CT468. MERTUA OH MERTUA – 9 NASIHAT HAKIM MAHKAMAH SYARIAH

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

MERTUA vs MENANTU

Tidak dinafikan banyak kisah yang kita dengar tentang hubungan antara mertua dan menantu di mana-mana. Ada yang baik dan ada pula sebaliknya. Malah kita sendiri juga mengalami kondisi tersebut. Jika tidak dihadapi dengan bijaksana, pasti ada sahaja konflik berlaku. 

Apabila anda membaca tajuk posting di atas, secara otomatik tentu anda  membayangkan mertua dan menantu itu adalah perempuan. Tepat sekali. Orang perempuan memang banyak masalahnya. Orang lelaki jarang yang bermasalah. Betul ke ?

Sudah pasti hal sebegini menjadi satu cabaran dalam rumahtangga yang meruntun hati banyak pihak jika tidak ditangani dengan baik, penuh kasih sayang dan berhemah.

Saya menerima mesej dalam group keluarga bertajuk 9 NASIHAT  dari seorang Hakim yang mengendalikan satu kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah.

Saat meneliti mesej tersebut, saya fikir SANGAT BAGUS dikongsikan bersama teman pembaca LMGS G2 agar beroleh manfaat dan pengajaran terutama yang bergelar IBU BAPA MERTUA dan MENANTU.

Yang menjadi anak, suami atau isteri hendaklah perlu banyak bersabar dengan karenah yang wujud antara mertua dan menantu.

*

9 NASIHAT HAKIM

1. JANGAN TINGGAL SERUMAH

Jangan galakkan anak dan menantu tinggal bersama anda. Sebaiknya, minta mereka berpindah walaupun terpaksa menyewa rumah. Lebih jauh lebih baik. Ini bertujuan untuk menjaga perhubungan yang lebih baik di masa hadapan.

# SFA: Memang benar, Rasulullah SAW juga berpesan yang sama. Kalau duduk serumah pasti banyak yang salah di mata mertua yang menyebabkan hati menantu tercalar kerana tidak dapat melakukan apa yang disukainya. Hahaha…. mertua jeles ni. OOooopppps.

*

2. MENANTU BUKAN ANAK ANDA

Layani menantu perempuan anda seperti menantu, bukan seperti anak perempuan anda. Anak lelaki anda sentiasa menjadi anak anda. Kenapa ? Jika anda melayan menantu perempuan seperti anak sendiri dan anda pernah memarahinya, menantu anda akan ingat sampai mati. Dalam kehidupannya selama ini, hanya ibu bapanya sahaja yang layak memarahinya.

#SFA: Fakta ini mungkin saya kurang setuju dan saya tidak minta anda bersetuju dengan saya. Kita mempunyai pendapat masing-masing. Siapa pun ibu bapa mertua, mereka wajib dihormati dan dilayan seperti ibu bapa sendiri. Tanpa mereka kita tidak bertemu dengan pasangan kita. Allah dan Rasulullah mengajar kita untuk menghormati ibu bapa. Alhamdulillah, ibu mertua tinggal sebumbung dengan saya sejak dua tahun yang lalu. Kalau beliau marah (sangat jarang marah), saya diam sahaja… itu lebih baik walaupun dalam hati tetap ada kesannya. Hahaha…. aduuuh ! nampak macam sama sahaja seperti fakta di atas. Ini bermaksud BETUL kata Hakim tersebut.

*

3. JANGAN BETULKAN TABIAT MENANTU

Apa sahaja karakter atau tabiat yang menantu anda lakukan, itu bukan masalah anda. Jangan menyibuk. Itu tanggungjawab anak anda untuk memperbetulkan yang tidak betul.

#SFA: Syukurlah ibu mertua saya tidak pernah komplen karakter saya yang garang dan tegas dengan anak-anak. Malah beliau sangat suka dengan tabiat saya yang rajin mengemas rumah dan dapur, giat berkebun bunga dan sayur, suka membuat kek dan biskut serta selalu memuji kelazatan masakan saya. PESAN SAYA, jika hendak mengambil hati mertua buatlah seperti yang saya lakukan. Pasti disayangi mertua dan suami. 😀

*

4. JANGAN JADI ORANG GAJI ANAK

Jangan sesekali basuh pakaian anak dan cucu, memasak untuk mereka dan menjaga cucu anda kecuali diminta oleh mereka. Jangan pula meminta balasan atas bantuan yang anda berikan kepada anak menantu di masa mendatang. Usah terlalu risau dengan kemampuan mereka kerana mereka lebih tahu apa yang perlu dilakukan.

