CT308. ZIARAH MAKKAH (4): MINA BANDAR KALIS API

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

ZMakkah4Fatima1MinaBandarKalisApi

*

MINA STARTS HERE

Setelah melintasi papan tanda MUZDALIFAH ENDS HERE, hanya beberapa detik saya melihat satu lagi papan tanda yang sama bentuk dan tulisannya tertera MINA STARTS HERE.

Tidak perlu jauh untuk mengenali kawasan Mina kerana kita dapat melihat khemah-khemah putih di hadapan mata sebaik bas melalui bawah jambatan.  Tidak ada pemandangan menarik dapat dilihat dari bawah jambatan ini melainkan susunan khemah putih segi empat dengan bumbung menajam ke langit.

Ada debaran yang tidak keruan muncul di benak hati saat melihat deretan khemah putih yang tersusun kemas. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur jika beginilah keadaan tempat tinggal sepanjang 3 malam di Mina. Sebenarnya apa yang saya lihat ketika di dalam bas ini tidak seindah seperti yang disangkakan apabila mengalami kehidupan yang sebenar nanti.

Ada seribu satu cerita yang bakal memberi pengalaman yang menduga hati. Pengalaman dan cerita yang berbeza walau mendiami tempat yang sama. Semua rencana Allah SWT sudah tersedia, cuma kita masih belum melalui jalur kronologi yang sudah tersirat dari yang tersurat. Saya antara berjuta tetamu Allah yang bakal diuji dengan pelbagai mehnah kehidupan di Mina.

*

ZMakkah4Fatima2MinaStartsHere

Papan tanda ini hanya berjarak beberapa meter dari papan tanda Muzdalifah Ends Here. Bas sedang berada di bawah jambatan.

*

ZMakkah4Fatima3MinaStartsHere

Papan Tanda yang menjelaskan kita memasuki sempadan Mina, Bandar Kalis Api.

*

BANDAR KHEMAH KALIS API

Bagaimanakah Mina mendapat julukan “bandar” khemah ? Mina hanya sebuah bandar kecil terletak dalam lembah dengan pemandangan bukit bukau di sekelilingnya. Mina sentiasa kosong dan sunyi sepanjang tahun. Ia hanya “hidup meriah” selama lima hari dalam setiap musim haji yang dilaluinya.
*
Kemeriahan itu berlaku disebabkan Mina menjadi lokasi untuk melontar Jamarat dan menyembelih.
*
Khemah-khemah putih dapat dilihat sejauh mata memandang. Kedudukan khemahnya tersusun dan teratur seperti sudah dirancang sedemikian rupa.
*
Setiap khemah diperbuat daripada gentian kaca yang disalut dengan teflon yang dilengkapi dengan perenjis air bersensitif tinggi dan disambung pada sistem kecemasan. Ia juga mempunyai pencahayaan elektrik. Ia sekali gus mengubah permukaan Mina.
*
Pembinaan khemah-khemah yang dilengkapi dengan penghawa dingin dan kalis dijilat api, boleh menempatkan hampir 400 orang dalam satu khemah. Keadaan ini telah mengubah Mina seolah-seolah menjadi sebuah BANDAR KHEMAH yang KALIS API.
*
Namun begitu terdapat satu bangunan yang merupakan satu-satu struktur yang dominan dan tidak berubah di bumi Mina iaitu Masjid Al-Qaif.
*
Jujurnya, saya baru tahu ada sebuah masjid di Mina kerana dalam kursus-kursus haji yang saya hadiri, tidak disebut tentang Masjid ini. Penceramah hanya menjelaskan kerja-kerja haji yang berlaku di Mina dan bagaimana hendak “menghidupkan” diri selama berada di Mina. Maklumat seperti ini diperlukan agar jemaah mempunyai informasi lengkap tentang Mina.

*

 Mina

Bandar Khemah dan Kalis Api, Mina

*

Masjid alQaif Mina

Masjid Al-Qaif, Mina masih dominan dengan bentuk dan kedudukannya

*

TRAGEDI MINA

Saya amat simpati dan ngeri apabila membaca peristiwa dari kronologi yang merupakan tragedi Mina yang sudah meragut ribuan nyawa para jemaah haji dan ia berlaku hampir setiap tahun sejak awal tahun 1970-an.

