CT350. HARI HUJAN, CIKGU

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

HujanFatima1HariHujanCikgu*

BERLENGGANG

Setiap hari persekolahan, aku berjalan kaki bersama ratusan anak-anak Kampung Hilir meredah pagi yang dingin untuk ke sekolah.  Jam 6.15 pagi kami (aku dan dua abangku Shaidi dan Bol) mula berangkat dari rumah. Tapi kami berjalan berasingan. Ikut kawan masing-masing.

Jarak rumah ku dengan Sekolah Rendah Abang Aing, Simanggang (kini Bandar Sri Aman) lebih kurang satu kilometer. Tidak jauh. Aku berjalan berlenggang tanpa membawa beg atau buku sekolah kerana semua buku disimpan di ruang bawah meja di dalam kelas.

Tidak perlu takut buku hilang. Tidak ada sesiapa yang mengambilnya. Semua murid menyimpan buku masing-masing di dalam kelas. Pada hal pintu kelas tidak pernah berkunci. Buku hanya dibawa pulang sekiranya ada kerja rumah yang diberi oleh guru. Jika tidak ada kerja rumah, tidurlah buku itu selamanya di sekolah.

*

RENCANA

Hari ini ku lihat cuaca sangat cerah. Langsung tidak ada tanda hujan akan turun. Bunga senduduk, bunga tahi ayam (jerejas) dan bunga alamanda di belukar renek sebelah kanan jalan berkembang dengan indah dan segar.

Kicauan burung pipit berdecit-decit riang. Kurrr….kurrr…. burung tekukur mendendangkan kukuran cerianya memecah sepi alam. Aku pula tersenyum kerana di dalam fikiranku sudah merencana sesuatu. Langkah kaki dicepatkan kerana aku suka bermain-main dahulu sebelum masuk ke kelas.

Aku berumur 10 tahun. Murid Darjah 4 (1977). Dengan pakaian gaun sekolah warna biru tua dan putih, aku berlari-lari anak mengejar waktu. Kiri kanan jalan dipenuhi anak-anak sekolah rendah dan sekolah menengah. Pelbagai ragam olah dapat disaksikan sepanjang perjalanan tersebut.

*

ceritafatima7a

Beginilah uniform sekolah rendah yang kami pakai ketika itu (1977). Penggunaan baju kurung sekolah belum lagi dilaksanakan.

*

LALUAN KE SEKOLAH

Sebelum sampai ke sekolah, aku harus melalui jalan “wajib” satu hala. Itulah jalan utama untuk ke sekolah dan pasar Simanggang. Sebaik melangkah kaki dari tangga rumah, aku melalui dahulu tanah perkuburan yang terletak di seberang rumahku (kami tinggal di rumah Pak Nek dan Mak Nek sebelah Emak).

Kemudian menaiki bukit kecil yang bertanah kuning tanpa tar dengan batu-batu kasar. Apabila hujan, tanah kuning itu menghasilkan lopak-lopak besar dan jalan menjadi licin. Setelah menurun bukit, aku berjalan terus ke hadapan dan melalui pula Bukit Melati.

Bukit Melati adalah sebuah markas tentera, Regimen Askar Melayu Diraja yang berpusat di Simanggang. Kini ia sudah tidak wujud lagi kerana sudah didirikan Masjid Besar Sri Aman. Setelah sampai Bukit Melati, aku harus menyeberang jalan di mana terhunjamnya sebatang pokok Belacan yang besar dan penuh misteri.

Setelah melintas Pokok Belacan, aku akan melalui jalan kecil di sebelah kanan bangunan Dewan Masyarakat MDS (Majlis Daerah Simanggang). Sepanjang laluan itu terbentang luas di sebelah kananku padang bola sepak MDS yang berumput hijau dan bertanah becak. Inilah satu satunya padang tempat segala acara sukan bagi penduduk Simanggang ketika itu.

