CT258. UMRAH WAJIB (3): TAWAF DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

LKaabahFatima1TawafKaabah

*

BIMBANG

Setelah berjalan melalui ruang hadapan dalam bangunan lama Masjidi Haram, kumpulan kami di bawa menuju ke tempat LAMPU HIJAU. LAMPU HIJAU adalah arah sudut HAJARUL ASWAD sebagai penanda permulaan dan penamat pusingan TAWAF. 

Mata saya mencari LAMPU HIJAU dari tempat saya berdiri. Memang tidak dapat dilihat kerana LAMPU HIJAU berada di atas palang tiang bahagian luar dari tempat saya berdiri. Namun saya dapat melihat jelas sudut Hajarul Aswad. Hanya beberapa meter di hadapan.

Debaran kuat mengocak hati saya ketika hendak memulakan pekerjaan Tawaf. Walaupun sudah menjalani banyak kursus haji semasa di Tanah Air, membaca buku yang berkaitan ibadah haji dan umrah, mendengar ceramah di tv atau You Tube, namun saya masih rasa gementar.

Kerana apa ? Bimbang ibadah saya tidak diterima Allah. Bimbang terlupa jumlah pusingan. Bimbang terjatuh ketika sedang bertawaf. Bimbang dipijak orang dan mati !!!!!! seperti yang pernah saya dengar dari mulut orang yang pernah pergi haji dulu. Bimbang apa lagi ya….aduh banyaknya BIMBANG.

Semua perasaan berkecamuk dalam hati. Mungkin perasaan itu wujud kerana bisikan syaitan yang tidak mahu hamba Allah melakukan kerja ibadah Tawaf dengan yakin.

Mengingatkan perkara tersebut saya cepat-cepat membuang rasa bimbang walaupun tidak sepenuhnya. Saya mahu melakukan ibadah dengan yakin untuk mendapat keredhaan Allah bukan sebab “terpaksa” dan takut apa atau siapa. Saya beristighfar dalam hati.

*

TawafFatima2LampuHijauHAswad1

Lampu Hijau di Dataran Kaabah

*

TawafFatima3LampuHijauHAswadT2

Lampu Hijau di Tingkat 2 dan Tingkat 3

*

BERSEDIA

“Sudah bersedia untuk bertawaf ?” tanya SPH sambil memandang saya. “Iya.” jawab saya ringkas. Saya dapat merasa getaran suara saya ketika memberi jawaban itu.

“Baca dulu lafaz Niat Tawaf Umrah, kemudian niatkan di dalam hati,” pesan SPH. “Ok.” balas saya dalam debaran. “Allahu Akbar,” bisik saya menahan debar di dalam. Sungguh teruja untuk melakukan ibadah tawaf ini.

Saya dan SPH melangkah beberapa anak tangga untuk turun ke Dataran Kaabah yang sedang sibuk dikerumuni para hujaj yang bertawaf, bersolat dan berdoa. Kami masuk dalam kumpulan yang masih menunggu ahli lain untuk berkumpul di tepi dataran.

Mutawwif berinteraksi dalam bahasa Arab meminta semua ahli kumpulan memasang niat Tawaf Umrah sebelum mengetuai pekerjaan Tawaf. Kami saling ingat mengingati agar semuanya bersedia untuk bertawaf.

SPH mengingatkan saya agar sentiasa memastikan bahu kiri menghadap Kaabah dengan badan berjalan di hadapan. Jika tersasar kerana dilanggar jemaah lain, cepat-cepat betulkan kembali. Saya mengangguk tanda faham. 

Mata saya memandang arah Kaabah yang tinggi dan besar. Saya melihat jumlah hujaj yang melakukan Tawaf pagi ini belum ramai. Dataran Kaabah masih kelihatan lengang.  SPH mengajak saya memulakan niat.

Kami berdiri menghadap Kaabah. DISUNATKAN menghadap kaabah pada permulaan Tawaf iaitu menjadikan Hajarul Aswad berada di kanan. Setelah itu barulah berpindah pula untuk menghadap Hajarul Aswad dan berniat tawaf (tawaf Umrah atau tawaf Qudum).

Kerana Hajarul Aswad itu jauh dari kami dan sedang dikerumuni ramai jemaah, kami hanya istihlam (mengisyaratkan kucup) kepadanya dengan menggunakan kedua belah tangan sebanyak sekali sahaja sambil membaca (بسم الله والله أكبر) – Bismillah wallahu Akbar. Kemudian kami memulakan tawaf mengikut Mutawwif.

*

LKaabahFatima3LafazNiatTawafUmrah*

TAWAF UMRAH

Mutawwif memulai pusingan Tawaf dengan bacaan yang sama seperti di dalam buku kecil – HIMPUNAN DOA-DOA TERPILIH DI TANAH SUCI – dari pusingan pertama hingga pusingan ke tujuh. Beliau benar-benar hafal setiap doa yang dibaca.

