CT160. CABARAN HAJI (11): HAJI TUA

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuh

HajiTuaFatima1Haramain

TAHUN 1977

Pertama kali saya menghantar orang pergi haji ketika Pak Nek, Haji Massatem bin Chie, ayah kepada emak akan berangkat ke Kuching dengan menaiki bas  berwarna hijau dan krim, Sarawak Transport Company.  Ketika itu usia saya 10 tahun. Tahun 1977 menjadi saksi riuh rendahnya stesen bas Simanggang (nama lama Bandar Sri Aman) dikerumuni kaum keluarga dan sanak saudara bagi mengiringi keberangkatan ahli keluarga ke Kuching.

Ketika bas yang membawa rombongan haji dari Simanggang perlahan-lahan meninggalkan stesen utama, kedengaran di sana-sini suara tangisan yang membingit alam. Suara anak-anak dan orang dewasa saling bersahut-sahutan seolah-olah kepergian mereka adalah yang terakhir dalam pertemuan tersebut. Emak dan Mak Nek tidak ketinggalan mendendangkan irama yang sama, cuma tidak terlalu tinggi nadanya. Alunan azan berkumandang sayup-sayup dihimpit tangisan yang belum reda esaknya.

Saya menjadi pemerhati yang penuh kehairanan melihat suasana bagai keramaian. Terlihat kibaran sapu tangan melambai-lambai lembut dan keras  dalam pelbagai gaya membalas lambaian bakal jemaah haji di dalam bas. Mereka juga tidak kurang aksinya dengan yang menghantar. Begitu juga saya. Sapu tangan putih, nipis dan bersulam bunga kelopak lima warna biru digenggam erat sambil melampai-lambai pada Pak Nek. Tangisan terdengar deras di dalam perut bas sehingga sayu-sayup menjauh dan hilang dari pandangan.

Hampir semua orang yang hadir di situ mempunyai sapu tangan. Kebiasaannya sapu tangan menjadi hadiah dari tuan rumah kepada setiap tetamu yang hadir pada hari pemergian ahli keluarga mereka ke Makkah. Tujuan utama pemberian sapu tangan ini adalah untuk mengelap air mata dan alat untuk melambai saat perpisahan bermula. 😀 Simboliknya pemberian sapu tangan adalah tanda perpisahan. Entah bertemu, entah tidak .

Tahun 1977 juga merupakan tahun bersejarah bagi Pak Nek dan rombongan haji Sarawak kerana menaiki kapal terbang ke Makkah. Umum mengetahui, kenderaan paling efektif untuk Ke Makkah ketika itu adalah dengan menaiki kapal laut yang mengambil masa berbulan-bulan untuk pergi dan balik semula ke Tanah Air. Bermula tahun itulah, jemaah haji Malaysia mulai menaiki kapal terbang sehingga kini. Alhamdulillah. Tidak dinafikan tambang penerbangan sangat mahal tetapi menjimatkan masa dan jarak untuk sampai ke destinasi dalam kadar segera iaitu 9 jam.

BERUSIA LANJUT

Seingat saya, rombongan bakal haji di dalam bas tersebut hampir semua sudah berumur. Rata-ratanya sudah pencen iaitu berusia 55 tahun dan ke atas. Ada yang bertongkat dan lemah sahaja jalannya. Ada yang mesti dipapah oleh suami atau isteri atau anak yang bersama. Ada yang kelihatan cergas dan kuat. Tidak kurang yang sudah mempunyai penyakit yang dihidap sekian lama.

Begitulah pelbagai ragam tingkah bakal haji yang diperhatikan. Alhamdulillah, Pak Nek tidak sakit. Beliau sihat, cergas dan bersemangat sekali. Pak Nek pergi seorang diri tanpa ditemani anak dan isteri. Mak Nek telah pergi Ke Tanah Suci lebih dahulu dari Pak Nek bersama dengan adik-beradiknya.

Pak Nek berusia 55 tahun saat pertama kali menjejak kaki ke Tanah Suci. Pak Nek baharu sahaja pencen. Bukan mudah untuk mengumpul duit dalam kadar segera jika tidak berdikit-dikit menyimpan wang selama berpuluh tahun. Apa tah lagi pekerjaan Pak Nek hanyalah seorang tukang kayu di Majlis Daerah Simanggang dan tukang membuat rumah sebagai pekerjaan sampingan di kampung. Gaji bulanan disimpan sedikit selain wang tambahan yang diberi oleh emak setiap bulan.

Bila saya mengenangkan kesukaran keluarga saya menyimpan wang dalam tempoh yang lama, baru dapat pergi haji, hati saya tersentuh kerana saya mampu menyimpan wang hanya dalam beberapa tahun sahaja sudah dapat menunaikan haji. Semua itu tertakluk dengan “jemputan” Allah. Bapa pula menunaikan haji pada umur 56 tahun dan emak 52 tahun (1994). Manakala, umur saya dan SPH, 44 tahun (2011). Usia kami masih dalam kategori muda, cergas, kuat dan sihat tanpa sebarang penyakit. Malah kami selalu dianggap muda dari usia sebenar oleh rakan jemaah haji yang lain. Alhamdulillah.