Setelah menurun bukit kecil Dewan Masyarakat dan jalan datar yang berumput, barulah aku sampai ke pintu pagar kecil. Pintu ini adalah di belakang sekolah yang menjadi laluan anak-anak Kampung Hilir untuk masuk ke kawasan sekolah.

*

PARIT KECIL

Sebelum memasuki pintu pagar itu kami harus melalui dua keping papan yang  disusun rapat. Papan itu dilintang di atas sebatang parit kecil yang memisahkan padang bola sepak dan kawasan sekolah.

Di sinilah aku suka bermain sebelum masuk ke sekolah. Aku suka melihat anak-anak ikan yang sedang berenang di dalam air parit yang jernih. Ikannya kecil-kecil, halus dengan mata yang besar.

Aku duduk bertinggung memerhati sambil tersenyum. Rasa tenang menyapa hati. Ke sana sini mata ku meliar mengikut gerakan anak-anak ikan itu..

Apabila waktu petang atau hari cuti sekolah, aku dan kawan-kawan akan masuk ke dalam parit yang separas separuh lutut dan menadah tangan ke dalam air untuk menangguk ikan.

Tidak perlu jaring atau peralatan memancing. Cukup menggunakan tangan. Ikannya sangat banyak. Kemudian dimasukkan ke dalam tin yang diisi air dan dibawa pulang.

*

hariguru2013fatima2srkabangaing

Inilah pintu masuk ke sekolahku setiap hari.  Di tepi jalan berumput seakan garisan memanjang itu adalah parit kecil yang jernih airnya.

*

JATUH PARIT

Tidak ku sedari hari ini menjadi hari malang buatku. Seperti biasa aku akan singgah dahulu merenung anak-anak ikan yang cergas. Entah apa yang menggoda hatiku, lalu timbul keinginan untuk menangkap anak ikan yang banyak di depan mata. Loceng masih belum berbunyi menandakan waktu kelas belum bermula.

Aku pun mendekati parit kecil. Menaikkan gaun sekolah hingga ke lutut sambil menundukkan badan ke dalam parit. Kedua-dua tangan kecilku dikaup rapat agar dapat menangguk ikan yang berenang lincah.

Entah apa yang salah dalam teknik tundukku itu, tiba-tiba aku tertonggeng jatuh dengan kepala ku masuk dahulu ke dalam air. Buuuurrrrrrr…. bunyi kocakan kuat memecah suasana.

Aku kelam kabut mengangkat badan yang berendam kuyup. Rambutku tadinya tersisir kemas kini lekat menutup wajah dengan lilihan air yang basah. Anak sekolah yang lalu di jalan itu sudah semakin sedikit. Mereka tidak menghiraukan aku yang basah kuyup. Aku malu sendiri.

Ting…ting…ting…ting. Tiba-tiba loceng sekolah kedengaran kuat di telingaku menandakan waktu pertama kelas akan bermula. Aku  menjadi panik. Rasa hendak menangis tetapi ditahan. Dadaku sebak. Siti Fatimah tidak boleh menangis, aku memujuk hati sendiri.

“Apa harus aku lakukan”, aku mula berfikir ligat. Keputusan mesti dibuat segera. Ponteng sekolah atau terus masuk kelas dalam keadaan basah. Kalau pulang ke rumah mesti Emak dan Bapak marah.

Aku mengambil keputusan untuk masuk sahaja ke dalam kelas dengan keadaanku yang seadanya setelah memilih alasan yang ku anggap sangat bernas dan logik.  Cikgu Jamaiah Bujang yang mengajar Bahasa Melayu pasti menerima alasanku ini. Aku senyum melangkah kaki menuju kelas Darjah 4.

*

ALASANKU

Aku adalah murid paling akhir masuk kelas. Cikgu Jamaiah sudah berada dalam kelas. Aku mengetuk pintu dan memberi salam Selamat Pagi, Cikgu. Aku menunggu jawaban dari Cikgu Jamaiah untuk membenarkan aku masuk. Badanku sudah menggigil kesejukan.

