CT172. TANDA KENAL HUJJAJ

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuh

KenalFatima1TandaHujjaj

Tanda pengenalan para hajjah Malaysia dengan menjahit nama Malaysia bertulisan Arab  – MAALIIZIIYAA, di bahagian belakang kepala telekung.

*

Terhasil dari pemerhatian dan rasa ingin tahu yang kuat, saya memotretkan secara jarak jauh dan dekat, satu fenomena yang menarik perhatian saya sepanjang berada di Tanah Suci Haramain. Kehidupan selama 48 hari tersebut membuka minda bagi mengenal pasti tanda pengenalan diri hujjaj baik secara individu, kumpulan atau negara.

Tanpa disedari tanda pengenalan diri itu telah mewujudkan fenomena fesyen dalam berpakaian di kalangan jemaah hujjaj seluruh dunia, terutama para hajjah. Bumi Haramain dibaluti pelangi warna bermekaran segar yang indah, bercorak dan ceria.

Tujuan menghasilkan idea untuk membuat tanda pengenalan diri ini, menurut saya sangat bijaksana sekali. Siapapun yang mencipta idea-idea ini pasti telah banyak menyelamatkan diri, kumpulan dan negara dari musibah dan bencana hati apabila kehilangan di tengah lautan manusia yang mengelirukan.

Saya sangat setuju bahawa tanda kenal diri hujjaj sangat patut dilakukan di Tanah Haramain. Selain tanda kenal itu mewakili negara, saya lihat ada yang mengambil inisiatif secara kumpulan atau individu untuk memudahkan diri dikenal oleh suami isteri saudara mara, rakan taulan atau sesiapa sahaja apabila berlaku kecemasan yang tidak diduga seperti hilang dari pandangan atau tersesat jalan. Masya Allah, apa-apa sahaja boleh berlaku di sana jika tidak berwaspada.

Oleh itu, saya ingin mengingati agar selalu membawa telefon dan simpan nombor telefon yang penting untuk dihubungi. Selain itu, dokumen pengenalan diri seperti tag pengenalan diri (bertali), buku rekod rawatan jemaah haji dan wang yang cukup mesti selalu dibawa ke mana-mana pergi agar memudahkan diri dikenali. Jangan malas untuk membawa semua dokumen penting yang saya nyatakan tadi. Tanpa dokumen tersebut, anda akan menjadi orang asing di sana.

ASAL NEGARA

Beberapa negara memberi tanda pengenalan diri bagi hujjaj negara tersebut untuk memudahkan sesiapa sahaja mengenali mereka dan dari negara mana kedatangannya.

Seperti Malaysia, setiap jemaah haji wanita dikehendaki menjahit nama Malaysia bertulisan Arab di bahagian atas belakang telekung sebagai tanda negara. Tetapi ini tidak kepada jemaah lelaki. Nama Malaysia bertulisan Arab dikhususkan bagi jemaah hajjah MUASSASAH sahaja.

KenalFatima2HujjajMalaysia

Tanda kenal diri para hajjah dari Malaysia dengan nama Malaysia bertulisan Arab

KenalFatima12BegHajiMuassasah

Beg berwarna jingga (oren) pemberian Tabung Haji untuk semua jemaah haji Muassasah juga merupakan satu tanda kenal hujjaj Malaysia

*

Bagi jemaah haji Malaysia (wanita) yang menggunakan perkhidmatan pakej swasta (travel & tours) tidak menggunakan tanda berjahit nama Malaysia. Mereka mempunyai tanda pengenalan diri yang relasi dengan travel yang menguruskannya.

KenalFatima11HujjajMalaysiaTravel

Antara contoh tanda kenal diri bagi hujjaj Malaysia yang menggunakan khidmat travel & tours (swasta) yang diberi kebenaran untuk membawa para haji secara pakej.

*

HUJAJ INDONESIA

Negara Indonesia merupakan negara paling ramai para hujaj di Tanah Haramain. Dianggarkan setiap tahun, hampir 250,000 jemaah haji dari Indonesia akan memenuhi kota Suci Madinah dan Makkah. Hal ini dapat dirujuk kepada peta kedudukan khemah negara Asia semasa di Padang Arafah (warna kuning, lihat peta kedudukan khemah di Padang Arafah di bawah ini). 

KenalFatima8PetaKedudukanHujjajAsiaArafah

Walaupun mereka dari negara Indonesia tetapi datang dari berlainan wilayah. Oleh itu, tidak hairan kita dapati tanda pengenalan diri mereka adalah mengikut wilayah seperti Bogor, Samarinda dan sebagainya. Di mana-mana sahaja berada di Tanah Suci, kita akan melihat hujjaj dari Indonesia dengan pelbagai gaya dan ragam pengenalan baik secara individu, kumpulan atau wilayah.