HajiTuaFatima12PasanganHajiTua

Pasangan suami isteri yang pergi bersama tanpa anak. Saya pernah membantu nenek tua tersebut di awal pemergian kami dari Sarawak ke Madinah. Semasa di Makkah, beliau berjalan cergas tanpa berkerusi roda.

*

CABARAN HAJI TUA

Sebelum saya melanjutkan perbahasan ini, perkataan HAJI TUA dirujuk kepada jemaah haji yang berusia 55 tahun dan ke atas (usia pencen) bagi memudahkan saya membezakan mereka dengan HAJI MUDA (55 tahun ke bawah). Status nama “HAJI TUA”, mudahan dapat diterima untuk memahami situasi yang berlaku dalam usia tersebut sepanjang pemerhatian saya bersama mereka. Melalui maklumat ini, saya dapat membantu bakal jemaah Haji Tua untuk bersedia secara JASMANI, EMOSI, ROHANI DAN INTELEKTUAL dalam cabaran melaksanakan manasik haji di semua masya’irnya.

Di sini saya akan menghuraikan secara ringkas cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Haji Tua dan persediaan yang perlu mereka lakukan agar pekerjaan haji dan umrah dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam keadaan yang harmoni, sihat dan cergas.  Persediaan itu semestinya sudah bermula di Tanah Air paling kurang 3 BULAN SEBELUM berangkat.  Ini tidak bermaksud bahawa Haji Muda terlepas dari cabaran ini. Cuma di dalam posting ini saya merujuk kepada Haji Tua sahaja.  Mari kita selusuri, antara cabaran yang bakal ditempuh oleh Haji Tua dalam menjalani ibadah haji di Bumi Haramian;

(1) KESIHATAN

Cabaran paling besar adalah KESIHATAN. Masalah kesihatan selalu menjadi punca kesukaran untuk menunaikan ibadah secara konsisten. Cuaca yang secara drastik sudah bertukar tentu memberi impak besar kepada mereka yang tidak bersedia dengan ubat-ubatan yang cukup. Inilah satu dari faktor kenapa Klinik Perubatan di Maktab-Maktab tertentu dan Hospital Malaysia di bumi Haramain dibanjiri oleh jemaah haji terutama mereka yang berusia lanjut.

Secara holistik, jemaah haji Malaysia rata-ratanya berusia 55 tahun hingga 90 tahun berbanding yang berusia 55 tahun dan ke bawah. Ini adalah usia pencen dan usia di mana pelbagai penyakit sudah menghinggap. Paling minima penyakit yang “menyerang” Haji Tua adalah demam, batuk dan selsema. Kerana itulah kematian di kalangan jemaah haji Malaysia sangat ramai. Ada yang meninggal semasa di Madinah sebelum ke Makkah. Dalam rombongan kami dari KT 33, Sarawak (Maktab 95), terdapat 3 kematian disenaraikan. Ini belum lagi dari Maktab-maktab yang lain.

Salah seorangnya adalah nenek yang berusia hampir 80 tahun. Saya masih ingat lagi kenangan bersama beliau ketika makan tengah hari berdua di Kursus Haji Perdana di Masjid Sarikei. Tidak sangka nenek itu mendahului kami di awal ketibaan kami di bumi Madinah. Bertuah sekali kerana jasad beliau disemadikan di Perkuburan Baqi’.

Semasa di Makkah pulak, ratusan jemaah haji Malaysia yang berusia lanjut dilaporkan meninggal dan dikuburkan di Perkuburan Ma’ala. Yang lebih sedih apabila terdapat jemaah haji yang meninggal dunia beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Tanah Air. Masya Allah, itukan rezeki umur mereka sudah disurat di Bumi Makkah. Alhamdulillah.

Walaupun kita tidak dapat mengelak ajal yang tiba, sekurang-kurangnya kita telah menjaga kesihatan agar sihat dan berupaya menjalani ibadah di Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Melontar di Mina.

HajiTuaFatima14KlinikdanHospitalTHdiHaramain

Rajah di atas adalah maklumat bagi Klinik dan Hospital Tabung Haji Malaysia di bumi Haramain dan Jeddah yang disediakan untuk semua jemaah haji Malaysia yang memerlukan khidmat perubatan dan kesihatan.

*

(2) AKTIVITI FIZIKAL

Aktiviti-aktiviti yang melibatkan fizikal boleh dibahagikan kepada beberapa perkara iaitu:

a. Perjalanan pergi balik antara hotel dan Masjid (Masjid Nabawi dan Masjidil Haram)

Apabila tubuh sihat tentu fizikal juga kuat dan bertenaga. Haji Tua selalu menghadapi pelbagai cabaran dan halangan. Jika tidak sabar dan tabah menghadapinya pasti akan merasa putus asa dan tidak  bersemangat. Timbul perasaan malas untuk menunaikan solat di masjid. Akhirnya, banyak masa berada di hotel dan persekitaran hotel. Saya perhatikan faktor yang sangat menguji Haji Tua adalah kelemahan fizikal mereka untuk bergerak pantas dalam mengharungi perjalanan pergi dan balik dari hotel dan Masjid.