Tragedi ini berlaku disebabkan kondisi lokasi yang tidak mampu menampung puluhan ribu jamaah yang berdesak-desakan atau kebakaran yang berpunca dari dalam khemah yang didiami saat menyediakan makan minum.

Pemasangan beribu khemah kalis api di Mina, pembinaan dua terowong baru dan pembangunan baru komplek Jamarat 5 Tingkat yang menelan belanja berbilion Riyal Saudi  merupakan rentetan pelbagai tragedi berlaku di Mina berbanding lokasi masya’ir haji yang lain.

Kesabaran dan sikap berhati-hati sangat dititik berat supaya kita tidak menempuh pengalaman yang sama di kemudian hari.  Namun jika “malang tidak berbau” dan ajal sudah menjemput, tidak ada yang mampu dilakukan melain berserah kepada Allah SWT yang Maha Pelindung.

Berikut saya kongsikan kronologi peristiwa yang menyayat hati dan menjadi pengajaran kepada kita agar menjaga keselamatan diri sepanjang melakukan pekerjaan haji dengan sempurna.

*

ZMakkah4Fatima14TragediMina

Kronologi Tragedi Mina yang menyayat hati. Ada jenazah yang tidak dapat dikenal pasti dan tidak ditemui untuk dihantar pulang ke Tanah Air.

*

ZMakkah4Fatima4PasangAircond

Khemah kalis api dibina untuk menjaga keselamatan jemaah haji. Tidak ada aktiviti memasak di khemah kecuali dapur yang disediakan kepada pihak yang dipertanggungjawab untuk menyediakan makan minum jemaah haji.

*

ZMakkah4Fatima8Jamarat5TingkatMina

Jamarat baru 5 tingkat yang disediakan penghawa dingin dan eskalator

*

ZMakkah4Fatima12Jamrat5Tingkat

Saya dan SPH mengambil peluang untuk melontar di setiap tingkat (Tingkat bawah hingga tingkat 3) bagi mencari pengalaman berbeza. Dimaklumkan setiap tingkat sudah ditentukan jemaah haji yang bakal melontar di sana untuk menjaga keselamatan semasa melontar. Tetapi tidak menjadi masalah untuk kita melakukan lontaran jamarat di tingkat-tingkat lain.

*

TRAGEDI TEROWONG MUAISEM

Mengenang tragedi ini, hati saya diselaputi rasa bimbang terutama apabila mengenang akan melalui Terowong Muaisem yang mempunyai cerita ngeri tersendiri. Alhamdulillah, mudahan kesan dari tragedi yang berlaku tidak akan menimpa jemaah haji akan datang seperti yang bakal saya lalui beberapa minggu lagi.

Muzawwir Ustaz Sabri memaklumkan kini terowong ada 2 hala untuk ke Jamarat iaitu hala pergi dan hala pulang. Oleh itu, jemaah haji tidak akan berdesakan di dalam terowong. Tetapi siapa yang mampu mengawal pergerakan manusia yang biasanya kurang sabar dalam melakukan banyak perkara hingga menimbulkan banyak kejadian yang membahayakan.

Selain itu, terdapat terowong baru sepanjang dua kilometer yang merupakan sambungan kepada dua buah terowong lama. Terowong ini masih dalam pembinaan untuk mengurangkan lagi kesesakan dua terowong yang sedang digunakan.

Biasanya khemah jemaah haji Malaysia adalah antara khemah yang paling hampir dan berdekatan dengan terowong Muaisem dan 2 terowong baru untuk pergi ke komplek melontar Jamrah dan balik ke perkhemahan Mina berbanding khemah dari negara-negara lain.

Pengalaman saya membuktikan kebenaran itu kerana khemah kami, Maktab 95, tidak jauh dari terowong Muaisem. Setiap kali memasuki Terowong Muaisem, dada saya sentiasa berdebar kerana mengingatkan banyak kejadian rempuhan dan kematian berlaku di dalam terowong ini.