Kami di belakang mengikut setiap bacaan Mutawwif yang cuba dikuatkan suaranya agar jemaah kami dapat mendengar dan mengikuti bacaannya dengan jelas. Sekali sekala saya merujuk kepada buku doa apabila bacaan itu kurang jelas di telinga saya. 

Saya berjalan seiring dengan SPH di sebelah kanan. Saya memeluk kuat lengan kanan beliau. Cara itu sudah kami sepakati sebagai langkah keselamatan agar tidak hilang dalam keramaian manusia. Pegangan itu berlapik kain telekung agar wuduk tetap terjaga dan tidak terbatal.

Saya melihat Baitullah sangat besar dan tinggi di hadapan saya dan benar-benar berada DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH. Saya berasa aman dan bahagia.

Allahu Akbar, desis saya di dalam hati sambil mengkagumi kebesaran Allah. Saya mendongak ke langit. Saya tersenyum bahagia sambil mengucapkan, “Alhamdulillah wa syukrulillah, Ya Allah.”

*

LAJUNYA

Saya memerhati Mutawwif yang mengetuai kumpulan kami. Beliau berjubah putih, memakai kain sal merah di kepala. Raut wajahnya sudah banyak kedutan tanda berusia. Mungkin 70 tahun atau lebih.

Postur tubuhnya kurus dan tinggi dengan wajah Arab. Berjanggut lebat dan panjang. Tetapi jalannya cergas dan laju sambil memegang tongkat. Tidak padan dengan usia. Kami di belakang seakan berlari kecil mengikut kelajuannya.

Sekali sekala beliau memandang ke belakang untuk memastikan kumpulan kami masih bersama. Namun, ternyata banyak yang sudah terpisah dari kumpulan kerana tidak dapat mengikut rentak jalan Mutawwif. Saya dan SPH tidak bermasalah. Kami cergas dan bersemangat mengikut rentak jalan Mutawwatif di depan.

Saya kasihan melihat jemaah yang sudah berusia dan kurang sihat. Mereka ketinggalan di belakang, berjalan dengan perlahan sambil dipimpin oleh suami, isteri, anak atau saudara mereka. Ketika kami sudah selesai 7 pusingan tawaf, masih ada ahli rombongan yang belum selesai dan kami perlu menunggu mereka.

Mutawwif tentulah tidak mempedulikan hal ini kerana beliau tidak kenal siapa kumpulan yang dibawanya. Beliau hanya memastikan tugas yang diberi dapat diselesaikan seperti yang dikehendaki dan mendapat upah dari khidmatnya.

Saya memerhati setiap yang berlaku di sekeliling saya semasa bertawaf sambil mulut terkumat kamit mengikut bacaan Mutawwatif.  Jujur saya katakan bahawa Tawaf Umrah yang saya lakukan ini sangat cepat selesainya kerana “kelajuan” rentak yang dibawa oleh Mutawwif yang sudah “tua” fizikal tetapi “muda” dalam langkahnya. 

Nafas saya termengah-mengah seakan kami seperti berlumba-lumba untuk menyelesaikan Tawaf. Apa yang saya faham, pekerjaan Tawaf hendaklah dilakukan dalam keadaan tenang dan bacaannya baik serta tidak tergesa-gesa. 

Saya dan SPH sempat ketawa melihat pengalaman pertama kami bertawaf dalam keadaan laju mengikut rentak Mutawwif. Allahu Akbar.

*

tawaf1

Ilustrasi menunjukkan satu pusingan genap ketika bertawaf

*

SELESAI

“Yakin sudah 7 pusingan,” tanya SPH kepada saya ketika kami memasuki pusingan ke 7 dan menghampiri sudut Hajarul Aswad. “Iya, yakin,” jawab saya dengan yakin. Kami melakukan istilam terakhir apabila sampai ke sudut Hajarul Aswad. 

Setelah selesai pusingan ke-7, saya dan SPH keluar dari kawasan Tawaf secara perlahan-lahan dalam celahan manusia yang masih bertawaf.  Alhamdulillah, ucap saya berulang kali kerana selesai sudah Tawaf Umrah yang dilaksanakan. Hati menjadi lega dan kembali tenang.

*

SOLAT SUNAT TAWAF

Kemudian kami menuju ke belakang Makan Ibrahim untuk melakukan pula Solat Sunat Tawaf. Saya melihat Mutawwif dan beberapa jemaah kumpulan kami sudah berada di sana. Ada yang sudah bersolat sunat, ada yang sedang melakukan solat dan ada yang sedang berdoa.

