CT455. TIANG GOL BOLA JARING BUATAN SENDIRI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

BISING

Terdengar jelas di telinga saya suasana bising di ruang tamu ketika saya sedang memasak Takoyaki sebagai menu sarapan. Setiap hujung minggu Takoyaki sudah menjadi sarapan wajib kami sekeluarga. Kami tidak pernah jemu dan sangat menikmati kelazatan makanan snek khas Jepun ini.

Tanpa mempedulikan bunyi bising dan hentakan bola ke lantai serta suara riuh rendah Muhammad dan Ieesyah, saya terus melakukan aktiviti memasak dengan penuh semangat. Perut sudah lapar. 😀

Setelah  selesai menghidang Takoyaki ke dalam pinggan saya berlalu keluar ruang tamu untuk kami sekeluarga menikmati sarapan pagi. Tahulah saya apakah bunyi bising tersebut.

*

KOTAK  GOL

Rupanya, Ieesyah dan Muhammad sedang bermain bola jaring. Yang lucunya tiada tiang gol dan raga jaring tetapi dengan penuh kreatif, mereka berdua menggunakan kotak bekas botol air minuman (drinking water) cap Borneo yang disangkut pada dua kepala kecil kunci selak di bahagian atas pintu masuk utama ke rumah.

Saya bangga dengan kreativiti mereka tanpa perlu menyusahkan diri dan kami sebagai ibu bapa untuk membeli tiang gol sebenar. Bila dicadangkan, mereka kata tidak perlu, cukup dengan apa yang boleh digunakan.

Kreativiti anak-anak mesti dipupuk dan disokong walaupun kecil dan sedikit. Ini akan menggalakkan mereka  menjadi lebih yakin diri dan meningkatkan motivasi ke arah penjanaan idea yang inovatif. Hargai cara fikir mereka walau pun ia kelihatan lucu dan tidak logik.

*

Ieesyah sedang menjaringkan bola

*

*

*

Kreativiti yang murah dan hebat. Bagi yang tidak berduit jangan sedih, cara ini juga cukup untuk membuat anda menjadi pemain hebat satu hari nanti. Yang penting sering berlatih dan bersungguh-sungguh.

*

SAYAP PERTAHANAN

Sebenarnya, Ieesyah yang hendak bermain dan Muhammad hanya teman bersaing. Di sekolahnya, Ieesyah dipilih berada di posisi pemain sayap pertahanan atau Wing Defence (WD). Mungkin kerana kelincahannya dan suka berlari ke sana sini menyebabkan dia dipilih dalam posisi ini.

Tugas Sayap Pertahanan (WD) adalah menghalang segala gerak geri dan hantaran bola yang dibuat oleh pemain Sayap Penyerang atau Wing Attack (WA) daripada pihak lawan dalam bulatan jaringan. Pemain Sayap Pertahanan boleh menjadi penyerang apabila bola di hantar ke tengah atau ke dalam oleh pihak lawan.

Begitulah serba sedikit kefahaman saya tentang posisi Ieesyah. Saya dulu semasa belajar di Maktab Perguruan Islam terdedah dengan permainan Bola Jaring. Tetapi saya lebih meminati permainan Bola Tampar. 🙂

*

Ieesyah sangat berminat dengan sukan bola jaring. Dia pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan bola jaring antara sekolah dalam Daerah Sarikei dan ingin menjadi wakil pemain negara. Sekarang ketinggiannya baru mencapai 145 cm dalam usia 12 tahun. Masih belum tinggi. 

*

*

*

Semoga berjaya dan cita-citamu tercapai, nak. 🙂

*

bunga*

***************

SalamFatima3SalamFatima14 Oktober 2017 (Sabtu)/ 24 Muharram 1439H/ 9.50 pagi, Sarikei, Sarawak

AKU…. cuba meredakan gelombang resah yang melanda jiwa. Hidup di dunia kini penuh noda nista yang menghina sejumlah manusia yang tidak berdosa. Ke mana perginya akal budi dan ilmu yang diberi sebagai bekal untuk memakmurkan bumi. Jika salah tingkahmu dalam menghargai anugerah Ilahi, rasailah azab siksa di sana nanti. Tunggu ! Kau pasti diadili. Marilah kita hidup dengan aman tanpa airmata ditangisi. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

16 thoughts on “CT455. TIANG GOL BOLA JARING BUATAN SENDIRI

  1. Assalamualaikum bu Hajjah Fatimah.
    Sungguh kreatif menggunakan bahan yang ada. Saya pun memakai kardus besar bekas untuk simpan boneka Teddy Bear yang berukuran cukup besar. Hehe. Apa yang bisa dimanfaatkan tentu menjadi lebih baik. Salam hangat dari Jakarta Pusat.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Frany Fatmaningrum….

      Betul, apa sahaja yan boleh dimanfaatkan tentu lebih baik sebagai langkah berjimat. Harga barang sekarang semakin mahal, maka kita perlu lebih kreatif untuk kelangsungan hidup.

      Terima kasih mbak sudah berkunjung dan salam hangat kembali di penghujung pekan. 🙂

    • Saya pun sokong dengan idea awak.Saya pun ada buat tapi,saya menggunakan jaring keras. Saya nak tanya awak umur berapa tahun ieesyah. Awak suke ke main bola jaring?

      • Salam Balqis…. Ieesyah umurnya 13 tahun tahun sekarang. Bagus juga idea Balqis tu. Ieesyah memang suka main bola jaring sebab dia tinggi dan aktif. Nampaknya Balqis pun suka main bola jaring, kan.

        Terima kasih Balqis kerana berkunjung dan salam ceria selalu. 🙂

    • Saya setuju. Biasanya kreativiti akan terbentuk apabila tidak ada wang atau ingin mencipta sesuatu yang mudah digunakan dengan menyuka hati sendiri. Apa yang perlu kita fahami, usaha sangat penting untuk merealisasikan impian kita walau dari bahan yang murah.

      Terima kasih mas Amazzet sudah berkunjung dan salam takzim.

  2. Assalamu’alaikum wr.wb. puan Fatimah

    kreatif sekali … bahagia jika kita bisa melakukan aktifitas yang kita sukai dengan resources yang ada di sekitar kita … bahagia itu sederhana dan tidak perlu bersusah susah dahulu

    salam sehat bahagia dari Jakarta

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.