Malah kami juga mengalami beberapa kali kejadian rempuhan di dalam terowong Muaisem. Pernah terjadi sekali SPH hampir jatuh dan saya sempat menahan tubuh SPH dengan seluruh kekuatan tangan wanita saya. Kejadian ini berlaku semasa hendak memasuki Terowong Muaisem menuju Jamarat.

Peristiwa ini benar-benar mengecutkan hati saya sehingga membuat tubuh saya bergetar kuat. Hanya kepada Allah SWT saya serahkan diri yang sedang terhimpit dalam celahan ribuan manusia yang semuanya mahu segera berjalan hingga berdesak-desakan.

Entah apa yang direbut dan diributkan untuk ke Jamarat itu. Sedangkan kita boleh berjalan dengan tertib, santai dan relaks. Tidak perlu bergegas seolah-olah Jamarat itu pula meninggalkan kita hingga terpaksa mengejarnya yang tetap berdiri utuh di lokasinya hingga kiamat. Alhamdulillah, Allah SWT masih melindungi kami.

*

ZMakkah4Fatima15TerowongMuaisemMina

Foto semasa saya dan SPH akan melalui Terowong Muaisem menuju ke kompleks Jamarat bagi melakukan lontaran  pada 12 Zulhijjah 1433H. Anda dapat melihat lampu hijau dan merah di atas pintu masuk terowong. Kelihatan lampu hijau menyala dan menunjukkan terowong selamat untuk dimasuki walaupun keadaan masih sesak.

*

ZMakkah4Fatima7KhemahKalisApi

Khemah kalis api yang berhampiran terowong

*

CABARAN MINA

Disebabkan ghalit (asyik) melihat perkampungan Mina yang meriah dengan khemah berwarna putih, saya tidak pasti bila pula bas pelancung ini menaiki jambatan. Semakin rasa kagum menyelubungi hati saat meniti pandang deretan yang kemas dan susunan sistematik binaan khemah kalis api di sebelah kiri saya.

Saya yakin banyak cabaran yang bakal dilalui oleh jemaah haji selama tinggal di Mina. Malah suasana penempatannya juga berbeza. Saya sangat teruja untuk mendiami khemah-khemah tersebut kerana saya pasti tidak mempunyai masalah untuk hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Pengalaman sebagai ahli Pengakap, ahli Puteri Islam, penyelaras dan penasihat Unit Beruniform, banyak mengajar saya menghadapi cabaran dunia perkhemahan sama ada di hutan atau di tanah lapang. Harapan saya, mudahan Allah SWT melapangkan kehidupan saya dan SPH di Mina.

Jauh di hadapan sana, terpampang jelas Kompleks Jamarat 5 tingkat yang baru dan hampir siap. Kompleks ini bakal menerima kunjungan saya dan SPH bersama jutaan jemaah haji seluruh dunia untuk urusan melontar jamarat pada 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) yang telah disyariatkan sebagai pekerjaan wajib haji.

*

ZMakkah4Fatima9KemeriahanMina

Kompleks Jamarat yang terletak di belakang bukit bukau dan dihadapannya penuh dengan bandar khemah kalis api.

*

PANORAMA MINA

ZMakkah4Fatima11PanoramaMina

Penempatan jemaah haji Muassasah sangat berbeza dengan penempatan jemaah haji pakej (pakej dari RM17,000 hingga pakej RM300,00). Untuk pakej mewah, biasanya mereka di tempatkan di hotel mewah yang berhampiran dengan Jamarat atau hotel di sekitar Mina.

*

ZMakkah4Fatima5MarkazHospitalMina

Terdapat kemudahan hospital di Mina

*

ZMakkah4Fatima6IstanaSinggah

Dimaklumkan ini adalah Istana Singgah keluarga Diraja Saudi di Mina

*

ZMakkah4Fatima10HotelMina

Salah satu dari Hotel mewah di Mina yang berhampiran dengan Kompleks Jamarat

*

SELAMAT JALAN MINA

Lintas langsung selama hampir 10 minit melalui Bandar Khemah Kalis Api, Mina dengan bas bergerak perlahan memberi kepuasan kepada kami menatap dengan jelas kemeriahan Mina walau dari kejauhan. Tidak pula saya lihat papan tanda menunjukkan MINA ENDS HERE.