Cikgu Jamaiah memandangku dengan pelik. Mukanya serius. Hatiku mula takut tidak keruan. Kawan-kawan sudah ketawa dan berbisik-bisik di tempat duduk. Hanya Lily, teman sebangku dan semeja ku sahaja yang buat-buat tidak tahu. Macam biasa, sepi tanpa suara sehingga habis waktu persekolahan.

“Kenapa kamu Fatimah, basah kuyup macam ni. Kenapa datang lewat. Loceng dah berbunyi baru nak masuk kelas.” tanya Cikgu Jamaiah bertubi-tubi dengan nada suara yang tinggi. Aku menundukkan kepala dan mendiamkan diri sambil berfikir, “logik ke tidak alasan yang bakal aku berikan nanti.”

“Jawab soalan Cikgu dahulu baru kamu boleh masuk,” desak Cikgu Jamaiah tanpa senyum menghiasi wajah. “Ke mana kamu pergi hingga basah seluruh badan kamu.” Aku mengangkat kepala dan memberanikan diri. Suara ku atur dalam getaran tubuh yang semakin mengecut dek kesejukan.

“Saya basah kerana HARI HUJAN, CIKGU.” Itu sahaja jawaban dan alasan paling konkrit yang sudah tersedia di fikiranku. Aku menunduk wajah menghadap simen di depan pintu.

“Hahahaha….hehehehehe..” Telingaku menangkap suara ketawa yang memenuhi kelas Darjah 4. Tapi aku pasti Lily tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang sedang ketawa itu. Lily tidak pernah ketawa walau sepicing bunyi.

*

HUKUMAN

“Bagus, jawaban yang cerdik dan pintar. Disebabkan hanya awak seorang yang ditimpa hujan dan basah kuyup di hari yang terang benderang, ceria dan ada matahari ini. Cikgu hukum kamu berdiri di tengah padang bola keranjang itu sehingga tubuh dan baju kamu kering”, perintah tegas Cikgu Jamaiah panjang lebar sambil menunjuk jarinya ke arah padang bola keranjang.

“Tunggu dulu, sebelum itu, beritahu Cikgu perkara sebenar.” Cikgu Jamaiah menunggu sambil matanya menjilat lumat seluruh wajahku. “Se..sebenarnya, saya jatuh dalam parit depan pintu pagar sekolah Cikgu sebab nak tangkap anak ikan.” jawabku menahan rasa malu.

“Kan elok berterus terang. Lain kali jangan berbohong. Pergi sekarang juga.Ahhh… lega. Hukuman yang sangat ringan dan tidak susah dilakukan. Tanpa suara bantahan aku menurut patuh hukuman yang dikenakan.

Padang Bola Keranjang tidak jauh hanya dua meter di hadapan kelas Darjah 4. Hendak ketawa, takut digandakan lagi hukuman. Aku sendiri geli hati mendengar jawaban yang cukup logik itu.

Sekali lagi ketawa tanpa belas ihsan memenuhi ruang kelas Darjah 4 kecuali Lily teman sebangku dan semeja-ku. Entah kenapa dia tidak pernah bersuara walau satu ayat. Lily bukan bisu dan dia tidak pernah menganggap aku sebagai kawan walau kami duduk bersentuh bahu.

*

SinggahFatima1TerimaKasihLMGSG2

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima8 September 2015 (Selasa)/ 24 Zulkaedah 1436H/ 8.50 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. ingin hamparkan segala harapan yang ku tulis dalam beban cita yang belum sempurna mozaiknya. Biar payah jalan ditempuh, ku keraskan hati untuk merempuh. Biar sukar onak melintang, ku tabahkan jiwa untuk merentang. Biar susah dikata orang, ku cekalkan  rasa untuk menentang. Asal berani bermimpi segalanya mungkin. Tuhan sedang menggenggam mimpi-mimpimu.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…. Walau jauh dari pandangan mata. Ingatan padamu tak pernah lupa. Ku sebut namamu, namun ada rindu yang lebih dari itu. Doa untukmu setulus kalbuku.  Aamiin. Wassalaam. 🙂

*

HatiFatimaUntukmu

*

27 thoughts on “CT350. HARI HUJAN, CIKGU

  1. Cerita kak Siti jaman sekolah dulu ni tentulah berkesan sampai kapanpun.
    Zaman tahun 70-an sekolah di kampung saya juga seperti gambar diatas. Tapi sekolah kami tak ada parit.

