CT310. ZIARAH MAKKAH (6): KEMBALI KE JANTUNG KOTA MAKKAH (AKHIR)

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

ZMakkah6Fatima1JantungMakkahAkhir

*

JANTUNG KOTA MAKKAH

Bas kami mula memasuki jantung Kota Makkah pada jam 11.25 pagi. Satu jam lagi akan masuk waktu Zohor. SPH akan bersolat Zohor di Masjidil Haram untuk menyempurnakan Rukun Umrah.

Suara talbiah yang berkumandang kuat diketuai oleh Pak Den sebaik keluar dari lapangan Masjid Ji’ranah kini sudah mulai senyap dan dibaca sendiri. Masing-masing sedang menghayati penorama jantung Kota Makkah yang semakin sibuk.

Walaupun Ziarah ke tempat-tempat bersejarah tidak semuanya dapat disinggahi, saya tetap gembira dan mengambil banyak ibrah dari setiap lokasi. Ziarah luar Kota Makkah ternyata memberi banyak maklumat untuk kita bersedia menghadapi situasi sebenar yang tentunya memberi cabaran tersendiri.

Tempat yang amat bermakna dan membuka kelapangan hati saya setelah dilanda resah kerana hanya mengetahui melalui pembacaan dan ceramah-ceramah adalah Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Lokasi penting ini merupakan masya’ir haji yang akan dikunjungi sebagai tempat bermabit beberapa minggu lagi.

*

ZMakkah6Fatima2KotaMakkah

Royal Clock Tower dari kejauhan, bas memasuki jantung Kota Makkah

*

RINDU MENGGAMIT

Dari jendela bas, saya dapat melihat Royal Clock Tower yang sayup kejauhan. Dengan itu, tahulah saya di manakah lokasi Masjidil Haram berada kerana Royal Clock Tower hanya beberapa meter sahaja dari Al-Haram.

Rindu mula mengamit hati kerana sudah beberapa hari saya tidak beribadah di dalamnya. Tidak sabar untuk mengunjungi Masjidil Haram lagi. 
*
Kesesakan jalanraya kian jelas di depan mata. Bas bergerak perlahan menuju tengah kota yang pesat membangun. Saya mula membuat perbandingan secara rawak terhadap Kota Makkah dengan Kota Madinah.
*
Menurut saya, Kota Madinah lebih bersistematik dan terancang pembangunan bandarnya. Kesesakan tidak begitu teruk berlaku di kawasan persekitaran Masjid Nabawi. Jalanrayanya juga luas dan lebar. Sedangkan Kota Makkah kelihatan sesak dan padat. Jalanraya masih dalam keadaan bersimpang siur dan sempit.
*
 

MERPATI KOTA MAKKAH

Banyak pemandangan menarik yang terhidang di depan mata pada sisi sebelah kiri bas tempat saya duduk. Di satu lalauan jalan, terpana mata ini menyaksikan ratusan atau ribuan burung-burung merpati yang hinggap di tanah lapang untuk mencari makan.
*
Uthman bin Aswad meriwayatkan daripada Mujahid atau Atha’, katanya: ” MERPATI MAKKAH ADALAH SISA-SISA BURUNG ABABIL.” – Fakihy.
*
Saya yakin anda tahu kisah burung Ababil yang menyerang tentera Abrahah. Kisah ini diabadikan di dalam Surah al-Fil, ayat 1 hingga 5.
*
*
fil
*
Rupanya, burung merpati ada di mana-mana di bumi Makkah. Saya fikir burung merpati ini hanya ada di kawasan sekitar Masjidil Haram. Tidak hairanlah jika kita dapati banyak najis-najis burung merpati di Dataran Masjidil Haram.
*
Sebab itu, kita dilarang keras memakai selipar, sandar atau sepatu ketika memasuki Masjidil Haram kerana dibimbangi akan membawa masuk najis burung merpati atau najis lain tanpa disedari.
*

TAHUKAH ANDA MERPATI KOTA MAKKAH HARAM DIBUNUH ?