Foto-foto berikut memperlihatkan keragamaan warna yang ditampilkan oleh para hujjaj Indonesia yang banyak menarik perhatian para hujjaj yang lain selain pelbagai bahasa yang diucapkan. Merujuk kepada ramainya jumlah hujjaj Indonesia, tidak hairanlah kenapa kebanyakan penduduk di Madinah dan Makkah dapat berbahasa Melayu Indonesia sama ada fasih atau beberapa patah.

Pengalaman awal di bumi Madinah seperti yang saya tulis dalam CT95. HADIAH DARI LANGIT…. 30 MINIT DI RAUDHAH, menunjukkan rasa terkejut saya tatakala mendengar polis-polis wanita Arab Saudi boleh bercakap bahasa Melayu walau sepatah-sepatah. Malah hampir semua peniaga yang berjual di kedai-kedai boleh bertutur dengan baik. Tidak perlu susah-susah belajar bahasa Arab selama berada di sana. Komunikasi sangat mudah dan pandai-pandailah menawar dalam membeli barangan.

Beberapa foto yang sempat saya rakam membuktikan ramainya hujjaj dari negara Indonesia, saban tahun menduduki carta tertinggi kuota jemaah haji di dunia.

KenalFatima3HajjahIndonesia

Sekumpulan hujjaj sedang berkumpul di depan pintu No. 16, Gate Umar al-Khattab, selesai solat Isya di Masjid Nabawi, Madinah

KenalFatima4HajiIndonesia

Selesai solat Subuh di Masjid Nabawi

KenalFatima5HujjajIndonesia1

Sekumpulan hujjaj Indonesia sedang berkumpul mendengar taklimat atau ceramah dari seorang ustaz di Dataran Masjid Nabawi selesai solat Isyak.

KenalFatima9HujjajIndonesia2

Hujjaj Indonesia dari lain wilayah (berdasarkan skaf hijau para hajjah), baru sampai ke bumi Makkah berkumpul di hadapan pintu masuk utama Al-Malik Fahd,N0. 79. Jemaah ini sedang menunggu giliran masuk ke Masjidil Haram oleh mutawif yang membawa mereka untuk menunaikan tawaf Umrah dahulu (Haji Tamatuk).

KenalFatima10HujjajIndonesia3

Hujjaj Indonesia sedang melintas jalan untuk pulang ke hotel setelah selesai solat Subuh di Masjid Nabawi

KenalFatima14HujjajIndonesia

Pelbagai gaya, corak dan bentuk tanda kenal hujjaj Indonesia berdasarkan wilayah negeri di dalam negara Indonesia

*

TANDA KENAL HUJJAJ DARI NEGARA LAIN

Turut menarik perhatian saya adalah tanda kenal hujjaj dari negara Afrika, India dan Asia Barat. Lain-lain negara tidak sempat difikirkan kerana sangat sibuk dengan pelbagai urusan ibadah yang harus ditunaikan. 😀 Sebenarnya, pemandangan tanda kenal yang dihidangkan secara alami di depan mata, menjadikan kehidupan saya di bumi Haramain sangat indah dan bahagia.

Mata ini tidak pernah jemu menyorot kebesaran Allah SWT dalam menyatukan muslim seluruh dunia untuk berkumpul bagi melaksanakan tanggungjawab besar yang menjadi kewajiban. Alhamdulillah, penyatuan ummah ini menghasilkan kesejahteraan hati dan jiwa apabila saling kenal mengenal walau dalam masa singkat.

KenalFatima13HujjajAfrika

Kebanyakan tanda kenal diri bagi hujjaj Benua Afrika adalah melalui jilbab panjang dan berwarna terang. Lebih mengusik hati, mereka tidak menutup aurat di kaki seperti yang difahami dalam konsep menutup aurat yang disyaratkan dalam hadis Nabi SAW kepada Asma’ binti Abu Bakar (r.hma):

“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya”HR Abu Dawud

KenalFatima16HujjajIndia

Begitu juga kebanyakan hajjah dari India yang berjilbab labuh tetapi kaki mereka terdedah tidak menutup aurat. sama halnya dengan hajjah dari Afrika di atas. Saya tidak faham, apakah mazhab yang mereka pegang ketika melaksanakan rukun dan wajib haji ini. Wallahu’alaam.

KenalFatima15HujjajAsiaBarat

Parah hujjaj wanita dari Asia Barat sangat mudah kita kenali. Rupa yang kearaban dan cantik. Kebanyakan para hajjah berbadan gempal. Jarang menemui yang bertubuh langsing. Ramah dan murah dengan senyuman.  Mereka berpakaian jubah labuh dengan pelbagai warna. Jika dari Iran atau Iraq, jubah mereka berwarna hitam sama seperti wanita Arab dan berpurdah.