Lokasi hotel bergantung kepada ketetapan Pengurusan Haji Arab Saudi. Maktab 95 beroperasi di Hotel Sevilla Barakat yang berjarak 750 meter dari Masjidil Haram. Kedudukannya di bawah bukit dan harus mendaki bukit kecil sebelum menurun bukit yang melandai jauh untuk sampai ke Masjidil Haram. Penat selalu terasa apabila mendaki. Walau hanya bukit kecil tetapi terasa jauh dan tinggi dalam cuaca panas dan kering.

Saya amat kasihan melihat pasangan Haji Tua yang harus berpapah lelah tanpa anak atau saudara yang membantu. Sekejap berjalan sekejap berhenti. Susah senang diharung bersama. Sungguh tabah dan mengharukan. Jika berkerusi roda tidaklah terasa penat tetapi yang menolaknya pula kelihatan tidak berdaya kerana harus berhati-hati ketika menuruni bukit. Jika tidak bertahan, akan menggelonsorlah kerusi beroda itu dengan lajunya. Lebih berat apabila menyorong kuat ketika menaiki bukit. Masya Allah.

HajiTuaFatima2JalankeSevilla

Inilah laluan pejalan kaki yang dilalui oleh saya dan SPH setiap hari sejauh 750 m berulang alik dari Hotel Sevilla Barakat ke Masjidil Haram. Kawasan ini merupakan tapak pembinaan tambahan baru Masjidil Haram sejauh 1 km. Hotel-hotel di hadapan sana termasuk Sevilla Barakat dirobohkan untuk laluan pembinaan tersebut.

*

b. Bertawaf

Tanpa kekuatan tubuh, amat sukar untuk bergerak cergas di celah puluhan ribu manusia yang bertawaf dalam satu-satu masa. Berjalan mengelilingi Kaabah dianggar sejauh 1 km dalam keadaan yang sesak. Melakukan tawaf pada waktu kemuncak haji selepas melontar di Mina amat tragis dan “menakut”kan kerana manusia semuanya ingin cepat sehingga berlaku tolak menolak. Keadaan ini tidak dapat dikawal sehingga ada yang boleh “terbang nyawa” jika terjatuh dan dipijak. Tiada siapa yang dapat membantu apabila kita sudah terjatuh kecuali memohon pertolongan Allah SWT.

HajiTuaFatima6TawafKemuncak

Jemaah haji sedang melakukan Tawaf Ifadhah/Tawaf Haji di Dataran Kaabah. Ini adalah waktu kemuncak haji selepas balik dari melontar di Mina.

*

Pengalaman saya bertawaf di Dataran Kaabah terutama apabila mula menghampiri kawasan Hajarul Aswad, hampir beberapa kali terjatuh kerana tolakan yang kuat dari belakang. Allah SWT sahaja yang tahu betapa takutnya saya ketika berada dalam lingkungan yang padat itu. Syukur SPH sentiasa menjaga keselamatan dengan memeluk badan dari belakang. Menghadapi situasi ini memerlukan tenaga yang kuat dan mampu menahan arus. Tambah lagi fizikal jemaah haji dari sebelah Asia Timur dan Asia Tengah  yang sangat besar, kekar  dan tinggi.

Dalam situasi begini, Haji Tua “kurang selamat” melakukan tawaf di Dataran Kaabah. Eloklah mereka bertawaf di Tingkat 1 atau di bumbung Masjidil Haram walaupun jarak berjalan kaki dua kali ganda daripada di Dataran Kaabah dalam waktu sesak. Ramai yang tidak tahu bahawa di Tingkat 1 disediakan kerusi roda otomatik yang boleh dijalankan dengan kuasa bateri, hanya dengan menekan butang on/off.  Perjalanan menjadi lancar dan selamat. Tidak perlu berjalan kaki, bertongkat atau berpapah. Yang penting ketika bertawaf, bahu kiri tetap ke arah Kaabah.

HajiTuaFatima3TawafDiTingkat1alHaram

Foto diambil ketika saya dan SPH sedang melakukan Tawaf Sunat di Tingkat 1 dengan mengambil masa 1 jam 40 minit. Tetapi selamat untuk Haji Tua kerana kawasannya luas dan ada ruang jalan khas untuk menggunakan kerusi roda.

HajiTuaFatima15JalanKhasKerusiRoda

Inilah jalan khas untuk mereka yang menggunakan kerusi roda. Tetapi yang sihat dan cergas tanpa rasa malu dan silu pun menggunakan laluan ini juga bagi memudahkan urusan tawaf mereka sehingga mengganggu mereka yang berkerusi roda. Sungguh tidak bertimbang rasa. Di sini, kita akan melihat polis-polis Arab Saudi menghalau mereka yang sihat dari menggunakan laluan ini.