Burung merpati antara haiwan yang TIDAK BOLEH dibunuh di Tanah Haram. Jika dibunuh anda akan dikenakan DAM. Sebelum itu, untuk lebih memudahkan kefahaman kita tentang haiwan yang BOLEH DIBUNUH di Tanah Haram, terdapat hadis yang menjelaskannya.
*
Salim bin Abdillah meriwayatkan daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Ada LIMA JENIS BINATANG yang BOLEH DIBUNUH di Tanah Haram dan ketika sedang IHRAM iaitu BURUNG GAGAK, BURUNG HELANG, KALA JENGKING, TIKUS DAN ANJING GILA. (al-Fakihy)
*
Berikut beberapa riwayat yang diambil dari Fakkihy, menjelaskan tentang PEMBUNUHAN MERPATI  dan DAM yang dikenakan kepada pembunuhnya.
*
*
Atha’ mengatakan “Seorang anak muda dari Quraish yang bernama Abdullah bin Uthman bin Hunaid al-Humaidy telah membunuh seekor merpati di Tanah Haram. Maka bapanya bertanya kepada Ibnu Abbas mengenai perbuatan anaknya itu. Ibnu Abbas menyuruh beliau untuk menggantikannya (DAM) dengan seekor kambing.
*
Diriwayatkan daripada Said bin Musayyib: “Barangsiapa yang membunuh seekor merpati di Tanah Haram, maka dendanya adalah seekor kambing.”
*
*

ZMakkah6Fatima3MerpatiMakkah

Laluan antara Masjidil Haram dan Hotel Sevilla Barakat, saya lihat banyak burung merpati yang sedang diberi makan oleh jemaah dengan makanan burung yang boleh dibeli dengan harga 1 Riyal Saudi sebungkus.

*

POKOK KURMA BUAH KUNING

Selain burung merpati, saya juga memerhati pohon-pohon kurma yang sudah meninggi ditanam dengan teratur di sisi jalanraya. Pokok kurma dijadikan pokok lanskap bandar Makkah.

Saya tertarik melihat beberapa saluran paip diletakkan secara berselang antara pokok untuk membasahkan batangnya bagi memudahkan pokok kurma menerima banyak nutrien.

Pokok kurma mesti disiram dengan banyak air untuk tumbesaran dan kesuburan. Pokok-pokok hiasan renek digunting bulat dengan daun menghijau segar. Tidak ada pokok berbunga yang kelihatan di tengah kota Makkah walaupun pokok kertas (bourgenvilla) yang boleh ditanam di kawasan bersuhu panas.

*

ZMakkah6Fatima4KurmaPokokHiasanMakkah

Pokok-pokok kurma ditanam sebagai pokok hiasan di jantung Kota Makkah. Ada pokok kurma yang sudah berbuah lebat dan ada juga yang tidak berbuah.

*

ZMakkah6Fatima5Pokok Kurma

Pokok kurma ini subur dengan rimbunan buah kurma berwarna kuning. Inilah pertama kali saya melihat buah kurma bergantung segar dengan lebat di atas pokok.

Ketika Ziarah Madinah, saya dan SPH mengikuti rombongan ke Ladang Kurma tetapi tidak ada sebiji buah kurma pun di atas pokok yang banyak di tanam di ladang tersebut. Tulisannya pernah saya tulis di CT151. ZIARAH MADINAH (7): LADANG KURMA.

*

ZMakkah6Fatima6KurmaKuning

Lihatlah buahnya yang lebat dan berwarna kuning. Mungkin inilah buahnya ya. Saya selalu membeli kurma segar berwarna kuning untuk dimakan santai di dalam bilik. Harganya boleh tahan. Tekstur buahnya rangup (krispi) dan kelat manis.

*

ZMakkah6Fatima15kurmamerah.kuning

Saya sangat menyukai rasa kurma kuning segar ini berbanding kurma berwarna merah tua (maroon) yang manis tetapi kurang rangup.

*

MASJID KOTA MAKKAH

Terdapat beberapa masjid dibina di Kota Makkah antaranya Masjid al-Jin, Masjid Syajarah (pokok) dan Masjid Tan’im (Masjid Aisyah). Masjid Tan’im merupakan miqat paling dekat dengan Masjidil Haram iaitu 5 km. Para jemaah selalu berniat umrah di masjid ini.

Foto di bawah merupakan salah satu masjid yang dibina di dalam Kota Makkah tetapi saya sudah lupa namanya. 😦  Ustaz Sabri (Muzawwir) ada menyebut nama masjid tersebut. Saya cuba mencari maklumat di dalam buku dan internet, tetapi tidak ada foto masjid ini digambarkan. Mungkin anda mengetahuinya.

*

ZMakkah6Fatima7MasjidKotaMakkah

Masjid ini berada di tengah Kota Makkah.