Saat bas beransur meninggalkan Mina, timbul rasa insaf di hati sekali gus saya dipagut kenangan nun jauh beribu tahun yang lalu rentetan dari peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang melakukan pengorbanan atas perintah Allah SWT dan simboliknya lontaran di setiap jamarat sehingga menjadi satu dari pekerjaan wajib haji.

Bas kembali memasuki jalan utama menuju jalan ke arah Jabal Nur. Sekali lagi saya membayang bahawa kami akan dibawa menuju ke kaki Jabal Nur sebagai destinasi terakhir kami dalam Ziarah Makkah sebelum ke Masjid Jaaranah untuk bermiqat dan berniat Umrah Sunat.

*

ZMakkah4Fatima13MinaBandarKalisApi

*

Dalam sayu mata memandang dan sendu hati mengenang, saya mengucapkan SELAMAT JALAN dan SEMOGA BERTEMU LAGI kepada Bandar Mina yang ditinggalkan dengan seribu kenangan. 

Tanpa saya dan SPH sedari, sedang menunggu sebuah rencana Allah untuk menguji kami yang bakal mengharungi kehidupan di bumi Mina dan nantinya meninggalkan kenangan pahit dan manis untuk dicatat di kemudian hari. Aku redha ya Allah, aku redha.

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima2 Januari 2015 (Jumaat)/ 11 Rabi’ul Awwal 1436H/ 9.34 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. pasti keberanian mampu menghilang ketakutan jika kita yakin apa yang dilakukan itu untuk kebaikan. Tetapi, jangan lupa dalam keberanian yang cuba dibina, pengharapan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa untuk memberi perlindungan dalam setiap tingkah yang diambil mesti menjadi tujuan agar kita selamat dalam rahmat-NYA. Hanya Allah SWT sumber kekuatan dan keberanian manusia.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… SELAMAT TAHUN BARU 2015. Mudahan azam baru yang sudah ditekad menjadi penyemangat untuk kita terus berjaya menjadi hamba Allah yang bertakwa. Hargai kehidupan yang baru setiap hari dan syukuri segala nikmat-NYA. Doaku selalu untukmu.  Aamiin. Wassalam. 🙂

*

RinduFatimaku3MenghitungRinduku

*

24 thoughts on “CT308. ZIARAH MAKKAH (4): MINA BANDAR KALIS API

  1. Assalamuaalaikum wr.wb…
    Mengingat tragedi mina memang sangat memilukan mbak. Dalam catatan sejarah dari 1.426 korban meninggal 649 berasal dari Indonesia terutama mereka yang sudah berusia lanjut.

    Nampaknya kejadian itu yang menjadi pikiran otoritas setempat untuk memperbaharuhi terowongan mina
    Salam dari Yogyakarta

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Yuni…

      Menurut maklumat yang dikenalpasti kebanyakan mangsa korrban adalah dari Asia Tenggara terutamanya jemaah haji dari Indonesia kerana bilangannya yang pertama paling ramai setiap tahun.

      Walaupun terowong dan jamarat sudah banyak dibina, sebenarnya masih belum cukup menampung jutaan jemaah yang masin ramai dan berdesakan saat dalam terowong dan ketika melontar. Hanya individu jemaah sahaja yang harus bertolak ansur dan berhati-hati ketika melalui terowong dan saat melontar.

      Terima kasih mbak Yuni dan salam manis selalu. 🙂

  2. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Alhamdulillaah…, selalu senang berkunjung dan membaca dalam blog Mbak Fatimah ini. Sebagaimana kini, tulisan tentang Mina, beserta foto-fotonya, betapa menggetarkan hati ini untuk semakin rindu beribadah di tanah suci. Mohon doanya ya, Mbak.

    Salam dari Jogja,
    @muhaiminazzet

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…

      Alhamdulillah, semoga bermanfaat untuk dijadikan panduan dan diambil iktibar apabila sudah dipanggil ke sana nanti. Aamiin.

