CT457. KEGAGALAN ADALAH HADIAH PALING BERHARGA DARI TUHAN

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

KEGAGALAN adalah satu perkara yang sangat menarik untuk dibicarakan. Tanpa KEGAGALAN kita tidak dapat meraih KEJAYAAN dengan cemerlang. Kita juga tidak akan mencapai kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya.

*

Hargailah setiap KEGAGALAN dengan membina peluang yang lebih banyak dari setiap ruang kehidupan dan selagi nyawa masih dikandung badan. Jika kita teliti, mungkin KEGAGALAN yang kita alami tidak seteruk dan sesulit orang lain yang kebanyakannya mengambil jalan mudah dengan membunuh diri. Masih ada cara untuk kita menebusnya.

*

Jangan tangisi KEGAGALAN yang hadir tetapi SENYUMLAH dengan cekal sambil menyedari  bahawa KEGAGALAN itu adalah HADIAH PALING BERHARGA DARI TUHAN untuk merubah diri, pemikiran dan sikap agar lebih bersemangat, tidak putus asa dan membangkitkan jiwa dengan kental untuk mengutip KEJAYAAN seterusnya.

*

Jangan pernah merasa malu dengan KEGAGALAN yang dialami selagi kita mahu untuk mengubahnya. Yang patut kita malu adalah KEGAGALAN yang tidak pernah mahu diusahakan lagi kerana hilang keyakinan diri. Jatuh bangun hidup kita pasti ada perkara yang gagal dilakukan hanya kita sedar dan tidak sedar sahaja.

*

Ingatlah….. hidup ini dipenuhi dengan PERJUANGAN. Hanya orang yang tidak mengenal GAGAL sahaja yang mampu meneruskan hidup dengan BAHAGIA di dunia ini. Mudahan orang itu adalah KITA.

*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima13 November 2017 (Isnin)/ 24 Safar 1439H/ 13.10 petang, Bintangor, Sarikei, Sarawak

– SITI FATIMAH AHMAD –

 

14 thoughts on “CT457. KEGAGALAN ADALAH HADIAH PALING BERHARGA DARI TUHAN

  1. Assalamualaikum bu Hajjah Fatimah. Kegagalan sebuah qadarullah, bahwa Allah maha kuasa atas segalanya. Semoga kita sebagai hambanya dapat menerima dengan sabar dan ikhlas. Tak lupa terus berikhtiar.
    Salam hangat dari Jakarta Pusat 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany….
      Jalan kejayaan masih banyak menunggu di depan. Jangan pernah berputus asa jika apa yang diimpikan belum tercapai. Usaha tangga kejayaan. Mudahan dengan sabar dan ikhlas menjadikan kita semakin bersemangat ya.

      Salam hangat kembali dan terima kasih sudah berkunjung, mbak Frany. 🙂

  2. Assalamualaikum warahmatullah ummi siti fatimah. Moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Terima kasih di atas entry yang sangat baik, yang memberikan ‘harapan’ kepada pembaca. Saya jua turut terkesan dengannya bilah-bilah perkataannya.

    Ada ketikanya kita juga perlu merasai saat-saat kegagalan dan kekecewaan. Pelik bunyinya bukan? Tetapi adakah sesiapa yang mahukan kegagalan.. Sudah tentu tidak, akal yang waras tidak mungkin mahukan kegagalan. Namun, kadang-kadang kegagalan lebih manis daripada kejayaan. Saat kegagalan menyedarkan kita bahawa kita hamba-Nya yang lemah dan kekurangan. Justeru, kegagalan menyebabkan kita mudah dan mahu mengadu kepada-Nya. Kita semakin dekat dengan-Nya. Di situlah letak manisnya… sekadar sedikit komentar penambah perisa…

    Salam ukhuwah dari Kuantan

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Abu Ikhwan….

      Alhamdulillah, Umi dan keluarga baik2 sahaja. Didoakan Abu Ikhwan dan keluarga senitiasa dlam rahmat dan lindungan Ilahi sepanjang masa di dunia dan di akhirat. Aamiin.

      Betul… orang yang tidak pernah rasa gagal, sakit dan kecewa akhirnya menjadi sombong. Contoh sahaja Fir’aun yang disebut di dalam al-Quran. Melalui pengalaman kegagalan kita dapat merasai pahit getir dan perit jerihnya untuk kembali bangun membina kejayaan yang baru. Jika tidak mengenal putus asa pasti akhirnya menemui kejayaan yang lebih baik dari kejayaan sebelumnya. Umi sudah merasai beberapa pengalaman kegagalan tersebut lalu dapat merasai apa yang dirasai oleh orang lain. Allah tempat mengadu paling agung, maka kembalilah kita kepada-NYA.