*

ZMakkah6Fatima8MHaramRoad

Bas kami sedang melalui Jalan Masjidil Haram. Jalanraya semakin sibuk dan banyak kenderaan

*
*

PERKUBURAN MA’ALA

Bas semakin menghampiri jalan menuju ke Masjidil Haram yang berjarak lebih kurang 1 km dari Hotel Sevilla Barakat. Tiba-tiba Ustaz Sabri (muzawwir – pemandu pelancung) memaklumkan di sebelah kanan kami adalah Perkuburan Ma’ala. Kami terus menoleh ke kanan.

SPH segera mengambil beberapa foto yang tentunya tidak sempat diambil dengan baik dan memuaskan kerana bas bergerak pantas dan kedudukan berdiri kurang stabil ketika mengambil foto.

Saya mengamati kedudukan dan penempatan Perkuburan Ma’ala sangat berbeza dengan Perkuburan Baqi, Madinah yang pernah saya tulis dalam CT134. ZIARAH MADINAH (4): MISI MENAKLUK PERKUBURAN BAQI’. Perkuburan Baqi’ lebih luas berbanding Perkuburan Ma’ala yang sempit dan bertingkat-tingkat.

PERKUBURAN MA’ALA terletak di sebelah Timur Masjidil Haram. Sepanjang kedudukannya menghadap Kaabah.

Ini dijelaskan oleh al-Fakihy, “Kami tidak mengenali mana-mana lembah di Makkah yang betul-betul menghadap kiblat selain dari lembah tanah perkuburan ini (Ma’ala) yang menghadap Kaabah di sepanjang kedudukannya.”

Di sinilah isteri pertama Rasulullah SAW, saidatina Khadijah binti Khuwailid dikebumikan. Selain itu, ramai para sahabat, para tabi’in, ulamak besar dan orang alim di kuburkan di sini. Tetapi tiada tanda dan bukti yang jelas menunjukkan letak perkuburan mereka.

Dimaklumkan cara mengkebumikan mayat ialah dengan meninggalkan mayat di dalam lubang yang disediakan dan menutupnya selama lapan bulan. Selepas lapan bulan, lubang itu dibuka semula untuk mengebumikan mayat yang baru. Wallahu’alam.

Dari Ibnu Abbas r.a, katanya bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik perkuburan adalah perkuburan ini.” Kata Ibnu Juraij ialah Perkuburan Ma’ala.

*

ZMakkah6Fatima9KampungAtasBukit

Bas menghampiri Perkuburan Ma’ala yang bertingkat-tingkat. Tembok perkuburan di cat putih. Nun jauh di atas bukit, terdapat perkampungan penduduk Makkah.

*

ZMakkah6Fatima10PerKuburanMaala

Dapat dilihat melalui kedudukan bas yang tinggi kedudukan nisan dari ketulan batu yang tersusun rapi sebagai tanda kubur tetapi tidak bernama. Semua kubur rata di atas tanah tetapi sebenarnya ia bertingkat dan jenazah yang dikuburkan silih berganti setelah tulang didapati reput.

*

Daripada Abdullah bin Umar r.hm bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Aku adalah orang pertama yang dibangkitkan dari bumi pada hari Kiamat. Kemudian Abu Bakar, kemudian Umar dan kemudian aku mendatangi penghuni-penghuni Baqi’. lalu mereka dibangkitkan bersama-sama denganku. Kemudian aku menunggu penduduk Makkah. maka aku dibangkitkan di antara dua Tanah Haram.” – HR at-Tirmizi, Ibnu Hibban dan al-Hakim

*

ZMakkah6Fatima11RoyalClockTower

Royal Clock Tower semakin jelas, menandakan kami semakin hampir dengan Masjidil Haram. Kelihatan deretan bangunan-bangunan bertingkat tinggi, merupakan hotel dan tempat penginapan jemaah haji yang bertaraf sederhana.

*

ZMakkah6Fatima12KampungAtasBukit

Kami sudah semakin hampir dengan kesibukan pembangunan dan pembesaran kawasan Masjidil Haram. perkampungan penduduk Makkah berada tinggi di atas bukit pejal ini. Saya mengkagumi kedudukan perkampungan atas bukit dan tentu banyak usaha yang dilakukan untuk membangun rumah-rumah tersebut.