      Terima kasih mas Amazzet dan salam sejahtera. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Lidya…

      Iya mbak. Kita berharap tragedi Mina tidak akan berlaku lagi dengan segala pembinaan dan pembangunan baru yang pesat di Jamarat dan terowong. Selain itu, akhlak jemaah perlu juga dididik agar bersikap tolak ansur dan bertimbangrasa terutama kepada jemaah yang uzur dan berusia.

      Terima kasih atas kunjungan dan salam manis, mbak Lidya. 🙂

  3. Assalamuakaikum wr wb
    Bunda Fatimah
    Tahun 1990 memang merupakan musibah terbesar, yang di alami oleh para jamaah haji di mekah sana ya bun, korbannya pun jatuh sampai ribuan jumlahnya

    Moga kejadian ini tidak terulang lagi, dan untuk para korban moga di terima segala amal dan ibadah nya.. amin
    Salam 🙂

    • Wa’alikum salaam wr.wb, Purnomo…

      Iya, korban tahun tersebut sangat ramai. Kebanyakan korban adalah jemaah haji Indonesia. Mudahan Allah SWT menerima amal haji mereka. Aamiin Ya Rabbal’alamiin.

      Terima kasih Purnomo dan salam sejahtera. 🙂

  4. Assalamualaikum kak fatimah
    Belajar dari pengalaman, sepertinya pemerintah arab saudi selalu berbenah soal keamanan juga kenyamanan untuk para jamaah yg hendak menunaikan ibadah haji di sana, moga tragedi yang yg sudah lalu menjqdi pelajaran berharga dan takan terulang lagi ya kak.. amin

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Sussi…

      Iya benar, mbak. Kerana itulah banyak pembinaan terowong dan pembesaran jamarat dilakukan bagi memudahkan jemaah haji dan menjaga keselamatan serta kebajikan mereka.

      Namun begitu, kejadian yang tidak diingini tetap juga berlaku setiap tahun kerana sikap jemaah yang masih belum berubah dari aspek adab dan tata susila dalam beribadah.

      Salam manis dan terima kasih sudah hadir berkunjung. 🙂

  5. Assalamu’alaikum

    Saya senang mendapat wawasan baru berkunjung ke blog mbak Fatimah plus foto-foto kerennya. Semoga apa yang telah terjadi sebagai peringatan dan hikmah umat manusia terutama kaum muslim untk lebih meningkatkan ketaqwaan pada Allah SWT.

    Salam hangat dari Kudus, Jateng ya mbak 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, cputriarty….

      Alhamdulillah dan terima kasih atas apresiasi mbak Putri juga kunjungan perdana mbak ke blog LMGS ini. Silakan mampir lagi jika ada ruang waktu di lain kali, ya. Insya Allah, marilah kita berdoa untuk keselamatan umat Islam yang bakal mengerjakan umrah dan haji selama mereka berada di Tanah Suci. Aamiin.

      Salam hangat kembali, mbak. Putri. 🙂

  6. Assalamua’laikum …
    bu SFA, membaca postinganmu ini sungguh membuat hati kagum akan kecermatan dlm pengajiannya … kita serasa ikut langsung dlm rombongan ibadah haji … sungguh luar biasa 🙂

    • Aamiin Allahumma Aamiin. Saya doakan Andri akan berkesempatan segera ke Tanah Suci, Berusaha menyimpan dana dan berdaftar haji adalah langkah yang perlu diambil selain berdoa. Insya Allah.

      Terima kasih Andri Poernawan sudah berkunjung perdana kemari dan salam kenal. 🙂

    • Alhamdulillah, senang menerima kunjungan dari Wahyu lagi. Tidak apa-apa. Tulisan tentang haji dan umrah memang ditulis mengikut kronologinya selain di selang seli dengan tulisan-tulisan lain.

      Mudahan pengalaman di Tanah Suci akan bermanfaat buat semua pembaca yang belum berkunjung ke sana. Insya Allah, Wahyu juga akan mengalami hal yang sama suatu hari nanti. Aamiin.

      Terima kasih dan salam sejahtera. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.