#SFA: Saya SANGAT SETUJU. Selama ibu mertua tinggal bersama kami, saya yang memasak dan tidak membenarkan ibu mertua masak, membasuh pinggan mangkuk atau mengemas rumah. Penat macam mana pun saya akan berusaha melakukannya sendiri dengan bantuan anak-anak. Namun, saya juga tidak melarang kalau beliau hendak melakukannya terutama memasak, jika anak-anak saya ingin merasai kelazatan masakan nenek mereka. Biarlah ibu kita lebih banyak berehat kerana mereka sudah penat menjaga kita dahulu.

*

5. JANGAN CAMPUR TANGAN APABILA ANAK MENANTU BERGADUH

Berpura-pura menjadi bisu dan pekak apabila mendengar anak dan menantu bergaduh. Jangan masuk campur. Itu adalah perkara biasa bagi pasangan yang mendirikan rumahtangga. Mereka tidak suka apabila orang lain ikut campur.

#SFA: Sangat BENAR. Saya yakin semua pasangan bersetuju. Malah kita semakin sakit hati apabila ada orang lain cuba mencampuri urusan rumahtangga kita walaupun mereka adalah ibu bapa sendiri. Saya hormati ibu mertua saya kerana sangat memahami situasi begini. Beliau tidak pernah bertanya atau komplen apabila terjadinya perselisihan faham antara saya dan SPH. Beliau seperti tidak tahu dan tidak berkata apa-apa. Itu jalan lebih selamat  dan adil daripada menunjukkan sikap menyebelahi mana-mana pihak kerana nanti ada hati yang luka parah dan berdendam.

*

6. CUCU ANDA BUKAN ANAK ANDA

Cucu anda adalah hak mutlak ibu bapa mereka. Bagaimana mereka ingin membesarkan cucu anda terpulang kepada mereka. Jangan campur tangan. Mungkin sekadar memberi nasihat. Zaman anda membesarkan anak sudah berlalu. Biar anak-anak membesar anak mereka mengikut acuan mereka sendiri. Baik atau buruk itu urusan mereka.  Anda banyakkan berdoa untuk kesejahteraan mereka.

#SFA: Alhamdulillah, ibu mertua saya tidak pernah campur tangan dalam urusan saya dan suami mendidik anak. Tidak dinafikan, mungkin terdetik kekesalan di hatinya apabila melihat cucunya dimarah dan dipukul. Maklumlah, apabila sudah menjadi nenek atau datuk, kasih sayang mereka lebih banyak buat cucu daripada anak-anak. Saya juga akan berperasaan demikian apabila mempunyai cucu nanti. Ahhhhh…. masih lama lagi. Itupun kalau sempat. Mudahan panjang umur. 😀

*

7. JANGAN HARAPKAN LAYANAN DARI MENANTU

Menantu anda tidak perlu hormat dan melayan anda sepanjang masa. Itu adalah tugas anak lelaki anda. Anda sepatutnya sudah memberi didikan terbaik dan anak anda mampu mengajar isterinya untuk menghormati anda.

#SFA: Saya setuju. Mertua perlu faham bahawa beliau tidak perlu mendapat layanan istimewa dari menantu. Jika anda mertua yang berilmu pasti anda mengerti dan tahu menyesuaikan diri dengan menantu. Yang eloknya, mertua dan menantu menjadi seorang teman atau sahabat. Tetapi tidak semua yang mampu berbuat demikian, begitu juga saya. Jurangnya tetap ada.

*

8. BUAT PERANCANGAN SEBELUM BERSARA

Buat perancangan awal sebelum anda bersara. Jangan harapkan anak anda untuk menyara hidup anda kerana mereka pasti sibuk dengan urusan mencari nafkah buat keluarga mereka. Jika anak anda memberi “sumbangan”, itu adalah satu nikmat dari kurnia Allah dan anda harus bersyukur. Jika tidak ada, jangan merungut. Fahamilah masalah mereka. Anda sudah tentu tidak mahu menyusahkan anak menantu. Anda telah pun berjalan jauh dalam kehidupan ini dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari. “Enjoy”lah dengan hari persaraan anda.