*

BERAKHIRNYA ZIARAH MAKKAH

Berhenti sahaja bas di hadapan Hotel Sevilla Barakat pada jam 12.05 tengah hari, menandakan berakhirnya perjalanan Ziarah Makkah yang berdurasi hampir 5 jam dengan bayaran RS25.00.  Para tetamu Allah SWT berduyun-duyun menuju ke Masjidil Haram yang berjarak 750 meter dari hotel kami.

Tidak ada yang lebih mengembirakan hati selama bermukim di Tanah Suci apabila dapat menyertai jutaan para jemaah haji mengunjungi Masjidil Haram dan menunaikan ibadah di dalamnya. Hati saya merintih ingin ikut serta memakmurkan Rumah Allah, tetapi sedia maklum akan keuzuran diri yang memungkinkan semua itu tidak dapat dilakukan. 

SPH meneruskan perjalanan rohaninya seorang diri untuk menunaikan solat Zohor di Masjidil Haram sekali gus menyempurnakan Rukun Umrah iaitu Tawaf, Saie dan bergunting. Saya mendoakan keselamatan dan perlindungan dari Allah SWT untuk SPH sepanjang urusan ibadahnya. Aamiin.

*

ZMakkah6Fatima13SevillaHotelMakkah

*

ZMakkah6Fatima14PemandanganDepanHotal

Pemandangan kanan dan kiri bangunan hotel bertingkat-tingkat di hadapan Hotel Sevillah Barakat. Di bawah hotel-hotel tersebut dibuka banyak kedai-kedai pakaian dan lain-lain keperluan dengan harga yang berpatutan.

*

PesanFatimaku

*

KEPADA TETAMU ALLAH

…. agar mengambil kesempatan untuk mengikuti Ziarah Makkah, Ziarah Hudaibiah dan Ziarah Jeddah apabila berada di Tanah Suci.

Jangan terperuk sahaja di dalam hotel. Luangkan masa untuk berziarah dengan pakej-pakej yang disediakan dengan harga yang berpatutan. Kita sudah datang beribu-ribu batu dengan bayaran yang mahal, tentu sahaja peuang ini hanya datang sekali dalam seumur hidup.

Di samping dapat melaksanakan ibadah haji dan umrah, kita juga dapat menambah ilmu dengan berziarah ke tempat-tempat bersejarah juga lokasi haji di Makkah. Amat besar kesannya apabila kita dapat melihat dengan mata kepala sendiri .

Ziarah ini akan semakin menambat hati kita apabila sudah mempunyai pengetahuan tentang sejarah dan rahsia Makkah tersebut. jangan sia-sia masa yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Gunakan untuk manfaat diri agar dapat menambah iman dan takwa di sisi Allah SWT. Mudahan akahlak kita semakin baik daripada sebelumnya. Aamiin.

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima13 Januari 2015 (Selasa)/ 22 Rabi’ul Awwal 1436H/ 10.20 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. jika kita mengalah dengan segala pancaroba yang membadai rasa, pasti jiwa kita menjadi rapuh tidak berdaya. Usah menangis dengan setiap belati yang menghiris pantai hati kerana nantinya ada pelangi yang mewarna seri membuat sebuah senyuman mengukir indah di bibir. Aku selalu terpesona dengan wanita yang berjiwa besi dan teguh hatinya.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… banyak barakah dalam kehidupan ini dapat kita raih jika lidah dan hati selalu mengingati Allah baik secara berdiri, berbaring, duduk, berjalan dan berlari. Semoga dirimu tenang dalam menyelusuri kehidupan ini. Aamiin. Wassalam. 🙂

*
BicaraFatima1padamu
*

KAU ADALAH ANUGERAH YANG TERINDAH…. DI HATIKU

*
*

20 thoughts on “CT310. ZIARAH MAKKAH (6): KEMBALI KE JANTUNG KOTA MAKKAH (AKHIR)

  1. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Alhamdulillaah…, senang sekali membaca dan melihat-lihat postingan Mbak Fatimah tentang ziarah Makkah ini. Hmmm…, itu burung daranya banyak sekali ya, Mbak. Dan, itu kurmanya berwarna kuning. Serta betapa sudut-sudut kita itu menguatkan kerinduan ini. Allaahumma yassirlana ziaratal makkah wal madinah wal masjidil mubarak warzuqnas salamah bijahi sayyidina muhammadin shallallahu ‘alaihi wasallam…

    Salam takzim dari Jogja,
    @muhaminazzet

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…

      Alhamdulillah, semoga menjadi panduan dengan sedikit pemandangan singkat yang sempat diambil untuk dikongsi. Jadi, burung merpati itu di sana, namanya burung dara. Saya baru tahu.