*

c. Bersaie

Saie bermaksud berjalan berulang alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menurut syarat-syaratnya. Jemaah Haji Tua mesti sihat dan bertenaga kerana berjalan kaki untuk melakukan Saie yang memerlukan jarak sejauh lebih kurang 5 km dalam keadaan sesak. Boleh juga menggunakan kerusi roda agar tidak terlalu penat dan mengupah orang untuk menyorong kerusi roda.

Jika Haji Tua yang berjalan kaki dan merasa penat, mereka boleh berhenti rehat di situ dan minum air Zam-Zam yang banyak terdapat di tepi ruang Saie atau pulang ke hotel untuk istirehat yang panjang. Muwalat (berturut-turut) dalam Saie adalah sunat sahaja Setelah segar bolehlah sambung semula dari tempat yang sama ketika berhenti untuk pusingan Saie seterusnya sehingga selesai. Barulah boleh bertahallul. 

HajiTuaFatima4Saie

Saie setelah melakukan Tawaf Ifadhah atau Tawaf Umrah

*

d. Naik Bas

Perjalanan bas sangat lama walaupun jaraknya hanya beberapa puluh kilometer sahaja. Terdapat 4 kali gerakan menggunakan bas yang harus dinaiki oleh semua jemaah haji iaitu dari Kota Makkah ke Arafah (21.9 km), Arafah ke Muzdalifah (8 km), Muzdalifah ke Mina (6.9 km) dan Mina ke Makkah ( 7 km). Semua perjalanan ini sangat melelahkan kerana sangat perlahan pusingan rodanya. Ada juga yang tersesat seperti bas yang kami tumpangi dari Kota Makkah ke Arafah yang mengambil masa 2 jam.

Menaiki bas juga mempunyai cabaran tersendiri terutama kepada Haji Tua yang berpasangan. Bagi yang ada anak atau saudara keadaan ini tidak terlalu rumit. Haji Tua yang hanya pergi berdua suami isteri sebenarnya lebih banyak “berharap” simpati dari sesiapa yang sudi membantu mereka. Jika tidak, mereka akan selalu ketinggalan. Petugas-petugas haji memang sedia ada membantu tetapi tentu sahaja tidak mampu untuk mengurus jumlah Haji Tua yang terlalu ramai apatah lagi yang ada penyakit. Macam-macam karenah yang harus mereka tangani.

Pengalaman saya  bersama dalam bas dengan beberapa orang Haji Tua cukup menyentuh hati. Saya membuat pemerhatian tentang keadaan jemaah haji Malaysia yang menaiki bas untuk mana-mana tujuan di Masya’ir. Kebanyakannya suka berebut-rebut dan tolak menolak sehingga ada Haji Tua yang terjatuh dari bas akibat tidak bertimbang rasa.

Sungguh malu melihat sikap seperti ini. Sedangkan sudah dimaklumi bahawa setiap bas hanya memuatkan 44 orang penumpang sahaja. Tidak perlu berebut naik dan berebut tempat duduk. Malah ada yang bergaduh dan marah-marah apabila tempat duduknya diambil orang lain. Rupanya ada yang sudah “booking” terlebih dahulu. Allahu Akbar.

e. Melontar Jamrah

Aktiviti melontar Jamrah mempunyai dua pilihan sama ada melontar pada 11 dan 12 Zulhijjah ( bagi yang Nafar Awwal) atau 11, 12 dan 13 Zulhijjah (bagi yang Nafar Thani). Mana kala melontar Jamrah Kubra merupakan amalan pertama yang dilakukan jemaah haji  pada 10 Zulhijjah di Mina sebagai tanda penghormatan bagi Mina.

Cabaran di Mina tidak kurangnya seperti bertawaf. Perjalanan pergi balik selama 3 atau 4 hari sejauh 6 – 10 km berturut-turut memang sungguh memenatkan. Dengan berkumpulnya jutaan manusia menuju satu destinasi untuk melontar tentu dapat dibayangkan kesesakan dan trafik yang berlaku terutama di dalam Terowong Moaisim.

HajiTuaFatima7PintuMoaisimMina

Baru balik dari melontar, memasuk pintu Terowong Moaisim. Jemaah haji bersesak-sesak di dalamnya dan tidak dinafikan timbul rasa “ngeri” kalau berlaku apa-apa di dalam terowong yang sejauh 1 km ini.