#SFA: Insya Allah, saya sudah bersedia awal untuk menghadapi hari persaraan saya 10 tahun akan datang (jika Allah izinkan masih bernafas di muka bumi). Saya dan suami tidak mahu menyusahkan anak menantu dan pastinya kami akan jarang bersama mereka kerana aktiviti selepas bersara adalah mengelilingi dunia sebelum ajal menjemput. Kami mahu menikmati hari persaraan dan hari tua dengan indah dan senang setelah bertungkus lumus membesar, mendidik dan memberi pelajaran kepada anak-anak. Biarlah kami berehat dan “enjoy” dengan dunia persaraan kami. Biarlah anak-anak pula sibuk dengan dunia membesarkan anak-anak mereka. Adilkan. 😀

*

9. CUCU BUKAN MILIK ANDA

Cucu adalah anugerah dan hadiah dari Allah SWT  kepada anak dan menantu anda. Maka jangan merebut cucu dari mereka walau setinggi mana pun sayang anda kepada cucu. Ibu bapa mereka lebih berhak atas anak mereka. Jangan dipisahkan cucu anda dari ibubapanya semata-mata anda membenci menantu anda. Insaflah, anda perlu berehat dan tidak perlu bersusah payah untuk menjaga anak kecil lagi.

#SFA: Kepada semua ibu mertua, fahamilah perasaan menantu, usah mengikut perasaan dengan meminta agar cucu tinggal bersama anda kecuali dalam waktu tertentu sahaja bukan selama-lamanya. Jika dipisahkan, pasti cucu-cucu akan keliru siapakah “ibu” mereka yang sebenarnya. Saya juga pernah rasa cemburu apabila ibu mertua menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bahagi kepada cucunya. Perasaan itu wujud ketika anak-anak masih kecil, sekarang tidak ada lagi. Ia segugus perasaan yang datang tanpa diundang. Saya yakin, saya juga demikian, lebih menyayangi cucu daripada anak. Kesian anak menantu saya nanti..hehehe.

*

PURATAN HIDUP

Itulah kehidupan, berputar mengikut masa. Tidak menyangka roh masih dipinjamkan kepada jasad kita untuk melihat setiap jejak yang ditinggalkan sebagai kenangan. Mudahan anak menantu mengerti bahawa tidak selamanya ibu bapa akan bersama mereka.

MERTUA OH MERTUA.. setelah anda memberi restu kepada perkahwinan anak menantu anda, janganlah membuai gelora dalam kehidupan yang bakal mereka lalui. Berdoalah untuk kebahagiaan mereka dan bantu dengan kemampuan yang ada apabila mereka memerlukan pertolongan ketika menghadapi masalah. Kasihilah mereka agar Allah juga mengasihi mereka.

Semoga saya dan anda akan menjadi MERTUA MITHALI. Aamiin Allahuma Aamiin.

*

TERIMA KASIH IBU MERTUAKU, Puan Hajjah Ela binti Majeni…… kerana sangat sabar menghadapi karenah anak menantu dan cucu-cucu. Maafkan kami kalau selalu menyusahkan Emak. Kami sangat menghargai segala bantuan Emak selama tinggal bersama.  Kami doakan semoga selalu sihat dan dipanjang umur dalam keberkatan Ilahi. Sayang Emak.

*

***************

SalamFatima3SalamFatima27 Febuari 2018 (Selasa)/ 11 Jamadilakhir 1439H/ 10.50 malam/ Sarikei, Sarawak

– SITI FATIMAH AHMAD –

 

 

 

 

*

 

6 thoughts on “CT468. MERTUA OH MERTUA – 9 NASIHAT HAKIM MAHKAMAH SYARIAH

  1. Assalamualaikum wr. wb Bu Hajjah Fatimah.
    Saya sangat sangat setuju dengan 9 nasihatnya. Alhamdulillah saya dan mertua biasa saja. Tidak tinggal berdekatan, tidak terlalu dekat, tidak pula merepotkan mertua. Insya Allah selalu aman hubungan Kami.
    Semoga kita selalu diberikan keberkahan dalam hubungan menantu dan mertua. Aamiin ya robbal alamin.
    Salam hangat dari Jakarta Pusat 🙂

  2. Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

    Menjaga hubungan kekeluargaan terutama dengan mertua amat penting supaya kita dapat hidup dengan aman dan sentosa. Jika sudah tercalar amat sukar untuk mencari penawarnya kerana masing-masing terkesan dengan apa yang berlaku.