      Aamiin Ya Rabbal’alamiin. Insya Allah, semoga hasrat mas Amazzet dan isteri untuk ziarah Makkah dan Madinah akan kesampaian dengan izin-NYA.

      Terima kasih atas kunjungan dan salam takzim. 🙂

  2. Assalamu’alaikum wr.wb Mbak Fatimah,

    Saya suka sekali membaca postingan2 Mbak tentang ziarah Makkah ini. Saya yang belum pernah kesana jadi mendapat gambaran bagaimana keadaan disana.
    Kalau cerita detail tentang Makkah ini selalu megingatkan saya pada cerita Bapak saya yang pernah 1 tahun bertugas disana dahulu. Sampai saat ini Bapak masih ingat dengan sudut-sudut kota Makkah dan Madinah. Dahulu Bapak saya bekerja di proyek instalasi kabel telepon di kedua kota tersebut.

    Oh ya Mbak, saya baru tahu buah kurma yang masih segar setelah melihat fotonya disini. Saya hanya mengenal kurma dalam kemasan saja.

    Terima kasih atas sharingnya tentang Makkah yang sangat menarik ini.

    Salam dari saya di Sukabumi,

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Titik Asa….

      Alhamdulillah, cerita Makkah dan Madinah begitu dekat dengan mas Titik melalui Bapak yang pernah bekerja di sana. Pasti banyak kisah menarik dapat dijadikan teladan dan sempadan. Namun Makkah dan Madinah kini kian membangun dan pasti banyak perubahan berlaku dalam tempoh tersebut. Mudahan kongsian ini dapat dimanfaatkan.

      Iya, saya juga baru melihat kurma segar setelah berada di sana. Lagi menarik melihat kurma segar di atas pokoknya.

      Terima kasih kembali dan salam takzim. 🙂

  3. Subhanallah. saya kalau baca tulisan Bunda selalu ada rasa haru. ingin suatu saat nanti bisa ke tempat2 yang Bunda datani di atas. selain nambah pengetahuan baru, jadi tahu kalau membuhuh burung merpati di Makkah, hukumnya haram. menurut riwayat sisa-sisa dari burung Ababil yah, Bun.

    Salam saya, Bun 🙂

    • Saya doakan niat dan hasrat itu akan dikabulkan Allah SWT di kemudian hari. Aamiin.
      Lebih menarik apabila kita ke Tanah Suci dengan ilmu pengetahuan penuh di dada agar kita dapat melaksanakan ibadah dengan lebih khusyuk.

      Iya, burung merpati tidak boleg dibunuh atau diburu di Tanah Haramain. Ramai yang tidak mengetahui tentang perkara ini.

      Terima kasih Richo atas kunjungan dan salam sejahtera. 🙂

  4. Assalamu Alaikum Begitu terharu hati melihat segala gambar dari postingan bunda, Maha Suci Allah begitu banyak suasana dan tmepat yang menambah kerinduan saya akan kota yang Mulia ini

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, PurnomoJr…

      iya, begitulah yang ditetapkan dalam syariat. Apabila beratnya DAM, pasti kita berhati-hati untuk melakukan kesalahan di Tanah Suci.

      Terima kasih Purnomo dan salam sejahtera. 🙂

  5. waalaikumsalam ukhti Fatimah,
    berziarah ke kota-kota dengan riwayat sejarah akan Islam adalah hal yang menggembirakan hati, apalagi bila bisa ber-ziarah ke kota Makkah nan suci,
    persoalan najis memang menjadi masalah utama..bagi setiap masjid di seluruh dunia..tak terkecuali di Masjidil Haram…meskipun itu berupa najis kotoran burung merpati..
    keep happy blogging always….salam hormat dari Wieka, istri-ku untuk ukhti Fatimah sekeluarga,…..salam takzim dari-ku di Makassar 🙂

    • Menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah dan Makkah patut menjadi agenda semasa ke Tanah Suci kerana kita akan berasa lebih dekat dengan peristiwa yang berlaku di lokasi-lokasi tersebut. Banyak pengetuan kita perolehi darinya.

      Mudahan kaum muslimin akan sentiasa menjaga kebersihan dan kesucian rumah Allah kerana ia merupakan tempat syiar Islam.

      Terima kasih mas Hariyanto dan salam takzim kembali buat mbak Wieka juga. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.