    • Alhamdulillah. Kenangan kena hukum memang tidak pernah luput dari ingatan. Ia sebuah nostalgia indah dan lucu apabila diingat kembali.

      Parit kecil itu menjadi pemisah antara luar kawasan sekolah saya (sebelum memasuki pagar sekolah) dengan padang bola sepak. Dalam kawasan sekolah saya juga tidak ada parit.

      Terima kasih mas Alris dan salam sejahtera.

  2. Wah!

    Peng-alam-an yang indah! Bun!
    Bersama alam yang bersahabat.
    Berharap hujan mampu membela
    Dusta kanak yg sangat sederhana.

    Hehe!

    Tapi Cikgu minta yang lebih indah
    Berterus di dalam terang lebih baik
    Dari pada hujan lebat di siang bolong.

    Tapi aneh juga.
    Ada Lily yang tak bisa ketawa
    Kemungkinan ia anak tentera.
    Enatahlah! Itu tebakkan saja,

    Salam Damai!

    • Anak-anak selalu berfikir sesuatu yang dianggap helah bela diri tanpa sedar ia telah berbohong. Namun saya sangat beruntung kerana Cikgu Jamaiah memberi hukuman yang setimpal.

      Hukuman berjemur panas di awal pagi membuat baju saya cepat kering selain dapat vitamin D yang bagus untuk kulit. Ini diketahui beberapa tahun kemudiannya setelah faham manfaat matahari di awal pagi.

      Lily teman sebangku saya bukan anak tentera tetapi Lily adalah anak Residen Simanggang. Anak pegawai tertinggi di Simanggang. tetapi tidak pernah bersosial dan bersapa dengan sesiapa. Dia tidak sombong cuma dia suka membisu seribu bahasa. Hanya saya mengganggap dia kawan saya kerana kami sebangku.

      Terima kasih Maren dan salam sejahtera.

        • Lily teman saya itu, orangnya halus pekerti, wajahnya putih bersih, alisnya tebal. Bulu mata dan matanya cantik. Saya suka merenungnya. Tapi dia tidak mahu membalas renungan saya.

          Senyum jarang-jarang. Baik hati dan sanggup menerima hukuman mengangkat meja atas kepala bersama saya walaupun dia tidak bersalah. Kasihan Lily.

          Anak yang baik tapi tidak mahu berteman. Saya suka Lily kerana dia tidak pernah marah dengan saya walau sebutir ayat.

          Mungkin Lily dan Tuti anak istimewa berada dalam dunianya sendiri, ya.

          Salam damai kembali, Maren.

        • Ya!
          Mungkin Lily dan Tuti anak istimewa
          berada dalam dunianya sendiri.
          Anak selalu belajar dari keluarga

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh kritik,
          ia belajar mencela.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh permusuhan,
          ia belajar melawan.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh ketakutan,
          ia belajar gelisah.

          Bila anak dibesarkan dalam rasa aman
          ia belajar percaya diri.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh ejekan,
          ia belajar mencela.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana miskin, penuh rasa malu,
          ia belajar untuk merasa bersalah.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh kecemburuan,
          ia belajar iri hati.

          Bila anak dibesarkan dalam semangat jiwa besar,
          ia belajar percaya diri.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh toleransi,
          ia belajar setia dan sabar.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana menerima apa adanya,
          ia belajar mencintai.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh kerukunan,
          ia belajar patuh.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh keadilan,
          ia belajar bermurah hati.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh kejujuran,
          ia belajar kebenaran.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh kasih,
          ia belajar menyayangi dan mema’afkan.

