CT465. IEESYAH PINDAH SEKOLAH – SMK TUN AHMAD ZAIDI (TUNAZ)

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

INGIN IKUT JEJAK

“Mama, Ieesyah hendak ikut jejak “kaki” (baca: langkah) Mama dan Abah untuk tinggal di asrama ketika di Tingkatan 1 nanti.” kata Ieesyah.

“Hendak sekolah di mana ?” tanya saya. “Ieesyah nak sekolah di Kuching, SMK TUNAZ”, balas Ieeysah dengan penuh semangat.

Itulah kata-kata yang diluahkan Ieesyah ketika berusia 11 tahun di Tahun 5 (2016).

Untuk memenuhi cita-cita Ieesyah, SPH mengisi borang permohonan kemasukan Tingkatan 1 yang diberikan oleh pihak sekolah SK Agama Sarikei dengan menulis nama SMK TUNAZ pada pilihan pertama dan SMK Sarikei Baru dipilihan kedua.

DOA dipanjat kepada Allah setiap masa oleh Ieesyah dan begitu juga kami sekeluarga agar permohonan Ieesyah berjaya.

*

GAGAL DITERIMA

Bercita-cita itu senang, tetapi untuk memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ) tidak semudah yang disangka kerana persaingan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah tersebut sangat sengit.

SMK TUNAZ adalah antara Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa B di Malaysia.

Setelah keputusan kemasukan ke Tingkatan 1 diumumkan, nama Ieesyah gagal dalam senarai ke SMK TUNAZ. Ini bermaksud Ieesyah tidak ada pilihan terpaksa belajar di SMK Sarikei Baru dalam Kelas Aliran Agama. Ieesyah menangis dan kesal kerana impiannya berkecai. Puas memujuk Ieesyah agar bersabar.

 Ieesyah tidak berputus asa dan memujuk saya untuk membuat rayuan kepada Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Melihat kesungguhan Ieesyah, saya dan SPH berusaha memenuhi hasrat Ieesyah. Saya kagum dengan Ieesyah. Saya seakan melihat diri saya berada dalam semangat Ieesyah.

Saya juga berpegang kepada prinsip jangan berputus asa untuk mencapai impian. Usaha, tawakal dan berdoa menjadi pegangan.Tidak mengapa jika kita mencuba kembali. Mana tahu ada rezeki buat Ieesyah yang telah ditentukan Allah dan sebagai ujian buat kami untuk berusaha lebih dari sebelumnya.

*

RAYUAN

Saya diberi amanah oleh SPH untuk mengurus permohonan rayuan kemasukan Tingkatan 1 kepada pihak Sektor Pendidikan Islam (SPI). Alhamdulillah, semua urusan dengan pihak terbabit dimudahkan Allah tanpa sebarang masalah. Semoga Allah memudahkan urusan mereka juga. Aamiin.

Masa yang diberi amat singkat hanya 5 hari selepas keputusan kemasukan pertama. Saya pula sangat lewat, iaitu pada hari ke 4 baru menguruskan rayuan Ieesyah kerana saya tidak mengetahui prosedurnya.

Pegawai SPI yang mengurus bahagian rayuan kemasukan telah memberi kerjasama yang sangat baik dengan meng-emel kepada saya borang rayuan dan senarai semak yang diperlukan. Saya pula hanya mempunyai masa 1 hari (hari terakhir) untuk menguruskannya. 

*

CONTOH borang permohonan rayuan ke Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Kelas Aliran Agama (KAA).

Borang ini perlu disertai dengan sijil-sijil penglibatan serta pencapaian dalam bidang Kokurikulum. Alhamdulillah, Ieesyah sangat aktif semasa di sekolah rendah. Bidang Kokurikulum sangat penting untuk membantu dalam menyokong permohonan rayuan.

*

Senarai semak yang menunjukkan dokumen yang wajib dikirim bersama borang rayuan.

*

BERJAYA

Seminggu selepas borang rayuan ditutup, keputusan rayuan akan dapat diketahui seminggu kemudian. Ia penantian yang amat meresahkan Ieesyah. Dalam tempoh tersebut Ieesyah sentiasa memanjatkan doa dan menggandakan bacaan al-Quran agar hasratnya dikabulkan Allah SWT.