      Terima kasih Abu Ikhwan sudah berkongsi idea yang bernas. Semoga sukses selalu dalam berdakwah. Salam takzim hendaknya.

    • Allah menguji hamba-NYA untuk melihat sejauh mana ketakwaan kita kepada-NYA dan sesabar mana kita menempuh kegagalan demi kegagalan sebelum dianugerahkan kejayaan cemerlang yang tidak kita sangka. Selagi ada usaha selagi itu pintu kejayaan akan terbuka untuk mereka yang tidak pernah berputus asa.

      Terima kasih Etuza sudah berkunjung perdana ke LMGS G2.
      Salam kenal dan salam sejahtera.

  3. Assalamualaikum wbt Ustazah. Alhamdulillah saya sudah selesai membaca penulisan ustazah di bawah tajuk “Kegagalan adalah hadiah paling berharga dari Tuhan”. Jujur saya katakan saya amat setuju dengan penulisan ustazah dalam ruangan kali ini iaitu ramai insan yang menganggap kegagalan adalah sesuatu musibah dan ada juga yang lebih teruk menganggap kegagalan adalah satu bala yang menimpa diri mereka. Hal ini dibuktikan dengan berita-berita yang sering kita dengar di kaca televisyen bahawa ramai manusia yang membunuh diri akibat berhadapan dengan satu kegagalan.

    Namun, seperti mana yang dituliskan oleh Ustazah dalam penulisan kali ini, kita seharusnya tidak menganggap sesuatu kegagalan merupakan satu musibah buat diri kita. Hal ini kerana kegagalan merupakan satu titik permulaan bagi kita untuk mengubah kegagalan yang kita alami ke arah sesuatu yang lebih baik. Hal ini boleh saya buktikan ketika saya masih belajar di sekolah menengah, jujur saya katakan saya sangat lemah dalam subjek matematik sehinggakan saya mendapat keputusan gagal dalam setiap ujian penggal sehinggalah awal tahun ketika saya berada di Tingkatan 5. Namun, dengan usaha saya sejak dari awal kegagalan lagi, bermulanya tengah tahun saya Tingkatan 5 saya dapat lulus dalam ujian Matematik termasuklah ujian percubaan SPM. Sehinggalah keputusan SPM sebenar saya berasa amat bersyukur kerana saya telah mencapai gred yang melampaui target saya untuk subjek matematik tersebut.

    Sejak dari itu, saya menanamkan dalam diri saya bahawa tiada apa yang mustahil asalkan kita percaya bahawa kegagalan bukanlah satu musibah, namun ianya merupakan satu ganjaran yang berharga yang Allah berikan kepada kita. Berdasarkan ayat al-Quran iaitu:
    “Maka sesungguhnya beserta kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya beserta kesulitan itu ada kemudahan.” (QS. Asy-Syarh [94]: 5-6).

    NUR IZYAN SYAZIANA BINTI USOP
    PA SK(2) PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

  4. Assalammualaikum ustazah. MasyaAllah saya berasa sangat setuju dengan penulisan indah ustazah ini. Memang benar kegagalan merupakan hadiah paling berharga dari Tuhan dan sangat bermakna dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana tiada seorang pun manusia di dalam dunia ini yang tidak pernah mengalami fasa kegagalan dalam hidup. Begitu juga saya. Saya teringat kembali yang saya sering keputusan yang gagal dalam mata pelajaran matematik tambahan ketika di alam sekolah menengah dahulu. Saya berasa cukup kecewa sehingga pasrah. Namun apabila saya fikirkan balik, belum terlambat untuk saya mengubah nasib sebelum menduduki SPM. Saya berusaha dan dalam diri hanya fokus untuk memperoleh keputusan lulus sahaja dalam SPM nanti. Alhamdulillah saya berasa amat teruja saya berjaya lulus dalam SPM. Walaupun hanya sekadar lulus namun ianya cukup membahagiakan saya yang selama ini hanya memperoleh gagal dalam setiap ujian. Dari situ, saya sentiasa bangkit untuk terus berusaha dan tidak mudah kecewa dengan kegagalan.

    Secara logiknya, tiada manusia yang mahukan kegagalan dalam hidup dan semuanya inginkan kejayaan. Namun, kita sering lupa walhal dengan adanya kegagalan kita akan tidak berasa sombong dan sentiasa sedar bahawa dalam kehidupan ada pasang surutnya. Hidup ini umpama roda, ketika kita berada di bawah maka bangkitlah kerana Allah SWT dan tatkala kita berada di atas jangan lupa bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan.