    Terima kasih mbak sudah berkunjung lagi.
    Salam manis selalu. 🙂

  3. salam kak… mcm mana kalau mak mertua jenis yg degil semua benda nak ikut kepala dia.. ? smpi kan anak sy no 2,nak dijaga isnin-jumaat sbb kan xnak jd mcm no 1 xnak dgn keluarga mertua.
    mcm mn nak hadap yg anaknya bila mak nya panggil berdesup dtg… pdhal mertua sy ade lagi anak bujang 3org.. tp suami sy jugak yg dia suruh… suami sy mmg la oky sbb mak kan… syurga bawah kaki mak.. tp kalau tgh malam pon panggil, anak bini tggl mcm mn kak>?

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Faryza…. semoga selalu dirahmati Allah SWT.
      Maaf baru sempat membalas. Mudahan sedikit jawaban akak boleh membantu mereda perasaan Faryza ya.

      Ujian dengan mertua yang bersikap begini semuanya didatangkan oleh Allah kepada hamba yang mampu melaluinya dan salah seorangnya adalah Faryza. Mungkin suami Faryza anak sulung atau anak bongsu yang disayangi dan tidak sampai hati untuk menidakkan kehendak ibu lalu menuruti sahaja cakap ibunya. Jika dilihat dari sudut lahiriah itu ciri-ciri anak yang baik.

      Apa yang perlu difikirkan adalah cara untuk menghadapi karenah ibu mertua seperti ini. Ia memang satu cabaran buat Faryza dan tentu sekali memerlukan strategi untuk menyantuninya. Antaranya suami isteri perlu selalu berbincang pada setiap isu yang dibawa oleh ibu mertua dan berusaha untuk memenuhi kehendaknya dengan cara yang disepakati dan setakat yang mampu. Memang suami sepatutnya berperanan dalam hal ini.

      Saya kagum dengan Faryza kerana selalu bersabar dan berkorban rasa semata-mata membenarkan suami melayani kehendak ibunya dalam apa juga keadaan. Mungkin ada sejarah dalam hidup mereka yang kita tidak ketahui sehingga malam-malam pun suami tetap mematuhi panggilan ibunya.

      Mudahan kesabaran Faryza dalam menyantuni ibu mertua akan mendapat balasan yang baik dari Allah SWT. Kita perlu faham, doa ibu kepada anaknya sangat dimakbulkan Allah. Kepatuhan suami Faryza kepada ibunya, boleh menjadi sebab sang ibu mengangkat doa ke hadrat Ilahi dan sering medoakan Faryza sekeluarga bahagia di dunia dan di akhirat.

      Insya Allah, Faryza dan akak juga suatu hari nanti akan menjadi ibu mertua. Saat dan ketika itu baru kita faham kenapa kita memerlukan salah seorang dari anak kita untuk mendengar cakap kita sedangkan kita juga mempunyai anak yang lain. Saya yakin suami Faryza anak yang baik kerana itu pilihan ibu mertua Faryza jatuh kepada beliau. Bersyukurlah kepada Allah SWT dan berdoalah agar diberi ketabahan untuk menghadapinya selagi ibu mertua masih hidup.

      Akak doakan Faryza bahagia dan berjaya di dunia dan di akhirat bersama ibu mertua dan keluarga.

      Salam sejahtera selalu dan terima kasih sudah berkunjung ke LMGS G2. 🙂

  4. Assalamualaikum..
    Sy setuju dgn smue 9 nasihat.
    Sy sdg brhdpn dgn ibu mertua yg mempunyai smue 9 masalah spt yg dibincangkan di ats.
    Tak sangka dpt 9 nasihat. Tapi nasihat ni utk mertua.. bkn utk sy.. hmmmm..
    Ap yg sy dpt ialah.. sy diuji oleh Allah dgn sikap ibu mertua begini.. Jadi sy kena redha dan berdoa tros agr dpt tros bersabar sampai tak tau bile.. sampai bila 2 lah.. insyaallah.. keseksaan emosi yg sy alami akn di bls dgn kbhgiaan hr mendatang…

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Aida…

      Saya doakan Aida sihat dan ceria selalu. Begitulah asam garam hidup berumahtangga, masing-masing mempunyai cabaran dan masalah. Hanya cara kita yang bijak dalam mengatasi dan melaluinya.

      Saya suka dengan pandangan optimis dan pemikiran positif Aida dengan memandang situasi yang dilalui sebagai baik. Apabila kita berfikiran baik terhadap ujian Allah SWT, pasti akan muncul kebahagiaan di suatu hari. Banyakkan berdoa agar ibu mertua memahami diri Aida.

      Semoga menemui kebahagiaannya nanti. Terima kasih Aida sudah berkunjung dan salam manis selalu. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.