Alhamdulillah, saya dan SPH dapat bersolat tepat di belakang Makam Ibrahim. Dataran Kaabah tidak sesak. Jemaah yang sudah bersolat memberi ruang kepada kami yang baru sampai. Jika keadaan sesak dan tidak dapat bersolat di belakang Makam Ibrahim, bolehlah bersolat di mana-mana tempat di dalam Masjidil Haram.

Saya menunaikan Solat Sunat Tawaf sebanyak DUA RAKAAT. Pada rakaat pertama membaca: (قل يا أيها الكافرون) dan  rakaat yang kedua pula membaca (قل هو الله آحد) selepas membaca Al-Fatihah.

Selesai bersolat, saya membaca doa yang dikutip di dalam buku doa. Setelah itu saya membaca doa sendiri untuk semua mereka yang tercinta agar selamat di dunia dan di akhirat. Mendoakan mereka akan dijemput untuk ke sini di kemudian hari.

*

LKaabahFatima2NiatSolatSunatTawaf*

Saya sudah tidak mampu menangis lagi ketika itu, kerana air mata saya sudah tertumpah dengan lebatnya semasa menunggu di Dataran Masjidil Haram sebelum memasuki Masjidil Haram tadi. Puas saya cuba menangis tetapi tidak berjaya. Tidak apalah, pujuk saya dalam hati. Semoga Allah mengabulkan doa saya dalam tangisan yang dilakukan di luar tadi. aamiin.

Saya pandang ke sisi kanan dan sangat terkejut melihat SPH menangis sampai ke henjut-henjut tubuhnya. Terdengar bunyi esakan halus yang tidak dapat dikawal.

Saya yakin SPH tenggelam dalam khusyuk doanya. Saya membiarkan sahaja dan mengaminkan setiap bacaan doa yang dilafazkan dalam tangisannya. Hati saya sangat tersentuh kerana inilah kali kedua saya melihat SPH menangis begitu rupa.

TERIMA KASIH YA ALLAH, MENGIZINKAN KAMI UNTUK MENYELESAIKAN IBADAH TAWAF.

*

kaabah5

Ilustrasi kedudukan Kaabah yang perlu diketahui oleh bakal haji dan umrah

*

PERHATIAN:

Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, tawaf di Baitullah adalah SOLAT. cuma Allah MENGHARUSKAN BERCAKAP. Oleh itu,  sesiapa yang ingin bercakap (ketika sedang tawaf), hendaklah bercakap perkara yang baik sahaja. Malah di dalam tawafnya, disyaratkan supaya suci dari hadas besar dan kecil (berwuduk) serta menutup aurat.

*

bunga

***************

SalamFatima3SalamFatima16 Jun 2014 (Isninj)/ 18 Syaaban 1435H/ 12.42 tengah hari, Sarikei, Sarawak

AKU…. mengajar diri untuk tabah dalam setiap langkah menuju impian. Untuk berjaya mesti berusaha. Kejayaan hanya dapat diraih dengan semangat membara. Doa dipanjat memohon restu hasrat selain bertawakal untuk terus cekal menerima segala yang bakal menjelma. Yang penting, jangan ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa. Lakukan usaha bersama senyum sebagai penghias hati.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

Dedikasiku Untukmu…. hanya ada doa yang terus dilampirkan agar engkau selamat di mana sahaja berada. Hatiku tidak akan pernah melupa. Aamiin.  Wassalaam. 🙂

*

FatimaRindu1padamu

*

WALAU JAUH PANDANGAN MATA, KAU SELALU ADA DI SINI: DI HATIKU

*

*

10 thoughts on “CT258. UMRAH WAJIB (3): TAWAF DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH

  1. Waktu abang umrah dulu, abang tidak menggunakan jasa mutawwif saat tawaf umrah. Sendiri saja.

    Penyesalan abang terbesar saat umrah adalah abang merasa lebih
    lalai dalam beribadat saat di Makkah. Berbeda sekali bila dibandingkan dengan saat di madinah. Ada yang sempat berkata, semua orang merasakan hal yang sama, mereka lebih khusyuk saat di madinah daripada di makkah. Karena memang kondisi makkah yang lebih semrawut bila dibandingkan dengan di madinah.

    Tapi bukankah itu adalah ujian bagi peribadatan kita? Seharusnya dulu abang ingat, pahala beribadat di makkah lebih besar dari pahala saat kita beribadat di madinah.

    • Salam sejahtera Bang Yusuf.

      Mengguna khidmat Mutawwif (pemandu tawaf) merupakan usaha pihak Tabung Haji Malaysia untuk memudahkan para hujaj yang pertama kali sampai ke Tanah Suci terutama mereka yang menggunakan MUASSASAH.