HajiTuaFatima8TerowongMoaisimMina

Berada di dalam Terowong Moaisim yang penuh sesak dengan ribuan jemaah haji

*

Haji Tua memerlukan kesabaran yang tinggi dan semangat yang jitu untuk berjalan kaki sejauh 6 km. Kerana itulah, banyak Haji Tua yang terpaksa mewakilkan orang lain melontar untuk mereka. Itupun setelah mendapat pengesahan dari Pegawai Agama atau doktor perubatan. Haji Tua yang sakit dinasihat menggunakan kerusi roda yang dibawa dari Kota Makkah. Namun begitu, khidmat menyewa kerusi roda juga terdapat di Mina tetapi harus berhati-hati kerana adanya penipuan harga yang melambung tinggi.

Pernah berlaku di depan mata saya sepasang Haji Tua yang isterinya sudah tidak lagi berdaya untuk berjalan. Mereka berjalan di depan saya dan SPH. Mereka sungguh bersemangat untuk pergi melontar dalam keadaan yang penat dan tua. Tiba-tiba datang seorang lelaki berwajah Arab dengan kerusi roda kosong menghampiri dan menawar khidmat menyorong Mak Haji Tua tersebut. Setelah ditawar harga oleh seorang jemaah haji Malaysia yang boleh bertutur dalam Bahasa Arab, harga yang dipersetujui oleh lelaki Arab tersebut adalah 350 Riyal Saudi.

Ditanya kenapa harganya sangat mahal, dijawab kerana susahnya menyorong dalam keadaan sesak dan jauhnya jarak sehingga ke hadapan khemah. Saya tidak tahu bagaimana Haji Tua suami isteri itu membayar wang tersebut. Saya sungguh merasa kasihan dan tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka ditinggalkan kerana perjalanan harus diterus untuk menunaikan ibadah melontar.

HajiTuaFatima9JamrahUla

Jemaah haji sedang laju menuju ke Jamrah Ula bagi melontar pada hari Tasyrik 11 Zulhijjah

HajiTuaFatima10JamrahThani

Jemaah menyerbu beramai-ramai ketika melontar di jamrah Wusta/Thani. Berhati-hati ketika melontar di bahagian tengah. Pilih di bahagian tepi sekali, di situ tidak ramai yang melontar kerana sudah beransur pulang.

*

(3). EMOSI

Memelihara emosi bagi Haji Tua amat penting supaya tidak banyak tekanan yang dipikul sepanjang perjalanan rohani ini. Tidak dapat disangkal emosi akan melonjak naik kepada sesiapa sahaja dalam keadaan yang tidak menyelesakan kecuali bagi mereka yang sudah bersedia dengan segala ujian yang bakal dihadapi.

Tekanan emosi sering berlaku kepada mereka yang menghidapi penyakit sama ada ringan atau kronik. Penyakit-penyakit ini menimbulkan masalah untuk melakukan ibadah dengan sempurna. Haji Tua hendaklah tabah dan sabar ketika sakit mula “menyerang” diakibatkan oleh cuaca, keletihan badan, kekurangan air dan garam dalam badan, makan minum yang kurang teratur, tempat tinggal sesak, kurang rehat dan lanjut usia. Kondisi ini membawa kepada penurunan ketahanan badan.

Selain dari faktor sakit ringan di atas, ada Haji Tua yang mempunyai penyakit kronik yang stabil yang dibawa bersama sejak dari Tanah Air seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, asma, sakit buah pinggang dan sakit-sakit sendi. Tentu sahaja dengan pelbagai jenis penyakit ini akan memancing emosi yang tinggi seperti marah, menangis, muram, cepat merajuk, sedih dan melakukan perkara yang memeningkan pasangan, anak, saudara dan teman-teman.

Mereka yang berdekatan dengan Haji Tua yang didatangi emosi haruslah banyak bersabar dan menenangkan mereka dengan kata semangat dan motivasi yang tinggi. Berkata baik dan berdoa utnuk mereka agar mereka diberi kekuatan dan ketenangan menghadapi segala ujian yang melanda.

HajiTuaFatima14NekDairah

Nek Dairah, 77 tahun ( yang di depan) berada dalam khemah semasa wukuf di Arafah

*

Saya pernah menghadapi beberapa Haji Tua yang sedang dilanda kemurungan dan kesedihan apabila mereka ditimpa sakit dan tertekan. Antaranya, pengalaman dengan Nenek Dairah (77 tahun), teman sebilik dan sejiran katil dengan saya amat bermakna sepanjang di Makkah. Pertemuan pertama kami di tengah malam pada hari pertama di Makkah tidak dapat saya lupakan. Nek Dairah yang baru keluar dari Hospital di Madinah, kelihatan sangat murung dan tidak bermaya ketika memasuki Bilik no. 927.

Bermula malam itu, saya menjadi motivator kepada beliau sebelum tidur dan meminta beliau selalu berdoa kepada Allah untuk selalu sihat dan cergas. Alhamdulillah, hasil yang sangat menakjubkan apabila Nek Dairah disahkan sihat oleh Pegawai Perubatan Tabung Haji yang membuat pemeriksaan kepada Haji Tua setelah beberapa minggu di Makkah. Nek Dairah memang nenek yang hebat. Akan saya ceritakan kisah beliau di posting mendatang jauh.