*

KasutTawafFatima7TetamuAllahMakkah

*

TETAMU ALLAH

Berkumpul dengan saudara seIslam dari seluruh dunia di bumi tumbuhnya iman ini, memberi kesan hebat buat saya. Di bumi inilah, Rasulullah SAW dan para sahabat awal memeluk Islam telah membuka Kota Makkah. Sejak itu Kota Makkah dibanjiri umat Islam saban tahun untuk menyahut panggilan Allah SWT melalui seruan Nabi Ibrahim a.s. 

Semoga diredhai Allah SWT segala amalan dan ibadah yang dilakukan di sana dan kehidupan yang sedang diuliti kini sehingga jemputan sebagai DUYUF AR-RAHMAN kembali diizinkan Allah SWT untuk bertamu lagi di bumi yang dicintai Allah SWT dan Rasulullah SAW. Aamiin.

SEMOGA BEROLEH HAJI MABRUR

*

**************

13 Jun 2013 (Khamis)/ 4 Syaaban 1434H/5.38 petang Sarikei, Sarawak

AKU…  pilu saat bayu kerinduan menyapa dalam air mata yang basah. Dingin malam  menyelimut jasadku cuba menghangat hati yang resah. Hanya alunan zikir memadu kencang di dada agar tenang segenap jiwa. Ya Allah, pada-MU aku  memohon secebis rahmat untuk teguh mencintai segala yang Engkau izinkan untukku di segenap nafas yang masih bersisa. Demi Tuhan, di mana-mana aku berada, diri ini tidak pernah berpaling dari cintamu yang menyubur rasa. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

RinduFatima3Hanyapadamu

DEDIKASIKU UNTUKMU…. pandanglah ke langit, setiap hari engkau akan menatap segaris senyum yang menyapa dirimu untuk mengucapkan salam dan doa. Di redup mentari yang menyela, aku memanggil namamu dalam diam tanpa suara kerana ku tahu kau tidak akan pernah mendengarnya. Wassalaam. 😀

*

22 thoughts on “CT172. TANDA KENAL HUJJAJ

  1. Ya saya sangat sepakat perlunya menggunakan tanda kenal hujjaj, sebagai identitas diri agar mudah dikenali, mengingat lebih dari 3 juta manusia berkumpul di tanah suci dan tidak semua orang memahami kondisi lingkungan tanah suci.

    Apalagi para orang tua yang seringkali gampang terpisah dari kelompoknya baik ketika melakukan tawaf, sa’i ataupun ketika melepar jumrah di Mina.

    Dengan tanda pengenal, selain berupa “gelang”, tulisan, kopyah, warna jilbab, kain selempang, termasuk jaket dan sejenisnya, maka jika ada jamaah yang terpisah Insya Alloh akan dengan segera mudah dikenali dan dicari.

    Saya juga pernah menulis bagaimana merasa aman dan nyaman ketika melakukan ibadah haji di Tanah Suci, ini memberikan gambaran bahwa perlunya persiapan fisik, keuangan dan yang terpenting lagi adalah ilmu manasik haji sebagaimana yang dicontohkan Rasululloh SAW.

    Sungguh, berhaji adalah perjalanan yang sangat membahagiakan karena kita bisa mengenal berbagai budaya dan kebiasaan saudara-saudara muslim dari seluruh dunia.

    Semoga yang sudah berhaji, kita semua digolongkan menjadi haji yang mambrur, sedangkan yang belum berhaji, segera berkesempatan menyempurnakan rukun Islam kelima ini dengan segala kemudahan dan ridho dari Alloh Ta’ala. Amin.

    Salam silaturahim dari Blitar Jawa Timur

    • Salam sejahtera Pakies…

      Sikap hati-hati perlu dibiasakan di bumi Haramain. Berbaik sangka dan mengingati setiap tanda yang tidak “menghilangkan” jejak dari pandangan mesti di tulis dalam catatan atau dirakam dengan kamera. Jangan panik.

      Saya selalu membawa kamera untuk merakam foto yang boleh dijadikan kenangan dan membantu saat kehilangan jejak. Begitu juga dengan pen dan buku tulis untuk mencatat sesuatu yang menarik perhatian.

      Alhamdulillah, selama di sana saya jarang mendengar kisah hujjaj yang hilang dari kumpulannya. Mungkin tanda kenal ini banyak membantu dan mudah dikenali.

