memandangkan esok hari bapa di S’pura, di Malaysia jugak ke?

    Saya ingin mengucapkan kepada anak-anak supaya hargailah kasih sayang bapa kalian walaupun ada sesetengah bapa yang tidak selembut ibu.Tetapi kasih sayang mereka begitu besar sebagaimana ia membesarkan kamu, mengasuh dan mendidik kamu.

    Kepada yang istemewa abah, walaupun tidak ada di sisi dan yang teristimewa ialah ayah kepada anak-anak kita yang sama-sama berjuang dalam kehidupan ini.

    Jumpa di lain waktu,
    Salam dari jauh, Zohra

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, sahabatku Zohra…

      Memang benar, setiap pengalaman yang pernah dilalui oleh sesiapa sahaja di bumi Haramain tidak akan pernah luput dari ingatan dan sentiasa bermain-main di ruang mata menatap kenangan kehidupan yang dilalui di sana.

      Keadaan ini melahirkan rasa rindu yang tah tertahan untuk kembali lagi ke sana. Makkah, bumi yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, Madinah yang dicintai Rasulullah saw selalu menggamit hati walaupun kita sedari betapa banyak kesusahan dan kepayahan yang ditempuh tetapi semua itu tidak menjadi halangan untuk melaluinya lagi.

      Semoga pengalaman sedikit ini mampu memberi manfaat dan kemudahan kepada bakal haji yang mungkin memerlukan sedikit informasi di sana.

      Saya doakan Zohra dan suami akan dijemput Allah dalam kadar segera yang kita tidak tahu masanya. Aamiin. 😀

      Iya, tarikh 17hb, kelmarin (Ahad), juga sambutan Hari Bapa di Malaysia.
      Selamat Hari Bapa untuk semua bapa di mana sahaja mereka berada. Jasa bapa akan selalu dikenang sehingga akhir hayat.

      Terima kasih Zohra untuk kongsian bersama dan mengesankan hati.
      Salam manis dan mesra selalu buat Zohra yang jauh di Singapura. 😀

  6. assalamualaikum.wr.wb
    ternyata perbedaan cuaca siang dan malam sangat ekstrim sekali. semoga suatu saat nanti saya bisa berkunjung ke Mecca. aamiin

    • Wa’alaikum salaam wr.wb,

      Mengetahui keadaan cuaca di tanah Haramain sangat penting agar kita bersedia dengan persiapan yang cukup untuk menangani sebarang masalah kesihatan yang timbul.

      Aamiin, saya doakan mas Komuter akan bisa ke sana suatu hari nanti.
      Jika sudah punya keinginan, maka haruslah ditunaikan dengan usaha yang berterusan sehingga tercapai niat tersebut. Dengan niat sahaja, sudah dianggap berpahala. Insya Allah, jemputan-NYA akan sampai juga kepasa mas Komuter.

      Terima kasih sudah berkunjung.
      Salam sejahtera. 😀

  7. Buat Mah, tersayang …
    Alhamdullillah… bersyukur Lea kehadrat Allah dan setinggi ucapan terima kasih buat sahabat yang dikasihi, justeru banyaknya info Mah bekalkan buat kami, insan2 yg
    masih mencari2, sblm berangkat ke Tanah Suci…. Semoga Allah meredhai perjuanganmu, sahabatku…

    salam kerinduan di angin lalu, buatmu….

    • Aamiin, Ya Rabbal’alamiin atas lampiran doa buat sedikit usaha yang dikongsikan bersama ini dari sahabatku, Lea tersayang. Semoga kita semua dirahmati Allah.

      Harapan kamek, apa yang baik, ambillah untuk dijadikan panduan. Mun ada nak sik berapa bagus ya, ambik untuk jadi sempadan. Mun dirik dah di sinun kelak, baruklah dapat merasai dan menikmati keindahannya ibadah yang menjadi puncak kehidupan kita.

      Kamek doakan kitak sihat dan selamat. Buat persediaan awal dari kinik tok kerana di sinun banyak ujian yang menanti dari Allah sebagai penilaian untuk dianugerahi Haji Mabrur.

      Terima kasih Lia kerana hadir mengisi kerinduan sepanjang kesibukan tok. Salam sayang selalu. 😀

      • Amiin … Ya Rabbal’alamiin … Terima kasih atas do’a mah, buat kmk.
        Insya Allah, moga perjalanan kami berdua ke Tanah suci diredhai-Nya… dan sentiasa dalam rahmat dan peliharaan-Nya dlm mdpt Haji Mabrur.
        Alhamdullillah, setakat tok dr segi kelengkapan yg diberi TH dah siap semuanya tmasuk hadiah mah, Lea bawa bsama… kini hari2 berlalu Lea sibukkan utk mdalami ilmu2 Haji sbagai bekalan d cya kelak tmsk dr blog mah… Thanks, sayang.
        Do’a Lea dikejauhan, moga Rahmat dan Keberkatan-Nya mengiringi setiap inci perjuang dan kehidupanmu dan keluarga dlm menuju redhanya… Amin… Amin.

        Salam sayang selalu …

        • Aamiin, Ya Rabbal’alamiin.
          Terima kasih atas doa yang dilampirkan untuk kita sama-sama mendapat redha, barakah dan rahmat Allah.

          Ikhlaskan hati dan niatkan yang benar untuk melaksanakan haji yang dituntut. Tambahkan ilmu dari banyak sumber selain dari apa yang dikursuskan oleh pihak Tabung Haji.

          Jika ada kemusykilan, bertanyalah kepada orang yang lebih arif dalam ilmu manasik haji. Jangan malu bertanya kerana malu akan membawa Lea melakukan perkara yang salah dalam beribadah.

          Semoga Lea dan suami akan mendapat haji Mabrur. Aamiin.
          Terima kasih Lea untuk kunjungan yang selalu menyenangkan.

          Salam sayang selalu juga. 😀

  8. Pingback: CT160. CABARAN HAJI (11): HAJI TUA | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  9. Pingback: CT191. WAJAH MASJIDIL HARAM AKHIR ZAMAN (4): MAKKAH 2013 | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  10. Pingback: CT205. BUNGA KEMBANG PAGI MASJID NABAWI (4): KIPAS ANGIN | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  11. Pingback: CT221. KEAJAIBAN AIR ZAMZAM (2): MERAWAT SAKIT KEPALA (MIGRAIN) | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.