PesanFatimaku

KEPADA BAKAL HAJI TUA

Jagalah kesihatan dengan baik sejak di Tanah Air. Bakal haji yang berumur 60 tahun dan ke atas, perlu membuat pemeriksaan kesihatan 6 bulan atau lebih sebelum bertolak ke Tanah Suci untuk mengenal pasti lebih awal status kesihatan dari aspek mental, fizikal dan pemakanan.

Selain itu dapat memberi rawatan awal dan mengenal pasti keperluan khas seperti peralatan perubatan dan ubat-ubatan. Jangan mengambil risiko setelah berada di Tanah Suci kerana kemungkinan akan mendatangkan mudharat yang membawa kepada penahanan rawatan di hospital sepanjang masa atau kematian yang tidak dijangkakan.

Haji Tua yang sihat tentu sahaja mudah untuk melaksanakan aktiviti fizikal secara cergas dan bertenaga. Saya perhatikan terdapat Haji Tua yang penuh  bersemangat mengerjakan segala ibadah haji dan umrah. Jiwanya penuh kebahagiaan dan berusaha untuk melaksanakan segala ibadah dengan bersungguh-sungguh.

Walaupun dilihat dari aspek fizikalnya lemah tetapi jiwanya sangat kental dan kuat. Sedangkan semasa di Tanah Air kelihatan tidak bermaya tetapi sebaik tiba di Bumi Haramain keadaan sebaliknya berlaku. Sangat cergas dan sihat. 

HajiTuaFatima5DataranMasjidilHaram

Suasana sesak selepas solat Isyak di Dataran Masjidil Haram sebelum balik ke Hotel Barakat

*

BANYAK BERDOA

Saya yakin semua itu berlaku kerana doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Mohonlah bantuan dari Allah, nescaya kita akan dapat pertolongan yang tidak disangka-sangka yang datang dari pelbagai arah. Saya ingin berpesan kepada Haji Tua agar jangan berputus asa berdoa dengan Allah SWT untuk kecergasan diri, kuat fizikal dan sihat wal’afiat sepanjang berada di Bumi Haramian.

Berdoalah agar dimudahkan Allah SWT segala urusan melaksanakan ibadah haji dan umrah. Urusan kehidupan dan komunikasi dengan manusia. Berdoalah banyak-banyak. Yakin dan percaya bahawa doa yang dipanjat akan mendapat perhatian Allah.

Kita ini adalah TETAMU ALLAH. Tentu sahaja Allah akan memberi apa yang diminta, sesuai dengan apa yang Allah kehendaki. Tunduk, redha dan sabar dengan segala ujian Allah sepanjang di Tanah Suci, pasti mendapat ganjaran yang besar dan nikmat yang hebat. Banyakkan membaca al-Quran dan berzikir agar hati akan sentiasa tenang, damai dengan mengingati Allah SWT

DoaFatimaku1

POSTING YANG LALU

Untuk mendapat sedikit maklumat yang berkaitan dengan tulisan ini, pembaca juga boleh link ke posting saya yang lalu seperti berikut:

1. CT86. FORMULA JERIS

2. CT109. CABARAN HAJI (1): BATUK

3. CT110. CABARAN HAJI (2): CUACA

SEMOGA BERMANFAAT

****************

26  MAC 2013 (Selasa)/ 14 Jamadil Awwal 1434H/ 8.46  pagi – Sarikei, Sarawak

AKU…. tidak pernah melupa kenangan indah bersamamu. Jauh jarak waktu bukan pemisah buat hati menyatu. Inginku kembali pada masa lalu yang pernah wujud antara kita, entah bila akan kembali bersua. Duhai Yang Menyentuh Hati…. ke mana-mana aku berada, di situ cinta ku bertahta. Ke mana-mana aku berhenti, di sana sayang ku tidak pernah pudar. Setiaku menanti sebuah pertemuan indah di bumi barakah yang penuh hikmah kebesaran-NYA.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

KasutTawafFatima7TetamuAllahMakkah

KENANGAN MANIS SELALU TERTANAM DI HATIKU, TIDAK AKAN PERNAH HILANG

22 thoughts on “CT160. CABARAN HAJI (11): HAJI TUA

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Mohonlah keredhaan Allah untuk kemenjadian hidup sebagai muslim sejati. Dialah yang memperkenankan segala doa kita. Jangan berputus asa dengan rahamat-NYA. Aamiin.

    RADHITU BILLAHI RABBA by MAHER ZAIN

    DEDIKASIKU UNTUKMU…. Kehidupan ini selalu memberi makna kedamaian buat kita andai kita tahu menyemai cinta di hati dan menyiraminya dengan sayang yang melaut semata-mata kerana Allah SWT. Salam doa kebahagiaan buatmu yang selalu ada di hatiku.