      Benar Pakies, jiwa rasa selamat dan aman selama berada di Tanah Suci walaupun banyak kekurangan yang harus dihadapi. tetapi jika kita redha dan ibadah dilakukan semata-mata untuk Allah SWT,

      Setiap yang payah ditempuh akan ada kemudahan dari Allah SWT. Jangan mengeluh dan merungut, dibimbangi ujian Allah makin hebat untuk melihat “niat” kita itu ikhlas menunaikan ibadah semata-mata kerana Allah SWT atau ada niat lain yang menyisip ibadah haji tersebut.

      Terima kasih Pakies atas kunjungan dan kongsian pengalaman bermakna dari Tanah Haramain. Mudahan yang belum ke sana akan mendapat manfaat dan sedikit gambaran untuk persediaan awal agar dipenuhi ilmu untuk melaksanakan ibadah Rukun ke-5 ini.

      Salam hormat takzim. 😀

  2. assalamua’laikum wr wb..

    walaupun saya belum ke sana, tapi bisa membayangkan para jemaah di tanah suci dari berbagai penjuru dunia berkumpul di satu tempat dengan jumlah jutaan orang, pasti akan sulit mencari seandainya ada jamaah yang terpisah dari rombongan atau tersesat tidak tau jalan pulang ke asrama, tanda pengenal itu sangat penting untuk lebih mudah di kenali.

    saya dengar juga kabar di sini kalau daftar haji tahun sekarang baru bisa berangkat 5 tahun ke depan. itu tandanya saking banyaknya orang yang ingin beribadah haji.

    salam damai dari kota hujan

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, KangYan…

      Lumrahnya begitulah ketika di Tanah Suci. Pasti ada sahaja kehilangan jika tidak berwaspada dengan keadaan sekeliling. Selalu hujjaj hanya hilang di dalam masjid sebab keliru pintu mana yang mereka masuk dan tidak tahu pula pintu keluarnya.

      Jangan bimbang, mana-mana pintu akan membawa kita ke tempat yang sama kita keluar asal mahu mengelilingi masjid sahaja. Ingat nombor pintu, pasti akan bertemu.

      Masjidil Haram sangat besar, maka tidak hairan akan berjalan di mana-mana tempat di dalamnya dan tidak kembali ke tempat asal datang. Rupanya serupa. Insya Allah, setelah berlama di sana, akan mula rasa selesa dan tahu arahnya. Jangan bimbang.

      Iya benar, setiap tahun ramai yang berdaftar, malah di Malaysia harus menunggu sehingga 50 tahun bagi tahun yang dicadangkan sebelum urutan sampai ke nama kita.

      Terima kasih KangYan atas pencerahan.
      Salam sejahtera. 😀

  3. isi posting ibu sangat banyak.
    saya ingin komentari yang paling menarik dan berkesan yaitu tulisan tanda negara.

    saya setuju tulisan di tanda mukena. kalo boleh berpendapat kayaknya bagus di punggung to bu? biar keren kayak jaket2 kan biasanya ada tulisan di punggung.

    tulisan itu sepertinya disablon soalnya kain haji katanya nggak boleh berjahit.
    terus warna-warna itu berarti jamaah haji nggak harus berwarna putih ya? buktinya dari afrika berpakaian biru dan oranye.

    kalau kelak saya haji ( Amiiin…) berarti saya kelak pakai syal tanda itu. terima kasih, Bu. jadi tahu tanda negara di pakaian haji.

    • Yang banyak itu sudah disedikitkan, pindah ke posting baru. 😀

      Maaf Wahyu, maksud tulisan di punggung itu apa sebenarnya. Mohon dijelaskan.
      Bimbang lain maksudnya kalau di Malaysia…hehehe

      Hanya kain ihram lelaki sahaja yang tidak boleh berjahit atau dipinkan (dicantum menjadi satu). Mesti berwarna putih sahaja.

      Bagi para hajjah, boleh berwana warni. Tidak semestinya putih.
      Tanda kenal hujjaj itu untuk kebaikan para haji semasa di sana. Jika tidak mahu memakainya pun tidak apa-apa.

      Insya Allah, didoakan Wahyu mendapat panggilan Allah SWT sebagai Duyuf ar-Rahman. Aamiin.

      Terima kasih atas pencerahan dan kunjungan Wahyu.
      Salam mesra. 😀

  4. Pingback: CT173. RONALDINHO vs FATIMA | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  5. Assalamu Alaikum wr. wb. ummi ibundaku

    terima kasih telah berbagi banyk hal tentang dunia haji,
    pedoman yang sangat bermanfa’at buat neni kelak, insyaAllah

    salam rindu dan sayang buat ummi

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Neni yang baik…

      Alhamdulillah, semoga bermanfaat dan mengambil iktibar dari pengalaman Umi selama ini.

      Terima kasih mengisi semua komentar yang tertinggal. Umi senang.
      Salam rindu dan sayang kembali. 😀

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.