    NUR AQILAH KHALIQAH BINTI JEMAT
    PISMP PIM SK (2) JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

  5. Assalammualaikum Ustazah. Allahuakbar. Perkongsian kali ini cukup ringkas namun padat. Benar apa yang dikatakan ustazah. Kegagalan yang berlaku dalam kehidupan kita merupakan hadiah paling berharga. Kegagalan tersebut menjadi asbab kepada perubahan dalam diri kita. Ini kerana, ia membuka mata kita untuk menganalisis dan mengubah kesilapan yang telah kita lakukan. Contohnya, gagal dalam subjek Matematik pada peperiksaan percubaan SPM boleh menjadi faktor kita mendapat A+ dalam peperiksaan SPM yang sebenar. Ini kerana, kegagalan tersebut memberikan kita satu semangat yang baharu untuk mengubah diri sendiri ke arah yang lebih baik.

    Kegagalan bukan lah satu penghinaan, namun ia merupakan satu insiden yang menguatkan diri kita dari segi tekad dan sebagainya. Jika kita lihat tokoh-tokoh di dunia ini, seperti Mark zuckerberg pengasas FaceBook dan Colonel Sanders pengasas KFC. Mereka juga melalui proses kegagalan. Bukan sekali, namun berkali-kali. Akan tetapi, mereka tetap kuat dan bangun dari kegagalan menuju ke kejayaan yang luar biasa.

    Oleh itu, berdasarkan perkongsian ustazah. Terdapat beberapa pengajaran dan nilai yang boleh diambil. Antaranya adalah, kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh dalam kehidupan agar dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Nilai yang diperolehi daripada perkongsian ustazah adalah nilai bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa.

    Muhammad Aqil b Aziz
    PISMP PA (2) Jun 2020
    Semester 3 IPGK Batu Lintang

  6. Assalamualaikum ustazah, alhamdulillah saya sudah selesai membaca penulisan ustazah yang cukup memberi makna yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Saya dapati bahawa kegagalan yang telah berlaku dalam kehidupan kita ini adalah merupakan sebuah pengajaran agar kita dapat mencorakkan diri kita serta dapat menjadikan diri kita sebagai seorang yang cekal dan tabah dan mematang kan diri dari masa ke semasa kerana mungkin dengan terjadinya sebuah kegagalan itu dalam hidup seseorang akan menyedarkan seseorang dan mengubah hidup seseorang tersebut. Mungkin sebuah kegagalan itu adalah merupakan suatu perjalanan yang baik yang perlu untuk kita lalui dan hadapi apabila kita ingin mencapai sesuatu kejayaan yang kita inginkan.

    Antara kegagalan yang saya hadapi ketika saya masih belajar di sekolah menengah adalah pada subjek Perakaunan. Saya dapati saya sukar untuk memahami konsep-konsepnya dan jalan kerjanya dan pada setiap kali kelas untuk subjek tersebut saya akan menangis terlebih dahulu di tandas sekolah kerana saya sangat takut akan guru saya pada saat itu kerana saya tidak dapat menjawab soalan-soalannya apabila ditujukan kepada saya sewaktu di dalam kelas. Perkara itu terjadi pada saya dari awal tahun hingga ke akhir tahun dan ini membuat kan saya rasa lelah dan ingin berputus asa pada ketika itu. Akan tetapi atas sokongan dan dorongan daripada ibu bapa dan rakan-rakan saya, alhamdulillah saya dapat menghabiskan pembelajaran saya walaupun keputusan SPM saya untuk subjek Perakaunan tidak begitu memberangsangkan. Saya dapati walaupun saya menghadapi kegagalan pada ketika itu tetapi saya mempelajari untuk lebih tabah dan berusaha dalam sesuatu perkara serta saya dapat menyimpan kenangan yang manis pada setiap satu perjalanan saya bersama rakan-rakan dan guru saya.

    Oleh itu, kita janganlah terlalu sedih dengan suatu kegagalan kerana mungkin di sebalik kegagalan itu tersoroknya pelangi yang akan muncul tepat pada masanya atas usaha dan doa daripada diri kita sendiri. Apabila kita menghadapi detik kegagalan itu, kita perlulah menyiapkan diri kita dari segi fizikal dan mental agar kita dapat tabah mengharunginya dan berusaha untuk menuju kepada kejayaan.

    NURIN QAMILLIA BINTI MOHD RIZAL
    PA SK(2) PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.