    Wassalaam. 😀

  2. sangat kasehan ya Kak para Haji Tua,, tapi subhanallah, dapat kita petik hikmah semangat mereka..

    salut kepada haji yang Allah takdirkan meninggal di sana, meinggal di bumi Rasulullah. ada rasa iri, ingin juga seperti beliau, namun ku akui ada rasa ragu..

    • Memang banyak hikmah yang dapat dipelajari sepanjang di bumi Haramain. Di bumi Haramain, doanya sangat mustajab. Sesiapa berdoa akan dimakbulkan doanya. Kerana itulah saya lihat ada Haji Tua yang sakit-sakit di Tanah Air, tetapi di sana mereka sangat cergas dan kuat.

      Subhanallah,mati di sana menjadi harapan bagi umat Islam dan Rasulullah SAW menggalakkan kita berdoa untuk mati di bumi Haramain. Namun, semuanya dalam izin Allah jua.

      Terima kasih mbak.
      Salam manis selalu. 😀

  3. mbak fat jadi mengengatkan saya, usia segitu juga saya ditinggal bapak dan ibu pergi haji.

    tentang haji di indonesia sekarang yg muda muda banyak yang pergi haji. namun sekarang di indonesia setelh daftar haji baru bisa diberangkatan setelah lima tahun menunggu.

    • Wah…, mbak juga mempunyai pengalaman zaman kanak-kanak seperti saya. Kenangan yang tentu tetap kekal di hati.

      Benar mbak, selama di sana saya melihat ramai jemaah haji Indonesia yang muda-muda. Mengerjakan haji masa usia muda sangat digalakkan kerana tenaga masih kuat, cergas dan cerdas. Tetapi cabarannya juga besar mbak. Akan saya tulis tentang Haji Muda di posting seterusnya.

      Kalau di Indonesia lima tahun, tetapi di Malaysia lagi lama. Ada yang menjangkau puluhan tahun untuk dapat menunaikan haji setelah mendaftar. Tapi tahun itu hanya cadangan sahaja. Jika duit sudah cukup dan mahramnya juga sudah ada, kemungkinan, pergi haji akan cepat dari masa yang ditentukan oleh jadual komputer Tabung Haji.

      Terima kasih mbak.
      Salam bahagia. 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Neni yang baik…

      Masya Allah, puji Allah SWT dulu Neni baru Umi. 😉
      Alhamdulillah, senang dengan sapaan Neni yang semakin sibuk dengan pengajian saat ini.

      Umi doakan sukses dan bersungguh-sungguh belajar.
      Salam sayang dan rindu juga dari Umi. 😀

      • iya umi, neni ucapkan banyak2 terima kasih pula ke ummi, karena senantiasa mendo’akan demi kejayaan ananda, jadi terharu dan bangga punya ummi dinegeri seberang, peluk dan cium untuk ummi..

        mmmuuuuuuaaaaaacccchhhhhhh 😉

        salam rindu dan salam hangat
        dari ananda diMakassar, Sul-sel

  4. Assalamualaikum,
    Kenangan manis bersama Pak Nek (kakek kalau di Indonesia 🙂 saat menghantar pergi haji itu, tulisanya indah nian Mbak Fatimah..Saya jagi ingat pada kakek saya yang belum sempat ke tanah suci tapi sudah keburu meninggal. Kalau nenek (Mak Nek) saya masih sempat..Dan waktu itu suasananya juga riuh rendah..Antara sedih harus berpisah dan berbahagia akhirnya nenek berangkat haji.

    TFS saya jadi ingat pada kedua almarhum sekarang. Betapa rindu pada mereka 😉

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi…

      Alhamdulillah, memang kenangan dengan kedua almarhum kita tetap dalam ingatan yang berpanjangan. Mudahan mereka dimuliakan Allah di sisi-NYA dan aman di sana. Aamiin.

      Kalau dilihat suasana sekarang, amat berbeza sekali. Keriuhannya bukan lagi di stesen bas tetapi di airport pula.

      Kalau saya dahulu, keriuhan hanya ada di rumah sahaja. Tidak sanggup melihat keluarga yang ditinggalkan jika mereka bersama di airport.

      Terima kasih mbak Evi atas kongsian rasanya.
      Salam senyum dan ceria selalu. 😀

  5. Assalamu’alaikum Wr. Wb…

    Subhanallah… ini kisah dalam Cabaran Haji yang ke-11, sudahkah dibukukan kisah-kisah Cabaran Haji-nya Mbak? Sangat bermanfaat bagi siapa saja yang sudah maupun belum berhaji. Khusus Cabaran Haji (11): Haji Tua, saya salut pada mereka. Meski sudah kategori “tua” tapi masih punya semangat “muda” dalam beribadah. Mudah-mudahan Allah Swt memberikan balasan pahala yang berlimpah.

    Salam penuh kebahagiaan di penghujung pekan untuk Mbak sekeluarga.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Raden…

      Menulis tanpa buku dululah baru dibukukan. 😀
      Memang banyak cabaran haji yang akan saya tulis. Semua ini untuk membantu bagi memudahkan kefahaman dan menambah ilmu bagi yang belum pergi haji. Saya gembira jika pengalaman yang sedikit ini dapat memberi impak besar untuk semua yang membaca.