          Bila anak dibesarkan dalam suasana penuh persahabatan,
          ia belajar tahu bahwa dunia adalah tempat untuk belajar.

          Jika kamu belajar dalam ketentraman,
          anak-anakmu akan belajar dalam ketenangan batin.

          Semua itu dari Dorothy,
          Dia mungkin sudah tahu juga bahwa:

          Anak “serdadu” tidak pernah ulang-tahun.
          Selalu keliru melangkah entah mengapa,
          Beroleh firman pedas-tajam-terpercaya.

          Putri “keraton” selalu ulang tahun.
          Dan ketika dia keliru cakap atau tindak,
          Selalu beroleh firman yg lembut meliuk merdu.

          Nah,
          Andai anak tangsi berkawin dengan putri keraton,
          Ibarat landak di gunung ular di laut bertemu di kuali,
          Anaknya bejajar menjadi kawat berduri, barangkali, heh!

          Salam Damai!

          • Iya saya setuju mas Maren…. apa yang diajar di rumah memberi dampak yang besar kepada perkembangan dan pembesaran anak-anak.

            Seperti Sabda Rasulullah SAW: anak itu ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorak mereka menjadi apa yang mereka mahukan seperti di atas.

            kalau landak dan ular bertemu dalam kuali rasanya saya tidak mahu makan. Tapi kalau ikan di laut dan asam di darat, pasti bertemu di dalam periuk dan amat sedap sekali rencah ramuannya.

            Terima kasih dan salam sejahtera.

  3. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Hehehe… itu cerita masa sekolah yang patut dikenang ya, Mbak Fatimah, di mana hari terang benderang malah basah kuyup terkena hujan sendiri 🙂 Ikan di parit memang selalu menarik untuk diperhatikan, bahkan ditangkap, tapi apalah daya bila kaki terpeleset. Dan, kejujuran itu sungguh elok tentunya. Namanya juga masih anak-anak ya, Mbak 🙂

    Salam dari Jogja,
    @muhaiminazzet

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet….

      Memikirkan alasan itu boleh membela diri tak terfikir ia dianggap salah. Anak-anak jarang memikirkan impak dari kata-katanya yang tidak panjang akal itu. Akhirnya menerima padah yang harus ditanggung sendiri dengan rasa malu yang ditanggung..hehe.

      Terima kasih dan salam takzim.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Lidya…

      Kenangan masa kecil selalu menggamit hati dan menyenangkan walau saat mengalaminya dulu ada terasa perit dan sakitnya. namun kita ia boleng membuat kita tersenyum dan menarik nafas lega.

      Terima kasih mbal Lidya dan salam manis di penghujung pekan.

  4. Assalamualaikum ustazah, saya sangat tertarik dengan nulikan ustazah berkaitan kisah ustazah semasa berada di bangku sekolah rendah. Pengalaman yang sangat menyeronokkan dan menggamit kenangan apabila kita ‘throw back’ pengalaman yang berlaku pada usia tersebut. Ianya amat seronok dan saya terhibur apabila ustazah memberikan alasan yang tidak logik akal kerana saya juga pernah melalui perkara yang sama hanya untuk ‘melepaskan diri’ untuk tidak ditangkap. Walaubagaimanapun, apa yang saya perolehi dalam nukilan di atas, ialah pentingnya berkata jujur. Sebagai seorang manusia, kita hendaklah berlaku jujur dengan sesiapapun walaupun sebenarnya perkara tersebut pahit untuk ditelan akan tetapi akan mendatangkan 1001 kebaikan untuk menjadikan kita sebagai manusia yang berguna. Saya yakin dan percaya bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya agar kita dapat memperbaiki diri kita menjadi manusia yang lebih baik dan berguna untuk masyarakat. Insha Allah.
    Mohd. Aqib Naem bin Naszeri,
    PISMP Pendidikan Islam Jun 2020,
    Semester 3 IPGK Batu Lintang Kuching, Sarawak.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.