JIKA SUDAH MENJADI REZEKI dan sudah ada dalam ketetapan dari Ilahi, cuma kita perlu berusaha dahulu untuk mencapainya. ALHAMDULILLAH, permohonan Ieesyah untuk belajar di SMK TUNAZ , BERJAYA. Keputusan itu kami terima pada 15 Januari 2018, hari Isnin.

Selain saya dan SPH, orang yang paling rasa bahagia dan sangat gembira menerima berita tersebut, sudah pasti adalah IEESYAH. Senyum tidak pernah lekang dari bibir dan mulalah Ieesyah menulis segala keperluan asramanya. Allahu Akbar, tiada yang mengembirakan saya melihat Ieesyah gembira.

Pada hari Selasa, saya dan SPH mula mengurus perpindahan Ieesyah dengan pihak pengurusan SMK Sarikei Baru. Guru kelas Ieesyah, Ustazah Faridah telah dimaklumkan awal dan meminta mengambil foto Ieesyah bersama beliau dan rakan sekelasnya.

Kisah Ieesyah bersekolah di SMK Sarikei Baru telah ditulis dalam CT462. BACK TO SCHOOL – 2018. Ieesyah sempat bersekolah selama 2 minggu sahaja dan pastinya dalam masa yang singkat itu banyak kenangan disimpan bersama rakan dan guru kelasnya.

Setelah selesai urusan tersebut, kami meminta agar Ieeysah tidak lagi hadir ke sekolah mulai hari Khamis kerana urusan mengemas pakaian dan barang keperluan asrama. Hari Jumaat adalah hari pendaftaran Ieesyah di sekolah barunya, SMK TUNAZ di Kuching.

*

PERPISAHAN

Suasana pilu mulai terasa dan hari terakhir Ieesyah ke sekolah (hari Rabu) merupakan saat perpisahan yang tidak akan Ieesyah, guru kelas dan rakan-rakannya lupa.

Apa yang dikatakan perpisahan adalah satu penyiksaan, tidak dapat disangkal kerana saat indah bersama sukar untuk ditinggal dalam kotak ingatan. Hanya gambar menjadi saksi setiap kejadian yang bakal dikenang sepanjang zaman.

*

Ieesyah bergambar kenangan dengan guru kelas KAA, Ustazah Faridah dan rakan-rakan

*

Walau wajah ceria namun ada keharuan di hati Ieesyah, bimbang akan rindu dengan rakan-rakan sekelas yang sudah 6 tahun bersama di sekolah rendah.

*

SELAMAT DATANG KE TUNAZ

HARI PENDAFTARAN – 19 JANUARI 2018 (Jumaat).

Ieesyah sangat teruja untuk belajar di TUNAZ dan tidak sabar untuk memasuki asrama. Kami hadir ke sekolah pada jam 9.00 pagi.

Kami berurusan dengan pihak pengurusan di Pejabat AM dan bertemu dengan guru kelas baru Ieesyah, Ustaz Syukur yang banyak membantu dalam urusan pendaftaran kelas, koperasi dan asrama.

Kami juga disambut baik oleh Puan Pengetua SMK TUNAZ, Ustazah Siti Zulaiha Ibrahim yang banyak memberi penerangan tentang situasi di sekolah dan asrama. Ieesyah kelihatan sangat teruja dan berkata, “Ieesyah tidak akan menangis.”… hehehe, realiti adalah sebaliknya.

Berikut adalah foto-foto kenangan buat Ieesyah dalam tempoh 3 minggu persekolahannya di SMK TUNAZ. Mudahan Ieesyah dapat menghargai kurniaan Allah yang tidak terhingga ini kerana hasrat untuk bersekolah di TUNAZ sudah tercapai. Alhamdulillah wa syukrulillah.

*

Alhamdulillah, akhirnya Ieesyah menyambung sekolah di SMK TUNAZ, Kuching

*

Ieesyah berjaya mengikut jejak “kaki” Mama dan Abah untuk belajar jauh dari kampung dan duduk di asrama. Cita-cita yang disimpan sejak Tahun 5 sekolah rendah.