      Sebaliknya pula kepada hujaj yang sudah pernah pergi ke sana sama ada haji atau umrah, boleh membuat pilihan untuk mengikut atau tidak.

      Iya Bang Yusuf, saya banyak mendengar rasa sesal dari beberapa teman yang sudah ke sana (Maakah atau Madinah) tetapi tidak melaksanakan ibadah dengan sebanyaknya kerana lebih menyukai berbelanja, berziarah atau tinggal di hotel sahaja.

      Memang benar, semua itu merupakan ujian Allah agar kita sedar untuk memahami konsep ibadah haji dan umrah, lalu membuat persediaan rapi sebelum ke sana agar segala ibadah yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah.

      Semoga akan ada peluang lagi untuk dijemput Allah bagi menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Aamiin.

      Terima kasih atas kunjungan Bang Yusuf serta kongsian pengalaman yang tentunya dapat memberi pengajaran buat pembaca semua.

      Salam hormat. 🙂

  2. Subhanallah … alangkah indah, jelas dan ringkas laporan mata yg ibu Siti sajikan dalam tulisan ini … serasa kita berada dalam rombongan ibu Siti, ikut melaksanakan ibadah Umrah … 🙂

    Jadi teringat dulu sewaktu saya melaksanakan Ibadah Umrah … rasa BIMBANG juga melanda diriku ,,, ada rasa WAS2, merasa diri ini ‘tidak bersih dan masih kotor, penuh noda dan dosa ,,, akhirnya saya sebelum masuk kedalam, ‘bersujud dipintu Masjidil Haram, sujud TOBAT, mohon diampuni segala dosa dan noda … sesudah bangkit dari sujud, langkah kaki menjadi ringan ditengah ramainya jemaah lain, Tawab 7 keliling dapat saya laksanakan, ditutup do’a di Hijjir Ismail… Alhamdulillah.- Wasyukurillah, Salam taqzim dari Jakarta bagian timur. 😀

    • Alhamdulillah, namun pengalaman setiap tetamu Allah SWT di sana tentu berbeza dan mempunyai cerita tersendiri.

      Rasa was-was dan bimbang memang melanda sesiapa sahaja yang akan ke Tanah Suci. Rasa bersalah, berdosa dan sebagainya tentu meningkatkan keimanan kita untuk bertaubat sambil mengharap keampunan dari Allah.

      Sebaik-baik perkara yang kita lakukan di Tanah Suci adalah selalu BERBAIK SANGKA dengan Allah walaupun sedang diuji. Saya selalu mengajar diri untuk menjauhkan BURUK SANGKA kepada Allah kerana setiap sangkaan kita akan menjadi doa di sana yan tentunya segera dimakbulkan Allah.

      Benar Soeman, kita hendaklah banyakkan bertaubat selama di tanah Suci agar bersih zahir dan batin. Mudahan taubat itu menjadikan segala amal ibadah kita diterima Allah SWT.

      Terima kasih banyak atas kongsian pengalaman Soeman yang sangat bermanfaat untuk kita semua mengambil iktibar darinya. Semoga diredhai Allah selalu.

      Salam sejahtera. 🙂

  3. luar biasa ya kak kalau bisa melaksanakan ibadah thawaf ini, merupakan ibadah yang sangat mulia dan kita akan mendapatkan pahala yang besar dari yang diatas. Do’a kita juga mudah dikabulkan kak kalau berdo’a setelah atau sebelum thawaf ini 😉
    jadi pengen juga nih kesana 😉

    • Memang luar biasa, mbak Ririn. Aura Baitullah yang kita kelilingi secara lawan jarum jam itu mempunyai tenaga positif yang memberi impak besar kepada seluruh tubuh kita sehingga ada yang sakit menjadi cergas sehingga merasa teruja dalam bertawaf.

      Semua itu mempunyai rahsia tersendiri yang Allah kurniakan kepada Baitullah. Kerana itu, kita disunatkan untuk memperbanyakkan tawaf semasa di sana.

      Malah, solat sunat tahiyatul masjid yang biasa kita lakukan di mana-mana masjid di dunia ini tidak digalakkan dilakukan di Masjidil Haram.

      Sebagai gantinya, tetamu Allah disunatkan membuat Tawaf Tahiyatul Bait (Niatnya adalah WAJIB bukan sunat seperti Niat Tawaf Umrah atau Haji). Tujuannya untuk menghormati Kaabah setiap kali kita hadir di Masjidil Haram. Iya, doa kita juga cepat dimakbulkan di sana.

      Insya Allah, mbak. Jemputan itu pasti hadir jua buat mbak. Aamiin.
      Salam manis dan terima kasih atas kunjungan mbak Ririn. 🙂

  4. Pingback: CT275. UMRAH WAJIB (4): SAIE – BUKIT DALAM BANGUNAN | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.