      Benar, walaupun haji tua tetapi semangat mereka kadang kala mengalahkan haji muda. Cabaran haji muda bagi saya lebih besar dan hebat sekali. Insya Allah akan ditulis pada episod akan datang.

      Terima kasih mas Raden.
      Salam hormat selalu. 😀

  6. Benar sekali bu. Melaksanakan haji diusia lanjut menjadi tantangan tersendiri bagi jamaah yang bersangkutan maupun bagi pihak pemerintah. Beda sekali bagi mereka yang berusia muda dimana tenaga masih kuat sehingga untuk beribah juga masih mudah.

    Tetapi kenyataan di lapangan dapat kita lihat para jamaah yang berusia lanjut semakin banyak saja disebabkan kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Saudi Arabia sehingga kadang perlu menunggu beberapa tahun utk melaksanakan ibadah haji karena menunggu jatah kuota tersebut.

    Hal demikian haruslah membuat calon jamaah untuk tetpa bersabar dan menyerahkannya kepada kuasa Allah SWT.

    • Kuota juga merupakan satu faktor yang melambatkan kepergian haji sehingga harus menunggu bertahun-tahun untuk disenaraikan nama yang bakal mengerjakan haji. Namun, kita harus ingat “jemputan Allah” adalah yang menjadi sebab kita menjadi tetamu Allah SWT.

      Kenaikan harga tambang, hotel dan lain-lain yang ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab mengurus pakej haji ini turut menyumbang kepada kelambatan untuk menunaikan haji selain dari sedikitnya wang yang disimpan setiap bulan sehingga mencukupi harga yang ditetapkan.

      Insya Allah, jika duit sudah cukup dan jemputan Allah sudah hadir menyapa, pasti tahun kuota yang ditentukan jauh ke depan akan datang dengan segera. Yang penting duit itu mencukupi kemampuan untuk berhaji.

      Berdoalah Ifan dan jangan lupa menabung untuk menunaikan haji dalam usia muda. Banyak perkara yang mudah dilakukan apabila badan kita sihat, cergas dan kuat.

      Terima kasih Ifan atas kongsian yang bermanfaat.
      Salam sejahtera. 😀

  7. Assalamu ‘alaikum Wr. Wb…..

    Subhanallah….
    Sungguh bermanfaat khususnya bagi saya, yang Insya Alloh pada tahun ini saya bersama istri mendapat panggilan dari Alloh Swt.

    Kebetulan calon jama’ah dari daerah kami banyak yang berusia lanjut (lebih dari 55 tahun). Dari coretan yang Bunda suguhkan pada edisi ini bisa menjadikan referensi sebagai bekal bagi kami khususnya untuk bisa berbagi cerita supaya amalan yang insya Alloh akan kerjakan dapat berjalan maksimal, sehingga bisa mengerjakan rukun, wajib, dan sunnah haji dengan mudah tanpa ada aral rintangan yang berarti.

    Ada baiknya jika Bunda bersedia untuk mempublikasikan kisah-kisah Cabaran Haji dalam bentuk buku karena tidak semua calon jama’ah haji menguasai teknologi internet. Insya Alloh saya akan menjadi pemesan pertamanya Bunda ….

    Salam sejahtera pada kunjungan awal April untuk Bunda, beserta keluarga di Sarakei-Serawak…

    Wassalamu ‘alaikum Wr. Wb.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Aziz…

      Hehehe… Ini cadangan kedua disuguhkan kepada saya untuk dibukukan cerita cabaran haji ini. Mudahan terlaksana dengan izin Allah, andai ia bermanfaat buat semua. Aamiin. 😀

      Alhamdulillah, saya juga berharap mas Aziz, isteri dan bakal jemaah yang lain dapat mengambil sedikit pengalaman yang saya coretkan untuk melakukan persediaan yang lebih baik daripada saya sebelum ini.

      Syukur kepada Allah SWT, segala manasik haji di semua masya’irnya telah dimudahkan Allah SWT tanpa sebarang kesukaran. Banyakkan berdoa, yakin dan ikutilah pelajaran haji dengan sempurna dan bijaksana.

      Cabaran ilmu amat besar kepada semua bakal haji kerana tanpa ilmu pasti haji tidak sempurna. Saya doakan mas Aziz dan isteri juga akan dimudahkan Allah untuk persediaan haji ini. Aamiin.

      Terima kasih atas perhatian baik buat tulisan dan pengalaman saya.
      Salam sejahtera kembali. 😀

  8. Pingback: CT164. CABARAN HAJI (13): HAJI MUDA | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  9. Pingback: CT190. WAJAH MASJIDIL HARAM AKHIR ZAMAN (3): MAKKAH 2011 (2) – KEMUDAHAN HAJI 2011 | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.