*

HARI PERTAMA di SMK TUNAZ, Ieesyah sangat gembira dan tidak menangis

*

Minggu pertama Ieesyah di TUNAZ, kebetulan minggu (minggu ke-4 persekolahan) tersebut mengadakan perkhemahan untuk pelajar baru, Tingkatan 1.

*

Lawatan minggu pertama, Ieesyah menangis dan hendak pulang Sarikei. Rindu dengan Mama dan Abah serta kawan-kawan lama di SMK Sarikei Baru. Puas juga memujuk. Alahai…

*

Saya dan SPH melawat Ieesyah pada minggu ke-2. Rindu dengan Mama dan Abah. Masih hendak pulang ke Sarikei. Hehehe…. boleh sakit jiwa dibuatnya.

*

Lawatan minggu ke-3, untuk memberi semangat kepada Ieesyah terus tinggal di asrama dan bersekolah di SMK TUNAZ

Walau jarak sejauh lebih kurang 450 kilometer dari Sarikei ke Kuching yang mengambil masa 6 jam dengan kereta tidak pernah memadam kerinduan saya dan SPH untuk melawat Ieesyah.

*

Ieesyah terpaksa dipujuk kerana tidak dapat menahan tangisan apabila rombongan kami hendak balik ke Sarikei…. alahai, Mamanya pun nak menangis sama.

*

KUAH TUMPAH KE NASI

Dalam usia 12 tahun 8 bulan (bulan Mei baru usia Ieesyah 13 tahun), Ieesyah telah berjaya mencapai impiannya untuk belajar di sekolah berasrama mengikut jejak langkah saya dan abahnya pada tahun 1980.

Bab menangis itu, memang saling tidak tumpah dengan sikap saya semasa di awal tahun pertama persekolahan. Lama-lama tidak menangis lagi kerana sudah serasi dan ramai teman. Mudahan Ieesyah dapat mengatasi saat-saat sukar tersebut.

Semoga Ieesyah terus berjaya menggapai impian dan cita-cita, dapat fokus belajar dan memahami pelajaran. Juga dikurniakan Allah kelapangan hati saat berjauhan dengan keluarga terutama saya yang sangat manja dengan Ieesyah.

Pengajaran yang boleh kita ambil dari setiap kejadian dalam hidup adalah JANGAN PERNAH BERPUTUS ASA dan TERUS BERUSAHA SELAGI BELUM MENEMUI KEJAYAAN.

*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima6 Febuari 2018 (Selasa)/ 20 Jamadilawal 1439H/ 8.35 malam/Sarikei, Sarawak

– SITI FATIMAH AHMAD –

 

 

*

KENANGAN TIDAK TERLUPAKAN

 

4 thoughts on “CT465. IEESYAH PINDAH SEKOLAH – SMK TUN AHMAD ZAIDI (TUNAZ)

  1. Assalamualaikum wr. wb Bu Hajjah Fatimah. Semoga selalu diberi kesehatan dan dalam lindungan Allah swt.

    Post ini seakan menjadi pengingat, jika suatu saat nanti Teona pun akan seperti Ieesyah. Dalam Pendidikan Islam, sudah sewajarnya anak masuk sekolah seperti Ieesyah, di Indonesia disebut pesantren. Kami selaku orang tua masih bimbang, semoga dengan sejalan waktu diberikan hidayah oleh Allah untuk dapat memberikan Pendidikan terbaik seperti Bu Hajjah.

    Salam musim hujan dari Jakarta Pusat 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum…
      Terima kasih atas doa yang baik dari mbak dan didoakan mbak sekeluarga begitu juga hendaknya.

      Tidak mudah untuk menjadi ibu bapa yang perihatin dengan anak-anak kerana perlukan banyak kesabaran terutama anak-anak zaman moden yang begitu banyak cabaran di sekeliling merkea. Oleh itu, pendidikan agama pastinya menjadi tunjang untuk keselamatan mereka di dunia dan akhirat agar nanti, apabila kita meninggal dunia, senang dan tenang menghadap ilahi apabila amanah anak yang dianugerah itu menjadi seperti yang dikehendaki dalam ajaran Islam.

      Insya Allah, nak Teona pasti akan membanggakan ibu bapanya. Banyakkan berdoa kerana doa ibu bapa amat barakah di sisi Allah SWT.

      Terima kasih mbak sudah berkunjung dan salam kasih selalu. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.